Showing posts with label Motivasi. Show all posts
Showing posts with label Motivasi. Show all posts

Thursday, September 20, 2012

Beban Kad Kredit Jejas Kesejahteraan


Hutang dorong manusia melakukan rasuah, jenayah, salah guna kuasa

KERAJAAN mahu institusi kewangan menghentikan tindakan mempromosi kad kredit secara agresif memandangkan pengeluarannya secara melampau tanpa kawalan boleh ‘menjahanamkan satu generasi.’ Institusi kewangan berlumba-lumba menawarkan kad kredit kepada orang ramai kerana memberi pulangan baik kepada syarikat.

Pemilik kad kredit di kalangan golongan berpendapatan menengah menggunakan kad kredit sebagai sumber hutang mudah atau dipanggil ceti moden.

Pengguna hanya perlu membuat permohonan atau hakikat sebenarnya ditawarkan, dan boleh berbelanja sesuka hati selagi tidak melepasi had ditetapkan.

Sememangnya, Islam tidak menghalang umatnya berhutang. Malah hutang diharuskan untuk membiayai perkara penting ketika kesempitan wang. Islam mengharuskan hutang kerana dapat membantu golongan miskin menyelesaikan masalah yang dihadapi berkaitan wang.

Kad kredit dalam bahasa mudah dipanggil kad hutang. Pemiliknya boleh membuat pembelian dan pembayaran tanpa menggunakan wang atau berhutang.

Ini memberi peluang pemilik kad kredit berbelanja lebih walaupun wang tunai dimiliki sedikit ketika itu.

Kira-kira 60 peratus daripada pemilik kad kredit di negara ini menjelaskan pinjaman mereka mengikut masa ditetapkan. Selebihnya, 40 peratus pemilik kad kredit gagal menjelaskan tunggakan pinjaman yang mencecah RM18.6 bilion (statistik Oktober 2006).

Kegagalan membayar hutang kad kredit menjadi punca banyak eksekutif muda diisytiharkan muflis. Mereka baru bekerja dan mempunyai pendapatan sekadar cukup lepas memenuhi syarat memiliki kad kredit.

Jiwa muda sukar mengawal diri daripada keinginan untuk bergaya. Jika boleh semua hendak kelihatan hebat dan lebih berbanding orang lain. Sedangkan hakikatnya, wang tunai tidak cukup untuk memenuhi kehendak itu.

Justeru, sebagai jalan mudah, mereka menggunakan kad kredit tanpa memikirkan keupayaan membayar. Hidup nampak bergaya dan menarik pada pandangan orang lain. Malangnya, diri sebenarnya diliputi hutang yang jika tidak diuruskan dengan baik akan mencemarkan maruah diri.

Jumlah yang gagal dijelaskan dalam tempoh ditetapkan kepada institusi kewangan pengeluar kad kredit akan dikenakan faedah.

Kadar faedah dikenakan agak tinggi mengikut kadar harian. Sebab itu banyak pemilik kad kredit sukar menjelaskan hutang yang semakin bertambah dari bulan ke bulan.

Sekarang ada kaedah ‘gali lubang timbus lubang’ dalam menyelesaikan masalah hutang kad kredit.

Syarikat kewangan menawarkan kad kredit baru atau tawaran memindahkan jumlah hutang daripada kad kredit syarikat lain. Proses pemindahan itu ditawarkan berserta kadar faedah lebih rendah dan hadiah tertentu.

Tindakan ini bukan menyelesaikan masalah. Untungnya sementara saja. Jika sikap tidak diperbetulkan, masalah akan terus menekan diri. Pemilik kad kredit berdepan dengan suasana hidup yang semakin celaru dan krisis moral yang memerangkap diri.

Sekiranya hutang tidak dapat dijelaskan seperti ditetapkan, pemegang kad kredit akan diseret ke mahkamah. Jika tidak mampu dijelaskan, maka pemegang kad kredit akan diserahkan ke Jabatan Pemegang Harta yang akan menguruskan soal kebankrapan. Sesiapa yang dikenakan status bankrap atau muflis dipandang hina dalam masyarakat dan hilang kelayakan dalam hal tertentu.

Namun tindakan tegas itu tidak memberi pengajaran sewajarnya kepada kebanyakan individu yang masih galak menggunakan kad kredit tanpa memikirkan keupayaan membayar.

Tertekan dengan kegagalan melunaskan hutang kad kredit mendedahkan seseorang melakukan perbuatan menyalahi agama dan undang-undang.

Ini termasuklah menerima rasuah, menipu, pecah amanah dan melakukan urus niaga haram. Setiap hutang perlu diniatkan untuk membayarnya.

Cara memastikan keupayaan membayar hutang ialah mengambil hutang mengikut keperluan saja dan diniatkan untuk membayarnya.

Sabda Rasulullah bermaksud: ‘Barang siapa berhutang daripada orang lain dan berniat membayarnya, maka Allah akan luluskan niatnya. Akan tetapi barang siapa yang mengambil hutang dengan niat akan membinasakannya (dengan tidak membayarnya), maka Allah akan merosakkannya.’ (Hadis riwayat Bukhari).

Sesiapa berhutang dengan niat membayarnya akan dilindungi daripada sifat salah guna hutang. Hutang yang dipohon sekadar keperluan semasa terdesak. Allah melindungi hamba-Nya berniat ikhlas dalam segala tindakan.

Tidak dinafikan penggunaan kad kredit patut digalakkan kepada mereka yang layak.

Pemegang kad kredit perlu menggunakannya dengan bijaksana. Kecenderungan berurus niaga secara hutang tanpa batasan mencetuskan fenomena kegagalan mengurus kewangan dengan bijak.

Kad kredit tidak sepatutnya dijadikan sebagai cara mudah untuk membuat pinjaman. Kebanyakan pemohon kad kredit awal-awal lagi merancang untuk mendapat kemudahan kredit dan pengeluaran wang pendahuluan di tahap maksimum.

Penggunaan kad kredit untuk mendapat wang pendahuluan adalah sebab utama banyak pemegang kad kredit terpaksa menanggung banyak hutang. Kadar faedahnya lebih tinggi berbanding penggunaan melalui pembelian.

Peraturan tidak memaksa pemegang kad kredit membayar semua hutang semasa juga menyebabkan hutang semakin bertambah setiap bulan.

Sepatutnya, hutang dijelaskan sepenuhnya secepat mungkin apabila berkemampuan biarpun dibenarkan membayar sebahagian saja. Ini dapat mengelak wang itu digunakan tujuan lain.

Sikap bertangguh-tangguh melakukan kebaikan atau perkara perlu dilakukan ditegah dalam Islam. Dosa tidak membayar hutang dengan sengaja amat besar. Allah tidak mengampunkan dosa kesalahan berkaitan hutang, selagi hutang itu tidak dijelaskan atau pemberi hutang merelakannya.

Sabda Rasulullah bermaksud: ‘Semua dosa orang yang mati syahid akan diampuni melainkan hutangnya.’ (Hadis riwayat Muslim). Justeru, harta pusaka si mati yang masih berhutang perlu digunakan untuk menjelaskan hutang. Haram bagi waris mendapatkan harta itu selagi hutangnya tidak dijelaskan. Selepas hutang dijelaskan, baki harta terbabit boleh diagihkan kepada waris yang layak mengikut hukum syarak.

Ada waris yang tidak melaksanakan keperluan itu kerana yakin tindakan tidak boleh lagi dilakukan ke atas si mati oleh institusi kewangan. Tindakan ini menyebabkan roh penghutang yang sengaja tidak mahu membayar hutang akan tergantung di antara langit dan bumi selagi hutangnya tidak dijelaskan. Waris yang menerima harta pusaka, sedangkan mengetahui si mati masih mempunyai hutang, sebenarnya menggunakan harta haram.

Sesiapa tumbuh daging dalam badannya daripada sumber yang haram, maka lebih layak baginya dibakar di dalam neraka.

Sesungguhnya sesiapa yang berbelanja tanpa memikirkan kemampuan membayar akan terjebak dengan masalah hutang.

Biarpun pendapatan tinggi, tetapi jika tidak bijak berbelanja tetap akan berdepan dengan masalah muflis.

INTI PATI

Beban hutang kad kredit
  • Islam tidak menghalang umatnya berhutang. Malah hutang diharuskan untuk membiayai perkara penting ketika kesempitan wang.
  • Kad kredit dalam bahasa mudah dipanggil kad hutang. Pemiliknya boleh membuat pembelian dan pembayaran tanpa menggunakan wang atau berhutang.
  • Kegagalan membayar hutang kad kredit menjadi punca banyak eksekutif muda diisytiharkan muflis. Mereka baru bekerja dan mempunyai pendapatan sekadar cukup lepas memenuhi syarat memiliki kad kredit.
  • Syarikat kewangan menawarkan kad kredit baru atau tawaran memindahkan jumlah hutang daripada kad kredit syarikat lain. Proses pemindahan itu sebenarnya perangkap kepada pemilik kad kredit untuk terus berhutang.
  • Pengguna berbelanja tanpa kemampuan membayar akan terjebak dengan pelbagai masalah, akhirnya mendorong perbuatan rasuah, salah guna kuasa dan jenayah
Oleh Lokman Ismail
Sumber: http://www.compserv.sabah.gov.my/

Monday, September 3, 2012

Kelebihan Menangis Yang Perlu Lelaki Tahu


Tuhan menganugerahkan dua biji mata kepada manusia untuk menikmati keindahan ciptaan dan melihat semua kebaikan yang telah diberikan. Di sebalik kenikmatan yang dilihat, terkadang itu manusia tidak dapat lari dari memandang keperitan dan seksaan di dunia hingga mampu mengeluarkan air mata.

Ada beberapa alasan manusia menangis:
  • Menangis kerana kasih sayang dan kelembutan hati.
  • Menangis kerana rasa takut.
  • Menangis kerana cinta.
  • Menangis kerana gembira.
  • Menangis kerana menghadapi penderitaan.
  • Menangis kerana terlalu sedih.
  • Menangis kerana terasa hina dan lemah.
  • Menangis kerana mengikut-ikut orang menangis.
  • Menangis untuk mendapat belas kasihan orang.
  • Menangis orang munafik atau pura-pura menangis.

Berikut adalah 7 manfaat menangis untuk kesihatan kita :

1. Membantu penglihatan

Air mata ternyata membantu penglihatan seseorang, jadi bukan hanya mata itu sendiri. Cairan yang keluar dari mata dapat mencegah dehidrasi pada membran mata yang boleh membuat penglihatan menjadi kabur.

2. Membunuh bakteria

Tak perlu ubat titik mata, cukup air mata yang berfungsi sebagai antibakteria. Di dalam air mata terkandung cairan yang disebut dengan lisozom yang dapat membunuh sekitar 90-95 peratus bakteria bakteria yang tertinggal dari keyboard komputer, pegangan tangga, bersin dan tempat tempat yang mengandungi bakteria, hanya dalam 5 minit.

3. Meningkatkan mood

Seseorang yang menangis boleh menurunkan paras stress kerana dengan menangis, mood seseorang akan terangkat kembali. Air mata yang dihasilkan hasil dari menangis kerana emosi mengandungi 24 peratus protein albumin yang berguna dalam meregulasi-kan sistem metabolisme tubuh jika nak dibandingkan dengan air mata yang dihasilkan daripada iritasi mata.

4. Mengeluarkan racun

Seorang ahli biokimia, William Frey telah melakukan beberapa kajian tentang air mata dan menemukan bahawa air mata yang keluar dari hasil menangis karena emosi ternyata mengandungi racun. Tapi jangan salah anggap, kerana keluarnya air mata yang beracun itu menandakan bahawa ia membawa racun dari dalam tubuh dan mengeluarkannya melalui mata.

5. Mengurangkan stress

Bagaimana menangis boleh mengurangkan stress eh? Air mata ternyata juga mengeluarkan hormon stress yang terdapat dalam tubuh ddikenali sebagai endorphin leucine-enkaphalin dan prolactin. Selain menurunkan level stress, air mata juga membantu melawan penyakit penyakit yang disebabkan oleh stress seperti tekanan darah tinggi.

6. Membangun komuniti

Selain baik untuk kesihatan fizikal, menangis juga boleh membantu seseorang membangunkan sesebuah komuniti. Biasanya seseorang menangis setelah menceritakan masalahnya di depan sahabat atau seseorang yang boleh memberikan sokongan, dan hal ini boleh meningkatkan kemampuan berkomunikasi dan juga bersosialisasi seseorang.

7. Melegakan perasaan

Semua orang rasanya merasa demikian. Meskipun kita rasa bagai didera pelbagai macam masalah dan dugaan, namun setelah menangis biasanya akan muncul perasaan lega. Setelah menangis, sistem badan seperti otak dan jantung akan menjadi lancar. Oleh itu, menangis akan membuat seseorang merasa lebih baik dan lega. Keluarkanlah masalah di fikiran kita dengan menangis. Pasti lepas tu kita akan merasa sangat lega.

Sumber: http://busuk.org/

Tuesday, July 24, 2012

Pengertian Emosi


Perkataan emosi berasal dari bahasa latin, iaitu emovere, yang bererti bergerak menjauh. Bermaksud menyifatkan bahawa kecenderungan bertindak merupakan pekara mutlak dalam emosi.

Tentang Emosi, kadang kita cenderung menganggapnya sebagai reaksi berlebihan atas adanya prilaku kurang berkenan untuk kita terima, kerana banyak juga yang selalu mengaitkan kata emosi hanya dengan perasaan marah atau kecewa.

Menurut Daniel Goleman, emosi adalah suatu perasaan dan fikiran yang khas, keadaan psikologi dan biologi yang merupakan dorongan untuk bereaksi atau bertindak kerana adanya rangsangan baik dari dalam mahupun dari luar individu, dimana pekara tersebut mampu berupa; marah, sedih, bahagia, takut, jengkel, malu, terkejut, cinta, benci, puas.. yang secara keseluruhan merupakan respon atas stimulus yang di terima.

Dengan melihat lebih luas, boleh di katakan bahawa emosi adalah bukan sesuatu yang buruk, kerana sebagaimana di nyatakan oleh Aristoteles dalam The Nichomacea Ethics adalah bukan emosional yang menjadi masalah, tetapi lebih kepada bagaimana kita mampu mengekspresikan dan mengendalikan semua jenis emosi dan menguasai nya dengan kecerdasan, bahkan Nafsu jika di latih dengan baik akan menghasilkan impak baik.
.
Emosi berkaitan dengan perubahan fisiologi dan berbagai fikiran. Jadi, emosi merupakan salah satu aspek penting dalam kehidupan manusia, kerana emosi dapat merupakan motivator perilaku dan juga dapat mengganggu perilaku.

Beberapa tokoh mengemukakan tentang bermacam-macam emosi, antara lain Descrates. Menurut Descrates, emosi terbahagi bentuk iaitu : Desire (hasrat), hate (benci), Sorrow (sedih/duka), Wonder (hairan), Love (cinta) dan Joy (kegembiraan). Sedangkan JB Watson mengemukakan tiga jenis emosi, iaitu : fear (ketakutan), Rage(kemarahan), Love (cinta). Daniel Goleman (2002 : 411) mengemukakan beberapa bentuk emosi yang tidak jauh berbeza dengan kedua tokoh di atas, yaitu :
  1. Amarah : bengis, mengamuk, benci, jengkel, kesal hati
  2. Kesedihan : duka, sedih, muram, suram, melankolis, mengasihi diri, putus asa
  3. Rasa takut : cemas, gugup, khuatir, was-was, perasaan amat takut, waspada, tidak tenang, ngeri
  4. Kenikmatan : bahagia, gembira, riang, puas, senang hati, terhibur, bangga, lapang
  5. Cinta : penerimaan, persahabatan, kepercayaan, kebaikan hati, rasa dekat, bakti, hormat dan kemesraan
  6. Terkejut : terperanjat, terkejut
  7. Jengkel : hina, jijik, muak, mual, tidak suka
  8. Malu : malu hati, kesal
Seperti yang telah dihuraikan di atas, bahawa semua emosi menurut Goleman pada dasarnya adalah dorongan untuk bertindak. Jadi berbagai bentuk emosi itu mendorong individu untuk memberikan respon atau bertingkah laku terhadap stimulus yang ada. Dalam the Nicomachea Ethics pembahasan Aristotles secara filsafat tentang kebajikan, karakter dan hidup yang benar, tentangannya adalah menguasai kehidupan emosi kita dengan kecerdasan. Nafsu, apabila dilatih dengan baik akan memiliki kebijaksanaan; nafsu membimbing pemikiran, nilai, dan membantu kehidupan kita. Tetapi, nafsu  menjadi tidak terkendalikan, dan hal itu seringkali terjadi. Menurut Aristoteles, masalahnya bukanlah mengenai emosional, melainkan mengenai keselarasan antara emosi dan cara mengekspresikan (Goleman, 2002).

Menurut Mayer (Goleman, 2002) orang cenderung menganut gaya-gaya khas dalam menangani dan mengatasi emosi mereka, iaitu : sedar diri, tenggelam dalam permasalahan, dan pasrah. Dengan melihat keadaan itu maka penting bagi setiap individu memiliki kecerdasan emosional agar menjadikan kehidupan lebih bermakna dan tidak menjadikan kehidupan yang dijalani menjadi sia-sia.

Berdasarkan huraian tersebut, dapat disimpulkan bahawa emosi adalah suatu perasaan yang mendorong individu untuk merespon atau bertingkah laku terhadap stimulus, baik yang berasal dari dalam mahupun dari luar dirinya.

Tuesday, May 24, 2011

Belajar melalui kesilapan

BELAJAR melalui kesilapan bukan bermakna anda perlu melakukan kesilapan ketika belajar. Ungkapan tersebut bermaksud setiap kesilapan yang dilakukan mampu memberi pengajaran, menginsafi ketelanjuran, menyedari kelemahan diri dan memberi ruang untuk membuat penambahbaikan.

Memberi pengajaran

Seseorang itu boleh belajar bukan sahaja daripada guru atau sumber lain tetapi daripada setiap kesilapannya. Sebagai contoh jika seorang murid melakukan kesilapan dalam latihan matematik, kesilapan tersebut dengan secara tidak langsung memberi pengajaran atau maklumat tentang jawapan atau kaedah yang sebenarnya yang harus dilakukan. Dengan cara ini dia sudahpun memperolehi pengetahuan baru.

Menginsafi ketelanjuran

Setiap manusia tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan. Walau bagaimanapun ini tidak bermakna ia boleh dijadikan alasan setiap kali kita melakukan kesilapan.
Setiap hukuman yang diterima akibat ketelanjuran yang dilakukan secara sengaja atau tidak sengaja, seperti melanggari peraturan atau garis panduan disiplin sekolah harus diinsafi, dijadikan iktibar serta bertekad untuk meninggalkannya.

Dalam hal ini keinsafan yang kita alami ini merupakan proses belajar yang mampu memberi bimbinga ke arah jalan yang benar.

Menyedari kelemahan

Kekuatan dan kelemahan sentiasa berada di diri kita. Seseorang yang kuat dari segi fizikal mungkin lemah dari segi mental atau kerohaniannya. Begitulah juga sebaliknya.

Oleh itu kesilapan yang dilakukan itu memberi isyarat kepada kita bahawa di samping kekuatan yang kita peroleh terdapat lagi banyak kelemahan yang perlu diatasi.

Dengan cara ini manusia belajar supaya dapat mengelakkan diri daripada sifat angkuh, riak atau sombong terhadap apa yang dimiliki.

Hal ini bukan bermakna kita tidak boleh bangga dengan kekuatan yang ada pada diri kita. Kebanggaan mampu meningkatkan aras harga diri yang sekali gus menjadi faktor penggerak atau motivasi ke arah kejayaan.

Walau bagaimanpun kebanggaan ini seharusnya digandingi dengan kesyukuran. Kesyukuran mampu mengelakkan diri kita menjadi riak atau sombong. Kesyukuran mendekati diri kita kepada Allah dan menghargai setiap pemberianNya kepada kita serta mampu memupuk rasa bertimbang rasa kepada yang tiada. Inilah satu pengajaran yang amat besar pada diri kita.

Membuat penambahbaikan

Hari ini lebih baik daripada hari semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini. Ungkapan ini menunjukkan setiap hari kita perlu melakukan perubahan diri untuk menjadi cemerlang. Setiap kelemahan bukan berakhir dengan kekecewaan tetapi perlu membuat penambahbaikan untuk mencapai kejayaan.

Justeru, murid-murid tidak seharunya takut atau malu jika berlaku kesilapan ketika belajar. Anda harus mengkaji setiap kesilapan yang dilakukan dan seterusnya mengambil tindakan yang bijak untuk mengatasinya.
Ingat! setiap kesilapan memberi ruang dan peluang untuk anda membaikinya dan hasilnya kejayaan yang cemerlang menanti anda.

Oleh: DR. ISMAIL ZAIN
Sumber: http://www.tutor.com.my/

Friday, May 20, 2011

Menjinakkan kemarahan harimau melalui ekornya


“Penyaluran kemarahan tidak sama seperti memendamkannya (memendamkan kemarahan , menelan perasaan marah supaya anda tidak perlu menghadapinya) mengakibatkan rasa simpati pada diri sendiri. Kedua-dua ini merupakan emosi yang melumpuhkan, oleh itu cuba elakkannya sebanyak mungkin”.

Tenaga boleh dibentuk atau dimusnahkan. Ia hanya boleh dipindahkan. Itu adalah peraturan asas dalam bidang fizik. Ia juga benar bagi tenaga emosi sama seperti tenaga-tenaga yang lain. Jika anda mengumpulkan kemarahan tersebut untuk mengutip tenaganya, dan menggunakan sebagai penyemarak bagi mendorong anda mencapai matlamat, ia menjadi satu komponen konstraktif yang dapat membina kepintaran berkesan anda.

Di dalam kemurungan, transmitter neuro di dalam otak seperti norepinephrine dan serotonin, diubah, ianya sukar bagi anda untuk mencari jalan keluar dari apa juga jenis emosi yang anda alami, walaupun anda mengingininya. Sekarang memadai dengan menyatakan bahawa kemurungan, jelas boleh memusnahkan semangat anda. Jika anda berada di dalam kesedihan yang amat, anda tidak peduli tentang menetapkan matlamat dan anda jelas tidak berminat dalam usaha untuk menjayakannya.

Tetapi cengkaman depresi boleh digunakan untuk membuka ruang kepada anda untuk melakukan sesuatu kreatif. Edgar Allan Poe menghasilkan penulisan yang hebat semasa dia dilanda kesedihan. Beethoven turut hampa mengenangkan dirinya yang pekak, walaupun begitu beliau menemui cara untuk bertindakbalas terhadap kesedihannya itu, sesuatu yang telah mendorongnya mengubah nasib. Dengan mengubah rasa sedihnya, dia telah berjaya berjaya menemui tenaga untuk menggubah simfani ke 7 dan ke 9. Beliau menyalurkankan rasa kesedihan dan kemarahan kepada suatu penciptaan-penciptaan yang mengkagumkan.

Oleh: Richard G. Pellegrino, Michael J. Politis
Sumber: Panduan Berguna: Meningkatkan IQ Anda

Tuesday, March 29, 2011

Umat Islam Perlu Berjiwa Besar Bina Tamadun Sempurna


SUASANA mutakhir di Barat sepatutnya membuka hati umat Islam kepada keyakinan mutlak perlunya membina kekuatan dalam semua aspek untuk membangun tamadun menepati tuntutan Ilahi.

Kejahilan dan perpecahan menyebabkan ummah sentiasa dipermain Barat. Teriakan berbentuk retorik agama untuk membangunkan ummah patut menjadi perkara lampau. Islam dan umatnya hanya boleh dibangunkan dengan asas ilmu yang mantap dan pengikut yang faham serta yakin hanya dengan pendekatan Islam.

Pendekatan sekular yang menumpu kepada pembangunan ekonomi untuk membina peradaban manusia sudah menghasilkan kegagalan ketara kepada kebajikan manusia termasuk keunggulan ekonomi negara terbabit.

Kemiskinan yang melarat, pengagihan kekayaan tidak seimbang, keruntuhan institusi keluarga, akhlak, alam sekitar dan pelbagai masalah kemanusiaan patut membuka hati semoga pendekatan alternatif untuk membina peradaban manusia perlu diusaha segera.

Pendekatan membina kemajuan masyarakat dan negara melalui pencapaian pertumbuhan ekonomi jelas mempamerkan, walaupun pertumbuhan ekonomi tercapai masalah lain seperti kemiskinan, pengangguran dan hutang turut mencatat angka membimbangkan.

Contohnya, hutang ekonomi negara maju kini semakin meruncing. Beban hutang sektor awam Amerika Syarikat pada 2010 melebihi AS$14 trilion, meningkat 72 peratus daripada lima tahun lalu. Jumlah ini tidak termasuk hutang sektor swasta yang lebih besar lagi.

Jepun turut mencatat hutang dua kali ganda ekonominya iaitu AS$5 trillion. Mengikut John Lipsky dari Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), nisbah purata hutang negara maju akan melebihi 100 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar tahun ini sejak peperangan dunia lalu.

Keadaan ini akan menempah krisis fiskal yang ketara pada masa depan. Jika dasar fiskal sukar untuk berperanan dengan baik dalam menyusun ekonomi negara, cuba bayangkan apa akan jadi kepada ekonomi negara itu. Persoalan perlu umat Islam ambil iktibar ialah pendekatan Barat yang kita sanjungi tidak boleh lagi dijadikan panduan. Di samping itu, pendekatan dikatakan menurut kehendak syariah juga perlu kepada pengkajian semula.

Pelaksanaannya yang bersifat ‘literal’ tidak menghasilkan natijah berkesan ke arah pencapaian matlamat syariah. Matlamat pelaksanaan mengikut kehendak syariah ialah untuk membina peradaban manusia bukan hanya membicara hal serpihan. Justeru, pendekatan yang bagaimana mampu membawa kebajikan dan kesejahteraan menyeluruh kepada kehidupan manusia keseluruhannya.

Untuk membina peradaban ummah yang kuat bersesuaian suasana semasa, panduan agama yang tepat, sempurna dan menyeluruh berpandukan semangat al-Quran dan al-Sunnah wajib diketengahkan secara terperinci serta realistik keadaan dan tempat.

Ini memerlukan ilmuwan Muslim menguasai ilmu al-Quran dan hadis serta memahami perjalanan sistem hidup semasa untuk membimbing kemajuan ummah.

Keadilan sosial bernegara mengikut Islam dapat difahami sebagai suasana apabila sektor awam dalam negara pada asasnya dapat menyedia keperluan hidup asasi rakyat dengan pembinaan keimanan individu Muslim melalui sistem pendidikan.

Menaikkan taraf daya kemahiran hidup untuk semua lapisan masyarakat, memberi kebebasan dan jaminan perundangan, memberi jaminan untuk menentu atau berusaha bersama dalam kegiatan ekonomi dan berusaha membina tamadun utuh untuk generasi masa depan.

Dengan kata lain pendekatan kepada amalan perniagaan adalah untuk memberi kesejahteraan dan kebajikan kepada seluruh masyarakat. Pendekatan ini memerlukan amalan ikhlas dan kecekapan dalam urusan perniagaan. Abad ke-21 ini adalah era pertembungan tamadun. Justeru, untuk umat Islam menonjol dan menjadi ikutan, perlu berjiwa besar dan jujur membentuk kemajuan ke arah membina sebuah tamadun sempurna dan mulia.

Oleh Nik Mustapha Nik Hassan
Penulis ialah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Sumber: http://www.bharian.com.my/