Sunday, June 6, 2010

Konsep Islam, Iman dan Ihsan


Islam
  1. Mentauhidkan Allah, patuh, tunduk dan jujur hati kepadaNya serta beriman kepada ajaran-ajaran Allah s.w.t. yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.
  2. Mengakui tentang keEsaan Allah s.w.t.
  3. Melaksanakan segala suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya.
  4. Mengerjakan dengan sempurna semua rukun-rukun Islam yang difardukan serta ajaran-ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Iman
  1. Membenarkan dengan hati dan berikrar dengan lisan serta beramal dengan ajaran-ajaran Allah s.w.t. yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.

  2. Seorang yang beriman mesti melibatkan 3 unsur:
    • Mengakui dalam hati bahawa Islam adalah agama benar.
    • Menyatakan dengan lidahnya bahawa Islam adalah agama benar.
    • Mengamalkan ajaran-ajaran yang terkandung di dalam syariat Islam.
  3. Mesti memahami serta menghayati rukun-rukun Iman dengan penuh yakin meliputi kepercayaan tentang keEsaan Allah, kewujudan para malaikat, kitab-kitab Allah, para rasul, hari akhirat seta qada dan qadar.
Ihsan
  1. Melakukan ibadat dengan khusyuk, iklas dan yakin bahawa Allah sentiasa mengawasi apa yang kita lakukan.
  2. Melakukan ibadat dengan iklas semata-mata kerana Allah.
  3. Melakukan ibadat dengan teratur dan sempurna.
  4. Merasa nikmat dan keseronokan semasa melakukan ibadat.
  5. Sentiasa mengingati Allah dan memujiNya dan menyedari Allah sentiasa mengawasi.

  6. Antara sifat-sifat orang muslimin:
    • Mendirikan solat pada waktu malam dan akhir malam
    • Memberikan sebahagian harta kepada orang miskin bagi memenuhi keperluan mereka.
    • Jihad di jalan Allah dengan jiwa dan harta.
    • Mengikuti semua ajaran Rasulullah s.a.w.
    • Sentiasa memberi kemaafan.
    • Sabar. 
Dalil Islam, Iman dan Ihsan

    Dari Umar Ibn Khattab r.a. katanya: Pada suatu hari, di dalam masa kami sedang duduk di sisi Rasulullah s.a.w., tiba-tiba muncul kepada kami seorang Lelaki putih melepak pakaiannya, hitam rambut legam rambutnya, tidak kelihatan padanya tanda-tanda perjalanan (sebagai seorang pengembara), dan tidak ada seorang pun dari kami mengenalinya, (demikian halnya) sehinggalah ia duduk mengadap Nabi Muhammad s.a.w., lalu ia menemukan kedua lututnya kepada kedua lutut Baginda sambil meletakkan kedua tapak tangannya atas kedua pehanya serta berkata: "Wahai Muhammad! Berilah tahu kepadaku, tentang (dasar-dasar) Islam?" Maka Rasulullah s.a.w. menerangkan (dasar-dasar). "Islam itu ialah engkau melafazkan kalimah syahadah (meyakini serta menerangkan kebenaran) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah, dapat engkau mendirikan sembahyang dan memberi zakat serta berpuasa pada bulan Ramadhan, dan juga engkau mengerjakan haji ke Baitullah jika engkau mampu sampai kepadanya." (Mendengar penerangan Baginda yang demikian) ia berkata: "benarlah apa yang engkau katakan itu." Kata Umar: Maka kami merasa hairan terhadap orang itu – ia bertanya kepada Baginda dan ia juga mengesahkan benarnya (sebagai seorang yang mengetahui perkara yang ditanyai itu), kemudian ia bertanya lagi: "Berilah tahu kepadaku tantang iman". Nabi s.a.w. menerangkan: "(Iman itu ialah) engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, Rasul-rasulNya serta hari akhirat, dan engkau beriman kepada takdir (yang ditentukan oleh Allah) baik dan buruknya". Mendengarkan yang demikian) ia berkata: "benarlah apa yang tuan katakan itu". Kemudian ia bertanya lagi: "Berilah tahu kepadaku tentang Ihsan?" Nabi Muhammad s.a.w. menerangkan: "(Ihsan itu ialah) engkau mengerjakan ibadat kepada Allah Taala seolah-olah engkau melihatNya (memerhatikan keadaanmu) sekiranya engkau tidak dapat melakukan yang demikian maka ingatlah bahawa Allah s.w.t. tetap melihat keadaanmu". (Riwayat Muslim)

Sifat-sifat Terkutuk Yahudi


"Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Jika ada sepuluh orang Yahudi beriman dengan ku, tidak akan tinggal di atas bumi seorang Yahudi pun melainkan ia memeluk Islam." – al-Bukhari dan Ibnu ad-Dhirris.

Orang-orang Yahudi adalah terkenal dengan sifat sombong, angkuh dan keras hati. Mereka tidak akan 'pernah' redha dengan umat Islam sebagaimana firman Allah SWT yang maksudnya : "Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka (yang telah terpesong itu)." (al-Baqarah: 120)

Ahli agama mereka selalu menyembunyikan kebenaran seperti yang disebut dalam al-Quran maksudnya: "Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami berikan al-Kitab mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian daripada mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedangkan mereka mengetahui (salahnya perbuatan tersebut)." (al Baqarah: 146) Dengan perkataan lain, mereka menyembunyikan sifat-sifat nabi SAW yang ada dalam kitab mereka daripada pengetahuan manusia padahal mereka mengetahui akan hakikatnya. Begitu juga mereka telah menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.

Di kalangan orang Yahudi ini ada yang pernah menyihir Nabi SAW bernama Lubaid bin al- A'som dari Bani Zuraiq." Seorang wanita Yahudi juga pernah mengkhianati Nabi SAW dengan menghidangkan daging kambing beracun. Hingga membunuh sekalipun bukanlah perkara asing dalam sejarah umat Yahudi.

Sejak dahulu lagi bangsa Yahudi tidak pernah mengenal mangsa sama ada bayi, kanak-kanak, remaja, lelaki, wanita walhal Nabi dan Rasul. Mereka akan membunuh siapa sahaja tanpa perasaan belas kasihan dan simpati. Contohnya Nabi Zakaria dan Nabi Yahya telah dibunuh oleh mereka dan mereka juga menyangka bahawa mereka telah berjaya membunuh Nabi Isa. Tetapi sebenarnya tidak. Betapa sungguh zalim dan keji sifat Bani Israel ini.

Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: "Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israel telah dilaknat (di dalam kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka 'menderhaka' dan 'selalu menceroboh." (al-Maidah :78)

Peringatan dalam ayat Al-Quran kepada umat Islam tentang orang-orang munafik, yahudi dan nasrani

Al-Maaidah 52

Dalam pada itu, engkau lihat orang-orang (munafik) yang ada penyakit dalam hatinya segera berusaha mendampingkan diri kepada mereka (Yahudi dan Nasrani), sambil berkata: "Kami takut bahawa kami akan ditimpa bencana (yang memaksa kami meminta pertolongan mereka)". Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada RasulNya dan umat Islam) atau mendatangkan sesuatu hukuman dari sisiNya (terhadap golongan yang munafik itu); maka sebab itu mereka akan menyesal mengenai apa yang telah mereka sembunyikan dalam hatinya.

Al-Maaidah 51

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.

An-Nisaa'53

Patutkah ada bagi mereka (kaum Yahudi itu) sesuatu bahagian dari kekuasaan memerintah? (Tidak, bahkan kalau ada) maka sudah tentu mereka tidak akan memberikan sedikitpun kebaikan kepada manusia.

A-li 'Imraan 100

Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman

Oleh: osmantikos
Sumber: http://www.tranungkite.net/

Saturday, June 5, 2010

KEMUNCULAN PUSAT-PUSAT TAMADUN MELAYU SEBELUM KEDATANGAN ISLAM


Pengenalan

Kemunculan pusat-pusat Tamadun Melayu pada masa ini kebanyakannya berasaskan dua ciri yang utama iaitu agraria dan maritime. Antara kerajaan-kerajaan Melayu tersebut ialah Sriwijaya, Funan, Angkor, Lembah Bujang dan Majapahit. Pembinaan negara-negara kota tersebut merupakan asas pembentukan Tamadun Melayu yang kemudiannya. 

Sriwijaya (650 - 1200 T.M)

Sriwijaya merupakan pusat kebudayaan Melayu yang tertua. Pusat pemerintahannya terletak di tepi Sungai Musi (Kota Palembang sekarang). Empayarnya merangkumi Sumatera, Jawa, Semenanjung Tanah Melayu, Sri Lanka dan Tanah Segenting Kra. Sumbangannya yang terpenting dapat dilihat melalui 2 aspek, iaitu intelektualan Melayu dan perkembangan Bahasa Melayu

Dari dimensi (i), Sriwijaya telah memainkan peranan sebagai pusat kegiatan ilmu pengetahuan yang terpenting di Kepulauan Melayu. Menurut catatan seorang pengembara dari China, I-Tsing, Sriwijaya pada abad ke-7 giat menjalankan kerja-kerja akademik seperti menterjemahkan bahan-bahan berbahasa Sanskrit ke dalam Bahasa Cina dan juga bahasa-bahasa tempatan yang lain.

Selain daripada menjalankan kerja-kerja penterjemahan, Sriwijaya juga merupakan pusat pembelajaran tata bahasa Sanskrit yang terpenting di Alam Melayu ketika itu. Pada tahun 711, Sriwijaya muncul sebagai pusat pembelajaran agama Buddha. Terdapat lebih seribu pendita Buddha di ibu negerinya. Karya-karya agama dan pelbagai aliran kepercayaan Buddha, falsafah, logika, tatabahasa, kesusasteraan Sanskrit Klasik dan sebagainya berkembang dengan giatnya. Perkembangan Sriwijaya melalui dimensi tersebut mencerminkan tahap pemikiran, keintelektualan dan ketamadunan yang tinggi bagi Tamadun Melayu.

Melalui dimensi (ii) pula, zaman Sriwijaya merupakan penyingkapan kegemilangan Bahasa Melayu memandangkan Sriwijaya telah menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran dan perantaraan. Memandangkan Sriwijaya menjadi pusat kegiatan ekonomi, sudah pasti ia menjadi tumpuan bagi segala bangsa menjalankan aktiviti perdagangan. Oleh itu untuk tujuan berkomunikasi, pedagang-pedagang asing terpaksa menggunakan bahasa tempatan iaitu Bahasa Melayu Kuno. Dengan secara tidak langsung, Bahasa Melayu telah berkembang dengan pesatnya.

Penemuan 4 batu bersurat pula membuktikan Sriwijaya telah menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran iaitu;

  1. Batu Bersurat Kedukan Bukit (683 M)
  2. Batu Bersurat Talang Tuwo (684 M)
  3. Batu Bersurat Kota Kapor (686 M)
  4. Batu Bersurat Karang Brahi (690 M)
Kesimpulannya, Kerajaan Sriwijaya telah memberikan sumbangan yang besar kepada Tamadun Melayu khususnya kepada perkembangan intelektual bangsa Melayu serta perkembangan Bahasa Melayu.

Kemunculan pusat-pusat tamadun Melayu selepas kedatangan Islam

Terdapat sarjana yang melihat teori kedatangan Islam ke Alam Melayu melalui 3 peringkat utama iaitu;

  1. melalui kedatangan pedagang melalui India
  2. melalui kedatangan pedagang melalui China
  3. Islam datang secara langsung dari Semenanjung Tanah Arab 
Namun ketetapan telah dibuat iaitu Islam telah datang ke Alam Melayu sejak zaman Khalifah Ar-rasyidin lagi tetapi melalui perantara. Perantara yang dimaksudkan ialah pedagang-pedagang dari China dan India yang datang berdagang ke Alam Melayu.

Penyebaran Islam di alam Melayu

Apabila membincangkan penyebaran Islam di Alam Melayu, ianya tidak dapat lari daripada membincangkan 2 faktor
penting yang membawa kepada perkembangan Islam di Alam Melayu iaitu;

1. Peranan golongan-golongan penyebar Islam yang terdiri daripada;
  • golongan bangsawan
  • peranan kerajaan-kerajaan Islam
  • golongan mubaligh
  • ulama dan ahli sufi

  • pedagang asing
2.Ciri-ciri istimewa yang ada dalam agama Islam itu sendiri seperti;
  • Islam tidak memaksa masyarakat Alam Melayu supaya menerima ajarannya, sebaliknya menyerahkan kepada setiap individu sama ada mahu menerimanya atau tidak
  • agama baru ini boleh mengasimilasikan ajarannya dengan budaya masyarakat Melayu yang telah sebati dalam diri mereka
  • Islam merupakan agama yang sederhana dan sifatnya ini telah mendapat tempat di kalangan masyarakat Melayu.
   Pusat-pusat tamadun Islam di Asia Tenggara

  1. Kerajaan Perlak dan Samudera Pasai
  2. Melaka dan Aceh
  3. Brunei, Sulu, Mindanao dan Pattani
  4. Kerajaan Islam lain: Demak, Pajam dan Mataram di Jawa, Banjar di Borneo dan Campa di Indo China 
Pasai (1250-1524 M)

Kerajaan Pasai lebih dikenali sebagai Kerajaan Melayu pertama yang memeluk agama Islam berikutan dengan peristiwa pemelukan Islam oleh pemerintahnya Merah Silu (Sultan Malik al-Salih). Pasai merupakan zaman kegemilangan Kesusasteraan Melayu memandangkan sistem tulisan BM (tulisan Jawi) telah bertindak sebagai medium penyebaran agama dan kesusasteraan Melayu-Islam ketika itu. Ketinggian daya penciptaan yang mencerminkan ketinggian pemikiran bangsa Melayu dapat dikesan melalui penghasilan pelbagai hasil kesusasteraan agama seperti;

  1. Hikayat Nur Muhammad
  2. Hikayat Bulan Berbelah
  3. Hikayat Nabi Bercukur
  4. Hikayat Nabi Wafat dan sebagainya. 
Hikayat Raja Pasai (HRP) pula merupakan hasil kesusasteraan sejarah yang menjadi sumber pemikiran Tamadun Melayu melalui bebarapa dimensi (Sistem Kepercayaan). Agama Islam telah menjadi teras kepercayaan masyarakat Melayu. (Politik dan Pentadbiran). Sistem Feudal (bangsawan) merupakan bentuk sistem pentadbiran yang diamalkan oleh kebanyakan kerajaan Melayu tradisi. (Sosial dan budaya)

Masyarakat Melayu mempunyai hierarki sosialnya yang mana Raja mempunyai kedudukan yang tinggi dalam kerajaan dan diikuti oleh golongan pegawai, pemimpin-pemimpin tempatan dan seterusnya rakyat biasa. Dari aspek kebudayaan ditonjolkan adat istiadat Melayu seperti adat menyambut kelahiran putera raja, adat pertabalan raja dan sebagainya. (Sumber Ekonomi). Hikayat Raja Pasai menunjukkan kegiatan ekonomi tradisi masyarakat Melayu tradisi seperti memungut hasil hutan, memburu dan menternak binatang serta bertani (padi huma). Masyarakat Melayu juga pada ketika itu telah ada aktiviti perdagangan dan perlombongan emas.

Kesimpulannya, Pasai sebagai pusat intelektual Melayu-Islam terus berkembang walaupun Melaka kemudiannya mengambil alih sebagai pusat Tamadun Melayu. Pasai terus menjadi sumber rujukan kepada Melaka khususnya yang berkaitan dengan hal-hal agama Islam. Umpamanya Kitab Durr al-Mandhum telah dihantar ke Pasai untuk diterjemahkan ke dalam BM atas perintah Sultan Mansur Syah.

Melaka (1400-1511 M)

Melaka muncul sebagai sebuah kuasa atau empayar yang terpenting di Alam Melayu khususnya sebagai;

  1. pusat penyebaran agama Islam
  2. pusat perdagangan
  3. pusat perkembangan Bahasa Melayu
Melalui dimensi (i), Melaka muncul sebagai pusat agama Islam terpenting di Aia Tenggara menjelang pertengahan abad ke-15. Pemerintah pertama yang memeluk Islam ialah Megat Iskandar Syah manakala Sultan Muzaffar Syah pula telah menjadikan Islam sebagai agama rasmi Kerajaan Melaka.

Antara cara-cara penyebaran agama Islam di Melaka ialah melalui perkahwinan, penaklukan wilayah, perdagangan dan kegiatan mubaligh/pendakwah.

Melalui dimensi (ii) pula, Melaka muncul sebagai pelabuhan entreport antarabangsa yang sibuk dan maju disebabkan oleh keudukannya yang strategik iaitu terletak di tengah-tengah jalan perdagangan Timur-Barat. Empat orang Syahbandar telah ditugaskan untuk menyediakan kemudahan bagi aktiviti perdagangan dan juga memungut cukai. Dengan erti kata lainnya, Melaka ketika itu telah mempunyai sistem ekonomi yang sistematik dan teratur.

Manakala melalui dimensi (iii), ianya mempunyai kaitan yang rapat dengan peranan Melaka menerusi dimensi (i) dan (ii) sebagaimana yang telah dijelaskan di atas. Bahasa Melayu telah menjadi bahasa pendakwah yang mana ia telah digunakan bagi menyebarkan agama Islam. Bahasa Melayu juga telah menjadi bahasa 'lingua franca' melalui kegiatan perdagangan. Bahasa Melayu telah dituturkan oleh pedagang-pedagang asing untuk berkomunikasi sama ada dengan pihak pemerintah mahupun sesama mereka.

Kesimpulannya, Bahasa Melayu telah mencapai martabat yang tinggi pada zaman Melaka ekoran daripada peranan Melaka sebagai pusat penyebaran agama Islam dan pusat kegiatan perdagangan. Melaka muncul sebagai pusat perkembangan Bahasa Melayu yang terulung dan ini jelas mencerminkan ketinggian ketamadunan masyarakat Melayu pada ketika itu.

Kesimpulan

Kemunculan pusat-pusat Tamadun Melayu tradisi telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada pembinaan kerajaan-kerajaan yang seterusnya. Malah dengan kemunculan pusat-pusat Tamadun Melayu tradisi telah berjaya menaikkan martabat bangsa Melayu sama ada di peringkat rantau Kepulauan Melayu atau antarabangsa. Namun apa yang dapat diperhatikan ialah pusat-pusat Tamadun Melayu tradisi berjaya mencapai tahap kegemilangan adalah hasil daripada peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran serta perantaraan dan ini secara tidak langsung telah memperkukuhkan jati diri bangsa Melayu serta mencerminkan identiti Tamadun Melayu yang sebenarnya. 

Friday, June 4, 2010

Ibrahim dibakar hidup-hidup


RAJA Namrud mati akal ketika berhujah dengan Nabi Ibrahim berikutan semua pertanyaan yang dikemukakannya kepada Ibrahim dijawab mengikut logik akal.

Bagaimanapun, Namrud yang mengheret Ibrahim ke muka pengadilan atas tuduhan menghancurkan berhala yang disembah kaumnya tetap mahu menghukum Ibrahim. Justeru, Namrud memerintahkan tenteranya supaya menangkap Ibrahim untuk dibakar hidup-hidup.

Rakyat dikerah mengumpulkan kayu untuk tujuan pembakaran itu. Ibrahim dicampak ketika api marak di hadapan orang ramai yang menyaksikannya dengan penuh gelisah.


Walaupun berada dalam api yang marak, Ibrahim tidak terbakar, malah dirasakannya bertambah sejuk. Keistimewaan luar biasa itu adalah mukjizat Allah kepadanya.

Sebagaimana firman Allah, bermaksud: "Wahai api, hendaklah kamu dingin dan selamatkan Ibrahim."

Melihat Nabi Ibrahim masih terselamat daripada api yang menjulang tinggi, Raja Namrud semakin benci dan marah sehingga menganggap Ibrahim musuh besar dan dihalau dari Babylon (kini di Iraq).


Tanpa berlengah Ibrahim keluar dari negeri kelahirannya itu dan pergi ke Palestin. Beliau bertindak demikian berikutan sudah lama tinggal di Babylon, sedangkan bilangan orang beriman terlalu sedikit.

Di Palestin, beliau tinggal tidak lama kerana selepas itu beliau yang ditemani isterinya Sarah, berpindah ke Mesir.

Ketika baru tiba di Mesir, Ibrahim menghadapi masalah kerana raja berkenaan mahu mengambil Sarah sebagai isterinya kerana terpesona dengan kecantikannya.

Apabila raja berkenaan mahu menyentuh Sarah, kaki dan tangannya dilumpuhkan Allah. Kemudian raja berkenaan bertaubat, tetapi diulanginya lagi perbuatan itu kali kedua dan ketiga, hingga dibutakan mata dan dilumpuhkan seluruh badan.


Akhirnya, raja itu insaf. Ibrahim dan Sarah kemudian hidup senang dengan nikmat berganda hingga menimbulkan perasaan dengki kalangan penduduk. Ini menyebabkan Ibrahim dan Sarah kembali ke Palestin semula.

Sementara itu, kerajaan Raja Namrud di Babylon menerima balasan dengan seksaan Allah kerana tidak beriman. Semua mereka yang ingkar, termasuk Raja Namrud mati bergelimpangan selepas diserang nyamuk.

Berbalik kepada Ibrahim, ketika di Palestin, beliau berkahwin seorang lagi, iaitu dengan Hajar. Daripada hasil perkongsian hidup dengan Hajar, mereka dikurniakan Ismail. Daripada perkahwinan Ibrahim dengan Sarah, lahir Ishak.

Selepas itu, Ibrahim membawa Ismail dan Hajar ke Makkah. Mereka ditinggalkan di satu kawasan lembah yang tidak berpenghuni, tetapi menjadi laluan pedagang dan perkhemahan kafilah dari Yaman dan Syria.

Ibrahim sedih melihat keadaan itu. Justeru, sebelum meninggalkan dua beranak itu, Ibrahim berkata: "Wahai Hajar, semua ini dilakukan mengikut perintah Yang Maha Berkuasa, perintah-Nya tidak dapat dilawan, bergantunglah pada rahmat Allah dan yakin Dia tidak akan membiarkan kamu."

Selepas itu, Ibrahim berdoa. Mengikut huraian al-Quran, maksudnya: "Wahai Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanaman, dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati.

"Wahai Tuhan kami dengan yang demikian itu supaya mereka (Hajar dan Ismail) mendirikan solat. Jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berikanlah rezeki mereka daripada buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur."

Dengan perintah Allah, Ibrahim segera kembali ke Syam (Palestin) untuk hidup bersama Sarah. Tidak lama kemudian makanan dan minuman dua beranak itu (Hajar dan Ismail) habis, malah air susu Hajar kering.

Keadaan di kawasan yang gersang itu cukup menyedihkan. Mereka kehausan sehingga air mata berlinangan. Hajar bangun dan berlari ke Bukit Safa untuk mencari air.

Dari sana dia nampak bayangan air di Bukit Marwah, lalu berlari lagi ke sana. Pandangan itu mengecewakannya, tetapi melihat keadaan Ismail yang kehausan dia terus berlari antara Safa dan Marwah, tujuh kali.

Usaha itu tidak berhasil sehingga dua beranak itu tidak terdaya lagi untuk meratap. Pada ketika itu juga doa Nabi Ibrahim dimakbulkan Allah. Air jernih keluar dari bawah tapak kaki Ismail dan melihat perkara itu Hajar begitu gembira.

Mata air itu bertakung dan hingga sekarang dinamakan air zam-zam, manakala perbuatan Hajar berlari di antara Safa dan Marwah menjadi rukun haji, dinamakan Sa'i.

Beberapa lama selepas peristiwa itu, Ibrahim mengunjungi Hajar dan Ismail di kawasan berkenaan. Beliau terperanjat setibanya di sana apabila mendapati kawasan yang dulunya gersang menjadi subur dan ditakungi air.

Mengikut al-Quran, menjelang hari terakhir riwayat Nabi Ibrahim, Makkah menjadi sebuah kota yang makmur. Ini disebabkan beliau berdoa kepada Allah: "Wahai Tuhanku, jadikanlah negeri ini aman dan jauhkan aku serta anak cucuku daripada menyembah berhala."



Sumber: http://klikkhas.bharian.com.my/

Kajian ilmiah moden akui kebenaran Islam


AKHIR-akhir ini, sebuah jurnal kedoktoran ilmiah Antarabangsa mengenai jantung (International Journal of Cardiology) memaparkan kajian berjudul The heart and cardiovascular system in the Quran and Hadeeth (jantung dan sistem jantung dalam al-Quran dan hadis.

Ini termasuk kajian terbaharu dan lengkap. Kajian itu ditulis oleh Marios Loukas, Yousuf Saad Shane Tubbs dan Mohamadali Shoja. Penulis pertama, Marios Loukas ialah seorang profesor di St. George University dengan bidang jantung, teknik dan anatomi pembedahan, arteriogenesis hingga pendidikan perubatan.

Mungkin penting untuk diketahui di sini, bahawa kata heart dalam dunia kedoktoran bererti jantung, bukan hati. Adapun 'hati' dalam kedoktoran adalah liver. Kerana itu qalb dalam bahasa Arab, diterjemahkan oleh penulis kajian tersebut menjadi heart yang dalam bahasa Melayu bererti jantung.

Dalam kata pengantarnya, penulis menjelaskan kemajuan ilmu kedoktoran sekarang nampaknya melupakan sumbangan teks-teks agama, salah satunya adalah al-Quran dan hadis.

Sebaliknya beliau menyebut gambaran yang tepat tentang struktur anatomi, prosedur bedah, karakteristik fisiologi dan pengubatan perubatan, Found within the Quran and Hadeeth are accurate descriptions of anatomical structures, surgical procedures, physiological characteristics, and medical remedies.

Kajian itu ditulis sebagai reviu atau rangkuman untuk menyajikan secara tepat sumbangan al-Quran dan hadis dengan fokus khusus pada sistem jantung.

Setelah menyebutkan sejarah singkat al-Quran dan hadis, Loukas menjelaskan perbezaan kontras dalam Islam dan Kristian mengenai hubungan antara agama dan sains.

Dalam sejarah Kristian di abad pertengahan dan masa Renaissance, pengaruh gereja melumpuhkan perkembangan sains, bahkan jika pengamatan sains tersebut sebenarnya didukung oleh perhitungan dan pemikiran rasional.

Sementara sains di era kejayaan Islam berkembang luas disebabkan ajaran Islam mendorong dan mendukung kemajuan sains. Selain itu, dalam Islam pencarian ilmu pengetahuan merupakan bahagian dari ibadat kepada Tuhan.

Kajian itu menjelaskan tentang pandangan umum mengenai pengubatan dalam al-Quran dan hadis. Di antaranya, Allah SWT yang menciptakan penyakit dan setiap penyakit itu ada ubat dan metod penyembuhannya. Suatu penyakit yang sembuh kerana izin Allah.

Ada dua macam perlakuan untuk proses penyembuhan suatu penyakit, iaitu secara spiritual dan fizikal. al-Quran menyebut penyakit bukan hanya penyakit fizikal, namun juga penyakit yang tersembunyi seperti keraguan, kotoran keimanan, kemunafikan, tidak beriman serta dusta.

Selain penyakit batin tersebut, al-Quran dan hadis juga mendiskusikan beberapa penyakit fizikal seperti sakit perut, demam, penyakit kusta, dan penyakit mental. Di antara ubat yang mujarab adalah madu kerana mengandungi gula, vitamin dan anti mikrob. Seterusnya al-Quran berbicara tentang makanan yang haram seperti bangkai, darah, daging babi serta yang disembelih tidak atas nama Allah.

Mengenai sistem jantung, darah dan pengedarannya, penulis menyebut tentang suatu ayat al-Quran yang menyatakan bahawa: Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. (Qaaf: 16)

Ini menunjukkan kaitan antara Allah dengan hamba-Nya, sekali gus mengisyaratkan pentingnya pembuluh darah di leher dan hubungannya dengan jantung manusia.

Panjang lebar, penulis kajian itu mengupas mengenai jantung, penyakit yang berkaitan dengan jantung, serta sumbangan al-Quran dan hadis bagi dunia perubatan.

Al-Quran juga menyebut ada juga kelompok manusia berdasarkan keadaan heart iaitu orang yang beriman yang memiliki hati yang hidup, orang kafir yang memiliki hati yang mati, dan orang munafik yang ada penyakit dalam hati.Justeru itu Marios Loukas menyatakan bahawa heart memiliki dua bentuk, iaitu spritual heart dan physical heart.

Ia juga menyebut ulama membahagi dua jenis penyakit dalam spiritual heart, iaitu syubhat dan nafsu syahwat.

Menurutnya, secara tidak langsung gaya hidup manusia yang dikehendaki Allah, mengurangkan risiko kemungkinan penyakit jantung seperti melakukan aktiviti spiritual, makan secukupnya, bekerja secara fizikal, tidak marah dan iri hati, menjauhkan keserakahan serta menjauhkan diri daripada makanan dan minuman yang dilarang. Termasuk pula bahasan gerakan-gerakan solat (berdiri, sujud, duduk) yang berhubungan dengan kesihatan.

Sehingga dibahas pula larangan Islam untuk menggunakan alkohol bagi khamar (arak) yang boleh ditinjau daripada segi kesihatan.

Di bahagian kesimpulan, penulis menyatakan al-Quran dan ucapan Nabi SAW adalah teks agama, spiritual dan sekali gus saintifik, serta memberikan pengaruh bagi ilmu perubatan dan anatomi.

Penulis juga menyatakan, jantung sesungguhnya berisi unsur hati, kecerdasan dan emosi, sebagaimana juga unsur fizikal tubuh yang dapat mengalami sakit, seperti pembekuan darah dan lain-lain.

Beliau juga mengatakan saintis Eropah di abad pertengahan gagal mengambil manfaat daripada Islam, disebabkan beberapa kemungkinan di antaranya proses penterjemahan yang menyeleweng.

Oleh IBRAHIM ABDULLAH
Sumber: http://www.utusan.com.my/

Siapakah Luqman Al-Hakim


"Dan sesungguhnya kami(Allah) telah mengurniakan hikmah(kebijaksanaan) kepada Luqman: Hendaklah engkau bersyukur kepada Allah! Siapa yang, sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri, dan siapa kufur sesungguhnya Allah itu kaya lagi terpuji." Surah Luqman; ayat 12

Luqman al-Hakim(Luqman yang bijaksana) adalah anak kepada Faqhur bin Nakhur bin Tarikh(Azar), oleh itu Luqman adalah anak saudara kepada Nabi Ibrahim a.s. atau dikatakan juga beliau anak saudara kepada Nabi Ayub a.s.

Luqman di katakan hidup selama seribu tahun sehingga dapat menemui zaman kebangkitan Nabi Daud a.s. bahkan pernah menolong Nabi Daud a.s. memberikan hikmah atau kebijaksanaan. Dia pernah menjadi kadi yakni hakim untuk mengadili perbicaraan kaum Bani Israel.

Para ulama' sepakat mengatakan Luqman itu seorang ahli hikmah (bijaksana) bukan seorang nabi kecuali Ikrimah dan Assyi'bi sahaja mengatakannya nabi kerana lafaz hikmah dalam ayat ini dimaknakan "kenabian". Dan dikatakan apabila Luqman disuruh memilih hikmah dengan Nubuwwah(Kenabian) dipilihnya hikmah.

Adalah diceritakan , bahawa Luqman telah tidur di tengahari lalu kedengaran suara memanggilnya: " Hai Luqman! Mahukah kalau Allah jadikan engkau khalifah di bumi yang memerintah manusia dengan hukum yang benar?" Jawabnya" Kalau Tuhanku menyuruh pilih, akan aku pilih Afiat(selamat) dan aku tidak mahu bala (ujian). Tetapi jika ditugaskan juga aku akan taat kerana aku tahu bahawa Allah kalau menetapkan sesuatu kepadaku Dia pasti menolong dan memeliharaku.

Kemudian para malaikat pun bertanya" Hai Luqman! Adakah engkau suka diberi hikmah?" Luqman menjawab: sesungguhnya seorang hakim kedudukannya berat, dia akan didatangi oleh orang-orang yang teraniaya dari segenap tempat. Kalau hakim adil akan selamat, jika tersalah jalan ke neraka. Siapa yang keadaannya hidup di dunia, itu lebih baik dari dia menjadi mulia. Dan siapa yang memilih dunia lebih dari akhirat, akan terfitnah oleh dunia dan tidak mendapat akhirat. Malaikat takjub mendengar kata-kata Luqman. Apabila Luqman tertidur, dia dikurniakan hikmah, lalu terjaga dan berbicara dengan kata-kata yang berhikmah.

Ada pula diceritakan bahawa Luqman itu seorang hamba bangsa Habsyi, kerjanya sebagai tukang kayu @ gembala kambing. Apabila bertemu seorang lelaki dia bercakap penuh hikmah sehingga lelaki itu takjub lalu bertanya " bukankah engkau seorang gembala kambing?" Luqman menjawab "benar". Lalu tanya lelaki itu "bagaimana engkau mencapai kedudukan bagini?" Luqman menjawab " Aku mendapat dengan bercakap benar, memelihara amanah dan tidak ambil tahu apa yang bukan urusanku".

Sesetengah ulama' mengatakan Luqman seorang hamba hitam dari Sudan Mesir, bibirnya tebal dan tapak kakinya retak-retak. Juga dikatakan bahawa sebaik-baik orang Sudan itu 3 orang iaitu Bilal bin Robah, Mahja' hamba saidina Umar dan Luqman. Orang keempat pula ialah an-Najasyi raja Habsyah yang beriman di zaman Nabi s.a.w.

Dipetik dari Tafsir al-Quran, Pustaka Mizan, oleh Ahmad Sonhadji Mohamad
Sumber: http://smzblog.wordpress.com

Thursday, June 3, 2010

Dasar Pendidikan Kebangsaan


Latarbelakang

Dalam tahun-tahun menuju kemerdekaan, telah timbul kesedaran di kalangan pemimpin dan rakyat Malaysia tentang betapa mustahaknya diadakan satu sistem pendidikan kebangsaan untuk mengganti sistem pendidikan penjajah bagi memenuhi kehendak negara. Atas kesedaran inilah lahir satu Dasar Pendidikan (Pelajaran) Kebangsaan melalui Penyata Razak 1956 dan dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran, 1957. Dasar pendidikan ini telah disemak semula dalam tahun 1960 yang menghasilkan Laporan Rahman Talib. Laporan Rahman Talib ini kemudian dimaktubkan dalam Akta Pelajaran, 1961.

Kemudian, sebuah Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan dalam tahun 1974 untuk mengkaji semula Dasar Pendidikan dengan tujuan untuk memperbaiki pelaksanaannya supaya matlamat untuk melahirkan satu masyarakat yang bersatupadu dan berdisiplin serta memenuhi keperluan tenaga rakyat yang terlatih bagi pembangunan negara dapat dicapai. Laporan Jawatankuasa ini telah diterbitkan dalam tahun 1979.

Rasional

Sistem pendidikan di zaman penjajahan telah berkembang tanpa mengambil kira kepada keperluan pembangunan, pembentukan identiti kebangsaan dan perpaduan negara. Sistem Pendidikan berkenaan mengekalkan tumpuan taat setia rakyat pendatang dan keturunan mereka kepada negara asal mereka dan menekan suppress semangat pembangunan rakyat tempatan. Sistem ini mungkin secocok dengan Tanah Melayu yang terjajah tetapi apabila Tanah Melayu sudah merdeka, ia didapati tidak lagi sesuai. Oleh itu, langkah-langkah diambil bagi menggubal satu sistem pendidikan kebangsaan yang sesuai untuk negara yang merdeka dan mempunyai matlamat-matlamat sendiri.

Objektif

Objektif dasar ini dinyatakan dalam Pendahuluan kepada Akta Pelajaran, 1961, iaitu:

"BAHAWASANYA dasar pelajaran seperti yang diisytiharkan dalam Ordinan Pelajaran, 1957 ialah untuk menubuhkan satu sistem pendidikan yang akan dapat memenuhi keperluan negara dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi, dan politiknya..." Objektif ini dinyatakan secara am tetapi dalam melaksanakannya, Kementerian Pendidikan dengan berpandukan kepada Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960, telah mentafsirkannya sebagai menyatupadukan kanak-kanak sekolah berbilang kaum dan menyediakan tenaga kerja ("tenaga rakyat," istilah yang digunakan oleh Laporan Jawatankuasa Kabinet) bagi keperluan ekonomi.

Seterusnya, objektif-objektif ini diperkhususkan lagi apabila Jawatankuasa Kabinet ditubuhkan dan bidang tugasnya ditetapkan. Ini mencerminkan hasrat bahawa Dasar Pendidikan diharapkan dapat memenuhi keperluan tenaga rakyat negara ini dalam jangka panjang dan pendek dan melahirkan masyarakat yang bersatupadu, berdisplin dan terlatih.

Falsafah Pendidikan Negara yang diasaskan kepada hasrat serta aspirasi negara dan dinyatakan secara bertulis baru-baru ini memberi penekanan kepada usaha melahirkan insan yang berilmu dan berakhlak, seimbang dan harmonis, yang boleh mencapai kesejahteraan diri dan memberi sumbangan kepada keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Ini menjadi satu matlamat penting sistem pendidikan kebangsaan.

Strategi Pelaksanaan

  • Beberapa strategi telah digubal untuk mencapai matlamat Dasar Pendidikan yang telah ditetapkan seperti berikut:
  • Menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang utama.
  • Mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan Malaysia bagi semua jenis sekolah.
  • Mewujudkan sistem peperiksaan yang sama bagi semua.
  • Melicinkan tatacara pengurusan pendidikan.
  • Meningkatkan mutu pendidikan keseluruhannya dengan menyediakan pendidikan yang menyeluruh, seimbang dan bersepadu.
  • Mengadakan peluang pendidikan asas selama sembilan tahun.
  • Mendemokrasikan pendidikan dari segi peluang dan mutu dengan mengagihkan peruntukan secara adil dan memberi perhatian khas kepada kumpulan yang kurang bernasib baik dan kawasan luar bandar atau pendalaman.
  • Menyediakan pendidikan rendah mengikut Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang berasaskan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira pada tahun 1983 yang menjurus kepada kurikulum bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1989. Matlamat utama kurikulum baru ini adalah untuk melahirkan individu yang seimbang dari segi ilmu pengetahuan dan kemahiran yang sesuai dan mempunyai moral serta nilai etika yang kukuh.
  • Memperluaskan pendidikan Vokasional dan Teknik melalui penyusunan semula kurikulum Sekolah Vokasional pada tahun 1978.
  • Mempelbagai dan memperbanyakkan kemudahan pendidikan di peringkat universiti terutama dalam bidang sastera gunaan dan sains gunaan.
  • Mempertingkatkan pendidikan kerohanian, moral dan disiplin.
  • Menjadikan Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran yang wajib diajar di sekolah-sekolah dan memberi peluang yang sempuma bagi pembelajaran bahasa-bahasa lain seperti Bahasa Cina dan Bahasa Tamil; dan
  • Menggalakkan aktiviti ko-kurikulum yang memupuk disiplin, seperti pasukan-pasukan kadet tentera, kadet polis, pengakap, puteri Islam dan lain-lain.
Di samping strategi ini, Dasar Pendidikan Kebangsaan juga dilaksanakan dengan mengada dan memperkembangkan tenaga pengajar yang terlatih dan juga mendirikan sekolah-sekolah selaras dengan pertambahan kanak-kanak. Di Kementerian/Jabatan Pendidikan pula, beberapa Bahagian dan Jawatankuasa yang meliputi perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Dasar Pendidikan Kebangsaan telah ditubuhkan atau diperkuatkan bagi memastikan tercapainya hasrat Dasar Pendidikan ini. Diantaranya termasuklah penubuhan Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan, Bahagian Pelajaran Teknik dan Vokasional, Jawatankuasa Pusat Kurikulum, Biro Buku Teks, Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia, Jawatankuasa Perancangan Pendidikan, Bahagian Perkhidmatan, Sebaran Pendidikan dan Pusat Perkembangan Kurikulum.

Penutup

Dasar Pendidikan Kebangsaan sememangnya dapat menampung keperluan-keperluan negara buat masa ini dan masa depan. Selaras dengan hasrat negara untuk mencapai tahap negara perindustrian adalah penting rakyatnya diberikan pendidikan secucuk dengan keperluan-keperluan swasta bagi bidang-bidang tertentu seperti pengeluaran, pelancongan, perkhidmatan, dan sebagainya. Oleh itu dasar ini bukan sahaja dapat memenuhi keperluan tenaga manusia dari segi jumlah tetapi juga dari segi kualiti. Dasar ini seharusnya dapat menggalakkan lebih ramai rakyat yang terlibat secara aktif dalam bidang keusahawanan dan tidak bergantung semata-mata kepada kerajaan untuk mencari kerja. Ini adalah selaras dengan dasar kerajaan semasa yang menekankan penyertaan swasta secara aktif.

Wednesday, June 2, 2010

Kisah bulan terbelah dua




UMAT di zaman Rasulullah SAW dianggap sangat bertuah. Tidak sahaja mereka berpeluang bertemu dengan baginda namun yang lebih beruntungnya lagi dapat melihat sendiri segala kejadian-kejadian mukjizat yang Allah kurniakan kepada baginda.

Ini termasuklah kejadian bulan terbelah dua, antara yang benar-benar berlaku dalam usaha Nabi Muhammad untuk menyakinkan kebenaran dakwah baginda itu.

Jika kita menjadi pengikut baginda ketika itu, tentu segala kejadian mukjizat yang berlaku akan menambahkan lagi keimanan atau kepercayaan kepada Allah SWT.

Namun, perkara seperti ini sukar diterima oleh puak-puak kafir Quraisy. Mereka tetap dengan sikap degil mereka.

Walaupun peristiwa Israk dan Mikraj tidak ada sebarang kesangsian, dengan segala macam bukti dan keterangan daripada al-Quran namun kedegilan tetap makin menebal!

Malah mereka sendiri kadang kala meminta baginda tunjukkan bukti! Kononnya dengan bukti tersebut mereka akan menyerah kalah kepada kebenaran.

Namun yang sebenarnya mempunyai niat yang busuk, kononnya Rasulullah tidak akan mampu menunjukkan sebarang bukti kerana yang diminta semuanya bersifat luar biasa dan tidak masuk dek akal.

Andai, bukti tersebut gagal ditunjukkan oleh baginda maka semakin galaklah mereka memusuhi dan mengeji Nabi.

Namun baginda tetap menyahut apa juga cabaran, asalkan mereka akhirnya percaya kepada keesaan Allah yang Maha Agung.

Iaitu pada suatu hari, sekumpulan pembesar Quraisy itu datang menemui baginda, iaitu di antara mereka termasuklah Al Walid Al Mughirah, Abu Jahal Hisham, Al As Wail, Al Aswad Muthalib, An Nadhru Al Harith.

Peristiwa ini dikatakan berlaku sebelum baginda melakukan hijrah ke Madinah dan diriwayatkan dalam banyak catatan sejarah sehinggalah mengikut sastera Melayu klasik sendiri, kisah bulan terbelah dua ini menjadi kisah-kisah penglipur lara yang popular.

Dalam Hikayat Nur Muhammad dan Nabi Bercukur dan Nabi Wafat misalnya, ada diceritakan mengenai kisah bulan terbelah ini, pada bahagian kedua dari tiga bahagian yang ada, iaitu: Hikayat Nabi Bercukur iaitu menceritakan mukjizat Nabi SAW, kisah bulan terbelah.

Hikayat ini telah diterjemahkan ke dalam rumi dengan tajuk Bunga Rampai Sastera Melayu Warisan Islam terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Para pembesar itu mencabar baginda supaya menunjukkan mukjizat yang mereka mahu melihat sendiri melalui mata kepala walaupun mereka sepatutnya telah beriman dengan pengalaman perjalanan Nabi Muhamad sepanjang Israk dan Mikraj itu yang lalu, adalah benar.

Mereka berkata, "Jika kamu seorang yang benar (seorang nabi yang diutuskan oleh Allah) belahkan bulan yang sedang mengambang penuh pada malam ini kepada dua bahagian".

"Adakah jika permintaan ini dipenuhi, kalian berjanji untuk menerima dakwahku dan kita semua bersama-sama menyembah Allah, tuhan yang satu?" kata baginda pula.

Pembesar-pembesar itu pun menganggukkan kepala tanda bersetuju terhadap syarat yang Rasulullah berikan.

Lalu baginda pun berdoa dan memohon kepada Allah untuk membelah bulan sebagai perkara yang luar biasa untuk dijadikan tanda dan bukti kekuasaan Allah Yang Maha Tinggi.

Sejurus kemudian tanpa disangka oleh para pembesar Quraisy itu mereka dapat menyaksikan sendiri bagaimana bulan mengambang penuh yang menghiasi langit pada malam itu bukan sahaja terbelah kepada dua bahagian.

Tetapi terpisah menjauhkan diri antara satu sama lain.

Separuh boleh dilihat di sebalik gunung di sebelah kiri dan separuh atau sebahagian bulan lagi dapat disaksikan berada pada sebalik gunung di sebelah kanan dengan keadaan masih bercahaya.

Bulan tidak lagi berbentuk bulat sebagaimana lazimnya!

Mereka yang menyaksikan dalam antara percaya dengan tidak, hampir-hampir tidak mendengar apabila baginda berkata; "Saksikanlah kejadian ini iaitu sebagai bukti kebenaran mukjizat yang dikurniakan Allah dan risalah kenabian yang Allah amanahkan kepadaku,"

Begitu pun setelah menyaksikan kejadian yang sungguh luar biasa itu pun, kalangan kafir Quraisy tidak menepati janji, mereka tidak mahu mempercayai apa tah lagi untuk menerima dakwah nabi.

Sedangkan kejadian bulan terbelah ini memang benar-benar berlaku dan wajib dipercayai. Walaupun ada yang mempertikaikannya kerana bertentangan dengan sains dan akal yang waras namun atas nama mukjizat, kelebihan yang diberikan kepada Rasulullah ia tidak dapat dibuktikan secara saintifik.

Sebagaimana kebanyakan mukjizat-mukjizat yang Allah berikan kepada para nabi sebelum Nabi Muhammad.

Ini termasuk mukjizat Nabi Isa a.s yang boleh menghidupkan orang yang telah mati, tiada sesiapa yang dapat pertikaikan lagi.

Walaupun pada hakikatnya, yang mati tetap akan mati, tidak mungkin akan hidup kembali.

Kejadian bulan terbelah dua ini sebenarnya disaksikan oleh seluruh penduduk Tanah Arab ketika itu malah sebenarnya seluruh semenanjung Tanah Arab termasuk negara-negara lain yang mengalami waktu malam pada hari kejadian tersebut.

Tetapi sayangnya, mereka yang meminta supaya ditunjukkan sebarang kejadian luar biasa, akhirnya mereka sendiri tidak mahu percaya walaupun bulan benar-benar telah terbelah di hadapan mata!

Kafir Quraisy sangat mengagumi melihatkan kejadian itu tetapi tetap tidak dapat menerima kebenaran risalah yang dibawa oleh Nabi.

Mereka percaya kejadian itu benar, tetapi dituduhnya pula baginda seorang ahli sihir yang berkebolehan untuk membelah bulan tersebut!

Ini sebagaimana disebutkan dalam al-Quran; Telah hampir datangnya masa itu dan bulan terbelah. Dan setelah mereka melihat suatu tanda (mukjizat) mereka berpaling lalu berkata: "Ini adalah sihir yang luar biasa" dan mereka mendustakannya dengan mengikut hawa nafsu sedang setiap yang berlaku ada ketetapannya. (al-Qamar: 1-3)

Sebenarnya tidak menghairankan jika mereka tidak percaya, malah membuat pelbagai pertikaian termasuk sihir dan sebagainya. Ini termasuklah Abu Jahal dan Abu Lahab juga mempertikaikan kejadian itu walaupun melihat dengan mata sendiri peristiwa bulan terbelah itu.

Kerana itulah sifat degil yang dimiliki oleh kalangan kafir Quraisy, yang tidak mahu menyertai baginda kerana bimbang akan dipersendakan oleh mereka yang lain.

Sedangkan mereka juga bertanyakan kepada kafilah-kafilah yang selamat sampai ke Kota Mekah selepas berdagang di luar kota, adakah para pedagang itu juga melihat kejadian bulan terbelah itu semasa dalam perjalanan pulang itu.

Bulan terbelah dua

Masing-masing mengakui ada melihat kejadian bulan terbelah dua itu dan sangat tertanya-tanya apakah sebenarnya yang telah berlaku.

Apabila mendengarkan itupun, kalangan kafir Quraisy masih enggan untuk mempercayai Nabi Muhammad. Sedangkan jika baginda melakukan sihir, tentunya yang disihir hanya penduduk Mekah atau kalangan kafir Quraisy itu sahaja tidak mungkin melibatkan sehingga ke kawasan luar Kota Mekah.

Walau apa pun, kejadian yang sedemikian luar biasa, sebagai tanda kekuasaan Allah yang Maha Agung dan Maha Esa, langsung tidak dapat diterima oleh musuh-musuh baginda.

Pastinya kekecewaan menjalar masuk ke hati baginda walaupun ia begitu menguatkan lagi keimanan kepada para pengikut baginda yang setia dan taat.

Para pengikut baginda malah sesiapa pun sebenarnya mungkin agak ketakutan apabila tanpa disangka bulan boleh terbelah dua, tetapi mujur sahaja objek yang menerangi malam itu bercantum semula.

Namun, pengajarannya menunjukkan bahawa Allah itu sangat berkuasa, boleh melakukan apa sahaja; kun faya kun!

Tiada tandingannya dan sebagai hamba-hamba-Nya sewajibnya kita sujud dan menginsafi diri.

Susunan SITI AINIZA KAMSARI
ainiza.kamsari@utusan.com.my
Sumber: http://www.utusan.com.my/

Kaedah belajar secara kumpulan


BELAJAR secara kumpulan adalah salah satu kaedah belajar yang mampu mengurangkan rasa bosan tetapi menguatkan daya ingatan.

Murid-murid yang berada di asrama umpamanya perlulah memanfaatkan kaedah ini kerana mereka lebih berpeluang berada dalam kumpulan sama ada pada waktu petang atau malam semasa menghadiri kelas persediaaan.

Kebanyakan murid menganggap belajar secara kumpulan ini merugikan masa atau tidak mampu memberi tumpuan. Sebenarnya belajar secara kumpulan memerlukan perancangan yang rapi serta kerjasama yang erat daripada anggota kumpulan.

Berikut diberi beberapa panduan belajar secara kumpulan.

1. Jumlah anggota kumpulan

Seeloknya jumlah anggota kumpulan adalah antara 3 hingga ke 5 orang sahaja. Jika terlalu ramai interaksi tidak dapat dijalankan secara berkesan dan ianya memakan masa yang lama.

2. Topik pembelajaran

Setiap anggota kumpulan perlulah mempunyai kata sepakat tentang topik yang menjadi pilihan mereka untuk belajar dalam kumpulan. Topik tersebut perlulah dibaca dan dikaji dahulu sebelum hadir untuk sesi tersebut.

3. Kaedah pembelajaran

  • Pecahan topik: Setiap anggota kumpulan perlulah mempunyai tugas untuk menganalisis topik mengikut pembahagian dan pecahan topik.
  • Analisis: Setiap anggota kumpulan perlulah menganalisis tugas yang diberikan dengan cara membuat catatan ringkas, rajah, peta minda atau pengurusan grafik. Sebarang keraguan yang terdapat sewaktu proses menganalisis dijalankan perlulah diambil perhatian agar perkara ini dapat dikemukakan kepada anggota lain untuk membantu ke arah penyelesaian.
  • Persembahan: Setiap anggota kumpulan perlulah mempersembahkan tugasan mereka secara tidak formal dan bergilir-gilir. Persembahan perlulah dibuat secara jelas dengan menggunakan bahasa yang mudah tetapi mengekalkan sebutan istilah-istilah yang tertentu dan penting.
  • Interaksi: Selepas persembahan anggota lain perlu berinteraksi iaitu sama ada bertanya atau memberi pandangan atau teguran jika salah. Proses ini mampu menjelaskan lagi masalah yang terdapat dalam topik tersebut serta dengan tidak secara langsung menguatkan lagi daya ingatan.
  • Rumusan: Setiap perbincangan perlulah dibuat rumusan sama ada dalam bentuk nota atau peta minda agar daya ingatan dapat dikekalkan.
Kejayaan kaedah belajar secara kumpulan ini banyak bergantung kepada disiplin diri setiap kumpulan. Setiap anggota kumpulan perlulah menumpukan perbincangan terhadap topik yang ditentukan tanpa gangguan.

Seorang anggota kumpulan perlulah dilantik untuk menyelaras aktiviti yang dijalankan agar ia lebih terancang dan berjaya memenuhi tujuannya. Bagaimanapun setiap anggota kumpulan perlu memainkan peranan masing-masing dalam setiap aktiviti yang dijalankan.

Sesungguhnya belajar secara kumpulan ini tidak memberi sebarang tekanan kerana ianya dijalankan secara mesra, ikhlas dan di ruang yang lebih lapang dan tidak terhad dalam bilik darjah sahaja.

Oleh: Dr. Ismail Zain
Sumber: http://www.tutor.com.my/

Ibrahim hancurkan berhala

AZAR, bapa Nabi Ibrahim bekerja sebagai pengukir patung untuk dijual kepada orang ramai bagi dijadikan berhala yang disembah. Malah, dia sendiri termasuk orang pertama menyembah patung itu.

Nabi Ibrahim menasihatkan bapanya supaya meninggalkan pekerjaan itu dan tidak lagi menyembah patung dengan memujuknya. Dalam mengajak bapanya ke jalan lurus, beliau turut mengemukakan hujah logik.

Beliau berkata: "Wahai bapa, mengapa kamu menyembah benda mati yang tidak dapat melihat, tidak mampu mendengar dan tidak memberi pertolongan kepada kita."

Kemudian Ibrahim cuba memujuk bapanya. Ketika berdamping dengan bapanya, beliau tidak menonjolkan kelebihan ilmunya kerana risau dianggap bapanya sebagai penghinaan.

Namun, Ibrahim berkata: "Walaupun aku mempunyai sebahagian ilmu yang didatangkan Allah kepadaku, ikutlah nasihatku kerana aku menunjukkan jalan lurus kepada kamu. Dan ketahui wahai bapa, syaitan sangat derhaka kepada Tuhannya dan menjerumuskan kamu ke dalam kesesatan hingga menyebabkan kamu mendapat azab daripada Allah."

Bapanya berkata: "Sungguh aneh, apakah kamu berpaling tadah dan lari meninggalkan ibadah kepada berhala wahai Ibrahim! Jika kamu tidak menghentikan laranganmu terhadapku daripada beribadah kepada berhala, aku akan merejammu dengan batu. Pergi dari sini, dari hadapanku selama-lamanya jika kamu mahu selamat."

Ibrahim langsung tidak gentar dengan ugutan bapanya itu, malah berkata: "Semoga keselamatan tetap dilimpahkan kepadamu dan aku akan memohonkan keampunan untukmu kepada Tuhan, supaya tidak menyeksamu. Tuhanku amat mulia, Dia akan mengabulkan doaku.

"Apabila seruanku kepadamu supaya beriman menyakitimu, aku akan menjauhimu dan kaummu serta menjauhi tuhan yang kamu serukan selain Allah agar aku beribadah kepada Allah semata-mata. Mudah-mudahan dengan beribadah kepada-Nya aku tidak kecewa dan kehilangan semangat seperti kamu dalam beribadah kepada tuhanmu."

Teguran Nabi Ibrahim itu tidak dapat diterima bapanya sehingga Allah menjelaskan bahawa bapanya itu adalah musuh-Nya, semata-mata kerana tidak mahu meninggalkan penyembahan berhala.

Firman Allah: "Dan permintaan ampun daripada Ibrahim (kepada Allah) untuk bapanya, tidak lain kerana satu janji yang diikrar kepada bapanya. Ketika jelas bagi Ibrahim bapanya itu musuh Allah, Ibrahim melepaskan diri daripadanya. Sesungguhnya Ibrahim seorang yang sangat lembut hati, malah bersopan-santun."

Ibrahim tidak berputus asa, malah dengan hati cekal dan keimanan mantap, beliau berazam untuk menghancurkan berhala dan patung yang disembah kaumnya.

Beliau mahu memusnahkan berhala itu supaya ia menimbulkan kemarahan Raja Namrud, sehingga dibicarakan di khalayak ramai dan berpeluang berhujah menggunakan akal.

Waktu bagi Nabi Ibrahim menghancurkan berhala tiba, iaitu pada hari perayaan rakyat Babylon. Menjadi tradisi negara itu, pada hari berkenaan semua rakyat berburu di luar bandar. Sebelum memulakan perjalanan mereka menghidangkan makanan di sisi patung.

Nabi Ibrahim mengambil kesempatan itu, lalu pergi ke tempat pemujaan yang penuh dengan patung dan berhala untuk memusnahkannya.

Sebelum dihancurkannya, beliau bercakap dengan patung itu, sambil berkata: "Wahai patung mengapa kamu tidak makan, sedangkan makanan yang lazat ada di sampingmu?"

Dalam hati, Ibrahim berkata: "Tentu saja patung ini tidak mahu memakannya dan tidak mengeluarkan sepatah perkataan pun. Mengapa patung yang tidak berdaya, tidak boleh diminta pertolongan dipuja dan disembah? Sungguh bodoh fikiran mereka."

Kemudian Ibrahim menghancurkan semua berhala itu dengan kapak. Hanya sebuah patung paling besar ditinggalkannya dan pada lehernya digantung sebilah kapak besar.

Ini bertujuan meninggalkan bukti kepada kaumnya bahawa berhala besar itu telah menghancurkan patung yang lebih kecil daripadanya kerana ada kapak besar tergantung pada lehernya.

Apabila kaumnya pulang daripada berburu, mereka terperanjat besar kerana mendapati berhala yang mereka sembah musnah. Mereka menuduh Ibrahim melakukannya kerana beliau tidak mengikuti rombongan berburu.

Perkara itu akhirnya sampai ke pengetahuan Raja Namrud, lalu memerintahkan supaya Ibrahim ditahan. Namun, ada kalangan pegawainya tenteranya mencelah bahawa Ibrahim tidak boleh ditangkap kerana tiada bukti beliau melakukannya.

Raja Namrud berkata: "Sudahlah jangan banyak cakap, tangkap saja orang itu walaupun belum ada bukti nyata." Selepas itu, Ibrahim ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah Raja Namrud, dengan disaksikan orang ramai.

Raja Namrud berkata: "Adakah kamu wahai Ibrahim yang menghancurkan berhala itu?"

Ibrahim menjawab: "Tidak."

Raja Namrud berkata: "Jangan mengelak Ibrahim, mengaku saja atas perbuatanmu itu."

Ibrahim menjawab: "Tidak sekali-kali," sambil menambah:

"Baiklah Raja Namrud, saya mempunyai fikiran dan kamu juga mempunyai fikiran. Kes yang mahu diadili hari ini bagi mencari orang yang menghancurkan berhala itu? Siapa menghancurkan mereka dan buktinya sekarang masih ada, satu patung besar dan di tangannya ada kapak besar, mungkin ia melakukannya."

Namrud bertambah marah dan berkata: "Wahai Ibrahim, engkau banyak helah, tidak mungkin engkau buat aku dan rakyatku sebodoh itu. Tidak mungkin patung seperti itu boleh bercakap, sedangkan aku hanya bertanya siapa melakukannya, engkau terlalu bodoh wahai Ibrahim."

Ibrahim menjawab: "Yang bodoh bukan aku wahai Raja Namrud, tetapi kamu dan seluruh rakyatmu yang menyembah berhala bodoh itu. Buktinya patung yang tidak berdaya, tidak mampu bercakap, tidak boleh diminta pertolongan dan tidak membawa kebaikan kamu sembah.

"Itu menunjukkan kebodohanmu. Mustahil orang yang mempunyai akal sujud kepada batu. Bukankah hal itu menunjukkan kebodohan kamu dan rakyatmu."

 

Sumber: http://klikkhas.bharian.com.my/