Wednesday, August 4, 2010

Antara Amalan Yang Melembutkan Hati

1. Perbanyakkan membaca Al-Quran: Kalau akhbar kita sanggup baca kadang-kadang sampai satu jam. Kenapa kita tak boleh luangkan masa untuk membaca Al-Quran. Bagi sesiapa yg tidak boleh membaca, wajib belajar. Saranan Ustaz, baca Quran 2 helai setiap kali sudah solat. Sehari dapat 10 helai.

2. Perbanyakkan Zikir: Zikir yang dimaksudkan bukan sahaja zikir dengan menyebut tasbih,tahmid, takbir dan sebagainya. Tetapi zikir yang ditekankan disini adalah menghadiri majlis ilmu. Jadi, Ustaz menyarankan kita supaya sentiasa berada di dalam majlis ilmu. Orang yang mati dalam keadaan berniat "aku mulai sekarang akan sentiasa belajar ilmu agama sampai aku mati" andaikata dia mati, maka matinya itu dikira mati syahid. Tanda-tanda seseorang itu berubah menjadi baik adalah sentiasa menghadiri majlis ilmu.

3. Perbanyakkan berdoa: Doa itu adalah senjata orang-orang mukmin. Allah amat suka kepada sesiapa yang merendahkan dirinya meminta-minta kepadaNya. Orang yang sentiasa berdoa adalah orang yang tawadhuk serta edar bahawa dirinya tidak mampu mendapatkan apa-apa kecuali dengan perkenan Allah s.w.t. Orang yang tidak berdoa boleh diumpamakan orang yang sombong.

Tanda-tanda Dan Sifat Mati Husnul Khatimah – Keluar Peluh Di Dahi

Orang yang sedang nazak apabila kita melihat peluh di dahinya, menandakan ia sedang bertarung dengan kehebatan rasa sakit rohnya nak keluar dari jasadnya dan juga ia sedang bertarung dengan godaan syaitan yang menggodanya. Orang menderita menanggung sakit ketika sakaratulmaut, menurut keterangan bahawa Allah akan menghapuskan kesakitannya di akhirat kelak.

Tentang tanda peluh keluar dari dahi orang yang mati terdapat sebuah hadis yang menceritakan suatu ketika Buraidah bin Al-Khasib, ketika ia berada di Khurasan, ia menziarahi sahabatnya, yang baru meninggal dunia. Budairah mendapati di dahi sahabatnya itu terdapat bintik-bintik peluh.

Melihatkan itu Budairah bertakbir (Allah Akbar) dan katanya sesungguh aku pernah mendengar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya:

"...matinya seseorang mukmin itu tandanya terkeluar peluh di dahinya" (Imam Muslim)

Seks bantu proses pulih minda suami isteri

Berikut ialah beberapa kelebihan melakukan hubungan seks:

1. Sejenis senaman.

Hubungan seks ialah salah satu bentuk aktiviti fizikal. Ketika hubungan berlaku, berlaku pelbagai perubahan fisilogi yang berlaku dalam badan seolah-olah seperti seseorang lelaki sedang menjalani aktiviti senaman.

Contohnya, semasa hubungan seks, tahap kadar pernafasan akan meningkat. Peningkatan pernafasan dan pernafasan yang dalam akan meningkatkan tahap oksigen dalam badan dan boleh memperbaiki sel-sel yang rosak. Kapasiti paru-paru juga akan meningkat. Begitu juga dengan degupan jantung, ia akan meningkat ketika hubungan seks dan ini akan meningkatkan aliran darah dalam badan.

Ketika hubungan seks, pelbagai otot mengalami kontraksi dan selepas hubungan seks, sering kali saudara dapati saudara letih dan berpeluh. Ini bermakna ada aktiviti fizikal yang membakar kalori berlaku semasa hubungan seks. Dianggarkan, jika saudara melakukan hubungan seks tiga kali seminggu dan setiap kali hubungan memakan masa 15 minit, saudara akan menggunakan 7,500 kalori setahun. Ini umpama saudara berjoging sejauh 120 km. Hormon testosterone yang dikeluarkan ketika hubungan seks juga akan meningkatkan kekuatan otot dan menguatkan tulang.

2. Penawar kesakitan.

Semasa hubungan seksual, sejenis hormon yang dipanggil 'endophine' akan dirembeskan. Hormon endophine ini mempunyai fungsi melegakan kesakitan dan sejenis hormon penahan sakit.

Satu kajian dijalankan menunjukkan semasa hubungan seksual terutama semasa orgasma, seseorang tidak akan merasa kesakitan dan selepas hubungan seksual, kesakitan ringan akan berkurangan.

3. Perlindungan kepada kelenjar prostat.

Sebahagian besar dari cecair yang dikeluarkan semasa ejakulasi datangnya dari kelenjar prostat. Hubungan seks yang kerap dapat membantu meningkat produksi cecair yang baru serta dapat mengeluarkan cecair yang berada dalam kelenjar. Jika ejakulasi lama tidak berlaku, akan terjadi pengumpulan cecair dalam kelenjar dan ini boleh menimbulkan inflamasi atau keradangan pada kelenjar prostat.

4. Pengurangan risiko mendapat masalah mati pucuk (ED)

Lima puluh peratus dari lelaki yang berumur lebih dari 40 tahun akan mengalami masalah mati pucuk. Salah satu langkah pencegahan ialah dengan kerap melakukan hubungan seks.

Semasa proses ereksi berlaku, banyak darah dari arteri akan dipamkan ke batang zakar dan darah ini akan membawa oksigen dan nutrien kepada tisu batang zakar.

Proses ini akan mengekalkan kesihatan batang zakar dan ketegangan batang zakar.

5. Mengurangkan stress.

Sudah terbukti dari segi kajian saintifik bahawa hubungan seks yang kerap dapat mengurangkan stress. Ini adalah kerana semasa hubungan seks, badan akan menghasilkan dopamine iaitu sejenis kimia dalam badan yang boleh mengurangkan stress.

Sejenis kimia lagi yang dikenali sebagai oxytocin, juga dirembeskan dan hormon ini bertindak sebagai hormon yang memberi kesan kelegaan serta kesan positif terhadap keinginan dan nafsu seseorang lelaki.

6. Lain-lain kelebihan.

Kajian di negara Barat menunjukkan hubungan seks yang dinikmati dapat mengurangkan risiko penyakit jantung, mengurangkan sakit kepala, mengurangkan kemurungan serta dapat memberi kebaikan pada otot dan sendi. Selain itu, hubungan seks juga dapat mengukuhkan hubungan dan mengeratkan kasih sayang antara pasangan suami-isteri.

Oleh: Pakar Urologi Prof Madya Dr Zulkifli Md Zainuddin, Ketua Unit Urologi, Pusat Perubatan UKM, Cheras.
Sumber: http://www.bharian.com.my/

Tuesday, August 3, 2010

Saat Menilai Cinta


SETIAP kali menjelang tahun baru, melakukan resolusi mengenai karier, hal kewangan dan cinta sememangnya menjadi rutin bagi setiap orang. Bagi pasangan yang sedang bercinta, kenangan yang dilalui sepanjang tahun lalu mungkin lebih mematangkan fikiran. Apatah lagi bagi pasangan yang pernah gagal dalam percintaan. Mereka menganggap tahun yang dilalui umpama suatu pengajaran yang membawa ke arah kehidupan yang lebih bermakna. Menyentuh soal cinta, jangan pula anda lupa melakukan perubahan kepada diri dengan meletakkan keazaman yang tinggi dalam hal-hal melibatkan dunia percintaan. Ikuti tip-tip yang disenaraikan di bawah:
  1. Lupakan masa lalu: Anda bukanlah insan yang pernah dikhianati, dibenci mahupun ditinggalkan menjelang hari pernikahan. Setiap perkara yang dilalui sepanjang kehidupan lalu harus dijadikan pengajaran. Tetapi, jangan biarkan pengalaman buruk anda pada masa lampau mempengaruhi hubungan yang sedang terjalin. Jangan biarkan hal-hal positif dan menyenangkan anda dengan pasangan bertukar gara-gara terlalu asyik membuat perbandingan dari tahun ke tahun. Ibaratkan hubungan yang baru dijalinkan itu seperti kertas putih yang siap dicorak.
  2. Temui ramai orang: Bekerja di bawah satu bumbung yang sama atau tinggal berhampiran dengan kediaman anda tidak bermakna dapat membantu anda menemui calon kekasih yang berpotensi, kecuali seorang teman yang sudah lama dikenali. Jalinkan hubungan cinta dengan seorang teman yang boleh membawa anda ke arah dunia persahabatan yang lebih bermakna. Keluarlah dari zon selesa anda. Sekiranya selama ini anda kerap ke pusat gimnasium selepas pulang dari tempat kerja, namun pada tahun ini, bangunlah pada awal pagi dan lakukan rutin harian dengan melaksanakan segala tugasan yang lebih menyihatkan. Lebih berkesan, ikuti kursus atau motivasi yang melibatkan pesertanya terdiri di kalangan lelaki dan wanita.
  3. Ubah penampilan: Sudah tiba masanya anda meninggalkan gaya penampilan lama. Tidak salah sekiranya anda mengeluarkan wang yang lebih semata-mata untuk mengubah stail rambut terkini. Kunjungi salon dan bawalah contoh model rambut daripada majalah sekiranya perlu mendapat keterangan. Demikian pula dalam hal berkaitan pakaian dan aksesori. Pilih baju berwarna cerah dan bermotifkan corak yang menarik agar anda kelihatan menonjol pada setiap masa.
  4. Jangan terburu-buru: Menemui cinta baru mungkin mendatangkan kesan positif. Tetapi, jangan pula anda terus membawanya berjumpa dengan seluruh ahli keluarga. Tunggulah sehingga waktu yang tepat dan jangan sesekali merosakkan hubungan yang baru dibina itu. Hindari berbicara tentang masa depan saat hubungan baru berumur setahun jagung. Nikmatilah waktu perkenalan ini untuk memantapkan hati anda dan pasangan.
  5. Jangan terlalu memilih: Setiap orang pasti ada kekurangannya, jadi apabila anda begitu obses akan kekurangan pasangan, mungkin anda sukar untuk menemui cinta baru. Sekurang-kurangnya selidik dulu kelebihan yang ada pada dirinya.
  6. Buat keputusan: Cinta kerana paksaan akan membawa duka pada kemudian hari. Jangan takut untuk meluahkan apa yang terpendam kerana ia boleh mendatangkan kesan buruk dalam perhubungan. Oleh itu, lakukan keputusan yang berpihak kepada diri dan jangan takut katakan 'tidak'
Sumber: http://www.kosmo.com.my/

Bani Israel meninggalkan Mesir


BANI Israel yang hidup di bawah pemerintahan Firaun sedar dan tahu membezakan antara sesat dan benar. Mereka juga mula percaya akan rasul Allah iaitu Nabi Musa yang datang memberi petunjuk dan hidayah kepada mereka.

Mereka tidak lagi mentaati Firaun sebaliknya mula mendekatkan diri kepada Nabi Musa. Firaun telah kekurangan pengaruhnya.

Firaun mahu mengalahkan Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya dengan cara pembunuhan. Nabi Musa telah merancang bersama pengikut-pengikutnya akan keluar dari Mesir pada suatu malam yang telah ditetapkan.

Apabila tiba malam tersebut, berkumpullah Nabi Musa dan kaum Bani Israel di sebuah tempat. Mereka berangkat bersama-sama meninggalkan Mesir menuju ke tanah suci Palestin.

Mereka berangkat dengan berhati-hati kerana tentera Firaun telah bersiap sedia untuk menghalangi keberangkatan mereka. Mereka berjalan di atas gurun padang pasir yang kering sehingga mereka tiba di pinggir laut yang luas.

Mereka tidak tahu bagaimana cara untuk menyeberangi laut yang luas itu. Mereka takut dan masing-masing melihat maut sedang menghampiri.

Firaun dan tenteranya semakin hampir. Firaun akan memusnahkan Nabi Musa bersama pengikutnya. Sesungguhnya mereka tidak mampu melawan Firaun dan tenteranya.

Pengikut-pengikut Nabi Musa mulai marah dan geram terhadap Nabi Musa. Mereka mula mencela Nabi Musa dan berasa kesal kerana mengikutnya.

Tiba-tiba terdengarlah teriakan daripada pengikut Nabi Musa: "Firaun sudah berada di belakang kita. Dia mahu menangkap dan membunuh kita. "Ke mana harus kita pergi? Apa yang harus kami buat untuk menyelamatkan diri daripada dikejar oleh Firaun dan tenteranya?"

"Tidak, Firaun tidak akan berjaya mengejar kita, sesungguhnya Tuhanku bersamaku dan Dia akan membimbingku. Tak usahlah kamu semua khuatir, perjalanan kita ini telah diperintahkan oleh Allah kepadaku. Dialah yang akan memberi jalan keluar serta menyelamatkan kita daripada dikejar oleh Firaun yang zalim itu, Allah sentiasa membimbingku," kata Nabi Musa kepada pengikutnya. Pada saat yang genting itulah, tiba-tiba Allah mewahyukan kepada Nabi Musa: "Wahai Musa, pukullah tongkatmu itu ke laut."

Dengan segera Nabi Musa memukul laut itu dengan tongkatnya. Tiba-tiba terbentanglah di atas laut itu dua belas lorong yang luas. Di pinggir jalan itu pula berdiri tembok air yang tebal. Tembok itu tidak dapat ditembusi oleh panah atau peluru.

Mereka segera berlari dengan cepat melalui jalan yang terbentang luas. Akhirnya mereka sampai di seberang dengan selamat.

Inilah mukjizat Allah SWT yang sangat besar diberikan kepada Nabi Musa.

Sumber: http://www.utusan.com.my

Monday, August 2, 2010

Perihal Kedekut


  1. Seorang bakhil telah memasak seperiuk makanan. Dia telah duduk makan bersama isterinya. Dia berkata kepada isterinya "Alangkah enaknya makanan ini. jika tidak ramai yang menjamahnya kan bagus." Isteri dia menjawab "Mana yang ramainya, hanya aku dan engkau sahaja dekat sini." Suaminya menjawab "Aku suka kalau kalau aku bersama dgn periuk yg mengandungi makanan ini sahaja ada disini."
  2. Seorang lelaki telah tidur di rumah orang kaya kufah (Iraq). Ketika waktu malam lelaki tersebut melihat tuan rumah telah membolak balik tubuh anak-anaknya kekanan dan kekiri.Apabila sampai waktu subuh, tetamu tadi bertanya "Kenapa kamu berbuat demikian kepada anakmu?" Tuan rumah itu menjawab "Budak-budak ni telah makan sebelum tidur dan tidur mengiring ke kiri.Makanan tadi akan diproses dan turun yang menyebabkan mereka bangkit pagi kelaparan. Aku pun membolak balik tubuh mereka ke kanan dan ke kiri supaya makanan tadi tidak cepat hadam dan mereka tidak merasa lapar bila bangun dari tidor."
  3. Seorang lelaki berkata kepada orang menziarahinya "Adakah engkau sudah makan tengahari?" Kalau tetamunya menjawab "Ya" Dia akan berkata "Kalau engkau belum makan lagi nescaya akan ku hidangkan makanan yg sedap." Kalau tetamu tetamu menjawab "Belum" Dia akan berkata "Kalau engkau dah makan nescaya aku akan sediakan 5 cawan air minum." Sedangkan lelaki itu tidak mempunyai sedikit pun apa yg ingin dia hidangkan.
  4. Seorang penduduk Marwa yg terkenal dgn kebakhilan selalu pergi ke Mekkah untuk menunaikan haji dan berniaga. Ketika dalam perjalanan beliau selalu singgah di rumah seorang lelaki yg tinggal di Iraq. Lelaki Iraq tersebut sangat memuliakannya dgn melayan, menjamu dan mencukupkan belanja perjalanannya. Penduduk marwa tersebut selalu berkata kepada lelaki Iraq tersebut "Alangkah baiknya kalau aku melihat mu di tempat ku Marwa; bolehlah aku membalas segala jasamu yg telah melayan ku sejak dulu lagi setiap kali aku datang ke rumah mu. Adapun aku tidak dapat nak membalasnya disini kerana engkau tidak memerlukan apa-apa disini." Suatu ketika lelaki Iraq tersebut telah bermusafir dlm jarak perjalanan yg amat jauh. Dia telah menempuhi pelbagai kesulitan dan kepayahan dlm perjalanan tersebut sehinggalah dia telah sampai di MArwa. Dia pun terus menuju kepada lelaki yg selalu dibantunya. Lelaki tersebut sedang bersama-sama teman-temannya. Lelaki Iraq itu terus memeluk lelaki tersebut tetapi yg peliknya lelaki itu seolah-olah tidak mengenalinya. Dia pun meyangka lelaki itu tidak mengenalinya kerana dia masih memakai penutup muka. Dia pun menanggal penutup mukanya tetapi lelaki tadi tidak mengendahkannya seolah-olah tidak kenal kepadanya. Dia pun menanggalkan serbannya dgn harapan supaya dikenali tetapi lelaki itu tetap tidak kenal. Kemudian dia menanggalkan kupiahnya namun lelaki tadi tetap tidak mengendahkannya. Lelaki penduduk marwa itu terus berkata "Kalau engkau tanggalkan kulitmu sekalipun aku tidak kenal kamu."
  5. Seorang lelaki telah pergi ke rumah penyair arab. Bila sampai dirumahnya, penyair tadi keluar dari rumahnya kerana takut kena jamu tetamunya pada malam tersebut. Tetamu tadi pun keluar membeli makanan yg diperlukan dan membawanya ke rumah itu. Dia menulis dua rangkap syair yg ditujukan kepada penyair itu: Wahai orang yang keluar dari rumahnya dan lari kerana terlampau takut (kekurangan duit bila menjamu)Sesungguhnya Tetamu kamu telah datang dengan bekalan. Maka baliklah ke rumah dan jadilah tetamu kepada tetamumu.

Pendirian Islam tentang Sifat Bakhil

Firman Allah s.w.t:Maksudnya: "Dan sesiapa yang menjaga dirinya dari sifat bakhil serta haloba maka itulah orang2 yang berjaya."(9: al-Hasyr)

Firman Allah s.w.t: Bermaksud: "Dan janganlah orang2 yang tidak menunaikan zakat dan bersifat bakhil untuk menginfaqkan sebahagian harta yang Allah telah berikan kepadanya berdasarkan kelebihan daripadaNya; adalah suatu kebaikan bagi mereka. Bahkan ia memberi kemudaratan kepada mereka. Allah akan jadikan harta yang mereka bakhilkan sebagai ular yang membelit leher mereka pada hari kiamat..."(180: Ali Imran)

Firman Allah s.w.t. Bermaksud: Tiga sifat yang merosakkan manusia 1. kedekut beserta haloba yang dipatuhi. 2. Hawa nafsu yg dituruti. 3. Perasaan kagum dgn diri sendiri. (Hr Tobrani)

Firman Allah s.w.t. Bermaksud: Orang yang bakhil tidak masuk syurga dgn golongan yg awal. (Hr Tirmizi dan Ahmad)

Berkata Ummul Banin saudara perempuan Umar bin Abdul Aziz:

"Celakalah orang yang bakhil. Kalau sifat bakhil itu baju aku tidak akan pakai baju itu dan jika sifat bakhil adalah jalan aku tidak akan lalu jalan tersebut."

Oleh: AKHISALMAN
Sumber: http://idhamlim.blogspot.com/

SISTEM KESULTANAN


  • Konsep sultan
Institusi sultan dalam kaca mata orang-orang Melayu merupakan satu rujukan kepada kekuasaan dan kekuatan yang ada pada individu yang diiktiraf oleh masyarakat sebagai sultan. Dalam hal ini sultan sering kali ditanggap sebagai seseorang yang mempunyai kuasa yang begitu teguh. Ini sering kali dikaitkan dengan konsep bahawa sultan itu sebagai wakil tuhan. Dengan kepecayaan ini, seseorang individu merasakan menderhaka kepada sultan akan membawa padah yang amat dahsyat. Konsep ketuhanan ini telah berakar umbi sejak masyarakat Melayu dipengaruhi oleh unsur agama Hindu dan seterusnya disenyawakannya dengan unsur-unsur Islam. Dalam hal ini, Sultan dianggap sebagai khalifah atau wakil Allah dalam memimpin masyarakat Islam. Sultan dianggap sebagai imam dalam memimpin rakyat ke arah kesejahteraan.

Selain itu, sultan juga dianggap mempunyai kekuatan dan keajaiban. Sultan dianggap sebagai individu yang perkasa dan boleh mendatangkan kecelakaan kepada mereka yang menentang. Dalam aspek ini konsep daulat, tulah, dan derhaka telah menghantui masyarakat melayu supaya sentiasa patuh dan menuruti kehendak sultan. Dalam konsep daulat, sultan dianggap mempunyai kuasa dan tidak boleh disentuh. Kedaulatan sultan telah dimengertikan melampaui batas kekuasaan sultan dalam politik. Ia melampaui batas-batas kuasa dan sentiasa menganggap sultan sebagai mempunyai kuasa ketuhanan untuk memberi pembalasan terhadap individu yang menderhaka. Dengan kata lain konsep daulat memberi pengertian bahawa sultan merupakan seorang yang terpilih dan diterima oleh tuhan untuk memimpin kesejahteraan masyarakat. Dengan konsep ini sultan dianggap boleh mencelakakan kehidupan orang yang derhaka. Hal ini dapat dilihat daripada peristiwa penderhakaan Laksamana Bentan terhadap Sultan Mahmud. Sumpah sultan terhadap keturunan Laksamana dianggap sebagai satu kuasa dan ia dikaitkan dengan daulat sultan.

Dalam memahami konsep ini, ia juga berkaitan dengan knsep tulah. Tulah bermaksud sumpahan. Seseorang yang terkena tulah sultan dianggap sebagai seorang yang derhaka. Oleh itu, masyarakat melayu menganggap sultan sebagai seorang individu yang istimewa serta sentiasa ingin mendapat rahmatnya untuk memperoleh kehidupan yang terjamin. Jika ia ditulah maka ia akan menerima bencana seperti keturunan Laksaman Bentan Megat Sri Rama. Dalam hal ini rakyat akan sentiasa mencari peluang untuk berbakti kepada sultan. Ini menimbulkan satu konsep kerja raja dijunjung , kerja sendiri dikelek . Sebagai kesan daripada konsep ini, mereka berbangga meninggalkan kerja-kerja mereka semata-mata untuk berbakti serta mengelakkan diri daripada tulahan dan daulat sultan. Hal ini seterusnya menimbulkan satu amalan berkenaan sistem hamba dan kerahan yang dianggap olah sejarawan barat sebagai satu institusi yang melemahkan sistem politik Melayu. Terjadinya sistem kerah, serah dan hamba ini timbul berikutan kehendak rakyat untuk mendapat pengiktirafan sultan sebagai rakyat yang setia. Dalam hal ini maka timbullah kesetiaan dan ketaatan yang membabi buta seperti yang ditonjolkan oleh Hang Tuah yang sanggup membunuh rakannya semata-mata untuk membukti kesetiaannya kepada sultan.

Oleh itu dalam memperkatakan institusi kesultanan ini, konsep daulat memberi ruang kepada sultan untuk meletakkan dirinya berbeza dengan orang lain. Hal ini juga berkaitan dengan unsur ketuhanan atau sebagai wakil tuhan yang dimilik sultan. Ia seterusnya mencerminkan kelebihan-kelebihan yang ada pada sultan serta tidak boleh digunakan oleh orang lain. Hal ini mencetuskan konsep daulat dari segi kehidupan sultan itu sendiri sebagai golongan elit yang tidak boleh dikongsi bersama dengan rakyat. Ini memberikan banyak keistimewaan kepada sultan seperti hanya sultan yang boleh berpakaian kuning, penggunaan bahasa dalam yang sering menggambarkan kehinaan rakyat, penggunaan alat-alat kebesaran , nobat, dan lambang kebesaran dan kemuliaan.

Berdasarkan kepada keistimewaan ini institusi raja merupakan institusi yang menjadi sanjungan dan sesebuah kerajaan melayu tidak akan lengkap tanpa sultan. Hal ini dapat dilihat bagaimana luak-luak undang di Negeri Sembilan meminta kerabat Sultan di Minangkabau untuk diangkat sebagai sultan bagi mendaulatkan negeri tersebut.

  • Sistem Pertabalan
Pertabalan dan penggantian sultan berbeza antara satu negeri dan negeri yang lain. Dalam konteks ini ia juga melibatkan sistem undang-undang adat. Negeri-negeri yang beradatkan adat temenggong mempunyai sistem pertabalan yang berbeza dengan negeri yang mengamalkan adat perpatih. Begitu juga dalam sistem adat temenggong penggantian sultan juga terdapat sedikit perbezaan.

Dalam mengkaji sistem ini kita dapati terdapat tiga bentuk sistem pertabalan yang diamalkan di negeri-negeri Melayu. Di Negeri Sembilan sistem penggantian sultan mengikut undang-undang dalam adat perpatih. Dalam adat ini Yang Dipertuan Besar dilantik dan mesti dipersetujui oleh luak-luak undang. Dalam aspek ini sistem yang diamalkan itu seolah-olah memaparkan perlantikan secara demokrasi. Yang Dipertuan Besar tidak akan ditabalkan jika mereka tidak mendapat persetujuan daripada luak undang ini. Dan mengikut adat ini Yang Dipertuan Besar tidak bernegeri dan pemerintahan dibawah Undang Luak. Hanya selepas penguasaan Inggeris setiap Undang dikehendaki menumpahkan taat setia kepada Yang Dipertuan Besar. Walaupun begitu, waris sebagai Yang Dipertuan Besar adalah daripada lingkungan kekeluargaan Yang Dipertua Besar cuma ia perlu mendapat pengesahan daripada Undang Luak (Ismail Hamid:1988).

Hal ini berbeza dengan sistem penggantian dan pertabalan di negeri Perak. Sistem di Perak mengikut peraturan adat temenggong. Ia biasanya meletakkan waris daripada anak lelaki pertama untuk mewarisi takhta .Walaupun begitu ia tertakluk kepada permuafakatan pembesar untuk memilih siapakah yang layak mewarisinya. Sistem penggantian di Perak melibatkan tiga keluarga daripada keturunan atau susur Sultan Ahmadin iaitu waris keluarga Sultan Abdullah ( 1825-1830), Sultan Shahbudin ( 1830-51), dan Sultan Abdullah Muhamad Syah ( 1851-65) (Gullick:1958 ). Dengan tuntutan daripada tiga keluarga ini sistem pertabalan dan penggantian sultan di Perak lebih menjurus pada sistem giliran.. Ini bagi memberi peluang kepada setiap keluarga tersebut untuk ditabalkan menjadi sultan berdasarkan giliran mereka. Cara ini dijalankan bagi menggelakkan berlaku perang saudara dan perebutan kuasa antara keluarga diraja. Pengiliran ini dapat dilihat melalui tahap kedudukan waris raja seperti hiraki berikut: Raja Dihilir, Raja Bendahara, Raja Muda, dan Sultan. (Buyong Adil: 1985,Andaya: 1983, Joginder Singh: 1976). Seperti kata Andaya:1983 ... perbalahan mengenai hak waris telah lama berlarutan. Sistem menggilirkan takhta di antara tiga keturunan diraja yang berlainan yang diasaskan sejak awal kurun itu, dimaksudkan supaya menghalang sebarang pertikaian, tetapi tidak pernah berjalan dengan sempurna. Ketidaksempurnaan kerana ia tertakluk kepada peranan sultan dan pembesar. (Andaya:1983, Joginder Singh: 1976, K.Ratnam: 2001). Maka pada 1874, bermulalah persengketaan tuntutan terhadap takhta Perak yang dituntut oleh waris-waris daripada tiga keluarga ini iaitu Raja Abdulllah, Raja Ismail, dan Raja Yusuf sehingga berlakunya campur tangan Inggeris di Perak dan pengenalan Sistem Residen.

Bagi negeri-negeri lain yang mengamalkan adat temenggong biasanya anak lelaki sulong terus ditabalkan menjadi sultan dan ini boleh dikenali sebagai sistem warisan. Negeri-negeri yang mengamalkan sistem ini adalah seperti Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Trengganu dan Perlis.Walaupun begitu dalam keadaan tertentu ia tidak berlaku. Malahan ia boleh melibatkan adik, cucu dan menantu sultan dalam keluarga diraja (Gullick:1958).

Jika dilihat daripada sistem-sistem yang diamalkan ini kelihatan seolah-olah sistem pepatih mempunyai unsur yang lebih adil dengan memberi hak kepada rakyat untuk menentukan sultan yang berhak ditabalkan melalui peranan Undang Luak. Hal ini kerana luak undang yang dilantik juga mesti melalui cara yang sama. Dengan kata lain rakyat mempunyai hak dan disalurkan melalui luak yang dipilih. Ini bertepatan dengan amalan demokrasi yang memberikan kelebihan kepada rakyat untuk membuat pilihan. Dengan kata lain negeri-negeri yang mengamalkan adat temenggong lebih menjurus pada sistem monarki warisan. Walaupun begitu dalam undang-undang tubuh negeri Johor, rakyat masih boleh engkar dan tidak menumpahkan taat setia kepada sultan jika sultan ttidak mengikut undang-undang tubuh serta nasihat daripada pembesar. Keadaan ini pernah diucapkan oleh Dato Onn semasa pertikaian dalam gagasan Malayan Union 1946.

Selain sistem yang diamalkan pengganti sultan mesti anak gahara ataupun waris benih atau tanah di Perak. Dalam hal ini, anak daripada isteri kedua dan seterusnya dianggap kurang berpeluang untuk menjadi sultan. Peluang itu hanya wujud jika isteri pertama tidak mempunyai anak lelaki dan isteri sultan seterusnya mempunyai anak lelaki dan menjadi pilihan pembesar-pembesar.

Begitu juga dalam perlantikan dan pertabalan, pengganti sultan perlu menghadiri upacara pengkebumian sultan yang mangkat. Jika ini tidak dapat dituruti, maka ia akan digantikan dengan waris lain. Keadaan ini pernah berlaku di Perak, yang menyaksikan Raja Abdullah terlepas daripada ditabalkan menjadi Sultan kerana beliau tidak menghadiri upacara pengkebumian Sultan Ali. Keadaan ini jelas dinyatakan oleh Joginder Singh: 1976, dan Buyong Adil: 1985. Sebagai kesan daripada itu. Raja Ismail yang turut sama menghadiri upacara tersebut telah dilantik menjadi sultan atas permuafakatan para pembesar.

Dalam keadaan-keadaan tertentu, misalannya apabila Sultan tidak mempunyai waris , maka Bendahara boleh dilantik menjadi Sultan dengan persetujuan pembesar dan rakyat. Ini pernah berlaku kepada Bendahara Tun Habab yang menjadi Sultan Johor. Dalam kita mengkaji perlantikan dan pertabalan seseorang Sultan sebenarnya ia lebih bercirikan kesanggupan rakyat untuk menerima seseorang yang berpengaruh dalam sesuatu wilayah. Sebab itu kita dapati Bendahara Tun Habab, Bendahara Wan Ahmad di Pahang dan Keluarga Temenggong Abd. Rahman dapat ditabalkan dan akhirnya diakui sebagai sultan. Dalam hal ini, kita akui bahawa sebagai tradisinya seseorang yang dilantik ke jawatan Sultan itu pada peringkat awalnya ialah waris dan keturunan diraja, tetapi ini sebenarnya tidak menghalang bukan keturunan diraja dilantik dan ditabalkan menjadi sultan jika mereka mendapat sokongan pembesar dan rakyat. Oleh itu, dalam melihat kuasa dan kekuasaan seseorang sultan ialah sejauh manakah ia mendapat sokongan daripada pembesar dan rakyat.

  • Peranan Sultan
Dalam membicarakan peranan-peranan sultan dalam sistem politik tradisional Melayu kita harus meneliti aspek kuasa dan kekuasaan yang ada pada seseorang sultan. Apakah kuasa yang ada pada seseorang dan bagaimanakah kuasa ini boleh menentukan kekuasaannya. Dalam memngkaji kuasa seseorang sultan kita boleh perhatikan dari sudut kuasa fizikal, dan kuasa rohani. Dalam kuasa fizikal kita boleh tentukan bahawa seseorang sultan itu mempunyai kekuatan tenaga yang kuat seperti handal bermain senjata, kebal daripada senjata, boleh mempengaruhi rakyat dengan renungan, dan mempunyai ilmu persilatan yang tinggi. Dalam kuasa rohani kita disogokkan dengan kekuatan yang ada pada sultan seperti kuasa daulat dan tulah. Ia juga mempunyai kaitan dengan unsur ketuhanan dan sultan dianggap sebagai orang yang terpilih oleh tuhan dan wakil tuhan. Dengan ini sultan dianggap mempunyai kekusaan yang luar biasa. Untuk mengketengahkan unsur ini dicipta pelbagai mitos mengenai kekuasaan rohani sultan ini. Maka timbullah sultan ialah daripada keturunan Nabi Sulaiman, dan berketurunan buluh bentung. Ini semua bagi mendapatkan ketaatsetiaaan rakyat agar tidak memberontak dan dihubungkan dengan kepercayaan masyarakat Melayu lama. Melalui kuasa inilah sultan dapat menentukan kekuasaan dan peranannya dalam politik masyarakat Melayu.

Sultan dikaitkan dengan kemampuannya untuk menarik minat rakyat bagi memeluk sesuatu agama. Dengan peranan ini juga ia dilantik secara tidak langsungnya sebagai ketua agama bagi sesebuah negeri. Kemampuan sultan dalam mempengaruhi rakyatnya memeluk agama baru dapat dibuktikan melalui pengislaman sultan Melaka, iaiatu Parameswara Dewa Syah. Dengan pemulukan Islam oleh baginda seluruh rakyat Melaka mengikuti sama memeluk agama Islam. Hal ini kerana, sebelumnya sultan dianggap sebagai wakil kepada tuhan. Ini diterima pakai semasaa Melaka dibawah pengaruh Hindu. Bagi rakyat, dengan sultan sebagai wakil tuhan telah memeluk Islam, mereka mesti sama-sama memeluknya agar tidak ditulah dengan daulat sultan. Dalam sistem kesultanan masa kini sultan setiap negeri mempunyai kuasa dalam hal ehwal agama. Setiap perundangan yang hendak digubal dan dipinda perlu mendapat perkenan sultan. Malahan bagi kes-kes perkahwinan yang tidak mempunyai wali sultan dianggap sebagai wali kepada peihak perempuan.

Peranan kedua yang dimainkan oleh sultan ialah baginda dilambangkan sebagai lambang perpaduan bagi kesejahteraan negara. Dalam sistem politik Melayu yang berteraskan sistem feudal, para pembesar menguasai wilayah-wilayah tertentu. Para pembesar ini mempunyai hak istimewa untuk memungut dan mengenakan cukai kepada para pengikutnya. Seringkali juga para pembesar ini berselisih faham mengenai hak dan kekuasaan mereka. Ini selalunya menimbulkan kekacauan. Bagi mencari jalan penyelesaian tuntutan mereka sultan diangap sebagai orang tengah yang terbaik. Oleh itu, setiap pembesar dalam membuat tindakan akan berusaha untuk mendapatkan perkenan dan restu Sultan. Jika tidak mereka dianggap derhaka dan akan diperangi oleh sultan dan pembersar-pembesar yang menyokong sultan. Keadaan ini dapat juga dilihat bagaimana Dato Maharajalela bermuafakat dengan Sultan Abdullah untuk membunuh JWW Birch. Jika Sultan Abdullah tidak memberikan perkenan maka Maharajalela tidak akan membunuh Birch. Dalam sistem sultan masa kini Yang Dipertuan Agong mempunyai peranan sebagai lambang perpadua masyarakat yang berbilang kaum. Ini terbukti apabila dalam salah satu prinsip Rukunegara yaang meletakkan Kesetiaan kepada Raja dan Negara sebagai satu perlambangan peranan Sultan ini.

Aspek ketiga dalam peranan sultan dapat dilihat fungsi sultan dalam bidang kehakiman. Dalam aspek ini sultan mempunyai kuasa dalam menentukan hukuman yang akan dikenakan oleh pesalah terutama hukuman mati. Selalunya hukuman yang dikeluarkan oleh mulut sultan merupakan hukuman yang muktamad dan tiadak ada rayuan yang boleh dilakukan. Keadaan seperti ini pernah berlaku seperti peristiwa Laksamana Hang Tuah yang dijatuhi hukuman mati. Selain itu, sultan juga boleh menurunkan kuasanya kepada pembesar daerah dalam menjatuhkan hukuman. Walau bagaimanapun hukuman tersebut hanya hukuman ringan dan jika terdapat hukuman berat hendaklah ia dihadapkan kepada sultan. Walaupun begitu, ada sesetengah pembesar yang tidak mengendahkan peraturan ini kerana mereka beranggapan bahawa mereka berkuasa di dalam wilayah jajahan mereka. Keadaan ini menunjukkan bahawa sultan adakalanya tidak mempunyai kuasa. Kekuasaan yang ada pada sultan dilihat sebagai sebahagian daripada kekuasaan berdasarkan kepercayaan masyarakat melayu lama iaitu sultan merupakan individu yang mempunyai kekuasaan ketuhanan yang didasarkan pada konsep daulat dan tulah. Dengan konsep inilah sultan diibaratkan sebagai seorang yang tidak mungkin melakukan kesalahan dan ia boleh laksanakan hukuman berdasarkan budibicaranya sendiri.

Peranan keempat yang dimainkan oleh sultan ialah sultan merupakan seorang ketua negara dan ketua kerajaan. Sultan dianggap sebagai empunya tanah di wilayah jajahan takluknya. Dengan fungsinya seperti ini sultan boleh melakukan apa-apa sahaja serta berkuasa dalam membuat perlantikan terhadap pembesar negara. Dalam soal tanah sultan berkuasa dalam mengkurniakan tanah kepada rakyatnya. Dengan pengkurniaan inilah rakyat dapat bercucuk tanam dan menjalankan aktiviti-aktiviti ekonomi. Sebagai ketua negara dan kerajaan sultan menentukan dasar-daar negara dengan dinasihati oleh para pembesar terutamanya oleh Bendahara. Sering kali dalam memberikan nasihat ini Bendahara mempunyai pengaruh yang amat penting. Walaupun begitu disebabkan institusi kesultanan lebih berfokuskan kepada sultan maka berlakulah aktiviti mendapatkan sokongan sultan. Keadaan inilah yang sering menyebabkan berlakunya fitnah seperti yang berlaku kepada keluarga Tun Mutahir, Bendahara Melaka yang difitnah oleh Raja Mendaliar. Berlakunya fitnah ini disebabkan oleh tiadanya kuasa pengimbang yang boleh membela Tun Mutahir kerana kesemua kuasa terletak pada sultan. Ini dilemahkan lagi apabila penasihat sultan iaiatu Bendahara sendiri yang didakwa melakukan kesalahan.

Peranan kelima kita dapati sultan diibarat sebagai seorang individu yang mempunyai kuasa keramat. Dengan kuasa ini sultan dilambangkan sebagai manusia yang berlainan daripada individu lain. Malahan individu yang menjadi sultan juga dilihat sebagai seorang yang berlainan sebelum ia dittabalkan sebagai sultan. Peranan kekeramatan ini dapat dilihat apabila seseuatu anugerah sultan dilihat sebagai ada sakti dan orang yang menggunakannya akan menjadi handal atau kebal. Dengan sifat ini sultan dianggap mempunyai kesucian dan kemuliaan. Ia ditambahkan lagi dengan adanya alat-alat seperti alat muzik, senjata dan beberapa alatan pertabalan dan lambang jawatan sebagai mempunyai kuasa seiring dengan kuasa sultan. Sebagai contoh nobat, sebagai alat muzik tradisi Melayu dianggap hanya boleh digunakan dan dimainkan jika mendapat kebenaran sultan. Jika ia tidak mendapat kebenaran maka si pemainnya akan mendapat kecelakaan. Dengan sifat inilah sultan dapat menggerakkan rakyatnya gara tunduk dan memberikan tumpah taat setia. Keadaan ini termasuklah para pembesar. Inilah yang dikaitkan dengan daulat. Kepada mereka yang derhaka maka kekeramatan dan kesucian sultan ini akan mendatangkan tulah kepada penderhaka. Inilah yang berlaku kepada Hang Jebat dan Megat Sri Rama Laksamana Bentan yang tewas dengan keperkasaan pahlawan yang mendapat restu sultan. Malahan dalam kes Megat Sri Rama orang Melayu berkepercayaan bahawa keluarga Laksamana telah disumpah selama tujuh keturunan dan tidak boleh menyeberangi sungai Kota Tinggi. Jika ini dilanggar maka ia akan muntah darah. Dengan peranan kekeramatan ini sultan dapat menjaga keharmonian negara dan menerima ketaatan daripada rakyat.

Sebagai kesimpulan daripada peranan-peranan yang dimainkan oleh sultan, ia sebenarnya mempunyai sifat-sifat pro dan kontra. Dalam satu segi ia kelihatan baik bagi mendapatkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi, tetapi bagi sultan yang zalim institusi ini mendatangkan banyak masalah. Oleh sebab itu, selepas kedatangan dan dalam zaman penjajahan British konsep sultan serta peranan mereka dalam sistem pentadbiran Melayu lama ini telah diubah agar ia mencerminkan kewibawaan untuk melindungi rakyat dan membawa kesejahteraan negara. Maka setelah wujudnya perlembagaan Persekuuan Tanah Melayu 1948 peranan sultan telah banyak berubah serta kekuasaan sultan mesti mengikut perlembagaan yang diluluskan oleh parlimen

Sumber: http://saku30.tripod.com/

Islam memandang tinggi wanita berilmu

Peranan hawa diiktiraf dalam pelbagai aspek bantu perkasa ekonomi negara

PELANTIKAN dua hakim syarie wanita baru-baru ini, mengorak langkah positif terhadap usaha membersihkan Mahkamah Syariah daripada sangkaan berat sebelah terhadap golongan hawa. Sebenarnya sudah banyak sektor dalam negara ini dikuasai wanita.

Penguasaan wanita dalam jawatan sektor awam ada kalanya menimbulkan kebimbangan sesetengah pihak kerana dikatakan menimbulkan ketidakseimbangan dalam tataatur masyarakat di Malaysia. Peranan dimainkan golongan itu sering disalahertikan.

Melihat kepada sejarah, wanita pada zaman Rasulullah sangat cekal serta menjadi pendorong kepada Rasulullah dan sahabat berjuang menegakkan syiar Islam. Perjuangan Rasulullah akan menjadi lebih sukar tanpa nama besar wanita seperti Siti Aminah, Khadijah, Aishah, Halimatussa'diah, Ummu Salamah, Ummu Aiman dan banyak lagi. Peranan mereka sangat besar dan memberi kesan mendalam kepada Nabi.

Dalam bidang politik, wanita sering menghadapi pelbagai persoalan seperti sejauh manakah Islam membenarkan Muslimah bergerak cergas dalam arena politik? Bolehkah seseorang Muslimah bertanding untuk menjadi wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri atau Parlimen?

Imam Al-Ghazali mengatakan, politik berteraskan kehidupan manusia. Ahli politik memerlukan diri mereka terbabit dengan masyarakat. Justeru, politik berkait rapat antara individu dengan masyarakat.

Ada pandangan mengharamkan wanita menceburi politik kerana pada zaman Nabi Muhammad dan sahabat, tidak ada seorang pun wanita diajak membincangkan masalah berhubung urusan negara atau hukum syarak.

Ada juga berpandangan wanita boleh berpolitik untuk pembangunan serta kemajuan negara kerana Khalifah Umar ibn Al Khatab juga pernah mendapat nasihat dan teguran dalam melaksanakan undang-undang pentadbiran negara daripada Muslimah.

Ramai ahli falsafah Barat berpendapat, wanita dijadikan hanya untuk berkhidmat kepada lelaki. Rosseau umpamanya, mengatakan wanita itu tidak dijadikan untuk ilmu pengetahuan, hikmat, berfikir, mempunyai keahlian, menjadi sarjana dan berpolitik atau tugas negara, tetapi dijadikan hanya untuk menyusukan anak.

Hanya menjelang abad ke-20, pemikir Barat mula memberi kebebasan kepada wanita seperti dinikmati lelaki iaitu kebebasan bersuara, mencari ilmu, bekerja dan memimpin. Kerjaya wanita sebagai pendidik mula terserlah.

Islam menyebarkan dasarnya dengan jelas mengenai wanita dalam segala aspek kehidupan terutama dalam bidang pendidikan.

Rasulullah bersabda maksudnya: "Mempelajari ilmu itu wajib bagi setiap orang Islam, lelaki dan perempuan."

Dasar itu ditegaskan sejak kemunculan Islam pada abad keenam Masihi, masih terpakai dan terus menjadi tunjang kepada dasar pengajaran Islam hingga hari ini.

Islam bukan saja meletakkan wanita di tempat paling wajar sebagai manusia dan teman hidup lelaki, tetapi Islam menghargai sifat kehalusan serta ketajaman perasaan wanita yang menjadikan mereka layak memegang tugas sebagai pendidik berbanding lelaki.

Wanita dijadikan daripada tulang rusuk lelaki adalah dekat di hati lelaki, bukan di kepala untuk dijunjung atau di kaki bagi dipijak. Wanita dekat di hati lelaki untuk disayangi.

Sejak zaman Rasulullah lagi, kecekalan wanita diuji dengan pelbagai cabaran dan paling utama menuntut ilmu, kerana ilmu perkara penting berjaya dalam kehidupan.

Rasulullah bersabda bermaksud: "Sebaik-baik wanita ialah wanita kaum Ansar, mereka tidak ada perasaan malu untuk mendalami ilmu berkaitan urusan agama mereka." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Islam tidak pernah membezakan status lelaki dan wanita dalam aspek keilmuan. Mereka diberikan peluang sama kerana memperkasa wanita perlu untuk mencapai pembangunan sosial, ekonomi dan politik.

Jika merujuk kecekalan Saidatina Khadijah, contoh wanita cerdik dan pintar dalam ilmu perniagaan sehingga beliau menjadi antara hartawan paling disegani di Kota Makkah. Begitu juga kesungguhan Saidatina Aisyah yang petah berhujah mencari kebenaran isu diketengahkan.

Saidatina Aisyah memahami maksud hadis tersirat sama ada berbentuk ungkapan, sikap dan perbuatan, malah dalam keadaan diam Rasulullah. Sumbangan dan jasa Aisyah dalam perundangan Islam khususnya fiqh wanita diakui Urwah bin Zubir yang belum pernah melihat seseorang lebih alim dalam ilmu fiqh, kedoktoran dan syair selain Aisyah.

Saidatina Aisyah bukan saja menjadi rujukan wanita malah lelaki termasuk sahabat Nabi. Abi Musa al-Asyari berkata: "Setiap kami, sahabat Rasulullah SAW mengalami kesulitan mengenai sesuatu hadis, lalu kami bertanyakan Aisyah. Kami mendapatkan pengetahuan (memuaskan daripadanya)."

Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan secara amnya wanita hari ini masih kurang pengetahuan mengenai haknya di sisi undang-undang. Ramai wanita mengalami masalah di tempat kerja, rumah tangga serta persekitaran, membiarkan masalah berlarutan atau dipendamkan begitu saja.

Kebanyakan wanita lebih sanggup menanggung derita daripada membuka pekung di dada. Wanita perlulah diiktiraf dan dihargai semua pihak dan tanggungjawab itu tertakluk kepada hukum yang ditetapkan Islam.

Oleh: Zainul Rijal Abu Bakar (Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi melalui emel di zainul.rijal@abubakar.my)
Sumber: http://www.bharian.com.my/

Keperihatinan dalam pengajaran


BAGAI seorang guru sifat keperihatinan dalam proses pengajaran amatlah diperlukan. Ia membawa pengertian bahawa guru harus sentiasa mengetahui perkembangan murid sama ada dalam aspek akademik mahupun aspek keperibadian mereka.

Hampir separuh hari atau kadangkala sehari suntuk murid-murid berada di sekolah bersama dengan guru-guru. Dalam hal ini guru merupakan orang yang banyak menggunakan masa berdamping dengan mereka. Bagi murid-murid di tahap satu umpamanya, boleh dikatakan hampir keseluruhan urusan peribadi murid di bawah tanggungjawab guru seperti memberi panduan penjagaan kesihatan, fardu ain, pengurusan masa, pengurusan belajar dan sebagainya dilakukan saban hari.

Mungkin agak sukar bagi sesetengah guru permulaan untuk menerima hakikat ini di mana terdapat pelbagai kerenah harus dihadapi dengan penuh kesabaran. Oleh itu berikut diberi panduan bagaimanakah seorang guru boleh menerima tanggungjawab ini secara profesional.
  •  Murid sebagai anggota keluarga.
Oleh kerana seseorang guru itu sentiasa berada bersama murid-muridnya maka ia harus menganggapkan mereka adalah sebahagian daripada anggota keluarga sendiri. Sebagai anggota keluarga sudah tentu perasaan kasih sayang serta saling menghormati di antara satu sama lain perlu dipupuk. Kita tidak sanggup melihat anggota keluarga kita terumbang ambing dalam mengharungi liku-liku kehidupan. Kita semestinya memberi bimbingan dan tunjuk ajar agar mereka boleh berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat.
  • Murid sebagai warisan generasi.
Anak-anak masa kini, pemimpin pada masa hadapan. Begitulah ungkapan yang pernah kita dengar yang membawa maksud anak-anak inilah yang akan mewarisi generasi dan mewarnai kehidupan masa hadapan. Jika kita tersalah bimbing maka kesilapan ini akan membawa padah di masa yang akan datang di mana kemusnahan dan kehancuran akan sama-sama kita rasai. Dengan lain perkataan, sebahagian daripada corak kehidupan murid-murid bergantung kepada keperihatinan seorang guru.
  • Murid sebagai pembela bangsa.
Keperihatinan guru terhadap muridnya akan meninggalkan kesan yang mendalam ke atas diri murid-murid. Kadang kala murid lebih mempercayai guru daripada ibu bapanya. Tidak hairanlah jika murid merujuk pada kata-kata atau nasihat guru apabila berhadapan dengan sesuatu perkara yang hendak diselesaikan. Ilmu serta sifat keperibadian yang dipelajari oleh guru akan mematapkan pelajar serta mampu menjadi pemimpin atau pembela bangsa dan negara.

Menyedari betapa kuatnya pengaruh guru terhadap diri pelajar, guru-guru harus berusaha mendekati murid agar nilai-nilai murni yang ingin diterapkan mampu dicapai. Ingat! guru kencing berdiri, murid kencing berlari, berguru kepalang ajar ibarat bunga kembang tak jadi, guru berjiwa mulia, murid berasa bahagia, dunia aman sejahtera.

Oleh DR. ISMAIL ZAIN
Sumber: http://www.tutor.com.my

KEM KECEMERLANGAN SPM 2010 - Fasilitator Untuk Mata Pelajaran Prinsip

Kem Kecemerlangan Pelajar 2010 Mata pelajaran Aliran Vokasional (MPAV) bagi kursus Elektrik dan Elektronik ini, diadakan di Kampung Aceh Management Centre (KAMC), Yan Kedah.
Penceramah En. Adam B. Othman sebagai Fasilitator untuk Mata Pelajaran Prinsip sedang menunjuk cara untuk memahami dengan mudah untuk mempelajarai modul Sistem Berdigit (Digital)
Pelajar aliran Elektirk dan Elektronik SMV Arau sentiasa bersedia dalam persiapan untuk menghadapi peperiksaan menjelang SPM 2010.
Seorang pelajar yang baik tidak malu bertanya sekiranya menghadapi masalah pembelajaran
Mempelajari sesuatu perkara adalah tidaklah susah! kecuali kita mengatakannya di dalam hati mata pelajaran tersebut adalah susuh sebelum kita mula mempelajari pelajaran tersebut.
ATAU, DAN, TAK, TAKATAU dan TAKDAN, itu adalah lima logik asas yang perlu difahami operasinya, sebelum mendalam mata pelajaran tersebut... Jangan sampai takdan (loghat utara) nak belajar dah la!!
Oooo.. macam ni!!! baru la saya tau... senang rupanya..
Buat latihan!!! jangan tak buat... nanti lupa pulak!!
Terima Kasih kepada SMV Arau, terutama sekali kepada guru-guru MPAV (Elektrik & Elektronik), memilih saya, untuk menjalan salah satu tugas yang amat mulia. Pada saya dan rakan-rakan sepejuangan memdidik adalah satu tanggungjawab dan perlu dilaksanakan tidak kira siapa, dimana dan bila.