Friday, April 15, 2011

Bersedia ke Prasekolah

Memberikan anak anda permulaan yang terbaik akan membantunya mendapat kemahiran yang diperlukan untuk pendidikan formal dan pengetahuan seumur hidup.

Prasekolah di Malaysia adalah sebahagian daripada Sistem Pendidikan Kebangsaan dan berada di bawah Akta Pendidikan 1996. Ia dijalankan oleh agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) atau institusi swasta. Walaupun berlainan metodologi, ia perlu mengikut Kurikulum Prasekolah Kebangsaan (KPK) yang dibangunkan oleh Pusat Pembangunan Kurikulum (PPK).

KPK menganjurkan kurikulum yang bersepadu dan menyeluruh serta merangkumi semua aspek perkembangan kanak-kanak seperti yang dinyatakan di atas. Ia digubah mengikut konteks tempatan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. KPK memberi garis panduan yang fleksibel kepada setiap prasekolah untuk merancang aktiviti mereka



Meja anda dipenuhi dengan risalah, rencana surat khabar dan iklan mengenai kaedah terkini pendidikan prasekolah. Anda melayari internet untuk meninjau halaman web prasekolah. Anda juga menghubungi pengetua prasekolah dan bertanya berapakah kos pembelajaran jika anda menghantar anak anda ke sana.

Ya, inilah masanya untuk ke prasekolah. Ia merupakan langkah pertama anak anda ke dunia sosial selain bersama ibu bapanya dan merupakan permulaan untuk masa depan yang cerah.

Ramai ibu bapa menyedari kepentingan pendidikan prasekolah dan tidak ragu-ragu untuk memberikan yang terbaik untuk anak mereka, namun ada yang kurang memahami apakah yang dimaksudkan dengan yang ‘terbaik’.

Untuk rencana isu kali ini, kami menemubual Prof Dr Chiam Heng Keng, Presiden Persatuan Pendidik Profesional Awal Kanak-kanak, Malaysia; Jayawathi Perera, Presiden Persatuan Tadika Malaysia; dan Eveleen Ling, penasihat kepada Persatuan Tadika Malaysia bagi mendapatkan pandangan mereka berhubung pendidikan prasekolah yang berkualiti dan apa yang anda boleh lakukan – bermula dengan pemilihan prasekolah untuk anak anda – bagi memastikan tahun pertama yang istimewa untuk anda berdua.

Apakah pendidikan prasekolah yang berkualiti?
Ia mungkin memeranjatkan anda namun jawapannya mudah: sekolah yang memberi manfaat kepada anak anda. Sesebuah prasekolah hanya boleh memberi manfaat sekiranya ia memenuhi keperluan anak anda untuk berkembang pada setiap peringkat perkembangannya, bukan mengikut kehendak guru atau ibu bapa.

Pendidikan prasekolah berkualiti yang sesuai
Perkembangan kanak-kanak ialah satu proses yang kompleks yang meliputi bahasa dan komunikasi; perkembangan kognitif; perkembangan sosio-emosi; perkembangan kemahiran berfikir secara kritikal; perkembangan fizikal; kerohanian dan moral; dan kreativiti dan estetika. Setiap kanak-kanak walaupun sebaya, berkembang pada kadar berbeza. Apa yang bermanfaat pada seorang kanak-kanak mungkin tidak berguna kepada kanak-kanak yang lain.

Oleh itu, setiap pendekatan, aktiviti dan bahan yang digunakan mestilah bersesuaian dengan perkembangan setiap kanak-kanak. Sebagai contoh, seorang anak yang belum menguasai kemahiran motor halus perlu diberi latihan pramenulis seperti bermain dengan tanah liat (atau plastisin) atau mewarna dan bukannya memaksanya untuk menulis ABC sebanyak berpuluh muka surat.

Pendidikan prasekolah berkualiti yang tulus
Kebanyakan ibu bapa lebih tertumpu kepada perkembangan kognitif anak mereka. Mereka mahukan anak mereka berfikir secara logik, pantas belajar dan pandai menyelesaikan masalah walaupun masih muda. Mereka mahu anak mereka menjadi ‘pintar’.

Pendidikan prasekolah yang berkualiti bukan sahaja mementingkan nilai tersebut. Ia menitikberatkan perkembangan kanak-kanak secara keseluruhan yang merangkumi kemahiran bahasa dan komunikasi, perkembangan emosi sosial dan fizikal, kreativiti dan estetika serta pembentukan moral dan kerohanian.

Prasekolah berkualiti sebagai pusat bermain
Bermain ialah bahasa universal untuk kanak-kanak. Dengan bermain, mereka belajar mendapat pengetahuan, memahami diri sendiri dan orang lain serta mengawal emosi mereka. Mereka belajar mengenai bentuk dan saiz, tindakan dan akibat, menang dan juga erti kekalahan. Mereka terdedah dengan pelbagai pengalaman yang membantu perkembangan intelektual.

Pendidikan prasekolah berkualiti menggunakan pendekatan yang integrasi Jika ingin menarik minat kanak-kanak untuk belajar, dia perlu tahu bahawa apa yang dipelajarinya akan dipraktikkan dalam kehidupan seharian dan bukannya terhad di dalam kelas sahaja. Berdasarkan prinsip ini, pendekatan yang bersifat integrasi akan melibatkan pelbagai aspek perkembangan ke dalam setiap aktiviti untuk menjadikan pengalaman pembelajaran lebih efektif.

Sebagai contoh, seorang kanak-kanak diminta membayangkan dirinya berjalan di taman dan melukis apa yang dilihatnya. Untuk melakukan ini, dia memerlukan kemahiran kognitif dan kreativiti untuk melukis gambar yang berada di fikirannya, kemahiran motor halus untuk melukis bunga dan pokok seperti yang dibayangkan dan kemahiran bahasa untuk berkomunikasi dengan guru tentang apa yang dilukisnya.

Ciri-ciri prasekolah yang anak anda minat

Cara terbaik untuk menilai prasekolah yang berkualiti ialah dengan melawatnya sendiri. Hubungi prasekolah tersebut dan buat temu janji untuk melawat kelas yang sedang dijalankan. Elakkan daripada membuat lawatan pada bulan Januari kerana kelas baru sahaja bermula. Jika boleh, lawat ketika guru dan kanak-kanak sudah bersedia dan segalanya berjalan dengan lancar. Berhati-hati ketika melawat kerana kanak-kanak mudah terganggu. Perhatikan dari jauh dan jangan bertanya soalan kepada guru ketika dia sedang mengajar. Di sini terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira:

Pendaftaran yang sah
Sebuah prasekolah perlu didaftarkan dengan Jabatan Pendidikan Negeri, salah satu cabang Kementerian Pelajaran. Kementerian akan sentiasa membuat pemantauan dan setiap prasekolah yang didaftarkan perlu memenuhi keperluan minimum dan kualiti pendidikan yang piawai.

Selamat dan mesra untuk kanak-kanak
Keselamatan anak adalah keutamaan anda. Itulah sebabnya mengapa anda perlu menghantar anak ke prasekolah yang berdaftar kerana ia memenuhi keperluan keselamatan tempat, keselamatan kebakaran dan juga kebersihan. Sebagai tambahan, anda boleh perhatikan sama ada terdapat ciri-ciri keselamatan yang lain: Adakah kawasan luarnya berpagar? Adakah terdapat bucu-bucu tajam di meja? Adakah sinki dan tandas sesuai untuk kanak-kanak?

Sebuah prasekolah perlu bersih, ceria, mempunyai pengudaraan yang baik serta ruang yang cukup besar untuk anak anda berlari dan bermain. Hasil kerja mereka yang ditampal pada dinding juga perlu selaras dengan paras mata mereka.

Memandangkan komunikasi terbuka juga penting dalam proses pembelajaran, kelas yang ideal ialah antara 12 hingga 15 kanak-kanak dengan seorang guru dan seorang pembantu.

Kurikulum berdasarkan KPK (Kurikulum Prasekolah Kebangsaan)
Ciri-ciri sebuah prasekolah yang baik seperti yang dibincangkan seharusnya dicerminkan dalam program prasekolah tersebut. Adakah kurikulumnya seimbang dan bersesuaian dengan tahap perkembangan? Adakah ia memperuntukkan masa untuk makan tengahari, snek ringan, tidur petang dan bermain secara bebas?

Kesemua kriteria ini perlu dipenuhi sekiranya prasekolah tersebut berdaftar dengan KPK. Sekiranya anda tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai KPK, pengetua dan guru prasekolah sepatutnya tahu dan boleh menjelaskannya kepada anda.

Falsafah yang betul
Oleh kerana nilai moral dan kelakuan anak anda yang dipelajari di rumah perlu konsisten dengan prasekolah, pastikan anda berkongsi falsafah yang sama dengan prasekolah tersebut.

Katakan falsafah prasekolah ialah mengajar kanak-kanak supaya pandai berdikari – sebagai contoh, basuh tangan dan memakai baju sendiri. Kanak-kanak mungkin belajar hal ini di prasekolah namun apabila dia pulang ke rumah, ibu atau pembantu rumah yang akan melakukan untuknya. Secara tidak sengaja, ia telah bercanggah dengan apa yang telah dipelajari oleh kanakkanak tersebut.

Oleh itu, adalah penting anda bertanya kepada guru apakah falsafah prasekolahnya. Mereka sepatutnya boleh memberitahu anda falsafah tersebut dan bagaimana mereka mengajarnya di dalam kelas setiap hari.

Guru yang baik dan berkelayakan
Mudah sahaja untuk mengenali guru prasekolah yang bagus. Dia seorang yan g baik hati, ceria dan menyukai kanak-kanak. Dia berminat untuk melibatkan diri dengan apa yang dilakukan oleh kanak-kanak. Dia memakai baju yang memudahkannya berbongkok apabila bercakap dengan kanak-kanak, berlari atau merangkak apabila bermain bersamanya. Dia seorang yang sensitif dan responsif– jika seorang kanak-kanak terjatuh, dia akan segera memujuknya.

Anda diibaratkan menyerahkan sebahagian tanggungjawab besar pembelajaran anak anda kepada guru, maka guru tersebut perlulah mempunyai kelayakan akademik dan profesional. Dia juga patut mempunyai pengetahuan mengenai Kurikulum Prasekolah Kebangsaan dan boleh menjelaskan bagaimana dia menggunakannya di dalam kelas.

Kanak-kanak yang gembira, mengerti dan produktif
Pemandangan yang indah di prasekolah ialah apabila melihat wajah gembira kanak-kanak yang produktif. Anda boleh lihat mereka bekerjasama menyelesaikan projek, berkawan dan berseronok. Mereka lebih ekspresif, yakin dan berkomunikasi secara terbuka sesama mereka dan juga guru apabila berada di dalam kelas.

Kehadiran ibu bapa
Cuba tanyakan mengenai aktiviti yang melibatkan ibu bapa. Berapa kalikah mereka mengadakan hari terbuka atau perbincangan guru dan ibu bapa? Adakah anda digalakkan untuk menawarkan diri dan terlibat dalam pelbagai aktiviti? Berhati-hati dengan prasekolah yang tidak begitu mengalualukan penglibatan anda.

Menyiapkan anak ke prasekolah

Melangkah ke prasekolah merupakan satu perubahan besar kepada si kecil dan juga kepada anda. Sebagai ibu bapa, anda pasti berasa sedikit bimbang dan bersifat terlalu melindungi. Sekiranya anda sudah melakukan tinjauan dan yakin dengan pilihan anda, sedikit demi sedikit perasaan gementar itu akan hilang. Untuk anak anda pula, anda boleh menyediakan beberapa perkara untuknya:

Membiasakan diri

Hubungi prasekolah dan buat temujanji. Perkenalkan anak anda kepada gurunya dan biarkannya untuk membiasakan diri. Lakukan beberapa kali, atau seberapa lama yang diperlukannya.

Sekiranya anak anda adalah anak tunggal yang jarang berinteraksi dengan kanak-kanak lain, bawanya ke taman permainan berdekatan dan biarkannya rasa keseronokan bermain. Ini dapat membantunya supaya lebih bersedia apabila berhadapan dengan wajah yang tidak dikenali apabila berada di prasekolah kelak.

Buatkan anak anda berasa seronok dan tidak sabar
Bawa anak anda membeli-belah keperluan sekolah dan berbual dengannya tentang prasekolah – tentang kawan-kawan baru, keseronokan yang akan dialaminya dan baju sekolah yang akan dipakainya.

Bangun awal pagi
Latih anak anda untuk bangun awal sebagai persediaan ke prasekolah. Jadikan waktu bangun pagi sebagai waktu yang seronok dan buatkan anak anda tertunggu-tunggu apakah yang diperolehi apabila berbuat demikian. Anda boleh bersarapan pagi bersama, kemudian lakukan perkara yang anak anda suka. Lakukannya selama beberapa minggu. Apabila sudah tiba masa ke prasekolah, mengejutkannya pada waktu pagi sudah tidak menyusahkan lagi.

Kestabilan di rumah
Elakkan daripada berpindah atau mengambil pembantu rumah baru apabila anak anda mula memasuki prasekolah. Terlalu banyak perubahan akan mengganggunya.

“Meninggalkan” anak anda
Hari-hari pertama di prasekolah boleh menjadi agak sukar. Jangan hanya meninggalkan anak anda dan pergi atau melakukannya secara senyap apabila anak anda tidak melihat. Luangkan masa dengannya di prasekolah sebelum meninggalkannya. Apabila masa berlalu, anda akan lihat anak anda tidak memerlukan anda menemaninya lagi.

Bagaimana memastikan tahun pertama yang terindah di prasekolah

Sebaik mana pendidikan prasekolah adalah bergantung kepada guru dan juga anda. Sesetengah perkara – biasanya pada tahun pertama – mungkin tidak seperti yang dijangka. Bersikap positif dan realistik terhadap jangkaan anda. Guru anak anda juga mengharapkan yang terbaik untuknya. Berikut adalah beberapa cara yang boleh anda lakukan untuk menjadikannya tahun yang terbaik untuknya:

Jangan hanya memerhatikan sahaja. Aktifkan diri anda dengan melibatkan diri dengan aktiviti prasekolah anak anda. Jika boleh, luangkan masa untuk menghadiri aktiviti dan menawarkan bantuan jika diperlukan.

Eratkan hubungan dengan guru dan sentiasa berkomunikasi.
Bertegur sapa dengan gurunya apabila anda menjemput pulang anak anda setiap hari. Jangan rasa risau sekiranya anda selalu bertanya kepadanya. Guru yang terlatih biasanya faham dan akan mendengar serta memberikan komen yang baik tentang kemajuan pendidikan anak anda.

Berikan galakan dan pujian kepada guru apabila dia melakukan kerjanya dengan baik. Apabila menyuarakan kebimbangan anda, janganlah terlalu menekan. Cuba cari penyelesaian dengan bekerjasama dengannya untuk mencapai keputusan.

Berbual dengan anak anda setiap hari mengenai prasekolahnya. Apa yang dilakukannya hari ini? Adakah dia seronok? Apakah hasil kerja yang dibawanya pulang? Tanya mengenai harinya dan raikan setiap perkara baik yang berlaku kepadanya. Jaga harga diri anak anda.

Jangan sesekali membandingkannya dengan kanak-kanak lain. Setiap kanak-kanak adalah unik dan berkembang pada kadar berbeza. Berbincang mengenai kepintaran kawannya akan merendahkan keyakinan dirinya. Pada masa yang sama, elak daripada berbincang mengenai perkara negatif anak anda dengan guru di hadapannya.

Akhir sekali, berikan galakan kepada anak anda. Prasekolah adalah masa menyeronokkan baginya dan dia mungkin mempunyai banyak perkara yang ingin diceritakan. Biarkan dia berbicara dan jangan sesekali menyampuk ceritanya.

Walaupun prasekolah penting untuk pendidikan anak anda, ia juga merupakan masa untuk anak anda berseronok, bermain dan penuh kasih sayang. Ia bukanlah masa untuk mengajarnya sebanyak yang mungkin sebagai persediaan ke sekolah rendah atau membandingkannya dengan anak orang lain. Ia sebenarnya mencipta satu persekitaran baru yang menggalakkan perasaan ingin tahu dan membantunya untuk suka belajar. Sikap sebegini ini akan kekal sepanjang hayat dan membantu anak anda dalam membuat keputusan pada masa depan.
Pembelajaran tidak terhad di dalam kelas sahaja, jadi janganlah anda mendaftarkan anak anda mengikuti kelas tambahan yang lain. Memaksanya melakukan perkara yang dia belum bersedia atau suka akan menyebabkannya tidak mahu belajar. Jika boleh, berilah dia peluang menimba pengetahuan baru di luar prasekolah. Dia akan belajar lebih baik sambil berseronok.

Sumber: http://www.mypositiveparenting.org/

Vitamin, Garam Galian & Supplemen


Apakah supplemen vitamin dan garam galian?

Pil vitamin atau garam galian yang diambil sebagai tambahan kepada makanan.

Adakah supplemen vitamin dan garam galian diperlukan?

Jika anda sihat dan makan makanan seimbang berpandukan kepada Piramid Makanan Malaysia, supplemen tidak diperlukan, (melainkan jika anda mengandung atau bila dinasihati oleh Doktor atau Pakar Pemakanan).
Jika anda perlu mengambil supplemen, sila rujuk kepada Doktor atau Pakar Pemakanan anda.
Dos supplemen yang berlebihan boleh memudaratkan. Sila ikut Saranan Pengambilan Nutrien Malaysia 2005 (Recommended Nutrient Intakes for Malaysia 2005).

Apakah jenis supplemen vitamin dan garam galian yang biasa?
  • Vitamin A
  • Vitamin C
  • Vitamin B12
  • Zat besi
  • Zink
  • Kalsium
  • Asid Folik
  • Iodine
Vitamin A
Kepentingan

Ia juga dikenali sebagai Retinol. Ia penting untuk :
  • Tumbesaran kanak-kanak yang sempurna,
  • Penglihatan yang baik (mencegah dan kadang-kala memulihkan rabun malam) untuk kanak-kanak dan orang dewasa.
  • Kulit yang sihat
  • Lapisan selaput mukosa didalam tubuh.
Kekurangan Vitamin A boleh menyebabkan :
  • Penurunan daya tahan kepada jangkitan;
  • Kulit kasar, kering dan berjerawat;
  • Masalah penghadaman;
  • Batu karang (ginjal);
  • Rabun malam
  • Penyakit mata, termasuk xerophthalamia, dimana ia boleh menyebabkan buta.
Sumber
  • Sumber Vitamin A yang baik adalah :
  • Hati, telur
  • Marjerin
  • Susu penuh krim dan susu rendah lemak
  • Beta Carotene dari makanan (terdapat dengan banyaknya di dalam labu, lobak, aprikot, mangga, betik dan buah dan sayur yang berwarna kuning/oren dan merah serta dalam sayuran daun hijau seperti bayam, sawi, lobak putih dan ubi bit) yang akan ditukar kepada Vitamin A oleh tubuh kita.
Keracunan
  • Vitamin A larut lemak, dan ianya disimpan dalam badan sekiranya supplemen berlebihan diambil secara berlebihan
  • Dalam kes yang teruk, kemungkinan berlaku rabun penglihatan, tekanan tinggi dalam otak, dan keguguran rambut.
Vitamin C
Kepentingan
  • Vitamin C, juga dikenali sebagai asid askorbik.
  • Ianya penting untuk pembentukan dan pengekalan kolagen, iaitu sejenis protein yang mengukuhkan kedudukan sel badan.
  • Ia sangat mustahak untuk tulang dan gigi, untuk pembuluh darah, dan penyembuhan luka.
  • Vitamin C juga membantu dalam proses metabolisma beberapa jenis asid amino dan hormon.
  • Ia juga memiliki kesan antioksida, dengan membantu badan mengeluarkan kumuhan karcinogenik hasil dari proses metabolisma yang digelar sebagai radikal bebas.
Kekurangan Vitamin C boleh menyebabkan:
  • Skurvi
  • Kurang daya tahanan
  • Pendarahan gusi.
  • Sumber

Sumber Vitamin C yang baik adalah :
  • Jambu batu
  • Betik
  • Belimbing
  • Mangga
  • Buah Sitrus (Limau)
  • Sayuran berdaun hijau
Keracunan
  • Cirit birit
  • Ganguan gastro usus
  • Pembentukan batu karang (ginjal)
  • Penambahan asid urik

Vitamin B12
Kepentingan
  • Vitamin B12 atau Cobalamin, dalam kombinasi dengan Folacin (Vitamin B12 juga dikenali sebagai Asid Folik)
  • Ia digunakan dalam pembentukan sel darah merah
  • Ia juga membantu dan mengekalkan pelindung selaput saraf.
Simtom kekurangan Vitamin B12 ialah:
  • Pernicious Anemia
  • Lumpuh otot dan urat saraf.
  • Sumber
  • Daging
  • Ikan
  • Ayam/itik
  • Prodek tenusu
  • Telur
  • Hati
Zat Besi
Kepentingan

  • Zat besi adalah garam galian yang diperlikan dengan sedikit tetapi sangat penting untuk kebaikan kesihatan dan kehidupan. Kebanyakan daripada zat besi dalam tubuh manusia terdapat di sel darah merah-hemoglobin dan kepentingannya adalah:
  • Memudahkan pembentukan hemoglobin dalam sel darah merah
  • Pembentukan myoglobin dalam otot
  • Pembawa oksigen
  • Terlibat dalam penggunaan tenaga .
Secara amnya kekurangan zat besi boleh menyebabkan :
  • Anemia
  • Simptom 'Attention Deficit Hyperactivity Disorder' dikalangan kanak-kanak
  • Dikalangan orang dewasa kerap kali menyebabkan keletihan
Sumber
  • Hati
  • Beef
  • Ayam/itik
  • Ikan
  • Cengkerang
  • Telur
  • Kekacang
  • Kacang kering
  • Buah prun kering
  • Jus buah prun
  • Bijiran - yang ditambah dengan zat besi
  • Gandum penuh
  • Roti yang diperkaya dengan galian dan bayam
Keracunan
  • Boleh merosakkan hati dan pancreas,
  • Kemungkinan peningkatan risiko untuk barah dan penyakit jantung.

Asik Folik
Kepentingan
  • Juga di kenali sebagai Folate.
  • Diperlukan untuk menghasilkan sel batu terutama sel darah merah.
Kekurangan
  • Kelesuan
  • Keletihan
  • Kurang daya tumpuan
  • Cepat marah
  • Pening
  • Jantung berdebar
  • Sesak nafas
  • "Neural tube Defect" (kekurangan semasa mengandung)
Sumber
  • Kekacang
  • Sayur daun bewarna hijau

Kalsium
Kepentingan
  • Terlibat dalam proses penambahan garam galian dalam pembentukan tulang dan gigi janin
  • Kontraksi dan relaksasi otot,
  • Fungsi-fungsi saraf,
  • Pengawalan selular dalaman,
  • Cofactor enzim selular luaran,
  • Pembekuan darah dan tekanan darah
Kekurangan
  • Osteoporosis,
  • Pertumbuhan kanak-kanak yang terbantut.
  • Osteomalasia
  • Rikets
Sumber
  • Susu dan produk tenusu,
  • Ikan (Bertulang),
  • Tofu,
  • Kekacang,
  • Brokoli
  • Bayam
  • Cekur manis
  • Makanan yang diiperkaya dengan kalsium
  • Keracunan
  • Batu karang (ginjal).

Zink
Kepentingan
  • Pengangkutan untuk Vitamin A,
  • Deria rasa,
  • Penyembuhan luka,
  • Produksi sperma,
  • Perkembangan bayi,
  • Memainkan peranan dalam kebanyakan enzim, hormon (insulin), bahan generik dan protein.
Kekurangan
  • Kurang selera makan,
  • Tumbesaran kanak-kanak terbantut,
  • Kelembapan perbentukan organ seks,
  • Penurunan fungsi imuniti,
  • Lambat penyembuhan luka.
Sumber
  • Hati
  • Daging
  • Ayam/itik
  • Makanan laut
  • Kekacang (OffalsNuts)
  • Bijiran
  • Kekacang
  • Bijiran penuh
Keracunan
  • Demam,
  • Muntah,
  • Cirit birit,
  • Gastrik
  • Pening

Iodin
Kepentingan
  • Membantu dalam pengawalan metabolisma dan pembentukan janin.
  • Kekurangan
  • Pembesaran kelenjar tairoid (goiter)
Sumber
  • Makanan laut
  • Garam beriodin
Keracunan
  • Sensasi panas dalam mulut, tekak dan perut
  • Sakit perut
  • Demam
  • Loya
  • Muntah
  • Cirit Birit
  • Hypotyroidism
  • Goiter

Sumber: http://www.infosihat.gov.my/

Monday, April 4, 2011

Fitnah Perosak Maruah, Cetus Perpecahan Ummah

Umat Islam mesti buang perasaan hasad dengki demi mengekalkan keharmonian masyarakat

FITNAH dan khabar angin sering digunakan untuk menyebarkan maklumat tidak benar. Ada segelintirnya menggunakan kemudahan canggih untuk melaga-lagakan sesama manusia sehingga sahabat menjadi musuh, suami isteri bercerai gara-gara e-mel, SMS, surat layang, internet, dan rakaman video.

Islam melarang keras perbuatan fitnah dan menyebar khabar angin dan golongan penyebar maklumat palsu itu dijanjikan Allah azab yang amat pedih.

Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya orang yang menghebahkan tuduhan buruk di kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab seksa tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat. Ingatlah Allah lebih mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahuinya”. (Surah an-Nur, ayat 19).

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Awasilah diri kamu daripada berburuk sangka kerana perbuatan itu satu pembohongan besar. Janganlah mencari berita buruk, berhasad dengki, bermasam muka dan marah, sebaliknya jadikanlah diri kamu bersaudara. (Riwayat Bukhari & Muslim).

Rasulullah mengingatkan kita agar sentiasa menjauhi diri daripada perbuatan keji yang dinyatakan dalam hadis itu. Sesungguhnya impak perbuatan keji itulah membawa kepada berlakunya budaya penyebaran surat layang dan fitnah dalam masyarakat.

Perbuatan bersangka buruk terhadap orang lain sebenarnya timbul daripada perasaan tidak puas hati dan dengki atas sebab tertentu. Perbuatan sebegini melambangkan betapa rendahnya moral pelaku yang sanggup menghancurkan maruah orang lain dengan menolak rasional akal yang dianugerahkan Allah kerana dikuasai nafsu marah dan dengki.
Kalau pun sesuatu tuduhan itu ada kebenarannya, orang yang mengambil kesempatan berbuat demikian perlu mempunyai bukti kukuh dan munasabah bagi membuktikan kebenaran, bukannya mencantumkan cerita yang dibawa dari mulut ke mulut untuk dijadikan modal menyebarkan tuduhan palsu kepada seseorang.

Islam juga melarang umatnya daripada suka mengorek rahsia orang lain. Peribahasa Melayu ada menyebut, jangan menjaga tepi kain orang. Tetapi dalam beberapa hal yang membabitkan berlakunya kebatilan dan perkara sumbang dalam masyarakat yang mengundang kemudaratan kepada ajaran agama, maka dibolehkan berbuat demikian dengan tujuan menegahnya agar tidak terus menular dalam hidup bermasyarakat.

Telinga adalah antara pancaindera anugerah Allah yang tiada bandingannya, justeru orang Islam hendaklah menjaga telinga mereka daripada mendengar khabar angin yang belum tentu kebenarannya, tetapi jika terpaksa mendengarnya atas faktor keadaan, maka dituntut agar tidak menyebarkan kepada apa yang didengar kepada orang lain. Ini bagi mengelakkan kita turut sama terbabit sebagai penabur fitnah yang bakal memporak-perandakan kehidupan bermasyarakat.

Satu sifat mazmumah yang paling kerap melanda diri manusia yang suka menyebarkan khabar angin dan fitnah ini ialah sifat hasad dengki dan iri hati. Hasad dengki dalam definisi yang lengkap membawa maksud mencari jalan atau ikhtiar untuk menghilangkan nikmat yang ada pada orang lain. Impaknya amat besar, bukan saja kepada orang yang didengki tetapi juga akan terpalit kepada seluruh anggota masyarakat umum.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Berhati-hatilah kamu terhadap hasad dengki kerana ia boleh merosakkan amal kebaikan kamu seperti api memakan sekam.” (Riwayat Muslim). Satu insiden yang akan timbul pada peringkat awal penyebaran khabar angin dan fitnah ialah perang dingin antara kedua-dua pihak yang terbabit, kemudian apabila telah parah maka akan lahir pula sikap benci membenci, tuduh menuduh, caci mencaci dan akhirnya akhirnya perbalahan besar yang ada kalanya boleh mencetuskan pembunuhan.

Sekiranya tidak ada individu yang sanggup menjadi perantara untuk melerai permusuhan yang lahir daripada sifat suka berburuk sangka, penyebaran khabar angin dan fitnah serta hasad dengki, maka sudah tentu membawa kepada berlakunya lebih besar insiden yang boleh meruntuhkan maruah dan peradaban manusia khususnya umat Islam.

Dalam hal ini kesabaran asas utama diperlukan bagi mengelakkan hal yang lebih besar melanda manusia. Kesimpulannya, untuk mengelakkan diri daripada terbabit dan tergelincir ke arah perlakuan keji seperti suka menabur fitnah, bersifat hasad dan mudah terpengaruh dengan khabar angin maka eloklah kita beramal dengan beberapa ciri sifat mahmudah seperti disarankan Imam al-Ghazali iaitu:
  • Al-qanaah (cukup dengan apa yang diberikan)
  • Al-zuhd (tidak mementingkan duniawi)
  • Kitmanus-sir (merahsiakan rahsia)
  • Al-hilm (lambat marah )
  • As-syajaah (berani )
  • Al-iffah (pemaaf)
Oleh: Wan Marzuki Wan Ramli
Sumber: http://www.bharian.com.my/

Sedekah Pintu Barakah



KALA memandu dari Bulatan Pahang menuju Ke Jalan Kuching di ibu kota, sekali-sekala cuba alihkan pandangan ke sebelah kiri jalan. Di atas sebuah bangunan di situ, ada sebuah papan besar yang menempatkan sebuah iklan. Ilustrasinya mudah, ada sekaki payung yang besar dengan tulisan berbunyi: 'Bentengilah harta anda dengan zakat.'

Sebenarnya, kalimah tersebut adalah daripada sepotong hadis Nabi Muhammad SAW, yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi yang berbunyi: "Lindungi harta kamu dengan zakat, ubati sakitmu dengan sedekah, dan hadapi gelombang hidup dengan tawaduk kepada Allah dan doa (riwayat al-Baihaqi)."

Konotasinya mudah, untuk menjaga harta dan memastikan ia selamat, maka sedekahkan harta itu. Hakikatnya, zakat juga adalah sedekah, yakni sedekah yang wajib. Menahan harta daripada disedekahkan pula, adalah lawan kepada kehendak hadis tersebut.

Dalam erti kata lain, sikap enggan berzakat dan bersedekah, adalah punca rosaknya harta.

Memang ada orang yang khuatir dengan bersedekah atau berzakat, maka hartanya akan menyusut. Makin banyak diberi sedekah, semakin banyak pula hartanya beralih tangan.

Jika memberi seringgit dua tidak mengapa, bagaimana pula jika jumlahnya mencecah ratusan malahan ribuan ringgit.

Pernah terjadi, setelah penulis membantu mengira zakat seseorang, tiba-tiba dia minta tangguh menunaikannya. Alasannya mungkin tidak cukup wang. Tetapi, rasionalnya jika sudah tahu mahu mengira zakat, jika sudah sedar hartanya banyak, maka siapkanlah wang dengan jumlah yang sesuai. Masakan minta dikira zakatnya sedang wang masih tiada.

Pernah terjadi, seorang hamba Allah yang pada awalnya beria-ia mahu menunaikan zakat. Alih-alih setelah mengetahui jumlah zakatnya agak besar, mulalah berubah rona wajahnya. Mula terketar-ketar suara dan tangannya.

Rupa-rupanya, si dia merasa terkejut dengan zakat yang perlu dilunaskan. Fikirnya hanya beberapa puluh ringgit; tidak disangka jumlahnya setinggi bukit.

Syaitan dan iblis memang sentiasa membisik-bisikkan perasaan sayang kepada harta. Syaitan tahu, jeratnya selalu mengena. Maka, tatkala si hamba yang berharta mahu mengeluarkan zakat dan sedekah, mulalah si Iblis berbisik.

Kata Iblis: "Kamu pun susah juga, gaji kamu kecil sahaja, masakan sudah kena berzakat". Bisikan lain pula bunyinya mungkin begini: "Anak dan isteri kamu masih memerlukan wang itu, baik disimpan, manalah tahu nanti kamu pula yang tidak berkecukupan".

Sesungguhnya bisikan sang Iblis datang dalam pelbagai cara dan rupa. Allah SWT sudah pun menegaskan hal ini agar kita mengambil sikap waspada.

Firman Allah yang bermaksud: Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan suaramu; dan kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka; dan turut-campurlah dengan mereka dalam menguruskan harta-benda dan anak-anak (mereka); dan janjikanlah mereka (dengan janji-janjimu). Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh Syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata. (al-Israk: 64)

Sering terjadi, bisikan ini bertali arus datangnya dan sukar sekali untuk menepisnya. Selalu juga bisikan para iblis dan syaitan ini mempunyai tahap rasional yang tinggi, menyebabkan kita terfikir berkali-kali sebelum memberi. Pernah juga seorang pembayar yang sudah pun berada di hadapan kaunter zakat; tetapi hampir-hampir tidak jadi mengeluarkan zakat dek kerana halusnya desakan para syaitan ini.

Manusia mungkin lupa atau mungkin tidak sedar, bahawasanya kita dan seluruh kepunyaan kita, adalah milik Allah SWT. Apabila Allah SWT menghendaki kita agar berzakat, berinfak dan bersedekah, maka pastilah Allah SWT tidak menyuruhnya dengan sesia. Pasti ada manfaat di sebaliknya.

Ia menjadi rahsia Allah SWT yang hanya dapat kita kesani dan rasai natijahnya apabila amalan bersedekah dan berzakat itu sudah menjadi satu kelaziman pada diri. Ibarat manisnya gula, hanya dapat dimengerti oleh orang yang pernah merasai dan bukannya oleh orang yang hanya asyik berteori tentang manisnya gula.

Maka, lestarikanlah amalan bersedekah agar ia menjadi tradisi yang berakar umbi dalam kehidupan. Anak-anak kita wajar dididik agar suka memberi, kerana pastinya ia adalah kaedah terbaik melentur nurani mereka menjadi manusia berakhlak mulia.

Lagi pun, Rasulullah SAW juga sudah berjanji, bahawa orang yang suka bersedekah sama sekali tidak akan rugi. Bahkan Allah SWT sudah menjamin kehidupan mereka, bahkan menjadi punca datangnya kemuliaan di sisi manusia.

Daripada Abu Hurairah r.a. daripada Rasulullah SAW, sabdanya: Sedekah tidak akan mengurangi harta seseorang. Seseorang yang pemaaf, Allah menambahkan kemuliaan baginya. Dan seorang yang tawaduk (merendahkan diri) kepada Allah, maka Allah menaikkan darjatnya. (riwayat Muslim). Wallahu a'lam.

Oleh HAMIZUL ABDUL HAMID
Sumber: http://www.utusan.com.my/

Friday, April 1, 2011

Nabi terperlihara dari godaan syaitan


Riawayat dari ‘Urwah bin Az-Zubair, bahawa Siti Aisyah r.a. bercerita kepadanya bahawa pada suatu malam Rasulullah s.a.w. keluar dari rumahku. Lalu timbul cemburuku kepadanya dan aku mengikutinya dari belakang.

Tiba-tiba Baginda kembali dan melihat apa yang aku buat seraya Baginda bersabda: “Cemburukah engkau hai Aisyah:” Aku menjawab: “Bagimana tidak cemburu orang yang seperti aku terhadap orang yang seperti engkau?” Maka sabdanya: “Adakah yang telah datang kepadamu syaitanmu!” Mendengar itu Aisyah terkejut lalu bertanya: “Apakah ada padaku syaitan ya Rasulullah?” “Ya! Ada” Jawab Rasulullah. Aisyah bertanya: “Apakah ada pada setiap orang?” Jawab Rasulullah: “Ya, ada pada setiap orang.” Nabi menegaskan. “Apakah ada juga pada engkau ya! Rasulullah?” bertanya Aisyah lagi. Akhirnya Nabi s.a.w bersabda, maksudnya:

“Ya ada tetapi Tuhanku yang Maha Gagah dan Maha mulia telah menolongku untuk mengalahkan syaitan, sehingga aku selamat.”