Friday, October 28, 2011

Kepercayaan Karut Melemahkan Umat


CERITA hantu, filem seram dan amalan perbomohan seolah-olah sinonim dengan kehidupan orang Melayu. Setelah ratusan tahun Islam bertapak di rantau ini animisme tetap masih menebal.

Animisme adalah kepercayaan bahawa setiap sesuatu di dunia ini memiliki roh yang mesti disembah supaya semangatnya tidak mengganggu manusia. Amalan animisme berkembang menjadi pemujaan kepada kepercayaan tahyul dan mengagumi unsur-unsur mistik.

Ia bertapak kuat hari ini dalam amalan perbomohan dan diuar-uarkan dengan berkesan pula oleh filem dan drama tempatan.

Amalan animisme khususnya kepercayaan dan pemujaan kepada makhluk halus dan alam mistik yang melibatkan roh merupakan amalan syirik yang sangat ditegah oleh Islam.

Dalam praktis perbomohan oleh bomoh atau dukun kerap terdapat amalan memanggil, memuja dan menggunakan jin serta memohon pertolongan daripada dunia gelap ini.

Pengamalnya tergolong di dalam golongan orang fasiq dan menzalimi diri sendiri.

Ini dijelaskan oleh firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah engkau menyembah atau memuja yang lain dari Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat memberikan mudarat kepadamu. Sekiranya engkau mengerjakan yang demikian maka jadilah engkau orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu). (Yunus: 106).

Antara ciri animisme yang sering dapat dilihat dalam amalan perbomohan adalah apabila para dukun, pawang atau bomoh membaca jampi mentera yang sumbernya sangat meragui dan tidak boleh difahami oleh orang lain.

Banyak juga jampi mentera dalam dunia perbomohan Melayu di tokok tambah dengan kalimah-kalimah Arab, nama Tuhan, para nabi dan sahabat Rasulullah.

Sebenarnya banyak amalan perbomohan Melayu bercampur baur dengan kepercayaan karut dan khurafat. Ada yang menggunakan medium makhluk ghaib seperti jin dan mereka mendakwa boleh merawat pesakit tanpa menggunakan bahan rawatan, atau alatan. Malah boleh merawat pesakit dari jarak jauh termasuk melalui telefon dan tele sidang.

Salah satu punca utama masyarakat Islam hari ini mudah terpedaya dengan rawatan tradisional berbentuk mistik ini kerana sentuhan peribadi dan karisma para bomoh.

Sesetengah masyarakat Islam menganggap rawatan mistik menggunakan dukun begitu cepat dan mujarab walaupun tanpa sebarang ubat-ubatan.

Kepercayaan ini bertentangan dengan sabda Rasulullah SAW maksudnya: "Bahawa Allah telah menurunkan penyakit dan ubat dan dijadikan kepada setiap penyakit ada ubatnya, berubatlah tetapi jangan berubat dengan benda-benda yang haram". (Sunan Abu Daud).

Seringkali amalan perbomohan Melayu, yang sengaja dilunakkan dengan menggunakan istilah perubatan tradisional, menggalakkan penggunaan azimat atau tangkal sebagai pelindung diri, ilmu kebal, ilmu pengasih, ilmu penunduk, ilmu pembenci, ilmu gerak angin dan sebagainya dan kadang-kadang dicampuraduk dengan sihir.

Semuanya adalah meragukan dan sangat menghampiri syirik dan menyeleweng daripada ajaran Islam dan sepatutnya dijauhi. Kepercayaan terhadap tangkal-tangkal ini boleh membawa kepada keruntuhan akidah dan akhlak masyarakat Islam.

Tidak kurang berlaku perceraian, perkelahian adik beradik dan jiran tetangga kerana terlalu percaya kepada tilikan bomoh sehingga membawa kepada tuduh menuduh. Seriusnya penyelewengan perbomohan dapat dilihat dalam kes yang melibatkan penggunaan sihir di kalangan orang awam seperti di tempat kerja, di gerai makan, rumah kediaman, harta pusaka, hubungan suami isteri, simpanan harta warisan seperti keris, batu dan artifak lama lain.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Bukan dari golongan kami sesiapa yang merasa sial atau meminta diramalkan kesialannya atau merenung nasib atau minta ditenungkan atau mensihirkan atau meminta disihirkan". (riwayat al-Tabrani).

Kehebatan ilmu perbomohan dalam masyarakat Melayu semakin diuar-uarkan apabila unsur ini mula diindahkan untuk tontonan umum melalui filem serta drama tempatan. Untuk mengaut jualan tiket jutaan ringgit para pengeluar filem berlumba-lumba menerbitkan filem hantu ataupun filem seram yang intipatinya tidak lain adalah tahyul.

Kebanjiran filem genre ini menyebabkan ia dianggap normal atau trend yang tidak membawa apa-apa masalah.

Namun jika berulang kali diulang tayang ia akan menjadi sumber rujukan masyarakat, sungguhpun asalnya hanya sebuah khayalan.

Kepercayaan mistik yang berpusat kepada dunia perbomohan juga berjangkit menjadi penipuan perniagaan. Jika dilihat dalam penjualan di internet penggunaan bahan karut dan tahyul ini semakin laris kerana mendapat permintaan yang tinggi termasuk dari kalangan orang terpelajar.

Sesiapa sahaja boleh membeli secara on-line benda-benda yang dianggap mempunyai kuasa mistik seperti keris, batu delima, batu geliga, tangkal, kain kaabah, tongkat, pelepah tamar dan sebagainya.

Oleh: MOHD. SOLAHUDDIN SHAHRUDDIN
Sumber: http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment