Rasulullah SAW banyak memberi panduan cara membentuk keluarga bahagia yang sepatutnya dicontohi oleh umat Islam
TIADA siapa di dunia ini yang tidak mendambakan kewujudan sebuah keluarga bahagia bersama isteri dan anak-anak termasuk ahli keluarga yang lain walau apa pun pegangan akidah mereka.
Kita sebagai umat Islam yang merupakan umat Nabi dan Rasul terakhir Junjungan Besar Nabi Muhammad SAWmemiliki pelbagai keistimewaan berbanding penganut agama lain dalam meneladani kehidupan berkeluarga secara harmoni dan damai.
Ia disebabkan penghulu segala nabi dan rasul ini adalah memiliki 'pakej lengkap' sebagai seorang hamba Allah SWT dalam pelbagai aspek kehidupan yang mendasari urusan duniawi dan ukhrawi.
Lipatan sejarah suci kehidupan seorang hamba Allah yang diangkat menjadi kekasih Allah ini bukan sahaja diiktiraf oleh umat Islam sebagai nabi dan rasul-Nya. Malah baginda juga turut mendapat perhatian seorang Ahli Astrofizik berbangsa Yahudi Amerika Syarikat iaitu Michael H.Hart yang menerbitkan sebuah buku pada tahun 1978 bertajuk The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History yang terjual hampir 500,000 naskhah pada masa itu ekoran beliau menamakan Nabi Muhammad SAW yang dikatakan sebagai Pengasas Islam di tempat pertama dan tertinggi mengatasi tokoh-tokoh yang lain.
Justeru, tidak hairanlah sebagai umat Islam kita terlalu bertuah dengan pengutusan baginda yang menjadi penunjuk kepada jalan yang lurus dan benar. Kehebatan dan ketokohan baginda bukan sahaja dalam aspek penyebaran nur Islam semata-mata seperti Rasulullah iaitu pesuruh Allah.
Malah meliputi semua aspek, bagindalah seorang nabi dan rasul, pemimpin, panglima, imam, suami, bapa, rakan atau sahabat dan pelbagai lagi.
Ia bertepatan dengan penghormatan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud : Demi sesungguhnya, adalah bagi diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa ingin mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik di akhirat kelak serta ia pula banyak menyebut dan mengingati nama Allah (dalam masa susah dan senang). (al-Ahzab: 21)
Seseorang individu muslim yang mengimpikan sebuah keluarga bahagia, maka Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW adalah rujukan dan contoh ikutan terbaik buat semua keluarga muslim.
Memetik kisah perjalanan hidup baginda yang penuh dengan rasa mahabbah bersama keluarganya. Antaranya sebagai ketua keluarga atau suami, baginda SAW sangat menghargai isteri-isteri baginda dengan mempamerkan akhlak yang tinggi disulami kasih sayang, bantu membantu, mengambil berat dan bertimbang rasa.
Malah apa yang paling penting baginda tidak pernah walau sekalipun melakukan kekasaran kepada isteri-isteri baginda.
Apa yang dipamerkan adalah tahap kesabaran yang tinggi walaupun tidak dinafikan sebagai manusia biasa memiliki sifat amarah namun baginda menghadapinya dengan kesabaran kerana isteri dan anak-anak adalah bukannya harta 'kebetulan' malah ia adalah anugerah Allah SWT.
Keindahan dan keharmonian dalam berumahtangga akan terserlah dengan wujudnya sifat saling faham memahami dan hormati menghormati antara satu sama lain. Contohnya, Nabi Muhammad SAW tidak keberatan membantu isteri baginda menyiapkan kerja-kerja rumah yang lazimnya dijuarai hanya oleh kaum ibu sahaja.
Ini berdasarkan kepada Ibn Hajar pernah berkata bahawa Aisyah meriwayatkan katanya: "Baginda (nabi) yang menjahit kainnya, menjahit sepatunya, dan mengerjakan apa yang biasa dikerjakan lelaki di rumah mereka." (riwayat Ahmad Ibnu Hibban).
Sikap membantu isteri sebegini bukanlah menjadi kehinaan dan menjadikan seseorang suami itu rendah martabat dan darjatnya serta timbul pula istilah moden yang mengatakan 'takut isteri atau takut bini.'
Malah jika semua merenung kembali bagaimana sesebuah rumah tangga itu terbina atas rasa persefahaman dan kemesraan. Sikap mulia yang dibawa oleh Rasulullah SAW terhadap para isteri yang diakui oleh Saidatina 'Aisyah r.a yang meriwayatkan Rasulullah SAW tidak pernah sekalipun memukul isteri dan pembantunya. (riwayat Bukhari).
Pernah juga diceritakan bahawa Saidatina 'Aisyah amat terharu atas pengorbanan suaminya yang berdarjat tinggi bertaraf habibullah (kekasih Allah) iaitu sewaktu hendak memulakan suatu perjalanan, baginda akan memastikan tempat duduk isterinya di atas unta dalam keadaan selesa.
Anas pernah mengatakan baginda akan duduk bagi membolehkan isterinya berpijak di atas lututnya untuk naik ke atas unta. Jelasnya apa yang dipraktikkan oleh baginda SAW ini adalah teladan berharga dalam mendukungi keharmonian berumahtangga.
Sebenarnya dengan melakukan perkara sedemikian, ia bukan sahaja menjadi pengikat tanda kasih sayang malah mampu mengajar kita untuk 'bermanja' di tempat yang sewajarnya atas panduan agama.
Baginda Nabi SAW biar pun dalam latar sejarah kehidupannya tidak 'berkesempatan' menikmati suasana belaian kasih mesra ibu bapa kerana ayahanda serta bonda baginda terlebih dahulu dijemput menemui Allah SWT terlebih dahulu menjadikan kehidupan baginda seorang anak yatim piatu tidak sedikit pun mengurangi kasih sayang nabi SAW untuk menyantuni ahli keluarganya dengan rasa hormat dan kasih sayang.
Inilah yang tersirat dalam sabda Baginda SAW ini: "Sebaik-baik kamu ialah orang yang baik terhadap kaum keluarganya dan aku sebaik-baik orang terhadap keluargaku". (riwayat At-Tirmizi).
Secara mudahnya , tonggak kehidupan dalam rumah tangga walau tidak diselimuti harta benda dan kemewahan ia masih ada ruang untuk umat Islam mengecapi bahagia dan harmoni asalkan landasannya berpaksikan perintah keagamaan menerusi the best practices (amalan-amalan terbaik) yang dipaparkan oleh baginda SAW terhadap ahli keluarga baginda.
Sebagai suami atau isteri, usahlah kita lupa memohon agar Allah SWT sentiasa menyirami rumahtangga kita dengan Rahmat serta Rahim-Nya dalam setiap penghujung solat seperti doa yang yang dipetik dalam surah al-Furqaan: 74, Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa
Oleh TUAN ASMAWI TUAN UMAR
Sumber: http://www.utusan.com.my/
No comments:
Post a Comment