DARIPADA Abdullah, katanya: "Bersabda Rasulullah SAW kepada kami: Tidakkah kamu gembira bahawa seperempat penghuni syurga itu daripada kamu? Kata Abdullah, kami pun segera mohon ditambah.
Kemudian berkata pula Baginda: Tidakkah kamu gembira bahawa sepertiga penghuni syurga itu daripada kamu? Kata Abdullah, kami pun mohon diperbanyakkan lagi. Akhirnya Rasulullah SAW berkata: Sesungguhnya saya mengharap bahawa seperdua penghuni syurga itu daripada kamu. Dan ketahuilah! Bahawa bandingan jumlah kaum Muslimin dengan kaum kafir itu, laksana sehelai bulu putih ditubuh sapi hitam atau sehelai bulu hitam di tubuh sapi putih.” (Hadis riwayat Muslim)
Umat Islam seharusnya bersyukur kerana dikurniakan hidayah yang benar dan diredai Allah SWT. Namun, fenomena hari ini memperlihatkan tidak semua yang menganut Islam itu benar-benar menghayati ajaran agamanya bahkan ada juga yang memilih agama lain (murtad).
... Dan ketahuilah! Bahawa bandingan jumlah kaum Muslimin dengan kaum kafir itu, laksana sehelai bulu putih ditubuh sapi hitam atau sehelai bulu hitam di tubuh sapi putih. - Riwayat Muslim
Betapa mudahnya iman mereka goyah kerana godaan dan hasutan duniawi. Oleh itu, benarlah seperti sabda Rasulullah SAW bahawa umat Islam itu ramai, namun nilaian mereka hanyalah seperti buih di lautan yang tidak mendatangkan apa-apa kesan.
Mereka mudah dipermainkan pihak musuh bahkan mereka sendiri bertelagah antara satu sama lain. Justeru, meskipun peluang untuk menghuni syurga Allah amat besar namun peluang itu tidak direbut oleh semua orang.
Ramai yang berebut mengejar nikmat dunia yang sedikit ini berbanding nikmat akhirat yang jauh lebih besar. Kesesatan manusia hari ini tidak mustahil membuatkan iman mereka semakin kurang yang akhirnya cara hidup mereka seolah-olah tiada bezanya dengan orang kafir.
Daripada Abu Hurairah, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dunia penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir.” (Hadis riwayat Muslim) Dunia ini harus kita nikmati dengan mengikuti segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Dikatakan dunia adalah penjara bagi mukmin kerana di dunia manusia terdedah dengan pelbagai macam godaan dan ancaman yang mencabar keimanan.
Bahkan apa yang dilarang oleh agama itu selalunya menjadi kesukaan nafsu manusia. Namun, hakikatnya larangan itu demi kebaikan dan kesejahteraan manusia supaya tidak terjebak ke lembah kebinasaan.
Berbeza bagi golongan kafir, mereka bebas melakukan apa saja sehingga akhirnya mereka merosakkan jiwa dan diri sendiri. Inilah hakikat dunia yang akan menjadikan manusia yang alpa tenggelam di dalamnya.
Sebab itu kita selaku orang mukmin diseru memanfaatkan dunia dengan bijaksana iaitu apabila kita berusaha memanfaatkan kehidupan dunia sebagai jambatan menuju kebahagiaan akhirat, maka Allah akan memberikan kedua-duanya (kebahagiaan dunia dan akhirat).
Namun, jika kita hanya mengutamakan kehidupan dunia dan melupakan akhirat, maka Allah akan memberikan satu kenikmatan saja iaitu dunia semata sedangkan di akhirat kelak kita mendapat kerugian yang banyak.
Sumber: http://www.bharian.com.my/
No comments:
Post a Comment