Friday, March 8, 2013

Harga Sawit Masih Berisiko

Oleh Fadzil Zainol
ekonomi@utusan..com.my

KUALA LUMPUR 11 Feb. - Pemulihan harga minyak sawit mentah (MSM) sejak akhir- akhir ini dikatakan masih berisiko untuk terjejas, disebabkan pengeluaran tanaman pesaingnya yang produktif serta ketidaktentuan peraturan di kalangan negara-negara pengimport.

Menurut nota penyelidikan oleh Hong Leong Investment Bank Research (HLIB Research), tanaman kacang soya yang merupakan komoditi pengganti kepada sawit dilihat tidak terjejas walaupun mengalami cuaca yang kering, khususnya di kawasan tanaman Amerika Selatan.

Menurut kajian, kadar penghasilan kacang soya di Brazil dan Argentina akan tumbuh 25 peratus kepada 133 juta tan pada tahun ini.

"Situasi ini sekali gus akan menyebabkan berlakunya persaingan harga antara kacang soya atau sawit. Hal itu membawa risiko kepada kedua-dua komoditi itu meletakkan paras harganya yang rendah supaya menjadi pilihan pengimport," menurut nota penyelidikan tersebut.

Selain itu, pelaksanaan peraturan import yang ketat oleh Biro Kualiti Kebangsaan China mulai 1 Januari 2013 dilihat sebagai ancaman kepada eksport sawit Malaysia ke China.

Menurut HLIB Research, walaupun masih tiada lagi kes produk sawit Malaysia yang tidak melepasi kastam negara itu sehingga hari ini, namun menjangkakan beberapa penambahbaikan peraturan mungkin dilaksanakan memandangkan ia baru dilaksanakan.

Hal yang sama juga berisiko untuk berlaku di India, yang mana negara itu giat berusaha melindungi industri domestiknya melalui pengenaan duti import sawit.

"Kami tidak menolak kemungkinan India bakal meningkatkan lagi duti import sawitnya memandangkan harga komoditi itu terlalu selesa berbanding kacang soya," jelas nota penyelidikan itu lagi.

China dan India menguasai 35 peratus eksport sawit negara pada tahun 2012.

Sumber: http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment