Wednesday, July 3, 2013

Demam: Jangan sampai diserang sawan

Oleh: TAJAIYAH IHSAN
 
DEMAM sememangnya merisaukan ibu bapa. Walau dianggap biasa, ia tidak boleh dipandang ringan apa lagi di kalangan kanak-kanak bawah enam tahun.
 
Sekiranya anak-anak mengalami demam yang berlarutan lebih tiga hari, mereka perlulah dibawa berjumpa doktor.
 
Begitu juga kalau suhu badannya terlalu tinggi, si anak boleh diserang sawan dan memudaratkan. Dalam sesetengah kes, demam juga memberikan isyarat bahawa ia tidak semestinya demam biasa, malah lebih dari itu.
 
Sebagai ibu bapa yang baru beranak kecil dan kurang pengalaman, tentunya akan berasa panik apabila demam anak tidak reda ataupun mereka meracau-racau di dalam tidurnya. 
 
Pakar Kanak-kanak, Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam, Selangor, Dr. Roliza Ibrahim memberi butiran lebih lanjut mengenai demam dan demam panas.
 
“Apa yang jelas, demam juga merupakan simptom bagi pelbagai penyakit lain dan bukan sekadar demam biasa,” katanya.
 
Apa itu demam?
 
Menurut Dr Roliza, suhu badan yang normal adalah 370C (980F). Seseorang itu boleh dianggap demam jika suhu badannya melebihi 370c.
 
Demam akan berlaku jika terdapat jangkitan kuman atau penyakit-penyakit lain yang berinteraksi dengan sistem ketahanan badan.
 
Demam biasa pula bermakna suhu kita meningkat lebih daripada 370C tetapi tidak melebihi 380C. Demam biasa akan pulih dalam masa dua, tiga hari sahaja.
 
Demam panas pula terjadi apabila suhu melebihi 380C dan berlarutan lebih lama – selalunya disertai simptom-simptom lain seperti batuk dan selesema.
 
Beliau berkata, seseorang itu juga akan demam jika mengalami jangkitan kuman sama ada bakteria atau virus. 
 
Katanya, viral infection bermaksud jangkitan yang disebabkan oleh virus. Terdapat banyak jenis virus yang boleh dijangkiti. 
 
Virus ini selalunya menyebabkan demam yang kadangkala tidak terlalu tinggi tetapi boleh juga menyebabkan demam panas dengan suhu mencecah lebih 380C.
 
Beliau menambah: “Bagaimanapun, demam virus ini selalunya boleh hilang dalam tempoh dua, tiga hari.’’
 
Menurutnya lagi, demam sememangnya kerap berlaku di kalangan kanak-kanak. Kebanyakan demam yang mereka alami tidak memudaratkan dan akan pulih hanya dengan diberi ubat demam sekali dua sahaja.
 
Namun begitu, ia juga bergantung kepada penyebab demam tersebut. Contohnya, jika demam itu disebabkan oleh jangkitan kuman pada bahagian otak, sudah tentu kanak-kanak itu menghadapi risiko kerosakan otak (meningitis), sekiranya jangkitan itu serius.
 
Begitu juga jika demam tersebut disebabkan oleh jangkitan kuman di bahagian paru-paru (pneumonia), kanak-kanak tersebut mungkin mengalami masalah pernafasan.
 
Jangkitan virus juga boleh menyebabkan campak, cacar air dan denggi. Bagaimanapun ada juga demam yang bukan disebabkan jangkitan kuman seperti leukimia atau SLE.
 
*Serangan sawan.
 
Dr. Roliza memberitahu, “lebih kurang 30 peratus kanak-kanak berusia tiga bulan hingga enam tahun ke bawah berisiko mendapat sawan demam. Sawan demam mungkin berlaku ketika suhu sedang naik ataupun sedang menurun.
 
“Sawan demam mungkin boleh berulang setiap kali kanak-kanak itu demam. Walau bagaimanapun, prognosis sawan demam ini sangat baik dan tidak memberikan kesan di kemudian hari,’’ katanya.
 
Kanak-kanak bawah umur lima tahun mudah dijangkiti demam, batuk dan selesema. Lebih-lebih lagi mereka yang telah ke sekolah atau ditempatkan di taska mahupun pusat penjagaan kanak-kanak.
 
Kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai antibodi atau daya ketahanan badan yang kuat untuk melawan jangkitan penyakit. 
 
Jelas Dr. Roliza lagi, “Apabila mereka bergaul dengan kanak-kanak lain yang mungkin mengalami batuk, selesema dan demam, mereka juga lebih mudah dijangkiti penyakit yang sama seperti rakan-rakan mereka yang lain.’’
 
Demam selalunya disebabkan jangkitan kuman sama ada virus atau bakteria. Demam yang tidak disertai batuk dan selesema selalunya sembuh dalam masa dua, tiga hari dan jarang menjangkiti orang lain.
 
Beliau menambah. sekiranya demam yang disertai batuk dan selesema, ini bermakna ia lebih mudah menjangkiti orang lain kerana kuman selalunya tersebar melalui titisan cecair dari hingus dan air liur.
 
Sekiranya tidak sihat dan sentiasa terbatuk-batuk atau terbersin, ia akan menyebarkan kuman kepada sesiapa sahaja yang berada di persekitaran yang sama. 
 
Begitu juga jika berkongsi gelas atau sudu yang sama dengan mereka yang mengalami batuk selesema.
 
*Peranan ibu bapa
 
Dr Roliza berkata, ibu bapa perlu memastikan suhu badan anak tidak terlalu tinggi. Berikan anak-anak ubat demam setiap enam jam sehingga suhu turun sedikit.
 
Jika suhu masih tinggi walaupun baru diberi ubat, hendaklah diturunkan suhunya dengan mengelapkan tuala muka basah ke seluruh badan sehingga suhu badannya menurun.
 
Beliau mengingatkan apabila suhu badan tinggi, anak-anak tidak perlu dipakaikan baju tebal atau diselimut tebal.
 
Menurutnya, “Tindakan ini akan menambah suhu badan dan seterusnya meninggikan lagi risiko untuk mendapat sawan demam.
 
“Sebaik-baiknya ibu bapa hendaklah menyimpan jangka suhu di rumah untuk memantau suhu badan anak-anak apabila mereka demam.’’
 
Beliau juga memberitahu, memandangkan kebanyakan demam disebabkan oleh jangkitan kuman, pengambilan antibiotik tidak ada peranan untuk menghilangkan jangkitan tersebut.
 
“Kanak-kanak yang kerap diberi antibiotik akan mempunyai daya ketahanan yang lebih rendah. Ini kerana kegunaan antibiotik yang terlalu kerap boleh merencatkan pembentukan antibodi di dalam badan,’’ tegasnya.
 
Di dalam sesetengah kes, penggunaan ubat melalui dubur adalah perlu bagi menurunkan suhu badan kerana ia bertindak lebih pantas berbanding ubat yang diberi melalui mulut.
 
*Demam campak
 
Demam campak berpunca daripada virus campak. Ia sangat mudah dijangkiti oleh orang lain, selalunya disertai dengan demam, selesema, batuk yang agak teruk serta mata kemerah-merahan.
 
Ini akan disusuli ruam merah yang bermula di bahagian muka dan leher, merebak ke badan, kaki dan tangan. Apabila ruam keluar, suhu badan selalu tinggi dan boleh mencecah 400C (1040F). 
 
“Demam campak boleh dicegah dengan pemberian suntikan imunisasi (MMR) yang selalunya diberikan apabila kanak-kanak berusia setahun dan kemudian dos booster pada usia lima hingga tujuh tahun.
 
*Demam denggi
 
Demam denggi disebabkan oleh virus denggi yang disebarkan oleh nyamuk aedes. 
 
Virus ini selalunya membiak di dalam nyamuk aedes betina yang menjangkiti manusia apabila ia menggigit dan menghisap darah mangsa. 
 
Dr. Roliza menambah, denggi selalunya tidak disertai oleh simptom seperti batuk dan selesema tetapi mungkin menyebabkan seseorang itu lenguh-lenguh atau sakit badan, sakit kepala dan terasa sakit di bahagian mata.
 
Ia juga boleh menyebabkan ruam-ruam merah yang boleh terdapat di keseluruhan bahagian badan. 
 
Demam denggi ini lazimnya menyebabkan demam yang tinggi dan selalunya berlarutan lebih daripada lima hari. Ujian darah boleh memastikan sama ada seseorang itu menghidapi denggi atau tidak.
 
*Pesanan doktor - jika anak demam
  • Pastikan diberi ubat pada setiap enam jam untuk memastikan suhu tidak terus naik secara mendadak dan mendedahkan mereka kepada sawan. Lakukan ‘tepid sponging’ jika suhu masih tinggi walaupun telah diberi ubat.
  • Jangan pakaikan anak dengan pakaian tebal, memadai dengan baju nipis setakat untuk menutupi anggota badan. Tidak perlu diselimut tebal.
  • Pastikan mereka minum banyak air atau susu. Berikan makanan lembut seperti bubur untuk menambahkan tenaga. Bawa anak-anak berjumpa doktor jika mereka masih demam walaupun sudah diberi ubat demam secara tetap selama dua, tiga hari.
  • Suhu badan manusia secara semula jadi adalah lebih tinggi pada waktu petang dan malam. Di waktu siang, kanak-kanak mungkin masih aktif bermain menyebabkan mereka berpeluh sedikit dan menurunkan suhu badan.
  • Ubat boleh diberi dengan sudu atau picagari. Tidak menjadi masalah, jika ibu bapa ingin mencampurkan ubat ke dalam susu. Bagaimanapun ini boleh menyebabkan si anak tidak mahu minum susu pula.
  • Sedikit paksaan mungkin diperlukan jika mereka susah makan ubat. Jika begitu, ubat minum boleh digantikan dengan ubat melalui dubur jika anak terlalu susah untuk makan ubat atau jika demam terlalu tinggi.
  • Pastikan anak minum air dengan banyak. Jika hilang selera berilah makan sedikit-sedikit tetapi lebih kerap.

No comments:

Post a Comment