Thursday, April 5, 2012

Janji Rezeki Tidak Putus Bagi Golongan Beriman


FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” (Surah al-A‘raf ayat 96)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Dan memberi rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan sesiapa berserah diri kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya. Sesungguhnya Allah melakukan perkara yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah menentukan tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Talaq ayat 2-3) Kedua-dua ayat ini menerangkan mengenai janji Allah SWT menambahkan lagi rezeki kepada orang yang beriman dan bertakwa kepada-Nya. Sumber alam akan tumbuh, berkembang serta semakin bertambah-tambah jika penggunanya beriman dan bertakwa kepada Allah SWT.

Rezeki yang bertambah dari Allah SWT inilah dikatakan rezeki yang barakah (berkat). Al-Raghib al-Asfahaniy dalam al-Mufaradat fi Gharib al-Qur’an menyatakan barakah bermaksud berkembang dan bertambah.

Kunci utama untuk mendapatkan rezeki barakah dari Allah SWT ialah iman dan takwa. Keimanan kepada Allah SWT adalah kebebasan daripada memperhambakan diri kepada hawa nafsu dan sesama manusia manakala ketakwaan ialah melakukan segala perintah dan meninggalkan larangan-Nya.

Sebenarnya ketakwaan dapat mengawal segala kegiatan manusia supaya tidak melakukan tindakan keterlaluan, liar, menyeleweng, sombong dan angkuh. Bukan setakat itu, malah orang bertakwa akan dikurniakan tambahan rezeki oleh Allah SWT tanpa disedari dan diketahui.

Diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas, ‘Awf bin Malik al-Asyja‘iy datang menemui Rasulullah SAW dan berkata: “Anakku ditangkap musuh, manakala ibunya sangat sedih dan gelisah. Apakah perintah Tuan ke atasku?
Rasulullah SAW bersabda: “Aku perintahkan supaya engkau dan isterimu memperbanyakkan mengucap: “La hawla wala quwwata illa billah”. Lalu isterinya berkata: Alangkah eloknya apa yang diperintahkan Rasulullah SAW kepadamu.

Pasangan suami isteri itu pun memperbanyakkan bacaan. Pada suatu masa, ketika musuh sedang lalai, anaknya yang ditawan musuh itu dapat melepaskan diri. Dia lari dengan membawa seekor kambing yang dirampas dari pihak musuh.

Sebaik saja ‘Awf bin Malik al-Asyja‘iy melihat anaknya membawa balik seekor kambing, beliau segera pergi menemui Rasulullah SAW dan memberitahu hal itu. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Makanlah ia (kambing itu).”

Peristiwa itu menunjukkan Allah SWT akan menganugerahkan dua kenikmatan kepada orang yang bertakwa dan beriman kepada-Nya. Pertama, Allah SWT memberi jalan penyelesaian bagi sesuatu kesusahan hidup. Kedua, Allah SWT memberi rezeki yang tidak disangka.

Selain iman dan takwa yang menjadi kunci pertambahan rezeki, Allah SWT akan menambahkan rezeki kepada orang yang sentiasa bersyukur.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahkan nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Sebenarnya barakah tidak hanya terhad dalam bentuk pertambahan rezeki kerana ada juga barakah yang tidak berbentuk pertambahan rezeki tetapi tetap mencukupi. Rezeki yang sedikit jika digunakan sebaik-baiknya akan membawa kebaikan, ketenangan serta kecukupan.

Jelaslah kekayaan yang terpuji atau hakiki adalah kekayaan jiwa. Maksud kekayaan jiwa ialah sentiasa merasa cukup dan puas dengan harta dianugerahkan Allah SWT. Malah tidak mempunyai keinginan dan bersikap tamak untuk menambahkan lagi harta kekayaan.

Muhammad Syukri Salleh dalam buku Tujuh Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam menyatakan rezeki yang barakah membawa kepada rasa cukup, puas, sejahtera dan bahagia. Sesiapa dikurnia rezeki sedikit tetapi barakah lebih baik daripada rezeki banyak tetapi tidak ada barakah.

Oleh Mohd Shukri Hanapi
Sumber: http://www.bharian.com.my/

Bagaimana Kanak-kanak Mempelajari Matematik?


PENGENALAN

Bayi yang baru lahir mewarisi berbagai-bagai bentuk gerakan pantulan. Contohnya apabila sesuatu objek menyentuh bibirnya, bayi terus menghisap objek tersebut tanpa perlu diajar kepadanya. Ini bererti wujud satu atur cara genetis semula jadi dalam diri bayi untuk menyerapkan kewujudan sesuatu objek. Hari demi hari, maklumat dalam ingatan bayi semakin bertambah selaras dengan peningkatan fizikalnya daripada seorang bayi ke dunia kanak-kanak seterusnya menjadi dewasa. Maklumat-maklumat yang diterima akan dipecah-pecahkan menjadi pengetahuan dan memperkembangkan keupayaan kognitifnya.

Menurut Mohd Daud Hamzah (1996), kanak-kanak mempelajari matematik melalui kegiatan seharian tertentu. Ada beberapa aktiviti yang membantu kanak-kanak memperolehi konsep-konsep awal matematik iaitu aktiviti padanan (matching), penjenisan (sorting), reguan (pairing), dan susunan aturan (ordering). Padanan ialah kegiatan memilih sifat tertentu dan membuat perbandingan. Penjenisan pula adalah kegiatan memilih sifat umum di kalangan bentuk-bentuk. Reguan merupakan kegiatan menyatakan keselarian objek-objek secara satu lawan satu. Manakala susunan aturan adalah kegiatan meletakkan perkara sepanjang satu barisan.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa teori daripada pakar-pakar pembelajaran bagaimana kanak-kanak mempelajari matematik dan jenis matematik yang boleh dipelajari pada peringkat yang berbeza dalam perkembangan kognitifnya. Antaranya ialah Teori Piaget, Bruner, Gagne dan Dienes.

TEORI PIAGET

Teori ini diperkenalkan oleh Jean Piaget, berasal daripada Switzerland, merupakan ahli psikologi yang banyak menyumbang kepada pemahaman bagaiman kanak-kanak belajar. Dari kajain dan permerhatiannya, Piaget mendapati bahawa perkembangan kognitif kanak-kanak berbeza dan berubah melalaui empat peringkat iaitu peringkat deria motor (0 – 2 tahun), pra-operasi ( 2 – 7 tahun), operasi konkrit (7 – 11 tahun) dan operasi formal ( 11 tahun ke dewasa). Walau bagaimana, usia ini tidak tetap kerana ia mengikut kemampuan pelajar itu sendiri.

Menurut Jere Confrey (1999), “ Piagetian theory kindled my intense enjoyment of children and deep respect for their capabilities.”

Sebagai seorang guru matematik sekolah rendah, kita harus memberi tumpuan terhadap perkembangan kanak-kanak pada peringkat operasi konkrit. Ketika usia sebegini kanak-kanak hanya boleh memahami konsep matematik melalui pengalaman konkrit. Oleh itu, alat bantuan mengajar dapat membantu murid-murid memahami konsep matematik. Paiget berpendapat bahawa asas pada semua pembelajaran ialah aktiviti kanak-kanak itu sendiri. Beliau juga menegaskan kepentingan interaksi idea-idea antara kanak-kanak tersebut dengan kawan-kawan sejawatnnya penting untuk perkembangan mental.

Permainan kad seperti ini adalah salah satu daripada alat bantuan mengajar yang dapat membantu murid-murid memahami konsep matematik. Klik untuk mendapatkan keterangan lanjut.

TEORI BRUNER

Jerome Bruner, seorang ahli psikologi yang terkenal telah banyak menyumbang dalam penulisan teori pembelajaran, proses pengajaran dan falsafah pendidikan. Bruner bersetuju dengan Piaget bahawa perkembangan kognitif kanak-kanak adalah melalui peringkat-peringkat tertentu. Walau bagaimanapun, Bruner lebih menegaskan pembelajaran secara penemuan iaitu mengolah apa yang diketahui pelajar itu kepada satu corak dalam keadaan baru (lebih kepada prinsip konstruktivisme).

Menurut kajian dan pemerhatian yang telah dibuat oleh Bruner dan pembantunya, Kenney, pada tahun 1963 mereka berjaya membina empat teorem pembelajaran matematik (Mok Soon Sang, 1996) iaitu:
  • Teorem Pembinaan: Cara yang paling berkesan bagi kanak-kanak mempelajari konsep, prinsip atau hukum matematik ialah membina perwakilan dan menjalankan aktiviti yang konkrit.
  • Teorem Tatatanda: Tatatanda matematik yang diperkenalkan harus mengikut perkembangan kognitif murid tersebut.
  • Teorem Kontras dan Variasi: Konsep yang diterangkan kepada murid harus berbeza dan pelbagai supaya murid dapat membezakan konsep-konsep matematik tersebut.
  • Teorem Perhubungan: Setiap konsep, prinsip dan kemahiran matematik hendaklah dikaitkan dengan konsep, prinsip dan kemahiran matematik yang lain.

Selain daripada kajian tersebut, Bruner percaya bahawa kanak-kanak lebih dimotivasikan oleh masalah yang menarik yang tidak mampu diselesaikan oleh mereka dengan mudah seandainya tidak menguasai isi kandungan mata pelajaran dan kemahiran tertentu.

TEORI GAGNE

Robert M. Gagne, seorang professor dan ahli psikologi yang telah banyak membuat penyelidikan mengenai fasa dalam rangkaian pembelajaran dan jenis pembelajaran matematik. Teori pembelajaran Gagne berbeza dengan Teori Piaget dan Bruner. Menurut Gagne, terdapat empat kategori yang harus dipelajari oleh kanak-kanak dalam matematik iaitu fakta, kemahiran, konsep dan prinsip.

Gagne mempunyai hierarki pembelajaran. Antaranya ialah pembelajaran melalui isyarat, pembelajaran tindak balas rangsangan, pembelajaran melalui rantaian, pembelajaran melalui pembezaan dan sebagainya. Menurut Gagne, peringkat yang tertinggi dalam pembelajaran ialah penyelesaian masalah. Pada peringkat ini, pelajar menggunakan konsep dan prinsip-prinsip matematik yang telah dipelajari untuk menyelesaikan masalah yang belum pernah dialami.

TEORI DIENES

Professor Zolton P. Dienes, seorang ahli matematik, ahli psikologi dan pendidik, pernah memberi banyak sumbangan dalam teori pembelajaran. Beliau telah merancang satu sistem yang berkesan untuk pengajaran matematik untuk menjadikan matematik lebih mudah dan berminat untuk mempelajari. Mengikut Dienes konsep matematik boleh dipelajari melalui enam peringkat iaitu permainan bebas, permainan berstruktur, mencari ciri-ciri, perwakilan gambar, perwakilan simbol dan akhirnya formalisasi.

Teori Dienes mengariskan beberapa prinsip bagaimana kanak-kanak mempelajari matematik iaitu:
  • Prinsip Konstruktiviti: Pelajar haruslah memahami konsep sebelum memahaminya dengan analisa yang logik.
  • Prinsip Perubahan Perspeptual: Kanak-kanak didedahkan pelbagai keadaan supaya dapat memaksimakan konsep Matematik.
  • Prinsip Dinamik: Kanak-kanak mempelajari sesuatu melalui pendedahan dan eksperimen untuk membentuk satu konsep.

KANAK-KANAK BELAJAR MATEMATIK
 

Setelah melihat teori-teori yang digariskan oleh Piaget, Bruner, Gagne dan Dienes kita dapat melihat ia ada kaitan dengan konsep konstruktivisme. Konstruktisvisme merupakan satu teori mengenai pengetahuan dan pembelajaran yang menarik minat, memotivasikan serta memudahkan pemahaman pelajar. Di samping itu, konstruktivisme menyarankan kanak-kanak membina pengetahuan secara aktif berdasarkan pengetahuan sedia ada kanak-kanak tersebut. Pembinaan pengetahuan tersebut boleh dihasilkan melalui permainan dan eksperimentasi di samping pembelajaran koperatif. Apabila kanak-kanak bekerjasama, mereka berkongsi dalam proses pembinaan idea. Secara tidak langsung, kanak-kanak tersebut dapat membina pengetahuan baru hasil daripada pembelajaran secara kendiri.

Dalam pendekatan konstruktivisme ini, persekitaran pembelajaran berpusatkan kanak-kanak menjadi asas yang penting dan guru bertindak sebagai fasilitator. Kanak-kanak juga didorong untuk mengemukakan idea dan teori bagi menyelesaikan masalah. Dalam pendidikan matematik, kanak-kanak biasanya akan diajar dengan menggunakan benda-benda konkrit supaya mereka memperolehi pengalaman yang akan digunakan untuk dikaitkan dengan pembelajaran matematik yang dipelajari akan datang.

Secara kesimpulannya, kanak-kanak belajar matematik melalui pengalaman dan pengamatan sesuatu perkara. Selain daripada itu, kanak-kanak juga dapat meningkatkan pemikiran dengan menghasilkan konsep baru. Ini bermakna pengetahuan boleh dianggap sebagai koleksi konsep-konsep dan tindakan-tindakan berguna berpandukan kepada keadaan dan masa yang diperlukan.

PENUTUP

Kanak-kanak itu ibarat bekas yang kosong dan guru berperanan untuk memenuhkan bekas tersebut dengan ilmu pengetahuan. Guru juga berperanan untuk membimbing kanak-kanak untuk menghadapi cabaran pada masa hadapan. Seharusnya kanak-kanak belajar melalui pengalaman dan membentuk ilmu pengetahuan berdasarkan permainan dan eksperimen dan tidak bergantung sepenuhnya dengan guru. Guru hanyalah seorang fasilitator yang akan memantau perkembangan kanak-kanak dalam mempelajari sesuatu konsep.

Menurut pandangan konstruktivime, kanak-kanak membina pengetahuan barunya dengan sendiri dengan menyesuaikan pengetahuan sedia ada. Melalui konsep konstruktivisme ianya mungkin akan sedikit sebanyak membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam pendidikan matematik masa kini. Matlamat pendidikan matematik adalah untuk melahirkan warga yang bukan sahaja berupaya untuk mengaplikasikan apa yang mereka telah pelajari dalam situasi dunia sebenar tetapi juga berupaya menyelesaikan masalah yang belum pernah mereka temui sebelum ini.

Sesungguhnya, kanak-kanak perlu didedahkan dengan pembelajaran secara konstruktivisme dan koperatif. Selain daripada itu, guru juga harus bersedia dengan pelbagai kaedah pengajaran supaya dapat membuka minda kanak-kanak tentang keindahan dan kepentingan pendidikan matematik dalam kehidupan seharian.

Sumber: http://halaqah.net/

Ibnu Bajjah Ahli Falsafah Muslim Arab


ABU Bakar Muhammad ibnu Yahya al-Sai'gh at-Tujibi as-Sarakustiyang dikenali sebagai Ibnu Bajjah atau Avempace, Avenpace juga Aben Pace, berasal daripada keluarga al-Tujib. Bagaimanapun, nama singkatnya yang terkenal adalah Ibnu Bajjah atau Ibnu Saligh.

Riwayat hidupnya sebagai pengumpul dan pengamal ilmu hanya sedikit yang dapat diketahui secara lengkap. Beliau dikatakan anak kepada seorang tukang emas dan dilahirkan di Saragoza, Sepanyol atau daerah sekitarnya menjelang akhir abad ke-5 H / ke-11 Masihi.

Semasa belia, Ibnu Bajjah meneruskan pengajian di Saragoza dan ketika melangkah ke Granada, beliau telah menjadi sarjana bahasa dan sastera Arab yang ulung serta menguasai 12 bidang ilmu pengetahuan.

Ibnu Bajjah menjadi terkenal sebagai salah seorang ahli falsafah Muslim Arab terbesar dari Sepanyol. Bahkan, Ibnu Khaldun mengatakan bahawa ilmu Ibnu Bajjah setanding dengan Ibnu Rusyd di Barat serta al-Farabi dan Ibnu Sina di Timur.

Menurut Ibnu Khaldun lagi, Ibnu Bajjah tercatat juga sebagai salah seorang penyair dan beliau juga adalah orang yang bersama-sama dengan Ibnu Tufail yang melontarkan kritikan terhadap pendapat-pendapat Ptolemy.

Keilmuan dan buah fikirannya terus mencapai kemuncak apabila beliau menetapkan suatu sistem yang didasarkan semata-mata hanya pada siklus eksentrik dengan berasaskan pada kosmologi Aristotle.

Malah, Al-Biruni atau Alpetragius adalah salah seorang muridnya yang kemudian terkenal dengan teori "gerak spiral".

Pada tahun 503 H / 1110 M, pada masa Saragoza jatuh ke tangan Almoravid, Ibnu Bajjah ketika itu berusia 20 tahun dan telah menjawat jawatan sebagai wazir kepada Gabenor Berber, Abu Bakr bin Ibrahim as-Sahrawi, yang lebih dikenali dengan nama Ibnu Tifalwit.

Beberapa sumber lain juga ada menyebutkan bahawa beliau menjadi wazir kepada Kesultanan Furcia.

Selama memegang jawatan sebagai wazir, Ibnu Bajjah melaksanakan tugas sebagai duta kepada Imad ad-Dawla, penguasa Saragoza sebelum Ibnu Tiwalfit, yang mempertahankan kemerdekaannya di Ruta.

Kehidupan beliau begitu tragis apabila dipanjarakan selama beberapa bulan kerana dituduh sebagai pengkhianat.

Pada saat pembebasannya, beliau tidak kembali lagi ke Saragoza, tetapi ke Valencia. Ketika itu dikatakan Ibnu Tifalwit telah meninggal dunia pada tahun 510 H / 1117 M.

Tidak beberapa lama kemudian, orang-orang Kristian telah menyerang dan berjaya menakluki Saragoza pada bulan Ramadan 512 H / Disember 1118 M. Setelah itu, Ibnu Bajjah bersiap untuk pergi ke Seville (barat Sepanyol).

Bagaimanapun, menurut Ibnu Khaqan, beliau ditangkap dan dimasukkan sekali lagi ke dalam penjara oleh Almoravid Ibrahim bin Yusuf bin Tashutin.

Setelah bebas atas bantuan kakak Ibnu Rusyd, beliau pergi ke Seville. Dari kota itu beliau pergi pula ke Fez dan meninggal dunia di sana pada bulan Ramadan 533 H / Mei 1139 M.

Sejarah mengenai catatan lengkap kehidupannya masih dapat diperoleh dalam buku Ibnu Khalikan, Biographical Dictionary jilid 111 terbitan 1842 M. Begitu juga dalam biografi karangan Ibnu Abi Ushaybiah yang diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis oleh De Gayangs.

Menyentuh mengenai hasil karyanya, Ibnu al-Imam menyatakan bahawa penulisan Ibnu Bajjah amat terperinci, malah mencakupi psikik Aristotles, asas-asas fikiran al-Farabi dalam ilmu logik, serta karya penulisannya merangkumi bidang politik yang berjudul The Conduct of The Solitary (Arab: Tadbir al-Mutawahhid) dan Epistle on the Conjuction.

Dalam ilmu falsafah pula, Ibnu Bajjah menetapkan bahawa manusia boleh berhubung dengan akal melalui perantaraan ilmu pengetahuan dan pembangunan potensi manusia.

Menurutnya lagi, ada perkara di dunia ini yang tidak dapat dihuraikan menggunakan logik. Jadi, Ibnu Bajjah mempelajari ilmu-ilmu lain untuk membantunya memahaminya hal-hal yang berkaitan dengan metafizik.

Ilmu sains dan fizik, misalnya digunakan oleh Ibnu Bajjah untuk menghuraikan persoalan benda dan rupa. Menurut Ibnu Bajjah, benda tidak mungkin wujud tanpa rupa, tetapi rupa tanpa benda mungkin wujud.

Minatnya yang mendalam mengenai soal-soal yang berkaitan dengan ketuhanan dan metafizik jauh mengatasi bidang ilmu yang lain meskipun beliau mahir dalam ilmu psikologi, politik, perubatan, algebra dan sebagainya.

Sumber: http://www.utusan.com.my/

Monday, April 2, 2012

Persediaan Sebelum Tidur


Diriwayatkan daripada Abdullah bin Zaid al-Ansari r.a bahawa dia pernah melihat Nabi Muhammad SAW berbaring terlentang di dalam masjid, meletakkan sebelah kakinya pada sebelah kakinya yang lain.” (al-Bukhari)

Huraian:

Sekiranya hendak tidur kita disarankan mengikut sunah Rasulullah SAW. Dalam suatu riwayat menerangkan: “Daripada ‘Aisyah r.a katanya: “Nabi SAW apabila berbaring di tempat tidurnya pada setiap malam, baginda mengangkat kedua tangannya (seperti berdoa), lalu meniup dan membaca surah al-Ikhlas, surah al-Falaq, surah an-Nas, kemudian baginda menyapukan tangannya itu ke seluruh badan yang dimulai dari kepalanya dan mukanya dan bahagian depan daripada badannya, Baginda melakukannya sebanyak tiga kali.” (at-Tirmizi) Selain itu sebelum tidur baginda menunaikan sembahyang witir kerana Nabi SAW juga telah mengingatkan umatnya bahawa syaitan sering mengganggu manusia ketika tidur. Oleh itu kita dianjurkan supaya mengamalkan solat witir setiap kali sebelum tidur. Ketika baginda terbangun daripada tidur di tengah malam pula, baginda akan membasuh muka dan kedua belah tangan sebelum baginda tidur semula. Berkenaan dengan cara tidur pula, Rasulullah SAW selain daripada tidur miring ke sebelah kanan, baginda juga pernah tidur terlentang dengan cara meletakkan satu kaki di atas yang lain sebagaimana maksud hadis di atas.

Sumber: http://hadis.feryco.com/

Mata Ayah


Kujabat mesra tangan ayah
Urat-urat daging-daging tua keras terasa
Mataku tersenyum, matanya menyapa
Anak yang pulang disambut mesra.

Tapi matanya, mata yang menatapku
Kolam-kolam derita dan pudar bulan pagi
Garis-garis putih lesu melingkungi hitam-suram
Suatu kelesauan yang tak pernah dipancarkan dulu.

Kelibat senyum matanya masih jua ramah
Akan menutup padaku kelesuan hidup sendiri
Bagai dalam suratnya dengan kata-kata siang
Memintaku pulang menikmati beras baru.

Anak yang pulang di sisi ayahnya maka akulah
merasakan kepedihan yang tercermin di mata
Meski kain pelekatnya bersih dalam kesegaran wuduk
Dan ia tidak pernah merasa, sebab derita itu adalah dia.

~Usman Awang

Al-Mas'udi - Pakar Geografi


Abu al – Hassan 'Ali b. Husayn b. 'Ali al – Mas'udi atau Abu Hassan 'Ali b. al – Hasyn b. 'Abdullah al – Mas'udi. Beliau dilahirkan di kota Baghdad Iraq pada akhir abad ke – 9M. Berdasarkan buku yang berjudul al – Mas'udi and His World, beliau dilahirkan pada tahun 283H / 895M. Pada tahun 345H / 956M beliau beliau berusia 20 tahun.

Abul Hasan Ali Al-Masu'di (أبو الحسن ، علي بن الحسين المسعودي) merupakan salah seorang pakar sains Islam yang meninggal pada tahun 957. Dilahirkan di Baghdad, dia juga merupakan seorang ahli sejarah, geografi dan falsafah. Dia pernah mengembara ke Sepanyol, Rusia, India, Sri Lanka dan China serta menghabiskan umurnya di Syiria dan Mesir. Dia berasal dari keturunan sahabat Nabi Muhammad, Abdullah bin Mas'ud.

Bukunya Muruj adh-Dhahab wa Ma'adin al-Jawahir (مروج الذهب و معادن الجواهر) (Padang Emas dan Lombong Manikam) yang ditulis pada 943, merupakan himpunan kisah perjalanan dan pembelajarannya. Ia menyentuh aspek sosial dan kesusasteraan sejarah, perbincangan mengenai agama dan penerangan geografi. Dia juga menulis buku Al-Tanbih wa al-Ashraf, yang merupakan buku terakhirnya.

SUMBANGAN AL-MAS'UDI

1. Bidang Ilmu Geografi

Menggabungkan geografi dengan disiplin sejarah untuk menjadikannya lebih menarik iaitu membuat gambaran tentang gempa bumi, perairan laut mati, dan tajuk-tajuk geologi yang lain.

Pertama kali beliau menyebut tentang kincir air di Sijistan yang menjadi penemuan baru bagi orang Islam.

Menyokong Teori Determinisme Alam Sekitar dengan menganggap bahawa faktor persekitaran iaitu iklim yang dipengaruhi oleh planet mempunyai pengaruh yang rapat dengan sikap manusia. Contohnya :
  • Beliau berpendapat bahawa iklim pertama dipengaruhi oleh venus ( Status), iklim kedua dipengaruhi oleh Zuhal ( Jupiter ), dan iklim ketujuh dipengaruhi oleh bulan.
  • Matahari dan bulan dikaitkan dengan nasib atau jalan hidup orang dari Utara yang menyebabkan mereka berbakat tinggi dalam peperangan. Manakala orang di Selatan memiliki sifat lebih tafakur.
  • Terdapat pembahagian dunia kepada dua iaitu bahagian Barat yang mempunyai garis lintang tinggi, dipengaruhi oleh bulan maka penduduknya dikatakan panjang umur. Manakala bahagian Timur mempunyai garis lintang pertengahan.
Beliau juga cuba menerangkan kaitan antara faktor-faktor " Di Bumi Nyata " dengan sikap dan kehidupan manusia. Menbuat kajian tentang tanah fay dan mengkaji perbezaan aspek wilayahnya.

Mengkaji flora dan fauna yang terdapat di India iaitu berhampiran tepi laut Combay. Contoh kajiannya iaitu gajah, burung kakak tua, burung merak, buah oren, kelapa, dan sebagainya.

2.Bidang Ilmu Pelayaran

Beliau membuat catatan penting terhadap peristiwa pelayaran dan pada masa yang sama memberi sumbangan yang amat besar dalam ilmu pelayaran Islam.

Beliau dapat menyelesaikan masalah yang timbul di kalangan pelaut dan ahli pelayaran yang keliru tentang nama-nama sungai yang mereka lalui semasa pelayaran dijalankan. Contohnya :
  • Beliau membuat gambaran yang jelas tentang laluan dari Teluk Parsi ke laut China.
  • Penemuan sungai pertama iaitu Bahr al-Fars atau Khasybah al-Basrah.
  • Penamuan bandar-bandar lama di pesisiran pantai Gujerat dan Konkan.

Beliau juga menjelaskan keadaan, lokasi serta aktiviti perdagangan bagi masyarakat dan pedagang di India setelah beliau tiba pada tahun 303H.Beliau menerangkan kepada ahli pelaut yang mengatakan setiap laut itu berasingan, dengan penjelasannya bahawa lautan merupakan satu kumpulan air besar yang bersambung antara satu sama lain. Sebagai contoh: laut Hindi, laut China, laut Parsi, laut Rom,dan laut Syiria adalah tidak berasingan.

Beliau berjaya menyelesaikan kekeliruan yang dihadapi oleh pelaut Arab tentang dua laluan laut dari Eropah ke Sepanyol iaitu Britain dan Ireland melalui lautan Atlantik dan dari Rusia melalui Laut Hitam, Dardeneller dan laut Mediterranean. Hasil sil kajian yang beliau lakukan bahawa laut Kaspia tidak bersambung dengan laut Hitam.

Beliau juga berpendapat bahawa jarak antara benua Eropah dan  China adalah setengah lingkungan bumi.
Sumber: http://silverheritage.blogspot.com/
Sumber: http://ms.wikipedia.org/