Thursday, April 5, 2012
Ibnu Bajjah Ahli Falsafah Muslim Arab
ABU Bakar Muhammad ibnu Yahya al-Sai'gh at-Tujibi as-Sarakustiyang dikenali sebagai Ibnu Bajjah atau Avempace, Avenpace juga Aben Pace, berasal daripada keluarga al-Tujib. Bagaimanapun, nama singkatnya yang terkenal adalah Ibnu Bajjah atau Ibnu Saligh.
Riwayat hidupnya sebagai pengumpul dan pengamal ilmu hanya sedikit yang dapat diketahui secara lengkap. Beliau dikatakan anak kepada seorang tukang emas dan dilahirkan di Saragoza, Sepanyol atau daerah sekitarnya menjelang akhir abad ke-5 H / ke-11 Masihi.
Semasa belia, Ibnu Bajjah meneruskan pengajian di Saragoza dan ketika melangkah ke Granada, beliau telah menjadi sarjana bahasa dan sastera Arab yang ulung serta menguasai 12 bidang ilmu pengetahuan.
Ibnu Bajjah menjadi terkenal sebagai salah seorang ahli falsafah Muslim Arab terbesar dari Sepanyol. Bahkan, Ibnu Khaldun mengatakan bahawa ilmu Ibnu Bajjah setanding dengan Ibnu Rusyd di Barat serta al-Farabi dan Ibnu Sina di Timur.
Menurut Ibnu Khaldun lagi, Ibnu Bajjah tercatat juga sebagai salah seorang penyair dan beliau juga adalah orang yang bersama-sama dengan Ibnu Tufail yang melontarkan kritikan terhadap pendapat-pendapat Ptolemy.
Keilmuan dan buah fikirannya terus mencapai kemuncak apabila beliau menetapkan suatu sistem yang didasarkan semata-mata hanya pada siklus eksentrik dengan berasaskan pada kosmologi Aristotle.
Malah, Al-Biruni atau Alpetragius adalah salah seorang muridnya yang kemudian terkenal dengan teori "gerak spiral".
Pada tahun 503 H / 1110 M, pada masa Saragoza jatuh ke tangan Almoravid, Ibnu Bajjah ketika itu berusia 20 tahun dan telah menjawat jawatan sebagai wazir kepada Gabenor Berber, Abu Bakr bin Ibrahim as-Sahrawi, yang lebih dikenali dengan nama Ibnu Tifalwit.
Beberapa sumber lain juga ada menyebutkan bahawa beliau menjadi wazir kepada Kesultanan Furcia.
Selama memegang jawatan sebagai wazir, Ibnu Bajjah melaksanakan tugas sebagai duta kepada Imad ad-Dawla, penguasa Saragoza sebelum Ibnu Tiwalfit, yang mempertahankan kemerdekaannya di Ruta.
Kehidupan beliau begitu tragis apabila dipanjarakan selama beberapa bulan kerana dituduh sebagai pengkhianat.
Pada saat pembebasannya, beliau tidak kembali lagi ke Saragoza, tetapi ke Valencia. Ketika itu dikatakan Ibnu Tifalwit telah meninggal dunia pada tahun 510 H / 1117 M.
Tidak beberapa lama kemudian, orang-orang Kristian telah menyerang dan berjaya menakluki Saragoza pada bulan Ramadan 512 H / Disember 1118 M. Setelah itu, Ibnu Bajjah bersiap untuk pergi ke Seville (barat Sepanyol).
Bagaimanapun, menurut Ibnu Khaqan, beliau ditangkap dan dimasukkan sekali lagi ke dalam penjara oleh Almoravid Ibrahim bin Yusuf bin Tashutin.
Setelah bebas atas bantuan kakak Ibnu Rusyd, beliau pergi ke Seville. Dari kota itu beliau pergi pula ke Fez dan meninggal dunia di sana pada bulan Ramadan 533 H / Mei 1139 M.
Sejarah mengenai catatan lengkap kehidupannya masih dapat diperoleh dalam buku Ibnu Khalikan, Biographical Dictionary jilid 111 terbitan 1842 M. Begitu juga dalam biografi karangan Ibnu Abi Ushaybiah yang diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis oleh De Gayangs.
Menyentuh mengenai hasil karyanya, Ibnu al-Imam menyatakan bahawa penulisan Ibnu Bajjah amat terperinci, malah mencakupi psikik Aristotles, asas-asas fikiran al-Farabi dalam ilmu logik, serta karya penulisannya merangkumi bidang politik yang berjudul The Conduct of The Solitary (Arab: Tadbir al-Mutawahhid) dan Epistle on the Conjuction.
Dalam ilmu falsafah pula, Ibnu Bajjah menetapkan bahawa manusia boleh berhubung dengan akal melalui perantaraan ilmu pengetahuan dan pembangunan potensi manusia.
Menurutnya lagi, ada perkara di dunia ini yang tidak dapat dihuraikan menggunakan logik. Jadi, Ibnu Bajjah mempelajari ilmu-ilmu lain untuk membantunya memahaminya hal-hal yang berkaitan dengan metafizik.
Ilmu sains dan fizik, misalnya digunakan oleh Ibnu Bajjah untuk menghuraikan persoalan benda dan rupa. Menurut Ibnu Bajjah, benda tidak mungkin wujud tanpa rupa, tetapi rupa tanpa benda mungkin wujud.
Minatnya yang mendalam mengenai soal-soal yang berkaitan dengan ketuhanan dan metafizik jauh mengatasi bidang ilmu yang lain meskipun beliau mahir dalam ilmu psikologi, politik, perubatan, algebra dan sebagainya.
Sumber: http://www.utusan.com.my/
Labels:
Tokoh Islam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment