Friday, February 24, 2012
Kelebihan Jumaat Penghulu Segala Hari
HARI Jumaat adalah penghulu segala hari atau disebut ‘sayyidul aiyyam’ kerana mempunyai kemuliaan dan keistimewaan di sisi Allah SWT. Bagi umat Islam, hari itu amat berharga dan hari untuk beramal ibadat bagi merebut kelebihan penghulu segala hari.
Berdasarkan penjelasan hadis, hari Jumaat adalah hari pertama kemunculan matahari di dunia, pada hari itu Allah SWT menciptakan Nabi Adam, berlakunya hari Kiamat dan Allah SWT mengizinkan ahli syurga untuk memasuki syurga.
Manakala malaikat pula menamakan hari Jumaat sebagai hari penambahan disebabkan banyaknya pintu rahmat dibuka dan Allah SWT akan melimpahkan kurnia-Nya serta menabur kebaikan-Nya.
Hakikatnya, menjadi tetamu Allah SWT pada penghulu segala hari adalah saat istimewa kerana memberi peluang menilai ketakwaan dan membersihkan dosa.
Kita perlu insaf walaupun pada zahirnya penampilan diri kelihatan cemerlang tetapi dari segi batin orang yang melakukan dosa seperti rasuah, menzalimi, menganiaya, memfitnah, minum arak, berzina dan sebagainya bagaikan berada di tempat kotor diselaputi najis.
Malah, apa yang menakutkan kita ialah meninggal dunia dalam keadaan berdosa dan tidak sempat bertaubat. Oleh itu, insaf dan sedarlah bahawa untuk keluar dari tempat bernajis atau kotor, caranya ialah meninggalkan, menjauhi tempat itu serta mencari tempat yang suci.
Kemuncak ibadat bagi tetamu Allah di masjid ialah mendengar dua khutbah dan solat fardu Jumaat. Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu (ke masjid) untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah berjual-beli; yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.” (Surah al-Jumaah, ayat 9)
Perjumpaan tetamu Allah setiap minggu di rumah Allah mampu membaiki keimanan, meningkatkan persaudaraan sesama Muslim dan perpaduan ummah. Oleh kerana besar pengaruh perjumpaan tetamu Allah ini, maka sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut tanpa uzur dibenarkan syarak, mereka dikira sebagai orang yang lalai.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang meninggalkan Jumaat tiga kali berturut-turut tanpa uzur, Allah akan menutup mata hatinya.” (Hadis riwayat al-Nasa’ie)
Menurut Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumudin, pada malam dan siang hari Jumaat ada sesaat yang mulia di mana segala permohonan doa akan dimakbulkan dan saat itu dirahsiakan. Siapa meninggal dunia pada hari Jumaat atau malam Jumaat, Allah mencatat untuknya pahala orang syahid dan menjaganya dari azab kubur.
Amalan sunat hari Jumaat seperti qiamulail, sujud syukur, berzikir, beriktikaf dan membaca al-Quran seperti surah al-Kahfi, Yaasin, Sajjadah dan al-Mulk.
Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat nescaya Allah menerangi cahaya yang akan menerangi dirinya antara dua Jumaat.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Hari Jumaat adalah hari penuh keberkatan. Bagi mengambil peluang keemasan ini, mari kita membudayakan bersama keluarga dan anak memuliakan hari Jumaat sebagai penghulu segala hari.
Mudah-mudahan dengan cara ini ia mampu memperkukuhkan institusi keluarga dan memantapkan keimanan anak kita. Ini amalan nabi, wali dan orang salih. Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian, kerana kesibukan dunia dan pengaruh sosial menyebabkan kita lupa kemuliaan hari Jumaat.
Malah apa yang menyedihkan, ada kalangan umat Islam menjalankan aktiviti pada malam dan hari Jumaat yang menyemarakkan lagi gejala sosial.
Rebutlah peluang untuk membersihkan diri dan bertaubat pada penghulu segala hari. Marilah bersama merenung firman Allah SWT yang bermaksud: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatkanlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat.” (Surah al-Jumaat, ayat 10
Sumber: http://www.harian-metro-online.com/
Labels:
Ibadah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment