Monday, August 6, 2012
Al-Quran, Solat, Ingat Mati Pancar Cahaya Menyinari Hati
CAHAYA yang menyinari hati bersumber pada tiga pancaran, iaitu cahaya al-Quran, sembahyang dan mengingati mati.
Al-Imam Al-Ghazali berkata: “Carilah hatimu di tiga tempat. Pertama ketika membaca al-Quran, kedua ketika sembahyang dan ketiga ketika engkau mengingati mati. Jika pada tiga tempat itu kamu tidak menemukan hatimu maka pohonkanlah kepada Allah agar Ia memberimu hati kerana sesungguhnya kamu ketika itu tidak memiliki hati.”
Kejayaan seseorang bergantung pada usahanya mengenal Allah, dan tiada jalan yang paling dekat untuk mengenal Allah selain mempelajari al-Quran. Dunia hanya boleh direbut dengan kekuatan dari Allah, tanpa bergantung kepada-Nya manusia tidak akan mendapat apa yang diimpikan.
Kejayaan ialah sejauh mana seseorang mengikat dirinya dengan Allah Taala dengan ikatan yang kuat. Maka al-Quran yang menjadi ikatan antara hamba dengan Allah Taala. Melaluinya seseorang pandai memilih yang hak dari yang batil, dia mengetahui jalan terang dan mengikuti petunjuk al-Quran.
Meneroka dunia dan mengurus diri dan masyarakatnya melalui bimbingan wahyu. Dia lahir menjadi manusia yang jujur, kuat bekerja dan memiliki misi jelas dalam hidupnya kerana diniatkan segala pekerjaan itu sebagai ibadah kepada Allah.
Siapa yang bergantung kepada selain Allah dia tidak akan mendapat faedah dari pergantungannya itu. Ibnu al-Qayyim berkata: “Ketika manusia bergantung kepada dunia, gantungkanlah dirimu hanya kepada Allah. Ketika manusia bergembira kerana dunia, jadikanlah dirimu bergembira kerana Allah. Ketika manusia mencari bahagia dengan kekasih-kekasih mereka, carilah bahagia dengan mencintai Allah dan ketika manusia pergi menghadap raja-raja dan pembesar mereka pergilah menuntut hajatmu hanya kepada Allah.”
Sesungguhnya ibadah yang menghampirkan manusia dekat kepada Allah adalah sujud, permintaan yang tidak akan ditolak adalah doa yang ikhlas dan proses pembersihan dosa yang dilakukan terus-menerus adalah sembahyang.
Sembahyang adalah sumber tenaga yang diperlukan untuk menghadapi perjalanan hidup yang mencabar. Sembahyang yang berkualiti boleh melahirkan jiwa yang reda sekali gus kuat berikhtiar semata-mata mahu berlumba melakukan amal saleh dan membina kehidupan di dunia.
Antara tanda kebijaksanaan orang mukmin ialah pandai merancang masa depan. Bukan hanya pandai melipatgandakan harta dan membina istana tetapi jauh pandangannya hingga menembusi alam akhirat.
Pernahkah anda merancang bagaimana menghabiskan masa muda dan melewati masa tua dengan ketinggian ilmu dan persediaan amal, akhirnya merancang untuk mati dengan tenang? Mengingati mati boleh menghidupkan hati, menyuntik semangat untuk beramal lebih baik dari kelmarin, menumbuhkan rasa takut dan harap kepada Allah seterusnya menggugah hati sentiasa bertaubat.
Jika ramai manusia berlumba-lumba menghadiri pesta keriangan, memenuhi pasar dan mengunjungi tempat peranginan indah, tidak salah jika kita menjadikan ziarah kubur sebagai aktiviti rutin yang boleh mengingatkan diri kepada kematian seperti Rasulullah SAW yang melazimi ziarah kubur dan mendoakan kaum muslimin tidak kira siang ataupun malam hari.
Dengan membaca Al-Quran, solat dan mengingati mati seorang mukmin telah melakukan penjagaan yang rapi terhadap hatinya. Bagaimanakah pula keadaan orang yang tidak memiliki ketiga-tiga cahaya hati ini? Mesti hidupnya hampa, jika kaya pasti merana, miskin pula terseksa, jika jahil tersesat, kalau alim ilmunya pula tidak bermanfaat.
Sumber: http://www.bharian.com.my/
Labels:
Akhlak
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment