Thursday, August 9, 2012
Cara Buat Duit Pada Bulan Ramadhan
Bulan Ramadhan adalah bulan buat duit bagi sesetengah daripada kita. Ada yang sanggup mengambil cuti sebulan tanpa gaji untuk berniaga di pasar Ramadhan. Bagi setengah yang lain pula, terpaksa membuat pinjaman baru menjelang hari raya. Siapa pun kita, jangan lupa amalkan sedekah lebih sedikit dengan ikhlas pada bulan Ramadhan ini kerana itulah cara buat duit yang paling berkesan.
Membayar zakat dan mengeluarkan sedekah, walaupun kelihatan secara zahir kelihatan harta kita berkurangan tetapi pada hakikatnya harta itu telah kekal. Ia pasti menjadi 1 dari 3 pembantu utama selepas kita mati nanti.
Tidaklah sesuatu pemberian sedekah itu mengurangi banyaknya harta. Tidaklah Allah itu menambahkan seseorang akan sifat pengampunannya, melainkan ia akan bertambah pula kemuliaannya. Juga tidaklah seseorang itu merendahkan diri kerana mengharapkan keredhaan Allah, melainkan ia akan diangkat pula darjatnya oleh Allah ‘Azzawajalla.
(Direkodkan oleh Imam Muslim)
Mari kita lihat kepada siapa pula kita patut beri sedekah. Maka dalam ayat 177 surah al-Baqarah Allah swt menyebut:
Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah dan hari akhirat dan segala malaikat dan segala Kitab dan sekalian Nabi dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang dia menyayanginya, kepada kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang dalam musafir dan kepada orang-orang yang meminta dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan dan dalam masa kesakitan dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. (Orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan) dan mereka itulah juga orang-orang yang bertakwa.
Dalam ayat ini Allah swt menetapkan keutamaan sedekah ini diberikan di kalangan ahli keluarga kita sendiri dan selepas itu barulah kita mencari anak yatim, orang miskin dan orang-orang lain yang memerlukan di luar lingkungan keluarga kita. Inilah sifat yang kita perlu ada dan bukannya lepas mati sahaja orang tua, adik-beradik bertegang urat bergaduh untuk merebut pusaka.
Kita diberikan masa 30 hari untuk membuat amalan sedekah dengan ganjaran yang lebih besar dan yakinlah dengan janji Allah berikut dengan ‘pelaburan sedekah’ yang kita buat nanti:
Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.
(al-Baqarah: 261)
Jika kita mahu membuat kiraan, RM 1 yang kita beri itu bakal berganda menjadi RM 7 dan setiap RM 7 itu pula bakal menghasilkan lagi seratus RM 1 yang bakal berganda menjadi RM 7 dan RM 7 yang baru berkembang ini juga akan menghasilkan lagi seratus RM 1 yang bakal menjadi RM 7 lagi dan lagi dan lagi dan hanya Allah swt sahaja yang tahu kiraan sebenarnya.
Amalkan sikap suka memberi duit kepada yang memerlukan dan rezeki akan datang dengan cara yang kita tidak sangka
Sumber: http://www.pakdi.net/
Labels:
Akhlak
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment