Oleh: SAODAH ABD. RAHMAN
SIKAP prihatin kerajaan terhadap pengawalan harga barangan perlu berterusan supaya para peniaga tidak mengambil kesempatan terhadap kenaikan gaji kakitangan kerajaan. Secara rasional kenaikan harga barangan tidak boleh dikaitkan dengan kenaikan gaji kerana jumlah kakitangan kerajaan adalah kecil jika dibandingkan dengan jumlah penduduk keseluruhannya. Ramai di kalangan penduduk Malaysia tidak mempunyai pendapatan tetap dan miskin.
Dalam suasana golongan kecil menikmati kenaikan gaji masih ramai lagi masyarakat berasa terkilan dan gelisah kerana khuatir harga barangan dinaikkan terutama berhubung kait dengan bahan-bahan makanan dan keperluan asas.
Perasaan dan psikologi golongan yang tidak mempunyai peluang untuk menikmati keuntungan negara perlu diberi keutamaan sewajarnya. Sekurang-kurangnya harga barang makanan dan keperluan asas berada dalam kawalan. Para peniaga perlu menanamkan perasan belas kasihan kepada pelanggan. Sikap mengaut keuntungan secara mendadak adalah terkeluar daripada etika perniagaan dalam Islam.
Rasulullah s.a.w. mengambil berat terhadap kualiti dan harga barang yang dijual oleh para peniaga ketika Baginda menjadi pemimpin umat Islam. Baginda secara tegas menyatakan bahwa orang-orang yang menipu dalam perniagaan bukanlah termasuk dalam golongan umatnya. Baginda memberi amaran bahawa orang yang terlibat dalam aktiviti menyorok barang jualan dengan tujuan untuk menjual dengan harga yang tinggi ketika negara berada dalam keadaan terdesak maka orang tersebut akan dibalas oleh Allah dengan menjadikannya muflis.
Perniagaan merupakan satu aktiviti yang boleh memberi keuntungan dan kebaikan kepada diri individu dan juga masyarakat. Jika etika perniagaan tidak dilaksanakan dan pencabulan terhadap konsep kemanusiaan menjadi lumrah hidup para peniaga maka masyarakat dan negara keseluruhannya akan menjadi sengsara.
Oleh itu perkara menaikkan harga barang makanan dan keperluan asas masyarakat adalah satu perkara yang serius dalam sistem pentadbiran dan pengurusan Islam.
Setiap pemimpin Islam di zaman keagungan Islam terutamanya khulafa al-Rashidun mengambil berat terhadap perkara yang berkaitan dengan urusan pemakanan dan minuman masyarakat serta keperluan asas.
Di zaman Umar Al-Khattab beliau melantik Shifa Abdullah ibn Sham menjadi pentadbir dalam urusan perniagaan di pasar-pasar Madinah. Beliau merupakan seorang yang bijak dan berilmu pengetahuan.
Pelantikan wanita sebagai pentadbir dalam urusan perniagaan di pasar-pasar menunjukkan bahwa wanita memainkan peranan penting dalam menentukan kawalan harga barangan. Wanita lebih halus perasaannya dalam memahami kenaikan harga barangan makanan dan keperluan asas kerana mereka merupakan orang yang bertanggungjawab dalam menyediakan pemakanan dan minuman ahli-ahli keluarga. Sikap tegas wanita dalam melaksanakan tugas penting ini juga boleh mengubah pendirian para peniaga dalam meletakkan harga jualan.
Para peniagaan perlu mempunyai sikap dan perasaan belas kasihan kepada pembeli terutama golongan kurang berada dan miskin. Jika sikap begini wujud dalam diri individu Islam dan ahli-ahli perniagaan maka orang awam tidak akan menghadapi kesempitan hidup untuk mendapat sesuap makanan. Rasulullah s.a.w. melatih umat Islam berniaga secara ihsan.
Baginda sentiasa melihat latar belakang pelanggan ketika Baginda melaksanakan perniagaan. Baginda meletakkan harga yang ditetapkan oleh penguasa ketika berurusan dengan orang yang berada dan kaya. Jika pelanggan miskin yang mempunyai anak yang ramai datang ke kedainya maka baginda sering melipatgandakan kadar barangan walaupun dengan menggunakan harga yang ditetapkan.
Sikap prihatin dan ihsan Baginda dalam perniagaan memberi keuntungan berlipat ganda kepada Baginda kerana orang miskin dan kaya gemar membeli barang-barang di kedai baginda.
Kualiti barang-barang jualan dan penetapan harga barangan oleh pihak berkuasa sepatutnya dijadikan panduan ketika berurusan dalam hal ehwal perniagaan.
Perkara seperti ini bukan merupakan satu urusan yang sulit sehingga boleh mendatangkan kerugian dalam perniagaan. Pihak-pihak yang berwibawa dalam urusan perniagaan perlu memantau harga dan kualiti barang yang dijual berterusan bukan bermusim.
Sikap dan mentaliti yang cuai terhadap tugas dan tanggungjawab menyebabkan para peniaga mengambil kesempatan untuk menipu pelanggan.
Bagi golongan kaya dan berada kenaikan harga barangan kurang dirasai kerana pendapatan mereka melebihi keperluan asas. Sedangkan golongan kurang berada dan miskin setiap sen yang dibelanjakan oleh mereka merupakan satu nilai yang tinggi. Ini disebabkan untuk mendapat setiap sen mereka perlu membanting tulang setiap hari. Oleh itu jika kenaikan harga barangan merupakan satu bebanan kepada mereka walaupun dalam kadar sen.
Jika keluhan dan kesempitan hidup golongan miskin tertanam dalam pemikiran ahli perniagaan maka mereka tidak akan tergamak menaikkan harga barangan dengan tujuan untuk menjadi kaya secepat mungkin. Sikap tamak begini terkeluar daripada konsep kemanusiaan.
Di negara maju persatuan pengguna dan masyarakat cukup sensitif terhadap kualiti dan harga barangan. Oleh itu harga dan kualiti barang yang dijual adalah terjamin.
Nilai dan etika perniagaan sepatutnya diamalkan dalam negara Islam kerana Islam membicarakan etika perniagaan yang berlandaskan kepada konsep kemanusiaan dan ihsan.
- DR. SAODAH ABD. RAHMAN ialah pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Sumber: http://www.utusan.com.my/
No comments:
Post a Comment