2010/07/02
KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan meningkatkan penyertaan pelajar mengikuti pendidikan Vokasional-Teknikal atau 'voctech', antara usaha untuk menyalurkan pelajar lelaki yang gagal melanjutkan pengajian di universiti awam ke bidang yang diminati, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sambil menyifatkan dominasi pelajar wanita di institusi pengajian tinggi fenomena global, Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan berusaha untuk meningkatkan prestasi pelajar lelaki yang didapati gagal memberi tumpuan pada pelajaran selain dipengaruhi keadaan persekitaran.
“Kementerian Pelajaran meneliti perkara ini tetapi pada masa sama jika pelajar lelaki tidak berapa berminat dalam soal akademik, maka kita harus salurkan mereka ke bidang yang mereka minati.
“Sebab itu, ini ada kaitan dengan keputusan saya supaya kita tingkatkan pembelajaran dalam bidang vokasional, yang ini berlaku di lain-lain negara di mana kemasukan pelajar ke bidang vokasional sama banyaknya dalam bidang akademik.
“Mungkin di peringkat itu, pelajar lelaki boleh dikatakan lebih sesuai kerana mereka lebih mudah dalam kemahiran, perkara yang berkaitan vokasional, mungkin kita akan lihat ada kemajuan dalam satu saluran bidang lebih diminati pelajar lelaki,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Pendidikan Prasekolah Kebangsaan 2010, di sini, semalam.
Hadir sama Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom. Sebanyak 14 kertas kerja dibentangkan selain 12 sesi bengkel pada persidangan yang berlangsung selama empat hari berakhir hari ini.
Berita Harian semalam melaporkan pelajar perempuan terus mendominasi kemasukan di universiti awam apabila menguasai 64.8 peratus atau 26,229 daripada 40,506 tempat yang ditawarkan untuk program ijazah pertama bagi sesi akademik 2010/2011 yang akan mendaftar pada Sabtu dan Ahad ini.
Laporan turut menyebut jumlah mereka juga melebihi lelaki bagi program pengajian lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf yang akan mendaftar pada tarikh sama dan 23 Mei lalu dengan 21,567 pelajar perempuan berjaya mendapat tawaran atau 58.45 peratus daripada keseluruhan 36,900 tempat kemasukan.
Sebelum ini, Kementerian Pelajaran mensasarkan penyertaan pelajar yang mengikuti pendidikan `voctech' meningkat 20 peratus menjelang 2015, berikutan pelbagai usaha terancang dilaksanakan.
Katanya, fenomena dominasi pelajar perempuan bukan saja berlaku di Malaysia tetapi di banyak negara lain yang turut berdepan dengan keadaan hampir sama.
“Sebab musabab itu mungkin boleh dijadikan satu bahan perdebatan, yang pentingnya kita tidak rasa gusar mengenai hal itu kerana saya fikir pejuang gender wanita berbangga dengan pencapaian pelajar perempuan yang cemerlang dalam pendidikan, ” katanya.
Sumber: Berita Harian
No comments:
Post a Comment