PENDAHULUAN
Tajuk Kertas Kerja asal yang diberikan oleh pihak penganjur kepada saya ialah, “Kejatuhan Melaka satu Tragedi Kepada Jati Diri Bangsa dan Islam”. Tetapi saya telah mengubah tajuk itu dan menggantikannya dengan tajuk lain yang lebih positif, iaitu “Kejatuhan Melaka Dalam Tahun 1511 Sebagai Rahmat dan Pelajaran Penting Kepada Bangsa Melayu-Islam Hari Ini”. Kalau kita percaya bahawa setiap kejadian yang berlaku di dunia atau di alam ini adalah atas kehendak Allah yang menciptakan segala-galanya, maka kita wajib percaya bahawa peristiwa yang berlaku di Melaka dalam tahun 1511 itu berlaku atas Kehendak dan Iradat Allah jua. Oleh yang demikian kita tidak boleh menganggap peristiwa itu sebagai tragedi atau malapetaka kepada bangsa Melayu atau Islam. Saya menganggap di balik peristiwa itu ada Rahmat, ada pelajaran yang perlu direnungi oleh bangsa Melayu dan para pemimpin kerajaan negeri Melayu hari ini.
Dunia Melayu-Islam Sebelum Portugis Menyerang Melaka
Sebagaimana kita tahu, sebelum bangsa penjajah Portugis datang ke alam Melayu secara agresif awal abad ke-16 dunia Melayu sudah mempunyai tamadun yang besar. Selain Melaka telah wujud beberapa banyak kerajaan Melayu-Islam yang lain, baik di Tanah Melayu mahupun di Sumatera, dua kawasan tamadun Melayu yang berjiran, yang dirapatkan oleh Selat Melaka. Negeri dan kerajaan Melayu sudah wujud sejak abad ke-7, iaitu kerajaan Melayu-Srivijaya. Dalam abad ke-10 Islam sudah berada di kawasan Melayu dan dalam abad ke-13 sebuah kerajaan Melayu-Islam yang pertama, iaitu kerajaan Melayu-Islam Samudera-Pasai telah ditubuhkan. Di Pasailah tertulis sebuah hikayat Melayu yang tertua bertulisan Jawi, iaitu Hikayat Raja Pasai, yang dipercayai dikarang pada pertengahan kedua abad ke-14. Hikayat ini menceritakan kisah Merah Silu (atau ‘Silau’), ketua penduduk di situ, memeluk agama Islam, bergelar Sultan Malik al- Saleh yang meninggal dunia dalam tahun 1297. Pasai berkembang sebagai pusat penyebaran ilmu Islam dan sebagai kota pelabuhan dagang yang sibuk. Ibnu Batuttah, pelayar Islam yang masyhur itu, pernah singgah kira-kira tiga bulan di Pasai dalam tahun 1345. Semasa berada di Pasai beliau bertemu dengan raja Pasai yang ketiga, iaitu Sultan Malik al-Zahir, dan melihat bagaimana majlis perbincangan ilmu antara ulama Pasai dengan para fukaha dari Tanah Arab, sering diadakan di masjid selepas solat zohor, biasanya majlis itu diketuai oleh sultan sendiri.
Kerajaan atau negeri Samudera-Pasai akhirnya disatukan dalam sebuah negara atau kerajaan yang lebih besar dan lebih berkuasa, iaitu negeri dan kerajaan Aceh Darussalam yang diisytiharkan penubuhannya pada 12 Zulkaedah tahun 916H atau tahun 1511M, persis pada tahun Portugis menyerang Melaka. Aceh merupakan negeri Melayu-Islam yang menjadi pencabar dan penentang kuat terhadap Portugis selepas tahun 1511.
Di Semenanjung Tanah Melayu wujud beberapa negeri Melayu yang lain selain Melaka, antaranya negeri Kedah, negeri Pahang, Perak, Terengganu. Tetapi yang termasyhur ialah Kerajaan Melaka. Dalam tempoh kira-kira seratus tahun sebelum penjajah Portugis menyerang Melaka dalam tahun 1511, Melaka berkembang sebagai kuasa maritim yang berpengaruh di rantau ini. Melaka menakluki beberapa daerah di luar negeri Melaka dan beberapa negeri, baik di Tanah Melayu, misalnya Pahang, tunduk kepada kuasa Melaka. Tome Pires, pencatat diari bangsa Portugis yang berada di Melaka selepas Kota Melaka ditawan oleh Portugis, melaporkan bahawa “barang siapa dapat menguasai pelabuhan Melaka mereka akan dapat mencekik leher Venice”, maksudnya kota Venice di Eropah yang pada zaman itu merupakan pelabuhan perdagangan yang penting akan kalah dengan pelabuhan Melaka. Melaka tidak sahaja merupakan pusat perdagangan dan pusat kuasa politik Melayu di seluruh rantau ini, tetapi juga merupakan pusat perkembangan Islam dan bahasa Melayu yang sangat berpengaruh dan digeruni oleh kerajaan-kerajaan Melayu yang lain, termasuk juga kerajaan Majapahit Jawa.
Kerajaan Melayu-Islam juga terdapat di kawasan di sebelah timur Selat Melaka, misalnya di kepulauan Maluku, Ternate, dan Mengkasar (negeri Bugis). Perkataan ‘maluku’ ialah ‘kata kacukan’ yang dicipta oleh orang Portugis; asalnya ialah perkataan Arab ‘malik’ atau ‘malikul’, yang bermakna raja atau kerajaan. Dalam tahun 1521 dan 1522, raja Ternate, Sultan Abu Hayat (yang masih kanak-kanak) telah mengirim dua pucuk surat dalam bahasa Melayu bertulisan Jawi kepada Raja John ke-111 Portugis, menyatakan rasa tidak puas hati kerajaan Ternate terhadap kelakuan orang Portugis yang bersikap seperti ‘perompak’ atau ‘lanun’ di kawasan perairan Terante. Tindakan itu melanggar kebenaran yang telah diberikan oleh kerajaan Ternate kepada orang Portugis untuk berniaga dengan Ternate.
Walhasil, apabila orang Portugis muncul di dunia Melayu awal abad ke-16 mereka tidak hanya berhadapan dengan Melaka tetapi juga dengan beberapa banyak negeri Melayu-Islam lain yang merata di seluruh kawasan Gugusan Kepulauan Melayu ini. Kerana itulah mereka tidak dapat bergerak lebih jauh dari kota Melaka untuk menawan negeri-negeri Melayu yang lain. Itulah secara ringkasnya, geografi tamadun bangsa Melayu-Islam yang telah terbentuk selama lebih kurang tujuh ratus tahun sebelum Portugis menyerang Melaka dalam tahun 1511.
MENGAPA PORTUGIS BOLEH MENAWAN MELAKA?
Soalnya, mengapakah Portugis yang datang dari negeri yang beribu batu jauhnya dari Melaka, berjaya menawan kota Melayu dan merampas pelabuhan kota Melaka yang masyhur itu dari tangan kuasa kerajaan Melayu, kerajaan yang berada di tengah-tengah tamadun Melayu-Islam yang besar itu?
Apakah Agenda Portugis?
Sebelum kita menjawab soalan ini elok kita tanya apakah sebab Portugis mahu menawan Melaka? Kita kena pergi ke tahun 1492 untuk mencari jawapannya. Bangsa Portugis, dan bangsa Sepanyol yang selama 700 tahun dikuasai oleh kerajaan Islam, mempunyai agenda untuk memerangi kerajaan-kerajaan Islam di kawasan sebelah timur jauh. Agenda penjajahan Barat di kawasan Amerika bermula dalam tahun 1492 setelah Kerajaan Islam Andalusia di Semenanjung Iberia (Sepanyol) jatuh semula ke tangan kuasa Kristian setelah lebih kurang 700 tahun kerajaan Islam berkuasa di semenanjung itu. Dalam tahun itu Christopher Columbus menyeberangi Lautan Atlantik mencari kawasan ‘Dunia Baru” (Eropah dianggap sebagai ‘Dunia Lama’, yakni dunia yang ‘sudah matang’, ‘sudah maju’ dari segi tamadunnya). Columbus terpaksa patah balik kerana kerosakan kapal induknya. Kemudian beliau meminta pertolongan Raja Ferdinand dan Ratu Isabela untuk membiayai pelayarannya yang kedua. Beliau berjaya meyakinkan raja Sepanyol bahawa kawasan yang dia hendak cari itu penuh dengan emas. Akhirnya sampailah Columbus di sebuah kawasan yang disebut “San Salvador” (penduduk asli di situ menyebutnya “Guanahani”), di Kepulauan Bahamas. Selapas itu datanglah orang Sepanyol berduyun-duyun ke ‘Amerika’ (Utara dan Selatan), mereka disebut ‘kolonis’, untuk ‘membuka’ atau konon untuk ‘mentamadunkan’ kawasan orang yang mereka anggap tidak bertamadun itu. ‘Dunia baru’ Amerika itu diisytiharkan oleh kerajaan Sepanyol sebagai milik atau harta raja Sepanyol yang memegang ‘harta’ itu sebagai amanah dari Tuhan. Maka berlaku suatu peristiwa yang paling dahsyat dalam Sejarah manusia, iaitu proses pemusnahan etnik atau “ethnic cleansing” di Amerika. Ratusan ribu penduduk pribumi di sana dibunuh dan diseksa dengan kejam dan buas (lihat kisah ini dalam buku A Short Account of the Destruction of the Indies (karangan seorang paderi Kristian muda berumur 18 tahun, bernama Bartoleme De Las Casas, yang menyaksikan (dalam tahun 1484) keganasan dahsyat yang dilakukan oleh para kolonis Sepanyol terhadap penduduk pribumi Amerika, diterjemahkan dalam bahasa Inggeris oleh Nigel Griffin; Penguin Books, 1992) – lihat tulisan Hassan Ahmad bertajuk “Christopher Columbus: 500 Tahun Kemudiannya, dalam bukunya, Imbasan terbitan DBP, 2000).
Rombongan ‘Pedagang’ Portugis ditawan di Melaka
Bangsa Portugis mengikuti jejak langkah bangsa Sepanyol itu untuk mencari dan memerangi mana-mana kerajaan Islam yang berada di kawasan di Timur Jauh dan merampas kawasan itu atas nama agama mereka. Mereka sudah tahu bahawa di Timur Jauh sudah wujud beberapa kerajaan Melayu-Islam, khususnya Melaka. Mereka membina kapal-kapal untuk mengharungi Lautan India, mencari kawasan atau pelabuhan yang dikuasai oleh kerajaan Islam untuk diserang dan dirampas. Mereka berjaya bertapak di Goa, India. Dari situlah mereka melancarkan gerakan untuk menyaingi orang Sepanyol (yang sudah mulai berada di kawasan itu, terutama di Filipina) untuk menyerang kerajaan Islam yang lain dan menguasai perdagangan rempah dan hasil bumi dunia Melayu. Raja Portugis, Manoel (atau Mannuel), melantik Francisco de Almeida sebagai panglima perang di Timur. Dalam tahun 1506, Manoel mengarahkan Almeida untuk membina ‘kubu’ di Mereka.
Pengganti Almeida, Diogo Lopes de Sequera, dengan mengetuai 4 hingga 5 buah kapal, berlabuh di Melaka. Dia membawa ‘surat tauliah’ atau surat perkenalan dan beberapa hadiah dari raja Portugal untuk disampaikan kepada raja Melaka, iaitu Sultan Mahmud. Pada mulanya rombongan Sequera yang mendarat itu disambut dengan baik oleh Sultan. Maka dapatlah rombongan Sequera itu membawa barang dagangannya ke darat dan mula berniaga dengan orang Melaka. Namun, akhirnya kehadiran orang Portugis itu tidak disenangi oleh penduduk Melaka. Orang Melayu Islam di Melaka tentunya melihat kedatangan orang Portugis itu sebagai ‘ancaman’ tidak sahaja kepada Islam tetapi juga kepada perdagangan Melaka yang dikuasai oleh kerajaan Melaka. Para pedagang Gujeratis (dari India) yang paling banyak di Melaka takut perniagaan mereka akan disaingi oleh orang Portugis, lalu mereka meminta Bendahara Melaka, pada masa itu Seri Maharaja Tun Mutahir (seorang keturunan Tamil) yang mempunyai hubungan perniagaan (secara peribadi) dengan para pedagang Gujerati supaya menangkap rombongan Portugis yang diketuai oleh Sequera itu. Beberapa orang daripada orang Portugis yang berada di darat dibunuh dan 19 orang yang lain ditangkap dan dipenjarakan. Ini berlaku dalam tahun 1509. Sequera terpaksa meninggalkan Melaka, balik ke Goa, dengan meninggalkan dua buah daripada kapalnya yang tidak berkelasi untuk dibakar. Beliau melaporkan kejadian itu di Goa.
ISTANA MELAKA SEDANG KECOH
Kerajaan Melaka tidak terfikir bahawa orang Portugis mungkin akan datang semula ke Melaka dengan angkatan perang yang lebih lengkap dan kuat untuk mengambil tindakan balas terhadap Melaka kerana membunuh dan menangkap dan mempenjarakan 19 orang Portugis yang turun ke darat untuk ‘berniaga’ dengan pedagang Melaka. Dalam tempoh antara cabutnya Sequera dari Melaka dan tarikh kedatangan kapal-kapal perang Albuquerque, iaitu kira-kira dua tahun, Istana Melaka sedang berada dalam keadaan krisis atau kekecohan. Jawatan “Bendahara” dalam sistem kerajaan Melayu adalah seperti jawatan Perdana Menteri hari ini. Bendahara Tun Perak, bendahara yang cekap dan bijak, telah meninggal dunia dalam tahun 1498. Dia digantikan oleh adiknya Tun Putih, orang yang sudah agak tua yang meninggal dua tahun kemudian. Dari tahun 1500 hingga tahun 1510, Bendahara Melaka ialah Tun Mutahir, anak Tun Ali, keturunan Tamil dan bapa saudara kepada Sultan Mahmud. Anak-anak Tun Perak tidak ditimbangkan dalam pemilihan bendahara yang baru itu. Pelantikan Tun Mutahir tidak dipersetujui oleh saudara mara Tun Perak dan para penyokong mereka. Tambahan pula, kelakuan atau gaya hidup Tun Mutahir menimbulkan kemarahan dan kebencinan banyak orang. Dia suka berpakaian mewah-mewah dan menunjuk-nunjuk di khalayak umum. Dia suka menerima hadiah yang dilihat oleh orang-orang istana sebagai ‘rasuah’. Tun Mutahir berkata, “orang memberi saya menerima” (ini disebut dalam Sulalat al-Salatin atau “Sejarah Melayu” (1612). Dia terlibat dalam perniagaan dan menjadi orang yang cukup kaya. Jadi, Tun Mutahir menjadi sasaran kebencian banyak pihak, terutama para pegawai Istana dan para pedagang yang selalu tertekan dan teraniaya disebabkan kepentingan perniagaan peribadinya dan fiilnya suka ‘meminta hadiah’, yakni sogokan atau hari ini disebut ‘rasuah’.
Fitnah Memfitnah dan Sogok Menyogok
Semasa rombongan Sequera berada di Melaka dalam tahun 1509 (lihat di atas) kedudukan Tun Mutahir masih kukuh. Tetapi kedudukannya mulai terancam apabila pada suatu hari dia disyaki atau mungkin ‘difitnah’ mengatur rancangan untuk ‘merampas kuasa’ kerajaan Sultan Mahmud, anak saudaranya melalui perkahwinan. Di Melaka pada masa itu, terdapat beberapa orang pedagang atau peniaga bangsa asing (bukan Melayu) yang kaya raya. Misalnya, menurut “Sejarah Melayu”: “Maka tersebutlah ada seorang Keling diam di Melaka jadi saudagar, Raja Mendeliar gelarnya, terlalu kaya pada zaman itu, tiadalah ada taranya dalam negeri Melaka itu” (hal.201). Seorang lagi ialah Nina Sura Dewana, “kepala (ketua) segala saudagar” asing di Melaka. Dia juga bukan orang Melayu asli. Kedua-dua ahli peniagaan yang kaya raya ini sedang berdakwa dan mereka akan membawa kes masing-masing untuk diadili oleh Bendahara. Nina Sura Dewana berfikir bahawa jikalau Mendeliar pergi mengadu kepada Bendahara dan “... menyorong pada Bendahara nescaya alah aku. Kalau begitu baik aku pada malam ini pergi pada Bendahara Seri Maharaja” (SM, hal. 203). Maka pergilah Nina Dewana senyap-senyap menemui bendahara Tun Mutahir pada waktu malam. Nina Dewana membawa sebara emas, lalu emas itu dipersembahkan kepada bendahara. Bendahara berkata: “Baiklah, tuan hamba memberi hamba, hamba ambil” (SM, hal.204)
Maka tersebut pula kisah seorang “Keling”, ahli keluarga Nina Dewana bernama Kitul. Dia berhutang dengan Mendeliar sebanyak “sekati emas”. Kitul pergi berjumpa Mendeliar pada waktu tengah malam setelah Sura Dewana meninggalkan Bendahara pada malam yang sama. Kitul memberitahu Mendeliar, bahawa Nina Dewana telah berjumpa dengan Bendahara berpakat hendak “mengejakan” atau membunuh Mendeliar. Mendengar cerita Kitul itu, Mendeliar “...mengambil surat utang Kitul, dicarik-cariknya” (SM, hal. 204). Kata Mendeliar kepada Kitul, “Adapun utang tuan hamba seketi itu halallah dunia akhirat. Tuan hambalah saudara hamba”.
Pada malam itu juga Raja Mendeliar mengambil emas sebahara dan permata indah-indah dan pakaian yang baik-baik, dibawanya kepada Laksamana Khoja Hassan. Laksamana ini ialah orang yang ...”terlalu karib pada Sultan Mahmud Syah” (SM, hal.205). Dia meminta Laksamana menyampaikan kepada Sultan berita yang dia dengar, iaitu “...Bendahara Seri Maharaja hendak durhaka, sedia berebut tahta kerajaan, kasadnya hendak naik tahta di dalam Melaka ini”. Maka apabila Laksamana “melihat harta terlalu banyak maka hilanglah budi akalnya sebab disamun oleh harta dunia”, demikan ditulis oleh pengarang SM. Maka Laksamana Khoja Hassan pun berkata kepada Raja Mendeliar, “Hambalah berpersembahkan dia ke bawah Duli Yang Dipertuan”. Laksamana pun menyampaikan cerita Raja Mendeliar itu kepada Sultan, dan Sultan, “seperti orang mengantuk disorongkan bantal” menggunakan kesempatan itu untuk membalas dendam terhadap Tun Mutahir. Sebelum daripada itu Tun Mutahir telah mengahwinkan anaknya Tun Fatimah yang cantik itu kepada Tun Ali, anak saudara Mutahir, tidak kepada Sultan yang pada masa itu sedang mencari isteri baru. Menurut adat dahulu, Bendahara atau Perdana Menteri hendaklah mengahwinkan anak perempuannya kepada Raja sebelum anak itu ditawarkan kepada orang lain.
Bendahara Tun Mutahir dan seluruh Keluarganya dibunuh
Maka Sultan pun menitahkan Tun Sura Diraja dan Tun Indera Segara supaya membunuh Bendahara Seri Maharaja. Hampir seluruh ahli keluarga Tun Mutahir dari keturunan Tamil, termasuk Tun Ali, suami Tun Fatimah, dibunuh, terkecuali Tun Hamzah yang masih muda, dia luka parah tetapi hidup. Sultan melantik anak Tun Perak, Paduka Tuan sebagai Bendahara menggantikan Tun Mutahir. Walaupun tindakan Sultan itu dilakukan tanpa usul periksa dan agak kejam, namun ada dua faktor yang menyebelahi tindakannya. Pertama, seluruh keluarga dan saudara mara Tun Perak dan penyokong mereka – mereka semua adalah keturunan Melayu – tentunya berasa puas hati dengan tindakan Sultan menghapuskan Tun Mutahir dan segala keturunan Tamilnya yang berpengaruh dalam politik Istana dan dalam perniagaan. Kedua, banyak pedagang dan ahli perniagaan di Melaka – orang Gujerati, orang Cina, orang Jawa, dan lain-lain lagi –yang tidak tahan dengan campuran tangan dan gangguan Mutahir dalam perniagaan mereka dan tabiatnya suka ‘menerima hadiah’ atau suka menerima rasuah, mereka semua tentunya gembira dengan tindakan itu (lihat juga Winstedt 1962: 60).
Kelemahan Bendahara Tun Mutahir
Bendahara Tun Mutahir digambarkan dalam SM sebagai orang yang suka menerima hadiah atau rasuah. Dia terlibat dalam kegiatan perniagaan. Semasa Mutahir menjadi Temenggung, jawatan yang sama dengan Ketua Polis Negara atau sebagai Menteri Keselamatan Dalam Negeri hari ini, keadaan keselamatan dalam negeri atau di kota Melaka sering tidak aman. Waktu itu raja Melaka ialah Sultan ‘Alauddin Ri’ayat Syah, yang menggantikan ayahnya Sultan Mansur Syah (yang meninggal dalam tahun 1477). Sultan ini mengingat saya akan Khalifah Umar Ibn Khatib. Pada waktu malam, Sultan ini menjelma sebagai orang biasa, merayau di kota Melaka untuk melihat keadaan keselamatan, dan pernah dengan bantuan orangnya, mengejar dan menangkap beberapa orang pencuri. Esoknya dia secara sinis bertanya kepada Temenggung Tun Mutahir bagaimana keadaan keselamatan kota Melaka. Lalu Sultan menceritakan kisah dia menangkap pencuri. Maka malulah Mutahir kerana Sultan menuduh dia tidak menjalankan tugasnya dengan baik. Mutahir inilah yang dilantik oleh Sultan Mahmud Shah menjadi Bendahara.
Kelemahan Kepimpinan
Sultan Mahmud Syah sendiri bukanlah raja yang boleh disayangi oleh rakyat. Dia terkenal dengan sifat ketidakadilan dan kekejamannya. Dua contoh – antara beberapa banyak contoh – yang ceritakan dalam “Sejarah Melayu” ialah (a) dia memerintahkan orang supaya membunuh Sri Bija Diraja kerana dia disyaki oleh sultan tidak bersetuju dengan pelantikannya sebagai sultan Melaka; (b) dia memerintahkan Raja Zainal Abidin, adiknya sendiri (dari berlainan ibu) kerana iri hati terhadap Raja Zainal yang dikatakan menunjuk-nunjukkan ketampanannya sehingga segala perempuan di Melaka terpesona dengan kecantikannya.
Ringkasnya, semasa Portugis sedang mengatur serangan terhadap Melaka, keadaan di Melaka tidak tenang. Kerajaan Melaka pada masa itu tiada pemimpin yang ‘cekap bersih, amanah, dan adil’ tidak seperti zaman pemerintahan Sultan ‘Alauddin Ri’ayat Syah.
Serangan Portugis, Tentangan Hebat Orang Melaka dan Faktor Kekalahan Melaka
Lebih kurang dua tahun kemudian (dari tahun 1509) satu lagi angkatan kapal perang Portugis menuju Selat Melaka. Kali ini angkatan itu diketuai oleh Alfonso de Albuquerque. Dia menggantikan Almeida sebagai panglima perang di Timur. Dialah yang menawan Goa dalam tahun 1510 dan mendirikan kubu di situ. Dia diarahkan oleh Raja Manoel supaya menawan Melaka. Albuquerque bertolak dari Goa dalam bulan April 1511 dengan mengetuai 18 buah kapal dan lebih 1,000 orang askar, termasuk askar upahan dari kalangan orang Malabar. Dia berlabuh di perairan Melaka awal bulan Julai 1511.
Perlu diingatkan bahawa masyarakat kota Melaka pada zaman itu adalah masyarakat pelbagai bangsa dan kaum etnik yang datang dari beberapa banyak negeri asing. Kebanyakan mereka adalah peniaga dan pedagang yang tentunya tidak mempunyai taat setia atau semangat ‘patriotisme’ terhadap negeri Melaka. Mereka tentunya tidak mempedulikan kuasa manakah yang memerintah Melaka asalkan perniagaan mereka tidak diganggu. Taat setia mereka terhadap raja dan negeri Melayu itu diragui. Kebanyakan pedagang asing itu, terutama kaum Gujerati dan pedagang Cina, tidak puas hati dengan pentadbiran Tun Mutahir yang juga mempunyai kepentingan perniagaan, dan sering menerima rasuah, seperti yang telah kita sebut tadi.
Percubaan awal askar-askar Alfonso untuk mendarat dan menyerang kota Melaka gagal beberapa kali kerana mereka menerima tentangan yang berani dan kuat daripada para pejuang Melayu Melaka untuk mempertahankan negeri dan kota mereka. Tetapi Askar-askar upahan dari kalangan orang Jawa tidak puas hati dengan upah (atau gaji) yang diterima dari kerajaan Melaka, jadi mereka tidak berperang dengan bersungguhsungguh. Ada pula seorang perempuan Jawa yang menjadi ‘teman wanita’ beberapa orang askar Portugis. Perempuan ini digunakan oleh orang Portugis sebagai ‘mata-mata gelap’ atau ‘spy’ untuk melaporkan keadaan pertahanan Melaka. Ada juga seorang ‘Hindu’ yang menyampaikan maklumat kepada orang Portugis tentang keadaan kota Melaka.
Sebahagian peniaga Cina di Melaka memberi bantuan kepada orang Portugis dengan meminjamkan kepada mereka lima buah kapal atau tongkang mereka untuk digunakan oleh Portugis untuk mendarat di kota Melaka melalui sungai atau jambatan yang membelah kota Melaka kepada dua bahagian kota. Sultan Mahmud turun dengan gajahnya menentang askar-askar Portugis, kemudian anaknya Ahmad, menentang askar Portugis. Menurut SM, dia begitu berani sehingga dia tidak menghiraukan serangan bertalu-talu askar Portugis, sehingga dia dinasihatkan oleh guru agamanya yang ikut serta supaya meninggalkan tempat itu. Ahmad luka apabila gajahnya ‘panik’ setelah dicederakan oleh tembakan askar Portugis, dan dia terpaksa melepaskan dirinya.
Dipendekkan cerita, orang Melayu Melaka telah menentang serangan Portugis itu dengan gagah dan berani, tetapi akhirnya kalah. Banyak faktor yang menyebabkan kota Melaka jatuh ke tangan Portugis. Kita telah menyebut beberapa faktornya. Yang penting ialah Sultan, anaknya, dan askar-askar Melayu Melaka tidak cabut lari apabila melihat kekuatan senjata Portugis menyerang mereka. Mereka memberikan tentangan yang hebat.
Portugis Kekal di Melaka Selama Lebih Seratus Tahun
Selama Portugis berkuasa di Melaka, mereka tidak berhenti-henti diserang dan diharu oleh kerajaan-kerajaan Melayu-Islam yang lain, khususnya Aceh dan Johor. Johor menggantikan Melaka. Pada beberapa ketika Portugis di Melaka hampir-hampir tumpas diserang oleh dua kuasa Melayu di Selat Melaka itu, tetapi menurut ahli sejarah, orang Melayu tidak bersatu. Aceh sering menyerang Johor. Ada kalanya Portugis dapat berpakat dengan orang Johor untuk membantu mereka menyerang Aceh. Inilah antara sebab mengapa Portugis dapat kekal di Melaka selama lebih 100 tahun. Namun, kita juga tahu bahawa setelah orang Portugis memperkuatkan kedudukannya di Melaka dan berada di sana selama lebih seratus tahun, mereka tidak berjaya menakluki Johor dan negeri-negeri Melayu yang lain di Semenanjung Tanah Melayu. Mereka tidak berjaya menghapuskan pengaruh Aceh sebagai kuasa Islam yang terkuat dan sebagai pusat perkembangan ilmu dan intelektual Melayu-Islam yang mencapai kegemilangannya dalam abad ke-16 dan abad ke-17.
Akhirnya, orang Belanda yang mengalahkan Portugis di Melaka dalam tahun 1641, dengan bantuan askar-askar Melayu Johor. Hikayat Hang Tuah ada Menceritakan tentang keberanian orang Johor menyerang kubu Portugis.
MELAYU TIDAK KALAH!
Yang roboh ialah kota Melaka. Yang tidak roboh dan tetap kekal sepanjang zaman dari tahun 1511 itu ialah tamadun bangsa Melayu-Islam di seluruh rantau Gugusan Kepulauan Melayu atau “the Malay Archipelago” atau dunia Nusantara Melayu-Indonesia. Dunia ini kekal selama lebih 450 tahun sepanjang zaman tiga kuasa Barat, iaitu Portugis, Belanda dan Inggeris, menguasai kerajaan-kerajaan Melayu di rantau ini sampailah dunia ini mencapai kemerdekaan dalam tahun 1945 di Indonesia dan dalam tahun 1957 di Persekutuan Tanah Melayu. Orang Melayu Melaka selama lebih seratus tahun Portugis menguasai Melaka tidak berjaya ‘dibudaya-portugiskan oleh Portugal. Agama Islam kekal di negeri Melaka walaupun di kota Melaka agama Kristian yang dibawa oleh Portugis dapat disebarkan tetapi tidak di kalangan orang Melayu. Bahasa Melayu kekal di negeri Melaka, dengan kata lain, orang Melayu Melaka tidak berjaya ‘dibahasa-portugiskan’ oleh orang Portugis. Bahkan sejak tahun 1511 bahasa Melayu terus berkembang sebagai bahasa kerajaan, bahasa ilmu, bahasa agama Islam dan bahasa kesusasteraan tinggi sehingga pada hari ini ia merupakan salah satu bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan yang kelima terbesar di dunia, diketahui oleh lebih 280 juta manusia di seluruh dunia, khususnya di rantau Melayu-Indonesia. Penduduk beragama Islam yang terbesar di dunia ialah penduduk Malaysia-Indonesia-Brunei. Bahasa Islam yang terbesar di dunia ialah bahasa Melayu.
Dunia Melayu Islam Tidak Terjajah oleh Tiga Kuasa Barat
Kalau agenda penjajahan Sepanyol dan Portugis berjaya dilaksanakan di kawasan lain, misalnya di seluruh Amerika Utara dan Amerika Selatan, di Filipina, di Madagaskar dan lain-lain lagi, agenda itu tidak berjaya dilakukan di Dunia Melayu Islam. Bangsa Melayu tidak berjaya dipecahkan menjadi suku-suku kaum atau ‘tribal groups’ seperti penduduk peribumi “Red Indians” Amerika yang tidak bernegeri, tidak mempunyai kerajaan sendiri. Tidak ada Negeri Melayu yang ditransformasi secara politik dan cultural menjadi ‘negeri Belanda’, atau ‘negeri Inggeris’ atau ‘negeri Portugis’. Yang ditinggalkan oleh sejarah penjajahan Portugis di rantau ini hanyalah Timur-Laste.
Inilah yang saya katakan, peristiwa 1511 di Melaka itu bukanlah tragedi kepada jati diri bangsa Melayu atau Islam di dunia Melayu ini tetapi merupakan Rahmat Allah. Sebelum orang Portugis datang untuk menyerang Melaka, dunia Melayu sudah mempunyai tapak tamadun yang kuat. Dua Rahmat Allah yang diberikan kepada orang Melayu ialah agama Islam dan bahasa Melayu. Inilah dua tiang yang berjaya membina tamadun yang kawasannya dapat merentas pelbagai sempadan etnik dan bahasa-bahasa etnik untuk membentuk suatu kesatuan tamadun supraetnik dan suprawilayah yang jauh lebih besar daripada kawasan negeri Melaka atau Tanah Melayu melalui dua alat tamadun itu, iaitu bahasa Melayu dan Islam. Inilah tamadun serantau yang tidak larat dijajah oleh tiga kuasa penjajah Barat itu selama-lamanya. Mereka tidak tahan menentang kuasa Islam. Soal mengapa tiga kuasa Barat itu dapat berada di kawasan tamadun tinggi ini selama lebih seratus tahun dan kemudian disambung oleh Belanda dan Inggeris selama 250 tahun lagi, inilah persoalan yang perlu kita kaji, kita fikirkan dan kita renungkan pada hari ini untuk mengelak kemungkinan proses penjajahan kuasa asing dalam bentuk-bentuk yang lain pula boleh berlaku lagi di dunia kita ini.
Dunia Melayu-Islam sebenarnya sudah mengalami proses globalisasi politik, ekonomi dan perdagangan selama lebih kurang 450 tahun. Proses globalisasi ini bermula dari tahun 1492. Tetapi globalisasi itu tidak berjaya memusnahkan kerajaan-kerajaan Melayu kerana, kalau kita kaji sejarah budaya dan tamadun pemerintahan Melayu sepanjang zaman 450 tahun itu kita akan dapati bahawa raja-raja Melayu-Indonesia yang kuat imannya, yang berpegang kepada ajaran Islam, yang adil dan saksama, yang mencintai ilmu dan menggalakkan kegiatan persuratan, mereka mampu menyelamatkan negeri mereka daripada serangan budaya kuasa-kuasa Barat itu. Mereka mungkin kalah dari segi kekuatan teknologi perang tetapi tidak kalah dari segi kekuatan budaya, iman dan semangat. Inilah faktor utama mengapa dunia Melayu ini tidak roboh seperti robohnya seluruh Amerika Utara dan Amerika Selatan ke tangan kuasa-kuasa Eropah mulai tahun 1492.
PENGAJARAN DARI KARYA ‘SEJARAH MELAYU’ DAN HIKAYAT HANG TUAH
Melaka telah meninggalkan dua warisan intelektual bangsa Melayu yang luar biasa, iaitu Karya Agung Sulalat al Salatin atau ‘Sejarah Melayu’ (SM) dan Hikayat Hang Tuah, yang dikarang atau selesai dikarang di Johor, pewaris Melaka. Pengarang SM mengarang setelah kota Melaka ditawan oleh Portugis dan menceritakan bagaimana Sultan Mahmud dan anaknya terpaksa lari dari Melaka. Pengarang Hikayat Hang Tuah (HHT) mengarang hikayatnya selepas tahun 1641, iaitu selepas Portugis dikalahkan oleh Belanda dengan bantuan askar-askar Johor. Kedua-dua pengarang ini telah meninggalkan beberapa pesan atau pengajaran penting untuk bangsa Melayu hari ini pelajari dan renungkan. SM, melalui teknik cerita metafora atau kiasan, menyampaikan suatu konsep atau prinsip Islam yang penting berhubung dengan keadilan pemerintahan, kuasa raja atau pemerintahan dan kedudukan rakyat. Melalui wataknya, Sultan Alauddin Riayat Shah, sultan yang baik dan beriman, dia berpesan kepada anaknya yang bakal menggantinya sebagai raja, demikian bunyinya:
“Adapun peninggalanku ini hendaklah anakku berbuat ‘ibadat sangat-sangat, jangan anakku mengambil hak segala manusia dengan tiada sebenarnya, kerana segala hamba Allah semua terserah kepadamu. Jikalau kesukaran baginya hendaklah segera engkau tolong, jikalau teraniaya ia hendaklah segera kau periksai baik-baik supaya di akhirat jangan diberatkan Allah atasnya lehermu....” (SM, hal. 152).
Kemudian Sultan Alauddin berpesan tentang permuafakatan antara raja dengan orang-orang di bawahnya. Katanya “...hendaklah engkau muafakat dengan segala perdana menteri dan segala orang besar-besar, kerana raja itu jikalau bagaimana sekalipun bijaksananya dan tahunya sekalipun jikalau tiada ia muafakat dengan segala pegawai tiada akan sentosa adanya, dan tiada akan dapat ia melakukan ‘adilnya.Adapun raja-raja itu upama api, segala perdana menteri upama kayu, kerana api itujikalau tiada kayu tiada akan nyala”.
Tentang hubungan antara raja atau pemerintah dengan rakyat, Pengarang, melaluiwataknya Sultan Alauddin berkata: “...ra’ayat itu upama akar, raja itu upama pohon; jikalau tiada akar nescaya pohon tiada akan dapat berdiri....Adapun anak Melayu jikalau bagaimana sekalipun besar dosanya jangan segera kau bunuh, melainkan yang patut pada hukum Allah... kerana jikalau kau bunuh ia dengan tiada dosanya, bahawa kerajaanmu. Hai anakku, hendaklah kau ingatkan segala wasiatku ini, syahdan engkau kerajaan supaya berkat engkau diberi Allah” (SM, jal. 152).
Tidak perlu saya tafsirkan makna segala wasiat Sultan Alauddin itu yang disampaikan oleh pengarang SM melalui bahasa metafora atau kiasan dan perumpamaan.
Hikayat Hang Tuah dan Visi ‘Melayu Tak Akan Hilang Di Dunia”
Pengarang HHT ialah seorang yang ‘genius’, yang gelita otak dan akalnya. Melalui HHT dia menyampaikan citra Melayu sebagai bangsa yang cintakan kebebasan, yakni tidak rela bangsa mereka dan negara mereka menyembah mana-mana kuasa asing. Visi ini disampaikan oleh pengarang HHT melalui dua episod ‘metafora’ atau kiasan yang luar biasa. Pertama ialah episod rombongan Sultan Melaka membawa surat sembah raja Melaka (Sultan Mansur Syah) kepada Maharaja Cina. Dalam perjalanan, kapal rombongan Melaka itu dipukul ribut sehingga rombongan itu terpaksa singgah di Brunei. Raja Brunei bertanya apa tujuan ke Melaka. Maka setelah ketua rombongan itu Menteri Jana Putera menjelaskan isi surat itu Sultan Brunei secara sinis berkata: Berkirim sembahkah raja Melaka kepada raja Cina?. Menteri Jana Putera, dengan bijak, berkata bahawa yang menghantar sembah itu bukan Raja Melaka tetapi ‘sahaya (hamba) patik sekelianlah yang mengirim sembah itu bukan raja Melaka”. Maka rombongan Melaka itu patah balik ke Melaka, tidak jadi meneruskan perjalanan ke negeri China. Ini bererti, Melaka tidak jadi menyembah ke raja Cina.
Episod kedua ialah episod raja Cina jatuh sakit, dan tiada seorang pun tabib Cina di seluruh negeri China yang dapat mengubati penyakit itu. Maka seorang tabib tua Cina memberitahu raja Cina itu bahawa penyakit itu adalah disebabkan tulah kerana raja Cina meminta raja Melaka menyembahnya. Ubatnya ialah, raja Cina kena minum air mandi dan basuh kaki raja Melaka. Setelah air itu dibawa ke negeri Cina dan raja Cina menggunakannya, baiklah penyakitnya. Apa kata raja Cina selepas itu. Dia memberitahu segala pegawainya bahawa mulai hari itu anak cucu raja Melaka tidak lagi akan diminta menyembah raja Cina; hubungan antara Melaka dan negeri China hendaklah berdasarkan kasih sayang dan muafakat. Itulah mesej Pengarang, iaitu Melayu suka bebas, tidak suka ditakluk oleh mana-mana kuasa asing. Saya membaca kedua-dua episod itu tidak dari segi maksud literal atau harfiahnya tetapi dari segi maksud kiasannya. Episod itu tidak bertujuan untuk menghina raja China.
Kekekalan Institusi Melayu Sepanjang Zaman
Dalam HHT empat orang pembesar atau tonggak negara, iaitu Raja, Bendahara, Temenggung dan Laksamana masing-masing tidak mempunyai nama peribadi. Raja Melaka disebut dengan nama jawatannya sahaja, iaitu sebagai Duli Syah Alam atau Duli Yang Dipertuan. Dalam SM pemegang jawatan-jawatan ni ada nama peribadi masingmasing. Dalam HHT keempat-empat pemegang jawatan itu tidak dimatikan sampai akhir hikayat. Mereka hanya ghaib setelah bertapa di Bukit Tanjung Jugera. Apakah maksud pengarang? Maksudnya ialah, yang tidak ‘mati’ ialah institusi kerajaan Melayu itu. Raja sebagai lambang kedaulatan negara tidak mati; institusi bendahara sebagai ketua pentadbiran negara ‘tidak mati’; Temenggung sebagai institusi keselamatan dalam negeri ‘tidak mati’, dan Laksamana sebagai institusi pertahanan negara juga ‘tidak mati’. Semua institusi itu kekal selepas Melaka dikalahkan oleh Portugis hinggalah ke hari ini.
Itulah visi pengarang HHT: bahawa Melayu tidak akan hilang di dunia. Dan kita tahu, dari segi sejarah, memang ramalan atau visi pengarang HHT benar, bukan dongeng. Di Tanah Melayu, selepas 450 tahun, negeri dan institusi raja Melayu kekal sepanjang 450 tahun tiga kuasa Barat menguasai negeri dan kerajaan Melayu. Selepas kemerdekaan dalam tahun 1957, sembilan negeri dan raja Melayu kekal. Melaka berada semula dalam kuasa kerajaan Melayu atau kerajaan rakyat Malaysia, walaupun raja tidak ada lagi di Melaka, digantikan dengan Yang Dipertuan Negeri (menggantikan jawatan gabenor zaman Inggeris).
KESIMPULAN
Peristiwa 1511 di Melaka itu bukanlah tragedi kepada citra bangsa Melayu dan Islam di rantau ini. Ia merupakan Rahmat Allah. Daripada peristiwa itu bangsa Melayu yang ‘insaf’ tentu dapat belajar beberapa banyak hikmahnya. Dari dua karya agung yang ditinggalkan oleh pemikir Melayu Melaka-Johor orang Melayu hari ini dapat mempelajari mengapakah kota Melaka dapat dikalahkan oleh Portugis. Dari SM kita diingatkan prinsip keadilan kerajaan, bahawa pemerintah (raja atau sesiapapun) adalah seperti pohon atau payung yang melindungi rakyat, tidak sebagai ‘diktator’. Rakyat bukan hamba pemerintah, tetapi akar atau tonggak kerajaan. Pengarang HHT akhirnya membina suatu visi besar bangsa Melayu: iaitu Melayu tidak akan hilang di dunia selepas kota Melaka diserang oleh Portugis 500 tahun dahulu.
Saya sudah beberapa kali menegaskan pentingnya dua karya agung Melayu itu dibaca oleh orang Melayu hari ini, dijadikan bahan bacaan wajib semua pegawai kerajaan, terutama para pegawai kerajaan Melaka. Kalau Portugis tidak menyerang Melaka mungkin dua karya agung Melayu ini tidak akan wujud di dunia Melayu ini.
(Kertas Kerja yang disampaikan di Konvensyen Memperingati 500 Tahun Kejatuhan Kerajaan Melayu Islam Melaka, anjuran bersama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Persatuan Belia Islam Malaysia (PEMBINA), pada 29 Januari 2011, di Universiti Teknikal Malaysia, Durian Tunggal, Melaka)
Oleh Dato’ Dr. Hassan Ahmad
Sumber: http://kemm1511.net/
Assalamualaikum. Boleh saya minta jasa baik saudara untuk memberi saya pautan yang boleh saya rujuk bagi mendapatkan artikel asal ini dari pengarang kerana laman web http://kemm1511.net/ yang saudara sediakan itu sudah tidak boleh dibuka lagi. Saya sangat berbesar hati andai saudara dapat membantu saya dalam hal ini.
ReplyDeleteSaudara boleh menghubungi saya melalui email di: syazwan.isa@gmail.com
Terima Kasih.
Tapi ramai raja2 skrng bukan dari keturunan raja asal.. contoh Johor, Terengganu, Kelantan and Lain2
ReplyDelete