DARI perspektif agama, perkara berkaitan dengan kematian adalah suatu
yang positif. Ini kerana dengan mengingati mati, seseorang akan
melakukan persediaan untuk hidup lebih maju dan berjaya semata-mata
untuk meninggalkan bakti terbaik demi agama, bangsa, negara dan
keluarga.
Kesedaran ini juga dapat membina pekerti luhur ke arah menyediakan
bekalan terbaik bagi menempuh kehidupan semula di akhirat.
Malangnya sebahagian daripada kita masih melihat kematian dari
perspektif yang pasif. Perkara di sebalik kematian masih menjadi momokan
dan kelucuan.
Ada yang beranggapan dengan mengingati mati, maka mereka hanya
menumpukan persediaan berkaitan dengan diri sendiri seperti wirid,
zikir, solat sunat dan pelbagai lagi ibadat khusus.
Mereka lupa bahawa mereka masih berada di dunia dan mempunyai pelbagai
tanggungjawab sama ada kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Jika tumpuan hanya diberi kepada diri sendiri semata-mata, maka akan
berlaku pengabaian terhadap tanggungjawab lain.
Sedangkan dengan menunaikan tanggungjawab terhadap masyarakat dan
negara, ia juga suatu ibadat yang sangat bererti untuk menghadapi mati.
Selain anggapan sebegini, ada juga yang menganggap dengan mengingati
mati, maka ia ibarat sesuatu merugikan dan melalaikan dan mampu
menyebabkan akal menjadi jumud.
Mengingati mati disifatkan sebagai belenggu yang membatasi langkah dan
menyekat usaha yang menyebabkan hidup menjadi malas, muram dan suram.
Pendek kata, suatu yang berkaitan dengan kematian adalah suatu yang
fasik dan membosankan, tidak maju dan tidak berdaya saing.
Sebenarnya, kedua-dua pandangan ini adalah pandangan yang jauh tersasar.
Rasulullah mengatakan bahawa orang yang selalu mengingati mati dan
mengambil iktibar daripadanya, adalah orang yang amat cerdik dan pintar.
Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Orang yang cerdik itu ialah orang
yang dapat mengekang hawa nafsunya dan beramal untuk bekalan selepas
mati. Manakala, orang yang lemah akal ialah orang yang sentiasa menurut
hawa nafsunya dengan hanya berharap-harap kepada Allah."
Daripada hadis ini, dapat difahami bahawa Rasulullah menganggap orang
yang selalu mengingati mati dan sentiasa bersiap sedia dan
memperlengkapkan bekalan untuknya, adalah orang paling cerdik hingga
mampu mencapai kemuliaan serta penghormatan dunia dan mendapat keampunan
serta keredaan di akhirat.
Maknanya, Islam menganjurkan kita supaya selalu mengingati mati kerana
dengan tindakan itu, kita menjadi cerdas dan pintar serta lapang dada
sebagai tanda hati sudah ditembusi cahaya keimanan.
Manakala, orang yang enggan mengingati kematian adalah orang yang lalai
kerana tidak membuat persediaan walaupun menyedari bahawa kematian
adalah sesuatu yang pasti yang tidak dapat dihalang sebagai mana firman
Allah bermaksud: "Setiap yang bernyawa pasti merasai mati kemudian
kepada kamilah kamu dikembalikan – (Surah al-Ankabut, ayat 57).
Kematian adalah peristiwa besar dan gempar yang hebat lagi dahsyat.
Oleh kerana dahsyatnya peristiwa itu, sewajarnya kita mengambil
peringatan, memberi perhatian sepenuhnya dan melakukan persediaan.
Mengingati mati sebagai suatu yang pasti bererti kita menerima ketentuan
dengan penuh rela dan bersedia.
Sedia menghadapi dengan penuh pengertian dan kesedaran walaupun ada rasa
bimbang dan khuatir, namun ia dapat diatasi dengan adanya persiapan,
pengharapan, sang-ka baik dan keyakinan terhadap rahmat dan keampunan
Allah.
Ini semua adalah hakikat di sebalik peristiwa kematian yang mesti
dipelajari agar kita menghadapi kematian dengan penuh tabah dan berani.
Keyakinan dan keberanian inilah yang menjadi pendorong seseorang muslim
untuk berpandangan positif terhadap hidup.
Ini kerana, dia yakin akan mati, maka dia akan berusaha dan berikhtiar
sebaik mungkin agar dia dapat meninggalkan bakti berguna dan membina
demi agama, negara dan bangsa.
Disebabkan yakin bahawa waktu hidup hanya sementara, maka dia akan
berusaha gigih agar dapat memberikan peninggalan terbaik untuk ahli
keluarga, masyarakat dan negara.
Sebenarnya inilah keberanian, dorongan, daya maju dan daya juang yang
digalakkan al-Quran sebagai mana firman Allah yang bermaksud:
"Dialah tuhan yang menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji
kamu siapakah di antara kamu yang paling baik amalannya, dan Dia Yang
Maha Gagah dan Maha Pengampun" – (Surah al-Mulk, ayat 2).
Salah satu cara bagaimana mengingati mati mampu membangunkan sikap
positif ialah dengan sering menziarahi orang sakit.
Makin ramai kita melawat orang terlantar, maka semakin terasa betapa
kerdilnya diri kita. Semakin banyak kita menyaksikan peristiwa kematian
di depan mata, maka semakin terasa betapa lemahnya diri kita.
Begitu juga semakin kerap kita mengiringi jenazah maka semakin bertambah
pula keinsafan dan usaha kita untuk meninggalkan jasa terbaik di dunia
untuk dibawa pulang ke akhirat.
Inilah yang diajarkan Rasulullah supaya kita mengambil iktibar daripada
peristiwa kematian. Dengan itu, hati kita menjadi lembut dan insaf lalu
dapat menghakis sifat negatif seperti menipu, menganiaya, takbur,
khianat, rasuah dan sebagainya
"Sesungguh Solatku,Ibadahku,Hidupku,Matiku hanya kerana Allah"
"Dan Allah tuhan Kami
Rasul ikutan kami
Al-Quran Panduan kami
Jihad jalan Kami
Mati Syahid cita-cita tertinggi kami"
Rasul ikutan kami
Al-Quran Panduan kami
Jihad jalan Kami
Mati Syahid cita-cita tertinggi kami"
Oleh: shahril
Sumber: http://halaqah.net/
No comments:
Post a Comment