Tuesday, October 16, 2012

Malas Beribadat, Lengah Solat Antara Tanda Kecil Golongan Munafik


GOLONGAN munafik memperlihatkan diri mereka seolah-olah mengaku bertuhankan Allah tetapi dari segi perbuatan, fikiran dan tindakan, bercanggah dengan perintah Allah. Nabi Muhammad SAW pernah memohon Allah mengampunkan golongan ini tetapi Allah tidak ampunkan.

Munafik akidah membezakan seorang Islam dengan orang kafir, munafik perangai memperlihatkan kebaikan di depan orang tetapi di belakang tidak sama, manakala munafik amalan, nampak warak di depan orang tetapi apabila tiada mata memandang, hilang warak. Penceramah bebas, Dr. Syafawi Che Mat, berkata umat Islam perlu berhati-hati supaya tidak tergolong dalam kumpulan munafik yang berpura-pura mengikuti ajaran Islam tetapi tidak menjiwai kebenaran itu di dalam hati.

Katanya, tanda kecil munafik ialah malas beribadat, lupa kepada Allah, melengahkan solat fardu, mempercepatkan solat, meninggalkan solat jemaah, menyuruh kemungkaran dan melarang yang makruf.

“Malas beribadat bukan malas menunaikan solat kerana enggan mencari ilmu pengetahuan, tidak gemar menghadiri majlis ilmu atau pergi ke majlis kebajikan juga bermakna malas beribadat. Enggan berada di saf hadapan solat jemaah termasuk tanda kecil munafik.

“Paling ketara ialah sikap suka menunjuk-nunjuk, depan orang buat betul-betul tetapi orang tiada, buat ala kadar saja,” katanya ketika menyampaikan ceramah bertajuk ‘Tanda-tanda Munafik’ pada majlis ceramah bulanan di surau The New Straits Times Press (NSTP) di Balai Berita, baru-baru ini.

Beliau berkata, banyak perkara dalam kehidupan seharian jika tidak dijaga boleh menjuruskan seseorang kepada amalan munafik seperti lupa kepada Allah semasa se-nang, apatah lagi ketika berhadapan kesusahan.

Umat Islam perlu sentiasa mengingati Allah tidak kira masa dengan mensyukuri nikmat-Nya apabila dikurnia rezeki dan bermohon kepada-Nya, jika didatangkan dugaan atau kesusahan.

Dr Syafawi berkata, selain syaitan yang berjanji akan menyesatkan umat manusia, orang Islam perlu tahu keutamaan dan memastikan ia dipelihara supaya dapat melaksanakan tanggungjawab kepada Allah dan memenuhi tuntutan kehidupan dunia.

Katanya, ramai yang bersolat tetapi masih lalai dengan melengahkan ibadat wajib itu hingga di penghujung waktu atau mempercepatkan solat menyebabkan tidak menjaga rukun serta bacaan dalam sembahyang.

“Nabi Muhammad berpesan jika hendak jumpa Allah di akhirat nanti perlu jaga solat. Sekarang ini jadi kebiasaan menjamakkan solat iaitu solat Zuhur pada hujung waktu nak masuk Asar diikuti solat Asar. Ini yang dikatakan jamak solat yang tidak jamak,” katanya.

Selain itu katanya, ciri mengenai sifat munafik jelas dapat dilihat melalui hadis Nabi Muhammad yang memberi ingatan supaya manusia tidak menjadi orang munafik yang ditempatkan pada tingkatan terkebawah sekali dari (lapisan dalam) neraka.

Sumber: http://www.bharian.com.my/

No comments:

Post a Comment