Wednesday, October 24, 2012

Miskin Hati, Iman Lebih Parah Daripada Tiada Harta


ILMU dapat mengubah hidup masyarakat miskin. 

Ilmu pengetahuan boleh ubah hidup masyarakat, harta

MANUSIA mempunyai dua tugas utama sebagai hamba dan khalifah Allah SWT. Bagaimanapun, Allah SWT dengan kasih sayangnya tidak membiarkan hamba-Nya yang beriman dalam keadaan terbeban dengan cara mengurniakan panduan penting iaitu al-Quran dan al-Sunnah.

Manusia harus ada Allah SWT dan Rasul dalam hatinya yang menjadi kekuatan dalam kehidupan. Adanya Allah dan Rasul, maka tidak akan ada lagi kebejatan sosial, kepincangan politik dan kemelesetan ekonomi.

Sekiranya kita ada ilmu, ilmu akan menjaga kita, tetapi sekiranya kita ada banyak harta, kita yang akan menjaga harta

Islam menekankan kejayaan dunia hingga akhirat dan kerana itu Islam menyediakan panduan berkaitan setiap aspek urusan supaya umat dapat menggunakannya sebaik mungkin termasuklah dalam soal mengurus kemiskinan.

Kemiskinan sering dilihat sebagai keadaan yang menyusahkan, tetapi sebenarnya tidak. Kemiskinan mampu memberikan pulangan positif kepada kesaksamaan dari sudut kestabilan ekonomi.

Bayangkan jika semua kaya, apa akan jadi pada sebuah negara? Sudah tentu berlaku lambakan duit yang menyebabkan inflasi dan nilai wang itu akan menjadi rendah. Inflasi juga menyebabkan barangan asasi menjadi mahal dan boleh terjadi untuk membeli sebuku roti memerlukan segenggam duit kertas.

Bagaimanapun, mustahil sebuah negara itu dihuni oleh semua masyarakatnya yang miskin. Secara logiknya, jika ada orang miskin sudah tentu ada orang kaya. Malaysia mempunyai paras kemiskinan yang tertentu berbanding negara lain.
Gaji minimum ditetapkan di bandar besar seperti Kuala Lumpur ialah RM1,500, dan mereka yang berada di bawah paras itu dianggap miskin. Maka, istilah kemiskinan itu subjektif dan tidak boleh diukur hanya melihat kepada pendapatan saja.

Kemungkinan, gaji bulanan hanya RM1,000, tetapi mereka mempunyai punca pendapatan lain daripada hasil perniagaan sambilan menjadikan hasil pendapatan bulanan mencecah jumlah RM2,500.

Pengamalan ideologi kapitalis, harta cenderung bertumpu kepada golongan yang kaya, manakala orang miskin cenderung menjadi lebih miskin. Maka, kemiskinan tidak dapat dihapuskan.

Bagaimana cara untuk mengurangi kadar kemiskinan? Ada pandangan mengatakan kemiskinan bukanlah suatu masalah perlu ditangani dengan memberikan wang ringgit sebagai keperluan peribadi semata-mata, tetapi ia berhubung kait dengan isu (qalbi) atau hati.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya dengan melihat kesan-kesan itu, mereka menjadi orang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar. (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada mereka.” (Surah al-Hajj, ayat 46).

Kemiskinan bukanlah penghalang utama kepada kemajuan negara, tetapi kemiskinan perlu diolah mengikut situasi semasa. Kadang-kadang kemiskinan mampu memberi ketenangan berbanding hidup dalam kekayaan.

Kemunduran sesebuah negara berlaku apabila adanya masyarakat yang bukan saja miskin dari segi harta, bahkan miskin dari segi hati dan keimanan. Inilah yang dinamakan miskin, miskin dan miskin. Namun, tidak dinafikan kemiskinan boleh melambatkan kemajuan negara.

Apabila malas telah menguasai diri, ia akan merebak kepada sifat mazmumah yang lain. Malas boleh menjadi punca kepada jenayah lebih besar seperti dadah, judi dan lain-lain. Malas juga boleh menyebabkan keruntuhan rumah tangga kerana apabila malas bekerja sudah tentu tiada wang.

Kemiskinan selalunya berpunca daripada kemiskinan ilmu pengetahuan. Ketiadaan ilmu, masyarakat mudah tertipu dengan pelbagai skim cepat kaya menyebabkan mereka jatuh bankrap. Ketiadaan ilmu juga boleh menyebabkan masyarakat terpinggir daripada arus kemodenan seterusnya menjadi penat dalam mengejar kemajuan.

Sebenarnya bukan semua orang bernasib baik menjadi kaya dengan hanya berniaga. Ramai juga yang kecundang. Walaupun begitu, dengan adanya ilmu kita tidak akan mudah jatuh miskin.

Saidina Ali berkata: “Sekiranya kita ada ilmu, ilmu akan menjaga kita, tetapi sekiranya kita ada banyak harta, kita yang akan menjaga harta.”

Namun, untuk memastikan ilmu itu tidak menjadi sia-sia semestinya kemajuan negara haruslah dibina ke arah kebaikan bukan dibina ke arah kemungkaran. Itulah jalan yang mampu menyelesaikan masalah miskin, miskin dan miskin.

Berdasarkan zaman pemerintahan Umar Abdul Aziz, tidak ada orang yang ingin menerima zakat. Hal itu bukan kerana kemiskinan sudah tidak wujud, tetapi disebabkan rasa malu untuk menerima zakat. Ia lahir daripada hati yang bersifat qanaah iaitu berasakan cukup.

Kemiskinan bukan hanya disebabkan kekurangan harta semata-mata, tetapi sebenarnya disebabkan kemiskinan iman dan takwa kepada Allah SWT. Apabila jiwa kaya automatik harta akan meningkat disebabkan iman dan takwa mampu meningkatkan kesungguhan untuk bekerja.

Oleh Mohd Syakir Mohd Rosdi
Sumber: http://www.bharian.com.my/

No comments:

Post a Comment