berhati-hatilah dengan harta kerana ia dapat melalaikan
mereka daripada peringatan Allah SWT. - Gambar hiasan
HARTA adalah merupakan anugerah Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Sebagaimana kurniaan dan anugerah yang lain, harta yang diperoleh oleh seseorang itu sebenarnya adalah ujian daripada Allah SWT.
Walaupun harta tersebut berada dalam pemilikan kita, namun ia bukanlah bermakna harta tersebut boleh digunakan dan dibelanjakan sewenang-wenangnya.
Ia bukanlah milik mutlak yang mendatangkan kebebasan kepada kita untuk mendapatkannya dan membelanjakannya mengikut kehendak hati tanpa adanya pertimbangan dustur Ilahi.
Mengetahui sifat manusia yang sangat cintakan harta, maka Allah SWT membenarkan aktiviti atau kegiatan perolehan harta dan perbelanjaannya. Akan tetapi, ia tidak terhenti setakat itu sahaja.
Di samping kebenaran memanfaatkan harta, Allah SWT mendatangkan beberapa sekatan dan batasan agar manusia dapat menggunakan harta tanpa membinasakan dirinya dan tidak mendatangkan kerosakan kepada manusia yang lain.
Oleh yang demikian, dalam kita mencari dan membelanjakan harta, kita tidak harus sama sekali membelakangi wahyu Allah SWT yang terkandung dalam al-Quran dan sunnah. (rujuk al-Munafiqun: 9)
Dalam ayat tersebut, Allah SWT telah memberikan amaran kepada orang-orang yang beriman supaya berhati-hati dengan harta kerana ia dapat melalaikan mereka daripada peringatan Allah SWT. Jelas di sini menunjukkan bahawa Allah SWT memberikan keizinan kepada manusia untuk berusaha memperoleh harta. Namun mereka perlu mengawasi diri mereka daripada terlalai dan terleka.
Golongan yang dilalaikan dengan harta boleh dilihat daripada beberapa sudut. Golongan pertama, harta boleh melalaikan manusia dalam konteks hubungan dengan Allah SWT. Golongan yang pertama ini biasanya terdiri daripada orang-orang yang telah menyibukkan dirinya mengejar harta sehingga tidak sempat untuk menunaikan kewajipan kepada Allah SWT.
Ada di kalangan mereka yang meremeh-temehkan solat sehingga sanggup mengerjakannya di akhir waktu dengan alasan perlu mendahulukan janji temu dengan pelanggan dan sebagainya. Sebahagiannya terlepas waktu solat kerana asyik bermesyuarat atau sibuk melayan pelanggan sehingga luput waktu solat.
Sebahagiannya pula ada yang pulang ke rumah pada lewat malam kerana meraikan hari jadi pelanggan di kelab-kelab sehingga terlepas solat Subuh kerana badan yang terlalu letih.
Ada pula yang asyik menangguhkan amalan fardu haji walaupun dirinya sudah lama memenuhi syarat wajib melakukan haji. Namun, berkali-kali haji ditangguhkan kerana memikirkan keuntungan perniagaan yang akan terlepas sekiranya pergi menunaikan haji.
Apabila mereka sudah lalai daripada mengingati Allah SWT, maka bukan sahaja hati mereka tidak tenteram, bahkan rumah-rumah mereka tidak damai dan harmoni kerana sunyi daripada ingatan dan zikir kepada Allah SWT. (rujuk an-Nur: 37)
Golongan kedua yang dilalaikan dengan harta ialah dalam konteks hubungan dengan manusia. Golongan ini sanggup untuk menganiaya orang lain dengan melakukan penipuan dan pengkhianatan semata-mata untuk mengejar keuntungan duniawi. Sedangkan Allah SWT memerintahkan manusia menjaga harta orang lain sebagaimana dia menjaga dan memelihara hartanya sendiri. Sekiranya dia tidak rela dan tidak sanggup hartanya diambil secara zalim, begitu juga seharusnya perasaannya kepada harta orang lain.
Nabi SAW bersabda: Setiap orang Muslim ke atas Muslim itu haram darahnya, hartanya dan maruah dirinya. (riwayat Muslim)
Golongan ini juga melupakan tanggungjawab terhadap manusia yang memerlukan bantuan dan pertolongan. Lalu mereka enggan untuk membayar zakat dan memberi sumbangan kepada fakir miskin kerana ia dianggap sebagai kerugian besar.
Sedangkan Nabi SAW telah memberikan jaminan bahawa harta yang disedekahkan dan didermakan akan mendatangkan keberkatan kepada kehidupan si pemberi.
Sabda Rasulullah SAW: Tidak akan dikurangkan harta dengan sebab bersedekah, Allah tidak menambah keampunan seseorang hamba melainkan seseorang itu ditambahkan dengan kemuliaan. Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan keredaan Allah melainkan akan diangkatkan darjatnya. (riwayat Muslim)
Orang-orang yang sanggup untuk memberikan sumbangan hartanya pada jalan Allah SWT sebenarnya telah berjaya melalui satu ujian dalam kehidupannya.
Hakikatnya, Allah SWT menjadikan kemiskinan untuk menguji si miskin, sama ada reda dan sabar dengan ketentuan-Nya itu. Si miskin juga akan diuji, sama ada dia sanggup mencari pendapatan yang haram untuk mengatasi kemiskinannya.
Allah SWT juga mencipta kekayaan kerana ingin menguji si kaya adakah dia bersyukur dan membantu si miskin.
Lantaran itu, Allah SWT berfirman: Sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya. (al-Taghabun: 16)
Golongan ketiga yang dilalaikan oleh harta ialah dalam konteks dirinya sendiri. Mereka gagal mengawal diri mereka daripada penyakit hati seperti tamak, hasad dengki, dendam dan sebagainya. Bahkan, mereka menjadi sombong dan ego sehingga menganggap dirinya melebihi orang lain daripada segala sudut. Lalu mereka bermegah-megah dengan hartanya sehingga membelanjakan hartanya bukan untuk keperluan, sebaliknya ia adalah untuk menunjuk-nunjuk akan status dan kekayaan mereka. (rujuk al-Taghabun: 16)
Kesimpulannya, terdapat tiga ancaman harta kepada kita iaitu dalam konteks hubungan dengan Allah SWT, hubungan dengan manusia yang lain dan terhadap diri sendiri. Marilah sama-sama kita menjaga diri agar tidak termasuk dalam mana-mana kelompok ini. Berwaspada agar diri tidak terlalu terpesona dengan harta sehingga kelalaian itu makin meningkat dan akhirnya menyesal apabila maut menjelang tiba.
Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN
Sumber: http://www.utusan.com.my/
No comments:
Post a Comment