Thursday, June 16, 2011

Berjuang di jalan Allah


Umat Islam yang datang mengerjakan umrah dan haji tidak akan melepaskan peluang menziarahi Makam Syuhada para pejuang Perang Uhud yang terletak di kaki Bukit Uhud, iaitu kira-kira satu jam perjalanan menaiki kenderaan dari Bandar Madinah.

SELAIN daripada Saad bin Rabi, para sahabat turut menemui seorang lagi pahlawan di pihak Islam dalam keadaan luka yang amat parah dan sedang menghabiskan saki baki nafas terakhi, iaitu Amru bin Tsabit. Beliau mempunyai kisahnya yang tersendiri.

Para sahabat sebenarnya hairan apabila Amru turut bersama dengan umat Islam lain untuk berperang menentang musuh, iaitu golongan kafir Quraisy sedangkan dia sebelum ini dikatakan enggan menerima Islam.

"Wahai Amru, apakah sebabnya kamu datang untuk berperang di medan Uhud ini? Adakah kerana kamu simpati kepada kaum kamu atau kamu sebenarnya berminat untuk masuk Islam?" Tanya para sahabat.

Walaupun dalam keadaan hampir kehilangan nyawa itu, Amru masih mampu menjawab: "Bahawa aku sebenarnya mempunyai keinginan untuk memeluk agama yang dibawa oleh Muhammad dan aku telah sempat beriman kepada Allah dan RasulNYA dan terus terpanggil untuk sama berjihad di medan Uhud ini.

"Sehinggalah aku mengalami kecederaan yang teruk seperti ini seperti yang kamu lihat, yang tidak memungkinkan aku dapat hidup lebih lama lagi," katanya.

Sebaik sahaja beliau berkata demikian Amru pun menghembuskan nafasnya untuk pergi buat selama-lamanya.

Apabila diceritakan kepada Rasulullah, baginda memberitahu bahawa Amru adalah penghuni syurga walaupun tidak pernah mendirikan solat.

Sebuah lagi kisah yang tidak kurang juga menarik ialah apabila para sahabat menemui Quzman yang telah berjuang dan berjaya membunuh antara tujuh hingga lapan orang tentera Musyrikin.

Tetapi akhirnya Quzman ditemui dalam keadaan separuh nyawa kerana menanggung kecederaan parah.

Lalu Quzman segera di usung pulang ke kampungnya, Bani Zafar untuk dirawat.

Bagi meringankan penderitaan para sahabat menghiburkan hatinya dengan berita gembira bahawa Quzman pasti telah menempah dirinya ke syurga Allah.

Tetapi Quzman berterus terang dengan jawapan yang sama sekali tidak diduga.

"Demi Allah, aku berperang ini hanya kerana semata-mata untuk menjaga nama baik kaumku sahaja. Kalau tidak kerana itu, tentu aku tidak akan turun untuk turut serta dalam peperangan ini," katanya.

Apabila keadaan lukanya semakin parah dan tidak menunjukkan tanda-tanda untuk pulih, Quzman yang tidak berdaya menahan sakit mengambil jalan mudah dengan membunuh dirinya sendiri.

Apabila Rasulullah mendengarkan kisah Quzman, dengan berat hati baginda memberitahu bahawa Quzman termasuk di kalangan ahli-ahli neraka.

Inilah akibatnya mereka yang berperang semata-mata kerana semangat kebangsaan. Bukannya berperang kerana menegakkan agama Allah termasuki Quzman yang berperang di bawah panji-panji Islam dan para sahabat dan umat Islam yang lain.

Perang Uhud turut disertai oleh seorang Yahudi. Tetapi menariknya beliau berjuang di pihak Islam. Mukhayriq adalah Yahudi dari Bani Tha'labah yang sebelum meletusnnya Perang Uhud itu telah menyeru dan mengajak kaumnya agar turut berganding dengan tentera Islam.

"Wahai sekalian orang Yahudi, demi Allah, kamu pun tahu bahawa adalah menjadi kewajipan kepada kamu semua untuk menolong Muhammad dalam peperangan ini," seru Mukhayriq.

Tetapi kaumnya menjawab: "Hari ini adalah hari Sabtu. Adakah kamu lupa wahai Mukhayriq?"

Hari Sabtu adalah hari kebesaran untuk penganut Yahudi beribadat sahaja. Malah untuk keluar mencari rezeki pun tidak dibenarkan apatah lagi berperang.

"Pedulikan hari Sabtu kamu itu berbanding membuktikan perjanjian keselamatan kita dengan Muhammad, untuk bersama-sama menghadapi sebarang masalah dan serangan dari pihak musuh," kata Mukhayriq.

Lalu beliau pun menghunuskan pedang dan melakukan persiapan untuk pergi berperang sambil berkata lagi: "Kalau apa-apa terjadi kepadaku, segala harta bendaku akan menjadi milik Muhammad, terserahlah kepadanya bagaimana kesemua harta itu hendak diuruskan."

Mukhayriq pun bersama-sama dengan umat Islam yang lain menuju ke Medan Uhud dan berjuang habis-habisan sehingga terbunuh.

Baginda pun sangat menghargai pengorbanan yang dilakukan oleh pemuda Yahudi itu dan berkata: "Mukhayriq adalah sebaik-baik orang Yahudi, semoga akan ada tempat dan pembalasan yang baik dari Allah buatnya."

Demikianlah sebahagian dari kisah-kisah yang menuntut kita supaya mengambil ingatan dan pengajaran bahawa perjuangan di jalan Allah menuntut segala macam pengorbanan.

Allah pasti akan membalasnya dengan balasan yang syurga Firdaus, syurga yang paling tinggi kedudukannya, yang paling indah sehingga tidak ada perkataan dapat menggambarkan keindahannya itu.

Oleh: Siti Ainiza Kamsari

Sumber: http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment