Thursday, June 9, 2011

Mengandung (Hamil) Pada Usia Lewat

Ada beberapa risiko  terpaksa hadapi bila mengandung di usia 40-an.

Pertama ialah risiko anak mendapat Sindrom Down. Nisbah yang selalu gunakan ialah 1 dalam 80 hingga 100 pada usia 40. Ini berpunca dari usia telur yang telah “berumur” maka berkemungkinan mengalami kecacatan genetik. Tiada cara pencegahannya kecuali melakukan keguguran. Isteri berumur 40-an yang hamil dinasihatkan melakukan ujian Sindrom Down. Ujian ini melibatkan imbasan ultrasound dan ujian darah seawal usia janin antara 10 hingga 12 minggu. Ujian-ujian ini boleh mencapai ketepatan 80 hingga 85 peratus.

Keduanya ialah risiko masalah kesihatan seperti darah tinggi, kencing manis dan lain-lain lagi. Perkara ini tidaklah sukar kerana terdapat kaedah-kaedah rawatannya. Maka tentukan puan tidak mengalami masalah perubatan yang boleh membahayakan puan semasa mengandung dengan melakukan pemeriksaan doktor. Sekiranya tidak mengalami apa-apa masalah perubatan pada kandungan pertama maka tidak menjadi masalah dari segi kesihatan.

Ketiganya, kandungan di peringkat lewat usia, terdapat beberapa masalah dari segi obstetrik seperti risiko keguguran atau kelahiran pramatang. Masalah tumbesaran janin terbantut juga adalah lebih tinggi sedikit. Pembedahan caesarean dahulu juga boleh menyebabkan kenaikan risiko kejadian uri bawah atau placenta praevia.

Jadi kesimpulannya, isteri boleh cuba mengandung semula tetapi isteri dan suami perlu bersedia menghadapi sedikit risiko Sindrom Down dan sanggup melakukan ujian-ujian tersebut bagi menentukan janin itu tidak mengalami ‘kecacatan genetik’. Di samping itu kemungkinan kejadian uri bawah sekali lagi dengan kandungan kedua juga adalah tinggi. Walaupun pembedahan pernah dilakukan, puan masih boleh melahirkan anak secara normal jika tiada masalah lain. Memandangkan usia semakin meningkat tidak perlu dan tidak sesuai isteri menunggu sehingga 2 tahun lagi untuk mengandung anak kedua.

Oleh:
Dr. Suhaimi Isa
Doktor Pakar Sakit Puan
Hospital Pantai Indah, Kuala Lumpur

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment