Tok Kenali (Muhammad Yusof bin Ahmad) 1870-1933 merupakan seorang ulama sekaligus seorang intelektual Islam dari negeri Kelantan yang memandang penting tentang pendidikan Islam di negeri itu. Malah ilmu yang dimilikinya tersebar luas ke Nusantara. Tokoh ini dilahirkan di Kampung Kenali, Kota Bharu, Kelantan. Beliau menuntut di Mekah selama 22 tahun dan kembali ke tanahair pada tahun 1909.
Mempunyai semangat yang kental bagi menyebarkan Islam serta pendidikannya, Tok Kenali mendirikan pusat pengajian pondok Kendali pada tahun 1911. Institusi pondok ini kemudiannya menjadi pusat pengajian Islam yang dikenali hingga kini. Semasa hayatnya beliau menjadi guru agama di Masjid Besar Al-Muhammadi. Dilantik menjadi anggota Majlis Ulama Kelantan. Menjadi anggota Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu, Kelantan. Pernah menjawat jawatan Penolong Mufti dan menjadi Ketua Pelajaran Agama Islam.
Pada 11 Julai 1918 bersamaan 1 Syawal 1336, tokoh ini mengasaskan majalah Pengasuh yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam, Kelantan. Paling terhormat ialah majalah ini diterbitkan terus hingga kini, yang telah menjangkau usia 84 tahun. Tok Kenali menjadi Ketua Pengarang, majalah Pengasuh di samping terus menjadi “Tuan Guru” serta pemimpin Islam yang berwibawa dengan ilmu yang dimilikinya. Beliau terus menulis dalam majalah Pengasuh sehingga di saat akhir hayatnya.
Daya usaha yang dilaksanakan oleh Tok Kenali itu telah meninggalkan kepada kita khazanah ilmu yang tidak ternilai malah menjadi amalan kita semua pada hari ini. Pelajarnya ramai di merata tempat yang masing-masing menyumbang usaha murni gurunya. Malah dapat dirasakan nama tokoh ini harum semerbak di Nusantara walaupun beliau telah lama meninggalkan kita semua. Terdapat dua buah buku yang merakamkan ilmu yang dimiliki oleh Tok Kenali, dan buku-buku tersebut ialah Pusaka Tok Kenali dan sebuah lagi Cerpen Warisan Tok Kenali hasil usaha Abdullah Al-Qari bin Haji Salleh terbitan Al-Hidayah Publishers, Kuala Lumpur. Selain itu, terdapat juga berpuluh rencana serta kajian yang ditulis oleh penulis-penulis untuk menjadi bahan yang amat berguna untuk kita meneliti jasa bakti yang ditinggalkan oleh Tok Kenali.
Pada tahun-tahun 60-an misalnya, cerita-cerita tentang Tok Kenali begitu diminati bukan sahaja oleh kanak-kanak tetapi juga oleh segenap lapisan masyarakat. Di negeri Pahang misalnya, Tok Kenali memang dikenali serta diingati sebagai seorang yang “keramat” iaitu sangat mulia di sisi Allah S.W.T. Cerita-cerita tentang tokoh ini sering sahaja diceritakan oleh guru-guru yang mengajar al-Quran selepas murid-muridnya belajar mengaji.
Dalam mengkaji tokoh ini terdapat beberapa perkara yang sangat menarik untuk diketahui mengenainya. Perkara yang dimaksudkan ialah amalan-amalan Tok Kenali, tulisan-tulisannya tentang Islam, syair yang pernah dibacakannya, cerita-cerita daripada Tok Kenali, dan kata-kata pujangganya di samping kitab-kitab yang ditulisnya. Sebagai seorang Tuan Guru yang bijaksana, Tok Kenali menyelitkan cerita dalam pengajarannya. Cara pengajaran sedemikian, menjadikan pengajarannya menarik dan tidak menjemukan murid-muridnya. Dalam hal ini Abdullah Al-Qari menyenaraikan sebanyak 21 buah cerita yang pernah disampaikan oleh Tok Kenali semasa mengajar. Antara cerita-cerita itu diberikan tajuk “Ikut Bapamu Tetapi Takutkan Allah”, “Sebab Setitis Susu”, “Penebus Belanja Ayah”, “Orang Cerdik dan Orang Bodoh”, “Berfikir Sebelum Bernazar”, dan beberapa yang lain.
Walau bagaimanapun, Tok Kenali tidak menuliskan cerita-cerita ini. Namun, cerita-cerita tersebut masih diingati oleh murid-muridnya yang kebanyakannya telah menjadi guru agama sama ada yang masih hidup mahupun yang telah kembali ke Rahmatullah. Melihat sekali imbas ternyata cerita-cerita yang disampaikan oleh Tok Kenali ini merupakan cerita-cerita rakyat yang sangat tinggi nilai moralnya. Apatah lagi cerita-cerita yang sedemikian ini telah diselitkan semasa menyampaikan pengajaran agama, pastinya memberikan lebih makna dan kesan kepada pendengarnya.
Selain itu, tokoh ini telah menulis kitab di samping menulis dalam majalah Pengasuh di bawah pimpinannya selaku Ketua Pengarang dan majalah Al-Hidayah. Terdapat sembilan buah kitab yang dihasilkan oleh Tok Kenali dan ada antara kitab-kitab tersebut yang dikembangkan oleh murid-muridnya. Kitab-kitab yang dimaksudkan termasuk:
- Khasiat Binatang
- Kitab Mujarobat
- Kitab Tasyif
- Sangkalan Terhadap Kaifiah; Hadiah dan Doa Yassin.
- Ilmu Risik Tok Kenali
- Ilmu Penyecah Tok Kenali
- Ilmu Makjun Tok Kenali
- Ilmu Julab Tok Kenali
- Tulisan-tulisan tangan Tok Kenali dalam pelbagai hal yang ada hubungan dengan pengajaran Islam.
Sahsiah peribadi yang tinggi dan terpuji yang dimiliki oleh Tok Kenali telah menjadikan beliau seorang ulama rujukan. Bahkan beliau boleh dianggap sebagai seorang intelektual Islam yang membina bangsanya tanpa ragu. Kewibawaan Tok Kenali bergelombang bukan sekadar di Kelantan tetapi juga dirasakan oleh seluruh masyarakat tanah air serta Nusantara amnya.
Tegasnya, Tok Kenali telah mengasaskan landas pendidikan yang cukup teguh di Kelantan di samping ulama-ulama lain di negeri itu. Gelombang ini juga dapat dirasakan dengan lahirnya ramai cerdik pandai Islam dari negeri itu. Malah terdapat institusi-institusi pondok yang masih kekal sehingga hari ini walaupun pendekatan dan perkembangannya sudah disesuaikan dengan aliran zaman. Inilah kesan kewibaan ilmu yang dimiliki oleh Tok Kenali yang sangat mulia di sisi Allah S.W.T.
Sumber: http://tokoh1038.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment