Wednesday, September 19, 2012

Campurtangan Inggeris di Perak


Percampuran dasar Inggeris terhadap Negeri-negeri Melayu di akhir kurun ke 19 telah mendorongkan pihak British untuk mengubah sikap berdagang dan campurtangan dalam urusan politik dan pertadbiran - iaitu penjajahan secara langsung atau tidak langsung terhadap kesemua Negeri Melayu di Semenanjung.


 Peta lama Negeri Perak
Seperti helang kelaparan mereka hanya menunggu peluang dan ketika yang sesuai untuk menyambar terus kemakmuran Negeri Perak. Inggeris yang telah lama mengkaji sistem pentadbiran, struktur, sosial, ekonomi dan politik bumiputera di Negeri-Negeri Selat dan di negara-negara yang dijajahnya telah berjaya menyingkap segala aspek kehidupan masyarakat Melayu dan menggunakan kelemahan-kelemahan yang terdapat untuk menguasai terus Negeri Perak dengan memperalatkan institusi-institusi traditional. Peluang ini tercapai apabila berlaku perselisihan merebut takhta kerajaan semasa Sultan Ali Al-Mukamal Inayat Shah, Sultan Perak ke 24 mangkat di Sayong pada tahun 1871.

Raja Muda Abdullah yang bersemayam di Batak Rabit sepatutnya mudik ke Sayong untuk ditabalkan sebagai Sultan tetapi beliau enggan berbuat demikian. Ini telah mengakibatkan jenazah Almarhum tidak dapat dimakamkan selama sebulan, dan bagi menyelesaikan masaalah ini Raja Bendahara Ismail telah ditabalkan sebagai Sultan.


Maka berlakulah perselisihan yang berlarutan diantara Raja Abdullah dengan Sultan Ismail. Di samping ini terdapat pula pergaduhan besar dan sikap bermusuhan diantara dua kongsi gelap pelombong-pelombong Cina, Ghee Hin dan Hai San disekitar Kelian Puah dan Kelian Baharu dan berlarutan hingga ke negeri-negeri lain. Peperangan telah berlaku disepanjang tahun 1861- 1862 dan 1871-1874.

Pergaduhan-pergaduhan dan perselisihan merebut takhta kerajaan ini telah di pergunakan sepenuhnya oleh pihak Inggeris untuk mencampuri urusan dalam Negeri Perak supaya kepentingan mereka tidak terjejas dan kekayaan Negeri Perak dapat dieksplotasikan sepenuhnya bagi menampung keperluan ekonomi negara ibunda mereka.

Dengan kepintaran siasah dan ilmu penjajahan yang telah berkurun dipelajari, Inggeris telah berjaya memerangkap Raja Abdullah dan beberapa orang Orang Besar-Besar Perak untuk berunding di Pulau Pangkor. Wakil-wakil kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San juga turut hadir bagi membalas jasa Inggeris yang telah banyak berbudi kepada mereka. Maka pada 20 Februari 1874 berlakulah satu detik sejarah yang tidak akan dilupakan oleh orang-orang Melayu Perak dan seluruh Semenanjung Tanah Melayu dengan termeterinya satu perjanjian yang di namakan Perjanjian Pangkor.



Perjanjian Pangor 1874

Kejayaan Inggeris dalam babak pertama dalam siri penjajahan mereka di Tanah Melayu ini telah menjatuhkan mertabat kuasa mutlak Raja Melayu terhadap tanah air mereka sendiri dengan hanya menjadi Sultan sebagai ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja. Urusan pentadbiran dan ekonomi dalam negeri terserah bulat-bulat kepada budibicara Residen Inggeris yang secara langsung dipertanggungjawabkan oleh Gabenor Negeri Selat untuk melaksanakan rancangan pembangunan raksaksa - Sistem Residen.


Sir Andrew Clarke

Raja Abdullah

Perjanjian Pangkor dan perlaksanaan sistem Residen ini pada dasarnya telah dapat meredakan seketika persengketaan diantara golongan-golongan yang bersengketa dalam Negeri Perak. Dengan bersenjatakan Perjanjian Pangkor yang pada anggapan Inggeris akan dipatuhi oleh semua pihak dan tidak akan di tentang oleh orang-orang Melayu yang selama ini dianggap mudah di pergaul-gaulkan, J.W.W.Birch, Residen Inggeris yang pertama telah memulakan tugasnya tanpa menaruh sebarang buruk sangka atau perasaan curiga.

Orang Besar-Besar Perak dan Sultan Abdullah sendiri akhirnya menyedari akan kesilapan mereka menandatangani Perjanjian Pangkor yang secara langsung mengetepikan hak tradisi mereka dalam urusan kutipan cukai dan menguasai hasil mahsul dalam jajahan masing-masing telah menghadapi jalan buntu bagi menghadapi kekuatan kuasa penjajah Inggeris ini. Akhirnya mereka telah mengambil jalan singkat dengan membunuh J.W.W. Birch dan pengiring-pengiringnya di Pasir Salak pada 2 November 1875.


Berikutan daripada peistiwa berdarah ini Inggeris telah melancarkan perang besar-besaran terhadap orang-orang Melayu Perak dengan tujuan untuk menangkap pembunuh J.W.W. Birch. Pasukan-pasukan polis, tentera dan tentera laut Inggeris dibawah pimpinan Kapten Speedy telah mengepung perairan Perak. Rumah-rumah orang-orang Melayu yang disyaki telah dibakar, kota pertahanan orang-orang Melayu di Batak Rabit telah diserang habis-habisan dan akhirnya ditawan.

Inggeris terus mara disepanjang Sungai Perak dan membunuh tanpa belas kasihan. Sungguh pun kekurangan senjata dan tektik peperangan oarng-orang Melayu Perak masih mampu melawan serangan Inggeris seperti yang dilakukan di Kota Lama. Peperangan Perak ini telah berlanjutan hingga ke tahun 1876 dan akhirnya kesemua yang terlibat dalam peristiwa pembunuhan J.W.W. birch ditangkap dan dibicarakan peperangan ini ditamatkan.

Sumber: http://asamgaram2puteri.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment