Bayi akan menyusu hingga kenyang yang mungkin mengambil masa 15 hingga 20 minit untuk sebelah payu dara.
SUSU ibu bukan saja membantu membina sistem ketahanan tubuh, tetapi memberi perlindungan daripada pelbagai jenis penyakit berjangkit.
Sebenarnya, semakin kerap anda menyusukan bayi semakin banyak susu akan terhasil. Justeru istilah tiada susu dianggap mitos. Susukan bayi mengikut kemahuannya. Ia mungkin lapan hingga 12 kali sehari atau lebih. Kekerapan bayi menyusu mungkin berubah dari semasa ke semasa mengikut peningkatan usia.
Selalunya, bayi akan menyusu hingga dia kenyang yang mungkin mengambil masa 15 ke 20 minit untuk sebelah payu dara.
Anak sebenarnya juga tahu bila masa dia hendak berhenti menyusu, tidak perlu memaksanya memutuskan penyusuan semata-mata kerana anda ingin beranak lagi atau merasa janggal kanak-kanak berusia dua tahun masih menyusu, katanya.
Pengerusi Persatuan Penasihat dan Pakar Laktasi Malaysia (PPPLM), Matron Yon Said, berkata ibu boleh menyusukan dua anak serentak. Iaitu jika anak sulung berusia dua tahun dan anak kedua berusia dua bulan. Kepercayaan susu ibu menjadi racun kepada si abang bila ibu mula menyusukan adik adalah karut.
Sebaiknya susukan anak hingga dia berusia dua tahun. Dalam Islam pun ada menegaskan suami isteri harus berbincang untuk menyusukan anak hingga berusia dua tahun. Tapi kebanyakan ibu mungkin memilih menyusukan anak secara eksklusif hingga berusia enam bulan sebelum mencampurkannya dengan susu formula kerana perlu mula bekerja, katanya.
Yon berkata, jika anak kerap diberikan susu, tidak ada wujud keadaan kering susu. Ini kerana secara saintifiknya, setiap payu dara terbahagi kepada lobus (lobe) dan di bahagian inilah susu terhasil. Setiap lobus memiliki antara 15 ke 25 tiub yang membawa susu ke puting. Saiz tiub ini membesar pada kedudukan yang hampir dengan areola.
Kajian dengan bantuan foto infra merah menunjukkan payudara akan menjadi panas apabila bayi menangis. Justeru, darah akan tertumpu ke payudara membawa gula ke kelenjar susu.
Apabila bayi mula menghisap, oxytocin dibebaskan ke salur darah menyebabkan sel otot sekitar kelenjar susu mengecut dan mengeluarkan susu. Pengecutan itu dikenali sebagai the let-down reflex. Sebelum tindakan reflex itu terjadi, bayi menghisap susu yang dinamakan foremilk yang kaya dengan protein. Susu yang keluar selepas itu kenali sebagai hind milk yang kaya dengan lemak dan kalori.
Tindakan Let-down reflex harus dirangsang untuk memastikan bekalan susu berterusan. Justeru, biarkan bayi menentukan berapa banyak susu yang akan dihasilkan. Kerana itu semakin kerap menyusukan bayi, semakin banyak susu terhasil.
Kadangkala terjadi ibu terlebih menghasilkan susu. Apabila ini terjadi, bayi akan berasa tidak selesa, menangis tidak berhenti, perut kembung dan najis yang berwarna hijau (mungkin disebabkan mukus).
Bagaimana anda boleh tahu anda sebenarnya terlebih penghasilan susu selain memerhati kesannya pada bayi Kadangkala apabila menyusu di sebelah payu dara, sebelah lagi akan mengalami kebocoran (susu menitis) untuk minggu pertama. Apabila bayi menarik mulutnya dari puting, terpancut pada jarak yang agak jauh.
Ketika menyusu, ibu akan terdengar bunyi seakan-akan susu mengenai bahagian bawah perut.
Bayi pula akan kelihatan seakan sakit dan tidak selesa ketika menyusu dengan melentik-lentikkan badan dan menarik mulut dari puting susu untuk melindungi saluran pernafasannya atau tidak mahu menyusu.
Dengan susu yang banyak mengalir, bayi mungkin tertelan banyak udara setanding dengan jumlah susu yang ditelan menyebabkan bayi menyangka dia sudah kenyang.
Jika bayi anda menyusu badan, perhatikan perkembangan pertumbuhannya berdasarkan jadual ini sebagai panduan secara umum.
Panduan jumlah peningkatan berat bayi
- 0- 4 bulan : 170 gram seminggu
- 4-6 bulan : 113-142 gram seminguu
- 6-12 bulan : 57-113 gram seminggu
Bagi bayi yang menyusu susu badan, berat badannya akan bertambah dua kali ganda dari berat ketika lahir menjelang usia lima ke enam bulan. Ketika berusia setahun, bayi menyusu badan akan memiliki berat dua setengah kali ganda dari berat ketika lahir. Menjelang usia dua tahun, berat antara bayi menyusu badan dengan bayi yang mengambil susu formula sudah tidak lagi berbeza.
Jenis susu ibu
Colostrum - Terhasil pada hari-hari pertama selepas melahirkan. Ia berwarna kekuningan dan diperkaya dengan antibodi dan juga protein. Ini menjadikan ia sangat ideal bagi bayi baru lahir. Ia pekat kekuningan, kaya protein, antibodi dan vitamin juga mineral.
Transitional - Cair, berwarna putih. Komposisinya hampir sama dengan susu matang.
Susu matang - Lebih cair hampir kebiruan pada awal penyusuan tetapi bertukar putih apabila kandungan lemaknya bertambah.
Sebab bayi tidak mahu menyusu
- Diberi susu formula (kadang kala mungkin dengan pengetahuan ibu)
- Penggunaan puting tiruan yang membawa kepada kekeliruan
- Teknik menyusu yang salah
- Menyumbat ke dalam mulut bayi dengan paksaan
- Gangguan ketika menyusu
- Berpisah dengan ibu untuk tempoh yang lama
- Bayi sukar bernafas selalunya disebabkan selesema
- Bayi sukar menelan
- Kesakitan disebabkan rawatan perubatan (ujian darah, suntikan dan sebagainya).
Hisapan Bayi: Lihat cara bayi menghisap. Jika dia berhenti selepas setiap kali menghisap, ini bermakna dia mendapat susu yang banyak dan sedang menelan susu itu. Jika dia melakukan perkara ini berulang kali (hisap dan telan) selama beberapa minit, anda akan yakin bahawa dia sudah pun mendapat susu yang banyak.
Membuang Air Besar: Beberapa hari yang pertama, najis bayi berwarna hijau gelap dan melekit. Ini dipanggil "mekonium". Pada hari ketiga, najis akan menjadi lebih cair dan kekuningan. Bayi berusia di bawah enam minggu perlu membuang air besar sekurang-kurangnya dua hingga lima kali dalam tempoh 24 jam. Jika terlalu jarang membuang air, sistem penghadamannya mungkin sudah kukuh.
Jika najis yang keluar setiap kali membuang air besar adalah sedikit jumlahnya, bayi akan lebih kerap membuang air besar, mungkin melebihi lima kali dalam tempoh 24 jam. Jika najis terlalu sedikit, berwarna hijau, kelihatan cair dan kerap pula membuang air kecil, ini mungkin menunjukkan bayi mengalami ketidakseimbangan antara susu pertama dan susu akhir. Mungkin juga bayi mengalami sindrom terlebih susu.
Ini berpunca daripada kekerapan menukar payu dara setiap kali menyusu. Dengan cara ini, bayi hanya mendapat susu cair di peringkat awal penyusuan dan tidak mendapat susu yang pekat dan kaya dengan lemak yang hanya didapati di akhir penyusuan. Dalam kes ini, biarkan bayi menyusu pada sebelah payu dara sehingga payu dara menjadi lembut dan bayi berhenti menelan susu. Kemudian, barulah menukar kepada payu dara lain. Jika mendapati pengaliran susu terlalu banyak, berilah sebelah payu dara saja setiap kali menyusu.
Kebanyakan ibu selalunya akan cuba menyusukan bayi pada kedua-dua belah payu dara pada setiap kali penyusuan. Amalan ini tidak semestinya diikut kerana penyusuan pada sebelah payu dara akan memastikan bayi mendapat segala khasiat yang diperlukan.
Perlu anda tahu susu yang keluar di peringkat awal penyusuan ialah susu pertama (foremilk) yang kaya dengan protein dan air. Susu yang keluar pada akhir penyusuan ialah susu akhir (hindmilk) yang kaya dengan lemak. Biasanya, bayi yang berusia lebih dari tiga minggu, tidak lagi membuang air besar dengan kerap. Kadangkala, mereka tidak membuang air dalam tempoh beberapa hari, tanpa adanya tanda-tanda akan terkena sembelit. Jika bayi kelihatan sihat dan riang, perkara ini adalah normal.
Membuang Air Kecil
Bayi berusia di bawah enam minggu, sepatutnya membuang air sebanyak tujuh ke lapan kali sehari. Anda boleh mengetahuinya dengan mengira jumlah lampin basah. Jika memakai lampin pakai buang, jumlah lampin basah dan berat ialah antara lima hingga enam keping. Jika lampin kain, jumlahnya antara tujuh hingga lapan helai. Bagaimanapun, pada dua tiga hari selepas kelahiran, bayi hanya membuang air kecil sebanyak dua hingga tiga kali saja kerana pada waktu itu, susu belum lagi dihasilkan sepenuhnya oleh payudara. Bayi yang lebih besar pula, kurang membuang air kerana pundi-pundi kencing mereka semakin matang. Bagaimanapun, air kencing mereka lebih banyak daripada bayi kecil. Air kencing bayi sepatutnya berwarna jernih dan sedikit berbau. - Sumber PPPLM
Tanda bayi tidak cukup menyusu:
- Berat badan berkurangan selepas lima hari dilahirkan
- Berat badannya turun daripada berat kelahiran pada hari ke 14
- Berat badannya bertambah kurang dari 120 gram seminggu selepas berusia tiga minggu atau kurang dari 500 gram sebulan
- Air kencing berwarna kuning kuat dan bau hancing yang kuat
- Najis yang kering, keras dan berwarna hijau
- Wajah tidak gembira sebaliknya kelihatan risau
- Tidak peka, tidak aktif untuk tempoh tertentu setiap hari
- Mengantuk yang luar biasa
- Tangisannya lemah
- Tidak gembira, menangis tidak keruan dan tidak puas hati walaupun selepas disusui.
No comments:
Post a Comment