Thursday, December 13, 2012

PETA MINDA

Peta minda telah diperkenalkan oleh Tony Buzan pada tahun 1960an sebagai kaedah yang boleh membantu pelajar, mencatat nota dengan ringkas dan berkesan. Menurut Subadrah (2001), penggunaan peta minda semakin penting sebagai satu kemahiran mengorganisasi maklumat dan menghuraikan konsep atau objektif secara teratur. Shahabudin Hashim, Mahani Razali dan Ramlah Jantan (2007) menyatakan, peta minda membolehkan kita merangka, mencatat nota, merekodkan maklumat atau peristiwa, merancang aktiviti atau membuat sesuatu persembahan. Peta minda yang dibentuk biasanya pelbagai dan bergantung kepada kreativiti seseorang.

Peta minda merupakan kaedah yang berkesan untuk mendapatkan semua maklumat daripada ingatan untuk ditukarkan menjadi bentuk yang boleh dilihat. Menurut Poh Swee Hiang (2006), peta minda dibentuk berdasarkan bagaimana otak manusia merakam dan memproses maklumat secara linear dan dalam masa yang sama membuat pengelolaan yang menyeluruh seperti menghubungkait, membanding, menganlisa dan sebagainya. Peta minda adalah kebiasaannya dibina di atas sehelai kertas. Idea penting atau idea utama diletakkan di tengah-tengah pusat utama dan idea lain yang berkaitan dikembangkan di luar idea utama dengan menggunakan pusat kecil, garisan, bongkah geometri, imej, underlining, anak panah, warna dan sebagainya. Peta minda juga boleh menjimatkan masa dalam mempelajari sesuatu mata pelajaran. Dalam proses pembelajaran, seseorang murid itu perlulah menyusun strategi agar segala isi pelajaran dapat diproses oleh otak dengan lebih mudah. Menurut Dilip Mukerjea (1996), melalui peta minda seseorang itu dapat .... learn more, remember more, use less paper, invest less effort ... yang membawa maksud penggunaan peta minda dapat memperolehi ilmu pengetahuan yang lebih banyak, mempertingkatkan daya ingatan tanpa merugikan terlalu banyak kertas serta tenaga.

Semasa membina peta minda, maklumat penting yang disusun dan dikelolakan dengan cara keseluruhan. Susunan sedemikian dapat menghasilkan struktur pola yang kreatif selaras dengan cara otak seseorang memproses maklumat. Penggunaan peta minda lebih mudah untuk dirakamkan dalam ingatan jangka panjang. Poh Swee Hiang (2006) berpendapat, peta minda membantu anda mencatat nota dengan pantas dan mengelakkan pengulangan perkataan. Nota tersebut wujud sebagai satu gambaram mental yang lengkap, bermakna dan senang diingati.

Keberkesanan peta minda ini telah diakui oleh pelajar cemerlang SPM 2006, Nadia Rohani Malik Panter-Brick, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Nurul Ittifaq, Besut, Terengganu. Beliau mendapat pangkat 1A dalam kesemua 14 mata pelajaran yang diambil dalam peperiksaan tersebut. Pejabat Pendidikan Daerah Besut (23 Mac 2007) melaporkan, Nadia yang bercita-cita menjadi seorang doktor pakar menggunakan kaedah peta minda Tony Buzan bagi memudahkannya mengulangkaji dan menghafal pelajaran.

Sasterawan terkenal tanahair, A. Samad Said telah mengadakan pameran “Daerah Samad – 100 lakaran oleh A. Samad Said” di Galeri Petronas, Suria KLCC. Menurut Johanna A. Sobrey (25 Jun 2007), manuskrip-manuskrip itu hasil tulisan tangan Pak Samad sendiri berperanan sebagai peta minda yang mengungkapkan secara intim, telus dan langsung sejarah pembentukkan karya-karya sasteranya dari mula sampai tamat. Selanjutnya dijelaskan, disebalik tompokan dan garisan-garisan halus mahupun cakaran liar, turut tersisip kata-kata puitis dan mesej mendalam yang meneropong kehidupan, keadaan serta perkara yang berlaku di persekitaran dan pelbagai perkara yang bermain di minda Pak Samad. Ini menunjukkan kelebihan penggunaan peta minda dalam membuat catatan idea sebelum dikembangkan dalam bentuk penulisan naratif.

Sumber: http://ccsgkasai.blogspot.com/

Kesahan Ramalan

Takrif Pekali Kesahan Ramalan

Menurut Marshall and Hales (1972), pekali kesahan ramalan diperolehi dengan menggunakan Korelasi Hasil Darab Momen Pearson. Nilainya diperolehi dengan mengkorelasikan skor-skor ujian dengan kriteria yang sesuai dimana skor-skor kriteria diperolehi setelah satu selang masa.

Manakala Gronlund (1990) mencadangkan bahawa prosedur biasa ialah dengan mengkorelasikan secara statistik dua set skor dan kemudian melaporkan darjah hubungan antara skor-skor berkenaan sebagai pekali korelasi.

Menurut L.R. Gay, pekali kesahan menunjukkan kesahan ramalan sesuatu ujian. Sekiranya pekali tersebut tinggi maka ujian tersebut mempunyai kesahan ramalan yang baik. Menentukan berapa nilai suatu pekali yang tinggi adalah tidak mudah. Menurut Gray tiada nilai istimewa yang boleh dianggap nilai pekali tinggi.

Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Kesahan dan Kesahan Ramalan

Gronlund (1970) menyatakan bahawa terdapat beberapa faktor yang mungkin merendahkan nilai kesahan keputusan ujian. Salah satu daripadanya ialah alat penilaian itu sendiri.

Menurut Gronlund juga, sebarang kecacatan dalam pembinaan ujian akan menghalang item-item ujian daripada berfungsi secara harmoni dan seterusnya menyebabkan ujian tersebut tidak sah. Beliau juga menyatakan bahawa faktor-faktor emosi calon boleh mempengaruhi kesahan sesuatu ujian. Menurut Barbara S. Plake (1982), penyusunan item-item dalam ujian ialah satu pembolehubah penting yang akan mempengaruhi prestasi ujian. Kajian yang dilakukan oleh beliau mendapati pengetahuan penyusunan item-item oleh pelajar tidak mempengaruhi prestasi ujian secara signifikan. Menurut James M.Thyne (1974), berpendapat bahawa tujuan asas pemeriksa ialah untuk memaksimakan kesahan keputusan peperiksaannya. Ia mengemukakan empat syarat yang mesti dituruti iaitu :

(a) Penyemakan skrip-skrip peperiksaan mestilah konsisten. 
(b) Keputusan peperiksaan hendaklah mengukur kecapaian yang dikehendaki.
(c )Semua soalan yang diuji mestilah relevan dengan sukatan pelajaran. 4
(d) Pengagihan markah mestilah seimbang mengikut kesukaran soalan .

Kebolehpercayaan Sebagai Syarat Perlu Bagi Kesahan Dan Faktor-Faktor Yang Mempengaruhinya. 
Menurut Lord & Novick (1968), suatu ujian dikatakan mempunyai kebolehpercayaan jika keputusan individu-individu dalam ujian berkenaan mempunyai persamaan apabila ujian yang sama diambil sekali lagi. Menurut Lord & Novick , ujian atau peperiksaan yang mempunyai kebolehpercayaan lengkap tidak wujud. Manakala George Sachs Adams (1966) berpendapat bahawa terdapat satu lagi faktor yang boleh mempengaruhi kebolehpercayaan ialah kesubjektifan penyemak dalam menyemak dan menilai skrip. Beliau menyatakan bahawa jika sesuatu skrip disemak secara objektif, ini akan mempertingkatkan konsistensi atau ketekalan pengukuran.

Sumber: http://www.ipbl.edu.my/

Tafsir Ayat: Allah berhak beri hidayah walaupun terhadap insan lakukan kejahatan

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

ALLAH berfirman yang bermaksud: “Sesiapa yang Allah kehendaki mendapat hidayah nescaya dilapangkan dadanya untuk menerima Islam dan sesiapa yang dikehendaki sesat nescaya dijadikan dadanya sempit dan sesak seolah-seolah naik ke langit. Demikianlah Allah menimpakan kehinaan kepada orang yang tidak beriman.” (Surah al-An’am, ayat 125).

Allah Maha Berkuasa untuk mengurniakan petunjuk dan hidayah-Nya kepada yang dikehendaki-Nya. Hanya dengan petunjuk dan hidayah Allah saja dapat mengubah manusia dan kehidupannya dari kekufuran kepada keimanan, kemaksiatan kepada ketakwaan, kezaliman kepada keadilan, kegelapan kepada cahaya kebenaran dan kegelisahan kepada ketenangan jiwa.

Hidayah itu ialah petunjuk yang dikurniakan Allah kepada manusia untuk mencapai kesejahteraan serta kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Islam menganjurkan umatnya supaya sentiasa memohon hidayah petunjuk daripada Allah ke arah jalan yang benar.

Lebih-lebih lagi perjalanan hidup berliku yang ditempuhi setiap insan menuntut ketabahan, kesabaran dan pertolongan Ilahi supaya dia berjaya dalam hidup. Oleh itu, Islam mensyariatkan amalan berdoa dan memohon petunjuk daripada Allah.

Hidayah petunjuk yang dianugerahkan Allah sebenarnya tidak boleh diukur berdasarkan keadaan lahiriah semata-mata. Sebaliknya, ia bergantung kepada keimanan dan ketakwaan yang bertapak kukuh dalam jiwa. Dalam erti kata lain, Allah mengurniakan hidayah kepada hamba yang beriman dan bertakwa.

Hidayah Allah tidak ada kaitan dengan hubungan pertalian darah atau kekeluargaan. Seseorang yang taat dan hidup bahagia dengan hidayah Allah, tidak semestinya anaknya juga begitu. Contohnya, Nabi Nuh dan anaknya serta Nabi Muhammad SAW dengan bapa saudaranya, Abu Lahab.

Ada juga orang fasik yang sentiasa bergelumang dosa tetapi anaknya seorang yang salih dan patuh ajaran Islam. Ini berlaku kepada Nabi Ibrahim dengan ayahnya, pengukir patung berhala.
Oleh sebab itu, kita tidak boleh menyangka orang yang selalu melakukan kejahatan tidak akan mendapat hidayah Allah kerana hanya Allah yang berkuasa memberi hidayah kepada sesiapa dikehendaki-Nya.

Nabi dan rasul, tugasnya menyampaikan kerana tidak ada siapa yang dapat memberi petunjuk melainkan Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Tidaklah kamu diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk, (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk) akan tetapi Allah juga yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya). Dan apa juga harta halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri. Dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah. Dan apa juga yang kamu dermakan dari harta yang halal akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.” (Surah al-Baqarah, ayat 272)

Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Quran al-Azim ada menyebut sebab turunnya ayat kerana ada beberapa orang Islam yang bersedekah kepada fakir miskin penduduk Madinah, kemudian setelah ramai bilangan yang masuk Islam, maka Rasulullah SAW menegah memberi sedekah kepada orang musyrikin.

Tujuannya ialah untuk menarik mereka supaya menganut Islam kerana Rasulullah SAW sangat mengambil berat akan hal ehwal mereka. Lalu turunlah firman Allah yang memerintahkan Baginda supaya terus memberikan sedekah kepada mereka.

Biarpun hidayah menjadi milik mutlak Allah, namun umat Islam dituntut untuk menyampaikan dakwah Islam kepada bukan Islam supaya beriman kepada Allah.

Dakwah yang baik dan berkesan hendaklah berpaksikan kepada tiga kaedah iaitu berdakwah secara hikmah atau bijaksana, memberi pengajaran atau contoh teladan baik dan bertukar fikiran atau berdialog dengan cara lebih baik.

Oleh itu, setiap Muslim perlu mempergiatkan usaha untuk berdakwah dan bersabar dalam menjalankan usaha dakwah Islamiah kepada bukan Islam supaya ia mencapai matlamat yang disasarkan iaitu keadilan Islam, keharmonian hidup serta kecemerlangan dalam hidup.

Hidayah dan petunjuk Allah akan sentiasa mengiringi setiap langkah dan jalan diterokai orang beriman dan bertakwa kepada-Nya dalam rangka untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini.

Penulis ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin

Sumber: http://www.bharian.com.my/

Wednesday, December 12, 2012

Gambaran Hari Kiamat

Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.
  
Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya “Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?” Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya “Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.” Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.
  
Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.
 
Sekalian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut “Ajbuz Zanbi” yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.
  
Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.
  
Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.
  
Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.
  
Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah S.W.T. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.
  
Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik di hari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.
  
Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad S.A.W bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.
  
Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:
  1.  Pemimpin yang adil.
  2. Orang muda yang taat kepada perintah Allah S.W.T.
  3. Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.
  4. Dua orang yang bertemu kerana Allah S.W.T dan berpisah kerana Allah S.W.T.
  5. Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata “Aku takut pada Allah”.
  6. Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
  7. Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah S.W.T lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah S.W.T.
Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara “pergilah berjumpa dengan para Nabi”. Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam a.s tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah S.W.T. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah S.A.W. Jarak masa antara satu Nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.
 
Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad S.A.W ke hadrat Allah S.W.T. Lalu diperkenankan doa baginda.
 
Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga ‘Arasy itu tiba di bumi.
 
‘Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.
 
Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari ‘Arasy umpama cincin ditengah padang. Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak di hadapan istana.
 
Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & ‘Atid / Kiraman Katibin.
 
Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.
 
Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad S.A.W, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.
 
Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.
 
Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.
 
Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad S.A.W dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.
 
Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.
 
Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan diadili oleh Allah Ta’ala dengan Maha Bijaksana.
 
Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.
 
Syafaat Nabi Muhammad S.A.W di akhirat :
  1. Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.
  2. Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
  3. Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka. (Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah S.W.T.)
Para Nabi dan Rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.
 
Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.
 
Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.
 
Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka. Rujukan: Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al- Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.
 
Jika sekiranya kalian ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada sahabat-sahabat yang lain. Sepertimana sabda Rasullullah S.A.W: *Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat. *Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :
  1.  Sedekah/amal jariahnya.
  2. Doa anak-anaknya yang soleh.
  3. Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain.
Sumber: http://busuk.org/

Tuesday, December 11, 2012

PEMANGKASAN PELEPAH SAWIT

Tujuan
  • Untuk mengekalkan kanopi yang sihat sepenuhnya dengan membuang pelepah lebihan. (tua, mati, rosak dan berpenyakit)
  • Untuk mengekalkan luas daun yang optimum dan memaksimakan pengekalan nutrient dan air kedalam bahan kering vegetatif dan penghasilan buah. 
Kekerapan
  • Semasa menuai dan setahun sekali.
Peralatan
 
Pokok kelapa sawit muda (tinggi pokok kurang 4 meter)
  • Pahat (4 – 5 inci lebar) disambung pada batang paip besi.
  • Batu pengasah.
Pokok tinggi melebihi 4 meter
  • Sabit penuai.
  • Batu pengasah.
Kaedah Kerja
  • Sebelum tuaian yang pertama hendaklah dilakukan ‘basal pruning’ dan diikuti amalan curi buah selama 12 bulan.
  • Bilangan pelepah yang mencukupi perlu dikekalkan untuk menyediakan luas indek daun (LAI) yang mencukupi sepanjang hayat pokok kelapa sawit tersebut. Pemangkasan berlebihan dan kurang pemangkasan hedaklah dielakkan.

  • Pangkal pelepah hendaklah dipotong rapat bagi mengelakkan biji lerai terlekat.
  • Pokok mandul adalah tidak produktif, tetapi perlu dicantas juga untuk menjaga dan mengekalkan kebersihan lading sehinggalah ia diracun dan dibuang.
  • Penyusunan pelepah dikawasan rata perlu dibuat dengan kemas dilorong pelepah yang disediakan selang sebaris dengan lorong tuai.
  • Bagi kawasan bukit atau tanpa teres, susunan pelepah hendaklah dibuat melintang atau mengikut kontor teres.
  • Jangan biarkan laluan air tersekat dengan pelepah dan jangan bakar pelepah yang dipotong.
Keselamatan
  • Pekerja mencantas mestilah menjarakkan diri dari pokok dan memotong pada lingkaran pelepah bagi mengelakkan kecederaan dari pelepah yang jatuh.
  • Alihkan pangkal pelepah dan letakkan kawasan yang berduri kedalam ditengah lorong pelepah bagi meminimakan kecederaan kaki dan tapak kaki.
  • Bulatan yang bersih dan bebas dari rumpai akan menyediakan laluan yang selamat bagi pekerja mencantas pelepah.
  • Pahat, sabit, parang adalah alat yang tajam dan perlu digunakan dengan berhati-hati.
  • Kegagalan mengikut prosedur keselamatan boleh mengakibatkan kecederaan.

Penjagaan dan Penyelenggaraan Pokok Kelapa Sawit

Mencantas

Apabila pokok di ladang berumur 18 bulan, mana-mana pelepah yang terlalu rendah hendaklah dicantas untuk menyenangkan kerja merumput. Bagi pelepah-pelepah yang meyokong tandan-tandan buah jangan sekali - kali dicantas sehingga tiba masa memungut buah. Bagi pelepah yang dicantas perlu disusun diantara barisan agar tidak menjadi penghalang kepada laluan.

Mengawal Rumput

Merumput di sekeliling perdu pokok dengan cangkul atau tajak 1 - 2 bulan sekali semasa pokok belum besar adalah disyorkan. Semasa merumput pelepah-pelepah daun jangan dirosakkan. Rumput -rumput di antara barisan boleh dikurangkan atau dimusnahkan dengan menanam kekacang penutup bumi atau menjalankan 'selective weeding' dengan menggunakan racun rumpai yang sesuai . Rumpai 'naxious'perlu dibuang 3 bulan sekali .

Membaja

Pembajaan dibuat selepas kerja memungut selesai dilakukan.

Mengawal Musuh Dan Penyakit

Terdapat banyak musuh dan penyakit menyerang kelapa sawit tetapi kerosakan tidaklah begitu teruk. Kerosakan hendaklah dikesan lebih awal lg supaya tindakan mengawasinya dapat diambil dengan segera.

Memungut Hasil

Bila berumur antara 36-50 bulan, kelapa sawit telah mengeluarkan hasil pertama . 51/2 - 61/2 bulan dari masa pendebungaan,maka buah kelapa sawit telah cukup masak. Apabila didapati 40-60 biji buah kelapa sawit dari satu mayang yang dianggarkan beratnya 9 - 14 kg ( 20 - 30 paun ) atau 2 biji /1b berat buat gugur ke tanah, maka mayang-mayang ini telah sesuai dipotong. Ini adalah panduan yang senang digunakan dan yang diamalkan di ladang-ladang kelapa sawit. Kelewatan atau terlalu awal memungut hasil boleh menyebabkan pengurangan kandungan minyak dan juga menurun mutu minyak.
Pusingan mengutip hasil bagi peringkat permulaan ialah tiap-tiap 10 atau 15 hari sekali tetapi apabila hasil mencapai paras ekonomik,maka pusingan mengutip hasil ialah tiap-tiap 5 hari.

Sumber: http://restunurimanagro.blogspot.com/

Monday, December 10, 2012

Baja cacing tanah mampu atasi baja kimia

Satu kajian yang dijalankan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) baru-baru ini mendapati baja yang dihasilkan secara semula jadi oleh cacing tanah adalah jauh lebih berkualiti berbanding baja kimia yang sering digunakan golongan petani ketika ini.

Ia kerana baja yang dihasilkan oleh cacing tersebut dikenal pasti mempunyai campuran nutrien lengkap dengan campuran organisma yang lebih baik serta zat makanan dan mineral yang mampu menyuburkan tumbuhan untuk satu tempoh jangka masa yang panjang.

Malah, baja yang terhasil daripada cacing tanah itu juga terbukti bersifat mesra alam kerana mampu memperbaiki kualiti tanah pada tahap yang memuaskan selain berupaya meningkatkan kestabilan dan pengudaraan pada tanah sekali gus mengurangkan hakisan.

Sekretariat ECER dalam kenyataannya baru-baru ini menyebut kajian itu juga mendapati, selain lebih berkualiti dan bermanfaat, kos baja cacing tanah juga jauh lebih murah berbanding baja kimia yang didapati dipasaran ketika ini.

‘‘Bahan campuran kompos dan bahan buangan cacing adalah lima kali lebih kaya daripada jumlah sedia ada dalam nitrogen, tujuh kali lebih kaya daripada jumlah sedia ada dalam phosphates dan 11 kali lebih kaya berbanding jumlah sedia ada dalam photash yang boleh didapati pada enam inci pertama permukaan tanah,” katanya.

Kata kenyataan itu, kajian itu juga merumuskan bahawa cacing tanah sebenarnya merupakan penyelesaian secara natural terhadap sisa makanan dan makhluk tersebut mampu bertindak seperti sebuah mesin penghadaman yang amat cekap.

Ia kerana cacing berkenaan mampu menghadam makanan separuh daripada berat badannya sendiri pada setiap hari dan menukar makanan yang telah dihadam menjadi bahan organik sekali gus meninggalkan bahan buangan iaitu zat makanan lengkap.

Sumber : Utusan Malaysia Online

TEKNIK PENGAJARAN KONTEKSTUAL

Pengajaran secara kontekstual ialah pengajaran yang menggabungkan isi kandungan dengan pengalaman harian individu, masyarakat dan alam pekerjaan. Kaedah ini menyediakan pembelajaran secara konkrit yang melibatkan aktiviti hands-on dan minds-on. Ia merupakan alternatif bagi para pendidik untuk menarik minat para pelajar dalam pembelajaran matematik terutamanya daripada golongan yang berprestasi sederhana. Pendekatan pengajaran kontekstual juga meliputi bidang ilmu sains, teknologi maklumat, teknikal dan vokasional. Matlamat utama pengajaran secara kontekstual adalah untuk menghasilkan para pelajar yang cemerlang dan berkualiti sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan kelak. Pelajar akan melalui satu atau lebih daripada kaedah-kaedah pembelajaran berikut dalam pengajaran kontekstual iaitu Relating (Menghubungkait), Experiencing (Mengalami), Applying (Mengaplikasi), Cooperating (Bekerjasama) dan Transfering (Memindahkan).

Manakala strategi pengajarannya pula melibatkan empat segmen iaitu motivasi, pemahaman, aplikasi dan imbasan kembali dan kemajuan. Pengajaran konteksual ini mampu memberi kebaikan kepada semua pihak iaitu pendidik, pelajar dan juga industri. Selain itu, pengajaran secara kontekstual juga dapat memotivasikan pelajar untuk membuat perkaitan antara pengetahuan dengan aplikasinya dalam kehidupan harian mereka sebagai ahli keluarga, warga masyarakat dan pekerja. Pembelajaran kontekstual yang berjaya memerlukan komunikasi berterusan di pelajar, pendidik, ibu bapa dan masyarakat. Sokongan daripada organisasi masyarakat diperlukan untuk menjayakan strategi pengajaran kontekstual selain daripada maklum balas yang diperolehi daripada pelajar sebagai satu komponen yang penting untuk mengukur keberkesanan program pembelajaran kontekstual.

STRATEGI PENGAJARAN KONTEKSTUAL

Proses pengajaran dan pembelajaran merupakan sesuatu proses yang sangat dititikberatkan dalam pendidikan. Para pendidik boleh memilih pendekatan dan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang pelbagai dan sesuai dengan kebolehan murid. Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran bergantung pada pengolahan teknik dan penggunaan bahan bantu belajar serta teknologi yang dapat merangsang dan menggalakkan murid berfikir secara kritis dan kreatif, inovatif, berkomunikasi, dan berinteraksi. Dalam pendekatan kontekstual, pengajaran dan pembelajaran mesti memenuhi keperluan strategi berikut:

a.     Motivasi – Ia bertujuan untuk menarik minat dan mencetuskan idea asas terhadap sesuatu tajuk yang akan dibincangkan merangkumi pengenalan, isu perbincangan dan penggunaan alat bantu mengajar yang berkesan.
b.    Pemahaman – Ia merangkumi kemahiran murid dan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengannya. Kaedah penyampaian maklumat harus dipelbagaikan untuk dapat menarik minat murid terhadap sesuatu konsep itu. Murid diberi kebebasan mengutarakan perkara-perkara yang berkaitan. Antara contoh pemahaman adalah melalui penerangan konsep dan perbincangan, pembacaan dan melakukan contoh kajian.
c.     Aplikasi – Kemahiran yang diperolehi pelajar dapat diolah dan diubahsuaikan mengikut situasi dimana mereka dapat mengaitkan pengetahuan yang diperolehi untuk menyelesaikan masalah harian. Pendidik boleh mengaitkan isi kandungan pelajaran dengan bidang kerjaya yang berkaitan. Kebolehan murid mengaplikasikan pengetahuan sedia ada mereka dengan situasi sebenar dalam kerjaya yang akan mereka ceburi merupakan aset utama yang mereka perolehi hasil dari pembelajaran secara kontekstual. Ia melibatkan aktiviti hands on dan penyelesaian masalah.
d.    Imbasan kembali dan kemajuan – Ia meliputi dua aspek dalam segmen ini. Apabila seseorang pendidik mengupas sesuatu tajuk, pelajar akan diingatkan semula mengenai fakta penting. Di sini perbincangan dapat diarahkan untuk memperkayakan lagi pengetahuan murid. Selepas itu, penilaian kemajuan pelajar perlu dijalankan secara bertulis, lisan dan pemerhatian. Contoh-contoh aktiviti adalah seperti kuiz berkumpulan, perbincangan antara kumpulan dan penyediaan portfolio. Perubahan sikap dan perlakuan yang dapat dilihat juga boleh digunakan sebagai petunjuk bahawa murid telah menghayati isi pelajaran.

FAEDAH PENGAJARAN KONTEKSTUAL

Terdapat beberapa faedah bagi pengajaran secara kontekstual ini iaitu kepada para pendidik, pelajara dan juga pihak industri. Antara kebaikan kepada pendidik adalah dapat menjadikan pengajaran sebagai satu pengalaman yang berjaya, mengaitkan prinsip-prinsip mata pelajaran dengan dunia pekerjaan dan menjadi penghubung antara pihak akademik dan industri.

Selain itu, setelah mengalami pengajaran kontekstual ini, pelajar-pelajar dapat mengaitkan kandungan pelajaran dengan kehidupan harian dan pekerjaan mereka. Pelajar juga boleh memindahkan kemahiran yang diperolehi kepada situasi sebenar. Faedah lain kepada pelajar ialah mereka boleh menguasai perkara abstrak melalui pengalaman konkrit dan dapat belajar secara kerjasama antara rakan-rakan. Aktiviti berkumpulan seperti ini memberi peluang kepada kumpulan lemah atau sederhana berinteraksi dengan pelajar yang cemerlang melalui konsep peer teaching.

Pihak industri juga mempunyai kesan sewajarnya jika pengajaran kontekstual ini dilaksanakan semasa proses pembelajaran kerana mereka akan menerima tenaga kerja yang berpotensi untuk dilatih atau dilatih semula secara berkesan mengikut keperluan selain mampu menggerakkan industri ke dalam pendidikan sebagai rakan kongsi

Perbandingan Kaedah Objektivisme Dengan Konstruktivisme dalam P&P di dalam Kelas

Paradigma pendidikan masa kini adalah kebanyakannya merupakan paradigma objektivisme. Paradigma ini gagal menyelesaikan banyak masalah dalam pendidikan. Perbezaan antara objektivisme dengan konstruktivisme adalah sangat nyata. Objektivisme berdasarkan tanggapan bahawa wujud pengetahuan di luar persepsi manusia. Menurut pandangan ini, fungsi sains ialah untuk memastikan pengetahuan disampaikan secara objektif. Proses pembelajaran dalam paradigma ini hanyalah untuk menyalarkan pengetahuan dari pendidik kepada murid. Pengetahuan sains dari perspektif konsruktivisme adalah penjelasan paling sesuai untuk menghuraikan fenomena yang diperhatikan.

Ahli objektivisme berpendapat bahawa kata pemutus tentang apa yang perlu diajar dan siapa yang patut mengajar adalah dibuat oleh `pakar' yang semestinya mengetahui segala-galanya. Ini menyebabkan ramai murid tidak dapat melihat keperluan belajar sebagaimana yang dilihat oleh pihak `pakar'. Model autoritarian ini menjadikan guru sebagai sumber pengetahuan dan menjadikan guru sangat penting dalam bilik darjah. Murid dan juga orang awam beranggapan guru mempunyai segala jawapan bagi semua masalah. Sistem ini gagal melahirkan murid yang produktif dan berpengetahuan luas.

Dari pandangan ahli konstruktivisme, setiap orang murid mempunyai peranan dalam menentukan apa yang akan mereka pelajari. penekanan diberi kepada menyediakan murdi dengan peluang untuk membentuk kemahiran dan pengetahan di mana mereka menghubungkaitkan pengalaman lampau mereka dengan kegunaan masa depen. murid bukan hanya dibekalkan dengan fakta-fakta sahaja, sebaliknya penekanan diberi kepada proses berfikir dan kemahiran berkomunikasi. Selepas satu sesi perbincangan murid bersama-sama menetnukan perkara penting yang harus dipelajari dan tujuan mempelajarinya. Dalam proses ini murid akan mengalami prosedur yang digunakan oleh seorang saiantis seperti menyelesaikan masalah dan memeriksa hasil yang diperolehi

Melalui penggunaan paradigma konstruktivisme, guru perlu mengubah peranannya dalam bilik sains. Guru mungkin akan berperanan sebagai pelajar atau penyelidik. Dengan cara ini, guru akan lebih memahami bagaimana murid membina konsep atau pengetahuan. Justeru itu guru akan memperolehi kemahiran untuk membina dan mengubahsuai kefahaman serta berkomunikasi dengan orang lain. Guru akan memahami bahawa proses pembinaan dan pengubahsuaian konsep merupakan satu proses berterusan dalam kehidupan.

Dalam paradigma konstruktivisme, murid menganggap peranan guru sebagai salah satu sumber pengetahuan dan bukan sebagai seorang yang tahu segla-galanya. Mereka menganggap pengetahuan sebagai sesuatu yang boleh disesuaikan dan boleh berubah. Mereka juga sedar bahawa mereka bertanggungjawab terhadap diri sendiri untuk menggunakan pelbagai cara bagi memproses makluamt dan menyelesaikan masalah. Dalam erti kata lain, guru adalah berperanan sebagai seorang fasilitator dan pembimbing. Hubungan guru dengan murid boleh diumpamakan sebagai hubungan di antara bidan dengan ibu yang melahirkan anak. Guru bertanggung jawab membimbing dan membantu murid mempelajari sesuatu pelajaran dengan bermakna. Guru tidak boleh belajar untuk murid. Murid yang membina fahaman sendiri.

Kebanyakan teknik penilaian sekarang adalah berdasarkan paradigma objektivisme. Dalam pengujian yang dijalankan, murid akan diuji sama ada dia dapat memberikan jawapan yang dikehendaki oleh penggubal soalan. Mereka juga dianggap mempunyai tafsiran yang sama dengan penggubal soalan tentang apa yang dikehendaki dalam soalan. Oleh yang demikan, soalan-soalan ujian tidak sebenarnya menguji kefahaman dan pengetahuan murid, tetapi hanya menguji kemahiran murid untuk membekalkan jawapan yang dikehendaki oleh penggubal soalan sahaja.

Menurut teori konstruktivisme, penilaian harus merangkumi cara menyelesaikan masalah dengan munasabah dan pengetahuan. Antara teknik-teknik penilaian yang sedemikian ialah peta konsep, rajah Venn, portfolio, ujian prestasi dan ujian berpasukan.

Pandangan ahli konstruktivisme terhadap disiplin di dalam kelas adalah berbeza dengan ahli objektivisme. Ahli konstruktivisme menganggap peranan guru adalah sebagai pengurus kelas dan boleh menangani hal-hal disiplin murid dengan sempurna. murid diterima sebagi individu yang mempunyai ciri-ciri perlakuan yang berbeza di mana setiap individu itu diangap penting dalam proses pembelajaran dan perlu diberi perhatian yang wajar. Mereka diberikan peluang untuk membuat keputusan sendiri tentang perkara-perkara yang akan mereka pelajari. Melalui proses ini, mereka akan lebih prihatin, bertanggungjawab dan melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran mereka.

Sebaliknya ahli objektivisme berpendapat bahawa guru harus berperanan sebagai pengawal disiplin kelas. Murid tidak ada pilihan kecuali menurut peraturan dan undang-undang yang ditetapkan. Mereka yang ingkar akan didenda.

Pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan konstruktivisme memberi peluang kepada guru untuk memilih kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dan menentukan sendiri masa yang diperlukan untuk memperolehi sesuatu konsep atau pengetahuan. Di samping itu, guru dapat membuat penilaian kendiri dan menilai kefahaman orang lain supaya kefahamannya tentang sesuatu bidang pengetahuan dapat ditingkatkan lagi.

Agama: Empat perkara halang mukmin laksana ibadat

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli Cetak Emel Kawan

KEIKHLASAN hati dan jiwa ketika melakukan apa juga ibadat kepada Allah SWT adalah kemuncak kepada kemurnian nurani seseorang menghambakan diri kepada Allah.

Sifat ikhlas sajalah yang mampu menghalang dan mencegah diri seseorang mukmin daripada beberapa perkara yang boleh menghalang dirinya untuk beristiqamah melakukan ibadat kepada-Nya.

Dalam hal ini, Imam Ghazali menggaris empat perkara besar yang selalu menjadi penghalang kepada seseorang mukmin untuk melakukan ibadat kepada Allah SWT iaitu dunia, makhluk, nafsu dan syaitan.

Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu semua, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi). Sebenarnya dia hanyalah mengajak manusia supaya menjadi penghuni neraka. Surah al-Fathir, Ayat 6
Jika diteliti maksud dunia ia merujuk kepada semua perkara yang akan ditinggalkan apabila manusia mati seperti wang ringgit, harta, pakaian, makanan dan minuman.

Perlu diingat, skop pengertian itu boleh berubah apabila seseorang itu menganggap keperluan duniawi itu tidak lebih sebagai alat dan perantara untuk membolehkan dirinya mengurus dan membelanjakannya ke jalan yang diredai Allah SWT.

Keduanya, ialah gangguan dan halangan daripada makhluk. Apa yang dimaksudkan dengan makhluk di sini ialah apa saja yang dikurniakan Allah kepada kita termasuk anak, binatang ternakan dan harta benda yang boleh melalaikan manusia daripada mengingati Allah.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Anfal ayat 28 yang bermaksud: “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak pinak kamu itu adalah ujian kepada kamu.”
Ketiganya, ialah keinginan atau lebih dikenali sebagai nafsu yang sentiasa cuba menguasai diri. Nafsu adalah penghalang utama dalam diri manusia mengerjakan ibadat. Apa yang berlaku sebaliknya adalah lebih ramai daripada kita yang gemar tunduk dan tewas kepada kehendak nafsu sendiri dengan menyingkirkan niat dan azam untuk melakukan kebaikan.

Kejahatan dan kemungkaran yang timbul dari nafsu inilah sukar untuk dikekang jika kita tidak bersungguh melawannya.

Keempat, adalah desakan dan bisikan iblis dan syaitan durjana yang sentiasa menggoda serta menipu daya manusia ke jalan yang sesat sehinggalah hari Kiamat. Perlu diingat iblis dan syaitan boleh merubah bentuk asal mereka untuk menyerupai seorang manusia yang cantik, berpangkat atau warak dan soleh.

Tujuannya adalah tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk membawa manusia ke jalan yang sesat mengikut keadaan serta situasi kehidupan seseorang hamba Allah yang akan menjadi mangsanya.

Kalau manusia itu berada dalam kejahilan yang berterusan maka tugas iblis dan syaitan akan terus melalaikan manusia itu agar terus menjadi sahabat baiknya dengan melupakan mengerjakan amalan fardu seperti solat.

Dalam hal gangguan ketika solat ini, ramai dalam kalangan kita tidak menyedari peranan besar dimainkan iblis dan syaitan untuk menjadikan manusia alpa atau lalai dan dengan sebab itu ibadat solat kita ditolak Allah SWT.

Rasulullah SAW mengajar manusia untuk berdoa supaya dilindungi daripada iblis dan syaitan. Doa berkenaan bermaksud: “Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan dan aku berlindung dengan Allah dari kehadiran syaitan itu kepadaku.”

Allah SWT berfirman dalam surah al-Fatir ayat enam yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu semua, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi). Sebenarnya dia hanyalah mengajak manusia supaya menjadi penghuni neraka.”

Justeru, apabila kita dengan kekuatan dan iltizam serta istiqamah dalam diri berjaya menyingkirkan empat halangan itu, maka insya-Allah kita tidak akan mudah pula untuk mudah merasa hampa dan kecewa bila ditimpa musibah oleh Allah.
Sumber: http://www.bharian.com.my/