Peta minda telah diperkenalkan oleh Tony Buzan pada tahun 1960an sebagai kaedah yang boleh membantu pelajar, mencatat nota dengan ringkas dan berkesan. Menurut Subadrah (2001), penggunaan peta minda semakin penting sebagai satu kemahiran mengorganisasi maklumat dan menghuraikan konsep atau objektif secara teratur. Shahabudin Hashim, Mahani Razali dan Ramlah Jantan (2007) menyatakan, peta minda membolehkan kita merangka, mencatat nota, merekodkan maklumat atau peristiwa, merancang aktiviti atau membuat sesuatu persembahan. Peta minda yang dibentuk biasanya pelbagai dan bergantung kepada kreativiti seseorang.
Peta minda merupakan kaedah yang berkesan untuk mendapatkan semua maklumat daripada ingatan untuk ditukarkan menjadi bentuk yang boleh dilihat. Menurut Poh Swee Hiang (2006), peta minda dibentuk berdasarkan bagaimana otak manusia merakam dan memproses maklumat secara linear dan dalam masa yang sama membuat pengelolaan yang menyeluruh seperti menghubungkait, membanding, menganlisa dan sebagainya. Peta minda adalah kebiasaannya dibina di atas sehelai kertas. Idea penting atau idea utama diletakkan di tengah-tengah pusat utama dan idea lain yang berkaitan dikembangkan di luar idea utama dengan menggunakan pusat kecil, garisan, bongkah geometri, imej, underlining, anak panah, warna dan sebagainya. Peta minda juga boleh menjimatkan masa dalam mempelajari sesuatu mata pelajaran. Dalam proses pembelajaran, seseorang murid itu perlulah menyusun strategi agar segala isi pelajaran dapat diproses oleh otak dengan lebih mudah. Menurut Dilip Mukerjea (1996), melalui peta minda seseorang itu dapat .... learn more, remember more, use less paper, invest less effort ... yang membawa maksud penggunaan peta minda dapat memperolehi ilmu pengetahuan yang lebih banyak, mempertingkatkan daya ingatan tanpa merugikan terlalu banyak kertas serta tenaga.
Semasa membina peta minda, maklumat penting yang disusun dan dikelolakan dengan cara keseluruhan. Susunan sedemikian dapat menghasilkan struktur pola yang kreatif selaras dengan cara otak seseorang memproses maklumat. Penggunaan peta minda lebih mudah untuk dirakamkan dalam ingatan jangka panjang. Poh Swee Hiang (2006) berpendapat, peta minda membantu anda mencatat nota dengan pantas dan mengelakkan pengulangan perkataan. Nota tersebut wujud sebagai satu gambaram mental yang lengkap, bermakna dan senang diingati.
Keberkesanan peta minda ini telah diakui oleh pelajar cemerlang SPM 2006, Nadia Rohani Malik Panter-Brick, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Nurul Ittifaq, Besut, Terengganu. Beliau mendapat pangkat 1A dalam kesemua 14 mata pelajaran yang diambil dalam peperiksaan tersebut. Pejabat Pendidikan Daerah Besut (23 Mac 2007) melaporkan, Nadia yang bercita-cita menjadi seorang doktor pakar menggunakan kaedah peta minda Tony Buzan bagi memudahkannya mengulangkaji dan menghafal pelajaran.
Sasterawan terkenal tanahair, A. Samad Said telah mengadakan pameran “Daerah Samad – 100 lakaran oleh A. Samad Said” di Galeri Petronas, Suria KLCC. Menurut Johanna A. Sobrey (25 Jun 2007), manuskrip-manuskrip itu hasil tulisan tangan Pak Samad sendiri berperanan sebagai peta minda yang mengungkapkan secara intim, telus dan langsung sejarah pembentukkan karya-karya sasteranya dari mula sampai tamat. Selanjutnya dijelaskan, disebalik tompokan dan garisan-garisan halus mahupun cakaran liar, turut tersisip kata-kata puitis dan mesej mendalam yang meneropong kehidupan, keadaan serta perkara yang berlaku di persekitaran dan pelbagai perkara yang bermain di minda Pak Samad. Ini menunjukkan kelebihan penggunaan peta minda dalam membuat catatan idea sebelum dikembangkan dalam bentuk penulisan naratif.
Sumber: http://ccsgkasai.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment