Monday, December 10, 2012

Agama: Empat perkara halang mukmin laksana ibadat

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli Cetak Emel Kawan

KEIKHLASAN hati dan jiwa ketika melakukan apa juga ibadat kepada Allah SWT adalah kemuncak kepada kemurnian nurani seseorang menghambakan diri kepada Allah.

Sifat ikhlas sajalah yang mampu menghalang dan mencegah diri seseorang mukmin daripada beberapa perkara yang boleh menghalang dirinya untuk beristiqamah melakukan ibadat kepada-Nya.

Dalam hal ini, Imam Ghazali menggaris empat perkara besar yang selalu menjadi penghalang kepada seseorang mukmin untuk melakukan ibadat kepada Allah SWT iaitu dunia, makhluk, nafsu dan syaitan.

Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu semua, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi). Sebenarnya dia hanyalah mengajak manusia supaya menjadi penghuni neraka. Surah al-Fathir, Ayat 6
Jika diteliti maksud dunia ia merujuk kepada semua perkara yang akan ditinggalkan apabila manusia mati seperti wang ringgit, harta, pakaian, makanan dan minuman.

Perlu diingat, skop pengertian itu boleh berubah apabila seseorang itu menganggap keperluan duniawi itu tidak lebih sebagai alat dan perantara untuk membolehkan dirinya mengurus dan membelanjakannya ke jalan yang diredai Allah SWT.

Keduanya, ialah gangguan dan halangan daripada makhluk. Apa yang dimaksudkan dengan makhluk di sini ialah apa saja yang dikurniakan Allah kepada kita termasuk anak, binatang ternakan dan harta benda yang boleh melalaikan manusia daripada mengingati Allah.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Anfal ayat 28 yang bermaksud: “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak pinak kamu itu adalah ujian kepada kamu.”
Ketiganya, ialah keinginan atau lebih dikenali sebagai nafsu yang sentiasa cuba menguasai diri. Nafsu adalah penghalang utama dalam diri manusia mengerjakan ibadat. Apa yang berlaku sebaliknya adalah lebih ramai daripada kita yang gemar tunduk dan tewas kepada kehendak nafsu sendiri dengan menyingkirkan niat dan azam untuk melakukan kebaikan.

Kejahatan dan kemungkaran yang timbul dari nafsu inilah sukar untuk dikekang jika kita tidak bersungguh melawannya.

Keempat, adalah desakan dan bisikan iblis dan syaitan durjana yang sentiasa menggoda serta menipu daya manusia ke jalan yang sesat sehinggalah hari Kiamat. Perlu diingat iblis dan syaitan boleh merubah bentuk asal mereka untuk menyerupai seorang manusia yang cantik, berpangkat atau warak dan soleh.

Tujuannya adalah tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk membawa manusia ke jalan yang sesat mengikut keadaan serta situasi kehidupan seseorang hamba Allah yang akan menjadi mangsanya.

Kalau manusia itu berada dalam kejahilan yang berterusan maka tugas iblis dan syaitan akan terus melalaikan manusia itu agar terus menjadi sahabat baiknya dengan melupakan mengerjakan amalan fardu seperti solat.

Dalam hal gangguan ketika solat ini, ramai dalam kalangan kita tidak menyedari peranan besar dimainkan iblis dan syaitan untuk menjadikan manusia alpa atau lalai dan dengan sebab itu ibadat solat kita ditolak Allah SWT.

Rasulullah SAW mengajar manusia untuk berdoa supaya dilindungi daripada iblis dan syaitan. Doa berkenaan bermaksud: “Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan dan aku berlindung dengan Allah dari kehadiran syaitan itu kepadaku.”

Allah SWT berfirman dalam surah al-Fatir ayat enam yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu semua, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi). Sebenarnya dia hanyalah mengajak manusia supaya menjadi penghuni neraka.”

Justeru, apabila kita dengan kekuatan dan iltizam serta istiqamah dalam diri berjaya menyingkirkan empat halangan itu, maka insya-Allah kita tidak akan mudah pula untuk mudah merasa hampa dan kecewa bila ditimpa musibah oleh Allah.
Sumber: http://www.bharian.com.my/

No comments:

Post a Comment