Showing posts with label Keluarga Bahagia. Show all posts
Showing posts with label Keluarga Bahagia. Show all posts

Wednesday, April 10, 2013

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
 
“Hai nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah halalkan bagimu, kamu mencari kesenangan hati isteri-isterimu? dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya Allah telah mewajibkan kepadamu sekalian membebaskan diri dari sumpahmu dan Allah adalah Pelindungmu dan dia Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana. Dan ingatlah ketika nabi membicarakan secara rahasia kepada salah seorang isterinya (Hafsah) suatu peristiwa. Maka tatkala (Hafsah) menceritakan peristiwa itu (kepada Aisyah) dan Allah memberitahukan hal itu (pembicaraan Hafsah dan Aisyah) kepada Muhammad lalu Muhammad memberitahukan sebagian (yang diberitakan Allah kepadanya) dan menyembunyikan sebagian yang lain (kepada Hafsah). Maka tatkala (Muhammad) memberitahukan pembicaraan (antara Hafsah dan Aisyah) lalu (Hafsah) bertanya: Siapakah yang telah memberitahukan hal ini kepadamu? Nabi menjawab: Telah diberitahukan kepadaku oleh Allah yang Maha mengetahui lagi Maha Mengenal. Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah, maka sesungguhnya hati kamu berdua telah condong (untuk menerima kebaikan) dan jika kamu berdua bantu-membantu menyusahkan nabi, maka sesungguhnya Allah adalah Pelindungnya dan (begitu pula) Jibril dan orang-orang mukmin yang baik, dan selain dari itu malaikat-malaikat adalah penolongnya pula. Jika nabi menceraikan kamu, boleh jadi Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri yang lebih baik daripada kamu, yang patuh, yang beriman, yang taat, yang bertaubat, yang mengerjakan ibadat, yang berpuasa, yang janda dan yang perawan.”
 
Al-Maghari berkata: Surah ini termasuk dalam kategori Surah Madaniyyah dan mengandungi 12 ayat. Ia diturunkan selepas Surah al-Hujurat. Hubungan surah ini dengan surah yang sebelumnya:
 
Surah al-Talaq menceritakan tentang pergaulan yang baik dengan para isteri dan memenuhkan hak-hak mereka, manakala dalam surah ini pula menceritakan apa yang terjadi di antara mereka dengan Nabi s.a.w sebagai pengajaran kepada umatnya agar berhati-hati dalam urusan wanita, melayan mereka dengan lemah lembut sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi s.a.w dan memberi nasihat dengan cara yang berkesan.
 
Kedua-dua surah ini dimulakan dengan seruan kepada Nabi s.a.w.
Surah yang terdahulu berkenaan dengan persengketaan para isteri, manakala surah ini pula membincangkan berkenaan dengan persengketaan isteri-isteri Nabi s.a.w. Disebutkan isteri Baginda secara khusus untuk menghormati kedudukan mereka. 
Kesimpulan: Wahai isteri-isteri nabi! Jauhilah olehmu daripada menyakiti Rasulullah s.a.w dan berkomplot untuk menentang dan berbuat buruk terhadap Baginda. Ini kerana perbuatan ini boleh membangkitkan dadanya, sehingga ia akan menceraikan kamu semua dan Allah akan memberikan pengganti untuknya yang lebih baik daripada kamu dalam perkara agama, amalan soleh, ketakwaan dan mengatur urusan rumahtangga. Dia memberikan kepadanya sesetengah daripada isteri-isterinya itu yang masih lagi perawan dan sesetengahnya yang janda.
Tidak ada sesuatu yang lebih berat bagi seorang wanita selain daripada talaq (perceraian), terutama bila isteri penggantinya lebih baik dari sebelumnya.
Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Anas r.a, yang berkata: Umar berkata, isteri-isteri Nabi s.a.w bersepakat untuk mogok terhadap Baginda. Lalu aku berkata: Mudah-mudahan jika Baginda telah menceraikan kamu, Allah akan memberi ganti untuk Baginda isteri yang lebih baik daripada kamu semua. Lalu turunlah ayat ini.
Sebenarnya keindahan merupakan target utama manusia dan fitrah kepada sesiapa pun sukakan indah dan keindahan. Ini menyebabkan mereka begitu terpesona apabila mendapat apa-apa yang indah seperti barangan, kenderaan, harta benda, lebih-lebih lagi suami dan isteri yang ada nilai kecantikan dan ketampanan.
Indah Yang Hakiki
Sebenarnya keindahan bukan semata-mata dilihat dari segi lahiriah dan zahir semata-mata tetapi lebih daripada itu memerlukan keindahan dalaman yang mewakili hati dan akhlak serta budi yang luhur apatah lagi dipasakkan dengan keimanan sejati. Inilah yang hakiki patut didambakan oleh kita semua kerana ia sudah pasti menatijahkan kebahagiaan hidup di dunia seterusnya berlangsungan hingga ke akhirat.
Indah Dalam Berumah Tangga
Sengaja penulis membuat fokus kepada rumah tangga agar realiti kehidupan sebenarnya yang ingin digapai oleh setiap pasangan bagi mendapatkan kebahagiaan dapat diraih.
Syeikh Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya Tarbiyatu al-Aulad menyebut berkenaan dengan perkahwinan contoh dan hubungannya dengan pendidikan. Antara lain katanya: Perkahwinan terdiri dari tiga sudut, iaitu:
  1. Perkahwinan adalah fitrah manusia.
  2. Perkahwinan boleh membawa kebaikan kepada masyarakat.
  3. Perkahwinan merupakan penelitian dan pemilihan.
Ketiga-tiga perkara di atas akan menjelaskan sejauh mana hubungan pendidikan dengan sifat tanggungjawab kelahiran zuriat. Begitu juga hubungan darah keturunan dengan anak serta memelihara keselamatan tubuh dan kelakuannya, perasaan kasih sayang kedua ibu bapa terhadapnya, kerjasama yang erat antara kedua-dua ibu bapanya dalam usaha mendidiknya, membetulkan segala penyelewengan dan membentuknya sebagai insan yang soleh untuk menghadapi kehidupan.
Keutamaan Wanita Solehah
Dinyatakan di sini beberapa nas daripada hadis berkenaan dengan kelebihan dan faedah bagi individu yang berkahwin dan mendapat isteri mahupun suami yang bersifat soleh dan solehah, antaranya:
Daripada Abdullah bin Amr r.a, katanya, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Dunia merupakan keseronokan yang bersifat sementara dan keseronokan yang paling baik di dunia ialah wanita yang solehah.” (Riwayat Muslim)
Daripada Ibn Abbas r.a, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Empat perkara yang jika dikurniakan kepada seorang bererti, ia telah dikurniakan kebajikan di dunia dan akhirat: Hati yang bersyukur, lidah yang berzikir, badan yang sabar menerima cubaan dan isteri yang tidak ingin berbuat derhaka terhadap dirinya sendiri dan terhadap harta suaminya.” (Riwayat at-Tabrani)
Daripada Abu Amamah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Seseorang lelaki itu tidak akan mendapat apa-apa kebaikan selepas takwanya kepada Allah s.w.t lebih daripada isteri yang solehah. Jika disuruh oleh suami, ia taat, jika suaminya melihat kepadanya, ia menyenangkannya, jika bersumpah, nescaya ia dapat membuktikannya dan jika ditinggalkan pergi oleh suaminya, ia menjaga diri dan menjaga hartanya.” (Riwayat Ibn Majah)
Daripada Abu Hatim al-Muzani r.a, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu didatangi oleh seseorang yang kamu berkenan dengan agama dan akhlaknya, maka kahwinkanlah dia. Jika tidak, akan berlaku fitnah dan kerosakan di muka bumi ini.” (Riwayat Tirmidzi)
Sepuluh Wasiat Untuk Puteri Umamah
Umamah telah mewasiatkan kepada puterinya yang akan berkahwin dengan al-Harith bin Amru. Katanya: Wahai puteriku! Ada sepuluh perkara yang inginku berikan pedoman kepadamu dan sebagai panduan untukmu dalam kehidupan berumahtangga:
  1. Jalinkan hubungan dengan suami dengan penuh ketaatan. Perhatikan kesukaannya dan jangan sampai dia melihat sesuatu yang buruk daripadamu atau tercium sesuatu yang tidak enak daripadamu.
  2. Sentiasalah membanggakan suamimu kerana ini akan membuatkannya bertambah kasih padamu.
  3. Benarkanlah segala pendapat dan sikapnya (selagi tidak bertentangan dengan syariat) nescaya, dia akan bersikap lembut terhadapmu.
  4. Uruskan rumah tangga dengan baik dan sempurna.
  5. Sentiasalah memelihara diri, keluarga dan kehormatannya.
  6. Simpanlah segala rahsianya dengan baik. Jangan sesekali kamu membantah suruhannya kerana ini akan melukakan hatinya.
  7. Jagalah waktu makan dan waktu istirehatnya kerana perut yang lapar akan membuatkan darah cepat naik. Tidur yang tidak cukup akan menimbulkan keletihan.
  8. Jika dia sedang bergembira, janganlah kamu menunjukkan kesedihan. Kamu mesti pandai mengikut suasana hatinya.
  9. Hiasilah dirimu selalu agar dia gembira apabila memandangmu.
  10. Jadikanlah dirimu itu sebagai pembantu kepadanya, nescaya dia akan menjadi penolong pula kepadamu.”
Ciri-ciri Suami Soleh
Seorang pakar sakit jiwa mengatakan: “Menghormati isteri termasuk di dalam soal yang amat penting kerana seorang isteri merasa dirinya lemah atau dipandang lemah. Pada umumnya, kaum wanita mengamalkan pelajaran yang buruk hingga melekat pada sifat-sifatnya, seperti suka berdusta, tidak boleh dipercayai, nifaq (lain di mulut, lain di hati) dan sebagainya. Apabila kita tanamkan rasa menghargai diri di dalam jiwanya, kita menghormati keperibadiannya dan kita jaga kehormatannya. Kita dapat memperkuat keperibadiannya dan membuatnya sanggup menghadapi gelombang dahsyat yang mungkin akan dihadapi selama perjalanan hidupnya. Dengan menanamkan kepercayaan kepada diri sendiri dan dengan penghargaan yang kita berikan itu, ia akan dapat mengatasi kelemahan jiwanya sehingga ia tidak mudah diperdaya dan tidak mudah tergelincir ke dalam perbuatan yang rendah dan sia-sia.”
  1. Mentaati Allah dan Rasul dengan mengerjakan segala perintah dan menjauhi segala larangan.
  2. Mendirikan rumah tangga semata-mata kerana Allah dan demi memenuhi tuntutan agama.
  3. Melayani dan menasihati isteri dengan cara yang baik.
  4. Menjaga hati dan perasaan isteri.
  5. Sentiasa bertolak ansur dan selalu membantu isteri.
  6. Tidak menyuruh sesuatu di luar kemampuan isteri.
  7. Kuat kesabaran dan menghindari daripada menyakiti isteri, seperti memukul atau dengan perkara yang memudaratkan, yang tidak dibenarkan syariat.
  8. Tidak mengeji isteri di hadapan orang lain ataupun memuji wanita lain di hadapan isteri.
  9. Menerima kelemahan isteri dengan hati yang terbuka.
  10. Mengelakkan daripada terlalu mengikut kemahuan isteri kerana ia akan menjejaskan imej dan prestasi sebagai ketua keluarga.
  11. Memberi nafkah kepada ahli keluarganya dengan sedaya kemampuan.
  12. Menyediakan keperluan dan tempat tinggal yang selesa.
  13. Bertanggungjawab mendidik akhlak ahli keluarganya.
  14. Sentiasa mengambil berat tentang keselamatan mereka.
  15. Memberikan kasih sayang dan berkorban demi kebahagian bersama.
Seorang lelaki datang menemui al-Hasan bin Ali r.a meminta nasihat dan bertanyakan tentang lelaki yang bagaimanakah yang layak dikahwinkan dengan puterinya.
Ia berkata: “Anak perempuanku dipinang oleh beberapa orang lelaki, dengan siapakah yang sebaiknya aku mengahwinkannya?” al-Hasan menjawab: “Kahwinkanlah dia dengan lelaki yang bertakwa kepada Allah, sebab kalau ia mencintai isterinya ia pasti menghormatinya, tetapi kalau tidak menyukainya ia pasti tidak akan berlaku zalim terhadapnya.”
Ciri-ciri Isteri Solehah
Banyak ciri yang perlu disemai dalam diri seorang isteri yang solehah, antaranya:
  • Segera menyahut dan hadir apabila dipanggil oleh suami. Rasulullah s.a.w bersabda, yang maksudnya: “Jika seorang lelaki mengajak isterinya ke tempat tidur, lalu isteri itu menolak. Kemudian, suami itu bermalam dalam keadaan marah, maka isterinya itu dilaknat oleh para malaikat sehingga waktu pagi.”
  • Tidak membantah perintah suami selagi tidak bertentangan dengan syariat.
  • Tidak bermasam muka terhadap suami.
  • Sentiasa menuturkan kalimah yang baik-baik.
  • Tidak membebankan suami dengan permintaan di luar kemampuan suami.
  • Keluar rumah hanya dengan izin suami.
  • Berhias hanya untuk suami.
  • Menghargai pengorbanan suami.
  • Tidak membenarkan orang yang tidak diizinkan suami masuk ke dalam rumah.
  • Menerima tunjuk ajar daripada suami.
  • Menghormati mertua serta kaum keluarga suami.
  • Sentiasa berada dalam keadaan kemas dan bersih.
  • Menjadi penenang dan penyeri rumah tangga.
Dinyatakan di sini beberapa tips untuk mendidik isteri, antaranya:
  • Allah membekalkan kepada lelaki kekuatan akal, rasional, tidak mudah didorong oleh perasaan. Wanita pula berjiwa sensitif dan mudah tersinggung. Justeru, kekuatan akal jika dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, ditambah kekuatan fizikal, suami boleh menjadi pendidik yang kreatif.
  • Perasaan wanita terlalu mudah terusik dengan suasana dan keadaan sekeliling. Justeru, lelaki hendaklah banyak menggunakan daya fikir dan strategi.
  • Kaum wanita dibekalkan dengan sembilan nafsu dan satu akal berbanding dengan lelaki yang diciptakan dengan hanya satu nafsu dan sembilan akal. Nafsu yang dimaksudkan bukan nafsu seks semata-mata, tetapi nafsu tidak penyabar, mudah prasangka, cemburu, cepat merajuk dan sebagainya. Dari dorongan nafsu itulah, lahirnya pelbagai perasaan pada wanita.
  • Dikatakan juga bahawa sembilan persepuluh daripada diri wanita itu ialah perasaan dan satu persepuluh sahaja pertimbangan akal. Sebab itulah wanita mesti dibimbing lelaki agar tindak tanduknya tidak mengikut perasaan semata-mata.
  • Tahu sedikit sebanyak ilmu psikologi wanita. Ini dapat dimanfaatkan suami dalam mendidik isteri.
Kebijaksanaan perlu disertai dengan kesabaran. Kesabaran tanpa kebijaksanaan membawa kepada suami menurut semahu-mahunya kemahuan isteri. Tanpa kesabaran, boleh hilang pertimbangan akal dan tidak bertindak secara rasional.
Akhirnya, penulis menutup perbincangan ini dengan memohon doa daripada Allah s.w.t, seperti yang diajar dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa.” (al-Furqan: 74)

Friday, December 14, 2012

Usah bercinta dengan isteri atau suami orang

PERKONGSIAN demi perkongsian boleh menyebabkan timbulnya rasa keserasian dan saling memerlukan. - Gambar hiasan
CINTA dan kasih sayang itu anugerah. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sungguh, orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, kelak Allah Yang Maha Pengasih akan menanamkan rasa kasih sayang (wudda) dalam hati mereka. (Maryam, ayat 96).

Apakah maksud cinta? Cinta sebenarnya adalah perasaan yang muncul dalam diri apabila berhadapan dengan satu situasi sahaja iaitu memerlukan.

Lantas, apabila diri memerlukan dan diperlukan, usia, rupa atau pangkat bukan lagi halangan. Sifat cinta adalah bebas tanpa alasan. Paling penting, sama-sama memerlukan seperti firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 14, Allah SWT menyebut tentang cinta iaitu keinginan: "Diperhiaskan (pada pandangan) manusia kecintaan terhadap apa yang diingini."

Haram, harus dan makruh

Bertitik tolak daripada kedua-dua dalil mengenai cinta inilah, setiap individu mendambakan cinta. Hari ini, kisah percintaan antara seorang wanita dengan lelaki berstatus suami orang merupakan cerita biasa, malah kisah cinta antara seorang lelaki dengan wanita berstatus isteri juga bukan luar biasa.

Hakikatnya, syariat telah menentukan haram bagi lelaki mencintai isteri orang dan haram juga bagi wanita yang masih sah menjadi isteri orang, atau masih dalam idah, atau masih menjadi tunangan orang, untuk bercinta atau menaruh perasaan terhadap lelaki lain.

Hukum haram meminang perempuan yang telah menjadi tunangan orang lain berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Janganlah seorang lelaki meminang perempuan yang telah dipinang oleh saudaranya sebelum perempuan itu ditinggalkan oleh tunang sebelumnya." (Hadis Riwayat Bukhari).

Kalaulah mengambil tunangan orang menjadi haram, apatah lagi isteri orang.

Berbeza pula jika wanita yang bukan isteri orang bercinta dengan lelaki suami orang, tidak menjadi haram tetapi ada dua hukum yang berkaitan iaitu harus atau makruh.

Harus jika si lelaki yang anda cintai dan mencintai anda itu kekal melaksanakan tanggungjawab yang wajib dan perlu kepada isterinya dan anak-anak.

Makruh pula jika setelah mengenali dan mencintai anda telah menyebabkan lelaki itu tadi sengaja melalaikan dan mengabaikan tanggungjawabnya yang wajib dan perlu kepada isteri dan anak-anak.

Makruh juga jika anda maklum, si lelaki yang anda cintai dan mencintai anda itu tidak mampu untuk menjadikan anda isterinya yang sah menurut syariat. Ia sama ada si lelaki tidak layak berpoligami ataupun tidak berniatpun untuk menjadikan anda isterinya kerana tidak mahu mengambil tindakan yang boleh menyakiti hati isterinya yang sedia ada.

Faktor pencetus cinta yang salah

Dalam kebanyakan kes, faktor utama pencetus cinta salah dan terlarang ini ialah perkongsian masalah diri. Ada suami orang yang berkongsi kisah dengan kawan wanita. Ada juga isteri orang yang berkongsi kisah dengan kawan lelaki dan tidak kurang juga isteri orang yang berkongsi kisah dengan suami orang.

Mulanya hanya simpati dan berusaha memberikan nasihat dan pandangan tetapi akhirnya simpati bertukar menjadi jatuh hati. Perkongsian demi perkongsian menyebabkan timbulnya rasa keserasian dan saling memerlukan.

Rasa serasi dan jatuh hati akan lebih mudah terjadi jika seseorang itu mampu melihat kelebihan yang ada dalam diri kekasih baharu berbanding pasangan sedia ada.

Ditokok tambah dengan kesilapan dan kekurangan yang ada dalam diri pasangan menjadikan seseorang itu buta hati. Maka, apabila seorang suami orang atau isteri orang itu dilayan lebih baik biarpun hanya secubit rasa, segala-galanya akan dirasai lebih nikmat dan bahagia berbanding bersama pasangan sendiri.

Mereka juga akan rasa lebih selesa dan selamat apabila kehendak yang selama ini tidak dipenuhi oleh isteri sendiri atau suami sendiri, mampu dilaksanakan sebaiknya oleh si kekasih.

Dalam kebanyakan kes, pasangan tidak pernah dimaklumkan mengenai kesilapan diri yang perlu diperbaiki agar mereka kekal dikasihi. Hal ini menyebabkan mereka terus tertanya-tanya dan tersalah memberikan layanan yang sepatutnya.

Keadaan layanan taraf lima bintang daripada si kekasih 'rahsia' ini menjadikan suami orang atau isteri orang merasai nikmat cinta terlarang. Adakalanya mereka sendiri sedar bahawa tindakan mereka menyalahi moral masyarakat dan kehendak syariat.

Di samping tiga faktor pendorong ini, sebab utama ialah kerana tiada niat yang ikhlas ketika mendirikan rumahtangga. Niat yang ikhlas bermaksud bersedia untuk menerima pasangan seadanya, susah senang bersama-sama dan sama-sama mahu memperbaiki diri demi keharmonian rumah tangga.

Niat yang ikhlas ketika berkahwin perlu sebab keikhlasan yang wujud boleh mendorong seseorang menerima kelemahan pasangan dan berusaha untuk memperbaiki kelemahan tersebut bersama-sama dan bukannya dengan melakukan kesilapan yang sama.

Hindari cinta salah

Sebagai langkah pencegahan, perkara paling utama yang perlu dilakukan ialah berterus terang, berbincang dan cuba atasi segala masalah yang ada bersama pasangan.

Rata-rata isteri akan setia kepada suami kecuali apabila merasakan ada orang lain yang lebih memahami atau lebih bersikap melindungi.

Sebaik-baiknya, apabila isteri merasakan ada yang kurang dalam layanan suami, isteri perlu berterus terang dan suami pula perlu bersikap terbuka. Sama juga jika suami berada dalam situasi yang sama. Berbincang dan berterus-teranglah dengan isteri.

Ketepikan ego seketika, isteri anda pasti memahami anda jika diberikan peluang kepadanya. Jika masing-masing sayangkan perkahwinan, ikhtiar dan usahakan jalan penyelesaian.

Paling penting, elakkan berkongsi masalah anda terutama masalah rumah tangga anda dengan rakan berbeza jantina tidak kiralah apa juga status dirinya.

Jangan sangka suami orang lebih memahami atau isteri orang lebih mengerti. Pengertian dan pemahaman yang anda dambakan sukar bersifat profesional jika perkongsian berlaku hari ke hari dicampur rasa simpati yang tinggi.

Tiada istilah teman tapi mesra dalam sebuah rumah tangga jika kemesraan itu mampu mengoyak jiwa dan emosi pasangan anda.

Kita sentiasa diberikan pilihan maka berhati-hatilah dalam memilih agar pilihan yang dibuat tidak menjadikan kita hamba yang derhaka kepada-Nya.

Sumber: http://www.kosmo.com.my/

Wednesday, October 3, 2012

Cara Serikan Wajah & Langsingkan Tubuh Selepas Bersalin




Pun begitu, wanita yang sedang berbadan dua tidak lepas daripada mengalami perubahan terutama pada bentuk badan. Antara lain adalah, tubuh tidak lagi langsing, kulit wajah menjadi kusam serta tidak mulus dan beberapa masalah yang menjadi keluhan wanita sedang hamil. Perubahan hormon antara penyebab kenapa masalah ini sering kali menimpa setiap wanita yang sedang berbadan dua. Bahkan, sedikit sebanyak membuatkan seseorang itu berasa kurang selesa dengan penampilan dan ingin kembali menawan seperti sebelum hamil.
.
Stretch Mark

Stretch mark adalah garis-garis berwarna merah muda yang muncul pada kulit. Lama kelamaan, garis merah ini akan berubah menjadi garis berwarna putih. Stretch mark muncul kerana kulit mengalami peregangan dan elastis kulit tidak memadai menangani peregangan yang terjadi. Akibatnya, kulit seperti pecah dan timbul garis-garis atau guratan tersebut. Sebahagian besar wanita hamil, stretch mark tidak dapat dielakkan. Biasanya muncul saat usia kehamilan 4-5 bulan. Semasa peregangan terjadi, kemunculan stretch mark ini biasanya disertai rasa gatal

Pun begitu, jika seseorang memiliki kulit yang anjal, kemungkinan saat hamil dan setelah kelahiran tidak akan terjadi stretch mark. Biasanya, ini bersifat genetik. Jika ibu anda tidak mengalami stretch mark, mungkin anda juga akan terhindar daripada masalah ini.

Untuk mencegahnya, gunakan krim anti stretch mark yang mengandungi pelembap tinggi sedari awal kehamilan. Hindari juga penambahan berat badan yang keterlaluan sepanjang tempoh kehamilan. Pun begitu, anda harus ingat kemunculan stretch mark juga bergantung pada tingkat kekenyalan kulit seseorang. Stretch mark boleh berlaku biarpun anda sudah melahirkan bayi.

Mask Of Pregnancy

Wanita yang sedang hamil turut mengalami mask of pregnancy, di mana warna kulit wajah tidak sama terutama di bahagian dahi dan pipi serta warna yang lebih gelap pada lipatan-lipatan. Untuk mencegahnya, gunakan krim yang mengandungi 15 SPF. Hindari terdedah atau berada di bawah sinaran matahari dalam tempoh yang lama.

Jerawat dan kelemumur Meningkatnya produksi hormon progesteronsecara tidak langsung akan meningkatkan pengeluaran minyak sehingga menyebabkan kulit wajah dan kepala berminyak. Akibatnya, jerawat dan kelemumur menjadi masalah yang dialami sepanjang anda hamil.

Untuk mencegahnya, cuci muka lebih kerap daripada biasa, tetapi jangan terlalu kerap sehingga menyebabkan kulit kering. Untuk mencegah kelemumur, cuci rambut dengan lebih kerap dari biasa.

Kegemukan

Penambahan berat badan memang sepatutnya terjadi ketika kehamilan kerana janin dalam kandungan semakin hari semakin membesar. Namun, jika selepas melahirkan berat badan anda masih tidak turun, anda harus melakukan diet dan senaman. Pun begitu tidak boleh keterlaluan terutama bagi wanita yang menyusukan anak. Apa yang penting, anda harus mendisiplinkan diri bagi memastikan kalori dalam tubuh seimbang dengan apa yang dikeluarkan.

Diet yang baik adalah jumlah pengambilan makanan, jenis makanan, dan jadual makan. Selain itu, perhatikan jenis makanan terutama bagi anda yang menyusu bayi. Pastikan susu yang dihasilkan mengandungi khasiat yang baik untuk bayi. Justeru, pilih jenis makanan yang
tepat seperti sayur dan buah yang kaya dengan serat, karbohidrat kompleks, protein rendah lemak dan perbanyakan minum air putih.

Sebaik-baiknya, anda mengambil makanan dalam kuantiti yang sedikit tetapi kerap. Melalui kaedah ini, anda tidak perlu terseksa menahan lapar dan juga akan membantu proses pembakaran agar dapat berlangsung dengan maksima. Yang penting anda tidak lupa untuk bersenam. Mulailah dengan senaman ringan seperti joging atau mengayuh basikal di rumah. Setelah tubuh kembali pulih daripada luka bersalin, barulah anda menambah kaedah senaman. Diet cara yang tepat disertai dengan senaman adalah cara yang sihat untuk tubuh dapat kembali langsing.

Sumber: http://www.mingguanwanita.com.my/

Karekter Isteri Dimata Suami


Cabaran sebenar setiap wanita adalah selepas bergelar isteri dan ibu. Namun sayangnya ramai wanitayang lupa perasaan sebenar mereka setelah mendirikan rumahtangga. Setelah berkahwin ramai yang sudah lupa bagaimana untuk memikat hati suamitermasuk dari segi penampilan,budi bahasa,rasa hormat dan banyak lagi..

CIRI-CIRI ISTERI DAMBAAN SUAMI.

Akur pada suami.Sentiasa jujur,ikhlas dan taat pada suami.

Berkelakuan baik terhadap suami.Jangan menyakiti hati suami dengan tingkahlaku,bahasa ataupun tindakan.Sebaliknya menjadi isteri yang 'melegakan; setiap kali suami pulang kerumah.Jangan sampai suami menderita makan hati dalam diam.

Jangan bebankan suami.

Ada isteri terlalu demand,meminta itu dan ini sehingga suami pening kepala untuk memenuhi kehendak dan impian isteri.Jangan sampai suami terpaksa menerima rasuah atau salah guna kuasa semata-mata ingin memenuhi permintaan isteri.

Sentiasa bersolek untuk suami.Ramai isteri tidak suka bersolek dirumah malah ada yg kelihatan selekeh.Ada isteri yang merasakan mereka sudah tua dan tak perlu bersolek hatta mengenakan sedikit gincu untuk kelihatan cantik dimata suami.Sedangkan menjadi lumrah lelaki sukakan kecantikan terutama melihat seorang wanita yang menawan.Walaupun suami tidak pernah bersungut tetapi hakikatnya mereka suka melihat jika isteri bersolek seadanya agar sentiasa kelihatan manis dan menarik.Sbolehnya,ubah imej ikut citarasa suami.

Suka sanggah dan menolak permintaan suami.Jangan biar malaikat melaknat isteri yang menderhaka atau menyanggah cakap suami.

Sentiasa mengingatkan dan berpesan pada suami dalam apa jua perkara.

Perlu ada rasa takut dan hormat pada suami.Ia dapat elak daripada buat perkara tidak baik.

Jangan membelakangkan suami.Mesti minta izin suami terlebih dahulu walaupun tahu suami tidak marah.Ia sebagai cara menghormati suami.Biarpun perkara kecil setiap isteri perlu menjaga hati suami.

Jaga harta suami.Ia adalh amanah dan sesekali menyalahgunakan untuk kepentingan sendiri.

Isteri kena minta maaf segera jika buat salah atau menderhaka pada suami.Jadikan ia amalan biasa dan jangan sesekali lengahkan,buat tidak tahu ataupun tunggu Hari Raya untuk minta maaf.Sesungguhnya isteri sebegini sentiasa dilaknat para malaikat.

Solat bersama suami.Jangan hanya tunggu ada masalah,sebaliknya jadikan ia amalan harian untuk merapatkan hubungan dan mengelakkan menderhaka kepada suami.

Jangan perkecilkan pemberian suami biarpun tidak seberapa.Sebaliknya kena berterimakasih dan hormati dirinya sebagai suami terutama bagi isteri yang berkedudukan dan berkerjaya tinggi.

Perlu bermuka manis dan senyum pada suami.Isteri sedemikian akan dimuliakan diakhirat.

Pandang muka suami bila bercakap.Lihat dan renung dengan penuh kasihsayang.Ia lebih dekat dihati.Bukan bercakap membelakangkan atau sambil buat kerja.

Jangan bawa virus pergaduhan dalam rumahtangga.Jangan biar suami berubah hati dan mencari wanita lain.Awas!punca suami kahwin lain ialah kerana ada benda yang tidak ada pada isteri.

Jangan terlalu kongkong suami.Beri kebebasan dengan batasan yang wajar,jangan terlalu prasangka sampai asyik telefon bertanya suami dimana,sentiasa bertekak,check telefon suami sehingga suami tiada privasi.

Urut badan suami selepas balik kerja.Walaupun penat tetapi satu-satunya cara memikat suami ialah dengan memberi sentuhan pada suami.

Jaga makan minum.Guna ayat-ayat al Quran dan bukanya bomoh untuk menambat hati suami.Ingatlah doa adalah lebih mujarab.Hulurkn segelas air setiap kali suami pulang dari kerja.

ITULAH ANTARA CIRI-CIRI YANG ADA AGAR INGIN SENTIASA DISAYANGI DAN DICINTAI SUAMI.

(Dipetik dari majalah Harmoni m/s 56.oleh Rahaiza Ismail)
Sumber: http://nasihat-ibu.blogspot.com/

8 Cara Menjadi Isteri Dambaan Suami


Sebenarnya menjadi seorang isteri lebih mudah untuk mendapatkan keredhaan dan ganjaran di sisi Allah sekiranya seorang perempuan yang berstatus isteri benar-benar menjalankan tanggungjawab dan peranannya dalam keluarga. Menjadi isteri menuntut waktu kerja 24jam sehari dan 7 hari seminggu. Mana mungkin tugas berat ini diletakkan pada bahu seorang suami. Oleh sebab itu sebagai isteri perlu tahu bagaimana cara untuk menjadi seorang wanita yang menjadi dambaan suami, kerana bidang tugas seorang isteri sebenarnya lebih besar berbanding lelaki walau isteri tidak mendapat kuasa veto dalam keluarga.

Sebagai seorang suami, ciri-ciri di bawah ini akan menjadikan anda wahai isteri-isteri, seorang yang bakal disayangi sepenuhnya oleh suami. Tetapi dengan syarat anda mesti cuba untuk menjadikannya kenyataan.

1. Isteri yang cerdik
Dengan erti kata bukan cerdik dari sudut akademik. Gulungan ijazah bukanlah kejayaan yang perlu anda tonjolkan untuk menjadi isteri dambaan suami. Isteri yang cerdik akan benar-benar mengenali siapakah suaminya, tahu bagaimana mengambil hati suami di waktu sedih, pandai
mengangkat suami di pandangan orang lain, tidak hanya merajuk untuk mendapat perhatian dari suami. Wahai isteri-isteri anda sebenarnya mampu lakukan ini!

2.’Assistant’ dalam pengurusan kewangan keluarga

Jangan menjadi seorang isteri yang hobinya suka shopping. Anda sebenarnya mula memeningkan suami. Lebih-lebih lagi bajet kewangan suami anda adalah di luar kemampuannya. Sebagai seorang isteri andalah yang menjadi pembantu dalam perancangan ekonomi keluarga. Anda mungkin membantu jika anda juga bekerja. Tetapi bagaimana jika anda suri rumah sepenuh masa? Jika anda tidak berkemampuan untuk membantu meningkatkan ekonomi keluarga, biarlah sekurang-kurangnya anda menjadi pengurus yang bijak terhadap bajet bulanan yang diberikan oleh suami anda.

3. Manager dalam segala hal

Suami diberikan kuasa untuk memimpin kerana suami lebih rasional dalam membuat keputusan. Tetapi tidak dapat menguruskan semua perkara tanpa adanya isteri. Maka andalah wahai isteri-isteri yang perlu menjadi ‘manager’. Makan pakai suami, anak-anak, kebersihan rumah, perbelanjaan rumah dan perkara-perkara kecil yang diperlukan dalam kehidupan berkeluarga tidak akan dapat diuruskan tanpa bantuan isteri. Anda perlu mula memahami hakikat ini kerana sekiranya anda mampu menguruskan semuanya dengan cekap dan baik maka sudah pasti apabila suami anda pulang dari bekerja, beliau akan memberikan senyuman yang sempurna kerana menghargai anda.

4. Selalu di belakang suami

Ramai isteri mengharapkan suami berada selalu di samping mereka. Tetapi mereka terlupa bahawa ramai suami lari dari isteri kerana isteri mereka tidak pernah berada di belakang mereka. Seorang isteri perlu menjadi penenang kepada suami, berikan suami kata-kata semangat dan pelukan di saat emosi mereka jatuh. Sekiranya anda mampu berbuat demikian, percayalah bahawa tidak akan ada wanita lain di mata suami anda. Berikan sokongan dan galakan walaupun mungkin ada perbezaan pada minat dan hobi anda berdua.

5. Menjaga perut suami dan anak-anak

Yang ini seharusnya seorang isteri tidak dapat tidak mesti tahu memasak. Bahkan kalau mahukan kasih sayang lebih dari suami kena tahu apa masakan kegemaran suami. Walaupun mungkin masakan anda tidak sehebat masakan chef, tetapi hakikatnya suami tetap mahukan air tangan isterinya dalam menyediakan makanan. Tangan seorang isteri sudah tentu bukan sahaja menyediakan yang terbaik dalam menu untuk keluarganya, tetapi juga sudah pasti isteri yang hebat akan berdoa untuk setiap usaha menyediakan makan minum suaminya.

6. Pandai jaga diri

Isteri perlu pandai jaga diri dan famili. Maklumlah mungkin ada ketikanya suami ‘out station’ kerana berkursus atau atas urusan kerja yang lain. Maka sudah tentu isteri yang pandai jaga diri dan famili akan memberikan kelegaan di hati suami.

7. Perunding imej

Kalau suami anda nampak hensem di pejabat, sebenarnya isterilah yang mendapat pujian. Terutama di pandangan mata orang-orang tua. Sebab itu isteri perlu tahu menjaga imej suami. Bila digelar sebagai perunding imej suami, maka isteri juga perlu lebih-lebih lagi pandai mengurus
imej diri. Jangan hanya nampak cantik ketika berada di luar rumah, sedangkan ketika di rumah baju T-shirt dan kain batik menjadi pakaian utama. Cuba ubah situasi ini jika anda ingin menjadi isteri dambaan suami anda.

8. Menjaga keluarga mertua

Tidak dapat tidak untuk menjadi isteri dambaan suami, jangan hanya menyayangi suami anda akan akan bahagia. Anda perlu menjaga hati semua ahli keluarga sebelah suami anda. Percayalah anda benar-benar menjadi dambaan suami apabila anda mengambil berat tentang sakit demam mertua anda. Anda menjaga mertua anda seperti ibu kandung sendiri. Kerana itu semua akan membuatkan suami anda rasa dihargai dan menerima dirinya dan keluarganya.

Sumber: http://www.fitrahpower.com/

Tuesday, October 2, 2012

Tidak Tahan Tabiat Buruk Suami


SEUMPAMA laut yang ada pasang surutnya, begitu juga hubungan suami isteri, pasti ada berlaku perselisihan faham.

Justeru untuk memastikan agar perhubungan ini sentiasa berjalan dengan aman, pihak suami mahupun isteri perlu saling faham-memahami dan tidak melakukan apa yang tidak disukai oleh pasangannya.

Sebagai contoh misalnya, ada si suami yang pada masa bujangnya suka melakukan suatu tabiat atau amalan yang buruk sehingga terbawa-bawa ke alam rumah tangga, mengakibatkan pasangannya tidak tahan dengan sikapnya.

Kalau setakat sekali dua tidak mengapa, tetapi sekiranya tabiat tidak baik itu dilakukan setiap hari, sudah tentu membuatkan pasangannya tidak senang duduk, berlaku leteran, bebelan dan akhirnya mengundang ke punca perbalahan yang teruk.

Kali ini kita melihat apakah tabiat suami yang tidak disukai oleh isterinya.

Kurang pembersih

Suami meninggalkan bilik mandi dengan pelbagai barangan buangan tanpa dibersihkan. Sebenarnya tidak dapat dibayangkan bagaimana seseorang itu tidak mengendahkan kebersihan di dalam tandas di rumahnya sendiri dengan tidak mengepam tandas selepas menggunakannya. Apatah lagi untuk meringankan tulang membersihkan tandas. Itu jauh panggang dari apilah...

Lama dalam bilik mandi

Ada suami yang merokok, membaca surat khabar dan majalah dalam bilik mandi tanpa mengendahkan perasaan isteri yang juga mahu menggunakan bilik air. Biarpun nampaknya perkara seperti ini bukanlah satu masalah yang besar namun ia tetap membuatkan hati isteri terbuku geram.

Tuala basah atas katil

Ini adalah masalah yang selalu dilakukan oleh suami yang pastinya akan disudahkan oleh isterinya dengan seolah-olah sengaja memberitahu, sebaik sahaja dia bersiap: ''Isteri ku tolonglah sidai tuala yang kugunakan".

Baju kotor merata tempat

Selepas balik kerja, suami dengan sengaja menanggalkan bajunya dan meninggalkan atas di sofa, atas lantai, atas baju yang telah siap dibasuh atau di mana sahaja sesuka hatinya dan mengharapkan isteri yang akan mengutip pakaian kotor itu nanti.

Suami gelojoh

Suami makan cepat-cepat dan tertumpahkan makanan di serata tempat dan dia tiada masa untuk mengelap atau mengemaskannya semula. Jadi sebagai isteri kita yang akan menjadi tukang lap apa sahaja yang tertumpah seolah-olah memberi makan kepada anak kecil.

Tak beri jawapan tepat

Apabila diajukan soalan seperti bila abang akan pulang, jawapan yang diberikan acuh tidak acuh sahaja. Ini pastinya mendatangkan masalah apabila si isteri mula mengesyaki sesuatu dan menimbulkan hubungan tidak percaya dalam rumah tangga.

Stokin busuk merata


Stokin busuknya tidak dikeluarkan dari kasut atau dibaling ke bawah almari menyebabkan bau yang tidak enak dalam rumah. Bila ditanya di mana stokin, jawapannya: ''Tidak tahu. Stokin ada dalam mesin basuh."

Pelupa

Biarpun seberapa banyak salinan kunci telah dilakukan, suami asyik menghilangkan kuncinya dan menghilangkan pula kunci yang dipinjam dari isterinya. Bukan setakat kunci malah barang-barang kecil lain juga suami boleh lupa di mana diletakkannya yang boleh menyebabkan isteri naik angin.

Pengotor

Suami merokok di dalam bilik tertutup dengan abu rokok bersepah-sepah atau 'ditadah' dalam gelas, mangkuk kesayangan isteri atau pinggan kaca yang perlu dibasuh semula.

Membantu 'mengecahkan' dapur

Suami menyatakan ingin membantu di dapur tetapi pasti pada akhirnya akan bertukar menjadi satu mimpi buruk apabila dia hanya 'membantu' memasak dan tidak pernah kata dia akan membantu untuk 'membersihkan' dapur yang disepahkannya.

Sumber: http://utusan.com.my/