Showing posts with label Untukmu Ibu. Show all posts
Showing posts with label Untukmu Ibu. Show all posts

Wednesday, August 15, 2012

Mana Mak?



Jam 6.30 petang.

Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari sekolah agama.
... ...
Ayah baru balik dari sawah.

Ayah tanya Mak, “Along mana?’

Mak jawab, “Ada di dapur tolong siapkan makan.”

Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”

Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”

Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”

Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”

Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”

Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”

Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.

Dua puluh tahun kemudian

Jam 6.30 petang

Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.

Ayah tanya Along, “Mana Mak?”

Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.”

Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”

Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.”

Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”

Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah.

Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?" Ateh menjawab, “Entah.”

Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.

Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”

Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.

Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.

Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak.

Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?"

Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!”

Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik.

Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.

Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nomor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.

Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak?"

Semakin anak-anak Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak . Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.

Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.

Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya.

Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.

Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.

Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham.

Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni."

Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.

Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.

Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.

Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.

Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.

Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam.

Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak.

Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat."

Mak minta Mak Uda telefon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.

Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah, “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.” Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.

Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.

Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.

Beberapa tahun kemudian

Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.

Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”

Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.

Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.

Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu.

Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat.

Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.

Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..

Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.

Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,

"Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana Adik?". Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.

Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak?" "

Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal."

"Ayah, ayah....bangun." Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..

Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"

Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?" masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.

Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak yang kadang-kadang lupa persaan ibu. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa. Kata Rasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama dari ayah. Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telepon panggilan dari ibu tanpa berjawab?
 
Sumber: http://greenboc.blogspot.com/

Monday, October 10, 2011

Kerap hamil jejas tulang


WANITA disaran supaya menjarakkan kehamilan sekurang-kurangnya selama dua tahun

MEMILIKI zuriat yang ramai selalunya mampu memberikan kebahagiaan dalam kehidupan berkeluarga.

Namun, kehamilan yang kerap dan dalam jarak masa yang singkat turut mengundang risiko kepada ibu mengandung.

Seorang pakar perubatan rehabilitasi dari Fakulti Kedoktoran, Universiti Indonesia, Dr. Siti Annissa Nuhonni berkata, bayi di dalam kandungan memerlukan kalsium yang banyak untuk proses pembesarannya.

Kalsium tersebut disumbangkan oleh ibu dan kuantitinya perlu dikongsi bersama. Ia secara tidak langsung menunjukkan bahawa ibu hamil memerlukan kuantiti kalsium yang tinggi berbanding biasa.

Selain itu, setelah proses melahirkan anak, kuantiti kalsium yang banyak masih diperlukan untuk disalurkan kepada bayi melalui susu ibu.

“Ini secara tidak langsung menyebabkan seorang ibu memerlukan jumlah kalsium yang lebih berbanding keadaan biasa,” jelasnya.

Tambah Annissa, jarak kehamilan dan kelahiran yang dekat akan turut menyebabkan ketidakseimbangan kandungan hormon estrogen di dalam tubuh.

Ketidakseimbangan hormon penting wanita tersebut secara tidak langsung akan mengganggu penyerapan kalsium ke dalam tulang.

“Estrogen penting untuk penyerapan kalsium. Jadi, apabila ia terganggu, struktur tulang juga akan terganggu akibat kekurangan kalsium,” ujar Annissa.

Lebih memburukkan keadaan apabila darah kehabisan kandungan kalsium dan ia mula menyerapnya daripada tulang dan gigi pula.

Ini kerana sebanyak 80 peratus kandungan kalsium dalam badan terdapat pada bahagian itu.

MINUM banyak susu dapat menambah bekalan kalsium ibu hamil.

Setelah banyak kalsium diserap keluar, ia akan mengganggu struktur tulang dan gigi. Ia akan mengurangkan kepadatan struktur itu yang akhirnya mengundang penyakit berkaitan tulang.

Dalam pada itu, Pakar Perunding Pemulihan Perubatan WQ Park, Dr. Tunku Nor Taayah Tunku Zubir menjelaskan bahawa kekurangan kalsium di dalam badan boleh menyebabkan masalah kerapuhan tulang.

Berpantang

“Kalsium adalah elemen terpenting dalam pembentukan tulang. Justeru ia diperlukan dalam kuantiti yang mencukupi untuk mengekalkan kekuatan tulang.

“Apabila kurang kalsium, ia akan menyebabkan masalah osteoporosis yang sering menyerang wanita terutamanya yang sudah menopaus,” katanya kepada Jurnal.

Ibu hamil digalakkan minum banyak susu dan mengambil sumber kalsium lain seperti keju, yogurt dan sayur berdaun hijau sebagai cara untuk mengoptimumkan jumlah kalsium dalam badan.

Sebagai langkah untuk membantu mengekalkan kesihatan tulang dalam kalangan wanita, Pakar Perunding Seksual dan Kesihatan Reproduktif, Dr. Mohd. Ismail Tambi menasihatkan mereka yang berisiko agar menjarakkan tempoh kehamilan.

Sambil merujuk kepada kepentingan amalan berpantang selepas bersalin, Ismail menjelaskan bahawa wanita perlu menjaga kesihatan reproduktif sepanjang tempoh mengandung sehingga melepasi waktu bersalin.

TULANG rapuh disebabkan kalsium di dalamnya telah diserap oleh tubuh

“Amalan berpantang adalah penting kerana ia merangkumi tempoh seseorang wanita yang baru bersalin untuk pulih dari segi mental dan fizikal.

“Jarak masa yang lama sebelum kembali mengandung dapat digunakan oleh ibu untuk mengembalikan kalsium dalam badan dan menghilangkan trauma kelahiran,” katanya.

Seseorang ibu bukan sahaja memerlukan tempoh pantang sebelum kembali mengandung bahkan masa yang lebih lama sebagai langkah menjaga kesihatannya.

Sambil menyebut saranan Islam supaya wanita menjarakkan kehamilan selama dua tahun, Ismail menasihati pasangan agar merancang kehamilan dengan pelbagai kaedah.

“Terdapat banyak cara untuk mengelakkan kehamilan berlaku. Ini termasuk mengambil hormon dan pil selain menggunakan kondom atau IUCD iaitu alat pencegahan kehamilan dalam rahim,” katanya.

Oleh SYALMIZI HAMID
Sumber: http://www.kosmo.com.my/

Thursday, September 29, 2011

Pengorbanan Seorang Ibu


Ini adalah kisah benar pengorbanan seorang ibu semasa Gempa Bumi di China.

Selepas gempa bumi reda, apabila penyelamat tiba di runtuhan rumah seorang wanita muda, mereka melihat mayat beliau melalui celah runtuhan dan timbunan tanah. Tetapi entah bagaimana ia kelihatan agak aneh seperti melutut pada seseorang dan menyembah ke hadapan, dan dua tangannya menyokong sesuatu objek. Rumah runtuh itu telah menghempas belakang dan kepalanya.

Dengan usaha yang sukar, ketua pasukan penyelamat meletakkan tangannya melalui celahan yang kecil di dinding untuk mencapai badan wanita tersebut. Dia berharap bahawa wanita ini mungkin masih hidup. Walau bagaimanapun, badannya yang sejuk dan kaku membuktikan bahawa wanita itu telah meninggal dunia.

Dia dan seluruh pasukan meninggalkan rumah itu dan mencari mangsa pada bangunan runtuh yang seterusnya. Tanpa sebarang alasan, ketua pasukan ini didorong oleh satu kuasa yang kuat menariknya untuk kembali ke rumah wanita yang runtuh itu. Sekali lagi, dia melutut dan melalui celahan runtuhan yang sempit untuk meninjau keadaan mayat itu.

Tiba-tiba, dia menjerit kegirangan, “Seorang kanak-kanak! Ada kanak-kanak! ”

Seluruh pasukan bekerja bersama-sama dengan berhati-hati mereka memindahkan objek runtuhan yang menghempas wanita itu hingga mati. Terdapat seorang kanak-kanak lelaki berusia 3 bulan yang dibalut dengan selimut berbunga di bawah mayat ibunya.

Jelas sekali, wanita itu telah berkorban hingga ke akhir hayatnya untuk menyelamatkan anaknya. Apabila rumahnya runtuh, dia menggunakan tubuhnya untuk melindungi anaknya. Budak lelaki itu masih tidur dengan nyenyak semasa ketua pasukan penyelamat itu menemuinya.

Doktor bergegas datang untuk memeriksa anak kecil tersebut. Selepas beliau membuka selimut, terdapat telefon bimbit di dalam selimut itu. Tertera teks mesej pada skrin telefon bimbit itu, “Jika kamu boleh hidup, kamu harus ingat bahawa ibu sayang kamu.” mesej ini telah dihantar dari satu tangan ke tangan yang lain. Setiap individu yang membaca mesej pasti menangis. “Jika kamu boleh hidup, kamu harus ingat bahawa ibu sayang kamu.” Begitulah kasih sayang seorang ibu pada anaknya!!

Sumber: http://www.isuhangat.net/

Wednesday, July 13, 2011

Kucing Jejas Kehamilan

Membela kucing boleh memberikan kesan negatif kepada kandungan. Ia berkait dengan sejenis parasit iaitu protozoa Toxoplasma gondii yang membiak di dalam usus kucing dan didapati di dalam najisnya dan tanah.

Parasit ini menyebabkan sejenis jangkitan yang sering ditemui - toksoplasmosis yang tidak membahayakan orang dewasa tetapi boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius kepada bayi di alam kandungan.

Ibu yang mengandung boleh mendapat jangkitan apabila menyentuh najis kucing. Jangkitan ini boleh juga timbul akibat memakan masakan yang tidak dimasak dengan sempurna.

Wanita yang mula-mula mendapat jangkitan toksoplasmosis semasa mengandung mempunyai lebih kurang 40 peratus peluang memindahkan jangkitan tersebut kepada bayi di dalam kandungannya.

Apabila ibu dijangkiti dalam trimester (kehamilan berusia tiga bulan) pertama, sebanyak 15 peratus daripada bayi mereka turut dijangkiti berbanding 30 peratus semasa trimester kedua dan 60 peratus trimester ketiga.

Kesan akibat jangkitan adalah lebih teruk jika ia berlaku di peringkat awal mengandung. Adalah dianggarkan, satu dalam 10 daripada bayi yang dijangkiti mengalami toksoplasmosis yang teruk.

Mereka mendapat jangkitan mata yang boleh menyebabkan buta, pembengkakan hati dan limpa, penyakit kuning dan jangkitan paru- paru. Sebahagian mereka mengalami kehilangan deria pendengaran.

Janin yang mengalami jangkitan toksoplasmosis yang terlalu teruk boleh meninggal dunia semasa dalam kandungan atau ibu mengalami keguguran. Jika dilahirkan hidup, mereka akan menderita kecacatan otak seperti palsi serebral dan sawan.

Jika doktor mengesyaki yang ibu mempunyai jangkitan toksoplasmosis aktif, ujian darah boleh dilakukan untuk mengesan kehadiran antibodi yang mengesahkan jangkitan ini.

Jika ibu disahkan mendapat jangkitan, ujian lanjutan seperti amniosentesis dan ultrasound dilakukan untuk memastikan sama ada bayi dalam kandungan juga telah dijangkiti.

Ibu akan diberi ubat khusus jika bayi disyaki telah dijangkiti, agar gejala-gejala yang akan dialami oleh bayi apabila lahir dapat dikurangkan. Rawatan ini diteruskan ke atas bayi selepas dilahirkan.

Sebaliknya, jika bayi dalam kandungan belum dijangkiti, ibu akan diberi ubat antibiotik khusus supaya risiko jangkitan kepada bayi dapat dikurangkan sehingga 50 peratus.

Bayi-bayi yang baru dilahirkan oleh ibu-ibu yang mendapat jangkitan toksoplasmosis haruslah diuji agar bayi-bayi yang tidak mempunyai sebarang gejala semasa dilahirkan tidak akan tercicir daripada menerima rawatan khusus, jika mereka sebenarnya juga telah dijangkiti.

Ini kerana mereka mungkin dianggap sihat sehinggalah mereka mendapat jangkitan mata dan sebagainya setelah berusia beberapa bulan mahu pun beberapa tahun selepas dilahirkan.

Oleh kerana toksoplasmosis merupakan penyakit jangkitan yang boleh menjejaskan kesihatan bayi dengan serius, langkah-langkah pencegahan seperti berikut dapat mengurangkan insiden ia berlaku. Antaranya:
  • Membasuh tangan sebelum mengendalikan makanan
  • Mengelakkan pemakanan daging mentah atau tidak sempurna dimasak
  • Membasuh dengan teliti buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak perlu dimasak sebelum dimakan
  • Menggunakan sarung tangan semasa berkebun atau semasa mengendalikan tanah dan akhir sekali elakkan daripada menyentuh najis kucing.
Sebaik-baiknya, elakkanlah daripada membela kucing semasa mengandung, tetapi jika ini amat sukar untuk dilakukan, hendaklah berhati-hati dan mempraktikkan langkahlangkah pencegahan seperti di atas agar risiko jangkitan berada pada tahap minimum.

Soalan dijawab oleh Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Dr. Kamsuraini Ibrahim.

Sumber: http://www.utusan.com.my/

Monday, July 11, 2011

Kisah benar ibu yang berhati mulia


Kisah ini adalah kisah benar sebuah keluarga yang sangat miskin, yang mempunyai seorang anak laki-laki di sebuah negara. Ayahnya sudah meninggal dunia, hanya tinggal ibunya yang sudah tua dan anak lelakinya sahaja tempat menumpah kasih sayang.

Ibunya bersusah payah membesarkan seorang anaknya, pada masa itu kampung tersebut belum memiliki elektrik. Semasa membaca buku, anaknya tersebut hanya diterangi sinar lampu minyak tanah, sedangkan ibunya dengan penuh kasih sayang menunggu anaknya sambil menjahitkan baju untuk sang anak.

Semasa memasuki musim luruh, adalah waktu bagi anaknya untuk memasuki sekolah menengah atas. Tetapi pada masa itulah ibunya menderita penyakit radang sendi-sendi atau Rheumatoid Arthritis ( RA ) yang parah sehingga tidak boleh lagi bekerja di sawah.

Di sekolah itu, setiap bulannya waris murid-murid diwajibkan membawa 30 kg beras untuk di bawa ke kantin sekolah. Anak ini mengerti bahawa ibunya tidak mungkin boleh memberikan tiga puluh kg beras tersebut.

Berkatalah ia kepada ibunya: " Bu, saya mahu berhenti sekolah sahaja dan membantu ibu bekerja di sawah".

Ibunya mengusap kepala anaknya dan berkata : "Niat kamu sungguh mulia nak, kamu memiliki niat seperti itu saja ibu sudah senang, tetapi kamu harus pergi bersekolah. Jangan khuatirkan ibu ya nak. Cepatlah pergi daftarkan ke sekolah nanti berasnya biar ibu yang akan mengantarkannya kesana".

Namun, anaknya tetap berkeras tidak mahu mendaftar ke sekolah, ibunya mula marah dan menampar anak tersebut. Dan ini adalah pertama kalinya anak ini dipukul oleh ibunya.

Dengan berat hati, akhirnya anaknya pergi juga kesekolah. Ibunya terus berfikir dan merenung dalam hati sambil melihat bayangan anaknya yang pergi menjauh.

Tidak berapa lama kemudian, dengan lemah longlai dan nafas tercungap-cungap ibunya datang ke kantin sekolah dan menurunkan sekampit beras dari bahunya, pengawas yang bertanggung jawab menimbang beras dan membuka kampit beras lalu mengambil segenggam beras tersebut dan menimbangnya. Tiba tiba dia berkata :

" Hai waris murid, kami tidak menerima beras yang isinya campuran beras dan antah. Jangan menganggap kantin saya ini tempat mengumpul beras campuran". Begitu malunya ibu ini, hingga tak henti hentinya berkali-kali meminta maaf kepada ketua pengawas tadi.

Awal bulan berikutnya ibu ini memikul sekampit beras dan masuk kedalam kantin. seperti biasanya beras tersebut diteliti oleh pengawas. Dengan dahi yang mengerut, ketua pengawas berkata: "Masih dengan beras yang sama". Selepas ini kalau begini lagi, maka saya tidak boleh menerimanya".

Ibu ini sedikit takut dan berkata : "Tuan pengawas, beras di rumah kami semuanya seperti ini jadi bagaimana?

Pengawas itu pun tidak mahu tahu dan berkata : "Berapa luas sawah yang ibu kerjakan, sehingga berasnya boleh bercampur seperti ini". Mendengar sindiran pertanyaan seperti itu ibu tersebut akhirnya tidak berani berkata apa-apa lagi.

Awal bulan ketiga, ibu ini datang kembali ke sekolah. Ketua pengawas kembali marah besar dengan kata-kata kasar dan berkata: "Kamu sebagai waris murid kenapa begitu keras kepala, kenapa masih tetap membawa beras yang sama. Bawa pulang saja berasmu itu !"

Dengan berlinang air mata ibu ini pun berlutut di depan pengawas tersebut dan berkata: "Maafkan saya tuan, sebenarnya beras ini saya dapat dari mengemis".

Mendengar kata ibu ini, pengawas itu terkejut dan tidak boleh berkata apa-apa lagi. Dilihatnya ibu tua tadi duduk di atas lantai, menggulung seluarnya dan memperlihatkan kakinya yang sudah mengeras dan membengkak.

Ibu tersebut mengesat air mata dan berkata: "Saya menderita sakit radang sendi-sendi , malah untuk berjalan pun susah, apalagi untuk bercucuk tanam. Anakku sangat mengerti keadaanku sehingga mahu berhenti sekolah untuk membantuku bekerja disawah. Tapi saya melarang dan menyuruhnya terus bersekolah."

Selama ini saya tidak pernah memberi tahu sanak saudara yang ada di kampung . Lebih-lebih untuk memberitahu pada anakku, aku takut menjatuhkan harga dirinya.

Setiap hari pagi-pagi buta dengan kampit kosong dan bantuan tongkat, aku pergi ke pasar, tempat orang menjual beras, hanya untuk mengemis beras beras yang tercecer di pelantar. Dengan susah payah aku pergi kedai demi kedai hanya untuk mencari beras tercicir. Sehingga hari sudah gelap, aku pun perlahan-lahan kembali ke kampung sendiri. Sehingga pada awal bulan semua beras yang terkumpul memenuhi syarat untuk diserahkan kesekolah.

Pada masa ibu tua itu bercerita, secara tidak sedar air mata Pengawas itupun mulai mengalir, kemudian mengangkat ibu tersebut dari lantai dan berkata: "Bu sekarang saya akan melapor kepada pihak sekolah, supaya boleh diberikan sumbangan untuk keluarga ibu."

Ibu tadi buru- buru menolak dan berkata: "Jangan, kalau anakku tahu ibunya pergi mengemis untuk sekolah anaknya, maka itu akan menjatuhkan harga dirinya. Dan itu akan mengganggu pelajarannya. Saya sangat terharu dengan kebaikan hati tuan pengawas, tetapi tolong ibu agar boleh menjaga rahsia ini."

Akhirnya masalah ini diketahui juga oleh pihak sekolah. Secara diam- diam Pengetua sekolah tidak meminta biaya sekolah dan biaya hidup anak tersebut selama tiga tahun. Setelah tiga tahun kemudian, anak tersebut lulus masuk ke perguruan tinggi Qing hua dengan nilai 627 point.

Di hari anugerah sekolah, Pengetua sekolah sengaja mengundang ibu anak ini duduk di tempat duduk utama. Ibu ini merasa aneh, begitu banyak murid yang mendapat nilai tinggi, tetapi mengapa hanya beliau yang diundang.

Yang lebih aneh lagi di sana masih terdapat tiga kampit beras. Pengawas sekolah tersebut akhirnya maju ke depan dan menceritakan sebuah kisah tentang seorang ibu yang mengemis beras demi sekolah anaknya.

Pengetua sekolah pun menunjukkan tiga kantong beras itu dengan penuh terharu dan berkata kepada para hadirin seraya menunjuk pada ibu tadi : "Inilah sang ibu dalam cerita tadi."

Dan mempersilakan ibu yang luar biasa tersebut untuk naik ke atas pentas. Anak ibu tersebut dengan ragu-ragu melihat ke arah gurunya yang sedang menuntun ibunya berjalan ke atas pentas.

Ibu dan nak ini pun saling bertatapan. Pandangan ibu yang tajam dan lembut kepada anaknya membuatkan anak tidak dapat untuk menahan tangisnya, dipeluknya susuk tua dihadapannya itu dan merangkul erat ibunya sambil terisak sambil berkata: "Begitu mulianya engkau Ibu, sungguh aku tak boleh untuk membalasnya……situslakalaka

Sumber: http://tulahan.blogspot.com/

Sunday, July 10, 2011

Berbakti kepada ibu bapa ibarat jihad..


Empat mazhab sepakat, anak wajib menyara kedua-dua orang tua

KADANG-KADANG berasa sedih dan terkilan kerana tidak mempunyai banyak masa untuk berbakti dan membalas budi kedua-dua ibu bapa yang sudah kembali ke rahmatullah beberapa tahun lalu. Allah SWT lebih menyayangi mereka, walaupun saya sentiasa berdoa mereka panjang umur, agar saya mempunyai masa membalas budi mereka.

Hairan, bagaimanakah anak yang masih mempunyai ibu bapa sanggup mengabaikan mereka. Mutakhir ini kita disajikan dengan pelbagai berita mengenai sikap buruk anak terhadap ibu bapa. Seorang anak yang berjawatan besar dilaporkan tidak pernah menjenguk ibu dan bapanya, malah langsung tidak mempedulikan mereka selama lebih tujuh tahun. Ada juga anak yang menjadikan ibu bapa sebagai hamba dengan meminta mereka menjaga anak-anak secara percuma. Lebih serius, ada ibu bapa yang menjadi mangsa sepak terajang anak, dan dibunuh oleh insan yang mereka sendiri lahirkan.

Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan peningkatan bilangan warga emas yang menghuni pusat kebajikan masyarakat dan apa yang lebih menyedihkan ialah lebih 30 peratus daripada mereka dihantar oleh anak kandung mereka sendiri. Seramai 1,714 warga tua mendiami sembilan buah Rumah Seri Kenangan kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat di seluruh negara pada 2001 dan jumlah ini bertambah kepada 1,829 pada 2003 dan 1,827 pada 2005. Untuk 2005, daripada jumlah 1,827 warga tua yang dihantar ke pusat jagaan orang tua, 751 orang terdiri daripada kaum Melayu, 558 orang adalah kaum Cina, 507 adalah India dan selebihnya seramai 11 orang adalah daripada kaum lain.

Berbuat baik kepada ibu bapa adalah perintah Allah SWT seperti dalam firmannya yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapa mu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, seperti mereka berdua mendidik aku sewaktu kecil”. – (Surah Al-Israa: 23-24)

Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menceraikan susu dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Akulah kembalinya kamu.”– (Surah Luqman: 14).

Berbuat baik dan bersyukur kepada ibu bapa bermakna membalas segala jasa yang dilakukan kedua-duanya terhadap anak dengan memberikan pertolongan serta memberi nafkah kepada mereka berdua setelah mereka tua dan uzur serta tidak lagi mempunyai sumber pendapatan.
Keutamaan berbakti kepada kedua-dua ibu bapa adalah melebihi berjihad di jalan Allah seperti sabda Rasulullah SAW: “Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah bin Mas’ud beliau berkata: Aku bertanya kepada Nabi SAW amalan manakah paling disukai Allah SWT? Baginda menjawab, solat pada waktunya. Saya bertanya lagi, kemudian apa? Baginda menjawab, kemudian berbakti kepada kedua-dua orang tua. Saya bertanya lagi, kemudian apa? Baginda menjawab, jihad pada jalan Allah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jumhur ulama mazhab empat bersepakat bahawa nafkah ibu dan bapa adalah wajib ke atas anak-anak sama ada anak lelaki atau anak perempuan. Ulama sepakat bahawa ibu dan bapa yang berhak kepada nafkah ialah ibu bapa yang tidak berkemampuan, tidak mempunyai harta atau tidak mempunyai pekerjaan dan tidak mampu membiayai diri mereka sendiri. Pada pandangan Mazhab Hanafi dan Shafie, tidak bekerja bermaksud juga tidak berupaya untuk berkerja disebabkan oleh penyakit kronik, buta, tidak siuman dan cacat anggota badan dan anak yang wajib memberi nafkah kepada ibu bapa adalah anak yang berkelapangan sama ada mempunyai harta ataupun pekerjaan.

Ibu bapa tidak pernah mengharapkan wang ringgit anak, cuma pada usia senja mereka mengharapkan secebis perhatian daripada anak untuk menumpang kasih, sebelum dipanggil Allah SWT.

Mahkamah Syariah boleh memerintahkan seorang anak membayar nafkah ibu bapa atau keluarga yang lain, seperti dalam peruntukan Seksyen 60 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984 yang berbunyi: ‘Mahkamah boleh memerintahkan mana-mana orang yang bertanggungan mengenai hal itu mengikut hukum syarak supaya membayar nafkah kepada seorang yang lain jika dia tidak upaya, sepenuhnya ataupun sebahagiannya, dari mencari kehidupan oleh sebab kerosakan otak atau jasmani atau tidak sihat dan Mahkamah berpuashati bahawa memandang kepada orang yang pertama tersebut itu adalah munasabah memerintahkan sedemikian.’

Peruntukan ini tidak begitu jelas dan tidak khusus kepada nafkah ibu bapa saja. Sudah sampai masanya satu peruntukan khusus berkaitan nafkah ibu bapa dimasukkan dalam undang-undang keluarga Islam negeri. Undang-Undang Keluarga Islam Kuwait 1984 boleh dijadikan panduan, ataupun Akta Penanggungan Ibu Bapa (APIB) 1995 di Singapura, atau Akta Pembiayaan Ibu Bapa 1998 di Filipina, selagi mana ia tidak bertentangan dengan hukum Syarak.

Oleh Tuan Musa Awang
Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia

Sumber: http://lhakim-suarahati.blogspot.com

Thursday, June 9, 2011

Mengandung (Hamil) Pada Usia Lewat

Ada beberapa risiko  terpaksa hadapi bila mengandung di usia 40-an.

Pertama ialah risiko anak mendapat Sindrom Down. Nisbah yang selalu gunakan ialah 1 dalam 80 hingga 100 pada usia 40. Ini berpunca dari usia telur yang telah “berumur” maka berkemungkinan mengalami kecacatan genetik. Tiada cara pencegahannya kecuali melakukan keguguran. Isteri berumur 40-an yang hamil dinasihatkan melakukan ujian Sindrom Down. Ujian ini melibatkan imbasan ultrasound dan ujian darah seawal usia janin antara 10 hingga 12 minggu. Ujian-ujian ini boleh mencapai ketepatan 80 hingga 85 peratus.

Keduanya ialah risiko masalah kesihatan seperti darah tinggi, kencing manis dan lain-lain lagi. Perkara ini tidaklah sukar kerana terdapat kaedah-kaedah rawatannya. Maka tentukan puan tidak mengalami masalah perubatan yang boleh membahayakan puan semasa mengandung dengan melakukan pemeriksaan doktor. Sekiranya tidak mengalami apa-apa masalah perubatan pada kandungan pertama maka tidak menjadi masalah dari segi kesihatan.

Ketiganya, kandungan di peringkat lewat usia, terdapat beberapa masalah dari segi obstetrik seperti risiko keguguran atau kelahiran pramatang. Masalah tumbesaran janin terbantut juga adalah lebih tinggi sedikit. Pembedahan caesarean dahulu juga boleh menyebabkan kenaikan risiko kejadian uri bawah atau placenta praevia.

Jadi kesimpulannya, isteri boleh cuba mengandung semula tetapi isteri dan suami perlu bersedia menghadapi sedikit risiko Sindrom Down dan sanggup melakukan ujian-ujian tersebut bagi menentukan janin itu tidak mengalami ‘kecacatan genetik’. Di samping itu kemungkinan kejadian uri bawah sekali lagi dengan kandungan kedua juga adalah tinggi. Walaupun pembedahan pernah dilakukan, puan masih boleh melahirkan anak secara normal jika tiada masalah lain. Memandangkan usia semakin meningkat tidak perlu dan tidak sesuai isteri menunggu sehingga 2 tahun lagi untuk mengandung anak kedua.

Oleh:
Dr. Suhaimi Isa
Doktor Pakar Sakit Puan
Hospital Pantai Indah, Kuala Lumpur

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Placenta Previa: Nyawa Ibu, Anak Terancam

Jika tidak dirawat boleh mengalami masalah kekurangan darah

Mengalami pendarahan ketika hamil adalah perkara menakutkan hingga menyebabkan sesetengah wanita trauma untuk mengandung lagi. Mereka bimbang perkara sama akan berulang kerana masalah ini boleh membahayakan nyawa ibu dan anak dalam kandungan.

Biasanya pendarahan ketika hamil berlaku pada trimester ketiga akibat kedudukan uri (yang sepatutnya di atas) terletak di bahagian bawah rahim iaitu berhampiran pangkal rahim. Keadaan ini dipanggil plasenta previa.

Tanda utama plasenta previa ialah pendarahan pada trimester ketiga. Keadaan pendarahan berbeza dari semasa ke semasa. Ada kalanya pendarahan hanya sedikit, tetapi ada waktunya ia boleh menjadi banyak sehingga membahayakan. Pendarahan ini boleh berlaku bila-bila masa dan lazimnya berulang selepas beberapa hari atau minggu.

Uri akan terbentuk apabila seseorang wanita hamil. Ia bertindak menjadi penghubung di antara bayi dengan sistem darah ibu yang membekalkan oksigen dan khasiat makanan kepada bayi dan akan keluar bersama apabila bayi dilahirkan.

Ia juga bertanggungjawab menyingkir bahan sisa daripada darah bayi. Uri melekat pada dinding rahim dan tali pusat bayi yang menjadi penghubung utama di antara ibu dan anak dalam kandungan.

Pada awal kehamilan, uri mungkin di bahagian bawah rahim. Apabila janin membesar, biasanya uri bergerak dan tertolak ke atas menjauhi pangkal rahim.

Kedudukan uri boleh dikesan melalui ujian imbasan bunyi yang dilakukan pada pemeriksaan prenatal anda. Doktor akan memberitahu jika uri terletak di bawah sebelum kandungan masuk minggu ke-20.

Bagaimanapun, ia keadaan biasa dan dalam kebanyakan kes (lebih 80 peratus), uri tertolak ke atas apabila kandungan semakin membesar. Hanya 10 hingga 15 peratus kes uri kekal di bawah. Masalah mula timbul apabila janin semakin besar (memasuki minggu ke-26) dan memberi tekanan kepada uri sehingga menyebabkan pendarahan.

Insiden kedudukan uri rendah adalah kecil iaitu hanya 0.5 peratus atau satu kes bagi setiap 200 kehamilan, tetapi risikonya sangat tinggi kerana pendarahan boleh menyebabkan ibu dan bayi mengalami masalah kekurangan darah (anemia).

Perunding Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr Fatima Najla Mohd Jaffar, berkata jika tidak diberikan rawatan segera, ibu dan bayi boleh menemui maut akibat kehilangan terlalu banyak darah.

“Wanita yang ada masalah plasenta previa boleh mengalami pendarahan vagina selepas kandungan memasuki minggu ke-28, tetapi ia tidak menyebabkan rasa sakit.

“Perkara ini membimbangkan kerana pendarahan boleh berlaku dengan banyak atau dipanggil tumpah darah dalam masa singkat. Malah, ia boleh berlaku bila-bila masa tanpa sebab.

“Jika tidak dirawat, pendarahan boleh menyebabkan ibu dan bayi mengalami masalah kekurangan darah. Ini sebabnya wanita yang disahkan ada masalah plasenta previa major perlu dimasukkan ke hospital sehingga bersalin,” katanya.

Bagaimana pendarahan boleh berlaku? Ia boleh berlaku apabila bahagian bawah rahim mula mengalami perubahan bentuk dan menjadi nipis sebagai persediaan untuk melahirkan anak.

Namun, oleh kerana uri tidak boleh meregang seperti rahim, ia merekah pada tempat tertentu lalu menyebabkan pendarahan. Pada peringkat awal, pendarahan biasanya sedikit tetapi ada risiko berlaku banyak pendarahan pada bila-bila masa tanpa tanda atau amaran. Pendarahan ini juga menyebabkan wanita menjadi pucat, berpeluh dan jantung berdegup cepat.

Punca, jenis dan faktor risiko

Sehingga kini tiada siapa tahu punca sebenar plasenta previa. Namun, ada hipotesis mengaitkan ia dengan salur darah tidak normal pada lapisan endometrium (dinding rahim) akibat pembedahan atau jangkitan. Malah, bentuk rahim tidak normal juga boleh menyebabkan plasenta previa.

Masalah ini boleh dibahagikan kepada empat peringkat iaitu:
  1. Jenis I atau uri rendah. Uri terletak pada bahagian paling bawah rahim (uterus) tetapi tidak sampai ke pangkal rahim.
  2. Jenis II atau pinggiran. Uri menyentuh bahagian atas pangkal rahim, tetapi tidak menutupinya. Bagaimanapun, kumpulan wanita yang ada masalah seperti ini masih perlu menjalani pemeriksaan dari semasa ke semasa.
  3. Jenis III atau separa. Uri menutup separuh pangkal rahim.
  4. Jenis IV atau lengkap. Uri menutup seluruh pangkal rahim.

Jenis I dan II dikenali sebagai plasenta previa minor, manakala jenis III dan IV dikelaskan sebagai plasenta previa major yang sering menyebabkan pendarahan membimbangkan.

Namun, bukan semua kes uri di bawah dipanggil plasenta previa. Jika kandungan kurang daripada 28 minggu, masalah ini dikategorikan sebagai uri rendah dan hanya selepas kandungan memasuki 28 minggu dan masalah ini berterusan baru ia dipanggil plasenta previa.

Komplikasi

Jika anda mengalami masalah plasenta previa, doktor akan memantau kesihatan anda dan bayi dalam kandungan untuk mengurangkan komplikasi seperti:
  • Pendarahan yang banyak.
  • Kelahiran pra matang (tidak cukup bulan).
Kedudukan uri di bawah juga boleh menyebabkan kedudukan bayi menjadi tidak betul, sama ada menyongsang atau melintang, terutama bagi wanita yang mengalami plasenta previa major. Malah, masalah ini meningkatkan risiko wanita untuk mendapat masalah plasenta akreta.

Plasenta akreta (uri tertanam dalam dinding rahim dan ia sukar tercabut secara semula jadi apabila bayi dilahirkan). Jika keadaan serius, doktor terpaksa menjalankan pembedahan pembuangan rahim untuk menyelamatkan nyawa ibu. Plasenta akreta tidak boleh dibiarkan kerana ia menyebabkan pendarahan berterusan selagi tidak dikeluarkan. Bagaimanapun keadaan ini jarang berlaku.

Plasenta abruptio. Uri terpisah atau tercabut dari dinding rahim sebelum sampai waktu melahirkan anak. Ia boleh menyebabkan bayi mengalami kesesakan akibat ketiadaan bekalan oksigen dan nutrien. Malah, keadaan ini mengakibatkan pendarahan yang membahayakan nyawa ibu dan bayi. Walaupun ia boleh terjadi kepada wanita yang tiada masalah plasenta previa, masalah ini jarang berlaku.


Adakah ia membahayakan bayi anda?

Masalah uri rendah secara umumnya tidak mendatangkan bahaya pada bayi. Namun jika menyebabkan pendarahan, ia boleh mengakibatkan bayi turut mengalami masalah kekurangan darah.

Pendarahan boleh berlaku bila-bila masa bermula dari kandungan berusia 28 minggu hingga sebelum bersalin. Masalah ini juga boleh menyebabkan seseorang wanita terpaksa bersalin awal (tidak cukup bulan atau kurang 36 minggu).

Lebih membimbangkan, pendarahan banyak yang berlaku ketika kandungan kurang daripada 26 minggu boleh menyebabkan keguguran. Malah, si ibu boleh meninggal dunia jika dimasukkan ke hospital yang tiada bekalan darah.

Rawatan dan penjagaan bergantung kepada masalah dihadapi, sama ada pesakit perlu berehat di atas katil, memerlukan pemindahan darah atau menjalani pembedahan Caesarean. Bagi pendarahan akut (banyak dalam masa singkat), pesakit perlu dimasukkan ke hospital dan pemeriksaan rapi dilakukan untuk memastikan ia tidak berulang.

Malah, pesakit mungkin terpaksa menerima bekalan darah jika pendarahan terlalu banyak. Namun, dalam kebanyakan kes, di bawah pengawasan doktor, wanita boleh meneruskan kehamilan sehingga bayi cukup matang untuk dilahirkan.

Bagi wanita yang ada plasenta previa tetapi tidak mengalami pendarahan, mereka masih perlu berehat di hospital sehingga bayi cukup matang (antara 36 hingga 38 minggu kehamilan) untuk menjalani pembedahan.

“Wanita yang mengalami masalah ini dinasihatkan memilih hospital yang ada bank darah dan kelengkapan mencukupi. Wanita juga perlu memaklumkan doktor mengenai masalah yang dihadapi jika membuat pemeriksaan di tempat lain.

“Hospital akan menyimpan bekalan darah untuk pesakit dan memberi suntikan pada wanita yang pernah mengalami pendarahan. Suntikan ini diberikan sebelum minggu ke-34 kehamilan untuk mematangkan paru-paru bayi. Jika berlaku pendarahan lagi, doktor akan segera melakukan pembedahan Caesarean,” katanya.

Masalah plasenta previa bukan penghalang untuk anda mengandung lagi kerana tidak semestinya perkara ini berulang. Malah, anda juga boleh mendapat anak sihat dan comel seperti orang lain.

Namun Dr Fatima menyarankan wanita yang ada sejarah plasenta previa supaya menjarakkan kehamilan sekurang-kurangnya dua tahun. Justeru, persediaan minda penting. Cari maklumat lanjut mengenai masalah ini supaya anda faham dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk komplikasi serta rawatan yang ada.

Sebaik mengetahui anda mengandung, bincang dengan doktor mengenai langkah yang perlu anda lakukan untuk mengelak pendarahan. Anda juga mungkin terpaksa mengurangkan aktiviti seks atau mengelakkannya langsung jika berlaku pendarahan.

Kumpulan berisiko
  • Terlalu kerap mengandung dan kehamilan yang terlalu rapat.
  • Pernah menjalani pembedahan Caesarean ketika melahirkan anak terdahulu.
  • Pernah menjalani pembedahan untuk membuang fibroid.
  • Mempunyai luka pada rahim.
  • Pernah menjalani dilation and curettage D & C (selepas menggugurkan anak) yang menyebabkan rahim luka dan berparut.
  • Mengandung pada usia terlalu muda (belasan tahun) atau lewat (melebihi 35 tahun). Risiko bertambah tinggi dengan peningkatan umur.
  • Pernah mengalami masalah plasenta previa pada kandungan terdahulu.
  • Mengandung anak kembar.
  • Merokok atau mengambil dadah.

Sumber: http://mypermatahati.com/

Friday, May 7, 2010

Buatmu Ibu




Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa: ibunya telah mengandung susah payah, dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah (pula). sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh berhenti menyusu ialah (dalam masa) tiga bulan. setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "wahai Tuhanku, ilhamkan daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal salih yang Engkau redhai: dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk menyerah kepada-Mu) - Ayat 15: Surah Al-Ahqaf.

Tetapi (ada orang yang amat derhakanya) yang berkata kepada kedua ibu bapanya: "Ah! Adakah tuan hamba menjanjikan kepada hamba bahawa hamba akan dibangkitkan keluar dari kubur, padahal berbagai umat sebelum hamba yang telah berlalu (tanpa kembali lagi)" Dan (sambil mendengar kata-kata itu) ibu bapanya memarahi anaknya yang ingkar itu, katanya: "Selamatkanlah diri kamu, sayang kamu! Berimanlah kamu! Kerana janji Allah itu adalah benar!" Tetapi ia berkata (menjawab dengan angkuhnya): "Semuanya itu hanyalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala!" - Ayat 17: Surah Al-Ahqaf.

Mereka (yang ingkar durhaka seperti itulah) orang-orang yang tetap menerima hukuman azab bersama-sama dengan keturunan-keturunan yang terdahulu daripada mereka dari kalangan jin dan manusia; kerana sesungguhnya mereka mengalami kerugian (yang sehabis-habisnya) - Ayat 17: Surah Al-Ahqaf.

Wednesday, April 28, 2010

IBU



Ya Allah! Ampunilah dosa kedua-dua ibubapa kami, dan kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani kami semenjak kami dari kecil lagi,