Showing posts with label Pahlawan Melayu. Show all posts
Showing posts with label Pahlawan Melayu. Show all posts

Monday, September 24, 2012

Ngah Ibrahim pejuang pemikir Melayu


PENJAJAH Inggeris cuba mengaitkan Ngah Ibrahim Long Jaafar (1836-1895) dengan kematian JWW Birch tetapi tiada bukti kukuh menyebabkan mereka menggunakan muslihat dan menahan pejuang kemerdekaan terawal, intelektual, pemikir dan berwawasan jauh dalam membangunkan ekonomi bangsa Melayu itu di Singapura.

Ngah Ibrahim akhirnya dijatuhkan hukuman dibuang ke Pulau Seychelles dan dipindahkan ke Sarawak sebelum kembali ke Singapura dan meninggal dunia pada 4 Februari 1895. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Al Junid, Singapura sebelum dibawa pulang ke halamannya pada 2006.

Perbincangan mengenai Ngah Ibrahim sebagai seorang daripada pahlawan serta jutawan Melayu terkenal pada abad ke-19 di Tanah Melayu tidak perlu dipertikaikan.

Dia orang yang bertanggungjawab membina Kota Ngah Ibrahim, yang kini berusia 150 tahun yang dijadikan pusat pentadbiran bersilih ganti diletakkan di bawah pemerintahan British, Jepun hinggalah akhirnya diserahkan kepada Jabatan Muzium dan Antikuiti pada 1985 untuk dijadikan Kompleks Sejarah Matang.

Kawasan kota itu dibina menggunakan batu bata yang dicampur simen lama dikenali Lime Motar dan mempunyai menara kawalan utara dan selatan, pelabuhan Melawati, kubur, tugu peringatan kemasukan tentera Jepun.

Bahkan, tembok yang runtuh akibat rempuhan pesawat Jepun yang terhempas di situ ketika Perang Dunia Kedua dikekalkan sebagai bahan sejarah. Pada tembok itu terdapat satu lubang kecil pada jarak setiap lima kaki dipercayai bagi tujuan pertahanan.

Ini kerana, Ngah Ibrahim pernah melantik Kapten Speedy mengetuai pasukan polis mengawal kubu berkenaan terdiri daripada orang Melayu dan tentera Gurkha.

Di satu sudut berhampiran menara selatan, terdapat satu perigi lama yang digali semula oleh arkeologi dan hasilnya membuktikan seni bina yang menarik. Susunan bata diletak dengan tiga corak iaitu melintang, menegak dan bentuk V atau tulang belut.

Airnya masih banyak dan jernih, tetapi pengunjung tidak dibenarkan memijak batu bata di situ bagi mengelakkan runtuhan.

Ahmad Sazali berkata, kubu itu pada asalnya terletak berhampiran sungai tetapi kini sungai itu menjadi sempit dan langsung tidak digunakan.

“Ngah Ibrahim mempunyai empat kapal iaitu dua kapal layar dinamakan Bahtera Bayu dan Indera Bayu yang prestasinya lebih hebat daripada Kapal Pluto yang menjadi lokasi Perjanjian Pangkor pada 1874 serta serta dua kapal stim,” katanya.

Di dalam kompleks dua tingkat itu juga mengandungi pelbagai artifak sejarah termasuk tinggalan aktiviti perlombongan, sistem pemerintahan, mahkamah, senjata dan agak menarik ialah replika Si Larut, iaitu gajah milik Long Jaafar yang dikatakan menemui bijih timah ketika berkubang di Larut.

Kota Ngah Ibrahim jadi kompleks sejarah

KOMPLEKS sejarah Matang, Perak yang terletak di Matang (dulu dikenali sebagai Permatang) di Mukim Bukit Gantang, Perak dibina oleh Ngah Ibrahim yang bergelar Orang Kaya Menteri Paduka Tuan.

Beliau adalah anak kepada Che Long Jaafar, iaitu orang Melayu pertama yang membuka perusahaan lombong bijih timah di Larut, Matang dan Selama pada 1840.

Kompleks ini adalah sebuah bangunan yang dijadikan rumah, kota dan pusat pentadbiran Larut dan ditempatkan di kawasan seluas 0.8094 hektar. Bangunan ini dibina hanya menggunakan bahan daripada batu bata saja.

Selepas Ngah Ibrahim meninggal dunia di Singapura pada 4 Februari 1895, kota ini diletakkan di bawah pengawasan Inggeris sehinggalah ia dijadikan Maktab Perguruan Melayu Matang pada 1913 hingga 1922.

Selepas itu, ia dijadikan sebagai Sekolah Melayu pada 1923 hingga 1941. Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu (1942 hingga 1945), ia berperanan sebagai markas tentera Jepun. Apabila Jepun menyerah kalah dan berakhirnya Perang Dunia Kedua pada 1946, rumah itu dijadikan semula sebagai Sekolah Melayu (1946 hingga 1983).

Kota ini dijadikan Kompleks Sejarah Matang hingga sekarang mulai 1985 selepas ia diserahkan kepada Jabatan Muzium dan Antikuiti.

Koleksi dan galeri:
  • Terdiri daripada semua jenis artifak berkaitan kronologi penubuhan kompleks.
Pameran tetap:
  • Kronologi penubuhan bangunan
  • Penggunaan bangunan bermula keluarga Che Long Jaafar, Ngah Ibrahim, pemerintahan Inggeris, Pendudukan Jepun, Maktab Latihan Perguruan Melayu Matang dan Sekolah Melayu
Hari dan masa lawatan:
  • Setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 5 petang (kecuali Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha)
Bayaran:
  • Percuma
Tempat menarik berhampiran:
  • Hutan Paya Bakau Matang
  • Mahkamah Pertama Perak
  • Makam Dato; Sagor
  • Masjid Tengku Menteri
Lokasi:
  1. Terletak di Matang, Mukim Bukit Gantang, daerah Taiping, Perak
  2. Kira-kira 30 minit perjalanan dari Bandar Taiping
  3. Kira-kira 8 kilometer dari Bandar Taiping.
Biodata Ngah Ibrahim:
  • Dilahirkan pada 1836 di Bukit Gantang, Perak dan kawasan kelahirannya adalah daerah pemerintahan bapanya, Long Jaafar pada zaman kegemilangannya sehingga pembinaan Kota Long Jaafar.
  • Ngah Ibrahim adalah anak hasil perkahwinan Long Jaafar Datuk Paduka Setia Long Abdul Latif dengan Cik Ngah Pura Datuk Panglima Bukit Gantang Seri Amar Diraja Alang Alaiddin.
  • Long Jaafar adalah pengusaha bijih timah terkenal bermula pada 1840. Beliau juga pengusaha ladang tebu di Kerian dan Bagan Tiang serta pengusaha ladang kopi di Assam Kumbang, Taiping.
Sumber: http://pahlawanperak.blogspot.com/

Wednesday, September 19, 2012

Pahlawan Negeri Perak yang menentang Inggeris



Dato Maharaja Lela
  • Dato Seri Maharaja Lela adalah gelaran berasal dari Melaka.
  • Di Perak, beliau adalah Ketua Orang Besar Delapan dan berkuasa menghukum pesalah serta bertanggungjawab mempertahankan raja.
  • Mempunyai sumber penguasaan cukai wilayah penguasaannya di Pasir Salak hingga ke Sungai Dedap.
  • Frank Swettenham dalam bukunya ‘Stories and Sketched’ mencatatkan Maharaja Lela seorang yang gagah dan berkedudukan tinggi.
  • Berkedudukan tempat ketujuh dalam senarai kekananan daripada kedudukan Sultan Abdullah
  • Mempunyai anak bernama Rasiah
  • Dihukum mati kerana terbabit dalam pembunuhan Birch.
Pandak Indut
  • Bapa mentua kepada Dato Maharaja Lela
  • Pahlawan Melayu aktif menentang British
  • Menerima pedang daripada Dato Maharaja Lela untuk membunuh Birch yang mengarahkan menampal surat pengumuman di Pasir Salak.
  • Beliau adalah orang pertama mengoyak surat ditampal Mat Arshad dan menikam suruhan Inggeris itu dengan lembing.
  • Ditangkap di Kota Lama pada Julai 1876 atas tuduhan membunuh Birch.
Dato Sagor
  • Nama panggilan kepada Ngah Kamdin yang bergelar Datuk Seri Agar Diraja, Orang Besar Delapan, Perak
  • Diputerakan di Kampung Gajah tetapi berhijrah ke Larut pada usia muda mengusahakan lombong bersama Che Ngah Ibrahim.
  • Mempunyai 9 anak iaitu, Long Mabu, Alang Siap, Uda Bidah, Itam Jailah, Anjang Abdullah, Teh -Nasa, Mat Dagang, Kulob Satar dan Alang Ismail.
  • Keturunan Teh Nasa paling menonjol, anak keduanya melahirkan Hamzah, Ngah Mutalib, Hajjah Rahmah dan Mohd Abas.
  • Mohd Abas pernah menyandang jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) selama lima penggal.
  • Anak saudaranya, Tan Sri Ramli Ngah Mutalib adalah bekas Menteri Besar Perak.

Monday, September 10, 2012

Singapura Dilanggar Todak


 Gambar Hiasan: Hang Nadim

Pada suatu ketika beratus-ratus tahun dahulu Singapura telah diserang ikan todak. Secara tiba-tiba, beratus-ratus ikan todak melompat ke arah pantai Singapura dan menikam ramai rakyat Singapura yang sedang berada di tepi pantai. Ramai rakyat Singapura mati terkena tikaman todak hingga keadaan darurat berleluasa di seluruh negeri.

Sultan yang merajai Singapura amat terperanjat dengan berita serangan todak ini. Baginda pun pergi ke pantai untuk melihat sendiri malapetaka yang telah menimpa negeri itu. Baginda berasa sedih kerana melihat ramai rakyat jelata mati dibunuh oleh ikan todak.

Untuk mengatasi masalah ini, baginda memerintahkan rakyatnya berkubukan betis di sepanjang pantai agar ikan-ikan todak tidak lagi dapat menyerang. Malangnya, lebih ramai pula rakyat yang mati apabila kaki-kaki mereka ditikam oleh ikan todak.

Pada waktu itu juga hidup seorang kanak-kanak lelaki yang pintar lagi cerdas bernama Hang Nadim. Hang Nadim pada ketika itu baru berusia tujuh tahun! Setelah menyaksikan serangan kejam ikan todak ini, Hang Nadim pun mempunyai buah fikiran untuk melawan serangan ikan-ikan todak yang kejam. Tanpa berlengah lagi, Hang Nadim pun memohon menghadap Sultan Singapura yang telah mati akal dan tidak lagi dapat memimpin negerinya dengan baik.

"Tuanku, patik rasa jika kita terus menyuruh hamba rakyat menggunakan betis mereka untuk menahan serangan ikan todak, lebih ramai rakyat Singapura yang akan mati Tuanku," sembah Hang Nadim ke hadapan Sultan.

"Hai si kecil, adakah kamu mempunyai cadangan yang lebih baik untuk beta?" Sultan pun bertanya kepada Hang Nadim.

"Ya Tuanku! Patik rasa adalah lebih baik jika kita menggunakan batang-batang pisang untuk melawan serangan ikan-ikan todak itu," jawab Hang Nadim.

"Batang pisang? Bagaimana caranya wahai Hang Nadim?" tanya Sultan dengan penuh hairan.

"Kita boleh menggunakan batang-batang pisang sebagai kubu di sepanjang pantai negeri kita. Apabila ikan-ikan todak menyerang, jongor todak akan terlekat pada batang pisang. Apabila ikan-ikan todak ini sudah terlekat, nah rakyat sekalian boleh menetak kesemuanya hingga mati," hujah Hang Nadim.

Apabila kata-kata Hang Nadim didengar oleh Sultan Singapura, baginda sedar akan kebenarannya. Tanpa berlengah lagi, baginda pun memerintahkan semua rakyat negeri itu untuk menanam batang-batang pisang di sepanjang pantai untuk dijadikan kubu.

Akhirnya, terbukti buah fikiran Hang Nadim berjaya mendatangkan hasil dan ikan-ikan todak semuanya berjaya ditewaskan dan negeri Singapura akhirnya terselamat.

Sultan Singapura berasa sungguh gembira dan baginda pun menghujani Hang Nadim dengan hadiah-hadiah yang istimewa. Baginda amat bersyukur kerana negeri Singapura dikurniakan dengan seorang kanak-kanak yang sungguh pintar lagi cerdas.

Malangnya, para pembesar negeri itu berasa sangat iri hati dan dengki dengan kepintar-cerdasan Hang Nadim. Mereka takut kalau-kalau Hang Nadim akan mengambil tempat mereka sebagai penasihat di-Raja dan kelak Hang Nadim akan menjadi lebih berpengaruh dan lebih berkuasa berbanding mereka.

"Budak lelaki ini masih kecil tetapi dia sungguh bijak. Apabila dia besar nanti, tentu akan menjadi lebih bijak. Aku yakin Sultan akan mengambilnya sebagai penasihat tertinggi baginda," kata Tun Bendahara yang menjadi ketua kepada para pembesar negeri yang lain.

"Hang Nadim mesti dibunuh, saudara-saudaraku! Aku akan memujuk Raja untuk membunuh budak itu dengan sokongan kalian semua," tambah Tun Bendahara dengan marahnya.

Para pembesar negeri pun bersepakat untuk menghasut Sultan agar membunuh Hang Nadim. Mereka menasihati Sultan agar membunuh Hang Nadim yang pintar cerdas itu kerana takut apabila besar kelak, dia akan menjadi lebih cerdik. Malah, mereka berjaya menyakinkan Sultan jika Hang Nadim menjadi lebih pintar cerdas dan mencapai umur remaja, nescaya mahkota Sultan pun akan cuba dirampasnya.

Mendengar hasutan para pembesar negeri yang tidak berasas itu, Sultan Singapura dengan serta-merta menjatuhkan hukuman bunuh tanpa usul periksa ke atas Hang Nadim, walaupun Hang Nadim telah berjasa kepada negeri Singapura.

Dengan kejamnya, Hang Nadim diikat dengan rantai besi lalu dihumban ke dalam laut hidup-hidup. Semua rakyat negeri Singapura berasa sungguh sedih dengan kematian Hang Nadim akan tetapi mereka semua berasa terlalu takut dan tidak berdaya untuk melakukan apa-apa usaha untuk menentang kezaliman itu.

Hari ini tinggallah nama Hang Nadim dalam lipatan sejarah dunia di sebelah sini, sebagai si kecil pintar cerdas yang telah menyelamatkan negara Singapura dari serangan todak tetapi jasanya yang amat besar dibalas dengan kekejaman dan kezaliman tanpa pembelaan.

Sumber: http://teechconsult.typepad.com/

Friday, September 2, 2011

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir - ‘Ulama dari Gunung”

Negeri bumi timah ini sememangnya tidak pernah ketandusan melahirkan ulama-ulama yang berketrampilan. Malahan kewibawaan mereka menjangkau ke seantero Nusantara sekaligus melewati ke seluruh dunia Melayu. Nama-nama mereka begitu harum di langit zaman dan meniti setiap bibir pengikutnya sejak zaman berzaman. Begitu jualah Ustaz Abu Bakar Al-Baqir yang amat sinonim dengan Parti Hizbul Muslimin (Hamim), sebuah parti Islam yang pertama tertubuh di Tanah Melayu. Menurut Dr. Ishak Haji Mohamad (Pak Sako) dalam Mastika, November 1973, nama Hizbul Muslimin itu telah dipinjam daripada pertubuhan politik di Mesir yang dalam bahasa Inggeris disebut The Muslim Brotherhood.

Penubuhan Hamim dirangka oleh Ustaz Abu Bakar Al-Baqir bersma-sama Dr. Burhanuddin Al-Helmi, alim ulama serta cendikiawan Islam di Maahad El Ehya’ Al Shariff (MAEAS), Gunung Semanggol Perak pada 14 Mei 1948 yang telah dihadiri seramai 5,000 orang. (Dr. Burhanuddin sebenarnya pernah berkhidmat di MAEAS mengajar ilmu politik Islam).

Sejarah mencatatkan, Hamim mendapat sambutan hebat daripada golongan kebangsaan berhaluan kiri yang terdiri guru-guru dan pelajar sekolah pondok seluruh tanah air. Namun begitu sejarah Hamim sebenarnya tidak panjang seperti MAEAS.

Justeru itu, Ustaz Abu Bakar Baqir bukan sahaja sinonim dengan Hamim tetapi lebih tertonjol bersama kecermerlangan MAEAS. Beliau bersama pemimpin Semanggol, Haji Abdul Rahman Mahmud telah mendirikan MAEAS pada tahun 1934 di atas tanah milik bapanya bagi menggantikan pondok Al Rahmaniah yang telah uzur.

Pondok yang terkenal itu menawarkan lima mata pelajaran penting seperti Ilmu teras (tauhid, tassawuf, fiqh, tafsir, hadis): Ilmu alat (nahu arab, sarf, balaghah); Ilmu pelengkap (sejarah Islam, logika, hisab, ilmu alam, al-tibb, bahasa Inggeris, kesusasteraan Melayu, tatanegara, sejarah umum, pidato umum, seni-khat) dan ilmu pertukangan yang diajar untuk pelajar putera sahaja.

MAEAS ialah sebuah sekolah agama rakyat yang cukup berjasa. Ia melahirkan ramai pemimpin, antaranya Allahyarham Tan Sri Muhammad Asri Muda, bekas Menteri Besar Kelantan. Pengasasnya pernah disebut sebagai ulama yang sentiasa membasahkan lidahnya dengan zikirullah. Kisah hidupnya tidak banyak ditulis orang. Namun begitu sumber yang dikumpulkan oleh Nabir Haji Abdullah dan risalah benar susunan Muhammad Asri (terbitan jamaah Pimpinan Umum Hizbul Muslimin) ada menyatakan bantahan terhadap penangkapan Ustaz Abu Bakar Baqir sekitar tempoh 1948-1952. Latar belakang beliau dimuatkan di dalam tulisan tersebut.

Berasal

Susur-galurnya berasal dari daerah Kendal Jawa Tengah. Datuknya, Haji Abdul Jabar merantau ke Tanah Melayu dan menetap di Gunung Semanggol pada pertengahan abad ke 19. Sebelum ke Gunung Semanggol, Haji Abdul Jabar pernah tinggal di Klang, Selangor dan kemudian berhijrah ke Kuala Kurau, Perak. Hasil usahanya, beliau meninggalkan tanah pusaka yang luas kepada anaknya, Mohd. Said iaitu bapa Ustaz Abu Bakar Baqir.

Mohd. Said cukup mementingkan pendidikan agama. Beliau mengasuh anak-anaknya; Muhaiyuddin, Abu Bakar, Abdullah, Aishah, Saodah dan Hafsah dalam suasana didikan Islam yang amat mendalam dan menerapkan Islam sebagai ad-deen.

Ustaz Abu Bakar Baqir lahir di Gunung Semanggol, Perak pada 1907. Ketika usianya enam tahun, anak kelima dari enam beradik ini belajar hingga darjah lima (tertinggi) di Sekolah Melayu Semanggol serta mempelajari fardu ain dan Al-Quran. Kemudian, dia menuntut di Madrasah Al Rahmaniah, Semanggol yang diasaskan oleh Haji Abdul Rahman Mahmud, bekas penuntut Jame’ Al-Azhar Mesir dan Masjid Al-Haram Makkah selama 15 tahun. Kira-kira enam tahun Ustaz Abu Bakar di pondok itu (1919-1924) mengaji fiqh, tauhid, tafsir, Al Quran dan hadis serta tatabahasa Arab.

Kepala Telaah

Di pondok ini, Ustaz Abu Bakar dilantik sebagai kepala telaah, (mengikut tradisi, jawatan itu tidak mampu disandang kecuali mereka yang mencapai tahap kelayakan akademik tertentu). Sebenarnya, pelantikan itu menunjukkan pengiktirafan Tuan Guru Haji Abdullah Pak Yim kepadanya. Dan pengiktirafan inilah yang mendorong Ustaz Abu Bakar menjadi pendidik di samping menubuhkan unit pengajian Kanzul Maarif di pondok itu. Menerusi unit ini Ustaz Abu Bakar bersama rakan-rakanya berlatih berdebat pada setiap malam Jumaat.

Minatnya untuk mendalami politik Islam kian bercambah apabila beberapa rakan, antaranya Ustaz Abdul Halim Haji Ahmad Maliki dan Ustaz Ahmad Score (kerana dia pemain bola sepak) sering berdebat mengkaji kemurnian Islam berbanding komunisme, kapitalisme dan faham politik yang lain.

Minat itu sentiasa dipupuk dan kian melebar ke arah menyemaikan semangat cintakan watan apabila beliau mengadakan hubungan dengan penuntut-penuntut Melayu di sekolah-sekolah agama di seluruh Tanah Melayu dan Singapura. Perhubungan dua hala itu bertujuan menubuhkan sekolah-sekolah agama Islam dan mencari ikhtiar mengembling tenaga untuk membebaskan tanah air dari cengkaman penjajah.

Antara yang berhubung rapat dengannya; Dr. Burhanuddin Al Helmi dan Fadhullah Shuhaimi (Singapura)’ Ahmad Mahir (Kelantan); Ahmad Fuad Hassan (Kuala Kangsar); Ismail Hamzah (kemudian Mufti-Kuala Kangsar); Haji Arshad (Bagan Datoh); Abdul Hadi Kamil (Sabak Bernam) dan Haji Hassan Yunus (Bekas Menteri Besar Johor 1959-1967)

Mengikut jejak

Pada tahun 1931 apabila Tuan Guru Haji Abdullah Pak Yim berpindah ke Madrasah Idrisiah Bukit Chandan, Kuala Kangsar kerana menunaikan jemputan Almarhum Sultan Iskandar Shah (1918-1938) menjadi guru, beliau ikut serta sebagai pelajar pula.

Di Madrasah Idrisiah dia sempat menuntut selama tiga tahun (1931-1933). Dia cukup disayangi gurunya, Haji Abdullah Pak Yim. Justeru, dia ditauliahkan sebagai guru sambil belajar iaitu pada separuh masa pertama setiap hari menjadi murid, separuh masa lagi menjadi pendidik dengan gaji RM 30.00 sebulan.

Pada tahun 1934 Ustaz Abu Bakar Baqir meletakkan jawatan dan pulang ke Gunung Semanggol.Kepulangan ini kerana dijemput oleh gurunya yang pertama iaitu pengasas Madrasah Al Rahmaniah, Haji Abdul Rahman Mahmud yang juga bakal bapa mertuanya. Setelah setahun kembali menetap di bumi kelahiranya, pada tahun 1935 dia berkahwian dengan Fatimah Abdul Rahman dan dikurniakan tujuh anak.

Kegiatan Ustaz Abu Bakar Baqir tidak hanya tertumpu kepada politik tetapi melebar ke arena ekonomi, kebajikan dan pendidikan. Namun begitu, bidang pendidikanlah yang paling menonjol. Beliau bukan sekadar ulama tetapi dikenali sebagai tokoh pendidik yang berkalibar, Pelantikannya sebagai pengerusi badan kebajikan dan pendidikan Majlis Agama Tertinggi SeMalaya (MATA) serta pernah merangka dasar pendidikan nasional membuktikan keupayaan beliau di bidang tersebut.

Dalam persidangan di MAEAS pada 15 November 1947, beliau dibantu oleh Abdul Al-Rabb Al Tamimi, berjaya membentuk Lembaga Pendidikan Rakyat (LEPIR) bertujuan menyeragamkan sukatan pelajaran sekolah agama rakyat di Tanah Melayu.

Bagi mencapai matlamat itu, sebuah pusat pendidikan sekolah rakyat ditubuhkan dan ia dikelolakan oleh Syeikh Zubir Haji Ahmad yang kemudiannya digantikan oleh Abdul Rabb Al Tamimi, MAEAS telah dijadikan contoh kepada sekolah agama rakyat di tanah air ketika itu.

Dalam bidang ekonomi dan kebajikan pula, Ustaz Abu Bakar mengetuai Persatuan Al Ehya Al Syarif sehingga akhir hayatnya (didaftarkan dibawah Undang-Undang Kompeni dan Syarikat pada 1940) mengusahakan tiga projek; kilang padi, stesen pam minyak dan stesen janakuasa elektrik.

Stesen janakuasa elektrik yang dibina pada tahun 1956 itu, menawarkan perkhidmatan kepada penduduk kawasan Gunung Semanggol, Bukit Putus, Bukit Gunung Semanggol, Kubu Gajah dengan bayaran RM1 sebulan bagi sebuah rumah selama satu dekad. Stesen ini kini telah diambil-alih oleh Tenaga Nasional Berhad.

Dalam menggerakkan ekonomi, beliau pernah menjelajah ke seluruh pelusuk tanah air untuk menarik minat orang Melayu mengusaha dan menggunakan barang buatan sendiri yang terjamin bersih dari segi syarak. Usaha beliau berhasil apabila beberapa kilang serbuk kopi, kicap dan taucu didirikan di Taiping, Tanjong Malim, Kuala Kangsar dan Ipoh sebagai tapak permulaan penceburan bangsa Melayu dalam dunia perniagaan,

Dalam bidang politik pula, beliau akrab dengan pemimpin Kesatuan Melayu Muda (KMM) seperti Ibrahim Yaakub dan Dr. Burhanuddin Al Helmi. Dia cukup serasi dengan Dr Burhanuddin. Ini dapat dilihat beberapa agenda penting MAEAS, Dr Burhanuddin turut sama sebagai penggerak utama. Umpamanya, persidangan Ekonomi-Agama SeMalaya yang berlangsung pada 22-24 Mac 1947, sekaligus mencetuskan penubuhan Pusat Perekonomian Melayu (PEPERMAS) dan MATA.

Seperti Dr Burhanuddin, Ustaz Abu Bakar Baqir turut menerima padah kerana menentang penjajah Inggeris. Dia dipenjara pada 29 Julai 1948 dan dibebaskan empat tahun kemudian (1952). Seiring itu, Hamim turut menerima nasib yang sama-berkubur apabila Ketua Umumnya terpenjara.

Setelah dibebaskan, Ustaz Abu Bakar tidak lagi bergiat dalam politik sebaliknya menumpukan perhatian memajukan MAEAS di samping berkhidmat sebagai ahli Majlis Mesyuarat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak serta menganggotai Jawatankuasa Syariah atas sifatnya sebagai seorang ulama.

Beliau juga pernah dilantik berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negara Perak dan dianugerahkan sebagai Tokoh Guru pada tahun 1975 setelah meninggal dunia.

Sesungguhnya, “ulama dari gunung” ini telah meninggalkan selaut jasa, segunung intan untuk bangsanya, sudahpun berpulang ke alam baqa ketika berusia 67 tahun kerana sakit tua pada tanggal 14 Julai 1974 dan disemadikan di tanah perkuburan Islam Gunung Semanggol – Al Fatihah buat Allahyarham oleh Zabidin Hj Ismail

Sumber: http://zabidin13.wordpress.com/

Thursday, August 4, 2011

Haji Abdur Rahman Limbong (Tok Limbong)


KELAHIRAN

Haji Abdul Rahman Limbong merupakan seorang ulama memiliki peribadi yang sangat menarik dan warak. Beliau juga seorang ulama pejuang menentang penjajah di Terengganu yang sangat disegani. Nama sebenarnya ialah Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Hamid bin Abdul Qadir. Sumber sejarah menerangkan bahawa ayahanda beliau berasal dari keturunan Patani. Tarikh kelahiran Haji Abdul Rahman Limbong sebenarnya tidak dapat dipastikan. Tapi dari sekian banyak maklumat dan rujukan dapat dipastikan beliau dilahirkan sekitar tahun 1285H/1868M.

Semasa kecilnya, seperti kanak-kanak lain, beliau dihantar oleh ayahandanya untuk mendalami pengajian agama Dan sememangnya di zamannya, perkembangan Islam cukup pesat. Oleh kerana itu tidak hairanlah jika beliau sejak kecil lagi sudah menerima pendidikan agama. Ada sumber-sumber yang menjelaskan bahawa sejak kecil lagi beliau menghabiskan masa bersama-sama bapa saudara beliau iaitu Haji Tun Muhammad Zain di Makkah. Setelah dewasa, beliau dibawa semula kembali ke Terengganu. Kepesatan perkembangan pondok-pondok pengajian yang begitu banyak di zaman itu mendorong beliau untuk mendalami lagi pengajian agama.

Di antara pondok-pondok yang terdapat di jajahan Terengganu, pondok Tokku Palohlah yang terkenal serta menjadi tumpuan para pelajar. Timbullah keinganan beliau untuk mengaji di pondok Tokku Paloh. Sebelum itu, sebagai persiapan ke pondok Tokku Paloh, beliau terlebih dahulu berguru kepada Tuan Guru Haji Yaakob Paya Bunga dalam pelajaran nahu saraf dan feqah. Dan beliau dikatakan hanya mengambil masa selama kira-kira dua bulan sahaja untuk menguasai pelajaran tersebut.

Dikatakan juga bahawa Haji Abdul Rahman Limbong sebagai seorang murid yang agak luar biasa kecerdasan akalnya. Sehingga dengan itu beliau mampu untuk mengajar murid-murid Haji Yaakob Paya Bunga yang lain. Dan sememangnya sejak kecil lagi telah terlihat pada diri beliau tanda-tanda yang beliau akan menjadi seorang tokoh yang terkenal dalam sejarah.


Haji Abdur Rahman Limbong

Setelah tamat mengaji kepada Haji Yaakob Paya Bunga, beliau mengaji pula kepada Haji Wan Musa. Dengan ilmu yang telah diperolehi dari Haji Yaakob Paya Bunga dan Haji Wan Musa, barulah beliau mula untuk merapatkan diri dengan pondok pengajian Tokku Paloh. Untuk pergi ke pondok pengajian Tokku Paloh dari tempat kediaman beliau, terpaksalah beliau berulang alik menaiki perahu. Semuanya ini dilakukan dengan penuh kesabaran dan ketabahan demi mendalami lagi pengetahuan agama. Hal yang semacam inilah yang dilalui oleh para ulama di zaman beliau sebelum mereka terkenal sebagai seorang ulama terkemuka.

Pada peringkat awal pengajian beliau dengan Tokku Paloh, beliau hanya menjadi khadam kepada Tokku Paloh. Beliau bertugas sebagai menyapu halaman rumah, membersihkan surau, menyediakan kayu api, mengisi air di kolah surau dan sebagainya. Dan sememangnya cara sedemikian dilalui oleh kebanyakan para ulama sufi demi peningkatan rohani. Melalui pendidikan seperti inilah akhirnya mereka menjadi tokoh-tokoh terkemuka di zaman mereka. Dan ini juga merupakan salah satu proses pendidikan tasauf demi untuk melahirkan manusia yang benar-benar bertaqwa.

Lama kelamaan, kelakuan beliau akhirnya diketahui oleh Tokku Paloh. Timbul rasa kasih Tokku Paloh terhadap beliau kerana kesungguhannya untuk belajar. Dan akhirnya beliau diterima menjadi murid kepada Tokku Paloh dan belajar bersama-sama pelajar-pelajar lain.

Haji Abdul Rahman Limbong mempunyai kecekapan yang agak luar biasa. Dalam masa yang singkat sahaja beliau dapat telah menguasai segala pelajaran yang diajarkan. Di samping itu beliau terkenal sebagai seorang yang sangat menghormati guru. Segala suruhan serta arahan guru-gurunya, dilaksanakan serta dipatuhi dengan segera. Apabila berhadapan dengan tuan gurunya, Tokku Paloh, beliau tidak pernah untuk mengangkat muka, betapalah pula untuk bertentangan mata. Kerana semuanya ini merupakan adab-adab dalam berguru sebagaimana yang telah diterangkan dengan panjang lebar oleh Imam al-Ghazali di dalam Ihya Ulumuddin.

Oleh kerana beliau boleh dikatakan di antara murid Tokku Paloh yang terpintar serta baik akhlaknya, maka tidak hairanlah mengapa Tokku Paloh begitu sayang dan kasih terhadap beliau. Tokku Paloh semacam mengharapkan Haji Abdul Rahman Limbong sebagai pengganti beliau selepas beliau meninggal dunia. Dan akhirnya ternyata bahawa Haji Abdul Rahman Limbong mewarisi kepimpinan serta perjuangan yang dilaksanakan oleh Tokku Paloh.

Oleh kerana beliau menjadi khadam kepada Tokku Paloh, membuat kerja yang berbagai-bagai, maka kuranglah masa beliau untuk dapat menghadiri majlis pengajian ilmu. Oleh kerana itu beliau hanya mendengar pengajian di tepi kolah sambil menatap kitab yang digunakan oleh Tokku Paloh. Hal ini dilakukan tanpa disedari oleh sesiapa pun. Dan apabila selesai sahaja pengajian, beliau menyembunyikan kitabnya di celah-celah atau surau. Ini menunjukkan yang yang beliau tidak mahu diketahui turut sama-sama belajar dengan murid-murid Tokku Paloh yang lain.

Oleh kerana Tokku Paloh memimpin tarekat Naqsyabandiyah, maka dengan tidak secara langsung Haji Abdul Rahman Limbong juga turut mengamalkan tarekat tersebut. Tarekat Naqsyabandiyah boleh juga dikatakan sebagai satu tarekat yang cukup terkenal serta banyak diamalkan dari dahulu sehinggalah ke hari ini. Di gugusan Kepulauan Melayu, tarekat Naqsyabandiyah boleh dikatakan memenuhi pondok-pondok pengajian di masa itu. Dan oleh kerana itu, peranan tarekat ini cukup besar sekali dalam pembentukan masyarakat Islam di sebelah sini.

Hasil dari pengajian tasauf serta amalan tarekat Naqsyabandiyah, lahirlah pada diri beliau sifat-sifat yang terpuji seperti zuhud, merendah diri, berakhlak tinggi dan sebagainya. Di antara sikap beliau ialah tidak suka menonjolkan diri walaupun beliau boleh dikatakan sebagai murid yang terpintar di antara murid-murid yang lain. Oleh kerana itu kita dapat difahamkan bahawa beliau lebih suka mengasingkan diri dari murid-murid Tokku Paloh yang lain. Beliau juga dikatakan mengulangkaji segala pelajaran secara bersendirian. Keadaan seumpama ini adalah melambangkan keperibadian seorang yang layak menjadi tokoh di tengah masyarakat. Sebab itu tidak hairan mengapa orang yang seumpama ini tetap menjadi ikutan serta tumpuan orang ramai.

Sifat Peribadi Yang Menarik

Sebenarnya, sejak kecil lagi telah terlihat sifat serta peribadi beliau yang terkenal warak, bersopan-santun, merendah diri, tenang hati dan sebagainya. Ini semuanya hasil didikan Tokku Paloh yang bertindak sebagai guru beliau. Demikianlah beliau menjalani alam pendidikan pondok sehingga akhirnya menjadi seorang ulama serta pemimpin yang berjuang ke tengah masyarakat. Kealiman beliau dalam bidang agama serta kesungguhan beliau mengamalkan tarekat Naqsyabandiyah, sehingga menyebabkan beliau mempunyai keperibadian yang cukup baik.

Haji Abdul Rahman Limbong memanglah diakui sebagai seorang yang sangat mengasihi kanak-kanak serta memuliakan orang-orang miskin serta anak-anak yatim. Lebih dari itu, beliau sanggup merendahkan diri dengan mencuci air kencing kanak-kanak yang sering datang ke surau beliau. Inilah satu sikap yang perlu ada kepada seorang pemimpin, iaitu perlu menunjukkan contoh serta teladan kepada mereka yang berada di bawah pimpinan mereka. Keadaan seumpama ini bukan menurunkan darjat mereka, bahkan akan menyebakan bertambahnya kepercayaan orang ramai terhadap mereka.

Di antara sikap Haji Abdul Rahman Limbong ialah suka sekali menolong orang yang sedang berada dalam kesusahan. Di samping itu beliau juga terkenal kuat beribadah kepada Allah SWT. Sementara pada siang harinya digunakan untuk mengajar murid-murid yang datang kepada beliau. Atas dasar inilah maka sebahagian orang menganggap beliau sebagai salah seorang Wali Allah serta mempunyai pengaruh yang cukup besar dalam masyarakat. Kebaikan serta kesolehan beliau terkenal oleh seluruh rakyat Terengganu.

Oleh kerana kebaikan serta kesolehan beliau terkenal di seluruh Terengganu, ramailah orang yang datang ke rumah beliau untuk berziarah serta meminta nasihat atau minta untuk diselesaikan masalah yang timbul. Segala masalah yang didatangkan kepada beliau tidaklah pernah beliau hampakan, malah sedaya upaya beliau cuba menyelesaikannya. Ini dengan sendirinya menambahkan lagi kepercayaan serta keyakinan orang ramai terhadap beliau.

Suatu hal yang istimewa mengenai peribadi beliau ialah sikap warak beliau. Beliau amat menghalusi tiap-tiap perkara yang haram dan subahat, terutama dalam soal makan dan minum. Ini mungkin beliau berpegang kepada hadis Rasulullah s.a.w. yang di antara lain menyebut bahawa hati manusia itu ditempah oleh makan dan minum. Apabila makanan dan minuman itu mengandungi perkara subahat, sudah tentu ianya akan dengan sendirinya merubah sikap serta peribadi seseorang. Dan atas dasar inilah maka beliau amat menjaga makan dan minum beliau serta hal-hal yang lainnya.

Mereka yang mengenali serta pernah bersama-sama beliau menyebutkan bahawa beliau tidak pernah singgah atau makan dan minum di kedai. Kerana lazimnya makan dan minum di kedai dengan sendirinya menjatuhkan kewibawaan seseorang pemimpin masyarakat. Umumnya diketahui bahawa di kedai-kedai selalu belaku perkara-perkara yang mungkar. Oleh kerana itu tidak hairanlah mengapa beliau tidak mahu singgah apatah lagi makan minum di kedai.

Seorang ulama serta pejuang di tengah masyarakat, sudah tentu merupakan orang yang sanggup mengorbankan kepentingannya demi perjuangan yang didukungnya. Lebih dari itu kebendaan bukanlah menjadi tujuan serta harapan dalam perjuangan. Apa yang menjadi harapan bagi mereka ialah untuk semata-mata membangunkan syariat Allah bertapak kukuh di atas muka bumi. Oleh kerana itu tidaklah hairan mengapa Haji Abdul Rahman Limbong tidak pernah sekali-kali meletakkan kebendaan sebagai suatu perkara yang penting.

Ini dapat diteliti berdasarkan kepada kehidupan rumahtangga beliau yang memang agak sederhana sekali. Tidak terdapat apa-apa perhiasan yang berharga di dalam rumah beliau kecuali barang-barang yang dianggap perlu dalam kehidupan. Seorang ahli tarekat apatah lagi seorang syeikh tarekat, sudah tentu tidak mahu keadaan rumahnya itu bersarang dengan bentuk-bentuk keduniaan. Kerana kehidupan yang agak mewah dengan sendirinya akanmenyebabkan penghuninya lalai serta berat dalam mengerjakan amal ibadah. Ini dapat diperhatikan jika kita mengikuti pengajian-pengajian tasauf yang amat menitikberatkan persoalan ini. Al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. sendiri pun berulangkali menerangkan bahawa kehidupan dunia ini serta segala macam perhiasan dunia ini merupakan penipuan kepada manusia yang hidup di atas muka bumi.

Haji Abdul Rahman Limbong memang sentiasa mengenakan pakaian yang melambangkan ciri-ciri keIslaman. Oleh kerana itu beliau sentiasa memakai baju Melayu atau jubah putih serta memakai serban. Ke mana-mana pun beliau sentiasa memakai terompah yang diperbuat sendiri atau pun dibeli dari orang lain. Kewarakkan beliau nampak jelas dengan sikap beliau yang tidak suka sama sekali memakai kasut yang diperbuat di kedai apatah lagi yang diperbuat oleh orang kafir. Lebih hebat lagi, apabila beliau berjalan melalui perkampungan orang-orang kafir, beliau akan menyamak kaki beliau.

Sebagai seorang ulama yang warak lagi taat kepada Allah SWT dan di samping sebagai seorang masyaikh tarekat Naqsyabandiyah, beliau amat kuat menjaga syariat. Ketelitian beliau dalam menjaga syariat dapat dilihat berdasarkan kepada kehidupan beliau sendiri. Tidak pernah sama sekali beliau bertentangan mata dengan kaum wanita walaupun dengan murid-murid beliau sendiri. Beliau juga akan menundukkan pandangan serta menyisihkan diri apabila bertembung dengan kaum wanita.

Sebagaimana guru-guru serta ulama pondok yang lain, beliau juga mempunyai dua khadam yang secara sukarela menolong beliau menyelesaikan tugas-tugas di rumah. Kedua-dua mereka ialah Haji Hussin bin Muhammad dan Haji Ali Yaakob. Mereka mendakwa bahawa mereka sama sekali tidak pernah melihat isteri Haji Abdul Rahman Limbong. Mereka berdua hanya dibenarkan mengangkat air untu kegunaan beliau setakat di hadapan pintu sahaja. Setelah mereka berdua pergi, isteri beliau akan membawa air itu masuk ke dalam rumah.

Demikian keterangan bagaimana kuatnya beliau menjaga syariat. Isteri beliau akan sentiasa mengenakan pakaian jilbab apabila keluar rumah bersama beliau kerana sesuatu urusan. Di kampung beliau sendiri, diadakan sekatan tempat permandian di antara kaum lelaki dan kaum wanita. Peraturan ini sengaja beliau adakan bertujuan tidak berlaku fitnah apabila lelaki dan wanita bercampur-gaul.

Keramat dan Kewaliannya

Sebenarnya, bakat kepimpinan serta keistimewaan yang ada pada beliau itu sudah pun kelihatan sejak beliau masih lagi berguru kepada Tokku Paloh. Beliau suka beruzlah (mengasingkan diri) daripada murid-murid Tokku Paloh yang lain. Seringkali beliau berulang-alik dari rumahnya ke pondok dengan bersendirian, walaupun jarak di antara rumahnya dengan pondok pengajian Tokku Paloh agak jauh. Keadaan beliau yang begini menimbulkan kehairanan di kalangan orang-orang yang sering memerhatikan segala kelakuan beliau.

Diceritakan bahawa ada tiga orang lelaki telah mengintai kelakuan Haji Abdul Rahman Limbong yang boleh menhilangkan diri dari pandangan manusia. Ketiga-tiga lelaki tersebut memanjat pokok kelapa di tepi sungai tempat beliau menyeberang sungai. Timbul kehairanan di hati mereka kerana di tepi sungai tersebut tidak pun terdapat perahu, rakit atau sebagainya.

Haji Abdul Rahman Limbong kelihatan duduk berselimut di atas batu yang agak besar di tepi sungai. Tiba-tiba sahaja beliau hilang dari pandangan dan sudah berada di tebing seberang sungai tersebut. Ini adalah beberapa keramat yang Allah SWT izinkan terjadi kepada beliau.

Mengikut cerita yang lain pula, Haji Abdul Rahman Limbong juga dipercayai tidak basah apabila ditimpa hujan walaupun cuma berterendak. Keadaan yang sama dikatakan pernah dialami oleh seorang mudridnya yang berteduh di dalam jubah beliau semasa mereka bersama di dalam perahu menghilir sungai, manakala orang lain yang menjadi pengayuh basah ditimpa hujan.

Suka Mengembara

Selain mengajar, Haji Abdul Rahman Limbong adalah seorang ulama yang suka mengembara atau merantau ke beberapa buah negeri. Soal kewangan untuk mengembara tidak sukar baginya kerana di mana tempat beliau berpijak, ada saja penduduk yang mahu menjadi muridnya. Pengembaraan yang dekat dengan Terengganu di antaranya ialah Beserah, Kuantan, kedua-duanya dalam Pahang. Selanjutnya Kelantan, Patani, Kedah dan lain-lain.

Negeri-negeri seberang laut yang pernah beliau merantau ialah Sambas, Jambi, Riau dan Brunei. Di negeri-negeri seberang laut itu juga terdapat murid-murid Haji Abdul Rahman Limbong.

Pengembaraan beliau ke negeri-negeri tersebut mempunyai kisah yang panjang, tetapi yang dapat diungkapkan di sini ialah tentang di Sambas dan Kepulauan Riau saja. Dalam pelayaran di laut, Haji Abdul Rahman Limbong menggunakan perahu buatan orang Terengganu sendiri. Beliau berlayar bersama-sama dengan murid-muridnya dari Terengganu dan juga ahli pelayaran pada zaman itu, bahawa mereka telah menggunakan perahu-perahu yang berukuran besar yang boleh dimuat barang-barang antara 100 hingga 350 tan.

Penjajahan & Campur Tangan Inggeris

Haji Abdul Rahman Limbong juga dikatakan sebagai seorang tuan guru yang sama masyhurnya dengan Tokku Paloh di masa itu. Oleh kerana itu, tidaklah begitu menghairankan jika Haji Abdul Rahman Limbong mendapat sambutan yang baik dari orang ramai yang mengenali beliau. Syed Sagof merpakan murid kesayaangan Haji Abdul Rahman Limbong. Bahkan lebih dari itu, beliau sentiasa mengharapkan bahawa suatu masa kelak Syed Sagof akan menggantikan beliau untuk meneruskan perjuangan yang beliau dukung selama ini.

Untuk itu, mereka merasakan perlu ada penentangan terhadap pihak penjajah Inggeris yang mana tujuan utama mereka turut campur tangan dalam pemerintahan ialah untuk menghancur serta meleburkan syariat Islam. Pihak penjajah telah sedikit demi sedikit menanamkan perasaan bencikan agama kepada golongan atasan serta rakyat sekeliannya. Ini dilakukan oleh mereka dengan membawakan bentuk kehidupan mewah serta pendidikan yang secara terang-terangan bertentangan dengan cara hidup beragama.

Para ulama serta tuan guru-tuan guru yang mempunyai jiwa cintakan agama telah bangkit menyeru rakyat untuk melakukan penentangan terhadap pihak penjajah Inggeris. Sungguh pun begitu, pada peringkat awal penentangan itu dilakukan bukan dengan bentuk senjata. Tetapi akhirnya terpaksalah mereka bengkit menentang menggunakan senjata setelah penentangan secara perlahan tidak berjaya memadamkan pengaruh penjajah yang semakin hari semakin meningkat.

Sebenarnya, kemasukan pihak penjajah dalam pentadbiran negeri-negeri Tanah Melayu bertujuan untuk menyerapkan unsur-unsur kehidupan dan kebudayaan mereka ke dalam kehidupan orang-orang Melayu yang pada ketika itu kuat berpegang dengan agama. Kita tidak hairan mengapa kehadiran mereka tidak disukai oleh rakyat. Tambahan pula kehadiran mereka ke negeri-negeri sebelah timur adalah sebagai lanjutan dari Peperangan Salib yang berlaku selama beberpa abad.

Dalam tahun 1920-an, Inggeris campur tangan untuk mentadbir tanah di lokasi Kuala Telemong hingga ke Ulu Telemong. Setiap ekar tanah yang dibuka oleh rakyat dikenakan cukai oleh penjajah Inggeris.

Oleh sebab itulah, Haji Abdur Rahman Limbong dalam hujah-hujahnya di mahkamah bahawa tanah yang dibuka oleh rakyat itu adalah hak Allah bukannya hak negeri. Mungkin maksud negeri itu adalah yang ada campur tangan penjajah Inggeris.

Haji Abdur Rahman Limbong menegaskan bahawa tanah yang mereka miliki adalah tanah pusaka peninggalan orang-orang tua mereka yang datang dari Johor bersama-sama dengan Sultan Zainal Abidin I, Sultan Terengganu yang pertama. Dari riwayat ini dapat kita membuat kesimpulan bahawa orang-orang Melayu Islam di Hulu Terengganu dalam tahun 1920 lagi, di bawah bimbingan Haji Abdur Rahman Limbong, sudah kenal jati diri, kenal terhadap haknya, kenal terhadap tanah air, dan kenal terhadap bangsa sendiri.

Setelah menggunakan berbagai tipu helah maka pihak Inggeris telah berjaya turut campur tangan dalam pemerintahan kerajaan Terengganu yang pada asalnya berasaskan perundangan Islam. Pihak penjajah sengaja mengenepikan perundangan Islam, sebaliknya menampilkan undang-undang ciptaaan mereka sendrri. Di samping itu mereka juga telah membawa unsur-unsur kehidupan serta kebudayaan mereka yang akhirnya berjaya mengubah akhlak serta kehidupan umat Islam sehingga ke hari ini.

Para ulama yang mempunyai jiwa cintakan agama memberi kesedaran kepada umat agar kembali semula kepada ajaran Islam. Tetapi seruan mereka hanya mendapat perhatian di kalangan rakyat berbanding dengan golongan atasan. Sementara itu, peraturan-peratauran yang dikenakan oeleh pihak penjajah Inggeris cuba mnekan kehidupan masyaraat yang kebanyakkannya terdiri dari kaum tani yang miskin.

Lama kelamaan pihak penjajah mula meragui Haji Abdul Rahman Limbong serta menganggap beliau sebagai merbahaya kerana dikatakan menghasut rakyat untuk menentang kerajaan. Sungguhpun demikian, pihak Inggeris tidak berani mengambil apa-apa tindakan terhadap beliau. Ini mungkin disebabkan bahawa apa yang beliau lakukan tidak menampakkan apa-apa kesalahan.

Di samping itu terdapat seorang tokoh ulama yang turut menyeru rakyat menentang pihak penjajah. Beliau ialah Haji Musa bin Abdul Ghani Minangkabau. Beliau telah menebut kepaa rakyat bahawa barangsiapa yang membayar pas menebas pas menebas (cukai) dan hasil-hasil tanah akan termasuk golongan kafir. Beliau juga berkata, ”Barangsiapa yang tidak mahu mengikut hukum syarak, Nabi tidak mengaku umatnya.”

Penentangan 21 Mei 1928

Akhirnya berlakulah peristiwa penentangan rakyat Terengganu terhadap pihak penjajah. Puncak kebangkitan rakyat menentang kerajaan ini ialah pada 21 Mei 1928. Kebangkitan 1928 melibatkan konflik berdarah, apabila perkumpulan dan kemaraan petani telah ditentang oleh pihak kerajaan di Ulu Telemong.

Pemberontakan Menentang Campurtangan Inggeris yang diketuai oleh Tok Limbong

Dalam perkara ini Haji Abdul Rahman Limbong disalahkan sebagai orang yang bertanggungjawab menimbulkan pemberontakan dan penentangan ini. Oleh kerana itu, pihak penjajah meneluarkan ancaman untuk menangkap beliau. Untuk meredakan suasana yang berlaku, maka Haji Abdul Rahman Lombong menyerah diri di Istana Maziah. Tidak ada seprang pun yang berani mendekati beliau semasa berada di istna tersebut. Beliau menafikan tuduhan yang mengatakan bahawa beliaulah yang menjadi punca berlkunya penetangan rakyat terhadap pihak penjajah.

Atas tuduhan tersebut, Haji Abdul Rahman Limbong dihadapkan ke perbicaraan mahkamah. Perbicaraan tersebut dibuat di padang dan disaksikan oleh pegawai Inggeris serta orang ramai. Kebetulan pula kerusi yang beliau duduki itu menghadap ke arah kiblat, maka beliau terus menerus bersolat sepanjang majlis perbicaraan tersebut berjalan.

Akhirnya keputusan diambil oleh pihak Inggeris yang mana Haji Abdul Rahman Limbong dibuang negeri ke Makkah. Sebelum itu terdapat pihak-pihak yang mensyorkan supaya beliau dibuang negeri ke China. Tetapi akhirnya keputusan diambil bahawa beliau dibuang negeri ke Makkah. Dan sememangnya haji Abdul Rahman Limbong sendiri bercadang untuk menghabiskan sisa-sisa umurnya ke Makkah.

Pembuangan Di Makkah & Wafatnya

Sungguhpun beliau telah dibuang ke Makkah, namun pengajaran dan perjuangan yang beliau bangunkan masih tetap utuh. Beliau masih tetap mengajar walaupun berada di Makkah. Ramai murid-murid beliau yang menyambung semula pengajian kepada beliau di Makkah ataupun menemui beliau sewaktu menunaikan ibadah haji.

Umat Islam Terengganu menunggu ketibaan Tuan Guru Hj Abdul Rahman Limbong yang menyerah diri kepada Sultan Sulaiman untuk dihukum buang negeri ke Makkah.

Sewaktu beliau di Makkah, pernah beliau meminta kebenaran untuk pulang sebentar ke Terengganu. Tetapi malangnya permintaan beliau ditolak dengan alasan bahawa beliau nanti akan menimbulkan semangat kepada rakyat Terengganu. Akhirnya, setelah sekian lama beliau berkhidmat mengajar berbagai pengetahuan tentang agama di Makkah, maka beliau pun dijemput oleh Allah SWT untuk mangadapNya. Beliau meninggal dunia pada 14 Jamadilakhir 1348 (1929) kerana menghidap penyakit di dalam perut. Dengan itu berakhirlah perjuangan seorang ulama yang berpengaruh serta pengajarannya cukup ketara di dalam kehidupan masyarakat Islam Terengganu sehinggalah ke hari ini.

Surat Perisytiharan Buang Negeri

Demikianlah beliau yang dengan ketokohannya menjadi seorang ulama, dapat menjadi contoh serta teladan kepada generasi para ulama selepas beliau. Dan tidak sepatutnya para ulama hanya mendiamkan diri tanpa membuar sesuatu untuk kepentingan agama. Sepatutnya hendaklah diketahui, bahawa perjuangan yang dilaksanakan oleh Haji Abdul Rahman Limbong ialah untuk menegakkan kesucian agama dari pengaruh-pengaruh Barat yang menjejaskan keimanan umat Islam di waktu itu.

Susunan:

M.A.Uswah, Sandakan,

Rujukan:
  • Ringkasan Riwayat 11 Tokoh-Tokoh Sufi susunan Hamizan Hussin, terbitan Bismi Publishers, 1993.
  • Ulama Terengganu, Suatu Sorotan suntingan Muhammad Abu Bakar, terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, 1991.
  • Haji Abdur Rahman Limbong, Ulama dan Pahlawan Melayu tulisan Wan Mohd Shaghir Abdullah, Utusan Malaysia, 2007.
Sumber: http://irfanirsyad.wordpress.com/