Showing posts with label Pendidikan dan Perkembangan Kanak-kanak. Show all posts
Showing posts with label Pendidikan dan Perkembangan Kanak-kanak. Show all posts

Wednesday, September 19, 2012

Memupuk Kreativiti Dan Ekspresi Diri Dalam Kanak-kanak

Ekspresi diri memainkan peranan penting dalam perkembangan kanak-kanak.



Ekspresi diri adalah aspek perkembangan kanak-kanak yang sangat penting. Anak anda sepatutnya boleh meluahkan perasaan, emosi, fikiran dan kreativitinya dengan bebas dan selamat. Menyediakan persekitaran yang dipenuhi rasa hormat, kasih sayang dan belas kasihan merupakan cara terbaik untuk membantu anak anda mengekspresi dirinya, kerana tanpa ini, adalah amat sukar untuk anak anda meluahkan perasaannya.

Secara amnya, terdapat tiga jenis ekspresi diri: Ekspresi Seni, Ekspresi Bermain, dan Ekspresi Membina.


Serlahkan bakat seni anak anda!

Ekspresi seni merupakan salah satu cara terbaik untuk mengekspresi diri. Berikan anak anda pensil warna dan kertas, dan anda akan kagum dengan hasil lukisan atau mewarnanya. Mengecat, melukis, mewarna dan menulis merupakan bentuk-bentuk luahan yang kukuh untuk pelbagai emosi yang anak anda rasai atau alami di dalam aktiviti hariannya.

Membenarkan anak anda mengecat atau melukis secara bebas boleh membantu membuka mindanya. Ini adalah komponen penting dalam perkembangan seorang kanak-kanak, dan kanak-kanak sering membentuk fikiran dan idea menerusi lukisan mereka, walaupun hanya melukis objek atau bentuk-bentuk yang tidak berkaitan! Jenis ekspresi diri ini adalah yang paling penting dalam mengembangkan kemahiran komunikasi dan emosi, serta kesedaran psikologi.

Bermain, bentuk ekspresi yang penting!

Ekspresi bermain merupakan satu lagi cara untuk membantu anak anda mengekspresi diri. Dengan membenarkannya bermain dengan kanak-kanak lain menerusi sukan dan aktiviti lain yang menyeronokkan, anda boleh mengajarnya tentang kerjasama, kemahiran hubungan dan juga menghormati orang lain. Tambahan lagi, anda juga boleh menyediakan batasan dan peraturan sebagai panduan. Ini membantu kanak-kanak untuk bermain dan bersuka-ria secara bertanggungjawab tanpa menganggu waktu bermain dan juga perkembangan mereka.

Pastikan anak anda tidak menonton televisyen terlalu lama kerana ia merupakan perantaraan sehala dan tidak akan membantu menggalakkan sebarang pemikiran kreatif atau kritikal. Sebaliknya, cubalah untuk bermain permainan papan dengan anak anda secara sekeluarga ataupun permainan interaktif lain yang akan meningkatkan kreativiti dan kemahiran fikiran anak anda.

Batu asas ke arah perkembangan

Cara terakhir untuk menggalakkan ekspresi diri adalah menerusi ‘Ekspresi Membina’ yang melibatkan pembinaan objek. Apa sahaja yang memerlukan pembinaan seperti rumah anak patung atau robot dan kereta model adalah baik untuk menggalakkan kemajuan dan kreativiti semulajadi anak anda. Dengan mengikuti arahan cara pemasangan, dia akan belajar dan lebih sedar tentang peranan garis panduan. Ini akan turut membantu anak anda menghasilkan sesuatu menggunakan kreativitinya. Kanak-kanak perlu belajar mematuhi garis panduan, peraturan dan arahan, serta digabungkan dengan kreativiti.

Galakkan anak anda untuk mengekspresi diri!

Anda tidak perlu membeli barang mainan dan bahan seni yang mahal untuk membantu anak anda mengekspresi diri. Permainan papan boleh membantu perkembangan anak anda dan anda boleh membantu meningkatkan kemahiran ini dengan meminta atau memberi komen dan soalan semasa bermain. Cuba rangsang idea-idea kreatif dengan menggalakkan anak anda mencipta cara-cara baru dan berbeza untuk menggunakan barang mainan atau peralatan lain.

Jangan cuba menyekat; pastikan anak anda sentiasa bermain dengan permainan yang selamat. Yang paling penting, buka minda anda untuk idea-idea baru dan asli, serta galakkan anak anda untuk menggunakan kemahiran atau kreativiti mereka! Anak anda akan menggunakan kemahiran yang dipelajari semasa perkembangan zaman awal kanak-kanak mereka untuk menghadapi banyak situasi kehidupan sebenar di masa akan datang

Oleh Dr M Swamenathan, Pakar Perunding Psikiatri

Sumber: http://www.mypositiveparenting.org/

Wednesday, September 12, 2012

Anak Anda Suka Menghisap Ibu Jari?


Latar belakang

Menghisap ibu jari adalah tabiat yang biasa di kalangan kanakkanak. Kebanyakan kanak-kanak akan menghentikan tabiat ini apabila mencapai umur 2 hingga 4 tahun.

Bilakah tabiat menghisap ibu jari menjadi satu masalah?

Menghisap ibu jari akan menjadi satu masalah JIKA tabiat ini berterusan sehingga gigi kacip kekal tumbuh.

Apakah kesan menghisap ibu jari?

Tabiat menghisap ibu jari yang berterusan boleh menyebabkan:

- Gigi Jongang
Gigi jongang

- Masalah gigitan
Gigitan terbuka - gigi kacip di rahang atas dan bawah tidak rapat

Bagaimana tabiat ini boleh dihentikan?

Berikut ialah antara petua untuk membantu anak anda berhenti menghisap ibu jari.
  • Balut ibu jari.
  • Sapukan bahan yang rasanya tidak disukai oleh kanak-kanak seperti kuinin atau lada
  • sulah pada ibu jari.
  • Beri pujian, ganjaran dan perhatian apabila anak anda tidak menghisap ibu jari.
  • Pastikan anak anda sibuk dengan aktiviti seperti menyanyi dan bermain muzik supaya lupa untuk menghisap jari.
  • Libatkan anak anda dengan aktiviti yang melibatkan pergerakan tangan. contoh: alat permainan
  • Dapatkan khidmat nasihat pakar sekiranya tabiat ini berterusan sehingga gigi kacip kekal tumbuh (berumur 7-8 tahun).

Tuesday, September 11, 2012

Tanda-tanda anak bijak


Setiap ibubapa akan berbangga jika dianugerahkan anak yang bijak, lebih-lebih lagi genius. Walaupun demikian, di mata ibu bapa, semua anak-anak mereka adalah bijak. Biar pun bukan semua anak dianugerahkan bakat untuk menjadi seorang yang genius, namun masih terdapat beberapa panduan untuk mengukur sejauh mana bijaknya anak-anak anda.

Mengekalkan maklumat

Jika kanak-kanak biasa bagaikan ‘masuk telinga kiri, keluar telinga kanan’ apabila diajar. Anak anda boleh dikatakan bijak jika mereka mampu menyimpan maklumat dan boleh mengingatinya pada masa yang lain.

Minda kanak-kanak umpama span yang akan menyerap segala apa yang dilihat dan diajarkan kepadanya. Disebabkan itulah kita digalakkan mengajar anak-anak sejak dari usia kecil. Melentur buluh, biarlah dari rebungnya.

Minat yang meluas

Minda anak yang cerdas mungkin menunjukkan minatnya terhadap pelbagai topik disekelilingnya. Bulan ini mungkin dia minat dinosour, bulan depan pula angkasa lepas, bulan berikut pula topik yang lain dan begitulah seterusnya.

Membaca dan menulis di usia muda

Anak anda boleh dikatakan seorang yang bijak jika dia mampu membaca dan menulis di awal usia biar pun tidak melalui pengajaran yang formal.

Berbakat dalam seni muzik dan artistik

Kanak-kanak yang boleh memaparkan bakat luar biasa dalam muzik atau seni seringkali dianggap berbakat.

Menunjukkan konsentrasi

Kanak-kanak biasa tidak diketahui tahap konsentrasinya biar pun dalam tempoh yang panjang, sebaliknya kanak-kanak yang bijak ini sentiasa menunjukkan konsentrasinya terhadap sesuatu.

Mempunyai ingatan yang baik

Sama seperti no.1, sesetengah kanak-kanak boleh mengingati perkara-perkara yang mereka lakukan sewaktu mereka masih kecil.

Susun kata yang maju berbanding usia

Kanak-kanak yang bijak berbicara ketika kecil jika kita sering berbual dengannya menggunakan ayat dan perbendaharaan kata seperti mana orang dewasa, akan cepat menyerap dan memahami apa yang dibualkan orang yang lebih dewasa.

Misalnya, anak-anak yang berusia 2 tahun akan berkata, ‘itu kucing’, sebaliknya anak-anak yang bijak ini akan berkata ‘itu kucing yang garang yang suka membuat bising dirumah kami’. Berbeza bukan?

Memberi perhatian yang terperinci

Kanak-kanak yang berbakat ini dapat mengingati dan peka dengan keadaan sekelilingnya. Misalnya mampu untuk menyimpan barang permainannya ditempat ianya diambil atau menyedari jika sesuatu barang kesukaannya itu berubah kedudukan dan sebagainya.

Bertindak sebagai pengkritik dirinya

Kanak-kanak di usia kecul tidak terlalu bimbang apa yang berlaku terhadap dirinya mahu pun orang lain, asalkan dia dapat apa yang dimahukannya. Sebaliknya, kanak-kanak yang bijak akan bersikap berlawanan dan mengambil berat apa yang berlaku terhadap orang lain, tetapi apa yang lebih penting adalah dirinya.

Memahami konsep yang rumit

Kanak-kanak yang cerdas berkemampuan untuk memikirkan sesuatu perkara yang rumit, melihat hubung kait antaranya dan berfikir secara abstrak.

Mereka juga dapat memahaminya secara mendalam dan berfikir tentang jalan penyelesaiannya.

Sumber: http://idakamilia.com/

Wednesday, May 2, 2012

Kebaikan belajar sambil bermain kepada kanak-kanak


Bermain adalah sesuatu yang sukar untuk kanak-kanak. Sesuatu yang bagi orang dewasa mudah, bodoh dan comel mungkin sebaliknya kepada kanak-kanak. Dengan bermain, kanak-kanak dapat meneroka keadaan sekelilingnya (samada di rumah, di playground etc), memahami sesuatu, membina fizikal, kognitif, emosi dan sosial skil bersama orang lain.

Meneroka keadaan sekelilingnya

Dengan bermain, kanak-kanak akan membina hubungan dengan keadaan sekelilingnya dan orang-orang di sekelilingnya. Apabila mereka bermain, mereka akan dapat membina pola dan membina skema mereka sendiri. Terutama bagi kanak-kanak bertatih, mereka akan dapat bergerak bebas dengan kedua-dua kakinya untuk meneroka keadaan sekeliling.

Membina Skil fizikal

Terdapat dua aspek di dalam skil fizikal iaitu kemahiran motor kasar dan kemahiran motor halus. Kedua-dua ini tentu sekali dapat dimantapkan dengan bermain. Contohnya kemahiran motor kasar dapat diperolehi daripada aktiviti-aktiviti seperti melompat, berbasikal, naik turun tangga, memanjat, menari, bergayut dan lain-lain lagi. Kemahiran motor halus pula adalah koordinasi mata dan tangan kanak-kanak. Contoh aktiviti ini seperti menguntai manik, bermain pasir, menggunting, menguntai tali kasut, dan menampal.

Kedua-dua kemahiran ini perlu seimbang supaya kanak-kanak dapat berkembang dengan baik.

Membina Kemahiran Kognitif

Aspek kognitif adalah satu penekanan yang semakin penting dewasa ini. Kanak-kanak yang kurang diberikan pendedahan daripada aspek ini akan menyebabkan mereka kurang daripada aspek pembelajaran kelak. Aspek kognitif yang penting adalah seperti penyelesaian masalah (contoh aktiviti: permainan blok, membina istana daripada pasir dsb), kreativiti (lukisan, tarian), fokus, ingatan dan inovasi.

Membina kemahiran emosi

Untuk menjadi dewasa yang stabil, kanak-kanak perlu dididik tentang emosi yang stabil. Kanak-kanak perlu digalakkan untuk mengenalpasti perasaan org lain, meluahkan perasaan sendiri supaya ketegangan dan tekanan dapat dielakkan.

Membina kemahiran sosial

Kebanyakan kanak-kanak bermain dengan supervision yang minimal daripada orang dewasa. Bagaimanapun kanak-kanak perlu digalakkan untuk bermain sesama sendiri supaya mereka mengenal keperluan orang lain, bertolak ansur, bekerjasama dan membina nilai2 murni daripada situ.

Sumber: http://mamahakim.wordpress.com/

Thursday, April 26, 2012

Lambat Bertutur, Adakah Si Manja Anda Normal?


Anak anda sudah menjangkau usia tiga tahun tetapi masih belum bertutur? Mungkin dia mampu melafazkan beberapa perkataan tetapi masih jauh ketinggalan jika dibandingkan kanak-kanak seusianya yang lain. Adakah ini normal atau satu isyarat lain yang mana anda perlukan pandangan pakar?

Tahap perkembangan pertuturan si manja biasanya siring dengan peningkatan usianya atau sebaliknya. Jadi, penting untuk para ibu bapa mengenal pasti keupayaan anak bertutur agar si kecil seiring perkembangannya. Sebagai insan paling rapat dengan mereka, sudah tentu anda boleh merasakan sesuatu jika ada yang ‘kurang’ pada anak ini. Jadi, lebih mudah untuk ibu bapa membincangkan dan mendapatkan pandangan pakar tentang teknik meningkatkan keupayaan komunikasi kanak-kanak ini.

Bagaimana cara menilai keupayaan kanak-kanak ini bertutur atau berkomunikasi? Berikut beberapa panduan yang boleh membantu anda :

Sebelum 12 Bulan
Sangat penting untuk anda mengenal pasti sama ada si manja anda sedang menggunakan suara mereka untuk berhubung dengan persekitarannya. Berdekut (bercakap secara lembut) dan mengagah adalah peringkat awal perkembangan pertuturan si manja. Apabila semakin membesar (sekitar 9 bulan), bayi anda mula menggabungkan bunyi yang dihasilkan seperti “mama” dan “papa” (walaupun masih belum benar-benar memahami perkataan yang dilafazkan itu).

Dalam usia ini juga si manja anda perlu peka kepada bunyi dan mula mengenali nama-nama objek yang biasa diperhatikannya seperti botol susu dan puting. Bayi yang bersungguh-sungguh memerhati tetapi tidak bertindak balas kepada bunyi yang terhasil menunjukkan tanda-tanda hilang pendengaran.

Dari 12 Hingga 15 Bulan

Dalam usia sebegini si manja perlu menghasilkan pelbagai bunyi pertuturan ketika diagah seperti p, b, m, d, atau n. Mereka mula meniru bunyi yang lebih kurang dengan perkataan yang diucapkan oleh ahli keluarganya. Biasanya satu atau lebih perkataan yang diucapkannya (tidak termasuk “mama” dan “papa”) secara spontan. Kata nama seperti “bayi” dan “bola” adalah perkataan awal si manja. Anak anda juga berupaya untuk memahami dan mengikut arahan mudah seperti “berikan mama bola itu.”

Dari 18 Hingga 24 Bulan

Keupayaan kanak-kanak adalah pelbagai. Lazimnya, kanak-kanak yang berusia 18 bulan mampu menyebut 20 perkataan. Apabila menginjak usia dua tahun pula mereka boleh menyebut 50 perkataan atau lebih.

Sewaktu di usia dua tahun si manja anda mula menggabungkan dua perkataan untuk membuat ayat-ayat yang mudah seperti “baby menangis“ atau “lori besar.”

Dari 3 Hingga 4 Tahun

Ibu bapa sering menjadi saksi kebijaksanaan anak-anak menggunakan perkataan dalam komunikasi mereka. Perbendaharaan kata kanak-kanak di usia ini perlu menunjukkan peningkatan seiring dengan kefahamannya .

Pada usia tiga tahun, anak anda perlu memahami maksud “letak cawan itu di atas meja” atau “simpan permainan itu di bawah katil.” Anak anda juga harus tahu mengenal pasti warna dan memahami konsep deskriptif seperti; banyak berbanding sedikit.

Perbezaan Pertuturan Dan Bahasa

Pertuturan: Ungkapan bahasa lisan yang jelas bunyinya di mana bunyi dan perkataan terbentuk. Bahasa: Lebih luas dan merujuk kepada seluruh sistem penyataan dan penerimaan maklumat dengan cara yang bermakna. Ia memahami dan difahami melalui komunikasi lisan, bukan lisan dan bertulis.

Si manja mungkin bermasalah jika...
  • Tidak menggunakan gerak isyarat, seperti menunjuk atau melambai selamat tinggal ketika usianya sudah menjangkau 12 bulan.
  • Lebih gemar membuat gerak isyarat berbanding lisan dalam komunikasi meskipun usianya telah menginjak 18 bulan.
  • Memiliki masalah untuk meniru bunyi sewaktu usianya menjangkau 18 bulan.
  • Mempunyai kesukaran memahami permintaan lisan yang mudah.
  • Hanya mampu meniru ucapan atau tindakan orang lain dan tidak mengeluarkan perkataan atau frasa secara spontan.
  • Hanya menghasilkan bunyi atau perkataan-perkataan tertentu secara berulang kali dan tidak boleh menggunakan bahasa lisan untuk berkomunikasi dengan serta-merta.
  • Tidak mampu mengikut arahan mudah.
  • Mengeluarkan nada yang luar biasa (seperti berbunyi parau atau dari hidung).
Punca Lambat Bercakap

Banyak faktor yang boleh menyebabkan si manja lambat bercakap dan lemah perkembangan bahasanya. Antaranya mungkin disebabkan oleh gangguan secara lisan, seperti masalah dengan lidah atau lelangit. ‘Frenulum’ (tali lidah) pendek juga boleh mengehadkan pergerakan lidah untuk bercakap.

Kebanyakan kanak-kanak lambat bercakap adalah disebabkan oleh masalah motor-oral, bermakna ada komunikasi di kawasan otak yang bertanggungjawab untuk mengeluarkan percakapan mereka tidak cekap. Mereka menghadapi kesukaran menggunakan dan menyelaras bibir, lidah dan rahang untuk menghasilkan bunyi pertuturan. Ucapan mungkin satu-satunya masalah atau boleh diiringi dengan masalah motor-oral lain seperti kesukaran menyusu.

Masalah pendengaran juga biasanya berkaitan dengan percakapan yang lewat. Sebab itulah pendengaran kanak-kanak perlu diuji oleh seorang ahli audiologi apabila timbulnya masalah pertuturan. Di kalangan mereka. Kanak-kanak yang mempunyai masalah pendengaran mungkin mempunyai masalah untuk menjelaskan, memahami, meniru dan menggunakan bahasa.

Jangkitan telinga (jangkitan kronik) boleh menjejaskan keupayaan pendengaran. Jangkitan telinga yang ringan perlu diberi rawatan segera. Jika tidak, masalah ini boleh meninggalkan kesan kepada pertuturannya.

Rawatan

Jika doktor anda merasakan bahawa si manja mempunyai masalah pertuturan, penilaian awal oleh seorang pakar patologi pertuturan bahasa adalah amat penting. Sekurang-kurangnya, menerusi pemeriksaan terperinci daripada seorang pakar ia boleh meredakan kebimbangan anda.

Jika anda tidak tahu untuk mencari ahli patologi pertuturan bahasa sendiri, sila bertanya kepada doktor yang biasa memeriksa kesihatan anak anda. Mereka boleh membantu mendapatkan seorang pakar bertauliah untuk rujukan anda.

Dalam menjalankan penilaian, patologi pertuturan bahasa ini akan meneliti pengucapan kanak-kanak yang bermasalah dan menilai kemahiran bahasa dalam konteks pembangunan jumlah. Patologi pertuturan bahasa juga akan menjalankan ujian dan skala yang seragam. Mereka akan berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah pertuturan dan perkembangan bahasa pesakit.

Pakar patologi pertuturan bahasa juga akan menilai :
  • Sejauh mana pemahaman si manja anda (Receptive Language)
  • Perkataan yang boleh dilafazkan oleh anak anda (Expressive Language)
  • Sama ada anak anda sedang cuba untuk berkomunikasi dengan cara lain seperti; menunjuk, menganggukkan kepala, isyarat dan sebagainya.
  • Perkembangan bunyi dan kejelasan pertuturannya.
  • Status motor-oralnya (sama ada mulut, lidah, lelangit dan sebagainya berfungsi seiring sewaktu bercakap, makan dan menelan)
  • Jika pakar patologi mendapati anak anda memerlukan terapi pertuturan, kerjasama anda adalah sangat penting. Anda perlu memerhatikan sewaktu sesi terapi dilakukan dan belajar untuk menyertai proses tersebut. Ahli terapi juga akan menunjukkan cara yang anda boleh lakukan dalam membantu perkembangan pertuturan anak anda di rumah.
Apa Yang Anda Boleh Lakukan?

Menghabiskan banyak masa berkomunikasi dengan anak anda seperti ceramah, menyanyi dan menggalakkannya meniru bunyi dan gaya badan.

Membaca untuk anak anda, bermula seawal 6 bulan. Anda tidak perlu menghabiskan seluruh buku, tetapi mencari buku lembut bergambar yang bersesuaian dengan umurnya bagi menggalakkan si manja untuk melihat semasa anda menamakan setiap gambar yang terdapat dalam buku tersebut. Cuba mulakannya dengan buku-buku klasik (seperti Pat the Bunny) di mana si manja boleh meniru pergerakan menepuk atau menyentuh buku yang mempunyai tekstur. Kemudian, biarkan anak anda biasa dengan gambar-gambar yang dilihatnya itu dan cuba untuk menamakannya. Si manja anda mungkin mula menghafal cerita kegemarannya.

Gunakan situasi harian untuk memperkukuhkan ucapan serta bahasa anak anda. Dalam erti kata lain, bercakap dengannya sepanjang hari. Contohnya; nama makanan, nama kedai runcit, terangkan apa yang anda lakukan apabila anda memasak makanan atau membersihkan bilik, titik objek di sekitar rumah dan kerap bertanyakan soalan kepada si manja. Bualkan perkara-perkara yang mudah dan jangan sesekali menggunakan ‘bahasa bayi.’

Oleh: Editorial PaMa
Tarikh: 28 Mac 2012
Sumber: http://pama.karangkraf.com/