Tuesday, June 22, 2010

Nabi Musa bermunajat di Bukit Sina


SELEPAS keluar dari Mesir, Nabi Musa bersama sebahagian pengikutnya dari kalangan Bani Israel menuju ke Bukit Sina untuk mendapatkan kitab panduan daripada Allah. Namun, sebelum itu Musa disyaratkan berpuasa selama 30 hari pada Zulkaedah.

Ketika mahu bermunajat, beliau beranggapan bau mulutnya kurang menyenangkan. Beliau menggosok gigi dan mengunyah daun kayu, lalu perbuatannya ditegur malaikat dan beliau diwajibkan berpuasa 10 hari lagi. Dengan itu puasa Musa genap 40 hari. Sewaktu bermunajat, Musa berkata: "Ya Tuhanku, nampakkanlah zatMu kepadaku supaya aku dapat melihatMu."

Allah berfirman: "Engkau tidak akan sanggup melihatKu, tetapi cuba lihat bukit itu. Jika ia tetap berdiri tegak di tempatnya seperti sediakala, maka nescaya engkau dapat melihatku."

Musa terus memandang ke arah bukit yang dimaksudkan itu dan dengan tiba-tiba bukit itu hancur hingga masuk ke perut bumi, tanpa meninggalkan bekasnya. Musa terperanjat dan gementar seluruh tubuh lalu pengsan.

Bertasbih

Apabila sedar, Musa terus bertasbih dan memuji Allah, sambil berkata: "Maha besarlah Engkau ya Tuhan, ampuni aku dan terimalah taubatku dan aku akan menjadi orang pertama beriman kepadaMu."

Sewaktu bermunajat, Allah menurunkan kepadanya kitab Taurat. Menurut ahli tafsir, ketika itu kitab berkenaan berbentuk kepingan batu atau kayu, namun padanya terperinci segala panduan ke jalan diredhai Allah. Sebelum Musa pergi ke bukit itu, beliau berjanji kepada kaumnya tidak akan meninggalkan mereka lebih 30 hari. Tetapi Nabi Musa tertunda 10 hari, kerana terpaksa mencukupkan 40 hari puasa.

Bani Israel kecewa dengan kelewatan Musa kembali kepada mereka. Ketiadaan Musa membuatkan mereka seolah-olah dalam kegelapan dan ada antara mereka berfikir keterlaluan dengan menyangka beliau tidak akan kembali lagi.

Dalam keadaan tidak menentu itu, seorang ahli sihir dari kalangan mereka bernama Samiri mengambil kesempatan menyebarkan perbuatan syirik. Dia juga mengatakan Musa tersesat dalam mencari tuhan dan tidak akan kembali.

Ketika itu juga, Samiri membuat sapi betina daripada emas. Dia memasukkan segumpal tanah, bekas dilalui tapak kaki kuda Jibril ketika mengetuai Musa dan pengikutnya menyeberangi Laut Merah. Patung itu dijadikan Samiri bersuara.

Menurut cerita, ketika Musa dengan kudanya mahu menyeberangi Laut Merah bersama kaumnya, Jibril ada di depan terlebih dulu dengan menaiki kuda betina, kemudian diikuti kuda jantan yang dinaiki Musa dan pengikutnya.

Kemudian Samiri menyeru kepada orang ramai: "Wahai kawan-kawanku, rupanya Musa sudah tidak ada lagi dan tidak ada gunanya kita menyembah Tuhan Musa itu. Sekarang, mari kita sembah anak sapi yang diperbuatkan daripada emas ini. Ia dapat bersuara dan inilah tuhan kita yang patut disembah."

Selepas itu, Musa kembali dan melihat kaumnya menyembah patung anak sapi. Beliau marah dengan tindakan Samiri.

Firman Allah: "Kemudian Musa kembali kepada kaumnya dengan marah dan bersedih hati. Berkata Musa; wahai kaumku, bukankah Tuhanmu menjanjikan kepada kamu suatu janji yang baik? Apakah sudah lama masa berlalu itu bagimu atau kamu menghendaki supaya kemurkaan Tuhanmu menimpamu, kerana itu kamu melanggar perjanjianmu dengan aku."

Musa bertanya Samiri, seperti diceritakan dalam al-Quran: "Berkata Musa; apakah yang mendorongmu berbuat demikian Samiri? Samiri menjawab: Aku mengetahui sesuatu yang mereka tidak mengetahuinya, maka aku ambil segenggam tanah (bekas tapak Jibril) lalu aku masukkan dalam patung anak sapi itu. Demikianlah aku menuruti dorongan nafsuku."

Kemudian Musa berkata: "Pergilah kamu dan pengikutmu daripadaku, patung anak sapi itu akan aku bakar dan lemparkannya ke laut, sesungguhnya engkau akan mendapat seksa."

Umat Nabi Musa bersifat keras kepala, hati mereka tertutup oleh kekufuran, malah gemar melakukan perkara terlarang, sehingga sanggup menyatakan keinginan melihat Allah, baru mahu beriman.

Firman Allah: "Dan ingatlah ketika kamu berkata: Wahai Musa, kami tidak akan beriman kepadamu sebelum kami melihat Allah dengan terang, kerana itu kamu disambar halilintar, sedangkan kamu menyaksikannya. Selepas itu Kami bangkitkan kamu selepas mati, supaya kamu bersyukur."

Kezaliman Firaun

Allah memberikan banyak nikmat kepada Bani Israel, antaranya dibebaskan daripada kezaliman Firaun, menjalani kehidupan di kawasan subur, mempunyai Taurat dan rasul di kalangan mereka, tetapi mereka tidak bersyukur, malah memberikan pelbagai alasan.

Mereka juga membelakangi wahyu Allah kepada Musa supaya berpindah ke Palestin. Alasan diberikan kerana mereka takut menghadapi suku Kan'an.

Telatah Bani Israel yang pengecut itu menyedihkan hati Musa, lalu beliau berdoa: "Ya Tuhanku, aku tidak menguasai selain diriku dan diri saudaraku Harun, maka pisahkanlah kami dari orang fasik mengingkari nikmat dan kurniaMu."

Hukuman Bani Israel yang menolak perintah itu ialah Allah mengharamkan mereka memasuki Palestin selama 40 tahun dan selama itu mereka berkeliaran di atas muka bumi tanpa tempat tetap.

Mereka hidup dalam kebingungan sehingga semuanya musnah. Palestin kemudian dihuni oleh generasi baru.

Bani Israel juga memperlekehkan rasul mereka, yang dapat dilihat melalui kisah sapi seperti dalam surah al-Baqarah: "Dan ingatlah ketika Musa berkata kepada kaumnya, sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyembelih sapi betina. Mereka berkata; apakah kamu hendak menjadikan kami bahan ejekan..."

Musa meninggal dunia ketika berusia 120 tahun, tetapi ada pendapat menyatakan usianya 150 tahun di Bukit Nabu', tempat diperintahkan Allah untuk melihat tempat suci yang dijanjikan, iaitu Palestin. Tetapi beliau tidak sempat memasukinya.

Sumber: http://klikkhas.bharian.com.my/

Dato' Bahaman


Nama sebenar Dato' Bahaman adalah Abdul Rahman. Ayahnya bernama Tuanku Imam Nuh berasal dari Bangkinang. Ibunya adalah Rokiah Abdul Rahman, anak Tok Setia Perkasa Semantan yang berketururnan Bugis dari Sulawesi Selatan. Beliau juga lebih dikenali sebagai Seman adalah seorang yang pandai bersilat dan juga mempunyai ilmu kebal . Kelebihan yang dimilikinya ini menyebabkan beliau digelar sebagai 'Seman Tahan' oleh penduduk di sekitar kawasan itu.

Nama 'Seman Tahan' semakin hari semakin masyur di kalangan penduduk di sepanjang sungai yang tidak bernama ketika itu sehinggakan sungai itu diberi nama Sungai Seman Tahan dan seterusnya menjadi tempat persinggahan British. Perang Semantan ini dipimpin oleh seseorang pembesar bernama Dato' Bahaman . Punca utama pemberontakan ini ialah rasa tidak puas hati orang-orang Besar Pahang , terutamanya sekali Dato' Bahaman (Orang Kaya Semantan) terhadap campur tangan British ke atas kawasannya.

Sebenarnya ketegangan di antara Dato' Bahaman dengan pihak British telah bermula sejak tahun 1890 lagi tetapi ketegangan itu memuncak pada tahun 1891. Ketegangan itu bermula pada bulan Disember 1890 bilamana Dato' Bahaman dikatakan telah marah dan mengata-ngata E.A Wise (Pegawai Jajahan Temerloh) kerana E.A Wise hendak mendirikan sebuah balai polis di Lubuk Terua iaitu satu tempat yang termasuk dalam kawasan Dato' Bahaman , tanpa terlebih dahulu berunding dengannya .


Apabila Hugh Clifford ( Pemangku Residen British Pahang ketika itu ) mengetahui hal tersebut , beliau telah menasihatkan Sultan dan baginda kemudiannya memanggil Dato' Bahaman supaya pergi ke Pekan agar perkara itu dapat disiasat . Oleh kerana Dato' Bahaman enggan ke Pekan , Sultan telah mengeluarkan surat perintah yang melucutkan pangkat dan tarafnya sebagai Orang Kaya Semantan .

Tindakan melucutkan pangkat dan taraf itu menyakitkan hati Dato' Bahaman . Keadaan ini menyebabkan Dato' Bahaman dan pengikut-pengikutnya menyerang hendap C.E.M Deaborough dan pengikut-pengikutnya pada 15 Disember 1891 ketika mereka sedang mudik Sungai Semantan. Serangan itu dilakukan oleh Dato' Bahaman kerana ia menyangka Desborough datang untuk menangkapnya Dalam serangan yang mengejut itu , pihak Desborough telah kalah dan beliau melarikan diri ke Bandar Temerloh .


Setelah mengetahui peristiwa di Semantan itu , pegawai-pegawai British di seluruuh Pahang mula sibuk mengatur tentera mereka untuk melawan orang-orang Melayu yang menentang British .Ekoran dari itu , pada 21 Disember 1891 , satu pasukan yang diketuai oleh Clifford dan Tengku Mahmud telah pergi ke Kampung Kelubi yang merupakan kubu kedua pertahanan Dato' Bahaman . Di sini berlaku sekali lagi pertempuran antara pihak British dengan Dato' Bahaman tetapi pihak British sekali lagi mengalami kekalahan .

Petikan sepenuhnya dari : http://sejarahmalaysia.pnm.my/
Sumber: http://hulubalangbanijawi.blogspot.com/

Monday, June 21, 2010

Kesesuaian Item

Kesesuaian item dilihat dari segi tiga aspek
  1. Aras kesukaran: Item yang dibina itu mestilah menepati aras kesukaran yang dihasratkan, iaitu sama ada aras kesukaran rendah, sederhana atau tinggi. Guru adalah orang yang dapat memberi pertimbangan professional bagi kategori kesukaran sesuatu item itu (mudah, sederhana dan sukar)
  2. Kepentingan: Oleh kerana yang dikemukakan itu merupakan perwakilan bagi beberapa konstruk dan tajuk, maka adalah penting untuk memastikan bahawa idea, isi, kandungan atau perkara yang dikemukakan dalam item adalah perkara yang penting dalam pembelajaran pelajar. Perkara yang remeh atau yang asing kepada mereka hendaklah dielakkan kerana mentaksir perkara yang remeh ini menyebabkan pertimbangan yang kurang asli kepada pelajar.
  3. Adil: Item yang dikemukakan itu mestilah tidak memberikan faedah secara sistematik/automatic kepada golongan/kelompok tertentu dalam masyarakat sama ada mengikut ras, jantina, tempat tinggal atau status ekonomi.

Nabi Harun fasih berbicara

RASUL seterusnya ialah Harun bin Imran bin Qahits bin Lawi bin Yaakub bin Ishak bin Ibrahim. Beliau ialah saudara seibu Nabi Musa, diutuskan untuk membantu Musa memimpin Bani Israel ke jalan yang benar.

Firman Allah bermaksud: "Dan Kami telah menganugerahkan kepadanya sebahagian rahmat Kami, iaitu saudaranya, Harun menjadi seorang nabi."

Harun dilahirkan tiga tahun sebelum Musa. Beliau yang fasih berbicara dan mempunyai pendirian tetap sering mengikuti Musa dalam menyampaikan dakwah kepada Firaun, Hamman dan Qarun.

Nabi Musa sendiri mengakui saudaranya fasih berbicara dan berdebat, seperti diceritakan al-Quran: "Dan saudaraku Harun, dia lebih fasih lidahnya daripadaku, maka utuslah dia bersamaku sebagai pembantuku untuk membenarkan (perkataan) ku, sesungguhnya aku khuatir mereka akan berdusta."

Sepanjang peninggalan Nabi Musa untuk bermunajat di Thur Sina, Harun juga diberikan amanah untuk mengawasi dan memimpin penduduk Bani Israel daripada melakukan kemungkaran, apa lagi menyekutukan Allah dengan benda lain.

Musa berkata kepada Harun: "Gantikanlah aku dalam (memimpin) kaumku dan perbaikilah, jangan kamu mengikuti jalan orang yang melakukan kerosakan."

Bagaimanapun, sepanjang pemergian Musa ke Thur Sina, berlaku ujian terhadap Bani Israel. Sebilangan mereka menyekutukan Allah dengan menyembah anak lembu yang diperbuat daripada emas oleh Samiri.

Mereka menyembah patung lembu itu selepas terpedaya dengan tipu helah Samiri yang menjadikannya sehingga boleh bercakap. Harun sudah mengingatkan mereka kelakuan itu adalah dosa besar, namun segala nasihat dan amaran berkenaan tidak dipedulikan.

Selepas bermunajat selama 40 hari, Musa kembali kepada kaumnya dan sungguh terkejut dengan perbuatan menyembah patung lembu itu. Musa bukan saja marah kepada kaumnya, malah Harun sendiri turut ditarik kepala dan janggutnya.

Musa bertanya kepada Harun: "Wahai Harun, apa yang menghalangi engkau daripada mencegah mereka ketika engkau melihat mereka sesat? Apakah engkau tidak mengikut aku atau engkau menderhakai perintahku?"

Harun berkata: "Wahai anak ibuku, janganlah engkau renggut janggutku dan janganlah engkau tarik kepalaku, sesungguhnya aku takut engkau akan berkata, "engkau adakan perpecahan dalam Bani Israel dan engkau tidak pelihara perkataanku."

Kemudian Musa mendapatkan Samiri, lalu berkata: "Pergilah kamu dari sini bersama pengikutmu. Patung sapi itu yang menjadi tuhanmu akan aku bakar, kemudian aku akan hanyutkan ke dalam laut. Kamu dan pengikutmu pasti mendapat seksa."

Nabi Harun hidup selama 122 tahun. Beliau wafat 11 bulan sebelum kematian Musa, di daerah al Tiih, iaitu sebelum Bani Israel memasuki Palestin.

Mengenai Bani Israel, mereka memang degil, banyak soal dan sukar dipimpin, namun dengan kesabaran Musa dan Harun, mereka dapat dipimpin supaya mengikuti syariat Allah, seperti terkandung dalam Taurat ketika itu.

Selepas Harun dan Musa meninggal dunia, Bani Israel dipimpin oleh Yusya' bin Nun. Namun, selepas Yusya' mati, lama-kelamaan sebilangan besar mereka meninggalkan syariat yang terkandung dalam Taurat.

Malah, ada kalangan mereka yang mengubah hukum di dalam kitab berkenaan, sehingga menimbulkan perselisihan dan perbezaan pendapat, akhirnya menyebabkan perpecahan Bani Israel.

 

http://klikkhas.bharian.com.my/klikkhas/salamaidilfitri/Artikel/KisahRasul/20090819164122/Article/

Sunday, June 20, 2010

Mukjizat Nabi Musa hadapi Firaun


PADA suatu hari, Musa mengambil kesempatan meninjau di sekitar kota dan hendak dijadikan cerita beliau terserempak dua lelaki sedang berkelahi, masing-masing di kalangan Bani Israel bernama Samiri dan bangsa Firaun, Fatun.

Melihatkan pergaduhan itu Musa mahu mententeramkan mereka, tetapi ditepis Fatun. Tanpa berlengah Musa terus menghayunkan satu penumbuk ke atas Fatun, lalu tersungkur dan meninggal dunia.

Apabila mendapati lelaki itu meninggal dunia kerana tindakannya, Musa memohon ampun kepada Allah seperti dinyatakan dalam al-Quran: "Musa berdoa: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiayai diriku sendiri kerana itu ampunilah aku. Maka Allah mengampuninya, sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

Tetapi, tidak lama kemudian orang ramai mengetahui kematian Fatun disebabkan Musa dan berita itu turut disampaikan kepada pemimpin kanan Firaun. Akhirnya mereka mahu menangkap Musa.

Disebabkan terdesak, Musa mengambil keputusan keluar dari Mesir. Beliau berjalan tanpa arah dan tujuan, tetapi selepas lapan hari, beliau sampai di kota Madyan, iaitu kota Nabi Syu'aib di timur Semenanjung Sinai dan Teluk Aqabah di selatan Palestin.

Musa tinggal di rumah Nabi Syu'aib beberapa lama sehingga berkahwin dengan anak gadisnya bernama Shafura. Selepas menjalani kehidupan suami isteri di Madyan, Musa meminta izin Syu'aib untuk pulang ke Mesir.

Dalam perjalanan itu, akhirnya beliau dan isterinya tiba di Bukit Sina. Dari jauh, beliau ternampak api, lalu terfikir mahu mendapatkannya untuk dijadikan penyuluh jalan. Beliau meninggalkan isterinya sebentar untuk mendapatkan api itu.

Apabila sampai di tempat api menyala itu, beliau mendapati api menyala pada sebatang pokok, tetapi tidak membakar pokok berkenaan. Ini menghairankannya dan ketika itu beliau terdengar suara wahyu daripada Tuhan.

Selepas itu Allah berfirman kepadanya, bermaksud: "....Wahai Musa sesungguhnya Aku Allah, iaitu Tuhan semesta alam."

Firman-Nya lagi, bermaksud: "Dan lemparkan tongkatmu, apabila tongkat itu menjadi ular Musa melihatnya bergerak seperti seekor ular, dia berundur tanpa menoleh. Wahai Musa datanglah kepada-Ku, janganlah kamu takut, sungguh kamu termasuk orang yang aman."

Selepas itu Allah berfirman lagi kepada Musa, maksudnya: "Masukkan tanganmu ke leher bajumu, pasti keluar putih bersinar dan dakapkan kedua tanganmu ke dada kerana ketakutan...."

Tongkat menjadi ular dan tangan putih berseri-seri itu adalah dua mukjizat yang dikurniakan Allah kepada Musa, ketika beliau dalam perjalanan pulang dari Madyan ke Mesir, bagi menghadapi Firaun dan pengikutnya yang fasik.

Firaun cukup marah mengetahui kepulangan Musa yang mahu membawa ajaran lain daripada yang diamalkan selama ini sehingga memanggil semua ahli sihir untuk mengalahkan dua mukjizat berkenaan.

Ahli sihir Firaun masing-masing mengeluarkan keajaiban, ada antara mereka melempar tali terus menjadi ular. Namun, semua ular yang dibawa ahli sihir itu ditelan ular besar yang berasal daripada tongkat Musa.

Firman Allah bermaksud: "Dan lemparkanlah apa yang ada di tangan kananmu, pasti ia akan menelan apa yang mereka buat. Sesungguhnya apa yang mereka buat itu hanya tipu daya tukang sihir dan tidak akan menang tukang sihir itu dari mana saja ia datang."

Semua keajaiban ahli sihir itu ditewaskan Musa menggunakan dua mukjizat berkenaan, menyebabkan sebahagian daripada kalangan pengikut Firaun, termasuk isterinya mengikuti ajaran yang dibawa Musa.

Melihatkan ahli sihir dan sebahagian pengikutnya beriman dengan ajaran Nabi Musa, Firaun marah, lalu menghukum golongan berkenaan. Manakala isterinya sendiri diseksa hingga meninggal dunia.

Nabi Musa bersama orang beriman terpaksa melarikan diri sehingga mereka sampai di Laut Merah. Namun, Firaun dan tenteranya yang sudah mengamuk mengejar mereka dari belakang, tetapi semua mereka mati ditenggelamkan laut.

Al-Quran menceritakan: "Dan ingatlah ketika Kami belah laut untukmu, lalu Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun dan pengikutnya sedang kamu sendiri menyaksikan."

Sumber: http://klikkhas.bharian.com.my/

Bagaimana Mata Berfungsi Ketika Membaca


Untuk memahami bagaimana kepantasan membaca boleh dipertingkatkan kita perlu mengetahui sedikit sebanyak bagaimana mata berfungsi. Mata manusia adalah satu organ yang dikhususkan untuk mengesan cahaya. Seseorang boleh melihat sesuatu objek melalui bahagian mata yang dipanggil kanta (lens). Apabila cahaya memasuki mata, suatu imej yang nyata sampai ke retina iaitu suatu struktur di belakang mata yang mengandungi beratus-ratus juta sel saraf yang sangat sensitive kepada cahaya. Setengah sel saraf ini berbentuk kon dan sangat peka kepada keseluruhan cahaya. Semua sel saraf ini menghantar utusan terus kepada otak. Di otak, utusan saraf itu diterjemahkan sebagai kederiaan penglihatan. Sebenarnya, retina ini tidaklah terasing daripada otak. Ia patut dianggap sebagai suatu persambungan kepada otak (as an extension of the cortex).

Di bahagian tengah retina iaitu pada paksi optik terdapat suatu kawasan kecil yang dipanggil fovea atau pusat penglihatan. Kawasan ini dipenuhi oleh bintik kuning yang tidak mempunyai sel rod tetapi mempunyai sebilangan besar sel kon untuk membolehkan objek yang difokus pada fovea menjadi amat jelas.
Rajah: Mata

Di fovea ini pada dengan sel kon, lebih kurang suku juta sel pada setiap satu milimeter persegi. Ini membolehkan tanggapan imej yang sampai kepada fovea itu tajam dan halus daripada bahagian retina yang lain.

Apabila seseorang melihat secara terus kepada sesuatu objek, misalnya sebuah buku, cahaya dari objek itu terus ke fovea. Jika kita melihat pada suatu barisan perkataan dari suatu muka surat sejauh lebih kurang dua kaki dari mata anda, hanya lebih kurang tiga huruf sahaja yang menjadi pusat penglihatan dalam suatu ketika penglihatan, hingga akhirnya lingkaran pandangan itu tinggal samar-samar sahaja. Ada dua implikasi yang penting semasa seseorang itu membaca;
  1. Mata bergerak di sepanjang barisan supaya bahagian-bahagian lain pada barisan itu akan menjadi fokus kepada fovea.
  2. Untuk melihat sesuatu objek dengan jelas, mata mestilah berhenti bergerak seketika supaya imej yang sampai pada fovea itu dapat dihantar kepada otak.
Menurut Javal (1878), mata bergerak secara genjuran. Semenjak dari itu ahli psikologi menyebutnya sebagai pergerakan genjuran mata (saccades eye movement). Pada masa seseorang itu membaca, matanya jarang berhenti daripada bergerak lebih daripada setengah saat. Seseorang itu tidak menyedari genjuran mata itu berlaku kerana maklumat yang diproses kepada otak dari suatu ketetapan {fixation) ke suatu ketetapan yang lain semasa membaca itu berlaku dengan cara yang licin dan berterusan.

Saturday, June 19, 2010

Sperma cacat


Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my


Faktor tekanan antara punca benih lelaki tidak normal, berkurangan. KEBANYAKAN lelaki yang sihat secara automatik akan menganggap sistem reproduktif mereka tidak bermasalah.

Soalnya, sejauh mana kesedaran mengenai kesuburan itu khususnya berkaitan kesihatan benih atau sperma kerana gejala kemandulan lelaki sukar dikesan

Di Malaysia, kes kemandulan lelaki atau sperma tidak normal, amat jarang dilaporkan kerana tidak banyak data atau kajian mengenai ketidaksuburan lelaki direkodkan. Namun apa yang memeranjatkan, kebanyakan kes atau kebanyakan kes yang dirujuk di pusat perubatan kesuburan membabitkan ketidaksuburan lelaki.

Malah dalam kebanyakan kes, setiap kali keguguran berlaku wanita biasa dipersalahkan. Jika telur normal tetapi sperma pula tidak, 'kecacatan' sperma inilah yang boleh mengakibatkan keguguran. Perunding Obstetrik, Ginekologi dan Perubatan Reproduktif Pusat Perubatan Darul Ehsan, Dr Zamri Abdul Rahim, berkata kebanyakan lelaki di Malaysia sedar mengenai masalah ketidaksuburan, tetapi tidak mahu memandang serius mengenainya

Akibatnya, si isteri yang datang bertemu doktor terlebih dulu untuk membuat pemeriksaan sebelum menerima berita yang lebih mengejutkan yang kadangkala tidak dapat diterima suami.

Sperma yang normal bukan saja tinggi dari segi bilangan tetapi juga memiliki bentuk yang sempurna dan pergerakan yang aktif. Pakar akan mencari sperma yang mempunyai kepala bujur dan ekor yang panjang. Ini adalah bentuk sperma yang boleh dianggap normal

Sebagai contoh selepas satu jam, berapa peratusan sperma yang bergerak? Selepas tiga jam apa berlaku dan adakah sampel itu dijangkiti virus adalah beberapa perkara yang diambil kira," katanya

Dr Zambri berkata, bilangan sperma yang normal biasanya mencecah sehingga 40 juta dan ada juga 20 juta bergantung kepada pusat perubatan kesuburan Apapun, bagi membolehkan wanita hamil, kita hanya perlukan satu sperma yang sihat saja.

Kita perlu lihat pada peratusan sperma yang normal, jika seorang itu punya bilangan sperma rendah tetapi 80 hingga 90 peratus adalah aktif, itu lebih baik daripada seseorang yang punyai bilangan sperma yang tinggi tetapi lebih 50 peratus bentuknya tidak normal," katanya.

Langkah seterusnya ialah melihat pergerakan sperma. Ada sperma yang mempunyai pergerakan normal iaitu lebih 60 peratus yang bergerak dan ada juga yang tidak bergerak langsung dipanggil sperma mati

Beliau berkata, langkah selanjutnya ialah memahami bentuk sperma itu sendiri. Sperma yang normal bentuknya perlu ada kepala, badan tengah dan ekor. Tetapi jika tidak normal, sperma ini akan datang dalam pelbagai bentuk seperti kepala besar, kepala kecil, ekor bercabang dua, ekor pendek, ekor terbelit, ekor bergulung dan pelbagai bentuk lagi. Sperma begini akan sukar untuk sampai kepada telur bagi proses persenyawaan

Penyebab utama dan paling biasa menyumbang kepada sperma yang tidak normal adalah tekanan. Ia agak subjektif untuk dibincangkan namun ada yang mengatakan bila kita dilanda tekanan bilangan sperma akan berkurangan," katanya.

Seseorang itu dikatakan mempunyai bilangan sperma yang rendah apabila setiap 1 mililiter pancutan sperma hanya menghasilkan kurang daripada 20 juta spermatozoa. Kajian mendapati lelaki yang dilahirkan sekitar 1960-an mempunyai jumlah sperma yang lebih tinggi berbanding lelaki yang dilahirkan pada 1970-an.

Menurut Dr Zambri, banyak faktor penyebab morfologi sperma tidak normal seperti jangkitan, terdedah kepada toksin, radiasi, merokok, urat darah varicocele dalam scrotum, demam dan panas melampau, gaya hidup, dadah dan alkohol, obesiti dan testis yang tidak normal

Langkah pertama untuk mengetahui sekiranya anda mempunyai isu berkaitan morfologi sperma ialah lakukan analisis sperma. Sekiranya anda ada masalah morfologi sperma tidak normal pakar akan menyarankan supaya anda melakukan analisis itu pada bulan berikutnya bagi memastikan sebarang perubahan dan menentukan sama ada sperma tidak normal itu bersifat sementara atau kekal," katanya

Beliau bagaimanapun mengingatkan, seseorang itu tidak perlu bimbang jika analisis menunjukkan kewujudan morfologi sperma yang tidak normal, sebaliknya membiarkan pakar melakukan ujian sepenuhnya

Antara rawatan bagi masalah ini termasuk intra uterine insemination (IUI) atau in-vitro insemination (IVF) atau permanian berhadas atau Suntikan Sperma Intra Cytoplasmic (ICSI)

INFO: Cara tingkatkan sperma
  1. Amalkan gaya hidup dan diet seimbang (sayur-sayuran dan gandum)
  2. Bersenam
  3. Kurangkan tekanan
  4. Jaga berat badan
  5. Berhenti merokok
  6. Kurangkan atau menghentikan pengambilan alcohol
  7. Jauhi najis dadah
  8. Jarakkan kekerapan ejakulasi (selang tiga hari)
  9. Elak memakai seluar dalam yang ketat, sauna, mandi tab panas dan apa saja yang boleh meningkatkan suhu buah zakar
Sumber: http://www.bharian.com.my/

Syaitan Mendorong Memisahkan Dunia Dengan Akhirat


Mengenai hubungan dunia dan akhirat, syaitan menggunakan kesempatan untuk menipu manusia. Agama Allah menyuruh manusia mengutamakan kepentingan akhirat.
Dunia tanpa akhirat membuat kita sesat, manakala akhirat tanpa dunia membuat kita melarat. Dengan ini syaitan memperdayakan manusia dengan menyuruh manusia mementingkan salah satu dunia atau akhirat. Oleh itu kita dapat melihat ada manusia hanya mengerjakan dunia siang dan malam tanpa menghiraukan hari akhirat, tempat tinggal kekal bagi manusia akan hidup di dalamnya.

Kita juga boleh mendapati ada juga manusia hari mementingkan urusan akhirat sahaja. Dia langsung tidak memikirkan urusan dunia, sehingga dia ada ahli keluarga dibawah tanggungannya hidup melarat dan sengsara dengan mengharap belas kasihan orang lain. Mereka kadang-kadang terpaksa meminta-minta dan mengemis untuk meneruskan kehidupan di dunia.

Kedua-dua fenomena ini amat menguntungkan syaitan, kerana dengan keadaan begini amat mudah manusia menyimpang dari petunjuk Allah s.w.t. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:

    "Bukanlah orang yang paling baik daripada kamu itu yang meninggalkan dunianya kerana akhiratnya, dan tidak pula yang meninggalkan akhirat kerana dunianya, sebab dunia menyampaikan kepada akhirat, dan janganlah kamu menjadi beban atas manusia" (Riwayat Ibnu 'Asakir)Allah s.w.t. berfirman dengan maksudnya:

    "Dan tuntutlah negeri akhirat dan kurnia yang telah diberikan Allah kepadamu, dan janganlah engkau lupa bahagianmu dari dunia ini" (Al-Qashash: 77)

Ketepatan Dan Kejelasan Item

Ketepatan dan kejelasan dilihat dari tiga aspek:
  1. Ketepatan dengan konstruk – Konstruk ialah perkara yang ditaksir iaitu perkara yang akan dipertimbangkan dalam diri pelajar melalui sesuatu mata pelajaran. Konstruk merupakan dimensi manusia yang berbentuk konkrit atau abstrak. Konstruk yang dikenalpasti dari Sukatan Pelajaran atau Huraian Sukatan Pelajaran. Item yang ditulis mestilah menepati konstruk yang ditaksir. Sekiranya tugasan dalam item gagal menyebabkan pelajar/calon mengemukakan evidens yang relevan dengan perkara yang ditaksir maka item itu tidak sah untuk tujuan mentaksir konstruk tersebut. Konstruk yang ditaksir boleh dikategori sebagai pengetahuan, kemahiran dan nilai.
  2. Tepat dengan tajuk/konteks – Item yang ditulis itu mestilah menepati tajuk/konteks di mana pentaksiran konstruk itu dibuat. Oleh itu adalah penting untuk memastikan calon biasa dengan perkara atau idea yang dikemukakan. Ini untuk memastikan bahawa pelajar yang tidak dapat memberikan respons yang memuaskan bukanlah disebabkan oleh keadaan atau situasi yang tidak biasa tetapi disebabkan mereka tidak menguasai konstruk yang ditaksir.
  3. Jelas – Item yang jelas dari segi stimulus, tugasan dan arahan dapat memberikan isyarat tentang apa yang harus dilakukan oleh pelajar serta bagaimana respons harus dikemukakan. Ini menggambarkan sesuatu item yang ditulis dengan sempurna akan mempunyai darjah communicability yang tinggi dari segi: kebolehpercayaan, kejelasan ekspresi dan ketekalan stail.

Tanggungjawab Keusahawanan Terhadap Masyarakat


  1. Memenuhi kehendak masyarakat yang keinginannya tidak terhad
  2. Mencipta sesuatu yang baru dan ubahsuai sesuatu produk yang sedia ada
  3. Mempelbagai pilihan masyarakat melalui penghasilan pelbagai produk secara kreatif dan inovatif
  4. Mengeluarkan barangan yang berkualiti dan bermutu tinggi kepada masyarakat
  5. Sentiasa peka kepada permintaan atau kehendak masyarakat terhadap sesuatu produk.