Sunday, July 18, 2010

Perasan


Seorang gadis cantik menaiki LRT yang sangat penuh sesak. Gadis itu berdiri betul betul didepan seorang pemuda. Seketika kemudian pemuda itu bangun, namun belum sempat pemuda itu berkata apa apa, gadis cantik itu menolak pemuda itu dengan lembut ke tempat duduknya sambil berkata, "Terima kasih, saya lebih suka berdiri". Pemuda itu tercengang dengan penuh kehairanan. Dia sedikit jengkil kerana ditolak oleh gadis itu walaupun secara lembut. Pemuda itu pun berdiri semula tetapi sekali lagi gadis cantik itu menolaknya duduk semula dan berkata dengan sedikit kuat hingga didengari oleh lain lain penumpang, "Tak apa, tak payah susah susah, saya lebih suka berdiri." Tanpa putus asa pemuda itu berdiri lagi untuk kali yang ketiga sambil menjerit, "Woii cik kak !! Saya nak turun laaaaa!!! Saya dah terlepas perhentian saya tau !!? Apa punya perasan lah dia ni?!!!

Bekam Terapi Rawatan Ikut Sunnah Semakin Dilupakan


BEKAM adalah satu subjek yang besar biarpun ia sekadar satu cabang dalam perubatan alternatif. Mengikut definisi ia adalah kaedah rawatan yang menggunakan alat seperti gelas, tanduk atau buluh yang menyedut permukaan kulit untuk mengeluarkan angin, darah, toksik, darah beku atau kekotoran.

Pengamal kaedah perubatan bekam, Dr Nik Fairuz Hakim Nik Omar, dari Pusat Perubatan Homeopathy dan Akupuntur Dr Nik Omar, Shah Alam, berkata bekam atau Al-Hijamah adalah amalan sunnah yang hampir dilupakan orang Islam sendiri. Ia adalah terapi perawatan yang mampu menyembuhkan pelbagai penyakit yang disyorkan Nabi Muhammad SAW dan direstui amalannya oleh Allah SWT.


Ada beberapa jenis bekam yang diamalkan di dunia seperti bekam kering (angin), bekam basah (darah), bekam magnet, bekam elektronik dan bekam akupuntur.

"Hampir 60 peratus bekam yang diamalkan di seluruh dunia terdiri daripada bekam kering (angin). Bekam angin pula terbahagi kepada beberapa jenis iaitu magnet dan akupuntur (aku-bekam). Bekam jenis ini tidak menyakitkan dan amat sesuai digunakan untuk merawat pelbagai jenis penyakit seperti sakit kepala, muntah, resdung, masalah hati, sakit belikat, urat saraf, sakit leher, berdengkur, buah pinggang, buasir dan pelbagai lagi," katanya.

Bekam basah atau bekam darah pula menguasai 30 peratus teknik berbekam dan terbahagi kepada dua iaitu bekam darah moden dan bekam darah sunnah (mengikut sunnah Rasulullah). Perbezaan bekam moden dengan sunnah ialah bekam moden menggunakan jarum, boleh dilakukan mengikut kelapangan pesakit tidak mengira waktu, sekerap dua kali seminggu dan tidak kisah jika pengamalnya lelaki atau perempuan.

Bekam sunnah pula menggunakan pisau cukur kerana mengikut satu ayat iaitu 'shartah' yang bermaksud toreh. Bekam jenis ini dilakukan pada hari tertentu iaitu pada tanggal 17, 19 dan 21 mengikut kalendar Islam dan afdal dilakukan pada Khamis, Jumaat dan Isnin. Hari perlu dielakkan ialah Rabu.

Mengikut tulisan Ibnu Sina, waktu terbaik untuk berbekam ialah antara jam 2 petang hingga 3 petang dan seharusnya dilakukan selepas mandi, kecuali bagi orang yang darahnya kental, harus mandi air panas sehingga tubuhnya berasa hangat sebelum berbekam.

Kata Dr Nik Fairuz, jenis bekam biasanya mengikut pilihan pesakit yang kebanyakan bertujuan membuang angin dan darah kotor.

"Kebanyakan mereka yang mengunjungi pusat rawatan ini memilih untuk berbekam atas saranan dan nasihat rakan-rakan yang pernah merasai kebaikan berbekam terutama amalan bekam sunnah," katanya yang menjelaskan pesakit yang menderita barah, ketumbuhan yang mencurigakan, fibroid (sista), lupus (SLE), kudis kronik, jangkitan, sawan (gila babi), HIV/Aids, orang fobia, mengandung, penyakit kelamin dilarang berbekam.

"Kami tidak merawat kanser, tetapi tidak dinafikan ada pesakit yang datang untuk berbekam atas fahaman dan keyakinan seperti diriwayatkan Abu Hurairah yang berkata Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa berbekam pada tanggal 17, 19 dan 21, maka ia akan menyembuhkan semua penyakit." (Hadis riwayat Abu Daud)," katanya.

Amalan bekam darah dahulunya biasa dilihat di tepi-tepi jalan, dan pengamal bekam sebegini biasanya mewarisi teknik bekam secara turun temurun. Tidak dinafikan teknik ini pernah dilabel sebagai perubatan jalanan kerana amalan kebersihan seperti peralatan serta cara darah kotor dilupuskan diragui.

Apapun jenis bekam yang dipilih, bagi yang berminat dengan rawatan ini, mereka perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai maklumat serta kemungkinan termasuk pantang larang dan tahap kepakaran pengamal bekam. Beberapa perkara yang boleh berlaku ketika dan selepas bekam termasuk pitam, pening, kebas, pendarahan, lebam, kulit melecet, jangkitan, gatal-gatal, sakit bahagian bekam dan keguguran.

Pengamal bekam hendaklah bertauliah dan tahu apa yang dilakukan, mematuhi undang-undang perubatan mengikut Akta Perubatan 1971, memahami dan mengikut peraturan pengamalan, menjaga kebersihan dan tidak berbekam pada bahagian yang dilarang.

"Antara garis panduan pengamal yang bertauliah perlu mengikut Akta Perubatan 1971 seperti tidak boleh mengisytiharkan bahawa teknik ini boleh menyembuhkan penyakit yang mustahil untuk disembuhkan, selain tidak boleh menggunakan peralatan seperti doktor," jelasnya yang mula berminat terhadap teknik bekam ketika menuntut di Hospital Besar Kalubowila Colombo, Sri Lanka Selatan pada 1999.

Terbaru, timbul cadangan Kementerian Kesihatan untuk menimbang menggunakan akta untuk menguatkuasakan peraturan pengamal bekam iaitu mereka perlu mendalami ilmu bekam sekurang-kurangnya tiga tahun sebelum menjadi pengamal bertauliah.

Bagaimanapun, usul ini masih pada peringkat perbincangan disebabkan kebanyakan pengamal bekam di negara ini mewarisi teknik ini secara turun-temurun.

Dari segi sejarah, penggunaan teknik bekam paling awal dikesan melalui amalan kaum Nabi Lut yang membaling batu kepada orang asing yang memasuki ke kampung mereka. Pendatang yang luka kepalanya kemudian dikejar dan diminta membayar wang sebagai habuan kerana mengeluarkan darah dari kepala mereka.

INFO: Bekam

  1. Mereka yang berusia 4 hingga 65 tahun boleh berbekam.
  2. Kebiasaannya, rawatan bekam kering mengambil masa antara 15 hingga 20 minit.
  3. Sesi terapi bekam darah tidak melebihi 30 minit.
  4. Jumlah darah tidak melebihi 5 hingga 10 mililiter.
Oleh Suzan Ahmad

Sumber: http://www.bharian.com.my/

Anak berdengkur

DENGKURAN kanak-kanak mungkin kedengaran 'comel' atau lucu tetapi tabiat berdengkur di kalangan kanak-kanak boleh menyumbang kepada pelbagai masalah daripada kencing malam kepada kelembapan belajar di dalam bilik darjah.

DENGKURAN kanak-kanak mungkin kedengaran 'comel' atau lucu tetapi tabiat berdengkur di kalangan kanak-kanak boleh menyumbang kepada pelbagai masalah daripada kencing malam kepada kelembapan belajar di dalam bilik darjah.

Memang ramai kanak-kanak berdengkur yang membabitkan antara tiga hingga 12 peratus kanak-kanak prasekolah. Walaupun berdengkur, tetapi secara umumnya kebanyakan kanak-kanak ini sihat dan tidak mengalami gejala lain.

Kajian menunjukkan masalah berdengkur membabitkan 11 hingga 12 peratus kanak-kanak di seluruh dunia berumur antara satu hingga sembilan tahun. Kanak-kanak berdengkur sekurang-kurangnya tiga hingga empat kali seminggu dan bunyinya cukup kuat untuk disedari ibu bapa.

Namun dianggarkan dua peratus daripada kanak-kanak yang berdengkur ini mengalami masalah kerap terjaga ketika tidur (apnea tidur); iaitu satu keadaan yang dianggap antara penyumbang penting kepada masalah kelakuan di kalangan kanak-kanak.

Bagaimana untuk mengetahui sama ada dengkuran anak anda adalah dengkuran biasa atau apnea tidur? 


Kanak-kanak yang berdengkur dan tidak mengalami apnea tidur sepatutnya sihat, cergas, tidak mengantuk pada siang hari dan mempunyai corak tidur yang normal. Sebaliknya apnea tidur menyebabkan tidur anak anda terganggu — nafasnya terhenti, mendengus atau tercungap ketika tidur.


Kanak-kanak yang ada masalah ini mungkin mengalami masalah tingkah laku, mengantuk pada siang hari dan sukar menumpukan perhatian di dalam bilik darjah.

Punca

Dengkuran pada kanak-kanak boleh disebabkan tiga perkara iaitu:

  1. Bentuk anatomi — seperti rahang mulut yang kecil atau kanak-kanak berkenaan dilahirkan dengan saluran pernafasan yang kecil.
  2. Otot dan saraf yang mengawal otot pada saluran pernafasan tidak bergerak seiringan ketika tidur dan menyebabkan saluran pernafasan tidak terbuka sepenuhnya.
  3. Tonsil dan adenoid bengkak (punca paling lazim)
Mengapa ibu bapa perlu risau jika anak mereka berdengkur?
 

Dengkuran boleh menjejaskan kualiti tidur anak anda dan lain-lain keadaan yang membabitkan otak dan jantung. Malangnya ada ibu bapa tidak kisah anak mereka berdengkur, malah 'bangga' kerana anak mereka 'seperti orang dewasa kecil yang berdengkur seperti ahli keluarga'.

Dengkuran pada kanak-kanak bukan perkara lucu. Ia menandakan kanak-kanak berkenaan mempunyai masalah dan dengkuran mereka perlu diperiksa.


Bagaimana dengkuran pada kanak-kanak berbeza dengan orang dewasa?
 

Prinsip dengkur pada kanak-kanak hampir sama dengan orang dewasa. Dengkuran adalah bunyi pernafasan yang kuat disebabkan getaran udara yang memasuki saluran pernafasan atas. Secara umumnya ia hanya bunyi. Namun ia juga menandakan adanya rintangan pada saluran pernafasan atas yang bermakna rintangan udara untuk melalui saluran ini adalah tinggi.

Ketika tidur, otot juga berehat sedikit dan ia menyebabkan saluran udara menjadi kecil dan sempit. Namun jumlah udara yang masuk adalah sama, sama ada ketika tidur atau jaga.

Berdengkur juga boleh menjadi petanda kepada masalah lebih serius seperti apnea tidur atau sindrom rintangan saluran pernafasan atas. Kira-kira tiga peratus kanak-kanak berumur satu hingga sembilan tahun mengalami masalah ini yang boleh menyebabkan pelbagai keadaan lain.

Perbezaan antara apnea tidur dan sindrom rintangan saluran pernafasan atas

Kanak-kanak yang ada masalah sindrom rintangan saluran pernafasan atas kadangkala terjaga kerana dengkuran terlalu kuat atau dengkuran itu menggunakan banyak tenaga mereka. Namun tahap oksigen dan karbon dioksida dalam darah atau tisu kanak-kanak ini tetap sama seperti orang lain.

Bagi apnea tidur, saluran pernafasan ini kadangkala 'runtuh' sehingga menutup saluran pernafasan dan tidak terbuka. Kanak-kanak biasanya terpaksa 'berjuang' untuk bernafas kerana udara tidak masuk.

Akibatnya paras gas oksigen berkurang dan karbon dioksida meningkat yang menyebabkan kanak-kanak terjaga untuk bernafas. Ada kanak-kanak yang terjaga 500 hingga 600 kali semalam hanya untuk bernafas dan kembali tidur.

Adakah dengkuran yang kronik pada kanak-kanak berbahaya?

Pakar kesihatan tidak pasti mengenai perkara ini. Berdengkur bukan perkara normal tetapi ia tidak semestinya memerlukan rawatan. Yang pasti, jika anak anda kerap terjaga malam kerana berdengkur, ia menunjukkan dia mengalami masalah apnea tidur atau sindrom rintangan saluran pernafasan yang perlu dirawat.

Risiko apnea tidur

Obesiti adalah faktor risiko paling utama. Jika anda baring dan banyak lemak pada leher, ia menambah tekanan pada tisu yang sudah berehat dan membuatkan saluran pernafasan menjadi lebih kecil.

Kanak-kanak dilahirkan dalam keluarga yang mempunyai risiko apnea tidur mempunyai risiko lebih tinggi. Selain itu kanak-kanak Sindrom Down, ada masalah hipotonia (otot lemah) dan mengalami penyakit neuromuskular lebih berisiko tinggi mendapat apnea tidur berbanding kanak-kanak lain.

Pada kanak-kanak alahan, lapisan dalaman hidung akan membengkak menyebabkan adenoid membesar, menyempitkan saluran udara dan menyukarkan mereka bernafas melalui hidung. Sesetengah kanak-kanak asma mengalami masalah ini. Dua masalah boleh berlaku serentak walaupun mempunyai mekanisma berbeza. Bagaimanapun, kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa perokok juga berisiko tinggi untuk berdengkur.

Kesan berdengkur


Dengkur boleh mendatangkan kesan jangka pendek yang menyebabkan anak anda berasa letih selepas bangun tidur. Daya tumpuannya terhad, sukar menumpukan perhatian, berasa resah gelisah pada waktu pagi dan kerap mengantuk.

Mereka juga mungkin kencing di tilam kerana bagi mereka yang lebih penting ialah keinginan untuk tidur. Ada juga kanak-kanak yang bermimpi buruk.

Oleh kerana tidur mereka terganggu, kanak-kanak ini sukar menumpukan perhatian di dalam bilik darjah seolah-olah seperti kanak-kanak yang alami gangguan tumpuan dan hiperaktif. Contohnya kanak-kanak yang melawan rasa mengantuk akan berkelakuan hiperaktif, mula mengacau orang lain dan akhirnya meragam.

Keesokan harinya, kanak-kanak ini sukar menumpukan perhatian dan duduk diam di dalam bilik darjah. Jika diberi rawatan, masalah hiperaktif ini akan hilang.
 

Gangguan tidur juga menjejaskan pelajaran. Jika tidak cukup tidur, otak tidak mendapat cukup oksigen dan anak anda kehilangan sel otaknya. Dalam tempoh pembangunan minda, keupayaan kognitif kanak-kanak ini akan terjejas.

Dalam kajian beberapa tahun lalu mendapati kanak-kanak yang tidak cukup tidur kurang cemerlang di sekolah. Kajian juga mengesahkan kesan kekurangan tidur ini boleh berlarutan sepanjang hayat kerana IQ kanak-kanak menjadi rendah.

Selain itu paras oksigen rendah juga boleh memberi kesan kepada sistem saraf dan menyebabkan tekanan pada jantung. Lama kelamaan ia mengubah tekanan darah sehingga membuatkan kanak-kanak mengalami tekanan darah tinggi. Pada orang dewasa, keadaan biasanya lebih serius.

Kekurangan tidur juga boleh mempengaruhi tabiat makan seseorang. Jika kurang tidur, anda cenderung untuk makan lebih banyak keesokan harinya (terutama makanan mengandungi banyak lemak dan gula).

Jika penat dan tidak bersenam, anda menjadi lebih gemuk dan menyebabkan masalah apnea tidur lebih serius. Ini akhirnya menjadi perangsang kepada masalah kolesterol tinggi, kencing manis dan risiko sakit jantung pada usia yang lebih muda.

Rawatan

Rawatan untuk kanak-kanak berbeza sedikit daripada orang dewasa. Pada orang dewasa, oleh kerana masalah dengkur disebabkan obesiti, rawatan menggunakan mesin CPAP (tekanan saluran udara positif berlarutan) boleh membantu.

Oleh kerana masalah dengkur kanak-kanak berpunca daripada tonsil dan adenoid yang besar, rawatan terbaik ialah menghantar mereka berjumpa pakar bedah telinga, hidung dan tekak. Kira-kira 85 hingga 90 peratus kes berjaya diselesaikan.

Bagaimanapun masalah ini boleh berulang semula apabila mereka dewasa. Kanak-kanak yang jalani pembedahan akan dipantau 24 jam di hospital.

Jika pembedahan tidak berjaya (10 peratus terutama pada kanak-kanak obes), mereka boleh diberi rawatan CPAP atau BIPAP (tekanan positif saluran pernafasan dua paras).


Sumber: http://www.hmetro.com.my/

Kepentingan Ujian Bilik Darjah

Kepentingan kepantingan ujian bilik darjah adalah untuk menentukan keupayaan pelajar dan keberkesan guru menjalankan Pengajaran dan Pembelajaran di dalam bilik darjah/bengkel. Ia selalunya dijalankan oleh guru selepas tamat sesuatu tajuk atau tamat satu semestet/penggal.

Melalui maklumat yang diperolehi hasil dari penilaian, guru dapat menelah kesediaan pelajar untuk menerima pengajaran atau sebaliknya. Memulakan pengajaran mengikut kesediaan murid amat penting bagi memastikan murid mempunyai keyakinan mengikuti sesi pengajaran dan seterusnya membolehkan mereka menguasai kemahiran yang dipelajari. Mengikut Thanasoulas (2001), guru hanya boleh mula mengajar pelajar apabila pelajar sudah bersedia dengan pengetahuan asas yang akan menjadi prasyarat kepada pengetahuan baru itu.

Hasil penilaian yang dijalankan oleh guru juga dapat memberikan input kepada guru tentang keberkesanan pengajarannya. Melalui maklum balas yang ditunjukkan oleh murid guru dapat menilai sama ada pengajarannya berkesan atau sebaliknya. Sekiranya, rata-rata pelajar tidak dapat menguasai sesuatu yang diajar; maka jelas menunjukkan strategi pengajarannya kurang berkesan dan memerlukan pengubahsuaian segera bagi memperbetulkan keadaan. Kepada pelajar pula, maklumat penilaian ini menunjukkan tahap penguasaan mereka terhadap sesuatu topik pengajaran.

Seandainya mereka lemah dalam sesuatu topik, maka mereka akan mengetahui dan memberikan tumpuan kepada aspek yang kurang dikuasai oleh mereka. Mengikut Wallace (1992), maklumat penilaian yang diperolehi akan dapat membantu guru dalam perancangan dan perlaksanaan pengajaran dengan lebih cekap dan berkesan. Maklumat yang diperolehi daripada penilaian yang dijalankan, dapat membantu seseorang individu untuk menilai dengan lebih baik jika hasil penilaian dapat memberikan maklumat yang boleh dipercayai dan sah.

Penilaian yang dijalankan juga dapat memberikan maklumat yang jelas kepada pihak pengurusan sekolah sebagai maklum balas yang tepat tentang pencapaian objektif sukatan pelajaran yang telah disampaikan oleh guru, sama ada objektif tersebut telah dapat dicapai dengan jaya atau sebaliknya. Sekiranya maklum balas yang diperolehi tersebut menunjukkan masih terdapat kekurangan yang ketara dalam mencapai objektif yang ditentukan, maka pengubahsuaian akan dilakukan. Kelangsungan daripada ini pengajaran dan pembelajaran sesuatu mata pelajaran berkenaan akan dapat dirangka dengan lebih baik dan mantap serta sistematik. Menurut Guskey (2001), kepentingan ujian sebagai alat untuk membantu mempertingkatkan keberkesanan pengajaran kurang diberi perhatian kebanyakkan ahli pendidikan.

Menurut Mokhtar (1995), di bilik darjah, ujian atau penilaian merupakan komponen penting dalam putaran proses pengajaran dan pembelajaran. Dari aspek pengajaran oleh guru, ujian berperanan menentukan beberapa perkara seperti: Apakah pelajar telah bersedia diajar tajuk baru? Pelajar manakah yang menghadapi masalah pembelajaran dan memerlukan lebih pemerhatian? Manakala dari pihak pembelajaran pelajar pula, mereka akan lebih bermotivasi dalam pelajaran melalui maklum balas yang diterima.

Contohnya Mata Pelajarab Aplikasi Elektrik dan Elektronik, adalah satu mata pelajaran yang baru dalam aliran vokasional. Ia menyebabkan banyak masalah akan wujud terutamanya dari segi membina item-item untuk tujuan penilai dan pentaksiran. Mata pelajaran Aplikasi Elektrik dan Elektronik tersebut merupakan mata pelajaran yang melibatkan proses pembelajaran yang bersifat kumulatif, maka item-item yang dibina seharusnya dapat membantu guru untuk membuat perancangan pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan. Justeru itu, maklumat yang diperolehi dapat membantu guru menilai keberkesanan pengajaran dan pembelajaran bagi menilai kesediaan pelajar dan seterusnya membuat pemulihan terhadap pelajar untuk menghadapi Peperiksaan SPM.

Salah satu contok ujian yang digunakan oleh guru ialah Peperiksaan Pertengahan . Melalui ujian ini, ia dapat memberi maklumat kepada pelajar sendiri mengenai kekuatan kelemahan mereka mempelajari sesuatu mata pelajaran sebelum ini. Ia juga dapat membantu guru membimbing pelajar dalam proses pembelajaran mereka

Namun begitu, diharapkan item-item di dalm ujian yang dibina dapat mengesan kemampuan serta kebolehan pelajar. Selain daripada itu juga dapat membantu pelajar untuk mengenal pasti skop kelemahan dalam sesuatu mata pelajaran, supaya mereka dapat bertindak dengan mempelajari lebih mendalam terhadap tajuk dalam sesuatu mata pelajaran. Justeru itu, ia dapat meningkatkan mutu proses pengajaran guru di dalam kelas.

Saturday, July 17, 2010

Katak, kodok dan monyet

Ketika dalam makmal biologi, Ali dimarahi oleh Cikgu Mat yang memang terkenal kerana suka melawak.

"Kamu tahu kan, semua murid mesti membawa katak untuk amali. Tapi kenapa kamu bawa kodok?" Kata Cikgu Mat.

"Tapi cikgu, ini kan katak, bukannya kodok" Jawab Ali.

"Itu saya tak mahu tahu. Sekarang kamu keluar. Jangan masuk makmal saya sebelum kamu membawa katak" marah cikgu Mat.

Dengan longlai Ali menuju keluar makmal. Di pintu pagar, Ali terserempak dengan Azwan, rakan sekelasnya yang kebetulan terlambat.

"Kenapa?" tanya Azwan. "Saya diusir keluar dari makmal kerana cikgu kata saya membawa kodok" jawab Ali sambil menunjukkan kodoknya. La. ini katak lah, bukan kodok. Tak apa, biar saya yang bercakap dengan Cikgu Mat.

Ketika mereka sampai di depan makmal, belum sempat Azwan hendak bercakap sepatah katapun, Cikgu Mat sudah menengking : "Ali, kamu ni mengapa? Tadi kamu bawa kodok, sekarang kamu bawa monyet pulak".

Thursday, July 15, 2010

Syaaban beri ruang umat persiap fizikal, mental hadapi Ramadan

SETIAP bulan Islam mempunyai kelebihan seperti Syaaban yang penuh keberkatan dan kebaikan. Syaaban datang selepas Rejab sering dikaitkan sebagai bulan persediaan sementara menanti ketibaan Ramadan.

Umat Islam sentiasa menantikan ketibaan ketiga-tiga bulan yang mempunyai keistimewaan terutama hamba Allah yang sentiasa berusaha mencari keredaan Tuhannya dengan melakukan amal salih.


Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Rejab adalah bulan Allah, Syaaban adalah bulanku (Rasulullah) dan Ramadan bulan umatku." (Hadis riwayat Anas bin Malik)

Keghairahan umat Islam melaksanakan ibadat puasa sama ada sunat atau ganti pada Syaaban sering dikaitkan dengan kisah Nabi Muhammad SAW yang berpuasa pada Syaaban.

Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah: "Tidak pernah Rasulullah SAW berpuasa lebih banyak melainkan pada Syaaban (selain bulan Ramadan); sesungguhnya Baginda SAW berpuasa sebulan penuh." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
 

Semakin hampir dengan Ramadan, semakin besar ujian dihadapi kerana bagi yang menyedari nikmat melaksanakan puasa sunat, kehadiran Syaaban dimanfaatkan sebagai bulan mempersiapkan diri untuk berpuasa selama sebulan.

Namun, ada juga yang mengambil kesempatan untuk menjadikan Syaaban bulan berpesta makanan kerana memikirkan saat lapar dan dahaga yang bakal ditempuh sepanjang Ramadan apabila semua umat Islam diwajibkan menunaikan rukun Islam ketiga.
 

Usman Zaid menceritakan: "Saya bertanya kepada Rasulullah SAW, saya tidak pernah menyaksikan banyaknya puasa tuan pada bulan lain seperti pada bulan (Syaaban) ramai manusia lalai mengenainya iaitu di antara Rejab dan Ramadan. Baginda menjawab: Ini adalah bulan segala amalan diangkat kepada Tuhan pemilik sekalian alam. Oleh itu saya amat suka kiranya amalan diangkat ketika berpuasa." (Hadis riwayat Imam Ahmad dan An-Nasai)

Untuk mendapatkan keredaan Allah, sewajarnya kita memperbanyakkan amalan seperti puasa bersedekah dan melakukan kebajikan digalakkan pada Syaaban supaya amal ibadat diterima Allah.

Walaupun umat Islam perlu meningkatkan keimanan kepada Allah setiap saat denyut nadinya, namun tidak dapat dielakkan, sebagai manusia yang lemah, sentiasa memerlukan suntikan semangat terutama dalam melakukan kebaikan.

Apabila ada panduan yang menaikkan semangat seperti amalan puasa Rasulullah SAW pada Rejab dan Syaaban, contoh murni itu menarik perhatian dengan niat mencari kesempurnaan iman.

Saidatina Aisyah turut menceritakan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah turun pada malam pertengahan (nisfu) Syaaban ke langit dunia dan mengampunkan dosa orang yang lebih banyak dari bilangan bulu-bulu kambing Bani Kalb." (Hadis riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Selain amalan puasa, umat Islam digalak memperbanyakkan amalan malam seperti solat sunat kerana diceritakan, Khalifah Umar Abdul Aziz memberitahu wakilnya di Basrah: "Hendaklah kamu perhatikan empat malam dalam satu tahun kerana sesungguhnya Allah SWT membukakan pintu rahmat-Nya seluas-luasnya iaitu malam pertama Rejab, malam Nisfu Syaaban, malam Aidilfitri dan Aidiladha."

Selain amalan untuk diri sendiri, umat Islam sentiasa diingatkan memohon keampunan serta rahmat bagi ahli keluarga, saudara atau sahabat handai yang sudah meninggal dunia kerana kebaikan itu juga menyedarkan kita hakikat hidup di dunia hanya sementara.

Justeru, sementara ada masa dianugerahkan Allah, gunakan sebaiknya dan sentiasa mencari peluang mendalami ilmu agama supaya tidak ketinggalan mencapai rahmat Allah yang ada kalanya datang sekali saja.


Oleh Dr Aminudin Mansor
Sumber: http://www.bharian.com.my

Wednesday, July 14, 2010

Protozoa penyebab cirit-birit

Jika dahulu masyarakat sering didedahkan dengan bahaya cacing tularan tanah seperti cacing gelang, cacing cambuk, cacing kait dan cacing benang, kini jangkitan protozoa juga tidak harus dipandang ringan.

Malah, bagi mereka yang mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah, kehadiran parasit daripada pelbagai jenis terutama protozoa menjadikan keadaan lebih serius.

Menurut Pakar Parasitologi dan Kesihatan Masyarakat Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datin Dr. Norhayati Moktar, perkara ini bukan sesuatu yang baru dalam penyelidikan berkaitan parasit yang menjadi ancaman kepada kesihatan manusia.

"Bagi pesakit AIDS atau kanser yang sedang menjalani rawatan kimoterapi, kebarangkalian untuk dijangkiti parasit usus adalah agak tinggi," katanya. 

Protozoa pembunuh 

Jelas Norhayati, infeksi protozoa terhadap golongan yang mempunyai sistem imun badan lemah dikenali melalui simptom cirit-birit berpanjangan, hilang selera makan dan turun berat badan.


Jelasnya, protozoa usus daripada jenis koksidia seperti Cryptosporidium parvum dan Isospora belli serta kumpulan mikrosporida usus menjadi penyebab utama cirit-birit berpanjangan.

Norhayati juga menjelaskan, secara amnya, infeksi parasit usus sering ditemui dalam masyarakat namun penghidapnya tidak mempunyai gejala yang jelas.

"Oleh itu, kes-kes jangkitan ini jarang dikesan di pusat kesihatan dan hospital.

"Keadaan ini amat berbeza dengan jangkitan yang disebabkan oleh bakteria atau virus seperti H1N1, di mana pesakit menunjukkan gejala," jelasnya yang turut menyatakan infeksi ini melibatkan protozoa dan cacing tularan tanah (STH).

Hasil kajian mendapati hampir 80 peratus jangkitan usus ini menular secara senyap kerana tiada gejala khusus.

Ujarnya, meskipun Malaysia merupakan negara membangun, masalah jangkitan parasit usus masih membelenggu penduduk di beberapa kawasan.

Disebabkan sebaran parasit ini menular melalui makanan dan air yang tercemar dengan najis manusia, taburan penyakit lebih banyak ditemui di kalangan penduduk yang tinggal di pedalaman yang tidak mempunyai sistem pembuangan najis yang baik serta bekalan air bersih seperti air sungai. 

Ganggu tumbesaran 

Tambah beliau, infeksi protozoa usus terutama Giardia intestinalis boleh mengganggu tumbesaran kanak-kanak.

Jelasnya, terdapat beberapa mekanisme bagaimana parasit usus menyebabkan mulnutrisi terhadap kanak-kanak malah golongan dewasa.

"Selain mengganggu sistem penghadaman dan penyerapan makanan, pesakit juga akan mengalami ciri-birit yang kronik, muntah dan sakit di bahagian abdomen.

"Kesan-kesan ini akan menyebabkan pertumbuhan dan perkembagan fizikal dan mental kanak-kanak terbantut," katanya.

Dalam pada itu, kawalan dan pencegahan infeksi parasit usus mungkin memerlukan pendekatan yang baru kerana kajian terbaru membuktikan sumber infeksi protozoa spesies Giardia intestinalis bukan saja daripada manusia ke manusia tetapi melalui anjing dan roden.

"Walaupun jangkitan parasit usus ini mempunyai kadar kematian yang rendah dan jarang diperkatakan umum, kawalan dan pencegahan harus dipertingkatkan kerana ia mampu mengganggu kualiti hidup seseorang," ujarnya.

Oleh SHANIKA ABDULLATIB

Sumber: http://www.kosmo.com.my

Tuesday, July 13, 2010

IBADAH

Ibadah merupakan nilai Islam yang penting sekali kerana ia memainkan peranan yang berkesan untuk membina keperibadian dan memajukan masyarakat. Ia merupakan satu pertalian yang terus menerus di antara hamba dengan Allah. Ibadah merangkumi segala kegiatan manusia dari segi rohaniah dan jasmaniah. Setiap muslim boleh melaksanakan syiar ibadah pada masa ia menjalankan kegiatan-kegiatan dalam urusan hidup di dunia.

Di dalam Islam, ibadah merupakan fungsi tertentu selain daripada memenuhi tuntutan agama. Ia memberi faedah peribadi kepada orang yang mengerjakan ibadah tersebut termasuk menghindari diri dari melakukan perkara-perkara keji dan maksiat. Ia dapat memberi ketenangan jiwa dan peranan kepada individu tersebut. Oleh itu ibadah mesti dilaksanakan dengan sempurna mengikut cara-cara yang ditetapkan Syara'

Cabaran Guru


Guru membawa maksud yang luas dan tidak terbatas. Individu yang melibatkan diri mereka sama ada secara formal atau tidak formal bagi menyampaikan ilmu pengetahuan atau kepandaian kepada orang perseorangan atau kelompok individu digelar sebagai guru (Atan Long, 1984). Ahli-ahli sains sosial melabelkan golongan guru sebagai pendidik, pengajar, pengasuh dan pembimbing yang bertanggungjawab menyebar ilmu pengetahuan, mencorak tingkahlaku dan menunjukkan teladan yang baik kepada pelajar. Tugas terpenting guru adalah melaksanakan proses dan pedagogi pengajaran yang membolehkan pembelajaran berlaku mengikut matlamat dan mencorakkan pola perlakuan yang berkualiti dan berkesan.

Dari segi tanggungjawab, guru merupakan golongan profesional kerana profesion ini lebih mementingkan perkhidmatan daripada ganjaran kewangan dan merasa bertanggungjawab dalam semua tindakan dan keputusan yang dibuat (Sufean, 1993). Guru yang berkualiti terdiri daripada mereka yang memiliki kriteria tertentu seperti keikhlasan, keazaman, kreativiti, dedikasi dan komited terhadap tugas dan tanggungjawab (Kamaruddin, 1989). Guru bukan sahaja menjadi pendidik dan pengasas kepada pengetahuan pelajar-pelajar tetapi juga menjadi pemimpin, penasihat dan agen perubahan dalam masyarakat (Fatimah, 2002). Sepanjang menjalankan tugas, matlamat guru adalah luhur demi memajukan pelajar, masyarakat dan negara. Dalam suasana dunia pendidikan yang begitu mencabar, guru dianggap sebagai pemimpin profesional.

Antara peranan utama guru adalah merupakan agen yang akan mencorakkan sistem pendidikan masa depan negara. Mereka bertanggungjawab untuk membuat perancangan dan persediaan mengajar, menyampaikan isi pelajaran, bertindak sebagai pengurus, kaunselor, pengawal disiplin, berpersonaliti mulia serta dapat berinteraksi dengan baik dengan masyarakat sekolah khususnya dan masyarakat setempat amnya bagi menjayakan wawasan profesion keguruan dengan cemerlang sehingga mencapai tahap ketrampilan maksimum.

Beberapa kajian empirikal telah menunjukkan komitmen kerja guru banyak dipengaruhi oleh polisi pentadbir sekolah dan suasana tempat kerja (Baron & Greenberg, 1990). Sokongan pihak pentadbir dapat meningkatkan prestasi kerja serta komitmen kerja dan kepuasan kerja yang tinggi (Miskel, 1977; Abd. Main, 1993). Manakala terdapat guru yang dibebankan dengan terlalu banyak tugas yang tidak berbentuk akademik akan menghilangkan komitmen mereka dalam kerja-kerja berbentuk profesional (Ball & Goodson, 1985).

Ada juga di kalangan guru masih kabur serta kurang faham dengan fungsi dan tanggungjawab mereka semasa berada di sekolah. Kadang-kadang guru diarah untuk mengikut perlakuan dan budaya mengajar guru yang dianggapkan "standard" di sekolah secara umum dan tidak mengambil kira faktor-faktor lain seperti persekitaran dan karenah pelajar yang berbeza.

Namun begitu guru harus terus mempertingkan tahap profesionalisme mereka dan membantu melaksanakan program-program serta melakukan perubahan bagi mencapai matlamat sekolah. Adalah perlu bagi seseorang guru mempunyai kesedaran tentang pentingnya "coaching and mentoring" dalam membentuk kumpulan personaliti guru dapat memenuhi keperluan masa hadapan. Melalui "coaching ang mentoring" guru juga dapat bertukar-tukar pandangan untuk membentuk guru yang berkesan. Ianya juga akan menambahkan kecenderungan kalangan guru mengenalpasti masalah atau kekangan yang wujud di tempat kerja sekaligus akan menghasilkan peningkatan kualiti secara berterusan. Melalui ini juga guru berpeluang menggunakan masa dan sumber yang diperuntukkan dengan lebih efisyen.

Akhir sekali guru harus melihat dan mengkaji tentang tugas dan tanggungjawab guru sebelum memilih kerjaya tersebut, mereka perlu tahu apakah faktor yang mendorong mereka memilih kerjaya guru dan faktor yang menyumbang kepada komitmen kerja mereka. Guru yang berjaya menempuh segala dugaan dan cabaran dalam pendidikan adalah golongan guru yang istimewa, dinamik dan berkaliber. Semoga Allah membalas segala jasa dan pengorbanan guru.

Roh budaya iqra makin hilang dalam diri generasi muda Islam

UMAT Islam kian ketinggalan dalam serba-serbi khususnya aspek ilmu pengetahuan sedangkan umat Islam dulu yang menjadi pelopor dan peneroka menggali pelbagai ilmu sehingga mencetuskan era keemasan dunia Islam. 

Seruan iqra sudah longgar daripada penghayatan sanubari Mukmin. Yang tinggal hanya semangat mengejar ilmu ketika di bangku sekolah atau di universiti. Penekanan pula berlegar kepada hendak lulus peperiksaan dan mendapat segulung ijazah. 

Jika melihat kembali sejarah tamadun Islam peringkat awal, aktiviti mencari ilmu sama ada melalui pembacaan buku atau penyelidikan menjadi sebati dan satu kemestian.


Masa banyak dijuruskan kepada bagaimana merungkai sesuatu permasalahan hidup sehingga menemui ilmu pengetahuan baru sekali gus menerbitkan semangat mengkaji yang tinggi. Keupayaan daya kreativiti dan amalan budaya inovasi juga adalah senario umat Islam terdahulu.

Kini, minda umat Islam seakan-akan lumpuh. Mereka tidak berupaya bangun menggilap kembali semangat mencari ilmu pengetahuan. Sebagai umat terbaik dan dilingkungi seruan iqra seharusnya kelesuan budaya mencintai ilmu tidak ditenggelamkan begitu saja.

Generasi muda Islam banyak menghabiskan masa dengan aktiviti tidak bermanfaat. Ramai hanyut dengan anasir hiburan melampau, aktiviti merempit sehingga merimaskan masyarakat awam, penyalahgunaan dadah terlarang dan pelbagai gejala buruk lain.

Keadaan ini akan merencatkan pembangunan minda umat Islam. Tidak mustahil kita akan terus-terusan ketinggalan dalam arus pembangunan moden dunia. Kadar pembacaan yang rendah akan membeku tahap pemikiran untuk membina suatu umat perkasa daripada segi kehebatan tamadun.
 

Nampaknya roh budaya iqra tidak kukuh dalam diri generasi muda umat Islam. Sebaliknya, apa yang membiak subur ialah gejala menghabiskan masa sewenang-wenangnya dan kreatif yang negatif seperti hedonisme serta vandalisme.

Inilah gejala yang mewarnai corak hidup segelintir muda mudi Islam yang terus menghabiskan masa dan tenaga dalam aktiviti tidak bermanfaat. Apakah kebanggaan kita seandainya angka statistik jenayah kebanyakan membabitkan anak muda Islam?

Pada masa sama, bangsa lain terus memperkembangkan minda dan memperkaya ilmu pengetahuan. Begitu mudahnya anasir gejala asing khususnya dari Barat menerobos jiwa serta hati anak muda sehingga mereka tidak mampu mempertahankan maruah bangsa dan agama.

Inilah akibat apabila pegangan agama tidak kukuh dan amalan budaya bangsa diketepikan. Langkah pembetulan menjadi semakin sangat diperlukan dalam kadar segera supaya situasi merunsingkan itu tidak berpanjangan menimpa anak muda Islam.

Islam mengajak umatnya menggunakan akal berfikir secara rasional dan menolak sikap menerima sesuatu atas dasar ikutan membuta tuli atau secara warisan. Allah menurunkan al-Quran sebagai panduan lengkap umat Islam ke arah kehidupan yang benar.

Islam sangat menekankan budaya iqra atau budaya keilmuan. Firman Allah bermaksud: "Allah akan meninggikan orang yang beriman di antaramu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat." (Surah al-Mujadilah: 11).

Tuntutan mencari ilmu pengetahuan tidak terhenti kepada ilmu agama dan umat Islam diwajibkan menggilap akal mengkaji serta mencari ilmu pengetahuan duniawi yang akan memberi faedah kepada manusia, menjadi elemen pemangkin kepada bangkitnya kemajuan ummah.

Bangsa Jepun dan Korea mampu muncul menjadi bangsa yang kuat dari segi ekonomi sekali gus menjadi negara maju kerana masyarakatnya sangat mencintai budaya keilmuan.

Imam Syafie ada mengatakan: "Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia akan menjagamu dan membuatmu cemerlang di dunia dan akhirat, di samping ia menjadi amalan nabi, rasul dan orang soleh."

Umat Islam masih mampu mengungguli tamadun dunia jika generasi muda Islam memaksimumkan penggunaan masa secara efektif dengan budaya membaca dan rajin meneroka ilmu pengetahuan.

Kesungguhan yang tinggi akan menjadi faktor berjaya atau tidaknya kita umat Islam memacu kejayaan. llmu pengetahuan yang tinggi dalam pelbagai cabang akan memartabatkan maruah ummah dan ini akan memercikkan imej positif kepada agama, bangsa dan negara.


Sumber: http://www.bharian.com.my