Monday, August 23, 2010

Isteri, ibu dan pekerja


Wanita bekerjaya perlu pandai menyeimbangkan masa antara kerjaya dan keluarga.




WANITA dan kerjaya seringkali dikaitkan dengan bebanan kerja. Sehingga ada di antara mereka tidak terdaya lagi untuk menggalas kewajipan dan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu di rumah.

Dari pagi sehinggalah lewat petang, mereka sibuk merancang, mengurus dan membina masa depan empayar kerjaya. Ini membuatkan sesetengah urusan yang wajib dipikulnya di rumah dilepaskan kepada pembantu rumah.

Anak-anak dan suami pula merasakan diri mereka terabai gara-gara kerjaya yang dihambat oleh ibu dan isteri. Pengabaian dalam aspek kekeluargaan itu berkaitan tentang penjagaan, penyediaan makanan dan kualiti masa dengan anak-anak.

Soalnya, adakah wanita bekerjaya hari ini masih dihimpit masalah yang sama atau mengganggap pengurusan keluarga seharusnya dibahagikan sama rata dengan suami?

Bagi Puan Sri Maimon Arif Patail yang mempunyai kerjaya hebat, beliau menolak kenyataan bahawa wanita kerjaya seringkali mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.

"Sejauh mana bebanan kerja yang ditanggung, ia bukanlah penghalang untuk seseorang wanita kerjaya terlepas daripada tanggungjawab menjaga keluarga dan anak-anaknya," katanya.

Beliau kini menyandang jawatan Pengurus Besar Bahagian Hal Ehwal Korporat Malaysian Mosaic Berhad (MML).

Menurutnya, berdasarkan peratusan pelajar perempuan di institusi pengajian tinggi hari ini yang lebih ramai daripada lelaki, wanita pada masa depan sukar untuk bergelar ibu sepenuh masa.

Katanya, sebalik tamat pengajian, pastinya graduan wanita tersebut akan menceburi kerjaya pilihan.

"Dalam keadaan ekonomi sekarang, tentulah susah bagi wanita untuk meninggalkan kerjaya bagi menjadi seorang ibu sepenuh masa. Sekiranya saya berani menjadi ibu sepenuh masa, saya akan lakukannya. Tetapi saya tidak berbuat demikian.

"Sebagai seorang ibu kepada dua orang cahaya mata, saya telah diajar untuk menjadi seorang wanita bekerjaya. Bagi saya, kerjaya tidak menjadi masalah kepada saya dan keluarga," katanya.

Katanya, apa yang beliau harapkan ialah setiap wanita yang bergelar ibu seharusnya belajar untuk berfikir dan memahami perasaan seseorang terutama anak-anak dan suami.

"Walau sibuk mana sekalipun, tanggungjawab yang harus dipikul semestinya diberi keutamaan dan dilaksanakan dengan jaya," ujarnya spontan.

Bergelar wanita berpengaruh mungkin boleh menggugat kualiti masanya bersama anak-anak. Mengulas soal itu, Maimon berkata, dalam mengendalikan hal melibatkan rumah tangga, beliau sentiasa percaya masa berkualiti penting dalam mengurus anak-anak dan suami.

"Sungguhpun hampir setiap hari bekerja saya pulang lewat, saya tetap berusaha untuk dapat menikmati makan malam bersama keluarga di rumah.

"Jika sempat, saya sendiri akan menyediakan hidangan makan malam tetapi jika sebaliknya, saya akan membelinya di kedai. Apa yang penting, kami sama-sama berpeluang menikmati hidangan malam sambil berkongsi berita yang berlaku pada waktu siang.

"Cara ini penting untuk merapatkan hubungan ahli keluarga selain saya dapat menunaikan tanggungjawab yang dituntut oleh keluarga.

"Tetapi hari Sabtu dan Ahad adalah hari memasak untuk saya. Kami akan meluangkan masa bersama di rumah sambil bergurau-senda," tambahnya.

Bagi Maimon, seorang wanita yang berjaya jika hendak terus berjaya mestilah berusaha dari rumah.

"Kejayaan yang dicapai mestilah seimbang di antara karier dan keluarga," katanya ketika menjawab persoalan mengenai kualiti masa yang diberikan kepada keluarganya.

Dalam menjalani kehidupan yang penuh cabaran, Maimon berkata, ibu bapa sewajarnya mendidik anak-anak sejak kecil tentang pengurusan masa dan wang saku, membuat keputusan yang tepat dan penjagaan diri yang bijak sekiranya ibu bapa tiada di rumah.

"Nilai-nilai didikan yang sempurna bermula dari rumah. Ibu bapa seharusnya memberi kata-kata perangsang kepada anak-anak termasuk membuatkan mereka faham tentang kesibukan kerjaya yang dipikul oleh ibu bapa.

"Ini penting untuk mengelakkan rasa tidak puas hati anak-anak apabila ibu bapa kerap tiada di rumah kerana urusan kerja.

"Walaupun mempunyai pembantu rumah, ibu bapa tidak boleh melepaskan tanggungjawab 100 peratus kepada mereka," ujarnya panjang lebar.

Dalam kesibukan melunaskan tanggungjawab kerjaya pada setiap hari, adakah beliau masih menitikberatkan hal pemakanan anak-anak?

"Semuanya bergantung kepada keadaan memandangkan anak-anak saya sudah meningkat remaja.

"Namun begitu, ibu bapa perlu memahami cara pemilihan makanan anak-anak agar setiap pemakanan yang diambil dapat membantu meningkatkan daya ketahanan badan sekali gus mengembangkan daya kognitif mereka," katanya.

hasliza.nusi@kosmo.com.my
Sumber: http://www.kosmo.com.my

Sifat kehambaan sangat dituntut


MANUSIA tidak akan dicipta-Nya kecuali untuk memperhambakan diri kepada-Nya yang mempunyai 99 nama (Asma-ul-Husna) yang memberikan gambaran secara jelas tentang sifat-sifat Allah SWT.

Belajar dan berusaha mengenali sifat-sifat Allah adalah merupakan ibadah. Ilmu mengenali Allah dan sifat-Nya amat dituntut daripada kita berada dalam buaian hingga ke liang lahad.

Manusia yang benar-benar kenal Allah dan sifat-Nya tidak akan berani berbuat sebarang dosa atau kemungkaran. Malah tidak akan sanggup melakukan walaupun termasuk dalam apa yang dinamakan dosa-dosa kecil.

Masalah rasuah, tuang kerja, rompak, curi, tipu, tidak amanah, edar dan penyalahgunaan dadah, putus silaturahim, kes-kes buang anak dan janin serta pelbagai kemungkaran lagi tidak akan berlaku bagi mereka yang kenal Allah dan sifat-sifat-Nya.

Hanya hamba-Nya yang hilang sifat kehambaan akan sanggup berbuat dosa dan kemungkaran. Apatah di kalangan mereka yang memisahkan diri darpada al-Quran yang merupakan himpunan kata-kata Allah yang sarat dengan tegahan dan larangan.

Sedangkan sikap kehambaan terhadap Allah itu sangat dituntut. Ini terbukti apabila daripada 6,236 keseluruhan ayat al-Quran, terdapat 2,799 kali sebutan nama Allah dan keesaan-Nya yang sangat- sangat layak disembah dan diperhambakan diri oleh kita hamba-Nya.

Daripada 2,799 sebutan nama Allah dalam al-Quran itu pula, terdapat 967 sebutan Rabbi yang membawa maksud memiliki, mendidik dan memelihara, manakala Rahman (Maha Pemurah) dan Rahiim (Maha Penyayang) ada disebut 560 kali.

Perkataan Ghafuur yang merupakan antara nama-Nya yang membawa maksud maha pengampun ada disebutkan sebanyak 233 kali sebagai tanda bakti, selain daripada pemurah dan penyayang kepada hamba-Nya, Allah juga maha pengampun.

Juga kerap disebut dalam al-Quran adalah Maalik yakni yang memiliki atau jika dipendekkan mimnya ia akan membawa maksud 'Raja' yang memerintah dan menguasai alam ini dan juga alam akhirat.

Maknanya, kita kena sedar bahawa kita kepunyaan Allah dan kita tidak boleh lari daripada tidak menjadi kepunyaan-Nya.

Oleh kerana kita kepunyaan-Nya, maka kita kena patuh kepada apa yang disuruh dan kena menjauhi daripada apa yang ditegah.

Allah pula maha pemurah, apa yang dikehendaki mesti diminta daripada-Nya. Allah juga maha penyayang. Tidak ada sebab untuk kita benci dan menjauhkan diri atau mengingkari apa yang disuruh dan ditegah oleh-Nya.

Sebagai manusia kita tidak dapat bebaskan diri daripada melakukan dosa kerana kejahilan kita.

Tetapi sifat maha pengampun-Nya patut dieksploitasi untuk kita bertaubat nasuha supaya daripada banyak membuat dosa kita bertukar menjadi hamba-Nya yang rajin mengumpul pahala dan daripada jahil menjadi alim.

Dalam bulan puasa inilah masanya untuk yang masih tidak kenali Allah kena berusaha mengenali Allah, yang jahil berusaha untuk alimkan diri dan yang bergelumang dengan dosa berhenti daripada melakukan kerja dosa kemaruk serta ketagihkan diri melakukan kerja-kerja yang mendatangkan pahala.

Paling penting, bina, pelihara dan tingkatkan kualiti perhambaan diri terhadap-Nya kerana Dia adalah pemilik kita.

oleh RAMLI ABDUL HALIM
Sumber: http://www.utusan.com.my/

Sia-sia berpuasa jika tak jaga solat fardhu


PUASA tetapi tidak solat bukan isu baru namun perlu dibangkitkan untuk perbincangan supaya amalan sepanjang Ramadan tidak menjadi sia-sia kerana sesetengah umat Islam begitu menjaga ibadat puasa namun solat diabaikan.

Imam 1 Masjid al-Husna Bandar Sunway, Abdul Hadi Bakri Abdullah, yang menjawab persoalan berkaitan solat tetapi tidak puasa yang dikemukakan penonton program Tanyalah Ustaz di TV9, berkata itulah kesilapan umat Islam kerana tidak memahami agama.

Katanya, ibadat puasa menjadi sia-sia jika seseorang itu tidak menunaikan solat wajib lima waktu kerana matlamat puasa untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah dan jika tidak solat, maka tiada apa yang hendak ditingkatkan.

Solat adalah amalan pertama yang dihisab di akhirat nanti, bukan puasa, haji, zakat atau infak yang kita buat.

Oleh itu, jika puasa tetapi tidak solat, sia-sia saja. Solat tidak ada fidyah atau tebusan tetapi puasa boleh ditebus dengan fidyah, katanya.

Beliau yang menjadi tetamu jemputan program Tanyalah Ustaz membicarakan tajuk Kesilapan Semasa Puasa, menyentuh perkara dilakukan umat Islam sama ada secara sedar atau tidak.
Katanya, banyak kesilapan dilakukan umat Islam kerana salah meletakkan keutamaan pada tempat sepatutnya seperti menunaikan solat sunat Tarawih secara berjemaah di masjid tetapi solat wajib tidak diusahakan untuk berjemaah sedangkan sudah jelas ganjaran 27 pahala.

Abdul Hadi berkata, dalam amalan sunat juga ramai tidak faham keutamaan mensia-siakan peluang depan mata dengan meninggalkan solat sunat selepas Isyak kerana lebih menumpukan solat sunat terawih.

Solat sunat selepas Isyak lebih utama tetapi kita tinggalkan sebab fikir nak buat sunat Tarawih. Imam memang tunggu jemaah solat sunat selepas Isyak sebelum Tarawih tetapi peluang yang ada itu kebanyakan kita sia-siakan, katanya.

Beliau turut menyentuh pemandangan di bazar Ramadan, anak muda lelaki dan perempuan bukan muhrim membeli juadah sambil berpegangan tangan malah ada yang tidak menutup aurat, sebagai perkara penting sepatutnya diberi perhatian tetapi dipandang mudah oleh segelintir umat Islam.

Begitu juga peniaga di bazar Ramadan, diingatkan supaya tidak bertekad dalam hati mengambil kesempatan Ramadan untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda sementara pembeli jangan pula menjadikan bulan puasa sebagai pesta makanan hingga berlaku pembaziran.

Beliau tidak menafikan keperluan atau kepentingan bazar Ramadan sebagai kemudahan serta tarikan pelancong ke negara ini tetapi biar usaha itu bertujuan menampakkan keindahan Islam dari segi amalan ibadat.

Apa yang patut diserlahkan ialah Ramadan sebagai pesta ibadat bukan pesta makanan. Ini peluang Allah beri dan mesti dijaga elok-elok dengan mendidik orang Malaysia serta pelancong dengan pemandangan apabila Ramadan, kita semua penuhkan masjid, katanya.

Perkara dibangkitkan Abdul Hadi adalah kerisauan diluahkan penonton yang mengikuti program Tanyalah Ustaz mengenai amalan puasa dalam kalangan masyarakat negara ini yang mendahulukan adat bukannya ibadat.

Oleh Hasliza Hassan
Sumber: http://www.bharian.com.my/

Menilai daya kemungkinan idea di peringkat awal


Undang-undang

Idea-idea yang dicadangkan perlulah sah dari segi undang-undang. Adakalanya sesebuah perniagaan itu dapat menghasilkan keuntungan tinggi, tetapi ianya tidak sah dari segi undang-undang. Contohnya penjualan CD cetak rompak. implikasi perniagaan tidak sah (melanggar undang-undang) ialah ianya tidaka dapat didaftarkan dan tidak layak memohon bantuan dan pinjaman dari mana institusi kewangan. Oleh itu anda perlu memastikan perniagaan anda sah disisi untdang-undang.

Pesaing

Faktor pesaing perlulah difikirkan oleh seseorang usahawan dalam menentukan jenis perniagaan yang hendak dijalankan. Sekiranya anda memilih idea perniagaan yang masih belum dipolopori oleh orang lain, ini akan membantu anda mengawal harga dipasaran dengan lebih mudah, seterusnya perniagaan anda cepat meningkat maju. Sekiranya anda ingin membina perniagaan yang mempunya daya saing yang tinggi, anda perlu membaut kajian yang mendalam supaya produk yang anda keluarkan mempunyai kelebihan tersendiri dan digemari oleh pengguna.

Risiko

Anda perlu mengenal pasti risiko-risiko yang bakal dihadapi supaya anda bersedia menghadapinya dari segi mental dan kewangan. Kajian-kajian haruslah dilakukan secara terperinci dan berhati-hati, usahawan haruslah membuat pertimbangan yang rasional sama ada idea perniagaan tersebut boleh diteruskan atau tidak. Risiko-risiko yang bakal dihadapi oleh usahawan biasanya ialah seperti berikut;
  1. Susah atau senang untuk menceburi bidang perniagaan yang dijalankan.
  2. Besar atau kecil modal yang perlu dilaburkan
  3. Keperluan sumber tenaga
  4. Potensi produk untuk menembusi pasaran.
Pada amnya terdapat dua jenis risiko yang besar yang perlu diberi perhatiaan
  1. Risiko perniagaan
  2. Risiko kewangan.
Modal

Dalam usaha mencari modal untuk melancarkan sebuah perniagaan, seseorang usahawan akan menghadapi banyak masalah. Modal yang diperlukan untuk memulakan sesuatu pernigaan merupakan modal berisiko tinggi. Terdapat tiga jenis modal diperlukan untuk menjalankan perniagaan
  1. Modal tetap: modal untuk membeli aset-aset tetap.
  2. Modal kerja: merupakan tabung sementara perniagaan
  3. Modal tumbuhan: modal yang diperlukan apabila pernigaan ingin dikembangkan atau mengubah hala tuju.

Berbuka Di Hotel Gurney Pulau Pinang Bersama2 Guru Kemahiran SMVBP Pada 20 Ogos 2010 (11 Ramadhan 1431H)















Sekalung Terima Kasih Kepada Guru Kemahiran SMVBP
kerana menjayakan program berbuka puasa dan hari keluarga warga kemahiran SMVBP. Semoga program ini dalam mengeratkan kerjasama guru-guru kemahiran, seterus bersama-sama menuju kecemerlangan

En. Jauhari b. Zakaria selaku Guru Kanan Kemahiran SMTVP
En. Adam b. Othman sekeluarga
En. Jamil b. Salleh sekeluarga
En. Hamsaril b. Ahamad sekeluarga
En. Ahamd Mustaki b. Daud sekeluarga
En. Helman b. Ahmad dan isteri
Cik Munirah

Item Pemikiran Kritis


Pemikiran kritis adalah bersifat evalutif. Ia melibatkan analisis yang objektif, jitu dan gigih terhadap setiap maklumat, dan data komunikasi. Pemikiran kritis boleh dilihat melalui kriteria seperti keobjektifan, kejituan dan kegigihan. Kewujudan pemikiran kritis boleh dilihat melalui petunjuk tertentu.
Item pemikran kritis mestilah mempunyai ciri-ciri berikut;

  1. Matlamat dimana hasil merupakan pertimbangan kritikal
  2. Kemahiran teras yang diperlukan ialah berkemahran menilai kemunasabahan idea
Menilai maklumat mesti dilihat dari segi ketetapan pemerhatian dan kebolehpercayaan sumber. Bukti-bukti yang diguanakan untuk menilai kemunasabahan idea perlu merangkumi pengalaman berpunca, rmalan, generalisasi dan alasan berdasarkan analogi deduksi. Pertimbangan yang dibuat semasa menilai maklumat dan idea harus bersikap yang berdasarkan kepada sebab-sebab yang wajar.
Keobjektifan: kebolehan membuat penilaian berasaskan kenyataan atau fakta sebenar atau tidak dikuasai atau dipengaruhi oleh perasaan atau persangka sendiri. Contoh petunjuk untuk keobjektifan ialah;
  1. Alat berfikir yang dipilih betul dan sesuai seperti membandingkan dan membezakan, menciri, mengumpul, mengelas dan lain-lain.
  2. Hujah, alasan dan bukti berdasarkan data serta maklumat yang ada.
Kejituan: kebolehan membuat pertimbangan secara tepat dan kena pada tempatnya. Contoh petunjuk untuk kejituan ialah;
  1. Langkah bagi setiap alat berfikir yang telah dipilh diikuti dengan betul untuk membanding dan membezakan (i. Perhatiakan satu antara dua tau lebih objek, ii. Kenal pasti satu daripada ciri-ciri objek itu, iii. Tentukan sama ada objek yang lain mempunyai ciri-ciri yang sama, iv. Nayatakan ciri-ciri sama atau berbeza)
  2. Hujah, alasan dan bukti disokong dengan fakta yang tepat.
  3. Sumber maklumat atau data berwibawa.
Kegigihan: kebolehan mempertahankan pendirian atau pendapat sendiri dan mempertimbangkan pendapat orang lain setelah memastikan ketepatan dan kesahan. Contoh petunjuk untuk kegigihan ialah;
  1. Mempelbagaikan kaedah
  2. Mengulangi semula kaedah yang digunakan
  3. Mengemukankan banyk bukti yang boleh diterima
  4. Mempunyai alasan terperinci.
Kesimpulan
Oleh itu untuk membina item pemikiran kritis ciri-ciri yang diperlukan ialah seperti berikut
  1. Situasi yang dibekalkan
  2. Set pengetahuan/kemahiran
  3. Peluang membuat penghakiman
  4. Peluang membuat keputusan

Kursus Membina Blog Anjuran ULKS SMTBP




Jawatankuasa Kursus Membina Blog

Penasihat 1 : Pn. Latifah bt. Mohd. Yusof (Pengetua SMVBP)
Penasihat 2 : En Haji Ilyas B Che Ali (PK Pentadbiran)
Pengerusi : En. Tan Meng Ting (GK Vokasional)
Setiausaha / Pengurus Program : En. Adam B. Othman
Bendahari : Pn. Noraseken bt. Mohamed Noor

Ahli Jawatankuasa :-

Persediaan tempat dan Kebersihan  : En. Helman b. Ahmad
                                                        En. Mustaki b. Daud
Pendaftaran & Cenderahati     : Cik Azreen bt. Anoar
                                                        En. Hamsaril Ahamad
Jamuan Peserta dan VIP                 : Cik Yusnezawati bt. Azizan
Fasilitator                                        : En. Ridzauddin b. Mohammed Said
                                                        En. Roslan b. Ab. Aziz
Rakam dan Kenangan                     : En. Norazamuddin b. Ahmad
                                                        En. Abdul Saliehill b. Awang
Pengacara Majlis                            : En. Zamri b. Mohd. Noh

Tarikh: 31 Julai 2010
Tempat : Bilik Mesyuarat 1 SMVBP

PENGHARGAAN

Kepada semua Ahli Jawatan Kuasa Kursus Membina Blog yang terlibat secara langsung atau tidak langsung diucapkan Jutaan Terima Kasih, kerana telah menjayakan program ini. Diucapkan syabas kepada peserta-peserta kerna berjaya menamatkan kursus ini dengan jayanya. Tidak lupa kepada Pengetua SMVBP Pn. Latipah bt. Md. Yusof dan Pen. Kanan 1 SMVBP En. Ilyas b. Che Ali kerana sentiasa memberi sokongan setiap aktiviti yang membenar manafaat kepada guru-guru SMVBP

Nabi Isa hapuskan kekolotan Yahudi


MENURUT ayat ini, ketika Allah SWT berfirman kepada nabi-Nya, bahawa Aku akan menyelamatkanmu dan mengangkatmu ke sisi-Ku adalah sebagai tindakan memperdaya musuh Nabi Isa. a.s.

Ayat ini merupakan khabar gembira tentang selamatnya Nabi Isa a.s daripada tipu daya mereka, sehingga mereka tidak berhasil melaksanakan niat jahat dan tipu muslihat kepada Nabi Isa.

Iktibar dan fiqh ayat

Para ulama berbeza pendapat terhadap ayat ini.

Ibn Kathir berkata dalam tafsirnya: "Dalam susunan kalimah ayat ini, sepatutnya kalimah yang berada di hadapan diletakkan di belakang. Dari itu terbentuklah, "Sesungguhnya Aku mengangkatmu ke sisi-Ku dan menyelamatkanmu". Maksudnya, sekarang Aku mengangkat kamu dan nanti kamu akan Aku matikan sesudah kamu turun dari langit, jika saat kematianmu telah tiba. Menurut pendapat ini, Nabi Isa a.s diangkat ke langit dengan jasad dan rohnya dalam keadaan hidup, dan akan turun ke dunia pada akhir zaman, lalu Baginda akan memerintah manusia dengan syariat kita, kemudian Baginda akan wafat.

Al-Qurtubi berkata: "Pada akhir ayat ini di mana Allah SWT menjadikan golongan yang mengikut Rasulullah SAW mengatasi orang-orang kafir dengan hujah dan mendatangkan bukti".

Ada pendapat dengan kemuliaan dan kemenangan. Al-Dhahaq dan Muhammad Ibn Abban berkata: "Dengan pembantu atau hawariyyin". Ayat ini secara harfiyyahnya, bermaksud kewafatan (penyelamatan) adalah kematian biasa. Sedangkan diangkat sesudah wafat bermaksud diangkat rohnya.

Tidak hairan jika dalam perbincangan disebut perkataan 'orang' tetapi maksud di sini hanya 'roh' sahaja kerana roh yang sebenarnya menjadi hakikat orang. Sedangkan tubuh adalah sebagai ibarat baju pinjaman, boleh bertambah, berkurangan dan berubah.

Manusia itu tetap manusia selagi rohnya itu tetap ada. Jadi menurut pendapat kedua ini, ayat di atas bermaksud, "Sesungguhnya Aku mematikanmu, dan sesudah kematian itu Aku tempatkan engkau di tempat yang tinggi di sisi-Ku," sebagaimana firman Allah SWT kepada Nabi Idris a.s bermaksud: Dan Kami telah mengangkatnya ke tempat yang tinggi darjatnya.

Ibn Ishaq berkata: "Kristian menyangka bahawa Allah SWT mematikan Nabi Isa a.s selama tujuh jam kemudian menghidupkannya".

Matar al-Warraq berkata: "Sesungguhnya aku mematikan kamu daripada dunia dan bukan dengan mati sebagai kematian".

Ibn Juraij berkata: "Maksud mati ialah mengangkatnya".

Kebanyakan ulama berpendapat dikehendaki dengan wafat di sini dengan maksud tidur berdasarkan kepada beberapa ayat al-Quran antaranya:

Ayat 60 surah al-An'am firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Dialah yang menidurkan kamu pada waktu malam, dan mengetahui apa yang kamu kerjakan pada siang hari, kemudian ia bangunkan kamu (dari tidur) padanya, untuk disempurnakan ajal (masa umur kamu) yang telah ditetapkan. Kemudian kepada-Nyalah tempat kamu kembali, kemudian ia menyatakan kepada kamu apa yang kamu lakukan.

Ayat 42 surah al-Zumar firman Allah SWT yang bermaksud: Allah (yang Menguasai segala-galanya), ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati dalam masa tidurnya, kemudian ia menahan jiwa orang yang ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya).

Ayat 156-159 surah al-Nisa' firman Allah SWT yang bermaksud: Demikian juga (Kami laknatkan mereka) dengan sebab kekufuran mereka dan tuduhan mereka terhadap Maryam (dengan tuduhan yang amat dustanya. Dan juga (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan: "Sesungguhnya kami telah membunuh al-Masih Isa Ibni Maryam, Rasul Allah".

Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak memalangnya (di kayu palang - salib), tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa). Dan sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham, mengenai Nabi Isa, sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak (ragu-ragu) tentang menentukan (pembunuhannya)

Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata, dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin.

Bahkan Allah telah mengangkat Nabi Isa kepadanya, dan adalah Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Dan tidak ada seorang pun dari kalangan ahli Kitab melainkan ia akan beriman kepada Nabi Isa sebelum matinya dan pada hari kiamat kelak Nabi Isa akan menjadi saksi terhadap mereka. bangsa Yahudi

Al-Maraghi berkata: "Ayat ini mengkhabarkan adanya unsur-unsur kehinaan dan kerendahan darjat bangsa Yahudi yang berlanjutan sehingga hari akhirat. Perkara ini memang terbukti sehingga tidak didapati orang Yahudi yang menjadi raja atau memiliki sebuah negeri sendiri.

"Perkara ini berbeza dengan kaum Nasrani tetapi para pengikut al-Masih belum lagi membuktikan kenyataan ini pada zaman hidup Baginda. Ini disebabkan mereka dikuasai oleh orang Yahudi.

"Oleh itu, pengertian kemenangan yang pertama (kemenangan rohaniah keagamaan) yang lebih sesuai dijadikan cermin".

Sesungguhnya kedatangan Nabi Isa kepada bangsa Yahudi dengan tidak membawa syariat baru. Bahkan kedatangan baginda adalah untuk menghapuskan sikap kolot dalam memahami syariat Nabi Musa a.s yang dilakukan secara formal.

Tujuan kedatangan baginda juga adalah untuk memberi kefahaman yang benar kepada mereka. Dari itu, ia bermaksud penganut agama Ahli Kitab terhadap beku kepada kata-kata formal ayat suci.

Justeru, mahu tidak mahu mereka memerlukan seorang pembaharu seperti Nabi Isa yang menjelaskan kepada mereka rahsia syariat dan jiwa agama. Dan semuanya itu ada dalam al-Quran, tetapi mereka telah tertutup lantaran taklid.

Masa kehidupan Nabi Isa a.s merupakan zaman yang mana manusia telah berpegang teguh pada roh agama dan syariat Islam untuk memperbaiki jiwa dan bukan hanya berpegang kepada tulisan dan kata-kata formal ayat suci.

Sebaliknya, golongan dajjal adalah simbol terhadap kaum pembuat khurafat iaitu kebohongan dan kebusukan. Di mana perbuatan ini akan hilang apabila syariat hidup dengan sewajarnya termasuk jiwa dan hikmahnya. Sedangkan kitab al-Quran merupakan penyuluh terbesar kepada hikmah dan jiwa agama. Begitu pula sunnah Rasul yang penuh dengan penjelasan seperti ini.

Muhammad Quraish Shihab berkata: "Kata mutawaffika diambil dari kata yang bermakna sempurna. Al-Quran menggunakannya antara lain untuk makna mati dan tidur. Dia bermakna mati kerana siapa yang wafat maka umurnya di dunia telah sempurna dan kerana tidur mirip dengan mati dari sisi hilangnya kesedaran maka tidur pun dinamai mati oleh al-Quran dan sunnah".

Hamka berkata: "Adalah satu kenyataan bahawa kita terdiri dari berbagai golongan. Kadang-kadang kita bertukar pandangan dan fikiran, kadang-kadang berebut pasaran dan pengaruh.

"Lantaran bertengkar kita lupa kewajipan kita mengabdikan diri kepada Allah SWT. Lupa bahawa hidup di dunia fana yang pendek ini hendaklah diisi dengan amal yang baik, jasa yang berguna dan ilmu yang berfaedah.

"Janganlah kamu terlalu banyak berselisih faham. Hanya membazirkan waktu yang terluang dengan bertengkar dan bermusuhan sesama sendiri".

Akhirnya penulis ingin mengemukakan sekali lagi pendapat Ibn Kathir berkenaan hal ini. Katanya: "Sesungguhnya Isa al-Masih tatkala Allah SWT mengangkatnya ke langit, rakan-rakan dan pengikutnya berpecah ketika itu:
  1. Ada yang beriman dengan apa yang Allah bangkitkannya bahawa Nabi Isa adalah hamba Allah, Rasul-Nya dan anak kepada Maryam.
  2. Ada di kalangan mereka yang melampaui sehingga menjadikan Isa sebagai anak Allah.
  3. Lebih teruk lagi ada di kalangan mereka menganggap Nabi Isa adalah Allah SWT.
  4. Seterusnya di kalangan mereka mendakwa Nabi Isa adalah salah satu daripada tiga Tuhan.
Semuanya itu dihikayatkan Allah dalam al-Quran serta membangkang dan membidas puak mereka. Mereka berkeadaan begini hampir 300 tahun, kemudian mereka telah dipimpin oleh Raja Yunan digelar dengan nama Qustantin yang bertujuan untuk merosakkan agama Kristian kerana ia asalnya seorang ahli falsafah.

Dikatakan beliau amat jahil tentang agama dan mengubah ajaran al-Masih, menambah dan meminda, menggubah undang-undang serta khianat yang amat berat. Antara tindakannya, beliau menghalalkan daging khinzir dan solat ke arah timur, meletakkan gambar-gambar dalam gereja, menambah puasa 10 hari kerana dosa yang dilakukannya sehingga jadilah agama al-Masih bertukar kepada agama Qustantin.

Beliau telah membina banyak gereja dan tempat ibadat melebihi 12,000 gereja, di samping menisbahkan nama kota kepadanya. Untuk keterangan lanjut boleh rujuk kitab tafsir Ibn Kathir dan al-Firaq Wa Adyan.

Semoga Allah menjadikan kita di kalangan orang Islam yang beriman kepada Nabi-nabi dan Rasul-rasul termasuk Nabi Isa a.s.

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Sumber: http://www.ipislam.edu.my/

Sunday, August 22, 2010

Merangsang Kepintaran Bayi


Pakar perkembangan bayi percaya tahun pertama kehidupan bayi tempoh utama berlakunya proses pembelajaran. Tidak perlu muzik klasik, alat pembelajaran bahasa atau kad imbas untuk merangsang otak bayi atau kanak-kanak. Alat pembelajaran terbaik baginya ialah individu di sekeliling si kecil itu.

Bercakap, menyanyi dan ketawa bersama antara interaksi harian yang lebih penting. Namun, kadangkala memang sukar memikirkan cara baru merangsang anak kecil (terutama sekali apabila si ibu atau bapa tidak tidur malam kerana meredakan tangisannya).

Berikut antara aktiviti menarik (berdasarkan sains) yang disarankan:
  1. Bertentang mata. Ambil peluang ketika mata si kecil terbuka luas dan lihat dalam-dalam anak matanya. Bayi kecil dapat mengenal wajah pada awal usia malah setiap kali dia merenung individu di hadapannya, dia sedang membina memorinya.
  2. Bercakap-cakap dengannya. Walaupun reaksi yang di berikan rupa keliru dan hairan, cuba berhenti sebentar di antara ayat untuk menggalakkan bayi memberi reaksi. La ma-kelamaan, dia akan dapat menangkap rentak perbualan dan mengisi ruang kosong yang dibiarkan senyap itu.
  3. Jika boleh, beri susu badan dan lakukan selama mana yang anda boleh. Berdasarkan fakta, kanak-kanak yang diberi susu badan mempunyai tahap kecerdasan tinggi. Tambahan pula, susuan badan dapat merapatkan hubungan dengan bayi sambil menyanyi, bercakap atau membelai rambutnya.
  4. Jelirkan lidah. Kajian menunjukkan bayi yang baru lahir semuda dua hari dapat meniru pergerakan wajah yang mudah – ia menandakan kaedah penyelesaian masalah pada awal usia.
  5. Hasilkan buku binatang. Sekiranya melawat taman haiwan atau zoo, ambillah gambar haiwan kesukaannya untuk di jadikan album. Kemudian, baca buku itu bersama si kecil sambil me namakan haiwan yang dikenali atau membuat bunyi dan cerita haiwan.
  6. Geletek si bayi pada keseluruhan tubuhnya. Ketawa langkah pertama dalam perkembangan humor bayi. Per mainan seperti 'cak cekur' dan 'labah-labah panjat perigi' dapat mengajar anak menjangka apa yang bakal berlaku.
  7. Tunjukkan perbezaan. Pegang dua keping gambar be berapa meter dari muka si kecil. Gambar itu seharusnya lebih kurang sama tetapi ada sedikit perbezaan (mungkin satu ada pokok dan satu lagi tiada). Bayi yang masih kecil pun boleh melihat kedua-duanya dengan teliti dan mencari perbezaannya. Ini dapat membantu perkembangan dalam pengecaman huruf dan pembacaan apabila dia besar kelak.
  8. Berkongsi pandangan. Bawa bayi berjalan-jalan dan beritahu semua perkara yang dilihat padanya. Cara itu boleh menyediakan bayi dengan sebanyak mungkin perbendaharaan kata.
  9. Nyanyikan lagu untuknya. Kajian menunjukkan mempelajari ritma muzik ada kaitan dengan pembelajaran ma tematik.
  10. Gunakan masa menukar lampin sepenuhnya. Gunakan waktu itu untuk mengajar bahagian badan atau pakaian.
  11. Beri kata kunci. Jika anda berkata; "Ibu nak buka lampu ni," sebelum menekan suis, si kecil itu diajar sebab dan akibat sesuatu perkara.
  12. Beri kejutan. Sesekali, gembirakan bayi dengan meniup muka, tangan atau perutnya perlahan-lahan sambil melihat reaksinya.
  13. Sediakan banyak tisu. Jika bayi suka bermain dengan tisu, biarkan. Dengan hanya beberapa sen, ia boleh dijadikan alat mainan deria yang boleh direnyuk dan digosok. Sorokkan mainan kecil pada bawah tisu dan biarkan dia mencari.
  14. Baca buku berulang kali. Saintis mendapati bahawa bayi semuda lapan bulan dapat belajar mengenali turutan dalam cerita jika dibaca dua atau tiga kali berturutan serta mem bantunya mempelajari bahasa.
  15. Main sorok-sorok yang boleh membuatkannya ketawa. Bayi belajar bahawa objek boleh hilang dan muncul kembali.
  16. Main dengan warna. Pilih satu warna dan suruh si bayi cari objek lain yang sama warna sewaktu berjalan atau menaiki kereta bersama. Kemudian, suruh dia memilih warna untuk anda pula mencarinya.
  17. Biarkan dia bermain dengan makanannya. Apabila anak sudah boleh makan, hidangkan makanan dengan tekstur berbeza termasuk kacang pis dimasak, bijirin, pasta atau cebisan daging dikisar. Dia dapat berlatih mencubit dan meneroka deria rasanya.
  18. Jangan lupa rehat. Luangkan masa beberapa minit sehari dengan hanya duduk atas lantai bersama bayi tanpa muzik, cahaya terang serta mainan. Biarkan anak meneroka dan lihatlah ke mana dia membawa anda.
Sumber: http://www.petua.org/

Murtabak Telur


Bahan-bahan:

Bahan inti:

350 gram daging kisar
100 gram bawang besar
100 gram bawang putih
100 gram serbuk kari daging
½ cawan minyak masak
5 biji telur ayam – dipukul sedikit
1 sudu kecil garam
Sedikit daun kari

Bahan doh:

1 kg tepung gandum
350 ml air
150 gram marjerin
100 gram minyak masak
2 biji telur ayam
½ sudu kecil garam

Cara penyediaan:

Untuk doh; bancuh telur garam dan air. Masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit sambil diadun sehingga sebati. Tutup adunan dengan kain bersih. Perap selama 10 minit supaya tepung naik.

Bentukkan adunan menjadi bebola seberat 60 gram. Sapukan marjerin. Perap lagi selama 3 jam.

Untuk inti; panaskan minyak dalam periuk. Tumis bawang putih, bawang besar, daging cincang dan serbuk kari. Masukkan garam dan daun kari. Kacau hingga sedikit kering. Masukkan telur dan gaul rata.

Tebar bebola tepung hingga nipis dan kembang. Tuangkan inti di tengah dan lipat bentuk empat segi.

Panaskan kuali nipis dan sapukan minyak masak. Goreng murtabak sebahagian demi sebahagian sehingga masak.

Enak disajikan bersama kuah kari atau jeruk bawang merah.