Thursday, February 24, 2011

Jaminan Ke Syurga

RASULULLAH SAW bersabda, "Jaminlah untukku enam perkara daripadamu, aku jaminkan syurga untukmu.

"Enam perkara itu ialah benar dalam berbicara, tepat janji kepada Allah dan manusia, tunaikan amanah, tutup aurat dan jaga kemaluanmu, tahan matamu daripada yang haram dan memelihara tangan".

Baginda memberikan jaminan itu kepada umatnya jika mereka mampu melaksanakan enam perkara tersebut dalam kehidupan harian.

Perkara pertama, bercakap benar dalam apa juga perkara. Setiap kata yang keluar selalu berorientasi hikmah dan tidak ada yang sia-sia. Seseorang yang benar dalam bertutur kata biasanya memiliki kejernihan hati.

Kedua, menepati janji, baik kepada Allah ataupun manusia. Kepada Allah, sama sekali tidak boleh terdetik untuk mengkhianti-Nya. Apabila kita melafazkan dua kalimah syahadah maka sesungguhnya terikat dengan janji kepada Allah waktu di alam roh.

Perkara ketiga yang ditegaskan oleh baginda adalah menunaikan amanah. Orang yang amanah adalah orang yang diberi rasa aman, iaitu sebagai hasil daripada keimanannya kepada Allah. Firman Allah dalam surah an-Nisa' ayat 58 bermaksud: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil...

Keempat, tutup aurat dan jaga kemaluan. Orang yang menjaga aurat akan terjaga dan meningkat kehormatannya.

Kelima, tahan mata dari perkara yang haram. Pada diri setiap mata ada hak. Dan di antara hak mata adalah menghindarkannya daripada tontonan yang diharamkan.

Al-Quran dalam surah an-Nuur di atas sudah cukup untuk mengingatkan kita supaya menjaga pandangan mata.

Sesungguhnya akan dijaminkan syurga jika seseorang mampu menahan matanya daripada perkara-perkara yang diharamkan.

Keenam, memelihara tangan. Menjaga tangan bererti menempatkan tangan sesuai fungsinya. Dan fungsi tangan di antaranya menolong siapa pun yang memerlukan bantuan.

Oleh itu adalah wajar untuk kita menghayati pesanan Rasulullah SAW ini dalam kita mencari kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Semua ini tidak sukar dilakukan jika kita mempunyai keimanan yang kukuh serta sentiasa berusaha untuk menjadi insan yang bertakwa.

Oleh: ZULKIFLEE BAKAR
Sumber: http://www.utusan.com.my/

PANDUAN DAN ETIKA PERNIAGAAN DALAM ISLAM



PANDUAN DAN ETIKA PERNIAGAAN DALAM ISLAM : PEMASARAN, KAEDAH PENGAWALAN DAN PENYUSUNANNYA DALAM ISLAM

بسم ألله ألرحمن ألرحيم ألحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الانبياء والمرسلين وعلى اله وصحبه اجمعين

Untuk menjamin aliran pasaran dan pemasaran berjalan lancar, dan bagi mengelak daripada berlaku penipuan oleh sesetengah peniaga, dan tidak berlaku penganiayaan terutama terhadap pengguna, maka Islam telah menetapkan beberapa peraturan dan kaedah yang boleh menjamin perkara yang tidak diingini itu berlaku di antara peniaga serta untuk mendapat keyakinan orang ramai dan masyarakat. Islam mementingkan supaya tidak wujud sebarang bentuk penipuan dan 'permainan' harga yang tidak sihat di dalam pasaran, dan sekali gus ia menggalakkan persaingan yang konstruktif di kalangan peniaga. Untuk itu, Islam telah memperkenalkan dua bentuk kawalan iaitu: i. Kawalan Dalaman ii. Kawalan Luaran. Kawalan dalaman berteraskan kepada iman dan akhlak peribadi peniaga itu sendiri. Manakala kawalan luaran lebih berbentuk kepada kawalan penyeliaan dan undang- undang (التشريعية) Di antara kaedah dan asas-asas utama ialah: 1- Pasaran Terbuka dan Bebas Daripada Pengaruh Orang Tengah Bagi menjamin kepentingan umum dan mengelakkan berlakunya penipuan dan kemudharatan maka harga barangan hendaklah diketahui oleh semua pengguna termasuk peniaga yang berjual-beli di pasaran terbuka. Di sini Islam menyarankan supaya semua barangan hendaklah dipamerkan secara terbuka dan jelas dan hendaklah sampai ke pasar dan diketahui harganya. Yang demikian dapat mengurangkan peranan orang tengah dan banyak bertukar tangan yang pastinya akan bertambah tinggi harga barangan terutama bahan keperluan asas, seperti makanan harian. Beberapa hadis yang melarang penjual-belian di tengah-tengah perjalanan ke pasar dan peranan orang tengah. Ibn Abbas R.A berkata: Rasulullah S.A.W bersabda: لا تلقوا الركبان, ولا يبع حاضر لباد, قيل لابن عباس ما قوله لا يبع حاضر لباد, قال لا يكون له سمسارا "Jangan bertemu pedagang di tengah jalan dan jangan orang bandar menjual kepada orang luar bandar. Ibn Abbas ditanya: Apakah maksudmu 'yang bandar tidak menjual kepada yang luar bandar'? Dia menjawab: Tidak ada orang tengah (middle man)." Hadis ini menjelaskan bahawa Rasulullah S.A.W melarang sebarang bentuk jual-beli barangan sebelum diketahui harga pasaran sebenarnya. Harga pasaran yang sebenar ialah di pasar terbuka, tempat berkumpul peniaga dan dipamerkan segala jenis barang dagangan. Abdullah Ibn Umar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda : " لا يبع بعضكم على بيع بعض, ولا تلقوا السلع حتى يهبط الى السوق"Jangan sebahagian kamu menjual atas jualan sebahagian yang lain, dan jangan mendatangi barangan hingga ia sampai ke pasaran." Rasulullah S.A.W tidak membenarkan berlaku jual-beli di tengah-tengah perjalanan sehingga kedua pihak yakin harga pasaran yang sebenar di mana semua barang dagangan dan peniaga berkumpul dan berlaku tawar-menawar harga. 2- Larangan "Permainan dan Penipuan Harga" Sebarang bentuk monopoli dalam harga atau barang adalah dilarang keras oleh Islam kerana ia akan memudharatkan orang ramai dan pengguna terutama yang melibatkan barangan keperluan dan pengguna. Monopoli ini boleh berlaku dalam pelbagai bentuk. Antaranya: a- Penjual bersepakat dengan seseorang di atas sesuatu harga yang lebih tinggi semata-mata untuk mengaburi pembeli yang lain, sedangkan dia sendiri tidak mahu membelinya. Di dalam istilah feqah dikenali sebagai النجش" " bermaksud: Menaikkan harga barangan untuk merangsangkan pembeli lain, sedangkan ia sendiri tidak berhajat untuk membeli. Imam Al-Ghazali berkata: " " النجش : ialah seseorang yang menawarkan sesuatu harga yang lebih tinggi di hadapan pembeli yang lain semata-mata untuk merangsang supaya pembeli itu membelinya. Padahal ia sendiri tidak berhajat untuk membelinya. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.A katanya: Nabi S.A.W melarang perbuatan "النجش" melalui sahih yang disepakati ulama' hadis. Hukumnya adalah haram kerana mengandungi unsur penipuan. Sabda Rasulullah S.A.W : " الخديعة فى النار ومن عمل عملا ليس عليه امرنا فهو رد" "Orang yang membuat penipuan tempatnya adalah neraka, dan sesiapa yang melakukan sesuatu amalan yang tidak mengikut ajaran kami, maka ia ditolak." Saad Ibn Ubadah berkata: Sekiranya aku tidak mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: " المكر والخديعة فى النار لكنت من أمكر الناس" "Helah dan penipuan tempatnya adalah neraka, kalau tidak akulah yang paling banyak menipu." - فتح الباري - b- Mempamerkan barangan yang tidak sama dengan hakikat barangan sebenar dengan bertujuan memikat pembeli dan menaikkan harga. Ternyata Rasulullah S.A.W melarang perbuatan sedemikian kerana ianya mengandungi unsur (sorokan) dan penipuan. Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa suatu hari Rasulullah S.A.W melewati bakul menjual makananan, maka Baginda memasukkan tangannya dalam bakul itu, dan didapatinya tangannya basah, lalu Baginda bertanya: "Apakah ini wahai yang empunya makanan ini?" Orang itu menjawab: "Ia terkena hujan wahai Rasulullah". Maka Rasulullah S.A.W bersabda: "Kenapa kamu tidak meletakkannya di sebelah atas supaya dapat dilihat oleh pelanggan? Barangsiapa menipu kami maka ia bukanlah dari kalangan kami." (Riwayat Imam Muslim Ibnu Majah) Diriwayatkan daripada Ibn Umar R.A., bahawa Rasulullah S.A.W melihat penjualan makanan yang diperakui baik oleh penjualnya, kemudian Rasulullah S.A.W masukkan tangannya dalam bekas makanan itu, maka didapati tidak sebaik sebagaimana yang dikatakan. Maka sabda Baginda: "Jual makanan ini berasingan dengan yang itu (yang baik). Sesiapa yang menipu kami maka ia bukanlah dari kalangan kami" (Riwayat Imam Ahmad Al-Bazar dan At-Tabrani) Penjual kadangkala mencampurkan sesuatu barangan bukan dari jenis yang sama, atau menambahkan (memperbanyakkan) barangan dengan jenis yang lain bertujuan untuk memperbanyakkan dan mendapat keuntungan yang lebih, seperti mencampurkan minyak tanah dan minyak petrol atau air dengan susu. Islam jelas tidak membenarkan amalan sedemikian, berdasarkan riwayat Safwan Bin Sulaim, bahawa Abu Hurairah R.A pergi ke pasar dan mendapati seorang penjual susu, dan memerhatikannya, didapati ia bercampur dengan air. Maka berkata Abu Hurairah: "Bagaimana kamu apabila pada hari Kiamat nanti diarah supaya membersihkan (mengasingkan) air itu daripada susu?" Riwayat Al-Baihaqi dan Al-Asbahani c- Mempromosi barangan berlebih-lebihan Sesetengah peniaga terlalu ghairah mempromosikan barangan secara berlebih-lebihan, tidak benar dan jauh daripada realiti barang itu, sehinga bersumpah-sumpah bertujuan bagi mengelirukan demi memperoleh keuntungan yang berlipat ganda. Abdullah Ibn Abi Aufa R.A berkata: "Seseorang penjual di pasar bersumpah dengan nama Allah perkara yang tidak benar ketika memperkenalkan barangannya, dengan tujuan untuk mengelirukan orang Islam." Maka Allah S.W.T turunkan ayat: Surah Ali-Imran 77: ان الذين يشترون بعهد ألله وأيمنهم ثمنا قليلا أولئك لا خلق لهم فى الأخرة ولا يكلمهم ألله ولا ينظر اليهم يوم القيامة ولا يزكيهم ولهم عذاب أليم (77 "Sesungguhnya orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan sumpah mereka itu tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari Akhirat, dan Allah tidak akan bercakap dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa) dan mereka akan memperoleh azab seksa yang sangat pedih." Islam menutup segala pintu yang boleh mengelirukan pembeli samada dengan memuji barang secara berlebihan, atau pengiklanan yang tidak benar atau dengan dakwaan penjual yang ia telah membelinya dengan harga yang tinggi atau dengan memberitahu ada pembeli yang menawarkan harga yang lebih tinggi sedangkan ianya belum terlaksana. Dengan demikian Islam menjamin harga pasaran yang sebenar dan berlaku jual-beli mengikut harga hakiki tanpa kekeliruan dan penipuan. 3- Memberitahu Keaiban dan Kelemahan Barangan Islam mewajibkan penjual beramanah ketika mempamerkan barangan dengan menampakkan bahagian yang rosak. Jika terdapat kelemahan-kelemahan tertentu maka pembeli boleh mengetahui kondisi sebenar barangan yang akan dibeli. Ini sesungguhnya boleh mendatangkan faedah yang besar dan keberkatan daripada Allah S.W.T kepada kedua-dua belah pihak penjual dan pembeli. Hakim Bin Hazam R.A meriwayatkan, katanya, Sabda Rasulullah S.A.W.: البيعان بالخيار ما لم يتفرقا, فان صدقا وبينا بوركا لهما فى بيعهما وان كتما وكذبا محقت بركة بيعهما "Kedua pihak penjual dan pembeli boleh membatalkan jualan selagi keduanya belum berpisah (dari majlis jual-beli) dan sekiranya keduanya, adalah benar (tidak bohong) akan diberkati penjual-belian mereka, dan sekiranya mereka sembunyi dan berbohong nescaya akan dilenyapkan keberkatannya." Imam Al-Ghazali berkata: Penjual wajib memberitahu segala bentuk keaiban dan kelemahan barang jualan dengan tidak menyembunyikannya walaupun sedikit. Sekiranya berlaku penyembunyian (sorok) maka ia adalah zalim, penipu dan perbuatan sedemikian adalan haram, dan tidak mengikut peraturan dan nasihat yang wajib dalam bermuamalah. 4- Cermat Dalam Sukatan dan Timbangan. Islam amat menitikberatkan soal kesempurnaan sukatan dan timbangan serta peralatan yang berkaitan dengannya. Terlalu banyak ayat-ayat al-Quran dan hadis Rasulullah S.A.W serta penekanan pelaksanaan yang telah dilakukan oleh para khalifah muslimin dan petugas-petugas mereka yang soleh. Di antaranya: Surah Al-Isra' ayat 35 : وأوفوا الكيل اذا كلتم وزنوا بالقسطاس المستقيم ذلك خير وأحسن تأويلا (35 "Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Dengan itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik-baik kesudahan ( pahala di akhirat)." (Surah Hud ayat 85) ويقوم أوفوا المكيال والميزان بالقسط ولا تبخسوا الناس اشياءهم ولا تعثوا فى الأرض مفسدين ( 58 "(Nasihat Syuib kepada kaumnya) wahai kaumku sempurnakanlah sukatan dan timbangan dengan adil, dan jangan kamu kurangkam manusia akan benda-benda yang menjadi haknya. Dan janganlah kamu menimbulkan bencana kerosakan di muka bumi ini." Menurut sejarah Khalifah Mukminin Saidina Umar Ibn Al-Khattab R.A mengambil alih dan melaksanakan sendiri tugas penyeliaan ke atas pasaran, mengamati amalan sukatan dan timbangan, sebagaimana ia melantik petugas-petugas khas memerhatikan perkara itu. Qatadah pernah berkata: "Wahai anak Adam sempurnakanlah sukatan seperti kamu ingin disempurnakan kepada kamu, berlaku adillah sebagaimana kamu ingin dilakukan keadilan kepadamu." Ibn Umar R.A berkata: Bahawa Rasulullah S.A.W telah datang kepada kami dan bersabda: Wahai para muhajirin, lima perkara apabila diturun bala ke atas kamu dan aku memohon agar kamu tidak akan mendapatinya : 1- Tidak merebak amalan keji- zina- sehingga menjadi perkara biasa kecuali dikenakan taun dan penyakit-penyakit yang tidak pernah ada pada orang yang sebelum kamu. 2- Tidak ada yang mengurangkan sukatan dan timbangan kecuali berlaku kekurangaan makanan kesengsaraan hidup dan kezaliman pemerintah ke atas mereka. 3- Tidak ada yang mengeluarkan zakat harta mereka kecuali hujan tidak akan turun dan jikalau tidak kerana adanya binatang tetap hujan tidak akan turun. 4- Tidak mungkir janji dengan Allah dan RasulNya kecuali Allah wujudkan musuh-musuh yang menguasai dan merampas apa yang di tangan mereka. 5- Pemerintah-pemerintah mereka tidak menghukum dengan kitab Allah dan dengan apa yang diturunkan oleh Allah kepada mereka kecuali Allah wujudkan permusuhan di kalangan mereka sendiri. (Riwayat Ibn Majah, Al-Bazar dan Al-Baihaqi) Jelas bahawa sebarang unsur penipuan dan gharar dalam Islam adalah dilarang sama sekali. Segala tindakan yang bertentangan dengan panduan dan etika Islam akan membawa dosa kepada kehidupan masyarakat. Menurut Al-Quran, negeri Saba' adalah sebuah pengajaran. Negeri yang makmur berubah menjadi miskin kerana dosa-dosa penduduknya. Al-Quran juga menyebut dosa sebagai "berbuat zalim terhadap diri sendiri." Apabila manusia melakukan dosa, maka dia sesungguhnya menganiayai dirinya sendiri. Apabila masyarakat membiarkan perlakuan dosa, maka masyakarat itu menghancurkan dirinya sendiri. Allah menghukum bukan sahaja dosa individu tetapi juga dosa kolektif. Usaha menyembuhkan masyarakat daripada dosa, upaya memperbaiki muamalat masyarakat, menghilangkan faktor-faktor yang mempertajamkan hubungan sosial, seterusnya menghantar masyarakat kepada kehidupan ideal yang diredhai Allah S.W.T sebagai "Baldatun Thayyibatun wa Rabbun Ghafur" merupakan peranan dan tanggungjawab semua golongan; daripada rakyat biasa sehingga kepada pengusaha dan penguasa. من كتاب : الحرية القتصادية فى الاسلام واثرها فى التنمية للدكتور سعيد ابو الفتوه محمد بسيونى

Oleh: Dr. Said Abu Al-Futuh Muhammad Basyuni Terjemahan: Sahibus Samahah Syeikh Haji Abdul Halim Abdul Kadir Mufti Kerajaan Negeri Terengganu
Sumber: http://salimiazhary.blogspot.com/

TANDA-TANDA DAN MATI HUSNUL KHATIMAH - Mati Kerana Mempertahankan Harta


Harta kita yang diperolehi daripada sumber yang halal dan hasil daripada usaha titik peluh kita sendiri adalah harta yang hak kita dan kita berhak memerlihara dan mempertahankannya. Selain daripada harta kita ialah harta hak jemaah atau hak masyarakat Islam yang diamanahkan kepada kita supaya menjaganya, maka ia juga merupakan harta yang wajib kita perlihara dan dipeertahnkan daripada diambil orang tanpa kebenaran.

Islam tidak mengmandang harta benda dunia sebagai suatu remeh, bahkan Islam menjadikan harta benda duniawi sebagai salah satu alat terpenting untuk membangunkan hukum dan syariat Allah. Tanpa harta sebagai alat, Islam sukar untuk diperkuatkan.

Oleh yang demikian sekiranya pihak tertentu seperti perompak atau pencuri atau penjahat atau lain-lain yang hendak membuat khianat terhadap harta, sama ada peribadi atau harta jemaah atau masyarakat Islam, maka wajib mempertahankannya. Sekiranya dalam mempertahankan harta tersebut kita mati, maka mati kita itu dikira mati syahid.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Barang siapa yang mati kerana membeli hartanya, maka matinya adalah mati syahid” (Bukhari dan Muslim)

Pernah seorang Lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w dan bertanya tentang masalah seorang Lelaki yang cuba merampas hartanya. Rasulullah menjawab: “Jangan kamu beri hartamu kepadanya”. Lelaki itu bertanya lagi: “Bagaimana kalau ia hendak menyerang aku.” Jawab Baginda s.a.w. “Hendaklah kamu melawan dia.” Lelaki itu bertanya lagi: “Bagaimana pula kalau ia membunuh aku?” Jawab Rasulullah s.a.w.: “Engakau mati syahid.” Lelaki itu bertanya lagi: “Bagaiman pula kalau aku dapat membunuhnya?” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Dia di dalam neraka.” (Hadis Riwayat Muslim, Ahmad dan An-Nasai)

Dalam riwayat lain disebut bahawa Rasulullah s.a.w. menegaskan terhadap seorang Lelaki yang hartanya cuba dicerobohi oleh seseorang dengan sabda Baginda yang bermaksud:

“Lawanlah dia, demi membeli hartamua senhingga engkau menjadi salah seorang di antara syuhada di akhirat atau engkau dapat mempertahankan hartamu (dapat mengalah atau membunuh penceroboh)” (Ahmad dan An-Nasa)

Islam memandang harta sebagai salah satu kehormatan dalam hidup di samping iman dan maruah. Kerana harta sama ada milik peribadi atau milik masyarakat yang diperolehi secara halal serta digunakan untuk jalan kebajikan seperti untuk nafkah atau untuk jihad fisabilillah atau sebagainya merupakan harta yang perlu dipelihara dan diurus dengan b aik.

Sehinggalah Mu’az bin Jabbal ketika diutuskan oleh Rasulullah s.a.w. ke Yaman, di antara pesanan yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. selain daripada persoalan iman, Islam dan ehsan ialah Baginda s.a.w. berpesan tentang masalah harta masyarakat Yaman. Sabda Rasulullah s.a.w. kepada Mu’az yang maksudnya:“Perhatikanlah kehormatan harta mereka”

Wednesday, February 23, 2011

Bermain Untuk Kanak-kanak Istimewa


Bagi kanak-kanak dengan keperluan istimewa, bermain bukan sahaja menyeronokkan malah terapeutik.

Bermain adalah penting untuk kanakkanak, tetapi ia lebih penting bagi kanak-kanak dengan keperluan istimewa, iaitu untuk merangsang perkembangan dan pembelajaran mereka.
Sebenarnya, bermain merupakan salah satu bentuk terapi yang digunakan oleh pakar tertentu untuk berinteraksi dengan kanakkanak serta membantu mereka meluahkan perasaan dan emosi. Terapi ini juga digunakan dalam program intervensi yang berkesan seperti intervensi awal, terapi pertuturan, terapi pengurusan ibu bapa, intervensi keluarga kepada kanak-kanak yang mengalami rangkaian gangguan tingkah laku dan fizikal yang meluas seperti gangguan bahasa, gangguan kelakuan, Gangguan Hiperaktiviti dan Kurang Daya Tumpuan (ADHD), autisme dan serebral palsi.

Pelbagai bahan mainan (seperti barang permainan, bahan seni) dan kaedah mainan digunakan dalam terapi bermain yang disediakan dan dipandu oleh ahli profesional terlatih. Di rumah, ibubapa digalakkan untuk menggunakan permainan sebagai medium membina perhubungan ibubapa-anak positif, dan menyokong anak dalam perkembangan penggunaan kosa kata dan kemahiran komunikasi, sosial dan penyelesaian masalah.

Mengapa Bermain?

ADHD – Kanak-kanak ADHD mempunyai daya tumpuan singkat, bersikap hiperaktif dan luar jangkaan. Gejala ini menyukarkan kanak-kanak memberi tumpuan dan menghabiskan sesuatu tugasan. Mereka sering mengalami kesukaran dalam menumpukan perhatian di dalam kelas dan bersosial dengan kanak-kanak lain yang sama usia.

Penglibatan dalam permainan dan aktiviti yang sesuai dapat membantu kanak-kanak ADHD mengembangkan penumpuan yang lebih baik, meningkatkan keyakinan diri dan belajar bersosial serta berinteraksi secara betul dengan kanak-kanak lain. Waktu bermain juga merupakan peluang untuk memumpuk perhubungan yang erat dan positif antara ibu bapa dengan anak; yang biasanya tegang disebabkan oleh simptom ADHD.

Autisme – Kanak-kanak autistik mempunyai kesukaran berinteraksi dengan kanak-kanak lain secara biasa. Mereka lebih gemar bermain sendiri, menjadi obses dengan objek dan berada dalam dunia sendiri. Mereka juga kurang berkemampuan membaca ekspresi emosi dan isyarat sosial, menyebabkan perkembangan komunikasi-sosial mereka terjejas.

Permainan yang menumpukan pada minat kanak-kanak serta menggalakkan interaksi boleh membantu memperbaiki kemahiran komunikasi dan antara peribadi mereka.

Serebral palsi – Ia adalah suatu keadaan semulajadi yang menjejaskan ton otot, pergerakan dan kemahiran motor, mengakibatkan kekakuan, kesukaran bergerak dan pergerakan tidak sengaja. Kanak-kanak serebral palsi akan mengalami suatu tahap ketidakbolehan fizikal tertentu. Mereka mengalami kesukaran melaksanakan tugasan mudah seperti berdiri tanpa bergerak atau memegang objek.

Walaupun mereka mungkin tidak bersedia untuk bermain, namun mereka perlu bermain untuk mengembangkan kemahiran motor kasar dan halus serta perkembangan deria mereka.

Jenis mainan dan alatan sesuai bagi kanak-kanak istimewa


Oleh Cik Woo Pei Jun, Pakar Psikologi Pekembangan
Sumber: http://www.mypositiveparenting.org/

Ubat Hati Resah Gelisah dengan Solat



Memang sesungguhnya kita ini dijadikan sifatnya resah gelisah bila mendapat kesusahan, dan cepat lupa daratan dan kedekut bila telah mendapat kesenangan. Namapun manusia, tambah lagi dengan sifat mudah lupa dan mudah melatah.

Teringat kepada petikan surah Al-Maarij ayat 19 - 34 (Juz 29) yang maksudnya

Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). (19) Apabila dia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. (20) Dan apabila dia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil kedekut. (21) Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang. (22) Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya. (23) Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum. (24) Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta). (25) Dan mereka yang percayakan hari pembalasan (dengan mengerjakan amal-amal yang soleh sebagai buktinya). (26) Dan mereka yang cemas takut daripada ditimpa azab Tuhannya. (27) Kerana sesungguhnya azab Tuhan mereka, tidak patut (bagi seseorangpun) merasa aman terhadapnya. (28) Dan mereka yang menjaga kehormatannya. (29) Kecuali kepada isterinya atau kepada hambanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela. (30) Kemudian sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas. (31) Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya. (32) Dan mereka yang memberikan keterangan dengan benar lagi adil (semasa mereka menjadi saksi). (33) Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya. (34) Mereka (yang demikian sifatnya) ditempatkan di dalam Syurga dengan diberikan penghormatan.

Sembahyanglah sebenarnya ubat untuk jiwa yang keluh kesah itu. Namun bila kusemak akan diri ini, memang dah bertahun aku solat, dulunya kekurangan sedikit, namun adakalanya lagi masih keluh kesah bila ditimpa kesusahah...kenapa yek? rupanya sembahyang yang dimaksudkan bukanlah sekadar sembahyang secara physicalnya berdiri, rukuk dan sujud, walhal hati ketika solat itu melayang2 jauh ke sana ke mari, kekadang melayang2 ke TESCO, JUSCO, bistro dsbnya.... solat yang dimaksudkan ialah solat yang penuh kusyuk dan tunduk kepada Allah, dengan penuh tertib rukun dan sunatnya, bukanlah versi gopoh-gapah ala2 anak2 yang tangkas mengejar waktu.

Bagaimanakah kita boleh mendapat nikmat kusyuk ketika solat?...alamak soalan cepu emas ni..maka bermulalah satu misi baru utk aku mencari rahsia2 kusyuk solat dalam erti kata sebenarnya,,, mudah mudahan dengan konsistensi dan tambahan ilmu serta doa2, akan tercapailah niat utk mendapat nikmat kusyuk solat, yang dengannya aku yakin akan terjagalah kehidupan harianku....amin.

Sumber: http://tangsibiru.blogspot.com/