Thursday, April 21, 2011

Mudahnya Kita Mencari Pahala

PADA hari ini, antara sebab remaja mudah terpengaruh dengan rakan sebaya adalah kerana para remaja tidak memiliki rasa berdosa terhadap sesuatu yang dilakukan.

Rasa berpahala yang tinggi menjadi dorongan yang kuat bagi remaja kerana proses pembentukan watak remaja sebagai orang yang berpahala bakal menjadikannya orang yang dewasa dahagakan pahala juga.

Remaja yang lazim melakukan dosa akan terbiasa dengan perbuatannya dan apabila melakukan dosa, remaja menganggap ia perkara biasa. Perkara biasa itu apabila terus diamalkan ia bakal membentuk wataknya sehingga dewasa. Oleh itu, para remaja harus mendidik dirinya supaya memiliki sifat berpahala kerana ia merupakan amal yang boleh berlaku dengan mudah.

Menegur sapa orang tua dan berumur dengan panggilan 'pakcik' atau 'makcik' adalah berpahala. Membuang sampah di laluan orang ramai, ia amalan yang berpahala. Membantu orang yang susah dan memerlukan pertolongan adalah perbuatan berpahala.

Menaiki kenderaan dengan mematuhi peraturan jalan raya juga memberikan pahala kepada remaja.

Pokoknya, pahala itu terdapat di mana-mana asal sahaja di hati remaja sentiasa mengharapkan pahala itu adalah suatu bentuk dorongan untuk remaja melakukan kebaikan pada diri dan orang lain.

Remaja yang merasa tidak berdosa akan melakukan keburukan adalah remaja yang mati rasa. Mati rasa bermaksud hilang kepekaan kepada diri seseorang tentang halal haram sesuatu perkara, buruk baik sesuatu perbuatan dan tidak melihat bahawa kebaikan yang dilakukan terhadap diri dan orang lain membawa manfaat besar kepada remaja suatu hari nanti.

Katakanlah remaja bakal menjadi dewasa dengan kelaziman melakukan hal-hal yang berdosa, kemudian mendirikan rumah tangga, isteri dan anak-anak bakal menerima padah daripada kelaziman tabiat ibu bapanya.

Ibu bapa akan gagal menjadi contoh terbaik kepada anak-anak. Anak-anak bakal terpengaruh dengan pekerti ibu bapanya.

Bayangkan ia jika diatasi akan anak cucu dan cicit bakal mewarisi golongan -orang yang terdahulu daripadanya. Sebab itu penting bagi remaja memulakan kehidupan dengan membina perasaan berpahala dan rasa berdosa yang tinggi supaya remaja mempunyai pedoman dan bimbingan nilai-nilai yang baik sejak kecil.

Apabila tabiat rasa berpahala ini menjadi darah daging dalam tabiat seseorang remaja ia adalah petanda yang baik untuk hari depan. Saidina Ali memberi gambaran corak generasi dan kepimpinan umat masa depan terlihat dengan pekerti anak-anak masa kini.

Jika anak-anak remaja menggila budaya popular juga pengaruh teknologi komunikasi yang merosakkan, ia bakal cenderung terhadap kebatilan. Jika ini berlaku, kerosakan bakal terjadi terhadap kepimpinan dan kepengikutan umat Islam pada masa depan.

Oleh sebab itulah Saidina Umar Al-Khattab berpesan agar kita mendidik remaja mengikut kesesuaian zamannya. Ia bermaksud zaman kini perubahan dalam bidang pemikiran Islam, budaya Islam dan cara hidup Islam sering terhubung dengan kemurnian akidah, resam syariat, kekuatan ibadah yang dilakukan terhadap para remaja.

Ia bakal menghasilkan remaja budiman yang berlumba-lumba ingin melakukan kebaikan dan kemakrufan. Remaja beginilah yang nantinya bakal memimpin umat dan mampu menawarkan jawapan kepada cabaran umat pada masa kini dan masa depan.

Membuat baik kepada diri dan orang lain kerana mengharapkan pahala semata-mata tidaklah salah kerana sebagai manusia yang banyak kesalahan, pahala menjadi ganjaran dan dorongan melakukan kebaikan. Rasa berpahala mendorong remaja untuk berlumba-lumba melakukan kebaikan dalam hidup.

Apabila rasa berpahala sudah sebati dalam hidup remaja dan setiap amalan yang dilakukan adalah kerana mencari keredaan Allah semata-mata, maka remaja akan menjadi orang yang sentiasa tunduk dan patuh kepada Allah dan tuntutan syariat.

Sumber: http://www.utusan.com.my/

Mengingati Mati Dorong Tekun Berusaha


DARI perspektif agama, perkara berkaitan dengan kematian adalah suatu
yang positif. Ini kerana dengan mengingati mati, seseorang akan
melakukan persediaan untuk hidup lebih maju dan berjaya semata-mata
untuk meninggalkan bakti terbaik demi agama, bangsa, negara dan
keluarga.

Kesedaran ini juga dapat membina pekerti luhur ke arah menyediakan
bekalan terbaik bagi menempuh kehidupan semula di akhirat.

Malangnya sebahagian daripada kita masih melihat kematian dari
perspektif yang pasif. Perkara di sebalik kematian masih menjadi momokan
dan kelucuan.

Ada yang beranggapan dengan mengingati mati, maka mereka hanya
menumpukan persediaan berkaitan dengan diri sendiri seperti wirid,
zikir, solat sunat dan pelbagai lagi ibadat khusus.

Mereka lupa bahawa mereka masih berada di dunia dan mempunyai pelbagai
tanggungjawab sama ada kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Jika tumpuan hanya diberi kepada diri sendiri semata-mata, maka akan
berlaku pengabaian terhadap tanggungjawab lain.

Sedangkan dengan menunaikan tanggungjawab terhadap masyarakat dan
negara, ia juga suatu ibadat yang sangat bererti untuk menghadapi mati.

Selain anggapan sebegini, ada juga yang menganggap dengan mengingati
mati, maka ia ibarat sesuatu merugikan dan melalaikan dan mampu
menyebabkan akal menjadi jumud.

Mengingati mati disifatkan sebagai belenggu yang membatasi langkah dan
menyekat usaha yang menyebabkan hidup menjadi malas, muram dan suram.

Pendek kata, suatu yang berkaitan dengan kematian adalah suatu yang
fasik dan membosankan, tidak maju dan tidak berdaya saing.

Sebenarnya, kedua-dua pandangan ini adalah pandangan yang jauh tersasar.
Rasulullah mengatakan bahawa orang yang selalu mengingati mati dan
mengambil iktibar daripadanya, adalah orang yang amat cerdik dan pintar.
Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Orang yang cerdik itu ialah orang
yang dapat mengekang hawa nafsunya dan beramal untuk bekalan selepas
mati. Manakala, orang yang lemah akal ialah orang yang sentiasa menurut
hawa nafsunya dengan hanya berharap-harap kepada Allah."

Daripada hadis ini, dapat difahami bahawa Rasulullah menganggap orang
yang selalu mengingati mati dan sentiasa bersiap sedia dan
memperlengkapkan bekalan untuknya, adalah orang paling cerdik hingga
mampu mencapai kemuliaan serta penghormatan dunia dan mendapat keampunan
serta keredaan di akhirat.

Maknanya, Islam menganjurkan kita supaya selalu mengingati mati kerana
dengan tindakan itu, kita menjadi cerdas dan pintar serta lapang dada
sebagai tanda hati sudah ditembusi cahaya keimanan.

Manakala, orang yang enggan mengingati kematian adalah orang yang lalai
kerana tidak membuat persediaan walaupun menyedari bahawa kematian
adalah sesuatu yang pasti yang tidak dapat dihalang sebagai mana firman
Allah bermaksud: "Setiap yang bernyawa pasti merasai mati kemudian
kepada kamilah kamu dikembalikan – (Surah al-Ankabut, ayat 57).

Kematian adalah peristiwa besar dan gempar yang hebat lagi dahsyat.

Oleh kerana dahsyatnya peristiwa itu, sewajarnya kita mengambil
peringatan, memberi perhatian sepenuhnya dan melakukan persediaan.

Mengingati mati sebagai suatu yang pasti bererti kita menerima ketentuan
dengan penuh rela dan bersedia.

Sedia menghadapi dengan penuh pengertian dan kesedaran walaupun ada rasa
bimbang dan khuatir, namun ia dapat diatasi dengan adanya persiapan,
pengharapan, sang-ka baik dan keyakinan terhadap rahmat dan keampunan
Allah.

Ini semua adalah hakikat di sebalik peristiwa kematian yang mesti
dipelajari agar kita menghadapi kematian dengan penuh tabah dan berani.

Keyakinan dan keberanian inilah yang menjadi pendorong seseorang muslim
untuk berpandangan positif terhadap hidup.

Ini kerana, dia yakin akan mati, maka dia akan berusaha dan berikhtiar
sebaik mungkin agar dia dapat meninggalkan bakti berguna dan membina
demi agama, negara dan bangsa.

Disebabkan yakin bahawa waktu hidup hanya sementara, maka dia akan
berusaha gigih agar dapat memberikan peninggalan terbaik untuk ahli
keluarga, masyarakat dan negara.

Sebenarnya inilah keberanian, dorongan, daya maju dan daya juang yang
digalakkan al-Quran sebagai mana firman Allah yang bermaksud:
"Dialah tuhan yang menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji
kamu siapakah di antara kamu yang paling baik amalannya, dan Dia Yang
Maha Gagah dan Maha Pengampun" – (Surah al-Mulk, ayat 2).

Salah satu cara bagaimana mengingati mati mampu membangunkan sikap
positif ialah dengan sering menziarahi orang sakit.

Makin ramai kita melawat orang terlantar, maka semakin terasa betapa
kerdilnya diri kita. Semakin banyak kita menyaksikan peristiwa kematian
di depan mata, maka semakin terasa betapa lemahnya diri kita.

Begitu juga semakin kerap kita mengiringi jenazah maka semakin bertambah
pula keinsafan dan usaha kita untuk meninggalkan jasa terbaik di dunia
untuk dibawa pulang ke akhirat.

Inilah yang diajarkan Rasulullah supaya kita mengambil iktibar daripada
peristiwa kematian. Dengan itu, hati kita menjadi lembut dan insaf lalu
dapat menghakis sifat negatif seperti menipu, menganiaya, takbur,
khianat, rasuah dan sebagainya

"Sesungguh Solatku,Ibadahku,Hidupku,Matiku hanya kerana Allah"

"Dan Allah tuhan Kami
Rasul ikutan kami
Al-Quran Panduan kami
Jihad jalan Kami
Mati Syahid cita-cita tertinggi kami"

Oleh: shahril
Sumber: http://halaqah.net/

Islam Mengangkat Martabat Wanita


Seringkali muncul di dada-dada akhbar perihal isu hak wanita yang ditindas. Ada golongan tertentu yang mendakwa ada ayat-ayat al-Qur’an yang mendiskriminasi kaum wanita sehinggakan ada yang menganggap Rasulullah S.A.W. sebagai kuat nafsu! Adakah benar Islam meletakkan taraf wanita lebih rendah berbanding lelaki?

Sebelum kita terus membuat andaian atau menjawab persoalan ini, mari kita perhatikan apa isu-isu yang menyebabkan ada orang menganggap wanita ditindas dalam Islam. Pertama, isteri wajib taat kepada suami tetapi suami tidak perlu kepada isteri. Kedua, wanita mendapat kurang harta pusaka berbanding lelaki. Ketiga, kuasa talak terletak di tangan lelaki. Tidak pernah kita dengar seorang wanita menceraikan suaminya! Terdapat banyak lagi pertikaian namun cukup dengan mengambil 3 contoh ini sebagai perbandingan.

Apabila kita melihat contoh-contoh di atas, akal yang mudah melatah akan membenarkan kenyataan bahawa taraf wanita lebih rendah berbanding lelaki. Namun, penulis bersetuju dengan kata-kata Dato’ Dr Fadzilah Kamsah bahawa walaupun lelaki dan wanita berbeza, tapi kedua-keduanya ada keistimewaan tersendiri. Perbezaan antara jantina tidak meletakkan mana-mana pihak lebih baik dari yang lain.

Cuba lihat dari sudut begini: wanita wajib taat kepada suami tetapi lelaki pula wajib taat kepada ibunya tiga kali lebih utama dari bapanya. Bukankah ibu adalah seorang wanita? Wanita menerima pusaka kurang dari lelaki tetap harta itu menjadi milik peribadinya dan tidak wajib menyara suami dan anak-anaknya, manakala lelaki menerima pusaka yang lebih, namun digunakan bagi menanggung perbelanjaan sekeluarga. Begitu juga dengan soal perceraian. Kajian saintifik telah mendedahkan bahawa umumnya wanita lebih beremosi berbanding kaum lelaki. Maka, Allah meletakkan kuasa talak di tangan lelaki, tetapi mengizinkan kaum wanita menuntut fasakh.

Mengapa kita tidak memerhatikan pula kekurangan yang ada pada kaum lelaki? Contohnya, lelaki yang telah berkahwin kena menanggung dosa sendiri, dosa isteri, dosa anak perempuannya yang belum berkahwin dan dosa anak lelakinya yang belum baligh. Isteri tidak dibebani dengan dosa orang lain. Jika isteri berbuat baik, maka pahala dapat kepadanya dan kalau berbuat tidak baik dosanya ditanggung oleh suaminya!

Selain itu, si suami wajib memberi nafkah pada isteri. Haram bagi suami menggunakan pendapatan isteri tanpa izinnya. Lelaki, terutamanya yang sulung juga perlu menjaga ibubapanya apabila sudah berumur, tetapi tidak bagi wanita. Kalau nak dibayangkan beratnya tanggungan lelaki seperti gunung. Itu sebabnya mengikut kajian umur orang perempuan lebih panjang berbanding lelaki. Lelaki mati cepat kerana terpaksa menanggung beban tanggungjawab yang lebih besar.

Oleh: abulutfi

Sumber: http://kuliyyah.wordpress.com/

Wednesday, April 20, 2011

Air Terjun Gunung Stong di K. Krai, kelantan (Air Terjun Tertinggi di Asia Tenggara???)































Kenapa Kita Perlu Menangis?


Ada 3 perkara yang boleh menyebabkan kita menangis bagi orang yang beriman iaitu :-
  1. Nikmat Kehidupan Sempurna Yang Telah Diberikan Oleh Allah s.w.t ; Kita tentu akan merasa insaf jika kita fikirkan dengan kehidupan yang sempurna yang telah diberikan oleh Allah kepada kita jika dibandingkan dengan penderitaan yang dihadapi oleh golongan manusia yang lain di dunia ini yang berdepan dengan isu kelaparan, bencana alam dan sebagainya.
  2. Bila Memikirkan Kehidupan Di Alam Kubur. Kehidupan dan suasana di alam kubur tidaklah sehebat kehidupan kita di dunia iaitu mungkin kita mempunyai rumah yang luas dan besar serta disinari cahaya lampu yang terang benderang, mempunyai sanak saudara atau rakan-rakan yang sering menemani kita atau harta yang mengunung. Tetapi di alam kubur; tempat tinggal kita ruangnya sempit dan suasana yang gelap gelita, tiada lampu yang menerangi kita. Kita hanya ditemani oleh cacing dan mungkin binatang berbisa dan tiada harta kemewahan yang menemani kita. Dan suasana ini kekal sehingga kita dibangkit semula pada hari kiamat. Bagaimana hidup pada malam pertama di alam kubur?, Mampukah kita menjawab soalan bocor yang akan ditanyakan oleh Malaikat Munkar & Nankir ; hanya amalan kita di dunia yang akan membantu kita menjawab soalan yang telah kita ketahui di dunia lagi. Kehidupan malam pertama di alam kubur tidaklah semanis kehidupan malam pertama di dunia iaitu selepas kita bernikah.
  3. Bila Memikirkan Nasib Kita Di Padang Mashyar Nanti. Tentu kita akan menangis bila segala amalan baik kita yang telah kita buat di dunia diberi kepada orang yang kita umpat, yang kita caci dan hina. Dan dosa-dosa yang dibuat oleh orang yang kita umpat dan caci itu diberikan kepada kita. Sia-sia sahaja amalan baik dan pahala yang telah kita perolehi jika kita suka mengumpat, memburukkan serta mencaci seseorang kerana kita akan perolehi sebaliknya.
Wallahua’lam…

Sumber: http://www.anuarkarimz.com/

Sifat Munafik Terbongkar


DISAAT-saat akhir, perang hanya menanti saat dan ketika untuk meletus, 1,000 tentera pihak Islam cuba digugat kekuatan mereka dengan 300 orang daripada mereka keluar barisan. Ia diketuai oleh bapa munafik, Abdullah bin Ubay.

Disifatkan sebagai satu tindakan yang sangat khianat namun Abdullah memberi alasan tindakannya itu disebabkan Rasulullah tidak menghargai dengan pendapat baginda sendiri yang merancang peperangan itu berlangsung dalam Kota Madinah sahaja.

"Malah Muhammad setuju pula dengan pendapat orang lain lalu kami tidak tahu mengapa mesti membunuh diri kami sendiri hari ini," kata Abdullah.

Tentu Abdullah hanya sekadar memberi alasan kerana sebenarnya kita tahu bahawa menarik diri di saat yang genting itu adalah sengaja untuk mencipta kekacauan dan keresahan dalam pasukan tentera Islam itu sendiri.

Dengan itu akan lebih ramai meninggalkan medan perang kerana tidak mahu mati dengan sia-sia sehingga sisa anggota tentera yang tinggal akan terus hilang kekuatan dan sebaliknya akan meningkatkan semangat di pihak musuh untuk mengalahkan tentera Islam.

Jika hanya kerana tidak setuju dengan perang di luar kota Madinah itu dijadikan alasan tentulah sejak awal-awal lagi Abdullah dan para pengikut munafik yang lain sudah boleh bertindak untuk menarik diri.

Namun kerana sifat kemunafikannya yang tebal itu beliau bertindak belot yang kononnya akan mengembalikan atau mencerahkan semula harapannya untuk menjadi pemimpin di Madinah.

Benar, tidak cukup 300 kalangan pengikut yang munafik itu sahaja yang khianat. Ini kerana pengkhianatan itu turut memberikan kesan kepada dua kumpulan lain, iaitu masing-masing dari Bani Haritsah yang bersama dengan suku Aus dan Bani Salamah yang bersama dengan suku Khazraj turut ingin menarik diri di saat akhir itu kerana ketakutan.

Bagaimanapun, Allah mengembalikan semangat kedua-dua kumpulan ini yang agak tergugat keberanian mereka dek tindakan Abdullah dan para pengikutnya itu.

Ini apabila Allah menurunkan ayat yang bermaksud: Ingatlah ketika dua golongan dari kamu ingin (mundur) kerana takut, pada hal Allah adalah Penolong bagi kedua-dua golongan itu. Kerana itu, hendaklah kepada Allah sahaja orang-orang beriman itu bertawakal. (ali-'Imran: 122)

Sementara itu, Abdullah bin Haram pula, iaitu bapa Jabir bin Abdullah cuba menahan mereka yang belot itu supaya kembali semua ke medan perang dan sama-sama meneruskan perjuangan mengalahkan pihak musuh.

Abdullah mencela mereka dan merayu untuk kembali bergabung.

"Marilah berperang di jalan Allah atau sekurang-kurangnya pertahankanlah negerimu ini daripada ditawan oleh pihak musuh," kata Abdullah.

Namun belot sudah menjadi sifat orang yang munafik bahawa mereka suka menikam musuh dari belakang di sebalik muka baik yang mereka tunjukkan.

Dalam hal ini, Allah berfirman yang bermaksud; Dan supaya Allah SWT mengetahui siapa orang-orang yang munafik. Kepada mereka dikatakan: "Marilah berperang di jalan Allah atau pertahankan (dirimu)". Mereka berkata: "Sekiranya kami mengetahui akan terjadi peperangan tentu kami mengikuti kamu.

"Mereka pada hari itu lebih dekat kepada kekafiran daripada keimanan. Mereka mengatakan dengan mulutnya apa yang tidak terkandung dalam hatinya". Dan Allah mengetahui apa yang mereka sembunyikan. (ali-'Imran: 167)

Walaupun bagai satu tamparan yang cukup hebat apabila baginda kehilangan hampir 300 anggota tentera, namun untuk baginda menyerah tidak sekali-kali!

Maka tinggallah bilangan 700 orang sahaja di pihak Islam yang pada bila-bila masa sahaja lagi akan bertempur dengan seramai 3,000 anggota tentera di pihak musuh.

Lalu baginda segera mengatur semula strategi serangan dan pertahanan untuk peperangan ini.

"Jangan kalian mula menyerang sebelum kami perintahkan menyerang," kata Nabi Muhammad.

Baginda bertekad meneruskan peperangan walaupun dalam aspek jumlah anggota tentera yang bakal bertempur benar-benar tidak seimbang, yang telah boleh ditentukan pihak mana yang mampu menang dengan mudah.

Kali ini baginda memastikan kedudukan pasukan tenteranya berada dalam kedudukan yang strategik bagi memudahkan serangan terhadap musuh.

Oleh: SITI AINIZA KAMSARI
Sumber: http://www.utusan.com.my/

Pening

Mungkin dijelaskan sebagai tidak stabil atau rasa hendak pitam.

Dalam keadaan normal, keseimbangan deria dikawal oleh isyarat otak yang menerima isyarat dari beberapa lokasi, mata, saraf sensori dan telinga. Keseimbangan yang terbaik bergantung kepada sekurang-kurangnya dua dari tiga sistem yang sensori berfungsi dengan baik. Sebagai contoh, tutup mata semasa berdiri, tidak bermakna anda hilang keseimbangan. Isyarat dari telinga tengah dan saraf sensori membantu anda tegak.

Walau bagaimanapun, jika sistem saraf pusat tidak boleh memperoses isyarat dari semua lokasi atau sistem sensori tidak berfungsi sepenuhnya atau mesej bercanggah, anda mungkin hilang keseimbangan. Kebanyakan pening akan berakhir dengan cepat tetapi ia mungkin gejala keadaan yang lebih teruk.

Sebab
  1. Penyebab pening adalah:
  2. Vertigo- perasaan berpusing pusing atau rasa persekitaran anda bergerak
  3. Gangguan telinga tengah (vestibular neuronitis akut atau labyrinthitis)
  4. Sekali sekala ,benign vertigo berkaitan dengan perubahan kedudukan.
  5. Mastoiditis (radangan pada mastoid)
  6. Kurang aliran darah ke telinga tengah akibat atherosclerosis (plak lemak dalam salur darah) terutama pesakit Diabetis Mellitus (Kencing manis), Hypertension ( Darah tinggi) dan Hypercholestrolaemia (berlebihan kolestrol dalam darah)
  7. Sakit kepala yang ringan
  8. Gangguan telinga dalam
  9. Gangguan kerisauan seperti serangan panik, agoraphobia ( perasaan gerun melintasi tempat lapang)
  10. Hyperventilation (pernafasan cepat)
  11. Hilang cecair badan contoh peluh berlebihan.
  12. Perubahan tekanan darah disebabkan oleh ubatan seperti ubat darah tinggi, ubat diuretic dan ubat kemurungan.
  13. Keadaan medikal seperti diabetes dan penyakit Parkinson.
  14. Anaemia
  15. Muntah-muntah
  16. Loya dan muntah apabila menaiki kereta, kapal terbang, bot atau kapal.
Tanda & Gejala
  • Perasaan persekitaran berpusing atau bergerak (vertigo)
  • Hilang keseimbangan
  • Loya
  • Tidak stabil
  • Sakit kepala sedikit
  • Pitam
  • Lemah
  • Letih lesu
  • Sukar memberi tumpuan
  • Pandangan kabur selepas menggerakkan kepala dengan cepat
  • Perasaan penuh dalam telinga, berdengung atau berdesing dalam telinga dan kadang kala hilang pendengaran .
Komplikasi
Walaupun pening selalunya sedikit, jumpalah doktor jika anda pening berpanjangan dan diikuti dengan gejala berikut:
  • Sakit kepala bertambah.
  • Pandangan kabur.
  • Hilang pendengaran.
  • Gangguan pertuturan.
  • Lemah pada kaki dan tangan.
  • Hilang tahap kesedaran.
  • Jatuh atau sukar berjalan.
  • Kebas atau rasa menyucuk
  • Sakit dada atau sedar denyutan jantung cepat.
Pening menyebabkan risiko tinggi untuk jatuh dan membawa kecederaan kepada anda. Jika berlaku semasa membawa kereta atau mengendalikan jentera berat boleh menyebabkan kemalangan.

Rawatan

Rawatan bergantung kepada penyebab.
  1. Benign paroxysmal positional vertigo (BPPV).
  2. Keadaan telinga dalam: Senaman latih semua keseimbangan (vestibular rehabilitation) digunakan untuk merawat "acute vestibular neuronitis or labyrinthitis.
  3. Penyakit Meniere's: Kurangkan retensi cecair melalui ubatan diuretik (buang cecair badan) atau perubahan makanan contoh kurangkan garam dalam makanan) dan Pembedahan mungkin diperlukan.
  4. Migrain Vestibular: Elak sesetengah makanan, Kurangkan tekanan perasaan dan Tetapkan corak tidur - Doktor mungkin preskripsikan ubat untuk migrain dan vertigo
  5. Gangguan kerisauan (Anxiety disorders): Kaunseling dan Ubat Anti-anxiety mungkin dipreskripsikan
Jika anda mengalami pening:
  • Elak membawa kereta atau kendalikan jentera berat jika kerap pening.
  • Elak dadah, alkohol atau merokok.
  • Pencahayaan yang terang jika turun dari katil pada waktu malam.
  • Berhati hati kemungkinan anda hilang keseimbangan.
  • Elak mengubah kedudukan dengan cepat.
  • Elak terlalu mengerakkan kepala (terutama melihat ke atas)Elak terdedah kepada keadaan ketegangan atau kerisauan atau perkara yang merangsangkan pening. termasuk sebarang alahan.
Sumber: http://www.infosihat.gov.my/