Monday, May 30, 2011

Pendidikan dan Peradaban

MEMAHAMI falsafah pendidikan dalam Islam amat penting supaya dalam mempelajari ilmu-ilmu Barat, para remaja tidak lupa dengan sejarah dan tamadun sendiri

SETIAP anak dilahirkan suci ibarat kain yang bersih. Ibu bapa dan persekitaranlah yang mencorakkannya. Jika baik persekitarannya, maka baiklah perwatakan dan pembawaannya.

Jika sebaliknya maka banyak kesulitan akan timbul terutamanya apabila meniti zaman remaja dan dewasa.

Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa menuntut ilmu adalah kewajipan ke atas setiap Muslim. Justeru, ilmu membantu manusia menjalani kehidupan dengan sebaik-baiknya, menambahkan pengetahuan seseorang, meluaskan pandangannya terhadap kehidupan serta menyuburkan adab dan peribadi seseorang manusia.

Dengan ilmu, manusia menjadi tahu dan apabila disertai kemahuan, ia akan menjadi tindakan. Maka pendidikan yang baik dan sepadu memandu manusia untuk berfikir, merancang dan bertindak secara benar serta baik.

Rasulullah ada bersabda yang bermaksud: "Ya Allah, didiklah aku dengan didikan yang terbaik."

Ia memberi dua asas yang amat penting dalam proses didik iaitu addaba dan taadibi. Justeru, maksud pendidikan dalam Islam antara lain adalah proses memperadabkan insan. Proses ini merujuk kepada faktor dalaman diri manusia iaitu hati.

Adab menyentuh tentang peri pentingnya disiplin hati bagi seorang manusia. Disiplin hati dapat menjadikan manusia lebih teguh dan bakal memancarkan amal yang baik. Adab yang baik juga dapat memberi kesan dan teladan yang baik terhadap orang lain.

Minda atau akal manusia memerlukan disiplin dan fokus supaya apa yang dibaca, difikir serta idea yang diperolehi akan memberi manfaat yang berguna. Pemikiran yang terjana daripada disiplin berfikir yang baik bakal menghasilkan akal budi yang tinggi.

Oleh itu, makna pendidikan bukan sekadar suatu proses bagaimana pemindahan maklumat, data dan fakta berlaku tetapi ia menyentuh bagaimana proses perubahan berjalan.

Ilmu yang benar dan disampaikan dengan kaedah yang baik bakal mencetuskan perubahan terhadap minda, sikap dan amal. Dalam konteks masa kini, remaja perlu memperlengkapkan diri dengan ilmu berbanding terutama sekali dalam ledakan maklumat dan jaringan telekomunikasi.

Ilmu yang diperoleh daripada sumber-sumber Barat misalnya bukan semuanya tidak baik. Malah banyak kemajuan terkini datangnya dari Barat. Tidak salah mengambil aspek-aspek yang boleh memberi manfaat kepada kemajuan kita.

Namun, negara-negara Barat mempunyai orientasinya sendiri bertunjangkan falsafah yang jauh lebih terbuka dan tidak terikat dengan nilai-nilai agama. Ia menuntut keupayaan menyaring maklumat yang tinggi.

Keteguhan sistem nilai amat membantu dalam proses penggunaan sumber-sumber ini. Tidak semua maklumat yang ditampilkan oleh sistem yang berkaitan sesuai dengan matlamat membina faktor-faktor manusiawi dan manusia beradab.

Bagaimanapun, ini bukan bermaksud apa-apa yang datang dari Barat harus disanggah. Cuma sebagai seorang remaja dan Muslim yang berilmu, hendaklah berhati-hati dan peka terhadap proses pembaratan.

Cabaran pendidik

Oleh itu, cabaran utama pendidik, pembina perisian dan maklumat ialah menghasilkan modul-modul pendidikan berasaskan acuan kita sendiri.

Perkara ini amat penting kerana kita tidak harus selamanya menjadi pengguna setia terhadap sumber maklumat dan ilmu dari orang lain tetapi sewajarnya bersikap menyumbang terhadap perisian yang berasaskan acuan kita sendiri.

Pembangunan perisian di luar lingkungan budaya dan resam kehidupan kita selalunya tidak berasaskan nilai.

Pengguna teknologi rata-ratanya terdiri daripada remaja yang meningkat dewasa dan mencari-cari erti kehidupan. Sekiranya medium ilmu tidak terisi dengan maklumat yang berasaskan nilai dan adab, maka kecelaruan dan krisis nilai akan wujud kerana ia tidak selari dengan tuntutan fitrah manusia yang inginkan sesuatu yang baik dan luhur.

Dalam konteks pendidikan, kewujudan tenaga untuk membina perisian berasaskan acuan kita adalah dituntut. Lebih dituntut lagi ialah kekalnya peranan pendidik yang bukan saja bertindak sebagai fasilitator tetapi juga mampu memanfaatkan kepentingan teknologi dan juga perisian untuk membangunkan generasi terdidik yang memiliki kekuatan maklumat, ilmu, keterampilan dan sistem nilai yang tinggi.

Memahami falsafah pendidikan dalam Islam adalah amat penting supaya dalam mempelajari ilmu-ilmu Barat, para remaja tidak lupa dengan sejarah dan tamadun sendiri.

Menghargai tamadun sendiri menjadikan kita yakin bahawa tradisi ilmu Islam sentiasa menghubungkan dirinya dengan nilai dan agama. Faktor-faktor ini amat penting bagi mengekalkan faktor-faktor manusiawi agar terpelihara dalam apa zaman pun.

Lantas dalam usaha menjadikan pendidikan sebagai proses mengadabkan insan, pendidikan itu sendiri haruslah bersifat integratif dan holistik.

Model pembelajaran yang terkini yang diadunkan dengan model Islami serta berasakan nilai wajar diperkembangkan dalam sistem pembelajaran kini.

Apatah lagi dalam zaman ledakan maklumat serta perkembangan persekitaran yang kurang sihat yang mendesak manusia supaya sentiasa berhati-hati dengan setiap maklumat serta pengaruh persekitaran.

Globalisasi yang sedang menyemarak pengaruhnya terhadap dunia hari ini bakal memberi kesan terhadap pola-pola kehidupan remaja. Faedah berbanding dari faktor globalisasi perlu diambil.

Pada masa yang sama, para remaja harus mempunyai daya saring yang tinggi membezakan yang bermanfaat atau sebaliknya. Tanpa asas ini globalisasi boleh menjadikan proses pembaratan terhadap umat Islam berlaku secara sistematik.

Oleh itu integrasi ilmu-ilmu kemanusiaan, sains dan teknologi amat perlu dilakukan secara bijaksana supaya corak kurikulum yang diajar sifatnya pelbagai disiplin.

Ia jika diolah dengan bijaksana bakal menghasilkan ahli falsafah atau sejarah yang faham mengenai asas sains dan teknologi dan dalam masa yang sama turut menghasilkan ahli sains yang memahami maksud perubahan dalam masyarakat dan faktor-faktor kemanusiaan.

Mengadabkan insan memerlukan lebih daripada sekadar pemindahan maklumat. Ia memerlukan satu bentuk disiplin terhadap akal, minda dan hati.

Harus ada tekad dan azam dalam kalangan remaja Islam untuk menyesuaikan keunggulan ilmu dan teknologi yang diterima ke arah binaan acuan sendiri.

Acuan sendiri mengambil kira faktor nilai dan falsafah supaya arah tuju pembinaan dan penyuburan ilmu dalam masyarakat Islam tidak mengenepikan faktor-faktor akidah, akhlak, ibadah dan syariah.

Oleh: MOHD. FARID MD. ALIAS
Sumber: http://www.utusan.com.my/

Pengalaman Kali Pertama

Anggaplah anda seorang gadis ( jika anda seorang lelaki )
Dan juga adalah ini kali pertama anda !!!!!!


Sebaik sahaja anda baring, anda mula merasakan otot-otot anda mula menegang. Anda cuba mengelak dengan cuba memberi alasan, tetapi dia enggan menerima alasan anda bahkan semakin merapati anda.

Dia bertanyakan adakah anda takut. Tetapi anda dengan berani menggelengkan kepala. Jari-jemarinya mula meneroka untuk mencari apa yang dihajati. Dan kali pertama jarinya menyentuh tempat yang betul. Semakin dalam dia menusuk semakin kuat anda mengerang. Tetapi dia masih dengan sikapnya dan melakukannya dengan selembut yang boleh sebagaimana yang telah dia janjikan.

Dia merenung jauh ke dalam mata anda dan mahu anda percayakannya. Ini bukanlah kali pertama bagi dirinya. Dia terus tersenyum dan anda memberi lebih ruang masuk kepadanya. Anda mula merayu agar dia mempercepatkannya. Tetapi dia masih lagi melakukannya dengan perlahan agar anda merasakan kesakitan yang paling minimum. Semakin dalam tusukkannya semakin anda merasakan tisu-tisu anda koyak.

Kesakitan makin terasa diikuti dengan sedikit darah mengalir. Dia merenung kepada anda dan bertanyakan adakah ianya menyakitkan? Mata anda digenangi dengan airmata tetapi anda menggelengkan kepala dan mahu dia terus melakukannya. Dia meneruskan dengan apa yang patut dilakukan. Terus keluar masuk.

Tetapi anda sudah mula merasa kebas dan tidak lagi merasakan apa-apa. Beberapa ketika kemudian anda merasakan sesuatu memancut dan dia mengeluarkannya dari anda. Anda terbaring dengan wajah yang pucat. Dia menghamparkan sekuntum senyuman kepada anda dan mengatakan anda adalah antara yang terdegil tetapi telah memberinya banyak pengalaman. Anda hanya tersenyum tawar dan juga inilah pengalaman pertama anda.

Dengan senyuman yang tawar andapun mengucapkan terima kasih kepada doktor, kerana mencabut gigi anda. Terimakasih doktor. . . . .

Sumber: Tidak dapat dikesan

Proses pembinaan kurikulum yang berkesan


Pembinaan kurikulum merujuk kepada proses untuk membuat keputusan tentang program kurikulum dan mengkaji semula hasil keputusan itu dalam penilaian yang berterusan (Oliva, 1997). Untuk membina kurikulum berkesan, kita digalakkan mengkaji beberapa rasional yang melibat beberapa unsur dan perkaitan. Ini adalah bertujuan untuk membina konsep yang menggambarkan rupabentuk kurikulum yang hendak dibina kurikulum .

Rasional yang hendak dilihat haruslah bermula dengan mengenalpasti empat soalan dasar, dang perlu dijawab dalam usaha membina mana-mana kurikulum. Antaranya ialah seperti berikut:
  1. Apakah tujuan pendidikan yang hendak dicapai ketika kurikulum dibina?
  2. Apakah pengalaman pendidikan yang bolah disediakan untuk mencapai tujuan tersebut?
  3. Bagaimanakah pengalaman pendidikan ini boleh dikendalikan dengan berkesan?
  4. Bagaiamanakah kita dapat menentukan sama ada tujuan-tujuan ini tercapai?
Selain daripada rasional ada dua perkara dikaitkan dalam membina kurikulum iaitu falsafah dan teori pembelajaran. Ia perlu mempunyai kerangka yang menekankan apa dan bagaimana sesuatu pelajaran hendak dipelajari cara-cara pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan.

Pertimbangan tentang rasional, falsafah dan teori perlu dilakukan secara menyeluruh, supaya elemen-elemen yang diperkenalkan dengan program pembelajaran (kurikulum) akan dilaksanakan memenuhi objektif dan tujuan kurikulum tersebut. Menurut Tyler (1949), jika kita hendak mengkaji program (kurikulum) pendidikan secara sistematik dan bijaksana, kita hendakah memastikan objektif pendidikan dicapai.

Beza Khalifah dengan Raja


Apabila Umar al Khattab menggantikan Abu Bakar, timbullah kecelaruan mengenai gelar yang akan digunanya. Abu Bakar dipanggil “Khalifatu Rasulillah” yakin pengganti Rasulullah. Pada mulanya Umar dipanggil “Khalifatu Kahlifati Rasulillah” yakni Pengganti Penggantinya Rasulullah. Gelaran tersebut terlalu panjang dan sukar disebut. Maka akhirnya Umar al Khattab dipanggil Amirul Mukminin.

Suatu hari setelah dilantik menjadi Khalifah umar bertanya kepada sahabatnya “Apakah aku ini Raja atau Khalifah?” Salman menjawab “Jika engkau menerima satu dirham dari milik kaum Muslimin atau kurang daripada itu, kemudian diletaknya pada yang bukan haknya, maka engkau adalah Raja bukan Khalifah.”

Kata-kata itu menjadi pelajarfan oleh Umar.

Sufyan bin Abil Arja Menceritakan bahawa pada suatu hari Umar berkata: “Demi Allah, aku tidak tahu, sama ada aku ini Khalifah atau Raja? Jika aku seorang raja, maka ini adalah suatu malapetaka.”

“Wahai Amirul Mukmini! Sesungguhnya di antara kedua-duanya itu ada perbezaan.” Kata orang yang hadir.

“Apa bezanya?” tanya Umar.

“Khalifah tidak mengambil kecuali dengan hak, dan meletakkannya pekara yang hak pula. Adapun engkau, Alhamdulillah engkau adalah sepertiu itu. Adapun Raja menipu manusia dan mengambil dari ini lalu diberikan kepada itu.”

Umar terdiam apabila terdengar jawapan tersebut.

Friday, May 27, 2011

Bila Anak Memberontak


IBU BAPA perlu konsisten dalam membentuk tabiat dan tingkah laku anak-anak

KITA sering beranggapan hanya orang dewasa mengalami tekanan, gangguan emosi atau emosi kurang stabil. Hakikatnya, kanak-kanak juga tidak terlepas daripada dibelenggu permasalahan psikiatri ini.

Mengikut kajian di negara lain, kekerapan kemurungan teruk dan sederhana adalah dua hingga empat peratus di kalangan kanak-kanak manakala 10 peratus di kalangan remaja dan 15 hingga 20 peratus di kalangan dewasa.

Kajian yang dilakukan Dr. Ramli Musa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang diterbitkan dalam Jurnal Psikiatri Hong Kong itu turut mendapati 10.5 peratus daripada pelajar sekolah rendah mengalami tekanan emosi dan kemurungan.

Tabiat

Bertanya kepada Profesor Psikiatri, Jabatan Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Azhar Mohd. Zain, beliau menjelaskan, gangguan atau tekanan emosi di kalangan kanak-kanak tidak boleh dibiar berlarutan dan perlu diberi perhatian segera.

“Setiap kanak-kanak mungkin mempamerkan emosi yang berbeza ketika mereka mengalami tekanan. Ia juga sukar dikesan dalam masa singkat kerana simptomnya tidak jelas.

“Kebiasaannya kanak-kanak akan murung, menyendiri, tidak bercampur dengan keluarga atu rakan-rakan, tidak mahu makan dan hilang minat pada aktiviti yang biasa mereka lakukan.

“Walaupun begitu, boleh dikatakan jarang kanak-kanak boleh menerima tekanan emosi kerana pada peringkat umur tersebut, mereka tidak akan memendam perasaan sebaliknya melahirkan rasa tidak puas hati dengan cara memberontak atau menangis.

“Bagaimanapun, ibu bapa tidak boleh kalah dengan tangisan anak-anak kerana ia hanya akan menambah sifat ingin memberontak,” katanya.

Mengulas lebih lanjut, Azhar menjelaskan, tabiat kerap menangis atau memberontak untuk mendapatkan sesuatu memang sering digunakan kanak-kanak dalam menarik perhatian orang dewasa.

“Sebagai ibu bapa, kita adalah orang yang bertanggungjawab membentuk tabiat kanak-kanak dengan syarat mesti konsisten.

“Sebahagian besar ibu bapa berasa malu jika anak mereka meronta-meronta dan menangis di kedai kerana mahukan sesuatu.

“Tip paling baik, jangan beri apa yang dimahukan ketika mereka menangis atau memberontak, sebaliknya beri apabila mereka berkelakuan baik.

“Ibu bapa juga jangan kalah dengan tangisan kerana jika kita mengalah, itu hanya akan menambahkan galak mereka.

“Lama-kelamaan, mereka akan gunakan taktik air mata itu setiap kali permintaan mereka tidak dipenuhi.

“Sebaik-baiknya bersabarlah dengan kerenah mereka dan jangan berputus asa. Katakan kepada mereka, hajat mereka akan dipenuhi jika berkelakuan baik.

“Kerana itu, konsisten sangat penting supaya anak-anak tidak keliru,” jelasnya.

Wanita lebih murung

Kembali meneliti penyelidikan Ramli, antara kesimpulan daripada kajian tersebut ialah di antara lelaki dan perempuan, perempuan lebih berisiko mendapat kemurungan.

Golongan yang tidak terkecuali ialah kanak-kanak yang ibu bapanya berpendapatan rendah, di kalangan keturunan Cina dan mereka yang terlibat dalam masalah disiplin seperti mencuri dan mengambil alkohol.

“Kemurungan dalam kajian lain sememangnya berkait rapat di kalangan mereka dari sosioekonomi rendah.

“Disebabkan tekanan hidup menyebabkan mereka lebih cenderung mendapatnya.

“Mengapa di kalangan keturunan Cina lebih cenderung? Antara spekulasi mengapa kajian ini mendapat keputusan begini kerana masyarakat Cina lebih terbuka menzahirkan tanda-tanda dan perasaan mereka berbanding masyarakat lain,” ulas Ramli.

Menolak tanggapan bahawa semua kanak-kanak yang dilabelkan nakal atau memberontak sebagai memiliki masalah sikap, Ramli mempunyai pandangan tersendiri.

“Jika anak memberontak, jangan lekas menghukum, apalagi terus merotan mereka. Adalah penting ibu bapa dan guru cuba mendekati perasaan mereka mengapa mereka berkelakuan begitu,” katanya.

Oleh: SITI NOR AFZAN KASIMAN
Sumber: http://www.kosmo.com.my/

Al-Quran 'sentuh' Dr. Miller


INILAH salah satu surah yang telah mengubah kehidupan seorang mubaligh kristian yang juga merupakan seorang pakar matematik serta mendalami ilmu teologi (ketuhanan) Kristian dari Kanada bernama Dr. Gary Miller.

Dr. Miller atau nama Islamnya, Abdul-Ahad Omar mengakui kekagumannya dengan ayat-ayat al-Quran itu yang dianggap sebagai satu keajaiban.

Selain ia membicarakan persoalan duniawi dan ukhrawi manusia dalam segala aspek kehidupan, Dr. Miller turut terkesima waima dirinya seorang yang suka mencari bukti secara saintifik dan logik, disebabkan latar belakangnya.

Ditambah pula, ada antara ayat suci dalam al-Quran itu mencabar masa depan dengan hal-hal yang manusia sendiri tidak dapat meramal atau menjangkakannya.

Salah satu contohnya ialah daripada surah di atas ini. Ia berkenaan hubungan antara Muslim dan Yahudi. Al-Quran mengatakan bahawa orang Yahudi adalah musuh utama bagi Muslim. Hal itu berlaku sampai sekarang di mana musuh bagi umat Islam adalah orang Yahudi.

"Semuanya bermula sebaik saya menerima hadiah senaskah al-Quran pada 1978. Niat awalnya saya mengkaji dan ingin membaca al-Quran untuk menarik orang Islam masuk ke agama Kristian.

"Sebenarnya, saya mahu mencari kesalahan dalam al-Quran, agar dengan cara itu senang untuk saya menggoyahkan akidah umat Islam.

"Anggapan awal saya, kitab al-Quran adalah sebuah kitab kuno dan mengandungi cerita tentang padang pasir sahaja. Akhirnya, setelah mendalami satu demi satu helaian al-Quran, apa yang ditemui saya sendiri tidak pernah menjangkakannya," akui Dr. Miller.

Beliau akhirnya menyedari dan mengakui kebenaran al-Quran.

Kata Dr. Miller, beliau cuba mencari kisah kesukaran atau detik kesedihan Rasulullah apabila kematian isteri dan bapa saudaranya, tetapi tidak jumpa. Begitu juga dengan surah Aisyah, surah Fatimah dan surah Khadijah.

"Apa yang saya temui ialah tentang Maryam (surah Maryam). Sedangkan dalam kitab Injil tidak ditemui langsung.

"Malahan dalam al-Quran Al-Masih Isa disebut sebanyak 25 kali. Sedangkan Nabi Muhammad SAW disebut empat kali sahaja. Hal ini menyebabkan saya makin pening.

"Saya mencari lagi dengan harapan ada kesilapan di dalam al-Quran.

"Saya teruskan pembacaan dengan lebih teliti lagi. Namun sebaik sampai ke surah an-Nisaa' ayat 82, saya tambah terkejut," katanya.

Ujarnya, salah satu prinsip saintifik yang terkenal adalah untuk mencari kesalahan atau mencari kesalahan dalam teori sampai itu terbukti benar.

Apa yang menakjubkan Dr. Miller, bahawa al-Quran meminta orang Islam dan bukan Islam untuk cuba mencari kesalahan di dalamnya.

"Tidak ada penulis di dunia ini memiliki keberanian untuk menulis buku dan mengatakan bahawa hal itu sifar kesalahan.

"Namun al-Quran, sebaliknya. Ia memberitahu anda bahawa ia tidak mempunyai kesalahan dan meminta anda untuk cuba mencari waima satu kesilapan. Yang pastinya, anda tidak akan menemui apa pun.

"Apabila saya bertemu pula dengan surah al-Anbiya' ayat 30, saya dapati ayat ini sama dengan kajian saintifik yang memenangi Hadiah Nobel pada tahun 1973 dan ia adalah mengenai teori ledakan besar.

"Ia menjelaskan teori tentang alam semesta adalah hasil daripada sebuah letupan besar yang mengarah pada pembentukan alam semesta dengan langit dan planet," katanya.

Antara tulisan beliau yang menarik adalah The Amazing Quran (Quran Yang Mengagumkan).

Dalam karyanya ini, beliau membuktikan bahawa al-Quran adalah wahyu dan tidak mungkin ditulis oleh manusia dengan menggunakan pendekatan saintifik.

Oleh: ZUARIDA MOHYIN
Sumber: http://www.utusan.com.my/

Thursday, May 26, 2011

Ubat Gigi Berfluorida Untuk Kanak-Kanak


Pengenalan

Memberus gigi adalah antara amalan penjagaan mulut yang sebaiknya dilakukan untuk kebersihan diri. Memberus gigi menggunakan ubat gigi berfluorida setiap hari boleh mencegah kerosakan gigi. Penggunaan ubat gigi berfluorida merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada pengurangan kadar kerosakan gigi di serata dunia.

Fluorida ialah mineral semula jadi yang boleh menguatkan lapisan luar gigi dan membantu mencegah kerosakan gigi. Walau bagaimanapun, penggunaan fluorida yang berlebihan boleh menyebabkan fluorosis enamel iaitu kecacatan lapisan luar gigi.

Kesan Pengambilan Fluorida Berlebihan

Pengambilan fluorida berlebihan oleh kanak-kanak sering kali terjadi bila mereka menelan ubat gigi berfluorida semasa memberus gigi. Sesetengah kanak-kanak suka dengan rasa ubat gigi yang berperisa. Ini menyebabkan mereka menelan ubat gigi tersebut.

Dalam keadaan lain, sesetengah kanak-kanak diberi fluorida tambahan secara berlebihan. Terdapat juga yang diberi fluorida tambahan sedangkan bekalan air paip sudah pun mengandungi fluorida yang mencukupi.

Pengambilan fluorida yang berlebihan semasa proses pembentukan gigi boleh menyebabkan kecacatan gigi. Kesannya, lapisan luar gigi (enamel) yang putih dan licin menjadi lubang-lubang kecil berwarna coklat. Warna ini kelihatan jelas pada permukaan gigi hadapan.

Gigi hadapan sangat penting untuk penampilan dan senyuman menarik. Sudah tentu kecacatan gigi tersebut boleh menjejaskan keterampilan diri .

Rawatan Kecacatan Pada Enamel


Fluorosis enamel boleh dirawat. Dengan rawatan kosmetik pergigian, penampilan gigi yang terlibat boleh dibaiki. Pakar Pergigian Pediatrik akan memberitahu anda tentang rawatan yang boleh dilakukan jika anak anda mengalami fluorosis enamel yang teruk.

Penggunaan Ubat Gigi Berfluorida Yang Betul

Penggunaan ubat gigi berfluorida penting untuk memastikan kesihatan pergigian anak anda baik

PERHATIAN
  • Pastikan ubat gigi yang digunakan tidak berlebihan. Untuk kanak-kanak berumur 6 tahun dan ke bawah, pemberusan gigi harus dibantu oleh ibu bapa dan ubat gigi yang digunakan hanyalah sebesar kacang pea.
  • Ajar anak anda untuk tidak menelan ubat gigi sebaliknya meludah sebaik sahaja selepas memberus gigi.
  • Manakala bagi kanak-kanak di bawah umur 2 tahun, ubat gigi mungkin tidak perlu digunakan.
Sumber: http://www.infosihat.gov.my/