Thursday, June 16, 2011

Berjuang di jalan Allah


Umat Islam yang datang mengerjakan umrah dan haji tidak akan melepaskan peluang menziarahi Makam Syuhada para pejuang Perang Uhud yang terletak di kaki Bukit Uhud, iaitu kira-kira satu jam perjalanan menaiki kenderaan dari Bandar Madinah.

SELAIN daripada Saad bin Rabi, para sahabat turut menemui seorang lagi pahlawan di pihak Islam dalam keadaan luka yang amat parah dan sedang menghabiskan saki baki nafas terakhi, iaitu Amru bin Tsabit. Beliau mempunyai kisahnya yang tersendiri.

Para sahabat sebenarnya hairan apabila Amru turut bersama dengan umat Islam lain untuk berperang menentang musuh, iaitu golongan kafir Quraisy sedangkan dia sebelum ini dikatakan enggan menerima Islam.

"Wahai Amru, apakah sebabnya kamu datang untuk berperang di medan Uhud ini? Adakah kerana kamu simpati kepada kaum kamu atau kamu sebenarnya berminat untuk masuk Islam?" Tanya para sahabat.

Walaupun dalam keadaan hampir kehilangan nyawa itu, Amru masih mampu menjawab: "Bahawa aku sebenarnya mempunyai keinginan untuk memeluk agama yang dibawa oleh Muhammad dan aku telah sempat beriman kepada Allah dan RasulNYA dan terus terpanggil untuk sama berjihad di medan Uhud ini.

"Sehinggalah aku mengalami kecederaan yang teruk seperti ini seperti yang kamu lihat, yang tidak memungkinkan aku dapat hidup lebih lama lagi," katanya.

Sebaik sahaja beliau berkata demikian Amru pun menghembuskan nafasnya untuk pergi buat selama-lamanya.

Apabila diceritakan kepada Rasulullah, baginda memberitahu bahawa Amru adalah penghuni syurga walaupun tidak pernah mendirikan solat.

Sebuah lagi kisah yang tidak kurang juga menarik ialah apabila para sahabat menemui Quzman yang telah berjuang dan berjaya membunuh antara tujuh hingga lapan orang tentera Musyrikin.

Tetapi akhirnya Quzman ditemui dalam keadaan separuh nyawa kerana menanggung kecederaan parah.

Lalu Quzman segera di usung pulang ke kampungnya, Bani Zafar untuk dirawat.

Bagi meringankan penderitaan para sahabat menghiburkan hatinya dengan berita gembira bahawa Quzman pasti telah menempah dirinya ke syurga Allah.

Tetapi Quzman berterus terang dengan jawapan yang sama sekali tidak diduga.

"Demi Allah, aku berperang ini hanya kerana semata-mata untuk menjaga nama baik kaumku sahaja. Kalau tidak kerana itu, tentu aku tidak akan turun untuk turut serta dalam peperangan ini," katanya.

Apabila keadaan lukanya semakin parah dan tidak menunjukkan tanda-tanda untuk pulih, Quzman yang tidak berdaya menahan sakit mengambil jalan mudah dengan membunuh dirinya sendiri.

Apabila Rasulullah mendengarkan kisah Quzman, dengan berat hati baginda memberitahu bahawa Quzman termasuk di kalangan ahli-ahli neraka.

Inilah akibatnya mereka yang berperang semata-mata kerana semangat kebangsaan. Bukannya berperang kerana menegakkan agama Allah termasuki Quzman yang berperang di bawah panji-panji Islam dan para sahabat dan umat Islam yang lain.

Perang Uhud turut disertai oleh seorang Yahudi. Tetapi menariknya beliau berjuang di pihak Islam. Mukhayriq adalah Yahudi dari Bani Tha'labah yang sebelum meletusnnya Perang Uhud itu telah menyeru dan mengajak kaumnya agar turut berganding dengan tentera Islam.

"Wahai sekalian orang Yahudi, demi Allah, kamu pun tahu bahawa adalah menjadi kewajipan kepada kamu semua untuk menolong Muhammad dalam peperangan ini," seru Mukhayriq.

Tetapi kaumnya menjawab: "Hari ini adalah hari Sabtu. Adakah kamu lupa wahai Mukhayriq?"

Hari Sabtu adalah hari kebesaran untuk penganut Yahudi beribadat sahaja. Malah untuk keluar mencari rezeki pun tidak dibenarkan apatah lagi berperang.

"Pedulikan hari Sabtu kamu itu berbanding membuktikan perjanjian keselamatan kita dengan Muhammad, untuk bersama-sama menghadapi sebarang masalah dan serangan dari pihak musuh," kata Mukhayriq.

Lalu beliau pun menghunuskan pedang dan melakukan persiapan untuk pergi berperang sambil berkata lagi: "Kalau apa-apa terjadi kepadaku, segala harta bendaku akan menjadi milik Muhammad, terserahlah kepadanya bagaimana kesemua harta itu hendak diuruskan."

Mukhayriq pun bersama-sama dengan umat Islam yang lain menuju ke Medan Uhud dan berjuang habis-habisan sehingga terbunuh.

Baginda pun sangat menghargai pengorbanan yang dilakukan oleh pemuda Yahudi itu dan berkata: "Mukhayriq adalah sebaik-baik orang Yahudi, semoga akan ada tempat dan pembalasan yang baik dari Allah buatnya."

Demikianlah sebahagian dari kisah-kisah yang menuntut kita supaya mengambil ingatan dan pengajaran bahawa perjuangan di jalan Allah menuntut segala macam pengorbanan.

Allah pasti akan membalasnya dengan balasan yang syurga Firdaus, syurga yang paling tinggi kedudukannya, yang paling indah sehingga tidak ada perkataan dapat menggambarkan keindahannya itu.

Oleh: Siti Ainiza Kamsari

Sumber: http://www.utusan.com.my/

3 syarat bina keluarga bahagia


Mawaddah, musyawarah, amanah sempurna rumah tangga

INSTITUSI kekeluargaan menjadikan kehidupan manusia sentiasa berjemaah. Ketua keluarga bukan saja memimpin ahli keluarga, tetapi juga mengamalkan unsur syura dalam semua perkara membabitkan ahli keluarga.

Dalam kehidupan berjemaah, suami, isteri dan anak akan solat bersama, makan, membeli-belah, beriadah dan melakukan aktiviti kekeluargaan tanpa mengetepikan ahli keluarga yang lain.

Rumah ibarat syurga yang menyempurnakan kehidupan manusia, segala-galanya ada di dalamnya, penghuninya berasa selamat dilindungi, apatah lagi dipimpin oleh ketua keluarga bertanggungjawab serta sarat kasih sayang.

Rumah tangga yang pincang kerana pemimpinnya tidak berkhidmat untuk ahli yang dipimpin, maka tidak akan mencapai objektif perkahwinan dan berkeluarga seperti mana dituntut agama.

Islam mensyariatkan perkahwinan kerana memenuhi fitrah manusia yang tidak boleh hidup sendirian. Manusia memerlukan perhatian, pertolongan, sokongan dan pasangan untuk berkongsi kelemahan serta kekuatan yang boleh melengkapkan sebuah kehidupan menuju ke akhirat.

Tujuan perkahwinan adalah untuk mencapai ketenangan dan kebahagiaan dalam kehidupan. Firman Allah yang bermaksud: “Dan antara tanda-tanda kebesaran Allah itu bahawa Dia jadikan bagi kamu pasangan hidup supaya kamu mendapatkan ketenangan/kebahagiaan bersamanya. Kemudian Allah ciptakan antara kamu berdua mawaddah dan rahmah.” (Surah ar-Rum, ayat 21)
Melalui perkahwinan manusia akan hidup dalam mawaddah, musyawarah dan amanah. Lumrah berpasangan mengasihi antara satu sama lain kerana mereka saling melengkapi, justeru mawaddah menjadikan manusia berhemah sesama makhluk Allah dan bertolak ansur sesama insan.

Keperluan mawaddah bukan hanya untuk memenuhi keinginan seksual, juga keperluan jiwa dan nurani manusia yang sentiasa ingin didampingi pasangan bagi berkongsi susah dan senang.

Mawaddah berasaskan nafsu serakah semata-mata akan menghilangkan rahmah dalam kehidupan berumah tangga sehingga memungkinkan suami atau isteri meninggalkan pasangannya kerana orang lain.

Musyawarah pula bermula apabila pasangan saling menghormati, memahami keperluan dan kehendak masing-masing, justeru cuba memenuhinya tanpa mengorbankan salah satunya. Tetapi, menjadi sebaliknya apabila konsep berjemaah dan syura tidak lagi diterapkan dalam rumah tangga.

Amanah menjadikan pasangan suami isteri lebih bertakwa kepada Allah kerana ia memberi ‘sesuatu’ kepada suami dan isteri supaya bertanggungjawab terhadap pemberian itu. Ia sekali gus menjadikan mereka amanah dan amanah menjadikan mereka bertakwa.

Bagaimanapun, perkahwinan menjadi kehidupan sukar buat setiap pasangan yang tidak mampu mencapai objektif perkahwinan dalam Islam. Rumah tangga yang tidak mampu ditegakkan dengan mawaddah, musyawarah dan amanah akan mudah ranap dan runtuh.

Memang benar perceraian paling dibenci Allah, tetapi tidak bermakna suami isteri harus terus membiarkan diri mereka tenat di bawah runtuhan rumah tangga.

Jika perkahwinan menjadi penyebab manusia semakin galak melakukan maksiat dan mengingkari perintah Allah, sudah tentu perkahwinan itu perlu dijauhi.

Sebab itulah walaupun hukum asal perkahwinan itu sunat kerana diamalkan oleh Rasulullah SAW, ulama menetapkan hukum perkahwinan berbeza mengikut situasi individu.

Malah, perkahwinan diharamkan jika suami tidak mampu membina mawaddah, musyawarah dan amanah, seperti menzalimi isteri serta tidak memberi nafkah zahir dan batin.

Justeru, tiada rasionalnya untuk meneruskan sebuah perkahwinan jika ia menjadikan manusia semakin jauh daripada kasih sayang Allah. Suami atau isteri yang tiada mawaddah, musyawarah dan amanah menjadikan pasangannya tidak taat, setia, sekali gus merosakkan rumah tangga dibina.

Malah ia berkemungkinan mengakibatkan berlakunya perbuatan lain yang membuatkan mereka semakin ingkar terhadap peraturan Allah. Perceraian bukanlah keseronokan, ia bukan juga penentu sebuah kehidupan baru yang akan dibina akan lebih baik dari sebelumnya, tetapi ia adalah jalan keluar dari kesukaran.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom

Oleh: Nik Salida Shuhaila
Sumber: http://www.bharian.com.my/

Monday, June 13, 2011

Adab Mendengar Azan


Kematian itu pasti menjelma. Hanya masa dan waktunya yang tidak kita ketahui. Cuba kita amati. Mengapa kebanyakan orang yg nazak, hampir ajal tidak dapat berkata apa-apa.. lidahnya kelu, keras dan hanya mimik mukanya yang menahan kesakitan ‘sakaratul maut’.

Diriwayatkan sebuah hadis yg bermaksud: “Hendaklah kamu mendiamkan diri ketika azan, jika tidak Allah akan kelukan lidahnya ketika maut menghampirinya.”

Ini jelas menunjukkan, kita disarankan agar mendiamkan diri, jangan berkata apa-apa pun semasa azan berkumandang. Sebagai orang beragama Islam kita wajib menghormati azan. Banyak fadhilatnya. Jika lagu
kebangsaan kita diajar agar berdiri tegak dan diamkan diri.

Mengapa ketika azan kita tidak boleh mendiamkan diri? Lantas sesiapa yang berkata-kata ketika azan, Allah akan kelukan lidahnya ketika nazak. Kita takut dengan kelunya lidah kita semasa ajal hampir tiba maka kita tidak dapat mengucap kalimah “Lailahaillallah..” yang mana sesiapa yang dapat mengucapkan kalimah ini ketika nyawanya akan dicabut Allah dgn izinNya menjanjikan syurga untuk mereka. Dari itu marilah kita sama-sama menghormati azan dan mohon kepada Allah supaya lidah ini tidak kelu semasa nyawa kita sedang dicabut.

“Ya Allah! Anugerahkanlah kematian kami dengan kematian yang baik lagi mulia, lancarkan lidah kami mengucap kalimah “Lailahaillallah..” semasa sakaratul maut menghampiri kami. Amin.. amin.. amin Yarobbal a’lamin..”

Sumber: http://jejak2.wordpress.com/

Tanda-tanda Nazak


Orang yang sakit tenat sebelum menghembuskan nafas terakhir kebiasaannya didatangi beberapa tanda yang ketara atau sebaliknya, di antara tanda-tanda tersebut ialah :
  1. Tapak kakinya lurus
  2. Hidungnya tunduk pucat tidak berpeluh
  3. Sendi pergelangan tangan renggang
  4. Keningnya luas tergonggong biji mata
  5. Lidah kelu dan tertutup selera
  6. Tidak mengecam sahabat-sahabat atau keluarga dengan penglihatan (kabur penglihatan)
  7. Perubahan tabiat
  8. Terlalu dahaga sentiasa minta air
  9. Meminta sesuatu yang ganjil
  10. Mata selalu tenung ke atas
  11. Tidak ada timbal balik pernafasan

Enggan Sepakat Punca Umat Islam Ditindas Musuh


Rasulullah buktikan hanya ketakwaan senjata paling berkesan pertahan agama, tanah air

Perubahan peradaban manusia berlaku amat pantas. Islam yang suatu ketika dulu begitu gemilang, kini jatuh tersungkur di tangan Barat yang mendominasi dunia terutama dari segi ekonomi.

Umat Islam dalam sejarah adalah kuat serta pernah menakluki dua pertiga dunia, tetapi pada hari ini mereka ditindas, dihina dan diusir dari tanah air sendiri selain dilabel dengan imej negatif atau pengganas. Berita keganasan, pembunuhan dan pencerobohan dilakukan kuasa besar Barat terhadap umat Islam bukan perkara baru kerana berlaku sejak lama dulu sehingga hari ini penindasan itu masih berleluasa.

Keganasan dan penindasan di Palestin, Lubnan, Kosovo, Chechnya, Bosnia dan paling hampir dengan negara kita seperti Thailand berlaku tanpa pembelaan sewajarnya. Sehingga kini entah berapa banyak nyawa terkorban, harta musnah dan air mata tumpah membasahi bumi. Peristiwa ini sungguh mengguris jiwa umat Islam.

Hari ini, ramai pemimpin negara Islam lantang menyeru umat Islam bersatu bagi menyelamatkan negara daripada penjajahan. Namun, usaha merealisasikannya bukan saja kabur, malah tidak bersungguh-sungguh serta tidak jelas dari segi matlamat dan kaedah yang mesti dilaksanakan.

Bagaimanakah negara Islam boleh bersatu jika segala ideologi yang menyesatkan seperti sekularis, komunis, sosialis dan kapitalis masih digunakan pemimpin Islam sendiri.

Ideologi bertentangan Islam patut ditolak oleh umat Islam. Jika kita lihat ketika ini kesatuan Islam masih lemah dan keadaan menjadi lebih buruk apabila umat Islam mengalami masalah dalaman sesama sendiri di samping masalah luaran dengan negara Islam lain.

Negara Islam hari ini, secara umum lemah dari pelbagai segi merangkumi politik, ekonomi dan kesatuan fikrah. Sehingga kini kesatuan dan kekuatan umat Islam secara keseluruhan masih belum pulih. Kelemahan ini juga menjadikan Barat semakin berani menekan dan melakukan pelbagai penindasan serta kekejaman terhadap umat Islam.

Pemimpin negara Islam masih gagal mencapai kata sepakat menangani masalah ini, sedangkan nyawa dan nasib umat Islam seperti di Palestin semakin terancam. Mereka juga tidak memahami perkara awlawiyyat (keutamaan) sehingga menyebabkan kepentingan umat dan agama Islam terabai. Kegagalan ini juga mengakibatkan negara Islam terpaksa tunduk kepada kehendak Barat.

Kebanyakan kita mengaku sebagai umat Islam, namun setakat manakah peranan dan tanggungjawab sebagai saudara seagama dalam usaha membantu mereka yang ditindas dan apakah sumbangan kita untuk membantu mereka?

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan orang yang kafir, sesetengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi sesetengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar saling membantu yang diperintahkan Allah) itu, nescaya berlaku fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar.” (Surah al-Anfaal, ayat 73)
Kini sudah sampai masanya umat Islam insaf dan melakukan muhasabah diri serta mencari punca di manakah silapnya. Masyarakat Islam perlu membina kekuatan dalaman dan luaran seterusnya menjadi umat yang berkuasa dan disegani di seluruh dunia.

Pemimpin negara Islam harus bersatu dan memandang ke depan di samping mengatur strategi efektif ke arah mencari penyelesaiannya. Antara usaha yang mampu dilakukan ialah memperkukuhkan kuasa politik, ekonomi, ketenteraan, kesatuan fikrah, akidah, persaudaraan dan persenjataan supaya segala bentuk penjajahan, penindasan dan menghina umat Islam dapat dihindarkan.

Umat Islam juga perlu berperanan sebagai individu pengguna yang bijak dengan memboikot barang syarikat Barat yang mengaut keuntungan untuk menjatuhkan negara Islam.

Walaupun usaha ini kelihatan remeh, jika seluruh umat Islam bersatu hati natijahnya amat besar ke arah mengurangkan sumber ekonomi Barat yang nyata tujuannya untuk membeli senjata bagi meneruskan serangan terhadap umat Islam. Umat Islam perlu kembali kepada fitrah iaitu menghayati serta mengamalkan al-Quran dan hadis sepenuhnya.

Dalam dunia serba moden hari ini, walaupun ada umat Islam yang kuat imannya, tidak kurang juga yang jauh terpesong daripada landasan Islam.

Ada juga hanya Islam pada nama sedangkan segala kewajipan agama tidak pernah ditunaikan, malah cara hidup mereka juga seperti bukan Islam. Perkara ini perlu diambil perhatian supaya umat Islam dan generasi akan datang menjadi umat yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT serta mantap imannya seperti umat pada zaman Rasulullah SAW dan zaman sahabat Baginda. Firman Allah SWT bermaksud:

“Kekuatan itu hanya bagi Allah, bagi Rasul-Nya dan bagi orang beriman.” (Surah al-Munafiqun, ayat 8)

Jika perkara ini gagal ditangani pada peringkat akar umbinya lagi, maka tidak mustahil suatu masa nanti umat Islam menjadi umat termundur, dihina dan diperlekeh oleh bangsa asing seperti yang terjadi kepada saudara kita di negara disebutkan sebelum ini.

Oleh itu, sebagai manusia yang dimuliakan dengan akal fikiran dan khalifah di muka bumi ini, jawapannya tepuk dada tanya iman dan diri sendiri siapakah kita, apakah tujuan kita dijadikan dan ke manakah kita akan kembali suatu hari nanti.

Apa yang kita miliki hari ini seperti kuasa, pangkat, dan kekayaan harta benda di dunia ini adalah pinjaman dan ujian semata-mata, maka pergunakan dengan sebaiknya ke jalan diredai kerana tanpa bekalan secukupnya kita akan kembali kepada Allah SWT dengan keadaan papa dan hina.

Oleh Nor Aimi binti Mohd Tahir, Panel Penulis Jakim
Sumber: http://www.islam.gov.my/