Sunday, August 7, 2011

Hayati Madrasah Ramadan


RAMADAN kembali lagi. Seperti nikmat Allah SWT yang tidak pernah berkurang, begitulah Ramadan yang sentiasa dilimpahi rahmat kepada mereka yang mencarinya. Sabda Rasulullah SAW: Apabila tiba Ramadan, pintu-pintu rahmat akan dibuka (riwayat Muslim).

Kehadiran bulan ini sentiasa dinanti-nantikan oleh jiwa-jiwa beriman yang kasih dan mengharapkan pengampunan Allah.

Firman-Nya: Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183).

Objektif akhir insan yang berpuasa adalah untuk mencapai tahap ketakwaan dan keredaan Allah.

Untuk mencapai tahap takwa ini, kita akan berhadapan dengan pelbagai tugasan, peraturan dan ujikaji sikap sepanjang sebulan ini.

Justeru, sekolah atau madrasah Ramadan perlulah dihayati dan dipenuhi dengan pelbagai amanah kerja yang diminta oleh Allah dan diajar oleh Rasulullah. Tanpa pendaftaran atau yuran, bulan tarbiyah dan pendidikan ini menjanjikan kelebihan dan kemenangan kepada hamba-Nya yang bertakwa. Benarlah janji Allah: Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa mendapat kemenangan. (al-Naba': 31).

Takwa secara ringkas maksudnya melakukan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya.

Maksud ini dilaksanakan melalui arahan berpuasa yang hakikatnya bukanlah setakat menahan diri daripada makan minum.

Namun lebih besar lagi adalah meninggalkan segala larangan seperti menipu, mengumpat, bertelingkah, boros berbelanja, membazir, makan harta riba, berjudi dan sebagainya.

Madrasah Ramadan juga mengajar kita supaya sentiasa melakukan kebaikan kerana pahalanya adalah berlipat kali ganda. Oleh itu, amalan tadarus al-Quran, qiamullail, solat berjemaah, tarawih, tazkirah, bersedekah, memberi makan orang yang berpuasa, memberi makan anak yatim dan sebagainya hendaklah menjadi agenda kita sehari-harian dalam bulan berkat ini.

Mereka yang menghidupkan amalan Ramadan dijanjikan dengan rahmat tanpa batasan dan diluaskan pintu keampunan. Sabda Rasulullah: Sesiapa yang mendirikan (menghidupkan) Ramadan dengan keimanan dan mengharap (keampunan), maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Walaupun pelbagai ganjaran yang boleh direbut dalam Ramadan, namun terdapat di kalangan umat Islam di negara kita yang telah mengkurus-keringkan pahala mereka.

Ini akibat daripada salah faham dan kesilapan tradisi dalam melakukan ibadah puasa Ramadan.

Perkara berkaitan salah faham dan kesilapan yang disebutkan dalam rencana ini hanyalah beberapa peringatan kepada kita untuk memastikan ibadat puasa kita diterima sepenuhnya oleh Allah. Kadang-kadang, kita lebih mementingkan perkara-perkara kecil, sedangkan perkara yang lebih besar tidak diberi perhatian.

Contohnya, wujud tradisi dalam masyarakat kita yang terikut-ikut budaya bergaduh atau bertengkar mengenai jumlah rakaat dalam solat Terawih.

Hakikatnya, solat tersebut adalah sunat bukannya wajib. Kedua-duanya adalah sunnah Nabi dan juga para Khulafa' al-Rasyidin yang dimulakan oleh Umar al-Khattab.

Sepatutnya, perkara ini tidak menjadi isu. Malah, jangan terkejut khalifah Umar Abdul Azi pernah menguatkuasakan solat Terawih sebanyak 36 rakaat dan tiga kali witir.

Apa yang penting adalah amalan tersebut disertai dengan niat yang ikhlas. Dua rakaat yang ikhlas lebih mulia daripada 100 rakaat yang ujub. Pertelingkahan dalam perkara-perkara kecil dan sunat hendaklah dielakkan demi menjaga silaturahim sesama Muslim.

Justeru, sepanjang madrasah Ramadan ini kita hendaklah mengawasi pancaindera dengan melakukan perkara-perkara berikut bagi memenuhi tuntutan sebenar ibadat puasa;
  • Menjaga lidah daripada bercakap kosong, mengumpat, memburuk-burukkan orang lain dan sebaiknya hendaklah dibasahi dengan berzikir atau bertadarus al-Quran;
  • Menjaga mata daripada melihat perkara yang diharam dan melalaikan kita daripada mengingati Allah SWT;
  • Menjaga telinga daripada mendengar lagu-lagu dan perbualan yang tidak berfaedah dan sebaiknya digunakan untuk mendengar bacaan al-Quran.
  • Menjaga anggota-anggota tubuh lain seperti perut, kaki, tangan dan sebagainya. Perut semasa bersahur dan berbuka puasa hendaklah diisi dengan makan halal, baik dan mengikut sunnah. Kaki dan tangan hendaklah digunakan untuk berzikir, solat, dan melangkah ke surau atau masjid.
Dengan pengawasan dan amalan baik, insya-Allah Ramadan tahun ini adalah yang terbaik untuk kita sebelum dijemput ke alam barzakh. Alangkah indahnya jika kita berjaya menghabiskan tempoh latihan di madrasah Ramadan ini dengan memperoleh ijazah takwa yang dijanjikan itu.

Beruntunglah kita di dunia dan berbahagialah kita di akhirat. Ingatlah perkhabaran Rasulullah: Orang berpuasa memiliki dua kegembiraan yang dia bergembira dengannya, iaitu kegembiraan apabila berbuka, dan apabila bertemu Tuhannya dia bergembira dengan puasanya. (riwayat al-Bukhari).

Oleh: NAJAHUDIN LATEH
Sumber: http://www.utusan.com.my/

Berzikir Tidak Terbatas Selepas Solat


FIRMAN Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat ke-35 , maksudnya: “Dan orang lelaki yang menyebut nama Allah SWT banyak-banyak serta orang perempuan yang menyebut nama Allah SWT banyak-banyak, Allah sudah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.”

Berdasarkan ayat ini di kalangan ulama, contohnya Mulla 'Ali al-Qari muhaddith menjelaskan bahawa berdasarkan hadis, ibadat yang paling utama dilakukan selepas membaca al-Quran dan mempelajari hadis ialah berzikir.

Hebatnya kedudukan orang yang berzikir ini turut dinyatakan dalam firman Allah SWT menerusi surah al-Baqarah ayat 152 yang bermaksud: “Oleh itu ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang-Ku), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmat-Ku).

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Aku sentiasa bersama hamba-Ku apabila dia mengingati-Ku dan selagi bibirnya menyebut-Ku”. Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibn Majah.

Dalam sebuah hadis sahih yang lain Nabi saw bersabda yang maksudnya: “Tidaklah berhimpun sesuatu golongan itu untuk mengingati Allah SWT melainkan Allah SWT akan mengelilingi mereka dan rahmat menyelaputi mereka dan ketenangan turun kepada mereka dan disebut-sebut oleh Allah SWT pada setiap yang ada disisi-Nya”.
Muslim hendaklah menjadikan setiap kesempatan dilalui sebagai zikrullah. Tetapi soalan yang timbul ialah bagaimana boleh berlaku begitu? Al-Imam An-Nawawiy, seorang pakar fiqah bermazhab Syafie yang masyhur memperjelaskan dalam kitab al-Azkar, betapa mudahnya amalan zikir ini untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.

Beliau berkata, bahawa segala tindak tanduk yang berasaskan kepada keimanan kepada Allah SWT adalah zikir. Jika difahami perkara ini maka bukan saja pertuturanmempunyai nilai zikir, malah tidur, bersembang, ziarah menziarahi juga termasuk dalam zikir .

Penjelasan ini berteraskan kepada hadis dan al-Quran yang menjelaskan perkara berkenaan. Hal ini sekali gus menafikan tanggapan sempit masyarakat bahawa zikir hanya terbatas dalam persekitaran ibadat khusus seperti selepas solat atau pada waktu tertentu.

Al-Imam Al-Ghazali menyebut dalam Al-Ihya’, setiap episod yang dilalui dari pagi hingga malam hendaklah dipastikan menjadi ibadat kepada Allah SWT. Lantaran itu, agenda kehidupan itu mesti bermula dengan hubungan langsung dengan Allah SWT. Alangkah baiknya jika hari itu dimulakan solat tahajud diikuti sunat hajat.

Selesai solat Subuh, Muslim menuju ke tempat kerja dan kerja itu adalah peluang beribadat kepada Allah SWT dengan menepati syarat ditetapkan Islam. Pada waktu pagi, lebih kurang tiga jam selepas matahari terbit, Muslim jangan melepaskan peluang untuk beribadat dengan menunaikan solat duha atau menunaikan keperluan seseorang Muslim yang lain.

Pada hari bekerja pula, waktu ini digunakan untuk bekerja dalam erti kata yang sebenarnya.

Menjelang waktu Zuhur pula, seseorang hamba itu boleh meneruskan pekerjaannya sebaik tamat solat Zuhur. Sekiranya kerja sudah selesai maka dia boleh berehat iaitu tidur untuk membolehkannya Qiamullail. Apabila masuk waktu Asar, tugasnya ialah bersolat seperti biasa kemudian berzikir dan berwirid, seterusnya aktiviti berbentuk kekeluargaan bersama anak dan isteri menerusi aktiviti rekreasi, riadah dan kreativiti.

Waktu antara Maghrib dan Isyak hendaklah diisi dengan sebaiknya, sama ada untuk menghadiri majlis ilmu atau membaca al-Quran atau bertasbih, berzikir dan solat sunat.

Seterusnya selesai solat Isyak, eloklah kiranya diisi dengan program al-Quran seisi keluarga. Antara surah digalakkan untuk dibaca setiap malam adalah surah Al-Waqi’ah.

Sebelum tidur, alangkah baiknya jika dibacakan surah penyelamat dari seksa kubur, iaitu surah al-Mulk. Akhir sekali dikerjakan solat sunat witir sebagai penutup solat pada malam itu.

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed
Sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/

Hikmah Ramadhan

PUASA menurut syariat adalah menahan diri daripada perkara yang membatalkannya bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari, dengan disertai dengan niat kepada Allah. Semua perintah Allah yang disyariatkan pastinya mempunyai faedah dan manfaatnya, begitu juga dengan segala laranganNya yang pasti ada kemudaratannya.

Dari segi kesihatan, puasa dapat menghindarkan penyakit. Sepertimana kita tahu, dewasa ini manusia meninggal dunia disebabkan oleh pemakanan. Hadis Nabi juga menyebut bahawa ‘perut adalah rumah penyakit dan puasa adalah raja segala ubat.

Seharian kita berpuasa telah mendidik perut kita hanya menerima makanan pada masa yang ditetapkan sahaja. Jika hari-hari biasa, merata tempat kita manusia menikmati hidangan makanan tanpa mengira masa selagi mata belum terpejam. Jadi perut pun bekerja tanpa rehat.

Para penyelidik ilmu perubatan juga mengakui bahawa puasa dapat membuang toksin dari badan dan secara tidak langsung meningkatkan sistem imunisasi tubuh dalam melawan penyakit.

Dalam ilmu biologi, ketika perut dan usus melakukan proses pencernaan, otak tidak dapat berfungsi dengan baik. Ini kerana tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada kerja-kerja penghadaman makanan. Sebab itulah apabila kita makan sampai terlalu kenyang, otak kita akan menjadi lemah untuk berfikir dan tubuh pun akan rasa mengantuk dan malas.

Ketika berpuasa, tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada otak. Ini menjadikan otak dapat bekerja dengan lancar dan memberi peluang kepada diri kita untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang menggunakan mental dan fizikal yang berkesan.

Berpuasa juga mengajar mereka yang mengerjakannya mengenal erti kesusahan dan keperitan manusia lain yang mengalami kekurangan makanan. Jika sebelum ini tidak pernah terlintas di fikiran akan penderitaan mereka, jadi melalui puasa kita banyak bersabar dan banyak mendekatkan diri kepada Allah bagi memanjatkan kesyukuran.

Bulan Ramadhan adalah bulan yang suci antara semua bulan. Solat Tarawih yang ditunaikan sepanjang Ramadhan banyak hikmahnya. Setiap malam yang ditunaikan mempunyai faedahnya tersendiri yang ditetapkan oleh Allah.

Lailatul Qadar yang hanya terdapat dalam bulan Ramadhan merupakan malam yang sejahtera dan selamat dari segala kejahatan dari awal malam hinggalah terbit fajar. Pada malam tersebut Allah melipatkan rahmatnya kepada seluruh mukmin yang masih hidup dan juga yang telah mati. Ini menandakan betapa pemurahnya Allah kepada hamba-hambaNya.

Dengan segenap hikmah yang terkandung di dalam ibadah puasa marilah kita kita mengumpul segala kelebihannya itu untuk diterjemahkan dalam kehidupan seharian.

Jadikanlah ‘Madrasah Ramadhan’ sebaik-baik tempat latihan agar kita dapat menjalankan kehidupan berdasarkan kesederahanaan, kesabaran, keinsafan perihal wujudnya sejuzuk manusia di dunia ini yang perlu dibantu. Juga pentingnya ketahanan dan pembinaan mental dan fizikal untuk mencapai apa yang dicita-citakan.

Oleh: Minda Editor
Sumber: http://shalehudin.blogspot.com/

Saturday, August 6, 2011

Bulan Yang Tiada Tolok Banding


RAMADAN muncul kembali pada tahun ini. Kehadiran yang dirindui oleh hamba yang tamak untuk beribadat kepada Allah SWT. Ramadan penghulu segala bulan di dalam setahun. Kelebihannya tidak ada tolak banding dengan bulan yang lain.

Allah maha mengetahui kerana menjadikan Ramadhan sebagai bulan yang cukup istimewa kepada umat Nabi Muhammad s.a.w.

Ayat yang mewajibkan puasa sebulan ialah di dalam surah al-Baqarah 183-184: “Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum daripada kamu agar kamu bertaqwa.”

Kefarduan puasa Ramadan apabila turunnya ayat ini di akhir bulan Syaban tahun kedua hijrah. Bermula tahun itulah puasa sebulan diwajibkan.

Marilah kita merebut peluang Ramadan untuk menggandakan amal kita kepada Allah SWT. Bulan yang penuh dengan rahmat Allah kepada hambanya.

Justeru itu perlu digandakan kerja amal kita di dalam bulan Ramadan untuk kita minta kekuatan kepada Allah bagi menghadapi cabaran perjuangan yang begitu mencabar.

Lebihkan munajat kita kepada Allah kerana bulan yang cukup mustajab terutama di sepuluh terakhir. Sehinggakan mereka yang sakit gastrik di bulan lain tetapi mampu untuk melakukannya. Firman Allah SWT bermaksud: “Rahmatku meliputi segala sesuatu.” – al-Araf 156.

Memanglah tepat Ramadan ialah bulan ibadat kepada hambanya. Rasa ringan untuk melakukan ibadah memang terpancar dalam diri setiap hambanya.

Contohnya agak sukar pada hari kebiasaan kita boleh menunaikan ibadah solat sunat sebanyak lapan rakaat atau 20 rakaat, tetapi di dalam bulan Ramadan kita mampu melakukannya.

Allah juga melontarkan perasaan untuk membuat baik, lebih daripada hendak membuat jahat di dalam hati manusia. Kadang-kadang mereka yang melakukan perbuatan jahat berhenti operasi di dalam bulan Ramadan.

Dengan rahmatnya ringan manusia hendak menderma di dalam bulan Ramadan, lebih pemurah di bulan ini berbanding dengan bulan lain.

Kita mengharapkan Ramadan jangan ia berlalu begitu sahaja sebagaimana peringatan Rasulullah s.a.w. Semoga kita tidak tergolong di kalangan mereka yang celaka.

Sabdanya bermaksud: Dari Ka‘ab Bin ‘Ujrah (ra) katanya: Rasulullah (SAW) bersabda: Berhimpunlah kamu sekalian dekat dengan mimbar. Maka kamipun berhimpun. Lalu beliau menaiki anak tangga mimbar, beliau berkata: Amin. Ketika naik ke anak tangga kedua, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika menaiki anak tangga ketiga, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika beliau turun (dari mimbar) kamipun bertanya: Ya Rasulullah, kami telah mendengar sesuatu dari tuan pada hari ini yang kami belum pernah mendengarnya sebelum ini. Lalu baginda menjawab: “Sesungguhnya Jibrail (as) telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya: Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut. Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata lagi: Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan salawat ke atasmu. Lalu aku pun mengaminkannya. Dan ketika aku naik ke anak tangga yang ketiga, dia berkata lagi: Celakalah orang yang mendapati ibubapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak memasukkan dia ke dalam surga. Lalu aku pun mengaminkannya. – (Hadis direkodkan Al-Hakim dan Sanadnya Sahih)

Di dalam hadis di atas terdapat tiga golongan akan mendapat kecelakaan atau akan dijauhkan daripada rahmat Allah SWT, iaitu:
  1. Orang yang mendapati bulan Ramadan tetapi dosa-dosanya tidak juga diampuni oleh Allah.
  2. Orang yang apabila disebut nama Rasulullah s.a.w di sisinya lalu ia tidak menyambutnya dengan salawat ke atas Nabi s.a.w.
  3. Orang yang mendapati ibubapanya yang sudah tua, atau salah seorang daripadanya, namun ibubapanya itu tidak menjadi sebab untuk ia masuk syurga Allah.
Oleh itu marilah kita bergembira dengan menyambut kedatangan Ramadan sebagaimana Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Siapa yang bergembira dengan kehadiran Ramadan, maka Allah mengharamkan atas dirinya dimasukkan ke dalam api neraka.”

Oleh IDRIS AHMAD
Sumber: http://www.detikdaily.net/

Friday, August 5, 2011

Fakir Miskin Dan Zakat Di Sisi Ramadan


SABAN tahun secara tradisinya, kedatangan Ramadan menandakan permulaan musim zakat fitrah. Sewaktu masih kecil sekitar tahun 1970-an dan 1980-an, tentu kita masih ingat betapa datuk dan nenek, ibu dan bapa berpesan-pesan agar tiada sesiapa pun terlupa menunaikan zakat fitrah. Bagi mereka, tanpa zakat fitrah maka puasa tidak akan sempurna.

Masa berubah, pandangan hidup juga berubah. Dewasa ini Ramadan yang datang dijadikan bulan penuh agenda, termasuklah dalam bab sedekah dan fitrah. Jika dahulu sedekah hanya dalam skala yang kecil, sesuai dengan kemampuan orang kampung yang tidak seberapa, kini sedekah sudah menjadi agenda besar.

Orang yang kaya dan mampu, mereka tidak berkira menaja orang lain berbuka puasa sehingga kosnya mencecah ribuan ringgit. Hakikatnya, di masjid dan surau di bandar besar, fenomena ini semakin leluasa.

Dalam konteks zakat juga, Ramadan tidak lagi sekadar dianggap musim bagi menunaikan zakat fitrah semata-mata. Umat Islam hari ini sering diperingatkan, bahawa Ramadan juga adalah bulan melestarikan kebajikan harta pelbagai cara - khususnya zakat - dengan motivasi pahala yang berganda-ganda. Semuanya bertujuan agar umat Islam menjadi rajin bersedekah dan berzakat, malah melebihi daripada bulan-bulan yang lain.

Maka hari ini, terbitlah rangkaian kata-kata misalnya, Ingat Ramadan Ingat Zakat, Bukan Sekadar Zakat Fitrah' ataupun Zakat Pada Ramadan; Bukan Sekadar Fitrah. Motifnya hanya satu, iaitu menjentik minda umat Islam agar memahami bahawa dalam hidup mereka, zakat itu tidak sekadar diwajibkan dengan zakat fitrah, tetapi juga terpikul di pundak mereka kewajipan zakat harta yang lebih besar tanggungjawabnya.

Hakikatnya, zakat fitrah hanyalah satu juzuk daripada kewajipan harta. Ia diwajibkan kepada Muslim, sesuai dengan roh Ramadan yang mewajibkan ibadah puasa. Kerana, dengannya akan menjadikan setiap orang tahu erti kesusahan dan penderitaan orang lain yang kurang upaya.

Maka, memberikan zakat fitrah pada akhir Ramadan ibarat melengkapi sebuah perjalanan dalam menuntasi mujahadah menggapai kasih-sayang Allah dan sesama manusia.

Ibnu Abbas berkata (maksudnya): "Rasulullah telah mewajibkan Zakat Fitrah bagi tujuan untuk menyucikan orang yang yang berpuasa daripada perkara buruk yang tidak berfaedah dan sebagai bantuan kepada fakir dan miskin." (Riwayat Abu Daud).

Namun, amalan pada hari ini menyaksikan, agihan zakat dilakukan lebih awal. Ia tidak lagi diberikan kepada fakir dan miskin pada penghujung Ramadan. Dengan bantuan awal ini, diharapkan mereka dapat membeli keperluan dengan lebih selesa, sama seperti orang lain yang berkemampuan.

Lalu, menjelang Ramadan kita dapat melihat di sesetengah tempat, asnaf fakir dan miskin akan dikumpulkan di masjid-masjid untuk menerima wang zakat bagi menyediakan diri dan keluarga menghadapi Ramadan, juga hari raya yang bakal tiba. Bagi negeri Selangor misalnya, menyaksikan 19,008 keluarga dalam kalangan asnaf fakir dan miskin menerima bantuan zakat sejak pertengahan Julai lagi.

Manakala di sesetengah negeri lain, jumlah bantuan fakir dan miskin telah dinaikkan pada bulan Ramadan.

Realitinya, memberikan keperluan kepada fakir dan miskin memang dituntut oleh Islam. Apatah lagi dalam suasana menyambut Ramadan dan hari raya. Maka, atas dasar itu jugalah Rasulullah sendiri menjadikan Ramadan sebagai medan menyuburkan sedekah, sehingga digambarkan nabi memberikan sedekahnya dengan lebih laju berbanding bulan-bulan yang lain. Lalu nabi turut berpesan kepada kita dengan sabdanya: "Sebaik-baik sedekah itu adalah pada bulan Ramadan." (riwayat at-Termizi).

Oleh HAMIZUL ABDUL HAMID
Sumber: http://www.utusan.com.my/