Friday, September 9, 2011

Siapa Kita didepanNya


Berhenti sejenak dan renungkan siapakah kita di depanNYA.

Allahuakbar, Allahuakbar
Allahuakbar, Allahuakbar

Subuhnya
di mana aku berada
masih enak dalam kelambu rindu
sambil berpoya-poya dengan waktu
masa bagaikan menderu
langkah tiada arah tuju
fikiran terus bercelaru
terlupa aku semakin dihujung waktu
siapa aku di depan Tuhan ku.

Zohornya
aku lebih memikirkan kelaparan
kehausan dan rehatku
aku lebih mementingkan tuntutan jawatanku
aku bertolak ansur dengan waktu
aku gembira membilang keuntungan
aku terlupa betapa besar kerugian
jika aku mengadaikan sebuah ketaatan
siapa aku di depan Tuhan ku.

Asarnya
aku lupa warna masa
cepat berubah bagaikan ditolak-tolak
aku masih dengan secawan kopiku
terlupa panas tidak dihujung kepala
aku masih bercerita
tentang si Tuah yang setia dan si Jebat yang derhaka
siapa aku di depan Tuhan ku

Maghribnya
aku melihat warna malam
tetapi aku masih berligar di sebalik tabirnya
mencari sisa-sisa keseronokan
tidak terasa ruang masa yang singkat
jalan yang bertongkat-tongkat
ruginya bertingkat-tingkat
siapa aku di depan Tuhan ku.

Isyaknya
kerana masanya yang panjang
aku membiarkan penat menghimpit dadaku
aku membiarkan kelesuan mengangguku
aku rela terlena sambil menarik selimut biru
bercumbu-cumbu dengan waktuku
siap aku di depan Tuhan ku.

Kini aku menjadi tertanya-tanya
sampai bila aku akan melambatkan sujudku
apabila azan berkumandang lagi
aku tidak akan membiarkan Masjid menjadi sepi
kerana di hujung hidup ada mati
bagaimana jenazah akan dibawa sembahyang di sini
jika ruangku dibiarkan kosong
jika wajahku menjadi asing
pada mentari dan juga bintang-bintang.

SIAPA AKU DI DEPAN TUHANKU???
Di pos oleh Arbain Muhayat
Sumber: http://www.ipislam.edu.my/

Thursday, September 8, 2011

12 BARISAN DI AKHIRAT

Suatu ketika, Muaz bin Jabal ra mengadap Rasulullah SAW dan bertanya: "Wahai Rasulullah, tolong huraikan kepadaku mengenai firman Allah SWT: "Pada sangkakala ditiup, maka kamu sekalian datang berbaris-baris" Surah an-Naba':18. Mendengar pertanyaan itu, baginda menangis dan basah pakaian dengan air mata. Lalu menjawab: "Wahai Muaz, engkau telah bertanyakan kepada aku, perkara yang amat besar, bahawa umatku akan digiring, dikumpulkan berbaris-baris menjadi 12 barisan, masing-masing dengan pembawaan mereka sendiri...." Maka dinyatakan apakah 12 barisan tersebut :-

BARISAN PERTAMA - Diiring dari kubur dengan tidak bertangan dan berkaki. Keadaan mereka ini dijelaskan melalui satu seruan dari sisi Allah Yang Maha Pengasih: "Mereka itu adalah orang-orang yang sewaktu hidupnya menyakiti hati jirannya, maka demikianlah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KEDUA - Diiring dari kubur berbentuk babi hutan. Datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih: "Mereka itu adalah orang yang sewaktu hidupnya meringan-ringankan solat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KETIGA - Mereka berbentuk keldai, sedangkan perut mereka penuh dengan ular dan kala jengking.

"Mereka itu adalah orang yang enggan membayar zakat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KEEMPAT - Diiring dari kubur dengan keadaan darah seperti air pancutan keluar dari mulut mereka.

"Mereka itu adalah orang yang berdusta di dalam jualbeli, maka inilah balasannya dan tempat mereka adalah neraka..."

BARISAN KELIMA - Diiring dari kubur dengan bau busuk daripada bangkai. Ketika itu Allah SWT menurunkan angin sehingga bau busuk itu mengganggu ketenteraman di Padang Mahsyar. "Mereka itu adalah orang yang menyembunyikan perlakuan derhaka takut diketahui oleh manusia tetapi tidak pula rasa takut kepada Allah SWT, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KEENAM - Diiring dari kubur dengan keadaan kepala mereka terputus dari badan.

"Mereka adalah orang yang menjadi saksi palsu, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KETUJUH - Diiring dari kubur tanpa mempunyai lidah tetapi dari mulut mereka mengalir keluar nanah dan darah. "Mereka itu adalah orang yang enggan memberi kesaksian di atas kebenaran, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KELAPAN - Diiring dari kubur dalam keadaan terbalik dengan kepala ke bawah dan kaki ke atas. "Mereka adalah orang yang berbuat zina, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KESEMBILAN - Diiring dari kubur dengan berwajah hitam gelap dan bermata biru sementara dalam diri mereka penuh dengan api gemuruh. "Mereka itu adalah orang yang makan harta anak yatim dengan cara yang tidak sebenarnya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KESEPULUH - Diiring dari kubur mereka dalam keadaan tubuh mereka penuh dengan penyakit sopak dan kusta. "Mereka adalah orang yang derhaka kepada orang tuanya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KESEBELAS - Diiring dari kubur mereka dengan berkeadaan buta mata-kepala, gigi mereka memanjang seperti tanduk lembu jantan, bibir mereka melebar sampai ke dada dan lidah mereka terjulur memanjang sampai ke perut mereka dan keluar beraneka kotoran. "Mereka adalah orang yang minum arak, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KEDUA BELAS - Mereka diiring dari kubur dengan wajah yang bersinar-sinar laksana bulan purnama. Mereka melalui titian sirat seperti kilat. Maka, datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih memaklumkan:

"Mereka adalah orang yang beramal salih dan banyak berbuat baik. Mereka menjauhi perbuatan derhaka, mereka memelihara solat lima waktu, ketika meninggal dunia keadaan mereka sudah bertaubat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah syurga, mendapat keampunan, kasih sayang dan keredhaan Allah Yang Maha Pengasih..."

Jika engkau mahukan kemesraan dengan Allah, maka garanglah terhadap dirimu sendiri. Jika engkau merasakan manisnya berhubung dengan Allah, tahulah engkau betapa peritnya berpisah denganNya.

Sumber: http://biaqpila.blogspot.com/

Rompakan di kedai mamak di Syeksen 15 Shah Alam

Friday, September 2, 2011

‘Lost Tribe’ Bani Israel

Melayu/Mala/Malai bermaksud gunung,jadi melayu bermaksud bangsa gunung,lagipun bukan ke bangsa Melayu/malai/mala dari keturunan Nabi Ibrahim a.s.,jadi tidak mustahil bangsa Melayu ni berasal dari salah satu kaum Bani Israel yang hilang.nak tahu mengenai sejarah2 dan rahsia2 bangsa Melayu/Mala/Malai/Bangsa Gunung yg berasal/dilahirkan dari ibunda Keturah/Qeturah, isteri nabi Ibrahim yg berasal dari kerajaan melayu kemboja purba serta hubung kait bangsa Melayu dengan salah satu kaum bani Israel yg hilang dah telah mendapat hidayah Allah SWT dan akan menentang kaum2 Bani Israel yg sesat aka bangsa yahudi kat negara haram israel sekrang di Tanah Yang Dijanjikan.

Bangsa Yang Hilang (The Lost Tribe)

Apakah kepentingan mencari bangsa yang hilang bagi Yahudi?Bagi Yahudi Ortodoks tiada apa kepentingan yang amat perlu pun.Jika ada,hanyalah untuk menjejak sejarah mereka sahaja.Tetapi bagi Yahudi Zionis, teramat perlu. KERANA MEREKA AMAT PERCAYA DENGAN RAMALAN DI DALAM KITAB-KITAB AGAMA LEBIH-LEBIH LAGI DI DALAM ALQURAN. Mengikut daftar bangsa yang hilang di dalam Kitab Yahudi Kuno,terdapat 12 puak Yahudi di masa lalu:
  1. Reuben
  2. Simeon
  3. Levi
  4. Judah
  5. Issachar
  6. Zebulun
  7. Dan
  8. Naphtali
  9. Gad
  10. Asher
  11. Joseph
  12. Benjamin
Di dalam 12 puak yang hilang ini,hanya keturunan Nabi Yusuf a.s. sahaja yang hilang daripada rekod Yahudi. Keturunan Nabi Yusof a.s. menurunkan dua puak yang lain iaitu Manasseh dan Ephraim.Mengikut satu kitab Yahudi, satu ‘lost tribe’ Bani Israel (yang mendapat petunjuk ILAHI, iaitu beragama Islam) akan membunuh Yahudi Zionis di Palestin. Di dalam kitab Yahudi kuno yang lain pula,ada mencatatkan golongan Manasseh (anak kepada Nabi Yusuf a.s.) bakal menyembelih Yahudi jahat (Zionis/Yahudi Kabbalah) di Palestin. Setelah Yahudi membuat pencarian, terdapat banyak puak golongan Manasseh di sebelah timur. Antaranya, Afghanistan, Pakistan Utara (Patan/Pashtun), sedikit India, sedikit Myanmar, sedikit China, sedikit Jepun, sedikit Filipina, sedikit Western Samoa, sedikit Tonga, sedikit Ecuador , sedikit Madagascar dan sedikit Hawaii.

Namun begitu kesemua mereka tahu tentang asal-usul mereka (bercanggahan dengan prinsip ‘lost tribe’). Termasuk di Afghanistan dan Pakistan Utara juga (namun yang beragama Islam cuma di Afghanistan dan Pakistan Utara – sebab itu mereka diserang oleh Yahudi Amerika dan Russia). Dalam pada itu, seorang professor di Amerika bernama Ralph Olssen telah membuat hipotesis baru. Pada mulanya Yahudi Zionis menyangkakan Red Indian Amerika adalah ibu bagi segala orang-orang Manasseh ‘the lost tribe’. Tetapi kesemua keputusan DNA adalah negatif. Kemudian Prof Ralph Olssen mengkaji secara mendalam tentang Book of Mormon (yang diselewengkan dari satu manuskrip kuno) dan membuat kajian DNA sekali. Keputusan beliau adalah, ibu bagi segala keturunan Manasseh adalah orang-orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu. Untuk menguatkan lagi cerita, tidak ada seorang Melayu pun yang tahu mengenai salasilah keturunan Bani Israel mereka.MALA ADALAH THE LOST TRIBE YANG SEBENAR,LEBIH TERSEMBUNYI DARI THE TRIBE OF DAN. Jadi kalau berpandu kepada kitab Yahudi tua bahwa ‘lost tribe’ dari kalangan Manasseh (anak Nabi Yusuf a.s.) yang bakal berada di barisan hadapan tentera Imam Mahdi dan bakal menyembelih orang-orang Yahudi di Palestin dan bakal juga memadamkan Israel daripada peta dunia adalah terdiri daripada orang-orang Melayu. Ini tidak bercanggahan dengan mana-mana hadis mengenai Imam Mahdi.

Mengikut manuskrip kuno yang diseleweng menjadi Book of Mormon itu lagi, sebahagian daripada Melayu Semenanjung (termasuk Selatan Thai) juga adalah dari keturunan Bani Israel , iaitu dari kumpulan Lehi (iaitu terus dari Manasseh, iaitu anak kepada Nabi Yusuf a.s. Nabi Yusuf ada 2 orang anak sahaja, iaitu Manasseh dan Ephraim). Mengikut DNA yang dilakukan kepada 86 lelaki Melayu oleh seorang professor perempuan di UKM baru-baru ini, terdapat 27% variant Mediterranean dalam darah DNA Melayu. Dalam kamus sains, DNA Mediterranean adalah dari bangsa Euro-Semitik termasuk dari Bani Israel!

Hipotesis ini terdapat separuh kebenaran di dalam kesamaran.Orang Melayu bukanlah 100% berasal dari keturunan Manasseh (Yahudi Kuno) tetapi teori Ralph Olssen mengenai pengembaraan bangsa yang hilang ‘the lost tribe’ ke Bumi Mala adalah sesuatu yang menarik dan amat bertepatan dengan apa yang dibincangkan sebelum ini.Kenapa Ralph Olssen menyebut Tanah Melayu ini ‘Bumi Mala’? Apakah yang diceritakan di dalam manukrip kuno tentang satu bangsa misteri yang berjalan dan berlayar ke hujung dunia?

Dari mana salsilah “Melayu” . Yahudi memburu saki baki keturunan Nabi Yusuf? . Kenapa? .
MAHADI berasal dari darah keturunan Nabi Ibrahim = Ishak+Ismail+ “Q” ?? . Apakah itu “3Mim” ?
Tiada NABI diutus ke Nusantara? Islam bertapak kukuh dikelilingi Hinduism dan Budhism… kenapa?

MELAYU – JAWI

Siapakah Melayu? Darimanakah asalnya Melayu itu? Ketika ramai pengkaji memperdebatkan kaum-kaum yang hilang seperti The Lost Tribe of Israel, Atlantis, Lemuria, Sodom and Gomorrah malah masih mencari-cari siapakah Gog and Magog, rahsia bangsa misteri ini masih terpelihara di dalam tabut rahsia sejak beribu-ribu tahun. Tiada siapa yang tahu dari mana asalnya bangsa ini. Bagaimana bangsa ini boleh wujud di tanah paling selatan benua Asia, ‘di penghujung dunia’. Bangsa yang hilang masih tidur dan ditidurkan. ‘Di hujung dunia’, setelah penat mengembara, bangsa misteri berehat dan berehat… tidur dengan lenanya… senyap sunyi tanpa siapa mengganggu walaupun Hitler telah pergi ke Tibet menjejak bangsa misteri, tetapi dia juga ketinggalan jejak mereka…dimanakah bangsa misteri ini meneruskan perjalanan mereka?Masih adakah masa lagi untuk menjejaki mereka?

‘Dihujung Dunia’ bangsa ini masih nyenyak tidur!

Keturah, Ibu Melayu

Dalam Kitab Perjanjian Lama ada dibabadkan perihal Keturah yakni wanita yang dinikahi oleh Ibrahim selepas kematian Sarah. Menerusi perkahwinan tersebut, Keturah melahirkan enam orang putera iaitu Zimran, Jokshan, Medan, Midian, Ishbak dan Shuah.

Menurut riwayat Ibnu Athir dalam kitabnya, Al-Kamil fil Tarikh, umat Nusantara termasuk Melayu bersalasilah secara terus dengan Ibrahim melalui zuriatnya dengan Keturah ini.

Mengikut catatan Ibnu Yusof dalam kitab Permata Yang Hilang (yang saya curi-curi baca sewaktu berusia 12 tahun), ada kemungkinan juga bahawa nama Melayu itu berasal dari perkataan Malai-Ur sempena nama kerajaan Chaldea tempat asal Ibrahim. Ada juga pendapat menyatakan bahawa Melayu berasal dari perkataan Malai dan Yunan.

Orang Melayu dikenali sebagai Orang Malai oleh beberapa bangsa lain tapi orang Arab cenderung memanggil orang Melayu sebagai Bani Jawi. Orang Malai (orang bukit atau gunung) ini mungkin telah mendiami Kemboja sebelum kedatangan Ibrahim ke situ, dan hampir pasti Keturah adalah orang Malai.

Apa maknanya semua ini?

Maksudnya, Melayu, Arab dan Yahudi itu bersaudara – dari asal yang sama.

Tapi… siapakah Keturah??

Menurut satu versi dari sebuah manuskrip kuno, Keturah adalah isteri ketiga Nabi Ibrahim a.s. Setelah kewafatan Sarah, Nabi Ishak a.s. telah merayu Nabi Ibrahim a.s. untuk berkahwin dengan ibu angkat beliau dari kerajaan Champa Kuno (bukan Champa Baru di era Angkor). Akhirnya Nabi Ibrahim a.s. bersetuju dan berkahwin dengan Keturah dan telah dikurniakan ALLAH 6 orang anak. Nama anak-anak Keturah adalah Zimran, Jokshan, Medan, Midian, Ishbak dan Shuah.

Anak-anak mereka inilah menjadi pengasas kepada bangsa Melayu.Melayu diambil dari perkataan ‘Mala’ (nama bangsa asas Keturah).Lihat, nama ini sama dengan nama yang tertulis dalam manuskrip yang dikaji oleh Ralph Olssen.

Bukan itu sahaja, keturunan Keturah inilah yang ramai tinggal di Tanah Melayu, Sumatera, Jawa, Borneo, Sulawesi dan Mindanao. Kesemua tempat ini merupakan tempat yang mempunyai tulisan purba yang diadaptasi dari tulisan Semitik Purba (termasuk di dalamnya tulisan Aramaik Kuno dan Ibrani). Tulisan Rencong adalah tulisan rasmi Melayu.Jawa dan Bugis juga mempunyai tulisan yang hampir serupa. Agama rasmi Melayu adalah agama Jawi. Agama Jawi adalah agama Nabi Ibrahim a.s.Jawi dikatakan ada perkaitan dengan Levi, iaitu anak kepada Nabi Yaakob a.s .Levi merupakan ketua Ulama dan ketua Rahib bagi agama Nabi Ibrahim a.s. di kalangan Bani Israel.Sejak penggalian di sebuah daerah di Jordan menemukan kota purba yang bernama Jawi/Jawa (Jevi), minat sarjana Barat untuk mengkaji bangsa Mala semakin kuat. INGAT, YAHUDI/BANI ISRAIL BUKANLAH MELAYU TETAPI KEDUA BANGSA PURBA INI ADA INTERAKSI ANTARABANGSA PADA MASA SILAM.

Keturah bukanlah Melayu. Walaupun beliau melahirkan bangsa Melayu, Keturah adalah daripada bangsa Mala. MELAYU ADALAH BANGSA MALA + (YANG MEMPUNYAI DARAH KETURUNAN NABI IBRAHIM A.S) .Sekiranya kita lihat orang-orang asli seperti Mahmeri dan Jakun, bahasa mereka adalah diambil dari bahasa Mala. Semua bangsa seperti Mahmeri, Jakun, Iban, Kadazan, Melanau, Bajau, dan seumpamanya adalah merupakan bangsa asal Mala.DNA bagi bangsa ini adalah 01m-19a. Ini menerangkan Keturah mungkin berasal dari satu kerajaan purba yang sedia ada di Timur ketika zaman Nabi Ibrahim a.s. (ada versi yang mengaitkan ‘Mala’ dengan ‘Mon’ tetapi ini bukan kaum Mon pada hari ini kerana pertama kaum Mon pada hari ini bukanlah Melayu pada ertikata sebenarnya dan yang kedua jika terdapat ‘benang-benang merah’ sekalipun antara Mon dan Melayu ia adalah proses asimilasi Mala/Melayu yang kompleks dengan etnik-etnik Indochina, perlu diingat Melayu juga boleh kehilangan identiti mereka akibat penjajahan, perang atau pemaksaan budaya seperti yang berlaku pada orang Melayu di Cape Town, Filipina, Thailand dan sebagainya jadi orang Mon pada hari ini bukanlah Melayu pada ertikata sebenarnya kerana akibat percampuran etnik yang kompleks walaupun cendekiawan mereka masih mencari-cari kerajaan purba mereka yang dinamakan ‘Suvarnabhumi’-menunjukkan mereka mungkin masih mahu menjejak moyang Mala mereka)

Jika kita lihat DNA Melayu Kedah dan Iban, kedua-dua mereka mempunyai persamaan. Tetapi kenapa Melayu Kedah (mewakili kepada semua Melayu di semenanjung dan Indonesia yang pernah mempunyai peradaban dan kerajaan) lebih bijak dan segak,ini adalah kerana mereka daripada keturunan Nabi Ibrahim a.s. dan Keturah. Begitu juga Melayu Selangor,Perak,Johor dll serta Mahmeri. Kedua-dua puak ini mempunyai DNA yang serupa. Namun Melayu Selangor jauh lebih bijak dan segak daripada Mahmeri. Punca perbezaan adalah daripada genetik Nabi Ibrahim a.s.Jadi jika kita menjejak Melayu dari susur galur Mala Kuno (iaitu jurai Keturah dari kerajaan misteri dari Timur Jauh ini), jejak akan menjadi lebih kompleks,merangkumi persoalan Ophir,Tanah Punt (The Land of Gods-nenek moyang Firaun Purba),kerajaan-kerajaan misteri sezaman atau lebih tua dari era Nabi Ibrahim a.s dan Akkadia-Babylon hinggalah era sebelum Banjir Besar,Lemuria dan Atlantis. INI ADALAH KISAH YANG LAIN.MISTERI YANG LAIN.

Jawab soalan ini.Bagaimana Ptolemy boleh mengetahui peta lengkap Semenanjung Tanah Melayu pada abad kedua Sebelum Masehi berserta gelaran Golden Chersonese (Semenanjung Emas) padahal mengikut sejarah moden orang-orang Barat hanya sampai di dunia sebelah sini selepas ekspedisi penjelajah Sepanyol dan Portugis seperti Magelland? Ada misteri di situ.Sama seperti Piri Reis yang membuat peta paling misteri di dunia berdasarkan manuskrip peta-peta kuno, Ptolemy juga mendapat sumber yang sama,dari manuskrip peta-peta kuno lama sebelum era Yunani.Sebahagiannya dari era Firaun kuno (ingat, perpustakaan Iskandariah yang terkenal,yang menyimpan sejumlah besar manuskrip purba)

Namun Mala bukanlah bangsa asal. Mala mempunyai ‘benang-benang merah’ dengan bangsa Scythia. Scythia merupakan bangsa asas kepada semua puak Eskimo, asli Yunan, asli Dai, asli Taiwan, hingga ke ke kaum Ainu di Jepun dan suku misteri di pulau-pulau Jepun sebelum kedatangan kaum Yamato (kaum dominan Jepun pada hari ini) Lembah Mekong, Tanah Melayu, Borneo, Sumatera, Jawa, Sulawesi , Filipina, Pasifik , Madagascar dan Amerika Latin.

Scythia merupakan sebuah bangsa nomad berkerajaan yang berasal daripada Asia Tengah (ingat Teori kapak Tua dan bangsa Kambuja?) berhampiran dengan Laut Hitam. Kaitan antara Melayu dengan Scythia telah dirumus oleh seorang arkaelogis Eropah di sekitar tahun 1830an lagi. Maka ada kemungkinan Scythia merupakan bangsa asal daripada Nabi Adam a.s. Ini kerana Nabi Adam a.s. mempunyai 22 pasang anak,atau bermaksud 22 bangsa asas (kemungkinan dari kajian setakat ini).

Kambuja,Aryan,Mala,Manessah,suku Sakya dan Buddha

Bangsa Mala itu memang bukan dari Yahudi.Perlu diingat Yahudi itu dari lelaki bernama Yehudah(Anak Nabi Yaakob a.s yang berkomplot dengan abangnya Shimon (Simeon) untuk membunuh Nabi Yusof a.s). Sedangkan hipothesis dari Dr. Ralp Olsen mengatakan Bangsa Mala ini dari Bani Menasseh anak kepada Nabi Yusof a.s ini jelas bila kajian DNA telah dilakukan pada puan ‘Bnaei Menasseh’ di daerah Assam, Burma telah mengesahkan mereka ada DNA bangsa Israel.Daerah Assam adalah laluan Mala-Deutro @ bani Menasseh yang lari dari peperangan Assyrian yang membumihanguskan Kota Nineveh kerajaan Judah. Kajian mengatakan bahasa Melayu juga wujud di daerah Assam.Oleh krn itu,bangsa Mala yg sifatnya tidak menyenangi ‘Yahudi’ ini memang ada kaitan dengan sirah Nabi Yusof a.s. yang dibuang dlam perigi oleh saudaranya Shimon dan Yehudah.

Disini adalah ditegaskan sekiranya bangsa Mala ada bloodline dengan bani Menasseh (Keturunan Nabi Yusof a.s. @ Joseph) maka layaklah digelar berketurunan Bani Israel bukan Yahudi. Kerana Bani Israel itu bertebaran luas di bumi ini yang mana ianya lahir dari 12 anak keturunan nabi Yaakob a.s, sedangkan Yahudi hanya salah satu suku kaum dalam ras bani Israel.Samalah dlm kes pendita Yahudi kata Nabi Ibrahim a.d itu Yahudi,lalu Allah tegaskan baginda bukan Yahudi mana tidaknya Yahudi hanya salah satu suku kaum dari Bani Israel yang wujud lama selepas Nabi Ibrahim a.s. Seperkara lagi bangsa Israel bertebaran hingga ke bumi Afrika dan puak Lemba Afrika memang ada genetik Israel dari Bani Benjamin @ Bunyamin adik kepada Nabi Yusof a.s. malahan di Cina pun ada keturunan Isarel yang dah bercampur dengan bangsa Cina iaitu Puak Cina Kaifeng.

Jadi Lost Tribe Israel memang lari ke sebelah Asia melalui ‘Laluan Sutera’ untuk turun ke Yunnan, Mekong dan Indochina hingga terserap dalam bangsa Mala (Hari ini pegang syariat Nabi Muhammad yakni Islam). Ada yang terpisah ke China lalu membentuk komuniti Kaifeng.

Jadi bani Israel merangkumi keturunan Nabi Ibrahim turun kepada Ishak lalu Yaakob dan turun kepada seluruh 12 anak nabi Yaakob a.s., jadi pengkhianatan Yahudi (Perisitwa Samiri dan Sapi) adlah pilihan puak Yahudi itu sendiri tiada kaitan dengan ras Israel lain yang masih memegang syariat mentauhidkan Allah Taala.

Kajian projek genome oleh Rabbai Jacobovici telah dilakukan untuk mengesahkan hipothesis Dr. Ralp Olsen berkenaan Israel DNA variant dalam Bangsa Mala (rujuk website beliau, link: www.mormonslocation.com). Projek genome itu dijangka lengkap dalam masa 5 hingga 10 tahun akan datang khusus utk lost tribe disebelah South East Asia region

Sumber: http://codegyzer.wordpress.com/

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir - ‘Ulama dari Gunung”

Negeri bumi timah ini sememangnya tidak pernah ketandusan melahirkan ulama-ulama yang berketrampilan. Malahan kewibawaan mereka menjangkau ke seantero Nusantara sekaligus melewati ke seluruh dunia Melayu. Nama-nama mereka begitu harum di langit zaman dan meniti setiap bibir pengikutnya sejak zaman berzaman. Begitu jualah Ustaz Abu Bakar Al-Baqir yang amat sinonim dengan Parti Hizbul Muslimin (Hamim), sebuah parti Islam yang pertama tertubuh di Tanah Melayu. Menurut Dr. Ishak Haji Mohamad (Pak Sako) dalam Mastika, November 1973, nama Hizbul Muslimin itu telah dipinjam daripada pertubuhan politik di Mesir yang dalam bahasa Inggeris disebut The Muslim Brotherhood.

Penubuhan Hamim dirangka oleh Ustaz Abu Bakar Al-Baqir bersma-sama Dr. Burhanuddin Al-Helmi, alim ulama serta cendikiawan Islam di Maahad El Ehya’ Al Shariff (MAEAS), Gunung Semanggol Perak pada 14 Mei 1948 yang telah dihadiri seramai 5,000 orang. (Dr. Burhanuddin sebenarnya pernah berkhidmat di MAEAS mengajar ilmu politik Islam).

Sejarah mencatatkan, Hamim mendapat sambutan hebat daripada golongan kebangsaan berhaluan kiri yang terdiri guru-guru dan pelajar sekolah pondok seluruh tanah air. Namun begitu sejarah Hamim sebenarnya tidak panjang seperti MAEAS.

Justeru itu, Ustaz Abu Bakar Baqir bukan sahaja sinonim dengan Hamim tetapi lebih tertonjol bersama kecermerlangan MAEAS. Beliau bersama pemimpin Semanggol, Haji Abdul Rahman Mahmud telah mendirikan MAEAS pada tahun 1934 di atas tanah milik bapanya bagi menggantikan pondok Al Rahmaniah yang telah uzur.

Pondok yang terkenal itu menawarkan lima mata pelajaran penting seperti Ilmu teras (tauhid, tassawuf, fiqh, tafsir, hadis): Ilmu alat (nahu arab, sarf, balaghah); Ilmu pelengkap (sejarah Islam, logika, hisab, ilmu alam, al-tibb, bahasa Inggeris, kesusasteraan Melayu, tatanegara, sejarah umum, pidato umum, seni-khat) dan ilmu pertukangan yang diajar untuk pelajar putera sahaja.

MAEAS ialah sebuah sekolah agama rakyat yang cukup berjasa. Ia melahirkan ramai pemimpin, antaranya Allahyarham Tan Sri Muhammad Asri Muda, bekas Menteri Besar Kelantan. Pengasasnya pernah disebut sebagai ulama yang sentiasa membasahkan lidahnya dengan zikirullah. Kisah hidupnya tidak banyak ditulis orang. Namun begitu sumber yang dikumpulkan oleh Nabir Haji Abdullah dan risalah benar susunan Muhammad Asri (terbitan jamaah Pimpinan Umum Hizbul Muslimin) ada menyatakan bantahan terhadap penangkapan Ustaz Abu Bakar Baqir sekitar tempoh 1948-1952. Latar belakang beliau dimuatkan di dalam tulisan tersebut.

Berasal

Susur-galurnya berasal dari daerah Kendal Jawa Tengah. Datuknya, Haji Abdul Jabar merantau ke Tanah Melayu dan menetap di Gunung Semanggol pada pertengahan abad ke 19. Sebelum ke Gunung Semanggol, Haji Abdul Jabar pernah tinggal di Klang, Selangor dan kemudian berhijrah ke Kuala Kurau, Perak. Hasil usahanya, beliau meninggalkan tanah pusaka yang luas kepada anaknya, Mohd. Said iaitu bapa Ustaz Abu Bakar Baqir.

Mohd. Said cukup mementingkan pendidikan agama. Beliau mengasuh anak-anaknya; Muhaiyuddin, Abu Bakar, Abdullah, Aishah, Saodah dan Hafsah dalam suasana didikan Islam yang amat mendalam dan menerapkan Islam sebagai ad-deen.

Ustaz Abu Bakar Baqir lahir di Gunung Semanggol, Perak pada 1907. Ketika usianya enam tahun, anak kelima dari enam beradik ini belajar hingga darjah lima (tertinggi) di Sekolah Melayu Semanggol serta mempelajari fardu ain dan Al-Quran. Kemudian, dia menuntut di Madrasah Al Rahmaniah, Semanggol yang diasaskan oleh Haji Abdul Rahman Mahmud, bekas penuntut Jame’ Al-Azhar Mesir dan Masjid Al-Haram Makkah selama 15 tahun. Kira-kira enam tahun Ustaz Abu Bakar di pondok itu (1919-1924) mengaji fiqh, tauhid, tafsir, Al Quran dan hadis serta tatabahasa Arab.

Kepala Telaah

Di pondok ini, Ustaz Abu Bakar dilantik sebagai kepala telaah, (mengikut tradisi, jawatan itu tidak mampu disandang kecuali mereka yang mencapai tahap kelayakan akademik tertentu). Sebenarnya, pelantikan itu menunjukkan pengiktirafan Tuan Guru Haji Abdullah Pak Yim kepadanya. Dan pengiktirafan inilah yang mendorong Ustaz Abu Bakar menjadi pendidik di samping menubuhkan unit pengajian Kanzul Maarif di pondok itu. Menerusi unit ini Ustaz Abu Bakar bersama rakan-rakanya berlatih berdebat pada setiap malam Jumaat.

Minatnya untuk mendalami politik Islam kian bercambah apabila beberapa rakan, antaranya Ustaz Abdul Halim Haji Ahmad Maliki dan Ustaz Ahmad Score (kerana dia pemain bola sepak) sering berdebat mengkaji kemurnian Islam berbanding komunisme, kapitalisme dan faham politik yang lain.

Minat itu sentiasa dipupuk dan kian melebar ke arah menyemaikan semangat cintakan watan apabila beliau mengadakan hubungan dengan penuntut-penuntut Melayu di sekolah-sekolah agama di seluruh Tanah Melayu dan Singapura. Perhubungan dua hala itu bertujuan menubuhkan sekolah-sekolah agama Islam dan mencari ikhtiar mengembling tenaga untuk membebaskan tanah air dari cengkaman penjajah.

Antara yang berhubung rapat dengannya; Dr. Burhanuddin Al Helmi dan Fadhullah Shuhaimi (Singapura)’ Ahmad Mahir (Kelantan); Ahmad Fuad Hassan (Kuala Kangsar); Ismail Hamzah (kemudian Mufti-Kuala Kangsar); Haji Arshad (Bagan Datoh); Abdul Hadi Kamil (Sabak Bernam) dan Haji Hassan Yunus (Bekas Menteri Besar Johor 1959-1967)

Mengikut jejak

Pada tahun 1931 apabila Tuan Guru Haji Abdullah Pak Yim berpindah ke Madrasah Idrisiah Bukit Chandan, Kuala Kangsar kerana menunaikan jemputan Almarhum Sultan Iskandar Shah (1918-1938) menjadi guru, beliau ikut serta sebagai pelajar pula.

Di Madrasah Idrisiah dia sempat menuntut selama tiga tahun (1931-1933). Dia cukup disayangi gurunya, Haji Abdullah Pak Yim. Justeru, dia ditauliahkan sebagai guru sambil belajar iaitu pada separuh masa pertama setiap hari menjadi murid, separuh masa lagi menjadi pendidik dengan gaji RM 30.00 sebulan.

Pada tahun 1934 Ustaz Abu Bakar Baqir meletakkan jawatan dan pulang ke Gunung Semanggol.Kepulangan ini kerana dijemput oleh gurunya yang pertama iaitu pengasas Madrasah Al Rahmaniah, Haji Abdul Rahman Mahmud yang juga bakal bapa mertuanya. Setelah setahun kembali menetap di bumi kelahiranya, pada tahun 1935 dia berkahwian dengan Fatimah Abdul Rahman dan dikurniakan tujuh anak.

Kegiatan Ustaz Abu Bakar Baqir tidak hanya tertumpu kepada politik tetapi melebar ke arena ekonomi, kebajikan dan pendidikan. Namun begitu, bidang pendidikanlah yang paling menonjol. Beliau bukan sekadar ulama tetapi dikenali sebagai tokoh pendidik yang berkalibar, Pelantikannya sebagai pengerusi badan kebajikan dan pendidikan Majlis Agama Tertinggi SeMalaya (MATA) serta pernah merangka dasar pendidikan nasional membuktikan keupayaan beliau di bidang tersebut.

Dalam persidangan di MAEAS pada 15 November 1947, beliau dibantu oleh Abdul Al-Rabb Al Tamimi, berjaya membentuk Lembaga Pendidikan Rakyat (LEPIR) bertujuan menyeragamkan sukatan pelajaran sekolah agama rakyat di Tanah Melayu.

Bagi mencapai matlamat itu, sebuah pusat pendidikan sekolah rakyat ditubuhkan dan ia dikelolakan oleh Syeikh Zubir Haji Ahmad yang kemudiannya digantikan oleh Abdul Rabb Al Tamimi, MAEAS telah dijadikan contoh kepada sekolah agama rakyat di tanah air ketika itu.

Dalam bidang ekonomi dan kebajikan pula, Ustaz Abu Bakar mengetuai Persatuan Al Ehya Al Syarif sehingga akhir hayatnya (didaftarkan dibawah Undang-Undang Kompeni dan Syarikat pada 1940) mengusahakan tiga projek; kilang padi, stesen pam minyak dan stesen janakuasa elektrik.

Stesen janakuasa elektrik yang dibina pada tahun 1956 itu, menawarkan perkhidmatan kepada penduduk kawasan Gunung Semanggol, Bukit Putus, Bukit Gunung Semanggol, Kubu Gajah dengan bayaran RM1 sebulan bagi sebuah rumah selama satu dekad. Stesen ini kini telah diambil-alih oleh Tenaga Nasional Berhad.

Dalam menggerakkan ekonomi, beliau pernah menjelajah ke seluruh pelusuk tanah air untuk menarik minat orang Melayu mengusaha dan menggunakan barang buatan sendiri yang terjamin bersih dari segi syarak. Usaha beliau berhasil apabila beberapa kilang serbuk kopi, kicap dan taucu didirikan di Taiping, Tanjong Malim, Kuala Kangsar dan Ipoh sebagai tapak permulaan penceburan bangsa Melayu dalam dunia perniagaan,

Dalam bidang politik pula, beliau akrab dengan pemimpin Kesatuan Melayu Muda (KMM) seperti Ibrahim Yaakub dan Dr. Burhanuddin Al Helmi. Dia cukup serasi dengan Dr Burhanuddin. Ini dapat dilihat beberapa agenda penting MAEAS, Dr Burhanuddin turut sama sebagai penggerak utama. Umpamanya, persidangan Ekonomi-Agama SeMalaya yang berlangsung pada 22-24 Mac 1947, sekaligus mencetuskan penubuhan Pusat Perekonomian Melayu (PEPERMAS) dan MATA.

Seperti Dr Burhanuddin, Ustaz Abu Bakar Baqir turut menerima padah kerana menentang penjajah Inggeris. Dia dipenjara pada 29 Julai 1948 dan dibebaskan empat tahun kemudian (1952). Seiring itu, Hamim turut menerima nasib yang sama-berkubur apabila Ketua Umumnya terpenjara.

Setelah dibebaskan, Ustaz Abu Bakar tidak lagi bergiat dalam politik sebaliknya menumpukan perhatian memajukan MAEAS di samping berkhidmat sebagai ahli Majlis Mesyuarat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak serta menganggotai Jawatankuasa Syariah atas sifatnya sebagai seorang ulama.

Beliau juga pernah dilantik berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negara Perak dan dianugerahkan sebagai Tokoh Guru pada tahun 1975 setelah meninggal dunia.

Sesungguhnya, “ulama dari gunung” ini telah meninggalkan selaut jasa, segunung intan untuk bangsanya, sudahpun berpulang ke alam baqa ketika berusia 67 tahun kerana sakit tua pada tanggal 14 Julai 1974 dan disemadikan di tanah perkuburan Islam Gunung Semanggol – Al Fatihah buat Allahyarham oleh Zabidin Hj Ismail

Sumber: http://zabidin13.wordpress.com/

Sunday, August 28, 2011

Mengapa Wajah Tidak Berseri Ketika Solat?

"Ya Allah, baru kusedari bahawa wajahku tidak pernah senyum apabila sedang berhadapan dalam majlis-Mu. Sedangkan solatku ini adalah berhadapnya aku dengan-Mu, Kekasihku. Adakah aku tidak ikhlas dalam berhadapan dengan-Mu dalam solat ini, wahai Tuhanku?

Ya Allah, beratnya wajahku BAGAI aku menanggung beban yang sangat hebat. Tiada seri dan ceria pada air muka ini. Bagai air kolam yang bertakung begitu lama. Tiada riak, bagai angin tak pernah sampai di sini. Mengapa jadi begini?

Ya Allah, bukankah aku sedang berdiri, rukuk dan sujud. Menyerahkan diri ini kepada-Mu. Kerana Engkaulah Tuhan Yang Maha Indah. Sewajarnya aku sedang menikmati keindahan-Mu ya Zul-Jalal Liwal Ikram. Bukankah wajah ahli syurga akan berseri-seri di syurga kerana dapat memandang Zat-Mu?

Ya Allah, apakah hambamu ini belum mencapai martabat ihsan? Aku belum mampu beribadat seolah-olah aku yakin Engkau melihatku atau aku seolah-olah sedang melihat Engkau? Kalau benar aku ini ihsan ya Allah, tentulah wajahku berseri-seri di dalam solat. Bukankah begitu wahai Kekasihku?

Ya Allah, sewajarnya wajahku ceria ketika patah-patah ayat suci bermesra di lidahku. Sewajarnya air mukaku kelihatan gembira ketika aku qiam, rukuk dan sujud kepada-Mu. Aku sewajarnya tersenyum dan berwajah permata kerana Engkau-lah yang sedang berada di majlis amalan cintaku.

Ya Allah, kalau hamba-Mu akan gembira dapat melihat Zat-Mu di syurga kelak, apakah aku tidak patut gembira dalam solat ini? Bukankah solat ini telah menemukan aku rapat dengan-Mu, ya Allah. Bukankah yang sedang berada di depanku sekarang ialah Engkau, wahai Kekasihku?

Ya Allah, aku tidak pernah menunjukkan wajah senyumku kepada-Mu ketika solatku. Aku takut kepada-Mu ya Allah kerana dosa-dosaku. Namun, hati ini sangat gembira sebenarnya kerana Engkaulah di depanku. Sebagaimana Engkau janjikan ahli syurga gembira berhadapan dengan Kekasih di dalam syurga, izinkanlah di dunia ini, dalam solat yang singkat ini, aku merasai pengalaman syurga ya Allah. Biarlah manusia lain berwajah berat menanggung beban solat, namun aku lebih rela berwajah ceria kerana kegembiraanku dapat berada dalam majlis-Mu telah mengatasi rasa takut dan berat bebanku.

Ya Kekasih para mukmin, kurniakanlah kepada kami wajah berseri-seri dalam solat ini. Kurniakanlah kami ihsan yang menjadikan kita bukan lagi sekadar rapat dengan kata-kata tetapi telah rapat menyelinap di dalam jiwa. Dunia solat yang singkat ini adalah pancaran dunia syurga. Di mana sahaja kami berada, izinkan kami melihat dengan haqqul yakin kewujudan-Mu Yang Terindah. Sesungguhnya, gembira kami telah mengatasi rasa takut ini kerana kami sedar betapa melimpah-ruahnya kasih sayang dan keampunan-Mu. Perkenankanlah cita-cita kami wahai Zat Yang Maha Suci.

Oleh: BayangDiAir
http://dakwahkemaman.blogspot.com

Bersabarlah Wahai Sayang - Sahnisah Huri


Proses Daging Burger - Dari Produk Yang Popular?

Ramadhan, jauhi dari menjadikan ia bulan 'makan-makan'

Ramadhan datang lagi menjenguk umat Rasulullah s.a.w buat sekian kali.Kali in datangnya seperti kehadiran Ramadhan tahun-tahun sebelumnya.Sering disebutkan Ramadhan adalah bulan nikmat, Ramadhan juga bulan pengampunan.

Bagi yang menghayatinya, maka akan datangnya hikmahnya bulan pengampunan ini dengan nikmat iman dan ketaqwaan.

Ayat 183 Surah Al Baqarah bermaksud " Wahai orang yang beriman! Diwajibkan kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa".

Namun masih ada dikalangan kita sendiri tidak dapat menghayati kehadiran Ramadhan dengan mengambil kesempatan untuk mendekatkan diri menjadi hamba yang memiliki jiwa kehambaan kepada Allah s.w.t.

Sidang pembaca sekalian, Ramadhan bukan sahaja datang dengan syiar kewajiban berpuasa malah amalan-amalan sunat seperti solat Tarawikh di malam pertama sebelum berpuasa pada esok harinya.

Dan Daripada Abdulrahman Bin Auf, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya " Sungguh Allah telah mewajibkan puasa Ramadhan dan mensunnahkan solat di dalamnya, barang siapa yang berpuasa dan solat dimalannya kerana keluar dari dosanya ibarat pada hari ia dilahirkan oleh ibunya" (hadith riwayat Ahmad).

Disebabkan itulah kehadiran Ramadhan ini amalannya didahului dengan solat sunat Tarawikh yang mendahului amalan berpuasa.Sunat Tarawikh akan berjalan sebaik selepas Isya' malam sebelum umat Islam berpuasa pada esoknya.

Mengapa?Berbalik kepada hadith yang dibacakan sebentar tadi yang menkiaskan agar umat Islam memperbanyakkan amalan sunat yang terutamanya di malam hari.

Keutamaan mengerjakan solat Tarawikh, daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda " Barang siapa berdiri (solat malam) di bulan Ramadhan kerana iman dan kerana mengharapkan pahala dari Allah, makan akan diampunkan dosa-dosa sebelumnya " (hadith Riwayat Muslim).

Terkadang ada dikalangan umat Islam mutakhir ini hanya mengetahui bahawa kehadiran Ramadhan hanya besarnya kepada kewajiban berpuasa sahaja.

Lebih malang lagi, dicelah-celah kehangatan puasa itu, kita lalai dengan budaya berpuasa yang boleh disifatkan sebagai sekadar menahan lapar dan dahaga, sekadar mahu mencukupkan syarat agar mata manusia melihat kita ini berpuasa.

Malah lebih parah dari itu, kehadiran ramadhan bagi sesetengah pihak hanya untuk meraikan bulan 'makan-makan' kerana jika dilihat pada perkembangan hari ini, pelbagai iklan dan promosi bufet Ramadhan disiarkan.

Ada yang telah memikirkan mahu berbuka dihotel-hotel mewah, direstoran terpilih dan berbuka bersama rakan-rakan, dan ada yang telah membuat tempahan awal berbuka meskipun 1 Ramadhan belum tiba.

Malang sekali, budaya ini semakin menjadi 'kebiasaan' kepada masyarakat di negara ini dalam meraikan kehadiran Ramadhan, dan bukan menjadi suatu yang aneh jika berbuka dengan lauk pauk yang mewah, melimpah ruah.

Di sana sini kini mula bicara mengenai apa menu istimewa pada Ramadhan kali ini.Malah dipejabat-pejabat hari ini, isu makanan atau menu pada Ramadhan menjadi topik perbualan utama.

Impaknya, puasa sekadar menahan lapar dan dahaga, perut yang kempis sebelum puasa menjadi kembung dipertengahan dan dipenghujung bulan puasa.

Sedangkan Rasulullah s.a.w sendiri hanya meneguk air dan tiga biji buah Tamar (buah kurma) ketika berbuka, dan kemdiannya baginda meneruskan solat serta amalan sunat yang lain memenuhi malam-malam Ramadhan.

Malangnya, umat Islam hari ini persoalan amalan sunat yang mendampingi Ramadhan, malah menjadi nadi kepada kekuatan Ramadhan itu sendiri semakin tidak dibicarakan.

Ada yang tidak lagi mengendahkan waktu bersahur, kerana lena dibuai mimpi, malah ada yang terlena hingga subuh ditinggalkan begitu sahaja.Puasa sekadar pada niat, dan menahan lapar serta dahaga.

Walhal lebih penting lagi, kedatangan Ramadhan ini seharusnya dititipkan dengan segala amalan sunat bermula dengan Solat Sunat Tarawikhnya; kemudian bertadarus Al-Quran (lebih molek bersekali mentadabur), solat Tahajjud di sepertiga malam, dan pada siang harinya juga di samping menahan lapar, dahaga, menahan mata, telinga mulut dari yang sia-sia yang boleh mengurangkan pahala puasa, amalan bertadarus, mendengar tazkirah, bersedekah dan sebagainya juga boleh menambah nikmat Ramadhan.

Alangkah moleknya, jika solat Tarawikh juga diselangkan dengan slot tazkirah dipertengahannya, sementara ia mampu mengisi jiwa-jiwa yang menghadirkan diri ke rumah Allah dengan ilmu tambahan.

Mengapa Ramadhan disebut sebagai bulan rahmat dan pengampunan?

Nah pada bulan ini datangnya peristiwa penting hari-hari tertentu seperti turunnya Al-Quran (Nuzul Quran) pada hari ke-17 Ramadhan.

Malah di dalam bulan Ramadhan jugalah datangnya satu malam yang dipanggil Lailatul-Qadar iaitu suatu keistimewaan yang diturunkan Allah hanya pada bulan Ramadhan sahaja.

Allah menjanjikan bahawa mereka yang beramal pada malam tersebut diberi ganjaran pahala seperti beribadat selama 1000 bulan.Malam yang disebutkan ini akan datang pada 10 malam terakhir dan para ulama menakrifkan ianya pada malam ganjil.

Daripada Aishah r.ha meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya " Carilah malan Lailatul -Qadar pada bilangan yang ganjil di dalam tempoh sepuluh hari terakhir sebelum ramadhan" *hadith riwayat Bukhari, Muslim Tarmizi dan Ibnu Majah).

Sejurus amalan-amalan yang disebutkan tadi dilakukan dengan baik, insyaAllah rasa kehambaan akan datang, dan disitulah nikmat iman dan jiwa penuh taqwa akan dirasai.

Jadikanlah Ramadhan kali ini bukan seperti Ramadhan yang sebelumnya yang mana daripada Ramadhan 'bulan makan-makan' kepada Ramadhan bulan melazatkan amalan yang membawa ketaqwaan.

Moga ia mampu meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita semua kepada Allah.

Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB
Sumber: http://www.detikdaily.net/