Saturday, November 26, 2011

Kursus CoS/LG anjuran CIAST di Hotel Impian Morib, pada 20-25 November, 2011



























Wednesday, November 23, 2011

6 Jenis Wanita Mudah Ditipu Lelaki


1. Wanita yang terlalu mudah mempercayai lelaki

Sudah sayang, jadi apa saja yang lelaki/pasangan katakan, kepercayaan adalah 100 peratus. Bukan kena percaya pasangan separuh atau tidak sepenuhnya tetapi jangan mudah percaya membuta-tuli dan menerima apa saja tanpa menggunakan akal fikiran yang waras.

Contoh mudah: Pasangan anda berkerja sebagai seorang kerani dan gajinya sebanyak RM1,000 sebulan bersih. Anda pula memang tahu status kewangan dan cara perbelanjaannya. Dia ada banyak tanggungjawab, bil untuk dijelaskan setiap bulan dan sebagainya. Kira gajinya cukup-cukup saja.

Satu hari, dia belikan anda cincin emas berharga RM700. Anda tanya, mana dapat duit, dia kata lama menyimpan untuk memberi anda kejutan. Boleh terima.

Bila anda tengok pakaiannya pula, semuanya berjenama. Dia mula berbelanja sakan dan untuk anda pun, macam-macam barang dia belikan. Anda tanya lagi, mana dapat duit? Dia jawab, ada berniaga dengan kawan. Anda terus percaya.

Ingat! Lelaki yang berterus-terang dan jujur dengan pasangannya akan menyatakan, menjelaskan dengan selengkapnya apa yang ditanya atau diragui pasangannya. Dia tidak akan menyembunyikan apa pun kerana baginya, wanita yang disayanginya bukan saja tempat berkasih, malah tempat berkongsi apa saja. Lagi pun, nak rahsia apa, bukan dengan orang lain?

Jadi, jika anda berasa ragu, tanya pasangan anda, jangan tunggu, jangan simpan. Cuma pastikan anda bertanya kepada dia pada masa dan keadaan yang sesuai. Percaya sepenuhnya atau sebarangan boleh meletakkan anda dalam bahaya.

2. Wanita yang `terdesak’ untuk berkahwin

Usia yang semakin lanjut membuatkan ramai wanita yang belum berpasangan risau akan status diri.

Walaupun pada zaman yang semakin canggih ini, wanita berkerjaya lewat berkahwin adalah perkara biasa, namun majoriti wanita yang semakin meningkat usianya risau jika masih belum mempunyai pasangan hidup.

Risau usia semakin meningkat, ditambah pula dengan tekanan daripada ibu bapa, pandangan masyarakat, dan juga kerisauan terhadap peluang untuk mendapatkan cahaya mata yang semakin kurang jika berkahwin lambat.

Dalam keadaan seperti ini, kadangkala mereka boleh `terlepas pandang’ mengenai sikap, kualiti dan peribadi lelaki yang dipilihnya itu.

Wanita yang berkahwin lewat pada zaman ini pula kebanyakannya berkerjaya, secara tidak langsung bermakna mereka mempunyai tahap kewangan yang stabil. Ini memungkinkan wanita begini menjadi mangsa `buaya profesional’, yang sentiasa mencari peluang untuk mengambil kesempatan ke atas wanita seperti ini. Kalau anda wanita seperti ini, ingat...biar lambat, asal selamat!

3. Wanita `sosial’

Wanita yang sosial, suka pada hiburan malam, berparti, disko, pergaulan bebas dan berpegang pada falsafah `masa muda inilah nak berseronok dan rasa macam-macam’, mereka sebenarnya `mengiklankan’ diri kepada spesies lelaki pemangsa wanita.

Bersosial tanpa batasan adalah antara resipi utama yang menyebabkan ramai wanita dan gadis remaja ditipu (dalam pelbagai aspek) oleh lelaki tidak bertanggungjawab.


4. Wanita yang tidak mementingkan ilmu


Wanita yang mementingkan ilmu dalam konteks percintaan, perkahwinan dan memilih pasangan hidup bukanlah bermaksud wanita yang mempunyai ijazah berjela-jela dari universiti terkenal.

Wanita berilmu dalam konteks ini ialah wanita yang mampu memandu dirinya supaya tidak `terpilih’ lelaki penipu dan berbahaya. Jika dia `terjebak’ sekali pun dengan lelaki penipu/berbahaya, dia tahu apa yang perlu dilakukan atau di mana untuk mendapatkan bantuan yang sewajarnya.

Wanita berilmu juga bermaksud wanita yang tahu haknya sebagai wanita dan isteri. Wanita yang berilmu berani `membetulkan’ keadaan dan mempertahankan haknya apabila perhubungan atau perkahwinannya terganggu atau diganggu sama ada oleh pihak ketiga atau pasangannya sendiri.

Wanita berilmu mampu menjadi pasangan atau isteri yang sentiasa menjadi kebanggaan pasangan atau suami.

5. Wanita yang memandang faktor fizikal sebagai satu ciri utama pada lelaki idamannya

Mudah jatuh cinta dengan lelaki kacak, comel atau macho serta mempunyai susuk tubuh yang menggoda?

Wanita perlu ingat, semakin kacak dan seksi seseorang lelaki itu, semakin usaha perlu digandakan meningkatkan `sistem pertahanan diri’.

Perlu diingat, paras rupa dan susuk tubuh tidak sepatutnya menjadi ciri utama lelaki idaman wanita. Ia seharusnya hanya menjadi ciri bonus yang ada pada lelaki.

6. Wanita yang sabar tidak bertempat

Wanita seperti ini boleh dikategorikan sebagai jenis yang selalu `makan hati berulam jantung’ atau mungkin juga `makan tangan berulam kaki’. Dia didera secara mental dan fizikal oleh pasangan, tidak dihargai, sentiasa diambil kesempatan oleh pasangan atau suaminya, tetapi masih tetap bersama lelaki itu walaupun dia sedar, dia terseksa dan tertekan.

Wanita begini sentiasa berharap pasangannya akan berubah pada satu masa nanti. Tidak salah bersabar tetapi jika kesabaran itu akhirnya membawa mudarat kepada diri sendiri, sesuatu perlu dilakukan.

Terus bersabar walau diperlakukan apa saja oleh lelaki atau pasangan seolah-olah memberi `lesen’ kepada pasangan untuk terus mendera, menipu dan menghina maruah wanita. Ingat kata orang dulu-dulu, 'sabar biarlah bertempat’.

Sumber: www.mesra.net

Saturday, November 19, 2011

Penjelasan Tentang Kiamat


FIRMAN Allah SWT: Hari kiamat. Apakah hari kiamat itu? Dan tahukah kamu apakah hari kiamat itu? Kaum Tsamud dan 'Ad telah mendustakan Hari Kiamat. Adapun kaum Tsamud, maka mereka telah dibinasakan dengan kejadian yang luar biasa.

Adapun kaum 'Ad maka mereka telah dibinasakan dengan angin yang sangat dingin lagi amat kencang. Yang Allah menimpakan angin itu kepada mereka selama tujuh malam dan delapan hari terus menerus, maka kamu lihat kaum 'Ad pada waktu itu mati bergelimpangan seakan-akan mereka tunggul pohon kurma yang telah kosong (lapuk). Maka kamu tidak melihat seorangpun yang tinggal di antara mereka. Dan telah datang Firaun dan orang-orang yang sebelumnya dan (penduduk) negeri-negeri yang dijungkir balikkan kerana kesalahan yang besar. Maka (masing-masing) mereka menderhakai Rasul Tuhan mereka, lalu Allah menyiksa mereka dengan seksaan yang sangat keras. Sesungguhnya Kami, tatkala air telah naik (sampai ke gunung) kami bawa (nenek moyang) kamu, ke dalam bahtera. Agar kami jadikan peristiwa itu peringatan bagi kamu dan agar diperhatikan oleh telinga yang mahu mendengar. (al-Haqqah: 1-12)


Surah ini diturunkan selepas surah al-Mulk. Hubungan surah ini dengan surah yang sebelumnya:
  • Dalam surah Nun ada disebutkan tentang hari kiamat secara umum. Dalam surah ini pula diterangkan berita tentang kiamat secara terperinci.
  • Dalam surah yang lepas ada diceritakan tentang pendustaan terhadap al-Quran dan ancamannya sedangkan surah ini disebutkan pula keadaan umat yang mendustakan para rasul dan apa yang berlaku kepada mereka. Ini supaya para pendusta yang sezaman dengan Nabi SAW tidak lagi mendustakannya.
Firman Allah SWT: Hari kiamat. Apakah hari kiamat itu?

Ibn Kathir berkata: Al-Haqqah adalah salah satu daripada nama-nama hari kiamat. Ini kerana berlaku tahqiq kepadanya janji baik dan buruk. Atas asas inilah Allah membesarkan hal dan hari tersebut.

Al-Maghari berkata: Perbincangan ini bagi menunjukkan tujuan sebenar yang mahu disampaikan. Apakah keadaan dan sifatnya masih tidak lengkap serta hakikatnya masih belum dapat digambarkan?

Selanjutnya Allah SWT menjelaskan lagi betapa dahsyatnya peristiwa kiamat, keadaannya yang huru-hara dan betapa ngerinya.

Firman Allah SWT: Dan tahukah kamu apakah hari kiamat itu?

Al-Farra' berkata: Sesungguhnya disebut haqqah kerana padanya semua perkara akan dihitung.

Al-Zajjaj pula berkata: Dinamakan haqqah kerana setiap orang akan mendapat balasan amalannya sama ada baik atau buruk.

Syed Qutub berkata: Kiamat dengan pemandangan dan peristiwa memenuhi ruang pembicaraan yang terbanyak dalam surah ini kerana ia dimulakan dengan nama kiamat iaitu al-Haqqah.

Ia adalah perkataan yang dipilih khusus kerana nadanya dan ertinya yang membayangkan kesungguhan sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini.

Ia bermaksud hari kiamat yang tetap dan pasti berlaku atau hukuman ke atas manusia dan pernyataan kebenaran. Semuanya mengandungi makna yang tersendiri.

Perkataan al-Haqqah seperti yang telah dijelaskan mempunyai makna yang tertentu. Ia melahirkan suasana hebat di samping membayangkan balasan kepada orang yang mendustakan agama dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT: Kaum Tsamud dan 'Ad telah mendustakan hari kiamat. Adapun kaum Tsamud, maka mereka dibinasakan dengan kejadian yang luar biasa.

Ibn Abbas berkata: Perkataan qari'ah memberi maksud nama daripada nama-nama hari kiamat.

Muqatil berkata: Ini kerana Allah menetapkan hukuman kepada musuh-musuhnya dengan azab.

Ibn Qutaibah berkata: Qari'ah merupakan hari kiamat kerana ia menggerunkan.

Sedangkan perkataan taghiah pula ada beberapa tafsiran:
  • Kerana mereka melampau dan kufur. Inilah pendapat Ibn Abbas, Mujahid, Muqatil dan Ibn Qutaibah.
  • Iaitu dengan tempikan taghiah (yang kuat). Inilah pendapat Qatadah. Ini kerana ia melebihi daripada kadar sorakan biasa. Justeru, dapat membinasakan dengan bunyi yang amat kuat.
  • Iaitu yang menyembelih unta. Inilah pendapat Ibn Zaid.
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Sumber: http://www.utusan.com.my/

Thursday, November 17, 2011

Pembedahan Caesarean Section


Pembedahan caesarean atau dikenali sebagai c-section adalah kaedah yang digunakan untuk melahirkan bayi secara pembedahan. Ia sering dilakukan sebagai pembedahan kecemasan apabila berlaku komplikasi semasa kelahiran bayi. Walaupun kelahiran secara normal lebih selamat untuk bayi dan ibu tetapi terdapat keadaan dimana melahirkan melalui c-section adalah lebih selamat dari kelahiran biasa.

Prosedur pembadahan

C-section dimulakan dengan doktor membuat hirisan pada bahagian ari-ari atas sedikit dari bulu pubis. Bayi anda akan dikeluarkan dari hirisan tersebut. Sebelum itu, doktor pakar bius akan memberikan spinal anaethesia dimana anda akan merasa kebas dari pusat kebawah. Abdomen anda akan dicuci dengan teliti dan pembedahan akan bermula sejurus selepas itu.

Selepas bayi lahir

 
Hidung dan mulutnya akan disedut untuk membuang lendir dan air ketuban yang belebihan. Tali pusat akan dipotong dan doktor akan mengeluarkan uri. Rahim kemudiannya akan di jahit diikuti dengan dinding perut.
Selepas pembedahan, anda dan bayi akan dipindahkan ke wad dimana anda akan di awasi dengan teliti selama 24 jam selepas pembedahan.

Komplikasi pembedahan Caesarean

Pembedahan c-section adalah pembedahan besar dan seperti mana pembedahan yang lain, mempunyai terdapat risiko-risikonya yang tersendiri.

Risiko terhadap bayi
  • Kelahiran pra-matang
  • Masalah pernafasan
  • Luka
Risiko terhadap ibu
  • Jangkitan kuman pada rahim dan organ yang berdekatan
  • Lebih kehilangan darah –dua kali ganda lebih dari bersalin biasa.
  • Usus kurang aktif- rasa kembung, tidak selesa berterusan sehingga berhari-hari.
  • Komplikasi pernafasan- jangkitan paru-paru terutama apabila pesakit diberikan bius keseluruhan.
  • Tinggal di hospital dengan lebih lama
  • Reaksi terhadap ubat bius
  • Luka pada organ berdekatan seperti pundi kencing dan usus
  • Darah beku pada kaki, organ pelvis dan paru-paru
  • Sakit bersalin yang lebih lama
  • Berisiko untuk pembedahan hysterectomy (pemebedahan buang rahim akan tumpah darah yang banyak)
  • Berisiko untuk placenta accreta pada kandungan akan datang.
Sumber: http://portal.alamhamil.com/

Mengapa minuman 3 in 1 bahaya?


Minuman 3-in-1 boleh mendatangkan bahaya kerana ramai yang tidak menyedari ia sebenarnya mengandungi gula yang berlebihan selain digembar-gemburkan mampu menambah tenaga.

Pensyarah Program Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Shariza Abd. Razak berkata, walaupun ada minuman itu dikatakan menganduni ginseng atau tongkat ali untuk menambahkan tenaga namun kandungannya amat sedikit.

“Ia tidak member sebarang kesan dalam penjagaan kesihatan sebaliknya ia mengandungi gula yang banyak iaitu lebih daripada tiga sudu teh.

“Namun ramai yang tidak menyedarinya kerana ditenggelamkan oleh rasa pahit kopi tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Semalam.

Menurut Shariza, selain kandungan gula yang tinggi, kebanyakan minuman 3-in-1 yang dijual di pasaran juga menggunakan krimmer susu bukan tenusu iaitu yang dihasilkan daripada minyak kelapa sawit.

Katanya, krimmer tersebut merupakan sejenis lemak tepu yang boleh membahayakan kesihatan kerana ia boleh menyumbat saluran arteri darah dan seterusnya menyebabkan penyakit koronari jantung dan angin ahmar.

Kesannya, para pesakit jantung atau diabetes yang minum minuman itu secara tidak terkawal boleh menyebabkan penyakit mereka menjadi lebih serius.

Sementara itu, Shariza menjelaskan, antara factor yang menyebabkan minuman 3-in-1 menjadi pilihan ramai ketika ini adalah disebabkan kosnya yang murah iaitunantara 50 sen hingga RM1 bagi setiap paket.

Menurutnya, gaya hidup masyarakat yang sering sibuk dan terikat dengan jadual kerja harian turut memainkan peranan mempopularkannminuman itu kerana ia mudah dibancuh walaupun di tempah kerja.

Beliau bagaimanapun menegaskan, pengambilan minuman tersebut bukannya tidak dibenarkan tetapi perlu diambil secara sederhana dan turut diseimbangkan dengan makanan lain.

Info Kandungan minuman 3-in-1:
  • Mengandungi lebih tiga sudu the gula dalam setiap pek.
  • Gula yang berlebihan bertujuan mengurangkan rasa pahit dalam minuman tersebut.
  • Selain gula, krimmer yang digunakan adalah sejenis lemak tepu yang boleh membahayakan kesihatan
  • Turut mengandungi kafein yang menyebabkan rasa berdebar (palpitasi) dan menyukarkan tidur pada waktu malam.
  • Setiap pek mengandungi sehingga 200 kalori.
  • Jumlah kalori itu sama dengan dua keeping roti atau sepinggan nasi.
  • Jika diambil tiga paket sehari, ia bersamaan 600 kalori dan turut menyumbang kepada berat badan berlebihan.
  • Kandungan untuk meningkatkan tenaga seperti tongkat ali, kacip fatimah dan ginseng adalah sangat sedikit kerana bahan-bahan itu mahal dan sukar untuk diperoleh.
Rujukkan
  •  Program Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia
  •  Akhbar kosmo! Oleh RONI HIDAYAT dan NOOR AKMAR
Sumber: Kosmo

Wednesday, November 16, 2011

Sedia persekitaran inklusif


Melalui kaedah pengajaran yang tepat dan dengan program sokongan yang betul, kanak-kanak bermasalah pembelajaran boleh belajar bersama-sama dengan murid normal dalam satu bilik darjah.

Pengasas dan Pengetua Children's World, Anne Sivanathan berkata, sebenarnya tiada masalah untuk mengajar mereka dalam satu kelas yang sama kerana kanak-kanak yang dikategorikan sebagai berkeperluan khas datang dari spektrum yang luas seperti ketidakupayaan pembelajaran, lembap dan masalah perilaku disebabkan trauma fizikal.

"Kanak-kanak dengan ketidakupayaan pembelajaran adalah sukar untuk diintegrasikan dengan pelajar-pelajar lain di sekolah biasa kerana pelbagai faktor," katanya pada Persidangan Kebangsaan Pendidikan dan Penjagaan Awal Kanak-kanak di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Faktor pertama, katanya, ialah disebabkan kekurangan pengasuh yang mempunyai ilmu dalam mendiagnosis ketidakupayaan seseorang murid.

"Dalam sistem pendidikan masa kini, para pengajar terutamanya guru-guru mempunyai pengetahuan yang terhad tentang ketidakupayaan pembelajaran serta perkara yang berkaitan.

"Ramai di antara para pengajar ini tidak berupaya mengesan kanak-kanak berkeperluan khas dalam bilik darjah seterusnya membantutkan usaha untuk membantu mereka dengan cara yang lebih bermanfaat," jelasnya.

Menurutnya lagi, kanak-kanak yang mempunyai kecacatan jelas dan besar sememangnya mudah untuk dikesan namun adalah amat sukar untuk mengenal pasti kanak-kanak yang mempunyai kekurangan upaya sederhana serta kecil terutamanya pada usia muda mereka.

Faktor kedua ialah disebabkan kekurangan kesinambungan yang diperlukan oleh kanak-kanak untuk berjaya dalam programberbentuk individu (Individualized Program) yang disediakan oleh pakar.

"Secara teorinya, kanak-kanak yang mengidap autisme hanya dapat dikenal pasti ketika dia berumur tiga tahun. Secara praktikalnya pula, diagnosis hanya dibuat pada umur empat hingga lima tahun.

"Bila kanak-kanak didiagnosis dengan keperluan khas, terdapat ramai pakar dari pusat-pusat berbeza yang terlibat dalam mengikuti kemajuan kanak-kanak tersebut, contohnya terapi pekerjaan, patologi pertuturan, pakar-pakar pemakanan, psiko pendidikan dan lain-lain," terang beliau.

Manakala faktor ketiga pula ialah disebabkan kurangnya dana untuk penjagaan harian.

"Ibu bapa biasanya dibebankan dengan kos perubatan yang mahal serta bantuan kemudahan jagaan harian hanya mampu menampung sekitar satu hingga dua jam sahaja setiap hari untuk kakitangan sokongan," katanya.

Anne berkata, faktor keempat ialah disebabkan oleh kekurangan minat khususnya di kalangan guru-guru berkaliber untuk bekerja dengan kanak-kanak berkeperluan khas ini.

"Selain itu, ia juga disebabkan oleh jumlah kegagalan yang besar dalam proses meningkatkan perkembangan di kalangan kanak-kanak berkenaan," ujarnya.

Hal ini kerana setiap kanak-kanak berbeza dari segi ketidakupayaan mereka.

Oleh MOHD. FADZLY MOHD. IZAB
pendidikan@utusan.com.my

Sumber: http://www.utusan.com.my/