Wednesday, August 8, 2012

Puasa Dan Kesihatan


Puasa atau menahan diri dari makan dan minum telah menjadi amalan manusia dari berbagai kaum dan agama sejak dahulu kala lagi. Ada yang berpuasa dari makan tetapi tidak dari minum. Ada pula yang menahan dari makan berhari-hari dan ada juga yang berminggu minggu. Terdapat juga mereka yang berpantang dari memakan dedaging dan hanya memakan sayur. Pendek kata, puasa telah digunakan sebagai ibadat, amalan atau kepercayaan manusia.

Artikel yang diselitkan pada kali ini fokus kepada puasa dan kesannya kepada kesihatan. Apakah di sebalik hikmah puasa dan apakah manfaatnya dari segi kesihatan? Puasa adalah suatu proses pembersihan rohani dan jasmani. Jika kita lihat pada definisi puasa iaitu "menahan diri dari makan dan minum serta menahan (mengawal) diri dari semua perkataan, pemikiran atau pendengaran perkara-perkara yang tidak baik". Faedah yang ketara dari amalan di atas ialah kekuatan rohani. Kita kurang mengetahui faedah atau kelebihan puasa dari sudut kesihatan fizikal. Lumrahnya kita kurang faham tatacara puasa yang boleh mendatangkan faedah kesihatan kerana terlalu mengikut tradisi yang telah menjadi kebiasaan kita bila berpuasa. Amalan puasa yang diwarisi sejak turun temurun ini bukan sahaja tidak memenuhi kaifiat puasa, malah ianya akan mengurangkan pahala puasa dan boleh mendatangkan mudharat kepada orang yang berbuat demikian.

Bagaimanakah cara puasa yang berkesan? Apakah fasa-fasa yang dialami semasa berpuasa? Apakah amalan yang akan memudharatkan orang yang berpuasa?

(Keadaan biasa). Di dalam keadaan tidak berpuasa, banyak tenaga badan digunakan untuk proses penghadaman makanan. Pada masa yang sama, proses metabolisma dalam sel-sel sentiasa berjalan selagi kita makan dan minum. Sel-sel badan juga mempunyai fungsi memproses bahan makanan untuk dijadikan bahan yang boleh digunakan oleh sel dan badan. Semasa menjalankan proses ini, bahan buangan turut dihasilkan dan perlu di keluarkan dari sel. Jika sel-sel badan terlalu sibuk memproseskan makanan yang diterima, proses pembuangan ini akan menjadi kurang efisyen.. Pada kebiasaannya, pergerakan zat makanan (dan toksin) adalah ke arah lemak dan daging. Oleh itu, makanan yang diambil dengan kadar lebih dari yang diperlukan oleh badan akan menyebabkan terkumpulnya bahan-bahan simpanan - yang disimpan sebagai lemak. Di samping itu, jika fungsi perkumuhan bahan pembuangan kurang efisyen, maka toksin yang wujud pun akan tersimpan di dalam lemak.

Sewaktu kita tidak berpuasa (dan tidak pula melakukan senaman), proses pembakaran lemak akan menjadi tidak efisyen. Maka secara tidak langsung proses pembuangan toksin juga akan turut tergendala. Ini adalah kerana lemak dalam badan merupakan tenaga yang tersimpan dan hanya akan digunakan jika bahan bakar biasa yang terhasil dari karbidrat tidak mencukupi. Jika proses perkumuhan sentiasa dalam keadaan tidak efisyen, lama kelamaan sel-sel badan akan berfungsi dengan tidak optima kerana proses pembuangan tergendala. Ini akan menyebabkan sistem-sistem lain dalam badan seperti sistem pertahanan, sistem penghadaman dan lain-lain akan turut tergendala. Akibat dari gangguan berbagai sistem ini, kita akan mengalami gegala-gegala gangguan kesihatan seperti lenguh badan, cepat letih, senang demam dan lain-lain lagi.

Semasa berpuasa, aktiviti memproses makanan akan berkurangan (atau berhenti bagi tempoh waktu yang telah ditetapkan). Tetapi proses perkumuhan atau pembuangan masih tetap berjalan. Oleh kerana sel badan dapat memberi tumpuan kepada proses pembuangan bahan buangan dan toksin, proses ini dapat berjalan dengan lebih efisyen. Dalam keadaan ini juga, badan kita akan mengalihkan sumber tenaga dari glukosa kepada lemak yang tersimpan. Pembakaran lemak ini akan mengeluarkan toksin dari sel dan seterusnya dapat dibuang keluar. Bagi proses perkumuhan ini, hati dan buah pinggang memberi lebih tumpuan kepada pembuangan toksin dan bahan buangan lain kerana dapat berehat dari memproses bahan makanan. Pada masa yang sama, darah (bersama oksigen dan bahan buangan dari sel-sel) dapat mengalir ke otak dan organ-organ lain.

Perlu dinyatakan bahawa proses pembuangan toksin dari badan yang berlaku semasa berpuasa tidak akan dapat dilakukan dengan baik jika seseorang itu mengalami sembelit (susah membuang air besar). Usus besar adalah di antara organ perkumuhan utama badan. Organ perkumuhan lain termasuk hati, ginjal, paru-paru dan kulit. Jika kurang air di dalam badan, buah pinggang akan menjadi kurang efisyen. Oleh itu semasa puasa, usus besar dan buah pinggang perlu dijaga supaya berupaya menjalankan proses perkumuhan yang akan membersihkan badan dan memulihkan fungsi sel secara optima. Proses pembuangan toksin dari dalam sel-sel badan terutama sel lemak akan menyebabkan pengaliran semula toksin ini ke saluran darah sebelum ia dapat keluar dari badan. Proses pengaliran toksin ini akan menimbulkan gejala-gejala yang sering berlaku pada awal puasa. Di antara gejala-gejala yang mungkin dialami pada awal puasa ialah:-
  • Sakit kepala - ini berlaku kerana toksin yang terkumpul dalam sel mengalir ke saluran darah sebelum ia dikeluarkan dari badan
  • Lengoh badan
  • Lidah berdaki dan mulut berbau
  • Kencing pekat dan berbau
  • Cirit-birit
  • Letih lesu - keadaan ini berlaku di awal puasa kerana badan kita tidak menggunakan tenaga yang tersimpan dalam badan dan masih mengharapkan tenaga dari makanan dari luar. Maka gula di dalam darah berada di tahap rendah dan badan terasa lemah longlai, walaupun pada hakikatnya tenaga tersimpan dalam bentuk lemak mencukupi untuk beberapa bulan tanpa makan!
CARA BERPUASA YANG TIDAK BERKESAN

Berikut adalah beberapa cara atau kebiasaan yang harus dijauhi supaya kita mendapat manfaat puasa sepenuhnyi:
  • Makan terlalu banyak samada pada waktu sahur atau berbuka
  • Memakan makanan yang pedas, berempah atau payah dihazam
  • Memakan terlalu banyak daging binatang terutama bagi mereka yang mengidap batu karang, gout, allergi, alahan)
  • Suka mengulangi makanan sepanjang malam
  • Kurang minum air pada malam hari atau lebih minum air semasa makan.
  • Tidur selepas makan (perut kenyang)
  • Minum terlalu banyak kopi atau teh.
Jika kita masih meneruskan amalan di atas, kita bukan sahaja akan kurang mendapat manfaat puasa, malahan kita akan merasa letih dan mungkin juga akan mengalami berbagai masalah kesihatan akibat amalan tersebut. Malangnya masih ramai orang Islam yang berpuasa sedemikian. Dr. Alan Cott menyatakan dalam bukunya `Fasting: The Ultimate Diet' bahawa, "...Muslims fast religiously and unhealthily for a whole month. They eat and drink nothing during the day and gorge themselves at night." Tidak boleh dinafikan memang ada kebenaran dari apa yang dikatakan oleh Dr. Alan Cott mengenai cara orang Islam berpuasa. Walaupun pahit, kita harus menerima hakikat ini dan berusaha untuk membaiki diri agar kita akan mendapat manfaat sepenuhnya dari amalan puasa.

Puasa yang berjaya adalah puasa yang diamalkan mengikut Sunnah Rasulullah s.a.w. dan bukan puasa tradisional Melayu. Puasa yang berjaya akan membuahkan keadaan rohani dan jasmani yang dinamik, bersih dan diperbaharui!
Kunci bagi kejayaan puasa ialah kawalan yang baik semasa berbuka dan bersahur. Cadangan saya semasa berbuka ialah memakan makanan yang senang hadam, yang mengandungi banyak serat dan dalam kadar yang sederhana. Amalan Rasulullah s.a.w. memakan buah tamar semasa berbuka adalah baik sebab tamar mempunyai kandungan karbohidrat yang tinggi di samping mengandungi asid amino - diantaranya ialah triptofan yang didapati boleh menenangkan perasaan. Yang saya tahu, Rasulullah s.a.w. berbuka dengan buah tamar sahaja dan tidak mengikuti dengan nasi serta lauk pauk atau kuih muih. Kawalan berbuka seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. mungkin terlalu susah bagi kita ummat Muhammad di abad 21 untuk mencontohi. Tetapi jika kita beringat, perkara ini akan menyenangkan kita untuk mengawal nafsu makan.

Bagi tujuan mengawal pengambilan kuantiti makanan atau minuman secara berlebihan, kita perlulah bersederhana semasa menghidang juadah berbuka dan makan sahur. Jika banyak yang dihidang dari anika jenis dan rasa, sudah tentulah sukar untuk mengawal apa yang sudah ada di depan mata. Kita harus mengambil peluang ini untuk berjimat khususnya bagi belanja ke atas makanan pada bulan puasa. Oleh itu bilangan dan kadar makanan harus dihadkan. Begitu juga dengan air minuman. Sediakan air minum dari bahan semula jadi serta elakkan menggunakan gula putih, sirap, pewarna dan perasa tiruan. Sebagai gantian kepada gula putih, anda boleh guna gula merah, madu lebah atau jus buah asli.

Amalan yang baik untuk menyenangkan pembuangan air besar ialah dengan meminum air yang yang ditambah dengan kembang semangkuk dan biji selaseh serta getah anggur semasa berbuka. Selain dari membantu membuang air besar, ramuan ini juga mencuci usus. Elak juga kopi dan teh kerana minuman ini mempunyai kafein yang boleh memberi banyak rangsangan kepada saraf dan jantung semasa berpuasa. Kafein juga memberi rangsangan kepada perut menyebabkan peengeluaran asid hydroklorik secara berlebihan, dan ini boleh menyebabkan keadaan pedih perut atau gastrik.

Protein binatang adalah makanan yang paling komplex dan susah untuk dihadamkan. Ia juga adalah makanan yang mempunyai kandungan bahan buangan yang paling banyak. Keadaan ternakan dan cara yang diamalkan sekarang menyebabkan protein binatang menjadi bahan yang paling tercemar dengan bahan kimia dan berbagai jenis racun termasuklah kuman, hormone, antibiotik dan logam-logam berat serta racun serangga dan lain-lain lagi. Untuk menambah manfaat puasa adalah wajar kita kurangkan memakan protein binatang semasa puasa. Sebagai gantian, kita boleh makan banyak protein sayur dalam bentuk kekacang seperti kacang dhal, kacang soya, kacang hijau, kacang merah dan lain lain. Walaupun protein di dalam sayur tidak lengkap, dengan mempelbagaikan sayuran dan mencampurkan jenis yang dimakan, ia akan melengkapkan diantara satu sama lain. Bagi memudahkan kefahaman, saya bahagikan proses puasa (bulan Ramadhan) kepada:-
  • Fasa Pertama ( 2 – 3 hari berpuasa )
  • Fasa Asidosis ( 3 – 14 hari seterusnya )
  • Fasa Akhir ( 14 hari hingga akhir Ramadhan )
Fasa Pertama (Masa : 2 – 3 hari pertama berpuasa)

Gejala : Perut lapar, badan letih, cepat marah – gejala disebabkan kadar glukosa dalam darah rendah. Di dalam fasa pertama inilah sipuasa terasa amat terduga dan inilah yang paling susah hendak dilalui sebab badan belum biasa dangan keadaan perut kosong dan rutin baru yang di amalkan oleh sipuasa.

Fasa Asidosis (Masa : hari ke 3 – 14)

Kurang selera makan, senang gelap mata, nafas berbau, lidah menjadi `putih` atau berdaki - akibat keadaan ketosis ini gejala yang mungkin dialami oleh sipuasa. Untuk menangani fasa ini, iaitu keadan di mana sipuasa mengalami tekanan darah rendah dan senang gelap mata, sipuasa dinasihatkan tidak berdiri atau bangun dengan tiba tiba. Jika dari baring hendak berdiri, kenalah duduk dulu seketika sebelum bangun. Sipuasa tidak perlu menghentikan aktiviti jasmani atau perkerjaan sebab fasa ini tidak bererti badan menjadi lemah. Bekalan lemak seorang yang berbadan sederhana adalah cukup untuk beberapa bulan dan yang berbadan gemuk mempunyai bekalan lebih dari itu!

Di fasa ini badan mulai mengambil lemak sebagai bahan bakar dan tidak karbohidrat disebabkan bekalan karbohidrat sudah berkurangan. Keadaan ini hanya akan dihasilkan jika pengambilan makanan sipuasa kurang dari keperluan badan. Jika sipuasa mengurangkan penggunaan tenaga atau melebihkan rehat serta memakan berlebihan dan menukar aktiviti / jadual hariannya , keadaan ketosis ini tidak akan terhasil. Fasa ini adalah fasa pembuangan toksin dan bahan kotor dari badan. Gejala-gejala yang dihadapi berpunca dari pembuangan toksin ini. Lagi banyak toksin di dalam badan, lagi lamalah keadaan ini akan berlarutan. Jika anda mengesyaki badan anda mengandungi banyak toksin (selalunya orang yang berbadan gemuk, banyak memakan barang yang tercemar, banyak memakan ubat jenis `drugs', mengidap sembelit atau buang air besar jarang-jarang, mengidap penyakit yang berpunca dari toksin seperti sesetengah jenis penyakit artritis), anda boleh kurangkan kesan asidosis ini dengan membuat persediaan yang rapi dan latihan pra-puasa yang baik. Jika tidak, mungkin badan tidak mendapat sepenuhnya manfaat puasa dan mungkin membawa mudharat kepada hati yang terpaksa menanggung beban pembersihan toksin.

Fasa Akhir (Masa : Dari 14 – akhir puasa Ramadhan)

Gejala : Lidah jadi bersih, nafas hilang berbau, selera makan baik, tenaga mula pulih, kadar glukos kembali normal. Mental, emosi dan badan semakin `optima` dan anda menjadi `orang baru`. Keadaan puasa begini hanya dicapai oleh mereka yang benar-benar mengawal makan dan minum supaya proses `asidosis & ketosis` didalam badan berjalan lancar. Seperti yang disebutkan tadi, persediaan sebelum puasa akan dapat mengurangkan gejala-gejala yang dihadapi semasa puasa Ramadhan. Persediaan pra-puasa ini bertujuan membersihkan hati dan mengoptimakan fungsinya serta dapat mengurangkan toksin didalam badan.

Tanda-tanda seseorang itu mempunyai banyak toksin di dalam badan atau mempunyai hati yang fungsinya kurang optima, ialah:
  • mengidap sakit kepala bila ia terlepas waktu makan
  • sembelit
  • sukar menghazamkan lemak
  • mengantuk selepas makan.
  • kerap kembung perut
  • mulut terasa pahit
  • jerawat dan ruam atau kulit kering
  • gemuk
  • nafas berbau
  • alahan makanan
  • masalah penghazaman
  • selalu merasai tekanan emosi, baran, cepat marah, sensitif
Semoga maklumat yang diberi sedikit sebanyak dapat membantu kita secara fizikal dalam menghadapi bulan Ramadhan yang akan tiba tidak berapa lagi, dan seterusnya sentiasa sihat dan cergas dalam melakukan ibadah-ibadah sepanjang Ramadhan.

Sumber: http://www.tepaksirehblog.com/

Iktibar Sejarah Andalusia: Teladan dan Sempadan


Jika diteliti dari sudut perkembangan dan kemajuan Islam di Andalusia, jelas menunjukkan bahawa pemerintahan Islam telah mementingkan kemajuan intelektual dan keilmuan di samping perkembangan industri dan pertanian.

Namun, disebabkan beberapa masalah dalaman yang berlaku, pemerintahan Islam akhirnya tidak dapat bertahan dan terpaksa menyerahkan penguasaan mereka selama hampir 8 abad itu kembali kepada Kristian.

Antara punca yang dilihat melemahkan umat Islam ketika itu dan boleh dijadikan iktibar kini ialah:

Perebutan kuasa dikalangan pemimpin yang mentadbir wilayah.

Ini dapat dilihat pada peringkat awal pemerintahan Andalusia di mana para pemimpin sering berselisih dalam hal ehwal pentadbiran. Gangguan dari dalam ini telah menyebabkan ketidakseimbangan berlaku. Di antara pergolakan itu berupa perselisihan di antara elite penguasa, terutama akibat perbezaan ras dan etnik. Disamping itu, terdapat perbezaan pandangan antara khalifah di Damsyik dan gabenor Afrika Utara yang berpusat di Kairawan. Masing-masing mengaku bahawa merekalah yang paling berhak menguasai Andalusia ini. Oleh kerana itu, tidak hairanlah penggantian pemerintah atau wali (gabenor) berlaku lebih daripada dua puluh kali dalam jangka waktu yang amat singkat. Perbezaan pandangan politik itu menyebabkan seringnya terjadi perang saudara sesama mereka lalu merencatkan pembangunan tamadun umat di sana.
  1. Tidak mempunyai sifat ketaatan kepada kepimpinan sehingga mereka tidak mahu mengikut nasihat khalifah. Akhirnya, anasir-anasir tidak puas hati itu membawa kepada perancangan untuk merampas kekuasaan dikalangan umat Islam, sedihnya dengan melibatkan kerjasama dengan pihak musuh.
  2. Wujudnya golongan yang ingin menghancurkan mereka dari dalam seperti golongan yang ingin bekerjasama dengan musuh tanpa mengambil kira untuk memperkuatkan ikatan dalaman sesama mereka.
Manakala kejayaan mereka yang boleh dijadikan iktibar ialah:
  1. Andalusia telah membuka ruang untuk memastikan supaya sekiranya kita ingin sentiasa maju ke hadapan, kita harus bersikap terbuka kepada pemikiran-pemikiran kreatif dan idea-idea yang inovatif. Mereka telah mencapai kejayaan dari segi sains dan teknologi kerana menggalakkan suasana intelek dan tidak rigid dengan kemasukan ilmu-ilmu moden.
  2. Kecemerlangan Andalusia dalam bidang pertanian dan industri memungkinkan kita untuk mempertingkatkan kemajuan dalam bidang ini dengan bantuan teknologi maklumat, dan mengambil nikmat bioteknologi untuk dikembangkan dalam sektor ini agar pertanian tidak lagi dipandang enteng.
  3. Lahirnya ilmuwan seperti Ibn Bajjah (1082 – 1138M), Ibn Zuhr (1091 – 1162M) dan lain-lain menuntut kita melahirkan cendikiawan Muslim yang versatile, mahir dari segi ilmu turath dan juga ilmu moden yang mampu untuk meninggalkan jejaknya yang tersendiri di dunia ini. Generasi ilmuwan moden ini harus dibina jati diri mantap agar memberi manfaat kepada pembangunan negara.
  4. Ketamadunan yang dibina telah meninggikan Eropah yang pada waktu tersebut berada pada zaman kegelapan. Bandar Cordova di Andalusia dilihat sebagai Bandar yang terulung dikalangan Negara-negara Eropah yang lain dan mereka telah memajukan intelektualisme dari aspek falsafah, senibina, matematik, teologi, perubatan dan banyak lagi sehingga Islam gambarkan begitu kehadapan dalam soal ini. Mereka dapat measimilisasikan Islam dengan falsafah dan pusat kecemerlangan Greek sehingga ia menyumbang kepada keseluruhan negara Barat yang didominasi kaum Kristian.
Kejayaan mereka membina tamadun dalam keadaan mereka mempunyai kepelbagaian bangsa dan penganut agama samawi juga sesuatu yang unik. Sudah pasti ia ada kaitan dengan kefahaman terhadap ajaran Islam yang dipraktikkan dalam bentuk siyasi. Rujukan tentunya terhadap contoh-contoh awal yang ditunjukkan oleh Khalifah Islam dalam memberi dan menjamin hak asasi setiap penganut agama yang mana mereka boleh hidup aman damai di bawah pemerintahan Islam. Contoh-contoh jaminan ini terus dilaksanakan sehingga ke wilayah pemerintahan Andalusia. Oleh sebab itu kita dapat menyaksikan sejarah di mana umat Islam, Kristian dan Yahudi saling membantu mewujudkan suasana keilmuan yang baik terutama di Cordova. Ini kelihatan begitu relevan dengan negara kita sekarang yang mempunyai kepelbagaian latar bangsa dan penganut agama. Oleh itu, demi mencapai puncak kemajuan, kerjasama antara kaum ini harus diberi tumpuan yang wajar bagi meningkatkan kerjasama dan kefahaman dikalangan rakyat yang ada.

Penutup

Kecemerlangan Tamadun Islam Andalusia berakhir tanpa dapat dipertahankan oleh umat Islam. Ia jatuh di bawah pemerintahan kerajaan Sepanyol dan kekal sehingga hari ini. Kesan peninggalan itu masih boleh dibanggakan walaupun hakikatnya tiada apa yang dapat diperolehi oleh umat Islam hasil peninggalan tersebut. Kejatuhan Andalusia kelihatan tidak memungkinkan ia kembali ditadbir oleh umat Islam. Pengalaman pahit ini harus dipelajari agar umat zaman kini tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan pada ketika dahulu. Sejarah Andalusia itu sudah tidak dapat diperbaiki untuk manfaat wilayah itu, namun pastinya pengalaman atau pengajaran dapat diperolehi bagi manfaat generasi kini. Walau bagaimanapun, kesediaan Eropah membuka kembali pintu pada abad moden ini dan memberi peluang kepada bangsa-bangsa lain berada di wilayah mereka telah sedikit sebanyak menyaksikan kemunculan kembali umat Islam di Eropah, termasuk di Andalusia.

Pada hari ini, bilangan umat Islam di Andalusia semakin bertambah.22 Walaupun pihak bukan Islam sedaya upaya seakan ingin mentalqinkan terus umat Islam di barat, tetapi nampaknya Islam semakin mendapat tempat dihati masyarakat Eropah. Jelaslah maksud ayat al-Quran surah al-Saff bahawa:

”mereka yakni orang-orang kafir berusaha untuk memadamkan cahaya Allah swt, namun Allahswt terus menyempurnakan cahaya-Nya walaupun orang-orang kafir itu benci.”

Sumber: http://www.perjalanansuci.com/

Monday, August 6, 2012

UNTUKMU ADAM DAN HAWA


Adam..

Kau bilang dirimu hebat dan kuat ibarat pahlawan,
Gagah perkasa seperti Badang,
Kau gunakan Hawa sebagai umpan,
Untuk membuktikan kelelakianmu yang hanya temberang.

Hawa..

Kau bangga dengan kecantikan lahiriah yang ada padamu,
Kau sanjung tinggi Adam yang terpikat dengan keindahan rupamu,
Kau tersenyum manis saat Adam melihat lenggok tubuhmu,
Tapi kau marah dan benci bila ada segelintir Adam yang menegurmu.

Adam..

Kadangkala kekacakan yang ada padamu,
Bisa membuat Hawa lemah dan cair ibarat ais terkena api,
Hati yang rapuh mudah luluh dan tunduk pada nafsu,
Jiwa yang halus mudah pula jatuh hati.

Hawa..

Iblis menggunakanmu sebagai umpan untuk memerangkap Adam,
Ambillah kesempatan ini untuk memperdayakan Iblis,
Selamatkanlah Adam dari cengkaman api yang tidak akan terpadam,
Jatuhkanlah musuh Islam dengan akal satumu yang genius.

Adam..

Kata-kata manis nistamu bisa menggoda sanubari Hawa,
Senyum nakalmu membuatkan Hawa semakin suka,
Lembutmu dalam berbicara membuatkan Hawa senang mendekatimu,
Sikap prihatinmu menjadikan Hawa tergilakan perhatianmu.

Hawa..

Sikap tak endahmu menjadikan Adam berani terhadapmu,
Berani mengambil peluang untuk menyentuh maruahmu,
Ketidaktegasanmu membuatkan Adam semakin suka akan dirimu,
Hingga kau pun hanyut dengan dunia cinta palsu.

Adam..

Kau bilang akalmu sembilan mengalahkan nafsumu yang satu,
Gunakanlah akalmu itu untuk mendidik nafsumu yang boleh membinasakan Hawa,
Cerdikkanlah akalmu itu dengan berjihad menentang nafsu,
Agar Hawa terpelihara sentiasa dalam jagaan taqwa.

Hawa..

Lenggok tubuhmu bisa membuat Adam terpaku dan mata menjadi sepi,
Lembut suaramu bisa mencairkan hati lelaki Adam,
Longgarkanlah pakaianmu agar tubuhmu tertutup rapi,
Tegaskanlah suaramu supaya syaitan tidak berpeluang merasuk Adam.

Oleh itu Adam..

Bersikap tegaslah dengan Hawa dalam setiap urusanmu,
Kau harus kuat dan sabar dalam membimbing Hawa yang semakin liar,
Kau harus terus berjuang menentang hawa nafsumu,
Agar nafsu Hawa tidak terus-terusan menular.

Adam..

Di mana imanmu saat matamu melihat Hawa berpakaian tidak cukup kain?
Di mana kau letakkan Allah saat hawa nafsu menjadi Tuhanmu?
Hawa meminta agar kau bersikap tegas dan berani dalam perjuangan,
Agar Hawa takut untuk menggoda dan mendekatimu.

Begitu juga Hawa..

Di mana malumu saat kau menayangkan perhiasanmu kepada ajnabi?
Di mana taqwamu saat syaitan menempiaskan bisikannya untuk menggoda Adam?
Adam menyeru agar kau pelihara maruahmu supaya tidak dicemari,
Agar kawalan nafsu sentiasa berada dalam pegangan iman Adam.

Hawa..

Mahalkanlah senyummu yang bisa menawan hati lelaki,
Jagalah dan peliharalah aurat dan maruah dirimu,
Untuk membentengi nafsu yang sangat dibenci,
Agar kau suci terpelihara saat Adam datang menyuntingmu.

Hawa..

Memang Adam mudah cair dengan keanggunan wajahmu,
Namun, itu bukanlah yang Adam impikan,
Adam mengimpikan Hawa yang kuat pegangan agama sebagai penyuci kalbu,
Adam juga menginginkan Hawa yang sopan berpakaian dan memelihara pandangan.

Untukmu Adam :

Jadilah Adam yang berpendidikan tinggi dalam bab agama agar bisa membimbing Hawa dari menjadi mangsa godaan syaitan. Jadilah Adam yang murah dengan kata-kata nasihat dan teguran yang boleh memperbaiki Hawa. Jadilah Adam yang sentiasa berjuang menentang nafsu dan memelihara dirinya untuk Hawa tercinta, iaitu, isteri. Jadilah juga Adam yang bertanggungjawab menjadi ketua keluarga, imam dalam solat jemaah dan pemimpin agama seperti yang diimpi oleh kebanyakan Hawa.

Untukmu Hawa :

Jadilah Hawa yang tinggi dengan didikan agama, merendah diri dengan akhlak mulia dan baik hati. Jadilah Hawa yang malu dan menjaga aurat serta maruah diri dari sewenang-wenangnya ditonton oleh ajnabi. Jadilah Hawa yang sentiasa haus akan ilmu nasihat dan teguran sebagai persiapan menjadi Hawa yang solehah untuk suami tercinta. Jadilah juga seorang Hawa yang bisa menjadi anak, ibu dan isteri solehah serta hambaNya yang beriman dan bertaqwa seperti yang diidami oleh kaum Adam.

Sumber:wana96.wordpress.com

Al-Quran, Solat, Ingat Mati Pancar Cahaya Menyinari Hati


CAHAYA yang menyinari hati bersumber pada tiga pancaran, iaitu cahaya al-Quran, sembahyang dan mengingati mati.

Al-Imam Al-Ghazali berkata: “Carilah hatimu di tiga tempat. Pertama ketika membaca al-Quran, kedua ketika sembahyang dan ketiga ketika engkau mengingati mati. Jika pada tiga tempat itu kamu tidak menemukan hatimu maka pohonkanlah kepada Allah agar Ia memberimu hati kerana sesungguhnya kamu ketika itu tidak memiliki hati.”

Kejayaan seseorang bergantung pada usahanya mengenal Allah, dan tiada jalan yang paling dekat untuk mengenal Allah selain mempelajari al-Quran. Dunia hanya boleh direbut dengan kekuatan dari Allah, tanpa bergantung kepada-Nya manusia tidak akan mendapat apa yang diimpikan.

Kejayaan ialah sejauh mana seseorang mengikat dirinya dengan Allah Taala dengan ikatan yang kuat. Maka al-Quran yang menjadi ikatan antara hamba dengan Allah Taala. Melaluinya seseorang pandai memilih yang hak dari yang batil, dia mengetahui jalan terang dan mengikuti petunjuk al-Quran.

Meneroka dunia dan mengurus diri dan masyarakatnya melalui bimbingan wahyu. Dia lahir menjadi manusia yang jujur, kuat bekerja dan memiliki misi jelas dalam hidupnya kerana diniatkan segala pekerjaan itu sebagai ibadah kepada Allah.

Siapa yang bergantung kepada selain Allah dia tidak akan mendapat faedah dari pergantungannya itu. Ibnu al-Qayyim berkata: “Ketika manusia bergantung kepada dunia, gantungkanlah dirimu hanya kepada Allah. Ketika manusia bergembira kerana dunia, jadikanlah dirimu bergembira kerana Allah. Ketika manusia mencari bahagia dengan kekasih-kekasih mereka, carilah bahagia dengan mencintai Allah dan ketika manusia pergi menghadap raja-raja dan pembesar mereka pergilah menuntut hajatmu hanya kepada Allah.”

Sesungguhnya ibadah yang menghampirkan manusia dekat kepada Allah adalah sujud, permintaan yang tidak akan ditolak adalah doa yang ikhlas dan proses pembersihan dosa yang dilakukan terus-menerus adalah sembahyang.
Sembahyang adalah sumber tenaga yang diperlukan untuk menghadapi perjalanan hidup yang mencabar. Sembahyang yang berkualiti boleh melahirkan jiwa yang reda sekali gus kuat berikhtiar semata-mata mahu berlumba melakukan amal saleh dan membina kehidupan di dunia.

Antara tanda kebijaksanaan orang mukmin ialah pandai merancang masa depan. Bukan hanya pandai melipatgandakan harta dan membina istana tetapi jauh pandangannya hingga menembusi alam akhirat.

Pernahkah anda merancang bagaimana menghabiskan masa muda dan melewati masa tua dengan ketinggian ilmu dan persediaan amal, akhirnya merancang untuk mati dengan tenang? Mengingati mati boleh menghidupkan hati, menyuntik semangat untuk beramal lebih baik dari kelmarin, menumbuhkan rasa takut dan harap kepada Allah seterusnya menggugah hati sentiasa bertaubat.

Jika ramai manusia berlumba-lumba menghadiri pesta keriangan, memenuhi pasar dan mengunjungi tempat peranginan indah, tidak salah jika kita menjadikan ziarah kubur sebagai aktiviti rutin yang boleh mengingatkan diri kepada kematian seperti Rasulullah SAW yang melazimi ziarah kubur dan mendoakan kaum muslimin tidak kira siang ataupun malam hari.

Dengan membaca Al-Quran, solat dan mengingati mati seorang mukmin telah melakukan penjagaan yang rapi terhadap hatinya. Bagaimanakah pula keadaan orang yang tidak memiliki ketiga-tiga cahaya hati ini? Mesti hidupnya hampa, jika kaya pasti merana, miskin pula terseksa, jika jahil tersesat, kalau alim ilmunya pula tidak bermanfaat.

Sumber: http://www.bharian.com.my/

Thursday, August 2, 2012

CAP dakwa penggunaan talipon bimbit boleh akibatkan mati pucuk.


GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menasihatkan kaum lelaki berhati-hati ketika menggunakan telefon bimbit kerana berpotensi mengurangkan sperma lelaki sekaligus mengakibatkan mati pucuk.

Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, kajian mendapati pengguna yang membuat panggilan dari telefon bimbit lebih daripada empat jam sehari mempunyai jumlah sperma paling kurang dan paling rendah kualitinya.

“Satu lagi kajian menunjukkan lelaki yang menyimpan telefon bimbit dalam poket seluar juga menghadapi risiko kerosakan sperma,” katanya di sini, semalam.


Menurutnya, kaedah penyimpanan dalam poket itu akan menghadapi pendedahan Frekuensi Radio (RF) lebih tinggi kerana antena biasanya berada di belakang dan hampir dengan badan.

“Doktor percaya kerosakan itu mungkin disebabkan radiasi elektromagnetik telefon bimbit atau haba dihasilkan,” katanya.

Katanya penggunaan telefon bimbit secara berlebihan menjadi satu lagi faktor menyumbang kepada penurunan sperma selain obesiti, merokok dan tekanan.

Sementara itu, katanya, pengeluar telefon bimbit sudah mengeluarkan amaran mengenai risiko penggunaan telefon bimbit terhadap kesihatan.

“Misalnya, syarikat Apple dalam buku panduannya memberi amaran kepada pengguna supaya menjauhkan iPhone dalam jarak sekurang-kurangnya 15 milimeter dari tubuh,” katanya.

Sehubungan itu, CAP menasihati orang ramai menggunakan ‘speakerphone’ supaya telefon berada dalam jarak 20 sentimeter daripada kepala.

Sebelum ini, CAP menggesa kerajaan melancarkan kempen untuk mendidik dan memberi peringatan kepada orang ramai mengenai bahaya pendedahan kepada radiasi akibat penggunaan telefon bimbit.

“Hasil kajian terkini Hospital Universiti di Orebro, Sweden menunjukkan penggunaan telefon bimbit selama 10 tahun atau lebih boleh meningkatkan risiko tumor otak,” katanya.

Katanya, kajian yang diketuai Profesor Lennart Hardell itu menjelaskan ia berlaku memandangkan jarak otak yang hampir dengan antena radiasi dan berpotensi menyerap sejumlah tenaga elektromagnetik.

“Menurut kajian itu, bagi setiap tahun penggunaan telefon bimbit, tumor otak meningkat sebanyak lapan peratus dan selepas lebih 10 tahun, terdapat 280 peratus risiko tumor otak,” katanya.

Tuesday, July 24, 2012

Hikmah Puasa Secara Saintifik


Para penyelidik ilmu perubatan telah membuktikan bahawa puasa dapat membuang toksik / racun2 dari badan dan secara tidak langsung dapat meningkatkan sistem imunisasi tubuh dalam melawan penyakit.
“Puasa adalah seperti tongkat ajaib yang dapat menyembuhkan penyakit yang membabitkan perut.” – Dr. Mac Fadon, seorang doktor dari Amerika

Dalam ilmu biologi, otak tidak dapat berfungsi dengan baik ketika perut dan usus melakukan proses pencernaan, kerana tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada kerja-kerja penghadaman makanan. Apabila kita makan sampai terlalu kenyang, otak kita akan menjadi lemah untuk berfikir dan tubuh pun akan rasa mengantuk dan malas. Ketika berpuasa, tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada otak. Ini menjadikan otak dapat bekerja dengan lancar dan memberi peluang kepada diri kita untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang menggunakan mental dan fizikal yang berkesan.

Dr. Alan Cott, Seorang pakar perubatan Amerika Syarikat melaporkan terhadap penyelidikan psikologi membuktikan bahawa puasa mempengaruhi darjah kecerdasan seseorang. Ujian dilakukan terhadap sekumpulan orang yang rajin berpuasa dan sekumpulan orang yang tidak berpuasa. Keputusannya, ternyata menunjukkan bahawa orang yang rajin berpuasa memperolehi skor (markah) yang jauh lebih tinggi dalam ujian berbanding dengan orang yang tidak berpuasa.

Puasa juga insyaAllah dapat menyembuhkan pelbagai penyakit. Suatu kongres antarabangsa bertemakan “Kesihatan dan Ramadhan” telah diadakan di Casablanca, Morocco pada tahun 1996. Pakar-pakar perubatan dari seluruh dunia telah membentangkan lebih kurang 50 kajian ketika itu. Kesemua kajian itu mengesahkan puasa mampu mencegah serta menyembuhkan pelbagai jenis penyakit yang dihidapi manusia. Kesimpulan kongres itulah yang menekankan 4 fadhilat berpuasa dari sudut kesihatan yang jelas iaitu, menurunkan gula darah, tekanan darah, lipid darah dan berat badan

Saranan Rasulullah S.a.w , sahabat dan ulama’ berkenaan puasa

Rasulullah S.A.W bersabda “Berpuasalah supaya kamu sihat.” -Hadith Riwayat Abu Naiim
Sabdanya lagi yang bermaksud, “Puasa adalah pelindung” – Hadith Riwayat Muslim, Ahmad, dan an-Nasa`

Al-Imam At-Tirmidzi rahimahullah meriwayatkan hadits :
“ Tidaklah Bani Adam memenuhi kantung yang lebih buruk dari perutnya, hendaknya Bani Adam makan sekadar menegakkan punggungnya, jika tidak dapat tidak (terpaksa) maka makanlah sepertiga makanan sepertiga untuk minuman dan sepertiga untuk nafasnya.” – HR. Imam Tirmidzi
Manfaat lapar untuk kesihatan hati

Nasihat Luqman Al-Hakim kepada anaknya, “Wahai anakku, apabila perut dipenuhi makanan, maka gelaplah fikiran, bisulah lidah dari menuturkan hikmah (kebijaksanaan) dan malaslah segala anggota badan untuk beribadah.”

Abdullah bin Mas’ud berkata, “Empat perkara yang mengelapkan hati atau melembapkan otak : perut yang terlalu kenyang, berkawan dengan orang yang suka membuat maksiat, tidak insaf terhadap dosa-dosa yang lalu dan panjang angan-angan.”

Berkata Al-Hasan Al-Bashri rahimahullah :“Wahai Bani Adam, makanlah sepertiga perutmu, minumlah sepertiga perutmu dan biarkan sepertiga untuk bernafas dan berfikir.”

Beliau juga berkata :“Barangsiapa mampu menguasai perutnya maka dia akan mampu menguasai amal sholehnya.”

Rahsia-rahsia puasa dan syarat-syarat kebatinannya menurut Imam AlGhazali;
  1. Memejamkan mata dan menahannya dari meluaskan pemandangan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh menganggu hati, seperti melalaikannya dari berzikir dan mengingat kepada Allah.
  2. Memelihara lidah dari bersembang kosong, berbohong, mencaci maki, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan riya’.
  3. Memelihara pendengaran dari mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan haram pula didengarkan. Dan kerana itu jugalah Allah s.w.t telah menyamakan pendengaran kepada sesuatu semacam itu dengan memakan barang-barang yang diharamkan, sebagaimana dalam firmanNya yang bermaksud: “Mereka itu suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram.” (al-Maidah: 42)
  4. Memelihara seluruh anggota yang lain dari membuat dosa seperti tangan dan kaki dan memeliharanya juga dari segala yang dibenci. Demikian pula menahan perut dari memakan barang-barang yang bersyubhat waktu berbuka puasa. Apalah gunanya berpuasa dari makanan yang halal, kemudian dia berbuka pula, dia memakan makanan yang haram. Orang berpuasa seperti ini, samalah seperti orang yang membangunkan sebuah istana yang indah, kemudian dia menghancurkan sebuah kota. Rasulullah s.a.w bersabda: “Ada banyak orang yang berpuasa tetapi ia tiada memperolehi dari puasanya itu selain dari lapar dan dahaga (yakni tiada mendapat pahala).” Ada yang mengatakan bahawa orang itu adalah orang yang berbuka puasanya dengan makanan yang haram. Yang lain pula mengatakan orang itu ialah orang yang menahan dirinya berpuasa dari makanan yang halal, lalu ia berbuka dengan memakan daging manusia; iaitu mencaci maki orang kerana yang demikian itu adalah haram hukumnya. Ada yang mengertikannya dengan orang yang tiada memelihara anggota-anggotanya dari dosa.
  5. Janganlah membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun dari makanan yang halal, sehingga terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci oleh Allah s.w.t. daripada perut yang penuh dari makanan yang halal.
Artikel penuh Hikmah Puasa

Bersahur pelihara kesihatan, walau dengan seteguk air

BERSAHUR adalah amalan penting pada Ramadan walaupun hukumnya sunat sahaja. Andai kata hukum ini dikaitkan dengan hadis sahih, kita akan menyedari betapa pentingnya bersahur.
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud : “Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada berkat.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad, Tirmizi, Nasai dan Ibn Majah).
Melalui hadis ini, amalan bersahur dikaitkan dengan keberkatan dan keberkatan pula membawa makna rahmat, kebaikan serta restu Ilahi.

Amalan bangun sahur ini membezakan antara puasa orang Islam dengan puasa orang Yahudi dan Nasrani (ahli kitab). Hal ini disebut dalam sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, yang bermaksud : “Perbezaan di antara puasa kami dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) ialah adanya makan sahur.”

Sahur adalah satu rahmat dan berkat yang dikurniakan Allah ke atas umat Islam. Anjuran bersahur itu dapat dilihat lagi dalam hadis Nabi bermaksud: “Makanlah sahur, sekalipun dengan seteguk air.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Dalam hadis lain, kelebihan ke atas orang yang bersahur itu ialah seperti sabda Rasulullah bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan malaikatnya mengucapkan selawat (berdoa dan memohon daripada Allah akan keampunan dan keredaan) ke atas orang yang bersahur.” (Hadis riwayat At-Tabrani).
Selain disunatkan bersahur kita juga disunatkan untuk melambatkan waktu bersahur itu kerana amalan itu dilakukan oleh utusan Allah dan sahabat. Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sentiasa umatku dalam kebaikan selama mereka mahu bersegera berbuka puasanya dan mengakhirkan makan sahurnya.”

Melewatkan sahur bermaksud bersahur ketika menghampiri waktu Subuh. Berkaitan perkara ini, Zaid bin Thabit pernah berkata: “Kami pernah bersahur bersama nabi, kemudian kami bangun untuk melakukan solat (Subuh).

Zaid ditanya : “Berapa lama masa antara kedua-duanya (yakni antara makan sahur dan solat Subuh)?”
Berkata Zaid: “Sekadar membaca 50 ayat al-Quran.” (Hadis riwayat Bukhari)

Penekanan Nabi agar sahur dilewatkan dan tidak diabaikan amat signifikan lagi saintifik kerana ia menepati waktu bersarapan pagi. Kajian menunjukkan makanan paling utama dalam masa 24 jam ialah sarapan pagi.

BBC News pada 7 Mac 2003 melaporkan, bersarapan pagi penting untuk memelihara kesihatan seseorang berbanding mengambil makanan pada waktu lain. Kajian oleh Dr Mark Pereira dan rakannya dari Pusat Perubatan Harvard, mendapati mereka yang tidak bersarapan pagi berisiko tinggi menjadi gemuk, sakit jantung dan menghidap kencing manis.

Kajian sama juga menunjukkan, mereka yang sentiasa bersarapan pagi menanggung risiko 50 peratus lebih rendah diserang masalah kesihatan berkaitan lebihan kadar gula dalam darah berbanding yang jarang bersarapan pagi. Hal ini menjadi lebih penting kepada kanak-kanak yang berpuasa. Ini kerana kesan kanak-kanak meninggalkan sarapan pagi adalah lebih negatif disebabkan tubuh mereka yang kecil.
Kajian terkini menunjukkan apabila glukosa dalam darah menurun selepas bangun tidur dan keadaan ini berterusan kerana tidak bersarapan pagi, kanak-kanak akan menghadapi masalah memberi tumpuan kepada pelajaran.

Tambahan daripada itu, satu kajian oleh Dr Theresa Nicklas dari Kolej Perubatan Baylor dan rakannya ke atas 700 pelajar di Louisiana, menunjukkan mereka yang tidak bersarapan pagi menanggung risiko dua kali ganda mengalami kekurangan zat besi dalam darah. Keadaan ini akan menyebabkan penyakit anemia (penyakit berkaitan kekurangan hemoglobin dalam darah).

Hal ini dilaporkan oleh Kerry Neville dari Chicago Tribune pada 24 September 2001.
Justeru, secara umumnya, mereka yang berpuasa tanpa mengabaikan sahur, tidak akan mendapat kemudaratan daripada puasa mereka berdasarkan kajian itu. Lebih daripada itu, bersahur adalah ibadah kerana ia adalah sunnah dan waktu sahur juga masa yang dipenuhi keberkatan

Sumber: http://cikgufarizal.com/

Sagu Gula Melaka Pencuci Mulut Di Musim Panas Atau Waktu Berbuka


Ramai kata susah nak dapat consistency yang lembut apabila membuat sagu gula Melaka. Kalau ia kenyal, rasanya kurang enak. Ia harus lembut sahaja apabila ditelan. Tak perlu kunyah.

Mungkin ramai tahu buat sagu gula Melaka. Tetapi Kjee yakin ramai jugak tak tahu macam mana nak dapat hasil yang lembut dan licin masuk ke tekak.

Sebenarnya tak susah buat kalau kita ikut cara pembikinan yang betul. Sebelum ini ada orang beri Kjee resipi. katanya 1 cawan sagu, 2 cawan air. First time Kjee buat, jadi kenyal. Tak tahulah samada hamba allah tu berikan Kjee resipi yang betul.

Anyway, atas dasar tak pernah puas hati dengan kegagalan, Kjee buat kali kedua tetapi Kjee standy by air panas dalam cerek. Dan masa buat (kali kedua) Kjee main tambah jer air sehinggakan Kjee rasa dapat consistency yang betul.

Kemudian menyesal pulak apabila tidak sukat betul2 air yang ditambah tadi. Yalah, kita kan suka nak kongsi resipi dengan kengkawan. So tak bolehlah main hentam jer bagi resipi kan?

Anyway, kali ketiga, Kjee buat macam ni. Kjee rendam dulu sagunya lebih kurang setengah jam. Kemudian Kjee jerang air dalam periuk mengikut ratio 1:4. Maknanya 1 sagu dan 4 air. Apabila airnya mendidih, Kjee masukkan sagu yang telah direndam dan ditoskan.

Kacau pantas2 guna api sederhana selama kira-kira 7 minit atau sampai tidak kelihatan 'mata ikan'. Mata ikan itu ialah sagu mentah yang masih kelihatan dalam biji2 sagu yang sedang dijerang itu. Maknanya, kita kena adjust sendiri sampai sagu betul2 masak.

Lepas itu, padam api dan tuang ke dalam acuan2 kecil, ramekins ataupun dalam satu bekas yang besar. Kemudian sejukkan di luar sebelum dimasukkan ke dalam peti ais.

Ada orang makan sagu gula melaka dengan curahan santan dan gula melaka. Tai Kjee lebih suka makan dengan curahan susu cair (evaporated milk) dan gula Melaka yang telah dimasak menjadi sirap dan dibubuh daun pandan.

Hidangkan ia sejuk. Amat sedap makan di musim panas.

Sumber: http://www.dapurkakjee.com/

Pengertian Emosi


Perkataan emosi berasal dari bahasa latin, iaitu emovere, yang bererti bergerak menjauh. Bermaksud menyifatkan bahawa kecenderungan bertindak merupakan pekara mutlak dalam emosi.

Tentang Emosi, kadang kita cenderung menganggapnya sebagai reaksi berlebihan atas adanya prilaku kurang berkenan untuk kita terima, kerana banyak juga yang selalu mengaitkan kata emosi hanya dengan perasaan marah atau kecewa.

Menurut Daniel Goleman, emosi adalah suatu perasaan dan fikiran yang khas, keadaan psikologi dan biologi yang merupakan dorongan untuk bereaksi atau bertindak kerana adanya rangsangan baik dari dalam mahupun dari luar individu, dimana pekara tersebut mampu berupa; marah, sedih, bahagia, takut, jengkel, malu, terkejut, cinta, benci, puas.. yang secara keseluruhan merupakan respon atas stimulus yang di terima.

Dengan melihat lebih luas, boleh di katakan bahawa emosi adalah bukan sesuatu yang buruk, kerana sebagaimana di nyatakan oleh Aristoteles dalam The Nichomacea Ethics adalah bukan emosional yang menjadi masalah, tetapi lebih kepada bagaimana kita mampu mengekspresikan dan mengendalikan semua jenis emosi dan menguasai nya dengan kecerdasan, bahkan Nafsu jika di latih dengan baik akan menghasilkan impak baik.
.
Emosi berkaitan dengan perubahan fisiologi dan berbagai fikiran. Jadi, emosi merupakan salah satu aspek penting dalam kehidupan manusia, kerana emosi dapat merupakan motivator perilaku dan juga dapat mengganggu perilaku.

Beberapa tokoh mengemukakan tentang bermacam-macam emosi, antara lain Descrates. Menurut Descrates, emosi terbahagi bentuk iaitu : Desire (hasrat), hate (benci), Sorrow (sedih/duka), Wonder (hairan), Love (cinta) dan Joy (kegembiraan). Sedangkan JB Watson mengemukakan tiga jenis emosi, iaitu : fear (ketakutan), Rage(kemarahan), Love (cinta). Daniel Goleman (2002 : 411) mengemukakan beberapa bentuk emosi yang tidak jauh berbeza dengan kedua tokoh di atas, yaitu :
  1. Amarah : bengis, mengamuk, benci, jengkel, kesal hati
  2. Kesedihan : duka, sedih, muram, suram, melankolis, mengasihi diri, putus asa
  3. Rasa takut : cemas, gugup, khuatir, was-was, perasaan amat takut, waspada, tidak tenang, ngeri
  4. Kenikmatan : bahagia, gembira, riang, puas, senang hati, terhibur, bangga, lapang
  5. Cinta : penerimaan, persahabatan, kepercayaan, kebaikan hati, rasa dekat, bakti, hormat dan kemesraan
  6. Terkejut : terperanjat, terkejut
  7. Jengkel : hina, jijik, muak, mual, tidak suka
  8. Malu : malu hati, kesal
Seperti yang telah dihuraikan di atas, bahawa semua emosi menurut Goleman pada dasarnya adalah dorongan untuk bertindak. Jadi berbagai bentuk emosi itu mendorong individu untuk memberikan respon atau bertingkah laku terhadap stimulus yang ada. Dalam the Nicomachea Ethics pembahasan Aristotles secara filsafat tentang kebajikan, karakter dan hidup yang benar, tentangannya adalah menguasai kehidupan emosi kita dengan kecerdasan. Nafsu, apabila dilatih dengan baik akan memiliki kebijaksanaan; nafsu membimbing pemikiran, nilai, dan membantu kehidupan kita. Tetapi, nafsu  menjadi tidak terkendalikan, dan hal itu seringkali terjadi. Menurut Aristoteles, masalahnya bukanlah mengenai emosional, melainkan mengenai keselarasan antara emosi dan cara mengekspresikan (Goleman, 2002).

Menurut Mayer (Goleman, 2002) orang cenderung menganut gaya-gaya khas dalam menangani dan mengatasi emosi mereka, iaitu : sedar diri, tenggelam dalam permasalahan, dan pasrah. Dengan melihat keadaan itu maka penting bagi setiap individu memiliki kecerdasan emosional agar menjadikan kehidupan lebih bermakna dan tidak menjadikan kehidupan yang dijalani menjadi sia-sia.

Berdasarkan huraian tersebut, dapat disimpulkan bahawa emosi adalah suatu perasaan yang mendorong individu untuk merespon atau bertingkah laku terhadap stimulus, baik yang berasal dari dalam mahupun dari luar dirinya.

7 Khasiat Daun Kaduk Untuk Anda


Pokok kaduk (Piper Sarmentosum) lazimnya dijadikan sebagai tanaman hiasan di halaman rumah oleh kebanyakan daripada masyarakat kita. Mungkin juga ada di antara anda tahu sebenarnya pokok kaduk ni fungsinya bukan setakat hiasan semata-mata. Lebih-lebih lagi daunnya, kan?

Pokok Kaduk

Selain pucuknya yang sering dibuat ulam dan daunnya sebagai penyedap masak lemak, khasiat lain yang boleh anda manfaatkan terhadapnya adalah merawat;
  • sembelit
  • sakit gigi
    demam malaria
  • lemah dan sakit dalam tulang
Langkah-langkah merawatnya:
  1. Ambil sebatang pokok kaduk termasuklah bahagian akarnya.
  2. Bersihkan keseluruhan pokok kaduk tadi.
  3. Rebuslah pokok kaduk sehingga mendidih.
  4. Bila dah mendidih, biarkan air rebusan tadi hingga suam.
  5. Tuangkan air rebusan yang telah suam ke dalam gelas dan minumlah perlahan-lahan.

Selain daripada 4 penyakit di atas, masalah cacing dalam perut, batuk dan panau pun boleh dirawati. Cuma caranya yang berbeza sikit. Sebab kali ini anda hanya perlukan daun kaduk saja. Langkah-langkah untuk 3 masalah yang terkemudian ni akan saya nyatakan satu-persatu di bawah.

Cacing Dalam Perut

Daun Kaduk
  1. Ambil beberapa helai daun kaduk yang masih segar.
  2. Ramas-ramaskan daun tersebut.
  3. Kemudian, campurkan kesemua daun kaduk yang telah diramas dengan kira-kira sebaldi air.
  4. Akhir sekali, siramkan air tersebut ke seluruh badan anda.
Batuk
  1. Ambil beberapa helai daun kaduk dan bersihkannya.
  2. Kisar daun kaduk tadi hingga halus dengan mencampurkan sedikit air.
  3. Akhir sekali, sapukanlah pada bahagian leher anda.
Panau
  1. Ambil beberapa helai daun kaduk.
  2. Tumbukkan ia sampai lumat.
  3. Kemudian, sapukanlah pada kawasan tubuh badan anda yang mengalami panau.
Sumber: http://petuasejagat.blogspot.com/

Tidur Lena Diwaktu Malam

Kesukaran tidur di waktu malam seringkali dihadapi oleh golongan bekerjaya. Masa yang paling sesuai untuk merehatkan minda dan tubuh serta merenggangkan otot-otot kita yang saban hari bekerja adalah ketika tidur.

Jika kita tidak dapat tidur yang cukup, permulaan hari kita akan menjadi celaru dan kelak menggundang lebih banyak masalah.

Tidur yang paling sesuai untuk orang dewasa adalah selama 7-8 jam sehari.

Ikuti beberapa tips berkesan untuk mendapatkan tidur yang lena setiap hari!

Pemilihan tilam dan bantal


Pastikan anda memilih tilam dan bantal yang sesuai dan selesa. Jika anda ada duit lebih, apa salahnya laburkan untuk keselesaan di tempat tidur anda. Terdapat beberapa jenama pengeluaran bantal dan tilam diperakui keberkesanannya. Antaranya adalah Vono, Dreamland dan juga Kingkoil. Ikut keselesaan anda, saiz dan juga ketebalan kabusnya perlu diambil kira kerana ada sesetengah orang yang suka bantal lebih rendah dan lembut, ada juga yang gemarkan bantal ataupun tilam yang lebih keras dan tinggi untuk meletakkan kepala. Fahami kehendak sendiri sebelum anda membeli.

Elakkan tidur di waktu petang

Badan pasti terasa lesu setelah seharian bekerja dan memerah otak. Apabila sampai di rumah, elakkan daripada terus baring. Lebih elok jika anda bersihkan diri dan makan malam dahulu. Kerana jika anda sudah tidur di waktu petang kemungkinan besar, anda akan menghadapi kesukaran untuk tidur pada malam kerana anda tidak berasa mengantuk apabila anda tidur pada waktu petang.

Bersihkan diri

Sebelum tidur, pastikan keadaan diri anda sudahpun bersih dan segar selepas mandi sebelum anda tidur. Diri anda akan berasa lebih selesa untuk tidur dengan bauan kesegaran selepas mandi.

Jangan makan terlalu banyak 1 jam sebelum tidur

Waktu yang paling sesuai untuk makan malam adalah di sekitar jam 7 hingga ke 8 malam. Selepas dari masa yang dinyatakan, anda disarankan tidak mengambil makanan berat seperti nasi, mee goreng dan makanan berat yang lain kerana bukan sahaja tidak bagus untuk sistem pembakaran lemak, malahan badan anda akan terasa lesu keesokan paginya.

Minum segelas susu segar

Di dalam susu segar mengandungi satu bahan yang dipanggil tryptophan dimana berfungsi sebagai alat pembina protein yang akan menghasilkan hormon kegembiraan di dalam badan. Selepas meminum susu., badan anda akan berasa ringan dan lebih gembira untuk melelapkan mata. Jika kita dapat lihat, bayi kecil akan meminum susu mereka sebelum tidur dengan mudah.

Kosongkan fikiran

Masalah ini serinkali terjadi kepada mereka yang tertekan dengan kerja seharian. Untuk mengelakkan tidur anda terganggu, cuba tips ini, fikir perkara yang lebih seronok dari memikirkan masalah kerja dan sebagainya yang hanya akan menyukarkan tidur anda. Kosongkan fikiran, dalam 10 atau 15 minit selepas itu, anda pasti akan terlelap.

Sumber: http://my.entertainment.yahoo.com/