Tuesday, October 2, 2012

Tidak Tahan Tabiat Buruk Suami


SEUMPAMA laut yang ada pasang surutnya, begitu juga hubungan suami isteri, pasti ada berlaku perselisihan faham.

Justeru untuk memastikan agar perhubungan ini sentiasa berjalan dengan aman, pihak suami mahupun isteri perlu saling faham-memahami dan tidak melakukan apa yang tidak disukai oleh pasangannya.

Sebagai contoh misalnya, ada si suami yang pada masa bujangnya suka melakukan suatu tabiat atau amalan yang buruk sehingga terbawa-bawa ke alam rumah tangga, mengakibatkan pasangannya tidak tahan dengan sikapnya.

Kalau setakat sekali dua tidak mengapa, tetapi sekiranya tabiat tidak baik itu dilakukan setiap hari, sudah tentu membuatkan pasangannya tidak senang duduk, berlaku leteran, bebelan dan akhirnya mengundang ke punca perbalahan yang teruk.

Kali ini kita melihat apakah tabiat suami yang tidak disukai oleh isterinya.

Kurang pembersih

Suami meninggalkan bilik mandi dengan pelbagai barangan buangan tanpa dibersihkan. Sebenarnya tidak dapat dibayangkan bagaimana seseorang itu tidak mengendahkan kebersihan di dalam tandas di rumahnya sendiri dengan tidak mengepam tandas selepas menggunakannya. Apatah lagi untuk meringankan tulang membersihkan tandas. Itu jauh panggang dari apilah...

Lama dalam bilik mandi

Ada suami yang merokok, membaca surat khabar dan majalah dalam bilik mandi tanpa mengendahkan perasaan isteri yang juga mahu menggunakan bilik air. Biarpun nampaknya perkara seperti ini bukanlah satu masalah yang besar namun ia tetap membuatkan hati isteri terbuku geram.

Tuala basah atas katil

Ini adalah masalah yang selalu dilakukan oleh suami yang pastinya akan disudahkan oleh isterinya dengan seolah-olah sengaja memberitahu, sebaik sahaja dia bersiap: ''Isteri ku tolonglah sidai tuala yang kugunakan".

Baju kotor merata tempat

Selepas balik kerja, suami dengan sengaja menanggalkan bajunya dan meninggalkan atas di sofa, atas lantai, atas baju yang telah siap dibasuh atau di mana sahaja sesuka hatinya dan mengharapkan isteri yang akan mengutip pakaian kotor itu nanti.

Suami gelojoh

Suami makan cepat-cepat dan tertumpahkan makanan di serata tempat dan dia tiada masa untuk mengelap atau mengemaskannya semula. Jadi sebagai isteri kita yang akan menjadi tukang lap apa sahaja yang tertumpah seolah-olah memberi makan kepada anak kecil.

Tak beri jawapan tepat

Apabila diajukan soalan seperti bila abang akan pulang, jawapan yang diberikan acuh tidak acuh sahaja. Ini pastinya mendatangkan masalah apabila si isteri mula mengesyaki sesuatu dan menimbulkan hubungan tidak percaya dalam rumah tangga.

Stokin busuk merata


Stokin busuknya tidak dikeluarkan dari kasut atau dibaling ke bawah almari menyebabkan bau yang tidak enak dalam rumah. Bila ditanya di mana stokin, jawapannya: ''Tidak tahu. Stokin ada dalam mesin basuh."

Pelupa

Biarpun seberapa banyak salinan kunci telah dilakukan, suami asyik menghilangkan kuncinya dan menghilangkan pula kunci yang dipinjam dari isterinya. Bukan setakat kunci malah barang-barang kecil lain juga suami boleh lupa di mana diletakkannya yang boleh menyebabkan isteri naik angin.

Pengotor

Suami merokok di dalam bilik tertutup dengan abu rokok bersepah-sepah atau 'ditadah' dalam gelas, mangkuk kesayangan isteri atau pinggan kaca yang perlu dibasuh semula.

Membantu 'mengecahkan' dapur

Suami menyatakan ingin membantu di dapur tetapi pasti pada akhirnya akan bertukar menjadi satu mimpi buruk apabila dia hanya 'membantu' memasak dan tidak pernah kata dia akan membantu untuk 'membersihkan' dapur yang disepahkannya.

Sumber: http://utusan.com.my/

Isteri tertekan suami pemalas


SAYA berkahwin dengan K tiga bulan lalu atas dasar suka sama suka. Kini saya hamil dua bulan. Sebaik berkahwin, kami tinggal bersama ibu bapa saya. Pada mulanya saya berasa tiada masalah serta bahagia.

Namun, kebelakangan ini saya kurang senang dengan sikap suami yang berat tulang membantu saya serta ibu bapa dalam urusan rumah.

Ibu menyuruh saya menegur suami yang kurang prihatin kerana enggan membantu saya membuat kerja rumah seperti membasuh pinggan, mengemas meja makan serta membasuh kain.

Bukan apa, ibu bapa bimbang suami kurang peka dengan keperluan saya ketika mengandung apabila urusan kecil begini pun dia mengelak untuk membantu.

Ada ketikanya bapa saya pula lebih mengambil tahu urusan saya berbanding suami yang lebih senang duduk dalam bilik.

Bapa kerap membantu mengangkat pinggan saya serta membantu menyediakan meja setiap kali makan malam.

Saya menjadi segan dan malu dengan perangai suami yang tidak ubah seperti pelajar sekolah menengah yang gemar menghabiskan masa di bilik berbanding berbual dengan orang tua saya.

Dia juga banyak menghabiskan masa bermain permainan video. Perangainya begitu kebudak-budakan dan saya percaya ini kerana suami anak bongsu dalam keluarganya.

Saya menjadi serba salah bagaimana untuk menegur suami yang sensitif serta dalam pada sama mahu dirinya berubah sebelum anak kami dilahirkan.

AINI
Jitra, Kedah


Benar seperti dikatakan ibu bapa saudari. Melihat saja sikap suami gemar memberi perhatian perkara lain selain diri saudari menyebabkan mereka bimbang.

Pandangan orang tua yang lebih banyak pengalaman tidak boleh dipandang ringan dan puan sebagai isteri perlu tangani suami sensitif dengan sebijak-bijaknya.

Terutama memikirkan puan bakal melahirkan anak menuntut perhatian suami lebih daripada biasa kerana dia bukan saja perlu menjaga keperluan puan, malah anak.

Perkara perlu puan lakukan bermula dengan pendekatan lembut serta halus berbanding mengarah serta tampak menyuruh, selain meminta suami membantu setiap kali puan memerlukannya.

Pinta dengan elok supaya dia ringan tulang untuk membantu berbanding membebel kerana ia menyebabkan sikapnya yang keanak-anakan memberontak serta berat hati untuk membantu ketika bersama.

Andainya dia enggan, guna pendekatan memujuk rayu supaya dapat meraih simpati suami yang tidak mahu membantu serta tidak simpati melihat isteri.

Selain itu, ketika berdua, ambil peluang berbual mengenai perancangan dan berbincang mengenai pembahagian sementara menanti kelahiran anak.

Luahkan kebimbangan dengan sikapnya kini seperti kelihatan kurang mengambil berat bakal mengundang pelbagai masalah sebaik bayi dilahirkan.

Sumber: http://www.bh.com.my/

Suamiku Pemalas!


“Suami sejak awal berkahwin sememangnya sangat berat tulang dalam membantu saya menguruskan rumah tangga. Saya tertekan dengan sikapnya itu. Apakah benar kata orang, sikap pemalas yang dimiliki suami berasal daripada didikan ibunya sewaktu zaman kanak-kanak yang tidak mendidiknya agar berdikari?

Pandangan Kaunselor:

Pepatah Melayu ada menyatakan; bagaimana acuan begitulah juga bentuk kuihnya. Tetapi ramai yang terlupa, ada tikanya kuih yang dibentuk oleh acuan tidak kekal bentuknya disebabkan adunan bahan yang ada tidak tepat menyebabkan bentuk berubah terus berbeza daripada acuan. Sama jugalah dengan sikap dan tingkah seseorang. Bererti tidak semestinya sikap malas suami yang enggan membantu kerja-kerja isteri di rumah bermula daripada sikap si ibu yang tidak membentuk anaknya agar rajin membantu.

Satu perkara yang ingin saya kongsikan, cara hidup masyarakat Melayu sebenarnya membentuk situasi sebegini. Bukan semata-mata asuhan ibu. Masyarakat Melayu mendidik agar anak perempuan bertumpu di dapur sementara anak lelaki dengan kerja-kerja luar rumah. Amalan tradisi ini diperjuangkan tanpa sedar sejak turun temurun dan kini tika anak perempuan mula menjejak luar rumah, kebanyakan anak lelaki masih tidak dibenarkan ke dapur.

Biar pun itu tradisinya, ia bukan sebab untuk suami enggan atau malas membantu isteri melaksanakan kerja-kerja di rumah. Setiap individu yang menjejakkan kaki ke dunia perkahwinan perlu faham dan maklum mengenai tanggung jawab yang perlu dilaksanakan di dalam perkahwinan. Mengemas rumah, memasak dan mencuci pakaian yang menjadi tugas rutin wanita sebenarnya bukanlah tanggung jawab isteri. Ulama menjelaskan; seandainya lelaki mengambil gadis dari rumah yang mempunyai pembantu rumah maka suami bertanggungjawab menyediakan pembantu rumah bagi membantu isterinya yang biasa dibantu dalam melaksanakan kerja-kerja rumah.

Bezanya, segala kerja yang sinonim dengan wanita yang sebelum ini dikhususkan untuk tinggal dan menetap di rumah sahaja – jika dilakukan akan menjadi bonus kepada suami malah isteri sendiri kerana mampu menambah kasih sayang suami kepada isteri. Satu perkara yang menukarkan bonus ini kepada wajib dilakukan ialah apabila pekerjaan ini disuruh oleh suami setelah segala kelengkapan bagi menyelesaikan tugasan tersebut disediakannya. Sebagai contoh, jika suami belikan beras, ikan, sayur dan kelengkapan memasak yang lain kemudian suami perintahkan isteri memasak maka, isteri wajib memasak dan jika engkar, isteri boleh disabitkan sebagai nusyuz.

Kembali kepada permasalahan ini; ada benarnya pendapat tersebut tetapi tidak tepat 100 peratus. Seperti huraian saya di awal jawapan, sikap sebenar bergantung kepada individu itu sendiri. Biarpun terdidik dengan cara ibu yang tidak biasakan anak lelakinya ke dapur tetapi jika dia sedar tentang peranan dan tanggung jawab yang perlu dipikul selepas memasuki gerbang perkahwinan, tiada alasan wajar yang boleh dipegang lagi.

Setiap individu perlu sedar, di dalam sesebuah perkahwinan terdapat 3 siri tanggung jawab iaitu tanggung jawab tersendiri seorang suami (melayani isteri dengan baik, memberi nafkah zahir yang sempurna mengikut kemampuan, menyediakan rumah dan keperluan berkaitan, melayani keperluan seks, bersikap romantik, meluangkan masa bersama isteri, mewujudkan suasana ibadah di dalam rumah tangga, sentiasa tunjukkan wajah ceria, menjaga penampilan diri dan bersabar melayani kerenah isteri).

Tanggung jawab tersendiri seorang isteri (taat kepada suami selagi tidak bercanggah dengan syariat, melayani kehendak seks, menjaga harga diri, suami dan keluarga, hormatkan suami dan menyenangkan hatinya) dan tanggung jawab bersama suami dan isteri (menjaga, membesarkan dan mendidik anak-anak serta bersama-sama menguruskan rumah tangga).

Perkara paling utama ialah minta bantuan suami daripada awal perkahwinan. Insya-ALLAH jika sejak mula suami biasa membantu, tidak akan ada masalah di belakang hari. Masalahnya, ramai isteri yang mahu tunjuk hebat pada awal perkahwinan. Semua mahu dibuat. Lama-lama, suami yang terbiasa, sukar ubah perangai.

Cara paling baik meminta suami menolong ialah dengan meminta dia menemankan anda melakukan kerja-kerja tersebut seperti ketika memasak. Mungkin suami mengelak kerana ingin berehat. Jangan marah, pujuk dengan lembut. Katakan, ada cerita menarik yang mahu dikongsi. Jika itu alasannya, pastikan anda benar-benar mempunyai cerita menarik.

Jika mahu lipat baju, bawa baju-baju tersebut ke tempat di mana suami anda berada. Sambil melakukan kerja tersebut, luahkan rasa penat dan keseronokan jika suami dapat membantu. Jika dia pura-pura tidak dengar, anda perlu berterus terang, minta dia membantu secara berhikmah. Jangan mendesak atau mengarah! Suami memang pantang menerima arahan isteri. Sebaliknya mulakan dengan perkataan “tolong” dan ucapan dalam nada yang lembut, seakan-akan merayu.

Jika anda terbiasa melakukan segala-galanya seorang diri, jangan bimbang! Mulakan daripada sekarang. Cara paling baik, luahkan hasrat hati anda yang pasti seronok jika suami dapat membantu menguruskan rumah tangga.

Bila nak luah? Kata orang, masa paling baik ialah selepas sama-sama menyelesaikan hajat batin. Belai rambutnya, mainkan jari-jari di badannya dan cakaplah dalam nada suara yang lembut, mendayu dan merayu. Gunakan kuasa memikat anda sepenuhnya sampailah suami mengaku ‘YA’ akan tolong anda.

Jika malam pertama gagal, cuba lagi malam esoknya dan jangan putus asa. Dalam masa yang sama, berdoa minta ALLAH SWT lembutkan hati suami. Isteri suri rumah sepenuh masa pun boleh cuba lakukan yang sama, sekurang-kurangnya suami membantu anda waktu hujung minggu. Dapat jugalah sesekali anda beristirahat.

Kepada para suami, tugas menguruskan rumah tangga dan anak-anak bukanlah tugas dan tanggungjawab isteri anda sahaja. Lakukanlah bersama-sama, insya-ALLAH akan bertambah semarak cinta

Oleh: Editorial PaMa
Sumber: http://pama.karangkraf.com/

Monday, October 1, 2012

Ketika Komander Khalid Dipecat Amirul Mukminin


Marilah kita menelaah semula peristiwa pemecatan Khalid ibnu Al Walid R.A dari jabatannya sebagai panglima tertinggi angkatan tentera Islam yang dilakukan oleh Khalifah Umar Al Khattab R.A. Pemecatan tersebut adalah satu peristiwa sejarah yang sangat mengkagumkan, peristiwa yang menayangkan keunggulan peribadi pejuang fi sabili' llah. Dalam perhitungan rakyat jelata, tentu sahaja pemecatan tersebut merupakan tindakan yang tidak bijaksana.

Bagi mereka yang tidak berada di lapangan pentadbiran, mereka melihat Khalid dengan sifat kepahlawanannya yang luar biasa itu merupakan orang yang paling tepat untuk jabatan panglima agung dan tidak ada sebab yang jelas mengapa ia harus dipecat. Tetapi Umar dengan ketajaman pandangannya dapat melihat apa yang orang lain tidak mampu melihatnya. Lalu beliau mengambil tindakan pemecatan tersebut dengan bertawakkal kepada Allah dan menuluskan niat untuk mencari keredhaanNya semata.

Siapa yang tidak kenal Sahabat Rasulullah S.A.W, Saidina Umar al Khattab R.A yang memikul amanah sebagai seorang khalifah selepas Saidina Abu Bakar as Siddiq R.A? Dan siapa pula yang tidak mengenal pakar strategis di medan perang, Khalid bin Al Walid? Kedua-duanya adalah tokoh pejuang di belakanag Baginda Nabi S.A.W.

Apabila arahan pemecatan dikeluarkan oleh Khalifah Umar Al Khattab, Khalid R.A yang digelar pedang Allah menerima berita pemecatan tersebut dengan hati yang lapang. Dengan penuh rela diserahkan jabatannya kepada pengganti yang baru ditauliahkan oleh Umar iaitu Abu Ubaidah ibnu Al Jarrah. Khalid R.A sendiri barangkali tidak tahu dengan pasti mengapa pemecatan ini dilakukan, tetapi yang jelas ialah Khalid tidak meragui keikhlasan Umar Al Khattab dan menghormati kewibawaan pimpinannya.

Khalid meyakini bahawa pemecatan tersebut adalah untuk kebaikan seluruh umat, bukan kerana motif jahat, bukan motif menjatuhkan Islam, bukan motif kroni dan sebagainya, tetapi adalah bermotifkan keyakinan kepada perjuangan Nabi S.A.W. Kerana itu, Khalid dengan spontan patuh kepada perintah Umar dan tidak terlintas langsung sebarang tindakan penentangan, cakap-cakap mulut yang berterusan dan kerana itu ia tidak menghebohkan kepada orang ramai, khuatir ia akan menimbulkan reaksi yang kurang menyenangkan.

Nabi S.A.W pernah bersabda memuji Abu Ubaidah bin Al Jarrah, "Setiap umat memiliki orang kepercayaan. Dan orang kepercayaan umat ini ialah Abu Ubaidah bin Al Jarrah". Namun, pujian melangit Baginda S.A.W kepada Abdullah bi Al Jarrah tidak membuatkan Khalid berkecil hati. Jika kita merenung akal manusia yang cetek ini pasti terdetik dalam fikiran kita, "Apa lebihnya Abdullah bin Jarrah? Apa kurangnya Khalid bin Al Walid?". Namun, bukan soal kehebatan personal kedua-dua tokoh ini, tetapi sebaliknya adalah soal disiplin dan akhlak yang disemat sebaik-baiknya oleh kedua-dua tokoh para pejuang agama Allah ini.

Setelah diserahkan jabatannya kepada Abu Ubaidah, Khalid terus berkhidmat dengan setia di bawah pimpinan yang baru dan semangat perjuangannya itu kekal utuh sama seperti beliau menjadi pemimpin tentera. Komen spontan yang terbit dari tindakan Khalid menampakkan ketulusan hatinya, "Aku berjuang kerana Allah, bukan kerana Umar". Inilah jiwa besar Khalid, bukannya menentang pimpinan setelah beliau dipecat, bukannya terbit perasaan tidak puas hati, bukannya membantah keputusan Umar.

Di pihak Abu Ubaidah pula, tidak pula beliau menampakkan kerakusannya terhadap jawatan, beliau akur agar perlantikannya dirahsiakan buat beberapa ketika. Sementara itu, pihak tentera dan umat Islam pula telah menerima perubahan tersebut dengan tenang, tidak ada yang membantah, yakin bahawa tindakan Umar adalah tindakan yang didasari tawakkal dan petunjuk Allah. Bukannya tindakan semberono, tindakan pengekor hawa nafsu dan peribadi, tindakan tanpa syura.

Seluruh tentera Islam merelakan pemecatan Khalid, sebagaimana Khalid merelakan dirinya dipecat dan mereka juga menerima perlantikan Abu Ubaidah sebagai Khalid menerimanya dengan ikhlas. Kewibawaan dan reputasi Abu Ubaidah tidak pernah dipertikaikan dan Khalid melihatnya sebagai alternatif yang berhak menggantikannya.

Demikianlah peristiwa besar, jiwa tarbiyah Khalid yang terus abadi dalam rakaman sejarah, menjadi lambang keunggulan umat yang ikhlas mengabdi dan berbakti hanya kepada Allah, hormat kepada pimpinan dan setia kepada pimpinan perjuangannya. Sesungguhnya bertuahlah umat yang sedia belajar dari sejarah ini, baik yang berkedudukan sebagai Umar, Khalid dan Abu Ubaidah radhiAllahu anhum ajma'ien. Betapa tingginya taqwa Para Sahabat, inilah hati-hati yang berada dalam satu saff yang dipuji oleh Allah Taala di dalam Al Quran :


إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُم بُنْيَانٌ مَّرْصُوصٌ

"sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang di jalanNya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh" - Surah As Saff:4

- Majalah TARBAWI Isu No:2
Sumber: http://i-mujaddid.blogspot.com/

Kisah Salman al-Farisi mencari kebenaran


Salman al-Farisi pada awal hidupnya adalah seorang bangsawan dari Parsi yang menganut agama Majusi. Namun dia tidak merasa selesa dengan agamanya. Pergolakan batin itulah yang mendorongnya untuk mencari agama yang dapat menenteramkan hatinya.

Kisah Salman diceritakan terus kepada seorang sahabat dan keluarga terdekat Nabi Muhammad bernama Abdullah bin Abbas:

Salman dilahirkan dengan nama Parsinya, Rouzbeh, di kota Kazerun, Fars, Iran. Ayahnya adalah seorang Dihqan (ketua) desa. Dia adalah orang terkaya di sana dan memiliki rumah terbesar.

Ayahnya menyayangi dia, melebihi siapa pun. Seiring waktu berlalu, cintanya kepada Salman semakin kuat dan membuatnya semakin takut kehilangan Salman. Ayahnya pun menjaga dia di rumah, seperti penjara.

Ayah Salman memiliki sebuah kebun yang luas, yang mempunyai jumlah hasil yang banyak. Suatu ketika ayahnya meminta dia mengerjakan beberapa tugas di tanahnya. Tugas dari ayahnya itulah yang menjadi awal pencarian kebenaran.

“Ayahku memiliki kawasan tanah subur yang luas. Suatu hari, ketika dia sibuk dengan pekerjaannya, dia menyuruhku untuk pergi ke tanah itu dan memenuhi beberapa tugas yang dia inginkan. Dalam perjalanan ke tanah tersebut, saya melalui gereja Nasrani. Saya mendengarkan suara orang-orang bersembahyang di dalamnya. Saya tidak mengetahui bagaimana orang-orang di luar hidup, kerana ayahku membataskan pergerakanku di dalam rumahnya! Maka ketika saya melaluii orang-orang itu (di gereja) dan mendengarkan suara mereka, saya masuk ke dalam untuk melihat apa yang mereka lakukan.”

“Ketika saya melihat mereka, saya menyukai sembahyang mereka dan menjadi tertarik terhadapnya (yakni agama). Saya berkata (kepada diriku), ‘Sungguh, agama ini lebih baik daripada agama kami’”.

Salman mempunyai pemikiran yang terbuka, bebas dari taklid buta. “Saya tidak meninggalkan mereka sehingga matahari terbenam. Saya tidak pergi ke tanah ayahku.”

Dan ketika pulang, ayahnya bertanya. Salman pun menceritakan bertemu dengan orang-orang Nasrani dan mengaku tertarik.

Ayahnya terkejut dan berkata: “Anakku, tidak ada kebaikan dalam agama itu. Agamamu dan agama nenek moyangmu lebih baik.”

“Tidak, agama itu lebih baik dari milik kita,” tegas Salman.

Ayah Salman pun bersedih dan takut Salman akan meninggalkan agamanya. Jadi dia mengunci Salman di rumah dan merantai kakinya.

Salman tidak putus asa dan mengirimkan satu pesanan kepada penganut Nasrani, meminta mereka memberi khabar jika ada kafilah pedagang yang pergi ke Syria. Setelah informasi diperoleh, Salman pun membuka rantai dan lari untuk bergabung dengan rombongan kafilah.

Ketika tiba di Syria, dia meminta diperkenalkan dengan seorang pendeta di gereja. Dia berkata: “Saya ingin menjadi seorang Nasrani dan memberikan diri saya untuk melayani, belajar dari anda, dan sembahyang dengan anda.”

Pendeta bersetuju dan Salman pun masuk ke dalam gereja. Namun tidak lama kemudian, Salman menemui bukti bahawa pendeta adalah seorang yang tidak amanah dan rasuah. Dia memerintahkan para jemaah untuk bersedekah, namun hasil sedekah itu ditimbunnya untuk memperkaya diri sendiri.

Ketika pendeta itu meninggal dunia dan umat Nasrani berkumpul untuk menguburkannya, Salman mengatakan bahawa pendeta itu perasuah dan menunjukkan bukti-bukti timbunan emas dan perak pada tujuh pasu yang dikumpulkan dari sedekah para jemaah.

Setelah pendeta itu wafat, Salman pun pergi untuk mencari orang soleh lainnya, di Mosul, Nisibis, dan tempat lainnya.

Pendeta yang terakhir berkata kepadanya bahawa telah datang seorang nabi di tanah Arab, yang memiliki kejujuran, yang tidak memakan sedekah untuk dirinya sendiri.

Salman pun pergi ke Arab mengikuti para pedagang dari Bani Kalb, dengan memberikan wang yang dimilikinya. Para pedagang itu setuju untuk membawa Salman.

Namun ketika mereka tiba di Wadi al-Qura (tempat antara Syria dan Madinah), para pedagang itu mengingkari janji dan menjadikan Salman seorang seorang hamba, lalu menjual dia kepada seorang Yahudi.

Ringkas cerita, akhirnya Salman dapat sampai ke Yatsrib (Madinah) dan bertemu dengan rombongan yang baru berhijrah dari Makkah. Salman dibebaskan dengan wang tebusan yang dikumpulkan oleh Rasulullah SAW dan seterusnya mendapat bimbingan terus dari beliau.

Betapa gembira hatinya, kenyataan yang diterimanya jauh melebihi apa yang dicita-citakannya, dari sekadar ingin bertemu dan berguru menjadi anugerah pengakuan sebagai muslimin di tengah-tengah kaum Muhajirin dan kaum Anshar yang disatukan sebagai saudara.

Kisah kepahlawanan Salman yang terkenal adalah kerana ideanya membuat parit dalam usaha melindungi kota Madinah dalam Perang Khandaq.

Ketika itu Madinah akan diserang pasukan Quraisy yang mendapat dukungan dari suku-suku Arab lainnya yang berjumlah 10.000 orang. Pemimpin pasukan itu adalah Abu Sufyan. Ancaman juga datang dari dalam Madinah, di mana penganut Yahudi dari Bani Quradhzah akan mengacau dari dalam kota.

Rasulullah SAW pun meminta pandangan dari sahabat-sahabatnya bagaimana strategi menghadapi mereka. Setelah bermusyawarah akhirnya saranan Salman Al Farisi atau yang biasa dipanggil Abu Abdillah diterima.

Strategi Salman memang belum pernah diketahui oleh bangsa Arab pada waktu itu. Namun atas ketajaman pertimbangan Rasulullah SAW, saranan tersebut diterima.

Atas saranan Salman itulah perang dengan jumlah pasukan yang tak seimbang dimenangi kaum Muslimin.

Setelah meninggalnya Nabi Muhammad, Salman dikirim untuk menjadi gabenor di daerah kelahirannya, hingga dia wafat.

Sumber : tulahan.blogspot.com