Tuesday, December 11, 2012

PEMANGKASAN PELEPAH SAWIT

Tujuan
  • Untuk mengekalkan kanopi yang sihat sepenuhnya dengan membuang pelepah lebihan. (tua, mati, rosak dan berpenyakit)
  • Untuk mengekalkan luas daun yang optimum dan memaksimakan pengekalan nutrient dan air kedalam bahan kering vegetatif dan penghasilan buah. 
Kekerapan
  • Semasa menuai dan setahun sekali.
Peralatan
 
Pokok kelapa sawit muda (tinggi pokok kurang 4 meter)
  • Pahat (4 – 5 inci lebar) disambung pada batang paip besi.
  • Batu pengasah.
Pokok tinggi melebihi 4 meter
  • Sabit penuai.
  • Batu pengasah.
Kaedah Kerja
  • Sebelum tuaian yang pertama hendaklah dilakukan ‘basal pruning’ dan diikuti amalan curi buah selama 12 bulan.
  • Bilangan pelepah yang mencukupi perlu dikekalkan untuk menyediakan luas indek daun (LAI) yang mencukupi sepanjang hayat pokok kelapa sawit tersebut. Pemangkasan berlebihan dan kurang pemangkasan hedaklah dielakkan.

  • Pangkal pelepah hendaklah dipotong rapat bagi mengelakkan biji lerai terlekat.
  • Pokok mandul adalah tidak produktif, tetapi perlu dicantas juga untuk menjaga dan mengekalkan kebersihan lading sehinggalah ia diracun dan dibuang.
  • Penyusunan pelepah dikawasan rata perlu dibuat dengan kemas dilorong pelepah yang disediakan selang sebaris dengan lorong tuai.
  • Bagi kawasan bukit atau tanpa teres, susunan pelepah hendaklah dibuat melintang atau mengikut kontor teres.
  • Jangan biarkan laluan air tersekat dengan pelepah dan jangan bakar pelepah yang dipotong.
Keselamatan
  • Pekerja mencantas mestilah menjarakkan diri dari pokok dan memotong pada lingkaran pelepah bagi mengelakkan kecederaan dari pelepah yang jatuh.
  • Alihkan pangkal pelepah dan letakkan kawasan yang berduri kedalam ditengah lorong pelepah bagi meminimakan kecederaan kaki dan tapak kaki.
  • Bulatan yang bersih dan bebas dari rumpai akan menyediakan laluan yang selamat bagi pekerja mencantas pelepah.
  • Pahat, sabit, parang adalah alat yang tajam dan perlu digunakan dengan berhati-hati.
  • Kegagalan mengikut prosedur keselamatan boleh mengakibatkan kecederaan.

Penjagaan dan Penyelenggaraan Pokok Kelapa Sawit

Mencantas

Apabila pokok di ladang berumur 18 bulan, mana-mana pelepah yang terlalu rendah hendaklah dicantas untuk menyenangkan kerja merumput. Bagi pelepah-pelepah yang meyokong tandan-tandan buah jangan sekali - kali dicantas sehingga tiba masa memungut buah. Bagi pelepah yang dicantas perlu disusun diantara barisan agar tidak menjadi penghalang kepada laluan.

Mengawal Rumput

Merumput di sekeliling perdu pokok dengan cangkul atau tajak 1 - 2 bulan sekali semasa pokok belum besar adalah disyorkan. Semasa merumput pelepah-pelepah daun jangan dirosakkan. Rumput -rumput di antara barisan boleh dikurangkan atau dimusnahkan dengan menanam kekacang penutup bumi atau menjalankan 'selective weeding' dengan menggunakan racun rumpai yang sesuai . Rumpai 'naxious'perlu dibuang 3 bulan sekali .

Membaja

Pembajaan dibuat selepas kerja memungut selesai dilakukan.

Mengawal Musuh Dan Penyakit

Terdapat banyak musuh dan penyakit menyerang kelapa sawit tetapi kerosakan tidaklah begitu teruk. Kerosakan hendaklah dikesan lebih awal lg supaya tindakan mengawasinya dapat diambil dengan segera.

Memungut Hasil

Bila berumur antara 36-50 bulan, kelapa sawit telah mengeluarkan hasil pertama . 51/2 - 61/2 bulan dari masa pendebungaan,maka buah kelapa sawit telah cukup masak. Apabila didapati 40-60 biji buah kelapa sawit dari satu mayang yang dianggarkan beratnya 9 - 14 kg ( 20 - 30 paun ) atau 2 biji /1b berat buat gugur ke tanah, maka mayang-mayang ini telah sesuai dipotong. Ini adalah panduan yang senang digunakan dan yang diamalkan di ladang-ladang kelapa sawit. Kelewatan atau terlalu awal memungut hasil boleh menyebabkan pengurangan kandungan minyak dan juga menurun mutu minyak.
Pusingan mengutip hasil bagi peringkat permulaan ialah tiap-tiap 10 atau 15 hari sekali tetapi apabila hasil mencapai paras ekonomik,maka pusingan mengutip hasil ialah tiap-tiap 5 hari.

Sumber: http://restunurimanagro.blogspot.com/

Monday, December 10, 2012

Baja cacing tanah mampu atasi baja kimia

Satu kajian yang dijalankan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) baru-baru ini mendapati baja yang dihasilkan secara semula jadi oleh cacing tanah adalah jauh lebih berkualiti berbanding baja kimia yang sering digunakan golongan petani ketika ini.

Ia kerana baja yang dihasilkan oleh cacing tersebut dikenal pasti mempunyai campuran nutrien lengkap dengan campuran organisma yang lebih baik serta zat makanan dan mineral yang mampu menyuburkan tumbuhan untuk satu tempoh jangka masa yang panjang.

Malah, baja yang terhasil daripada cacing tanah itu juga terbukti bersifat mesra alam kerana mampu memperbaiki kualiti tanah pada tahap yang memuaskan selain berupaya meningkatkan kestabilan dan pengudaraan pada tanah sekali gus mengurangkan hakisan.

Sekretariat ECER dalam kenyataannya baru-baru ini menyebut kajian itu juga mendapati, selain lebih berkualiti dan bermanfaat, kos baja cacing tanah juga jauh lebih murah berbanding baja kimia yang didapati dipasaran ketika ini.

‘‘Bahan campuran kompos dan bahan buangan cacing adalah lima kali lebih kaya daripada jumlah sedia ada dalam nitrogen, tujuh kali lebih kaya daripada jumlah sedia ada dalam phosphates dan 11 kali lebih kaya berbanding jumlah sedia ada dalam photash yang boleh didapati pada enam inci pertama permukaan tanah,” katanya.

Kata kenyataan itu, kajian itu juga merumuskan bahawa cacing tanah sebenarnya merupakan penyelesaian secara natural terhadap sisa makanan dan makhluk tersebut mampu bertindak seperti sebuah mesin penghadaman yang amat cekap.

Ia kerana cacing berkenaan mampu menghadam makanan separuh daripada berat badannya sendiri pada setiap hari dan menukar makanan yang telah dihadam menjadi bahan organik sekali gus meninggalkan bahan buangan iaitu zat makanan lengkap.

Sumber : Utusan Malaysia Online

TEKNIK PENGAJARAN KONTEKSTUAL

Pengajaran secara kontekstual ialah pengajaran yang menggabungkan isi kandungan dengan pengalaman harian individu, masyarakat dan alam pekerjaan. Kaedah ini menyediakan pembelajaran secara konkrit yang melibatkan aktiviti hands-on dan minds-on. Ia merupakan alternatif bagi para pendidik untuk menarik minat para pelajar dalam pembelajaran matematik terutamanya daripada golongan yang berprestasi sederhana. Pendekatan pengajaran kontekstual juga meliputi bidang ilmu sains, teknologi maklumat, teknikal dan vokasional. Matlamat utama pengajaran secara kontekstual adalah untuk menghasilkan para pelajar yang cemerlang dan berkualiti sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan kelak. Pelajar akan melalui satu atau lebih daripada kaedah-kaedah pembelajaran berikut dalam pengajaran kontekstual iaitu Relating (Menghubungkait), Experiencing (Mengalami), Applying (Mengaplikasi), Cooperating (Bekerjasama) dan Transfering (Memindahkan).

Manakala strategi pengajarannya pula melibatkan empat segmen iaitu motivasi, pemahaman, aplikasi dan imbasan kembali dan kemajuan. Pengajaran konteksual ini mampu memberi kebaikan kepada semua pihak iaitu pendidik, pelajar dan juga industri. Selain itu, pengajaran secara kontekstual juga dapat memotivasikan pelajar untuk membuat perkaitan antara pengetahuan dengan aplikasinya dalam kehidupan harian mereka sebagai ahli keluarga, warga masyarakat dan pekerja. Pembelajaran kontekstual yang berjaya memerlukan komunikasi berterusan di pelajar, pendidik, ibu bapa dan masyarakat. Sokongan daripada organisasi masyarakat diperlukan untuk menjayakan strategi pengajaran kontekstual selain daripada maklum balas yang diperolehi daripada pelajar sebagai satu komponen yang penting untuk mengukur keberkesanan program pembelajaran kontekstual.

STRATEGI PENGAJARAN KONTEKSTUAL

Proses pengajaran dan pembelajaran merupakan sesuatu proses yang sangat dititikberatkan dalam pendidikan. Para pendidik boleh memilih pendekatan dan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang pelbagai dan sesuai dengan kebolehan murid. Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran bergantung pada pengolahan teknik dan penggunaan bahan bantu belajar serta teknologi yang dapat merangsang dan menggalakkan murid berfikir secara kritis dan kreatif, inovatif, berkomunikasi, dan berinteraksi. Dalam pendekatan kontekstual, pengajaran dan pembelajaran mesti memenuhi keperluan strategi berikut:

a.     Motivasi – Ia bertujuan untuk menarik minat dan mencetuskan idea asas terhadap sesuatu tajuk yang akan dibincangkan merangkumi pengenalan, isu perbincangan dan penggunaan alat bantu mengajar yang berkesan.
b.    Pemahaman – Ia merangkumi kemahiran murid dan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengannya. Kaedah penyampaian maklumat harus dipelbagaikan untuk dapat menarik minat murid terhadap sesuatu konsep itu. Murid diberi kebebasan mengutarakan perkara-perkara yang berkaitan. Antara contoh pemahaman adalah melalui penerangan konsep dan perbincangan, pembacaan dan melakukan contoh kajian.
c.     Aplikasi – Kemahiran yang diperolehi pelajar dapat diolah dan diubahsuaikan mengikut situasi dimana mereka dapat mengaitkan pengetahuan yang diperolehi untuk menyelesaikan masalah harian. Pendidik boleh mengaitkan isi kandungan pelajaran dengan bidang kerjaya yang berkaitan. Kebolehan murid mengaplikasikan pengetahuan sedia ada mereka dengan situasi sebenar dalam kerjaya yang akan mereka ceburi merupakan aset utama yang mereka perolehi hasil dari pembelajaran secara kontekstual. Ia melibatkan aktiviti hands on dan penyelesaian masalah.
d.    Imbasan kembali dan kemajuan – Ia meliputi dua aspek dalam segmen ini. Apabila seseorang pendidik mengupas sesuatu tajuk, pelajar akan diingatkan semula mengenai fakta penting. Di sini perbincangan dapat diarahkan untuk memperkayakan lagi pengetahuan murid. Selepas itu, penilaian kemajuan pelajar perlu dijalankan secara bertulis, lisan dan pemerhatian. Contoh-contoh aktiviti adalah seperti kuiz berkumpulan, perbincangan antara kumpulan dan penyediaan portfolio. Perubahan sikap dan perlakuan yang dapat dilihat juga boleh digunakan sebagai petunjuk bahawa murid telah menghayati isi pelajaran.

FAEDAH PENGAJARAN KONTEKSTUAL

Terdapat beberapa faedah bagi pengajaran secara kontekstual ini iaitu kepada para pendidik, pelajara dan juga pihak industri. Antara kebaikan kepada pendidik adalah dapat menjadikan pengajaran sebagai satu pengalaman yang berjaya, mengaitkan prinsip-prinsip mata pelajaran dengan dunia pekerjaan dan menjadi penghubung antara pihak akademik dan industri.

Selain itu, setelah mengalami pengajaran kontekstual ini, pelajar-pelajar dapat mengaitkan kandungan pelajaran dengan kehidupan harian dan pekerjaan mereka. Pelajar juga boleh memindahkan kemahiran yang diperolehi kepada situasi sebenar. Faedah lain kepada pelajar ialah mereka boleh menguasai perkara abstrak melalui pengalaman konkrit dan dapat belajar secara kerjasama antara rakan-rakan. Aktiviti berkumpulan seperti ini memberi peluang kepada kumpulan lemah atau sederhana berinteraksi dengan pelajar yang cemerlang melalui konsep peer teaching.

Pihak industri juga mempunyai kesan sewajarnya jika pengajaran kontekstual ini dilaksanakan semasa proses pembelajaran kerana mereka akan menerima tenaga kerja yang berpotensi untuk dilatih atau dilatih semula secara berkesan mengikut keperluan selain mampu menggerakkan industri ke dalam pendidikan sebagai rakan kongsi

Perbandingan Kaedah Objektivisme Dengan Konstruktivisme dalam P&P di dalam Kelas

Paradigma pendidikan masa kini adalah kebanyakannya merupakan paradigma objektivisme. Paradigma ini gagal menyelesaikan banyak masalah dalam pendidikan. Perbezaan antara objektivisme dengan konstruktivisme adalah sangat nyata. Objektivisme berdasarkan tanggapan bahawa wujud pengetahuan di luar persepsi manusia. Menurut pandangan ini, fungsi sains ialah untuk memastikan pengetahuan disampaikan secara objektif. Proses pembelajaran dalam paradigma ini hanyalah untuk menyalarkan pengetahuan dari pendidik kepada murid. Pengetahuan sains dari perspektif konsruktivisme adalah penjelasan paling sesuai untuk menghuraikan fenomena yang diperhatikan.

Ahli objektivisme berpendapat bahawa kata pemutus tentang apa yang perlu diajar dan siapa yang patut mengajar adalah dibuat oleh `pakar' yang semestinya mengetahui segala-galanya. Ini menyebabkan ramai murid tidak dapat melihat keperluan belajar sebagaimana yang dilihat oleh pihak `pakar'. Model autoritarian ini menjadikan guru sebagai sumber pengetahuan dan menjadikan guru sangat penting dalam bilik darjah. Murid dan juga orang awam beranggapan guru mempunyai segala jawapan bagi semua masalah. Sistem ini gagal melahirkan murid yang produktif dan berpengetahuan luas.

Dari pandangan ahli konstruktivisme, setiap orang murid mempunyai peranan dalam menentukan apa yang akan mereka pelajari. penekanan diberi kepada menyediakan murdi dengan peluang untuk membentuk kemahiran dan pengetahan di mana mereka menghubungkaitkan pengalaman lampau mereka dengan kegunaan masa depen. murid bukan hanya dibekalkan dengan fakta-fakta sahaja, sebaliknya penekanan diberi kepada proses berfikir dan kemahiran berkomunikasi. Selepas satu sesi perbincangan murid bersama-sama menetnukan perkara penting yang harus dipelajari dan tujuan mempelajarinya. Dalam proses ini murid akan mengalami prosedur yang digunakan oleh seorang saiantis seperti menyelesaikan masalah dan memeriksa hasil yang diperolehi

Melalui penggunaan paradigma konstruktivisme, guru perlu mengubah peranannya dalam bilik sains. Guru mungkin akan berperanan sebagai pelajar atau penyelidik. Dengan cara ini, guru akan lebih memahami bagaimana murid membina konsep atau pengetahuan. Justeru itu guru akan memperolehi kemahiran untuk membina dan mengubahsuai kefahaman serta berkomunikasi dengan orang lain. Guru akan memahami bahawa proses pembinaan dan pengubahsuaian konsep merupakan satu proses berterusan dalam kehidupan.

Dalam paradigma konstruktivisme, murid menganggap peranan guru sebagai salah satu sumber pengetahuan dan bukan sebagai seorang yang tahu segla-galanya. Mereka menganggap pengetahuan sebagai sesuatu yang boleh disesuaikan dan boleh berubah. Mereka juga sedar bahawa mereka bertanggungjawab terhadap diri sendiri untuk menggunakan pelbagai cara bagi memproses makluamt dan menyelesaikan masalah. Dalam erti kata lain, guru adalah berperanan sebagai seorang fasilitator dan pembimbing. Hubungan guru dengan murid boleh diumpamakan sebagai hubungan di antara bidan dengan ibu yang melahirkan anak. Guru bertanggung jawab membimbing dan membantu murid mempelajari sesuatu pelajaran dengan bermakna. Guru tidak boleh belajar untuk murid. Murid yang membina fahaman sendiri.

Kebanyakan teknik penilaian sekarang adalah berdasarkan paradigma objektivisme. Dalam pengujian yang dijalankan, murid akan diuji sama ada dia dapat memberikan jawapan yang dikehendaki oleh penggubal soalan. Mereka juga dianggap mempunyai tafsiran yang sama dengan penggubal soalan tentang apa yang dikehendaki dalam soalan. Oleh yang demikan, soalan-soalan ujian tidak sebenarnya menguji kefahaman dan pengetahuan murid, tetapi hanya menguji kemahiran murid untuk membekalkan jawapan yang dikehendaki oleh penggubal soalan sahaja.

Menurut teori konstruktivisme, penilaian harus merangkumi cara menyelesaikan masalah dengan munasabah dan pengetahuan. Antara teknik-teknik penilaian yang sedemikian ialah peta konsep, rajah Venn, portfolio, ujian prestasi dan ujian berpasukan.

Pandangan ahli konstruktivisme terhadap disiplin di dalam kelas adalah berbeza dengan ahli objektivisme. Ahli konstruktivisme menganggap peranan guru adalah sebagai pengurus kelas dan boleh menangani hal-hal disiplin murid dengan sempurna. murid diterima sebagi individu yang mempunyai ciri-ciri perlakuan yang berbeza di mana setiap individu itu diangap penting dalam proses pembelajaran dan perlu diberi perhatian yang wajar. Mereka diberikan peluang untuk membuat keputusan sendiri tentang perkara-perkara yang akan mereka pelajari. Melalui proses ini, mereka akan lebih prihatin, bertanggungjawab dan melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran mereka.

Sebaliknya ahli objektivisme berpendapat bahawa guru harus berperanan sebagai pengawal disiplin kelas. Murid tidak ada pilihan kecuali menurut peraturan dan undang-undang yang ditetapkan. Mereka yang ingkar akan didenda.

Pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan konstruktivisme memberi peluang kepada guru untuk memilih kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dan menentukan sendiri masa yang diperlukan untuk memperolehi sesuatu konsep atau pengetahuan. Di samping itu, guru dapat membuat penilaian kendiri dan menilai kefahaman orang lain supaya kefahamannya tentang sesuatu bidang pengetahuan dapat ditingkatkan lagi.

Agama: Empat perkara halang mukmin laksana ibadat

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli Cetak Emel Kawan

KEIKHLASAN hati dan jiwa ketika melakukan apa juga ibadat kepada Allah SWT adalah kemuncak kepada kemurnian nurani seseorang menghambakan diri kepada Allah.

Sifat ikhlas sajalah yang mampu menghalang dan mencegah diri seseorang mukmin daripada beberapa perkara yang boleh menghalang dirinya untuk beristiqamah melakukan ibadat kepada-Nya.

Dalam hal ini, Imam Ghazali menggaris empat perkara besar yang selalu menjadi penghalang kepada seseorang mukmin untuk melakukan ibadat kepada Allah SWT iaitu dunia, makhluk, nafsu dan syaitan.

Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu semua, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi). Sebenarnya dia hanyalah mengajak manusia supaya menjadi penghuni neraka. Surah al-Fathir, Ayat 6
Jika diteliti maksud dunia ia merujuk kepada semua perkara yang akan ditinggalkan apabila manusia mati seperti wang ringgit, harta, pakaian, makanan dan minuman.

Perlu diingat, skop pengertian itu boleh berubah apabila seseorang itu menganggap keperluan duniawi itu tidak lebih sebagai alat dan perantara untuk membolehkan dirinya mengurus dan membelanjakannya ke jalan yang diredai Allah SWT.

Keduanya, ialah gangguan dan halangan daripada makhluk. Apa yang dimaksudkan dengan makhluk di sini ialah apa saja yang dikurniakan Allah kepada kita termasuk anak, binatang ternakan dan harta benda yang boleh melalaikan manusia daripada mengingati Allah.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Anfal ayat 28 yang bermaksud: “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak pinak kamu itu adalah ujian kepada kamu.”
Ketiganya, ialah keinginan atau lebih dikenali sebagai nafsu yang sentiasa cuba menguasai diri. Nafsu adalah penghalang utama dalam diri manusia mengerjakan ibadat. Apa yang berlaku sebaliknya adalah lebih ramai daripada kita yang gemar tunduk dan tewas kepada kehendak nafsu sendiri dengan menyingkirkan niat dan azam untuk melakukan kebaikan.

Kejahatan dan kemungkaran yang timbul dari nafsu inilah sukar untuk dikekang jika kita tidak bersungguh melawannya.

Keempat, adalah desakan dan bisikan iblis dan syaitan durjana yang sentiasa menggoda serta menipu daya manusia ke jalan yang sesat sehinggalah hari Kiamat. Perlu diingat iblis dan syaitan boleh merubah bentuk asal mereka untuk menyerupai seorang manusia yang cantik, berpangkat atau warak dan soleh.

Tujuannya adalah tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk membawa manusia ke jalan yang sesat mengikut keadaan serta situasi kehidupan seseorang hamba Allah yang akan menjadi mangsanya.

Kalau manusia itu berada dalam kejahilan yang berterusan maka tugas iblis dan syaitan akan terus melalaikan manusia itu agar terus menjadi sahabat baiknya dengan melupakan mengerjakan amalan fardu seperti solat.

Dalam hal gangguan ketika solat ini, ramai dalam kalangan kita tidak menyedari peranan besar dimainkan iblis dan syaitan untuk menjadikan manusia alpa atau lalai dan dengan sebab itu ibadat solat kita ditolak Allah SWT.

Rasulullah SAW mengajar manusia untuk berdoa supaya dilindungi daripada iblis dan syaitan. Doa berkenaan bermaksud: “Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan dan aku berlindung dengan Allah dari kehadiran syaitan itu kepadaku.”

Allah SWT berfirman dalam surah al-Fatir ayat enam yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu semua, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi). Sebenarnya dia hanyalah mengajak manusia supaya menjadi penghuni neraka.”

Justeru, apabila kita dengan kekuatan dan iltizam serta istiqamah dalam diri berjaya menyingkirkan empat halangan itu, maka insya-Allah kita tidak akan mudah pula untuk mudah merasa hampa dan kecewa bila ditimpa musibah oleh Allah.
Sumber: http://www.bharian.com.my/

Friday, November 30, 2012

Tetamu Senja

Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila cukup detik kembalilah
Kita kepadanya
Kita datang ini kosong tangan dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala

Pada tetamu yang datang dan
Kenal jalan pulang
Bawalah bakti mesra kepada


Tuhan kepada Insan
Pada tetamu yang datang
Dan lupa jalan pulang
Usahlah derhaka pula
Pada Tuhan kepada insan

Bila kita lihat manusia lupa tempat
Atau segera sesat puja darjat
Puja pangkat
Segera kita insaf kita ini punya kiblat
Segera kita ingat kita ini punya tekad

Bila kita lihat manusia terbiar larat
Hingga mesti merempat ke laut biru
Ke kuning darat
Harus kita lekas sedar penuh pada tugas
Harus kita tegas sembah
Seluruh rasa belas

Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat

~ A. Samad Said

Asal Usul Bahasa Melayu

Asal usul perkataan Melayu masih belum dapat disahkan oleh sejarawan. Bagaimanapun terdapat beberapa bukti sejarah yang cuba mengaitkan asal-usul bahasa Melayu, seperti mana berikut:
  1. Catatan orang China yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan Mo-lo-yeu mempersembahkan hasil bumi kepada raja China sekitar 644-645 Masihi. Dikatakan orang Mo-lo-yeu mengirimkan Utusan ke negara China untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi kepada raja China.
  2. Ada yang mempercayai kerajaan Mo-lo-yeu berpusat di daerah Jambi, Sumatera , daripada sebatang sungai yang deras alirannya, iitu Sungai Melayu.
  3. Satu lagi catatan orang China ialah catatan rahib Buddha bernama I-Tsing yang menggunakan kata ma-lo-yu tentang dua buah kerajaan yang dilawatinya sekitar 675 Masihi.
  4. Dalam bahasa Jawa Kuno, perkataan ``Mlayu'' bermaksud berlari atau mengembara. Hal ini boleh dipadankan dengan orang Indo-Melayu (Austonesia) yang bergerak dari Yunan.
Asal Usul Bangsa Melayu
  • Dipercayai berasal daripada golongan Austronesia di Yunan.
  • Kumpulan pertama dikenali sebagai Melayu Proto.
  • Berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Batu Baru (2500 Sebelum Masihi)
  • Keturunannya Orang Asli di Semenanjung Malaysia, Dayak di Sarawak dan Batak di Sumatera.
  • Kumpulan kedua dikenali sebagai Melayu Deutro
  • Berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Logam kira-kira 1500 Sebelum Massihi.
  • Keturunannya orang Melayu di Malaysia
  • Dikatakan lebih bijak dan dan mahir daripada Melayu Proto.
  • Bijak dalam bidang astronomi, pelayaran dan bercucuk tanam.
  • Bilangan lebih banyak daripada Melayu Proto.
  • Menduduki kawasan pantai dan lembah di Asia Tenggara.
  • Orang ini, kumpulan pertama dan kedua, dikenali sebagai Austronesia.
  • Bahasa-bahasa yang terdapat di Nusantara sekarang berpunca daripada bahasa Austronesia ini.
 
Nik Safiah Karim menerangkan bahawa bahasa Austronesia ialah satu rumpun bahasa dalam filum bahasa Austris bersama-sama dengan rumpun bahasa Austroasia dan Tibet-China (rujuk carta alir di atas).
 
Bahasa Melayu termasuk dalam bahasa-bahasa Golongan Sumatera bersama-sama dengan bahasa-bahasa Acheh, Batak, Minangkabau, Nias, Lampung dan Orang Laut.
 
Perkembangan Bahasa Melayu
 
Ahli bahasa membahagikan perkembangan bahasa Melayu kepada tiga tahap utama iaitu:
  • Bahasa Melayu Kuno,
  • Bahasa Melayu Klasik dan
  • Bahasa Melayu Moden.
Bahasa Melayu Kuno
 
Merupakan keluarga bahasa Nusantara. Kegemilangannya dari abad ke-7 hingga abad ke-13 pada zaman kerajaan Sriwijaya, sebagai lingua franca dan bahasa pentadbiran. Penuturnya di Semenanjung, Kepulauan Riau dan Sumatera. Ia menjadi lingua franca dan sebagai bahasa pentadbiran kerana:
  • Bersifat sederhana dan mudah menerima pengaruh luar.
  • Tidak terikat kepada perbezaan susun lapis masyarakat
  • Mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding dengan bahasa Jawa.
Banyak dipengaruhi oleh sistem bahasa Sanskrit. Bahasa Sanskrit kemudian dikenal pasti menyumbang kepada pengkayaan kosa kata dan ciri-ciri keilmuaan (kesarjanaan) Bahasa Melayu. Bahasa Melayu mudah dipengaruhi Sanskrit kerana:
  • Pengaruh agama Hindu
  • Bahasa Sanskrit terletak dalam kelas bangsawan, dan dikatakan mempunyai hierarki yang tinggi.
  • Sifat bahasa Melayu yang mudah dilentur mengikut keadaan dan keperluan.  
Bahasa Melayu kuno pada batu-batu bersurat abad ke-7 yang ditulis dengan huruf Pallawa:
  • Batu bersurat di Kedukan Bukit, Palembang (683 M)
  • Batu bersurat di Talang Ruwo, dekat Palembang (684 M)
  • Batu bersurat di Kota Kampur, Pulau Bangka (686 M)
  • Batu bersurat di Karang Brahi, Meringin, daerah Hulu Jambi (686 M)
Bahasa Melayu kuno pada batu bersurat di Gandasuli, Jawa Tengah (832 M) ditulis dalam huruf Nagiri. Ciri-ciri bahasa Melayu kuno.
  • Penuh dengan kata-kata pinjaman Sanskrit
  • Susunan ayat bersifat Melayu
  • Bunyi b ialah w dalam Melayu kuno (Contoh: bulan - wulan)
  • bunyi e pepet tidak wujud (Contoh dengan - dngan atau dangan)
  • Awalan ber- ialah mar- dalam Melayu kuno (contoh: berlepas-marlapas)
  • Awalan di- ialah ni- dalam bahasa Melayu kuno (Contoh: diperbuat - niparwuat)
  • Ada bunyi konsonan yang diaspirasikan seperti bh, th, ph, dh, kh, h (Contoh: sukhatshitta)
  • Huruf h hilang dalam bahasa moden (Contoh: semua-samuha, saya: sahaya)
Peralihan Bahasa Melayu Kuno Ke Bahasa Melayu Klasik
 
Peralihan ini dikaitkan dengan pengaruh agama Islam yang semakin mantap di Asia Tenggara pada abad ke-13. Selepas itu, bahasa Melayu mengalami banyak perubahan dari segi kosa kata, struktur ayat dan tulisan. Terdapat tiga batu bersurat yang penting:
 
a. batu bersurat di Pagar Ruyung, Minangkabau (1356)
  • ditulis dalam huruf India
  • mengandungi prosa melayu kuno dan beberapa baris sajakm Sanskrit.
  • bahasanya berbeza sedikit daripada bahasa batu bersurat abad ke-7.
b. Batu bersurat di Minye Tujuh, Acheh (1380)
  • masih memakai abjad India
  • buat pertama kalinya terdapat penggunaan kata-kata Arab seperti kalimat nabi, Allah dan rahmat
c. batu bersurat di Kuala Berang, Terengganu (1303-1387)
  • ditulis dalam tulisan Jawi
  • membuktikan tulisan Arab telah telah digunakan dalam bahasa Melayu pada abad itu.
Ketiga-tiga batu bersurat ini merupakan bukti catatan terakhir perkembangan bahasa Melayu kerana selepas abad ke-14, muncul kesusasteraan Melayu dalam bentuk tulisan.
 
Bahasa Melayu Klasik
 
Kegemilangannya boleh dibahagikan kepada tiga zaman penting:
  • Zaman kerajaan Melaka
  • Zaman kerajaab Acheh
  • Zaman kerajaan Johor-Riau
Antara tokoh-tokoh penulis yang penting ialah Hamzah Fansuri, Syamsuddin al-Sumaterani, Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf al-Singkel.
 
 Ciri-ciri bahasa klasik:
 
ayat: panjang, berulang, berbelit-belit.
banyak ayat pasif
menggunakan bahasa istana
kosa kata klasik: ratna mutu manikam, edan kesmaran (mabuk asmara), sahaya, masyghul (bersedih)
banyak menggunakan perdu perkataan (kata pangkal ayat): sebermula, alkisah, hatta, adapun.
ayat songsang
banyak menggunakan partikel ``pun'' dan `'lah''
 
 Bahasa Melayu Moden
 
Bermula pada abad ke-19. Hasil karangan Munsyi Abdullah dianggap sebagai permulaan zaman bahasa Melayu moden. Sebelum penjajahan Beritish, bahasa Melayu mencapai kedudukan yang tinggi, berfungsi sebagai bahasa perantaraan, pentadbiran, kesusasteraan, dan bahasa pengantar di pusat pendidikan Islam. Selepas Perang Dunia Kedua, British merubah dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar dalam sistem pendidikan. Semasa Malaysia mencapai kemerdekaan, Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
 
Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Laporan Razak 1956 mencadangkan bahasa Melayu sebagai pengantar dalam sistem pendidikan negara.
 

Lebih ramai digalak ikuti Vokasional-Teknikal

2010/07/02

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan meningkatkan penyertaan pelajar mengikuti pendidikan Vokasional-Teknikal atau 'voctech', antara usaha untuk menyalurkan pelajar lelaki yang gagal melanjutkan pengajian di universiti awam ke bidang yang diminati, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sambil menyifatkan dominasi pelajar wanita di institusi pengajian tinggi fenomena global, Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan berusaha untuk meningkatkan prestasi pelajar lelaki yang didapati gagal memberi tumpuan pada pelajaran selain dipengaruhi keadaan persekitaran.

“Kementerian Pelajaran meneliti perkara ini tetapi pada masa sama jika pelajar lelaki tidak berapa berminat dalam soal akademik, maka kita harus salurkan mereka ke bidang yang mereka minati.

“Sebab itu, ini ada kaitan dengan keputusan saya supaya kita tingkatkan pembelajaran dalam bidang vokasional, yang ini berlaku di lain-lain negara di mana kemasukan pelajar ke bidang vokasional sama banyaknya dalam bidang akademik.

“Mungkin di peringkat itu, pelajar lelaki boleh dikatakan lebih sesuai kerana mereka lebih mudah dalam kemahiran, perkara yang berkaitan vokasional, mungkin kita akan lihat ada kemajuan dalam satu saluran bidang lebih diminati pelajar lelaki,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Pendidikan Prasekolah Kebangsaan 2010, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom. Sebanyak 14 kertas kerja dibentangkan selain 12 sesi bengkel pada persidangan yang berlangsung selama empat hari berakhir hari ini.

Berita Harian semalam melaporkan pelajar perempuan terus mendominasi kemasukan di universiti awam apabila menguasai 64.8 peratus atau 26,229 daripada 40,506 tempat yang ditawarkan untuk program ijazah pertama bagi sesi akademik 2010/2011 yang akan mendaftar pada Sabtu dan Ahad ini.
Laporan turut menyebut jumlah mereka juga melebihi lelaki bagi program pengajian lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf yang akan mendaftar pada tarikh sama dan 23 Mei lalu dengan 21,567 pelajar perempuan berjaya mendapat tawaran atau 58.45 peratus daripada keseluruhan 36,900 tempat kemasukan.

Sebelum ini, Kementerian Pelajaran mensasarkan penyertaan pelajar yang mengikuti pendidikan `voctech' meningkat 20 peratus menjelang 2015, berikutan pelbagai usaha terancang dilaksanakan.

Katanya, fenomena dominasi pelajar perempuan bukan saja berlaku di Malaysia tetapi di banyak negara lain yang turut berdepan dengan keadaan hampir sama.

“Sebab musabab itu mungkin boleh dijadikan satu bahan perdebatan, yang pentingnya kita tidak rasa gusar mengenai hal itu kerana saya fikir pejuang gender wanita berbangga dengan pencapaian pelajar perempuan yang cemerlang dalam pendidikan, ” katanya.

Sumber: Berita Harian

Pendidikan vokasional untuk kurangkan jurang pelajar lelaki dan perempuan


Oleh Lisa J. Ariffin 

KUALA LUMPUR, 24 Sept — Putrajaya hari ini melancarkan program latihan vokasional untuk mengurangkan jurang perbezaan antara jantina dimana pelajar perempuan terus melebihi pelajar lelaki di sekolah peringkat menengah.

Akhbar Straits Times (ST) di Singapura melaporkan hari ini kerajaan akan memperkenalkan di 15 buah sekolah untuk “memberi pendedahan kepada mereka yang lemah dalam bidang akademik bermula dari umur 13 tahun untuk mempelajari bidang vokasional seperti pertukangan dan pemasangan elektrik” untuk mereka terus berada di sekolah.

“Kita akan cuba untuk memastikan mereka tidak terkeluar dari sistem,” kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Wee Ka Siong dipetik dari ST hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Wee Ka Siong berkata mereka yang berada di dalam skim vokasional tersebut akan menerima sijil sebaik sahaja pembelajaran mereka tamat. — Gambar file

Beliau menambah, mereka yang berada di dalam skim tersebut akan menerima sijil sebaik sahaja pembelajaran mereka tamat, dengan sijil Tingkatan Empat untuk vokasional yang sama taraf dengan sijil Tingkatan Lima sekolah biasa.

Laporan ST turut berkata tujuannya untuk mengajar “mereka yang ketinggalan” untuk bekerja dalam kemahiran hidup, dan mengekalkan mereka di sekolah dan tidak berakhir di jalanan.

Fenomena “pelajar lelaki yang ketinggalan” ini disuarakan dalam Pelan Pendidikan Nasional peringkat awal yang dilancarkan bulan ini yang memberi amaran bahawa pelajar lelaki akan menjadi “masyarakat yang diketepikan dari segi pelajaran”.

Merujuk kepada pelan tersebut, akhbar ST turut melaporkan temubual bersama ibu bapa dan guru yang mencadangkan sesetengah pelajar lelaki yang mengalami kesukaran dengan ko-kurikulum akademik untuk dihantar ke latihan vokasional.

Berdasarkan laporan Unicef tahun lalu, dari 2005 hingga 2009, 34 peratus dari 500,000 pelajar sekolah rendah di Malaysia tidak ke sekolah menengah, kebanyakkannya lelaki, dengan 85 peratus yang berada dalam kelompok miskin.

Pelajar perempuan mewakili 70 peratus dari pengambilan universiti utama tempatan dan mempunyai keputusan lebih baik dalam peperiksaan dari sekolah rendah.

Pakar pendidikan Universiti Sains Malaysia Dr Abdul Jalil Ali berkata perubahan ke arah pendidikan vokasional boleh menjadikan semua pelajar mempelajari kemahiran hidup.

“Tidak semua boleh berjaya dalam bidang akademik. Negara juga memerlukan pekerja mempunyai kemahiran tinggi,” kata beliau kepada ST.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan harus melihat semula teknik pembelajaran untuk mengkaji cara pembelajaran lelaki dan perempuan yang berbeza, dimana pelajar perempuan dapat belajar dengan lebih baik di kelas sementara lelaki lebih gemar untuk bersikap pasif.

Sumber: http://www.themalaysianinsider.com/