Sunday, July 10, 2011
Berbakti kepada ibu bapa ibarat jihad..
Empat mazhab sepakat, anak wajib menyara kedua-dua orang tua
KADANG-KADANG berasa sedih dan terkilan kerana tidak mempunyai banyak masa untuk berbakti dan membalas budi kedua-dua ibu bapa yang sudah kembali ke rahmatullah beberapa tahun lalu. Allah SWT lebih menyayangi mereka, walaupun saya sentiasa berdoa mereka panjang umur, agar saya mempunyai masa membalas budi mereka.
Hairan, bagaimanakah anak yang masih mempunyai ibu bapa sanggup mengabaikan mereka. Mutakhir ini kita disajikan dengan pelbagai berita mengenai sikap buruk anak terhadap ibu bapa. Seorang anak yang berjawatan besar dilaporkan tidak pernah menjenguk ibu dan bapanya, malah langsung tidak mempedulikan mereka selama lebih tujuh tahun. Ada juga anak yang menjadikan ibu bapa sebagai hamba dengan meminta mereka menjaga anak-anak secara percuma. Lebih serius, ada ibu bapa yang menjadi mangsa sepak terajang anak, dan dibunuh oleh insan yang mereka sendiri lahirkan.
Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan peningkatan bilangan warga emas yang menghuni pusat kebajikan masyarakat dan apa yang lebih menyedihkan ialah lebih 30 peratus daripada mereka dihantar oleh anak kandung mereka sendiri. Seramai 1,714 warga tua mendiami sembilan buah Rumah Seri Kenangan kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat di seluruh negara pada 2001 dan jumlah ini bertambah kepada 1,829 pada 2003 dan 1,827 pada 2005. Untuk 2005, daripada jumlah 1,827 warga tua yang dihantar ke pusat jagaan orang tua, 751 orang terdiri daripada kaum Melayu, 558 orang adalah kaum Cina, 507 adalah India dan selebihnya seramai 11 orang adalah daripada kaum lain.
Berbuat baik kepada ibu bapa adalah perintah Allah SWT seperti dalam firmannya yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapa mu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, seperti mereka berdua mendidik aku sewaktu kecil”. – (Surah Al-Israa: 23-24)
Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menceraikan susu dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Akulah kembalinya kamu.”– (Surah Luqman: 14).
Berbuat baik dan bersyukur kepada ibu bapa bermakna membalas segala jasa yang dilakukan kedua-duanya terhadap anak dengan memberikan pertolongan serta memberi nafkah kepada mereka berdua setelah mereka tua dan uzur serta tidak lagi mempunyai sumber pendapatan.
Keutamaan berbakti kepada kedua-dua ibu bapa adalah melebihi berjihad di jalan Allah seperti sabda Rasulullah SAW: “Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah bin Mas’ud beliau berkata: Aku bertanya kepada Nabi SAW amalan manakah paling disukai Allah SWT? Baginda menjawab, solat pada waktunya. Saya bertanya lagi, kemudian apa? Baginda menjawab, kemudian berbakti kepada kedua-dua orang tua. Saya bertanya lagi, kemudian apa? Baginda menjawab, jihad pada jalan Allah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Jumhur ulama mazhab empat bersepakat bahawa nafkah ibu dan bapa adalah wajib ke atas anak-anak sama ada anak lelaki atau anak perempuan. Ulama sepakat bahawa ibu dan bapa yang berhak kepada nafkah ialah ibu bapa yang tidak berkemampuan, tidak mempunyai harta atau tidak mempunyai pekerjaan dan tidak mampu membiayai diri mereka sendiri. Pada pandangan Mazhab Hanafi dan Shafie, tidak bekerja bermaksud juga tidak berupaya untuk berkerja disebabkan oleh penyakit kronik, buta, tidak siuman dan cacat anggota badan dan anak yang wajib memberi nafkah kepada ibu bapa adalah anak yang berkelapangan sama ada mempunyai harta ataupun pekerjaan.
Ibu bapa tidak pernah mengharapkan wang ringgit anak, cuma pada usia senja mereka mengharapkan secebis perhatian daripada anak untuk menumpang kasih, sebelum dipanggil Allah SWT.
Mahkamah Syariah boleh memerintahkan seorang anak membayar nafkah ibu bapa atau keluarga yang lain, seperti dalam peruntukan Seksyen 60 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984 yang berbunyi: ‘Mahkamah boleh memerintahkan mana-mana orang yang bertanggungan mengenai hal itu mengikut hukum syarak supaya membayar nafkah kepada seorang yang lain jika dia tidak upaya, sepenuhnya ataupun sebahagiannya, dari mencari kehidupan oleh sebab kerosakan otak atau jasmani atau tidak sihat dan Mahkamah berpuashati bahawa memandang kepada orang yang pertama tersebut itu adalah munasabah memerintahkan sedemikian.’
Peruntukan ini tidak begitu jelas dan tidak khusus kepada nafkah ibu bapa saja. Sudah sampai masanya satu peruntukan khusus berkaitan nafkah ibu bapa dimasukkan dalam undang-undang keluarga Islam negeri. Undang-Undang Keluarga Islam Kuwait 1984 boleh dijadikan panduan, ataupun Akta Penanggungan Ibu Bapa (APIB) 1995 di Singapura, atau Akta Pembiayaan Ibu Bapa 1998 di Filipina, selagi mana ia tidak bertentangan dengan hukum Syarak.
Oleh Tuan Musa Awang
Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia
Sumber: http://lhakim-suarahati.blogspot.com
Labels:
Untukmu Ibu
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment