Wednesday, July 13, 2011

Mencari Zinnirah Di Alaf Baru


Allah..., Allah..., Allahu Akhbar, Allah Yang Maha Besar. Begitulah rintihan yang kedengaran daripada bibir merekah seorang wanita dek lapar dan dahaga menanggung derita kerana beriman.

Bayangkanlah betapa siksanya ditelentangkan di tengah padang pasir yang panas terik. Sedangkan badannya dihempap batu besar lagi berat. Kemudian disebat bertubi-tubi. Tetapi keadaan begini tidak sedikit pun memesongkan hati Zinnirah daripada meyakini kewujudan dan keesaan Allah. Hatinya berbisik, “Ini untuk-Mu wahai Tuhan-ku. Aku membeli kesusahan ini untuk kesenangan akhirat kelak. Aku sedar untuk memperoleh syurga terpaksa melalui ujian berat. Sedangkan jalan ke neraka itu di pagari nikmat.”

Penyiksaan demi penyiksaan diterima oleh Zinnirah dengan penuh tabah. Kaki dan tangannya diikat. Tamparan serta tendangan yang hinggap di tubuhnya tidak sedikit pun mengubah fikiran Zinnirah. Begitulah keadaan hamba perempuan Umar al-Khattab yang telah memeluk Islam sebelum tuannya sendiri beroleh hidayah Allah. Umar yang terkenal bengis semasa jahiliyahnya tidak pun menaruh belas terhadap hamba-hambanya yang memeluk Islam. Kesemuanya disiksa dengan dahsyat!

Zinnirah termasuk di kalangan generasi awwal yang memeluk Islam. Pasti dia telah menerima seruan Rasulullah secara rahsia. Zinnirah menerima cahaya keimanan itu dengan hati yang insaf dan sedar bahawa Yang Maha Pencipta sajalah yang berkuasa ke atas hamba-hamba-Nya. Dia menunaikan ibadtnya secara sembunyi pada waktu malam.

Dalam keheningan dan kesunyian malam, dia sujud memohon pertolongan Allah. Setiap kali ayat-ayat Al-Quran dibacanya, pasti tidak henti-henti airmatanya berlinangan. Bilamana terbaca ayat Al-Qur’an yang menggambarkan siksaan api neraka, dia menangis hingga pengsan. Jiwa tauhid tertanam tebal dalam dirinya, tiada suatupun dapat mempengaruhinya melainkan kekuasaan Allah.

Penyiksaan terhadap Zinnirah berada di kemuncaknya bilamana kedua-dua matanya dicucuk dengan besi tajam. Akhirnya gelaplah seluruh penglihatannya. Terlalu zalim penyiksaan tersebut. Namun hatinya masih mampu berbisik, ‘Ya Allah, aku lebih rela dibunuh daripada menjual agama-Mu. Semakin dahsyat penyiksaan ini, semakin kurasai kehebatan dan keagungan-Mu. Panahan cinta-Mu itulah yang menguatkanku menanggung azab ini. Ya Allah! Berilah petunjuk kepada orang yang menyiksaku...”

Bukan sahaja Zinnirah tidak berdendam, malahan ketabahnnya semakin mendalam. Meski pun matanya telah buta tetapi hatinya tetap celik dan berupaya melihat cahaya kebenaran Islam. Begitulah hakikat iman, kesannya terhadap hati memang luarbiasa. Apatah lagi jika disertai dengan pengorbanan yang sangat besar seumpama yang telah dikorbankan oleh Zinnirah. Ini bertepatan dengan maksud firman Allah yang berbunyi, “Tidak ada sesuatu pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah. Dan barang siapa yang beriman kepada Allah, nescaya Allah akn memberi petunjuk kepada hatinya Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (QS At-Taghaabun: 11)

Apabila melihat keadaan Zinnirah, orang-orang Quraisy cuba mempermain-mainkannya supaya terpesong daripada Islam. Mereka mengatakan Zinnirah buta kerana menerima laknat dari tuhan mereka, Latta dan Uzza. Zinnirah menolak dakwaan itu dengan pendiriannya yang tegas. Dia tahu dengan jelas, Latta dan Uzza itu hasil ciptaan tangan orang-orang kafir Quraisy. Bila-bila masa saja ia boleh dimusnahkan, dan sudah tentu tidak mungkin buatan manusia tidak dapat mendatangkan sesuatu bencana maupun rahmat.

Zinnirah tetap menegaskan, bahawa matanya buta atas kehendak Allah. Maka hanya Allah jua yang akan dapat menghilangkan bencana yang ditanggungnya. Dengan pendirian Zinnirah itu, bertambah-tambah kemarahan orang-orang kafir Quraisy. Mereka memperhebatkan lagi siksaan terhadap Zinnirah dan terus mencabarnya untuk membuktikan kebenaran pendiriannya itu. Zinnirah terbukti tegas dan tabah. Keyakinannya tidak sedikit pun tergugat dan berganjak. Semuanya ini tidak sia-sia di sisi Allah. Ketabahan luar biasanya itu telah beroleh ganjaran yang ajaib!

Allah Yang Maha Berkuasa telah mengembalikan penglihatan Zinnirah! Malahan matanya dapat melihat dengan lebih terang dari sebelumnya. Ditambah dengan sesuatu yang menakjubkan; sinaran mata Zinnirah menyilaukan pandangan orang-orang kafir Quraisy! Begitulah pertolongan Allah kepada Zinnirah untuk menambah kekuatan imannya. Saydina Abu Bakar As-Siddiq sendiri datang menebus Zinnirah dengan harga yang tinggi. Mulai saat itu bebaslah Zinnirah daripada penindasan orang-orang kafir Quraisy.

Begitulah Islam datang untuk membebaskan manusia daripada perhambaan terhadap selain daripada Allah. Manusia seluruhnya hanya wajib memperhambakan diri kepada Allah semata-mata. Setiap Muslim mesti berpegang teguh dengan prinsip, ‘Tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah.’ Di situlah juga terletakkannya keunggulan generasi awal Islam bertepatan dengan maksud firman Allah, “ Kamu sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia, supaya kamu menyuruh mengerjakan kebaikan dan melarang memperbuat kejahatan.” (QS Ali-Imran:110)

Bagaimana pula kita sebagai anak muda Islam hari ini? Anak muda hari ini disifatkan sebagai bakal pemimpin hari esok. Anak muda hari esok pula pasti akan mewarisi watak remaja hari ini. Sedangkan untuk mewarisi segala bentuk kebaikan, anak muda hari ini sepatutnya mencontohi anak muda masa silam. Yang dimaksudkan dengan anak muda masa silam ialah generasi awal Islam yang Rasulullah didik dengan prinsip Islam. Hati mereka telah ditanam dengan iman yang mendalam.

Untuk menjelmakan hakikat ini dalam kehidupan kita, setiap pengetahuan Islam yang telah kita pelajari selama ini mestilah diamalkan sepenuhnya. Tidaklah tinggal sebagai ilmu pengetahuan semat-mata. Dengan benar-benar melaksanakan tuntutan Islam kita akan berjaya menepis sebarang pujukan syaitan yang sentiasa berusaha menghalang kita daripada menghambakan diri semata-mata kepada Allah.

Apabila kita fokuskan penelitian ini ke atas anak gadis dewasa ini, kesan yang akan wujud dalam masyarakat masa depan sangatlah besar dan penting. Ini berdasarkan pendapat, apabila baik wanita sesebuah masyarakat itu, maka akan baiklah juga masyarakat tersebut. Wanita juga disifatkan sebagai tulang belakang dalam kehidupan berkeluarga. Justru itu persediaan seawal usia remaja mestilah diberi perhatian. Supaya hati mudah terpimpin untuk mematuhi perintah Allah sepertimana keyakinan dan ketaatan yang dimiliki oleh Zinnirah. Hanya hati yang demikian akan bebas daripada cengkaman nafsu. Hati tersebut merdeka daripada sebarang rasa gelisah serta menjamin pemiliknya beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat. Dengan lain perkataan mengecap kebahagiaan di dunia manakala di akhirat beroleh syurga idaman.


Wallahu’alam.
Ummu Anas.

Sumber: http://www.haluan.org.my/

No comments:

Post a Comment