Monday, July 11, 2011
Kepentingan Teknologi Hijau
KUALA LUMPUR 7 Julai - Majlis Profesor Negara (MPN) mendapati tahap kesedaran dan pengetahuan rakyat Malaysia tentang kepentingan teknologi hijau pada masa kini dan hadapan masih di tahap yang rendah.
Pengerusi MPN, Prof. Emeritus Datuk Dr. Zakri Abdul Hamid berkata, situasi itu berlaku kerana pendidikan yang diberikan kepada masyarakat setakat ini masih terbatas.
Dalam menangani perkara itu kata beliau, peranan ahli akademik dilihat paling penting untuk memberi pengetahuan mengenai perkara itu kepada masyarakat termasuk pembuat dasar.
"Ahli akademik perlu mempelbagaikan teknik pengajaran, tidak boleh hanya terikat dengan kaedah tradisional iaitu berdasarkan teori semata-mata.
"Antara kaedah yang mesti diberi perhatian ialah mendidik secara berkomunikasi, latihan dan kajian bagi memastikan ilmu itu lebih meluas," katanya.
Beliau berkata demikian selepas penyampaian syarahan oleh profesor dari Myanmar yang pernah bertugas dengan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Prof. May Htun sempena Kongres Profesor Negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Ditanya tentang kaedah yang dicapai oleh MPN dalam mendidik masyarakat tentang kepentingan menjaga teknologi hijau, Zakri berkata, semua pakar sains natural dan sains sosial akan digerakkan untuk menjalin kerjasama rapat ke arah itu.
Kata beliau, menerusi jalinan itu MPN bersedia untuk melihat semula kurikulum sekolah pada masa ini sebagai persediaan untuk generasi akan datang.
"Ahli akademik khususnya yang menganggotai MPN sudah bersedia untuk membawa negara dan masyarakat ke arah pembangunan yang mapan," jelasnya.
Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA
pengarang@utusan.com.my
Sumber: http://www.utusan.com.my/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment