Thursday, July 14, 2011

Datangnya Kebenaran dan Hancurlah Kejahatan


Zaman sebelum kelahiran Nabi Muhammad S.A.W dikenali sebagai Zaman Jahiliyyah yang menjadikan seluruh dunia sebagai pentas menegakkan kezaliman. Ajaran-ajaran yang pernah diwahyukan Allah S.W.T dilupai dan diselewengkan. Manusia tidak lagi mengenal Tuhan, nafsu bermaharajalela, penjenayah menjadi hakim dan orang zalim menjadi pemimpin. Manusia menghadapi krisis nilai yang dahsyat sehingga orang-orang baik dianggap jahat dan orang jahat pula dianggap baik.

Tidak ada yang menjalankan amar ma’ruf nahi mungkar. Sungguhpun masih adanya paderi dan pendeta yang dianggap ulama’ yang mewarisi pusaka Nabi-nabi, tetapi kebanyakan mereka menyeleweng dan membisu semata-mata kerana harta benda dunia, pangkat dan kedudukan. Mereka inilah yang disebut oleh Rasulullah S.A.W sebagai ‘syaitan bisu’.

“Siapa sahaja yang dikurniakan Allah ilmu agama lalu dia menyembunyikannya, nescaya dia akan dikekang Allah akan mulutnya di Hari Kiamat dengan kekangan dari api.” (riwayat at-Tabaraani)


Firman Allah


Katakanlah: “Hai Ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara yang tidak benar dalam agamamu. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dahulunya dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus.” (al-Maaidah:77)

Maka kelahiran Nabi Muhammad S.A.W menjadi titik awal tanda-tanda Jahiliyyah Pasti Tumbang! Sekiranya sebelum kelahiran Nabi S.A.W, Allah memusnahkan kaum yang ingkar dengan azab terus dari Allah, tetapi Nabi Muhammad S.A.W diajar menghadapi keingkaran manusia dengan perintah dakwah, islah dan jihad.

Kelahiran Nabi S.A.W merupakan rahmat kepada seluruh alam, tidak dapat dinafikan! Para pendeta dan rahib Yahudi dan Nasrani terdiam semasa Nabi S.A.W dilahirkan kerana menyedari tanda-tanda itu berdasarkan ilmu mereka. Seluruh jazirah Arab tenang dan aman semasa menyambut kelahiran Baginda. Nama Baginda; Muhammad yang bermaksud ‘yang terpuji’ merupakan nama yang diberi oleh Allah S.W.T, menjadi kaguman masyarakat Arab.

Dari kecil hingga dewasa Baginda S.A.W telahpun menunjukkan tanda-tanda ketokohannya sebagai pemimpin yang ulung lagi agung. Baginda langsung terhindar dari perkara jahiliyyah masyarakatnya. Sehinggalah Baginda menerima wahyu untuk menyatakan kebenaran. Dakwah Baginda telah mendapat sambutan walaupun pada peringkat awal dilakukan secara sulit kerana yang didakwah dapat membezakan antara yang benar dengan yang batil. Sehinggalah dakwahnya mendapat perintah ‘berterus-terang’ maka bermulalah siri penentangan yang hebat terhadap misi dakwah Baginda.

Usaha Nabi S.A.W memerangi jahiliyyah dapat diketahui dari banyak ayat-ayat al-Qur’an. Baginda S.A.W bukan sahaja menghadapi tentangan dari kaum Yahudi, Nasrani dan Majusi, tetapi juga dari kaum Baginda sendiri.

Antara warisan jahiliyyah yang diikuti oleh masyarakat Arab Jahiliyyah masa itu ialah amalan membunuh anak-anak perempuan. Perbandingan dapat dilihat dari ayat-ayat berikut:

“Sesungguhnya Firaun telah berbuat sewenang-wenangnya di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah-belah, dengan menindas segolongan dari mereka, menyembelih anak laki-laki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka.” (al-Qasas:4)

“….apabila bayi-bayi perempuan yang dikuburkan hidup-hidup ditanya, kerana dosa apakah dia dibunuh….” (at-Takwir:8-9)

Perutusan Rasulullah telah menghapuskan sama sekali perbuatan jahiliyyah tersebut. Di masa awal dakwah Baginda masyarakat jahiliyyah masa itu beranggapan bahawa golongan atau pendapat yang ramai lebih-lebih lagi disokong oleh mereka-mereka yang berpengaruh itulah yang benar sedangkan kumpulan kecil dianggap palsu dan salah. Anggapan ini ditempelak Allah S.W.T melalui firmanNya:

“Dan sesungguhnya Kami telah meneguhkan kedudukan mereka dalam hal-hal yang Kami belum pernah meneguhkan kedudukan kamu dalam hal itu dan Kami telah memberikan kepada mereka pendengaran, penglihatan dan hati; tetapi pendengaran, penglihatan dan hati mereka itu tidak berguna sedikit juapun bagi mereka, kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat Allah dan mereka telah diliputi oleh siksa yang dahulu selalu mereka memperolok-olokkannya.” (al-Ahqaaf:26)

Mereka juga bersikap mempertikaikan Islam apabila merasakan ia tidak selari dengan nafsu dan kehendak mereka yang sebelumnya melakukan pelbagai perbuatan jahiliyyah seperti penyembahan berhala, meminum arak, berjudi, berzina, bertenung nasib, merompak dan membunuh serta banyak lagi. Sedangkan kedatangan Islam membawakan cahaya ilmu yang bersumberkan al-Qur’an dan as-Sunnah Nabi S.A.W. Orang-orang seperti ini apabila mereka membicarakan sesuatu yang tidak mereka ketahui samalah ibarat seorang buta mensifatkan keadaan seekor gajah mengikut sentuhan yang dapat dirabanya sahaja. Allah S.W.T menerangkan:

“Di antara manusia ada orang yang membantah terhadap Allah tanpa ilmu pengetahuan dan mengikuti setiap syaitan yang sangat jahat.” (al-Hajj:3)

“Dan di antara manusia ada orang-orang yang membantah terhadap Allah tanpa ilmu pengetahuan, tanpa petunjuk dan tanpa kitab (wahyu) yang bercahaya.” (al-Hajj:8)

Sikap jahiliyyah mereka lebih terang dan nyata sehinggakan mereka sanggup membuat gangguan, menyekat dan mengusir orang mukmin dari melaksanakan perkara yang baik sekalipun. Ini kerana mereka merasakan tindakan-tindakan itu mampu menghalang orang-orang yang boleh membantutkan cita-cita dan agenda mereka. Sehinggalah Allah memberi peringatan tegas dalam surah al-An’aam pangkal ayat 52:

“Dan janganlah kamu mengusir orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi hari dan di petang hari, sedang mereka menghendaki keredhaanNya….”

Inilah sebahagian kecil ciri, sifat, sikap dan bentuk kepercayaan serta ibadat jahiliyyah di awal kerasulan Nabi S.A.W. Hinggalah apabila mereka merasakan amalan-amalan jahiliyyah mereka ini mulai terancam, maka perbagai fitnah, khianat, sabotaj, ugutan, pemulauan dan pakatan jahat dilaksanakan. Sedangkan apa yang dilakukan oleh Nabi S.A.W tidak lain tidak bukan hanyalah mengajak kepada tauhid yang mutlak, mengkhabarkan adanya akhirat, membersihkan jiwa dan membentuk akhlak, memelihara keperibadian masyarakat melalui persaudaraan dan menerangkan tentang alam selain dari manusia.

Sesungguhnya harus diketahui bahawa sejak Nabi S.A.W hinggalah ke akhir zaman, pembawa panji-panji Islam baik individu, persatuan, masyarakat atau negara akan menghadapi tentangan asas yang bersifat sendaan dan penghinaan, pengeliruan ajaran Islam dan ditimbulkan dakyah-dakyah palsu, mengemukakan tawaran bertolak ansur, melakukan kezaliman terhadap jasad dan menggoda dengan janji-janji kesenangan dunia. Inilah antara usaha asas mereka yang akan mereka sesuaikan mengikut peredaran zaman, tempat dan kekuatan Islam pada masa itu.

Seperti yang kita ketahui kedatangan Rasulullah adalah pembawa rahmat. Maka apabila menghadapi penentangan sedemikian rupa tidaklah Baginda mencetuskan penentangan juga yang boleh diibaratkan ‘menyimbah minyak ke api’ sebaliknya dengan kebijaksanaan Baginda maka para pengikutnya menghindarkan diri dari penentangan tersebut dengan hijrah. Namun kerana dengki khianat mereka terhadap Nabi S.A.W mereka sanggup membuat kekacauan dan menimbulkan perbagai gangguan kepada Nabi dan pengikutnya. Sehinggalah Islam menang dengan tertegaknya Kerajaan Islam di Madinah al-Munawwarah, kaum musyrikin tetap terus memusuhi Nabi S.A.W dan orang muslimin. Sedangkan seluruh dunia telah membenarkan bahawa tidaklah Islam itu mengembangkan kekuatan dan kekuasaannya dengan kekerasan atau paksaan melainkan dengan banyak perjanjian-perjanjian, antaranya Perjanjian ‘Aqabah, Perjanjian Damai dengan Yahudi di Kota Madinah, Perjanjian Damai Hudaibiyyah dan banyak lagi.

Tetapi permusuhan dari kaum musyrikin dan Yahudi tetap terus berlangsung sehinggakan negara Islam Madinah itu hanya pernah bebas dari gangguan mereka tidak sampai satu tahun sepanjang pemerintahan Nabi S.A.W. Namun semuanya berjaya ditangani sehinggalah Kota Mekah yang pernah penduduknya melakukan penentangan keras terhadap Nabi Muhammad S.A.W akhirnya jatuh ke tangan umat Islam melalui peristiwa ‘Pembukaan Kota Mekah’ yang berlaku dalam keadaan aman tanpa pertumpahan darah.

Sikap jahiliyyah dengan mengadakan permusuhan terhadap Islam telah membawakan kepada beberapa siri peperangan seperti Perang Badar, Perang Uhud, Perang Ahzab, Perang Khaibar, Perang Mu’tah, Perang Hunain dan banyak lagi. Semuanya dimulakan oleh pasukan jahiliyyah sedangkan umat Islam berperang bertujuan mempertahankan diri dan atas perintah Allah. Perkara ini dapat dibuktikan melalui beberapa ayat berikut:

“Diizinkan (berperang) kepada orang-orang yang diperangi kerana sesungguhnya mereka telah dizalimi dan sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa untuk menolong mereka. Iaitu orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata: Tuhan kami hanyalah Allah…………” (al-Hajj:39-40)


“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (al-Baqarah:190)

“Diwajibkan atas kamu berperang…………….” (al-Baqarah:216)

 
Oleh: Paktam
Sumber: http://www.detikdaily.net/

No comments:

Post a Comment